Like Blog Ini...

Thursday, January 28, 2010

Remaja dan dialog peradaban

Oleh NURUL IZZAH SIDEK

JIKA disebut soal berbincang dan berbahas, ia berlaku dalam interaksi seharian sama ada secara formal atau tidak. Namun apabila disebutkan mengenai dialog peradaban, tidak dinafikan bahawa dialog peradaban adalah sesuatu yang asing di kalangan remaja di Malaysia pada hari ini.

Meskipun begitu, ia tidak bermakna remaja tidak boleh mula membincangkannya dalam batas pemikiran yang ada.

Pendedahan kepada pelbagai maklumat dan ilmu melalui akses dunia siber, media cetak atau media elektronik yang lain telah mencambahkan suatu bentuk baru dalam corak pemikiran dan tahap pemahaman remaja terhadap sesuatu perkara.

Lambakan maklumat yang terdapat di dalam alam maya melalui tulisan-tulisan di dalam blog, laman-laman sosial dan rantaian emel mengenai isu-isu antara kaum, agama dan sosial secara umumnya adalah baik untuk proses perkembangan idea dan pemikiran.

Namun jika tidak dikawal dan tiada berpedoman, sedikit sebanyak ia akan memberi tanggapan yang salah dan tidak tepat terhadap sesuatu perkara dan akhirnya boleh menyebabkan emosi akan lebih berpengaruh daripada asas ilmu.

Justeru apakah erti dialog peradaban kepada remaja? Mengapakah remaja mesti mula mengambil berat akan kepentingan dialog peradaban dan apakah asas-asas berdialog secara beretika?

Fahami persamaan dan perbezaan

Dalam tradisi Islam, agama adalah sumber peradaban. Tentu wujud perbezaan antara peradaban yang lahir dari sumber wahyu dengan sistem kepercayaan yang lahir dari faktor falsafah, budaya, tradisi nenek moyang dan fahaman tertentu.

Perbezaan seperti itu memang berlaku kerana faktor sejarah, interpretasi, kepentingan kelompok dan sebab-sebab yang lain.

Asas ini menarik untuk dibincangkan kerana masyarakat Malaysia sifatnya berbilang agama, kepercayaan malah sumber tamadun juga tidak serupa.

Sudah tentu kelainan dan perbezaan terus wujud sedangkan proses bina negara dan integrasi menuntut adanya toleransi di kalangan pengamal agama dan juga peradaban. Yang penting di sini apakah etika untuk berbeza yang membolehkan lahirnya sifat toleransi supaya tidak wujud salah faham yang boleh menjejaskan akidah dan juga sistem kepercayaan.

Yang berbeza biarlah berbeza tetapi aspek yang merintis titik persamaan yang banyak patut disuburkan dan menjadi jambatan kepada hubungan interaktif manusia dan kemanusiaan.

Nilai-nilai menghormati manusia sama ada guru dalam kalangan semua bangsa, ibu bapa, orang tua, orang yang memerlukan tanpa mengira agama dan bangsa, jiran umpamanya adalah nilai-nilai fitrah dan perlu diamalkan oleh generasi muda.

Perbuatan seperti ini walaupun kelihatan ideal tetapi jika ia menjadi amalan generasi muda ia mempunyai kualiti kemanusiaan yang baik dan patut menjadi amalan. Sekiranya konteks sosial hanya berlaku secara perkauman, ia menyebabkan tidak berlakunya interaksi atau hubungan sesama manusia yang sihat dalam membantu ke arah integrasi.

Dalam konteks Malaysia, acuan bernegara sudah bermula sejak lama. Perjalanan sejarah di Melaka menjadikan kota itu sebuah kota antarabangsa kerana aktiviti dagang dan kestabilan yang wujud hingga menyebabkan Cina Peranakan, India Peranakan merasa selesa mengadaptasi budaya setempat tanpa perlu menukar agama dan sistem kepercayaan.

Di saat Tanah Melayu mencapai kemerdekaan banyak peristiwa kompromi berlaku di mana status orang-orang yang mendatang diberikan status kekal dan taraf kerakyatan di samping kesediaan mereka melakukan kontrak sosial menghormati status agama Islam, Bahasa Melayu, Hak Istimewa, Tanah Simpanan dan lain-lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Asas-asas teras dalam proses bina negara ini amat penting difahami oleh generasi muda. Ini supaya tidak timbul ungkitan atas asas zaman dan suasana sudah berubah maka asas-asas kontrak sosial juga harus berubah sama.

Memahami perjalanan sejarah pembentukan Tanah Melayu dan Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah. Integrasi kaum dilihat sebagai suatu kekuatan tetapi ia juga boleh menjadi suatu asas kebimbangan.

Tidak dapat dinafikan api konflik amat mudah dinyalakan sekiranya pemahaman tentang kenegaraan tidak difahami oleh seluruh rakyat Malaysia.

Oleh itu amat penting generasi muda Islam memahami sejarah kontrak sosial yang menjadi landasan terbinanya Malaysia pada hari ini.

Perkembangkan dialog peradaban

Dialog peradaban adalah sebagai satu disiplin ilmu dan kebudayaan merupakan satu tuntutan yang paling mendesak dalam konteks negara Malaysia masa kini, apatah lagi dalam atmosfera Malaysia yang berbilang kaum, budaya dan agama.

Generasi muda kini amat mudah memandang sesuatu yang lebih moden dan maju sebagai sumber rujukan dalam kehidupan bernegara. Prinsip demokrasi sering disalahertikan dalam kebebasan bersuara.

Namun apakah mengagumi Barat tanpa adanya usul periksa tentang falsafah dan hala tujunya adalah sesuatu yang baik atau sebaliknya? Apakah meremehkan budaya dan sistem kepercayaan sendiri merupakan jalan terbaik ke arah maju dan moden?

Oleh itu, dialog tamadun harus berkembang dalam generasi muda. Dialog peradaban adalah tanda kesediaan dan keupayaan sesuatu kelompok agama dan kaum memberi respons terhadap sebarang permasalahan yang berbangkit. Sama ada perkara tersebut melibatkan kelompoknya sendiri atau pun orang lain.

Dalam memberi tindakbalas tersebut, ia hendaklah mengambil kira kepentingan bersama, menerusi rundingan dan persetujuan. Dalam hal-hal yang tidak dapat dipersetujui bersama atas sebab-sebab tertentu, hendaklah ada sikap berlapang dada dan saling hormat menghormati antara satu dengan yang lain.

Dialog antara kaum dan agama bukanlah sesuatu yang pelik. Tetapi sewajarnya ia didasari dengan persediaan dan keupayaan ilmu. Ini meliputi kemampuan pengetahuan tentang asas dan tasawwur agamanya sendiri serta juga memahami dengan sempurna konsep dan asas citra agama rakan dialognya.

Di samping itu, setiap pihak harus benar-benar menyedari tentang permasalahan yang berbangkit berhubung persoalan dan permasalahan yang ingin didialogkan. Tanpa semua ini, dialog akan menjadi pincang kerana fokus perbincangan akan tersasar dari landasan yang sebenar.

Seiring dengan itu, generasi muda Islam harus melihat pengukuhan jiwa agama terhadap mereka sebagai faktor kestabilan. Tanpa kekuatan agama yang mendasari pembentukan peribadi dan komitmen hidup, generasi muda Melayu boleh menjadi amat liberal dalam berfikir hingga suasana keterbukaan menyebabkan mereka hilang jati diri dan tidak melihat kepentingan agama, nilai dan etika sebagai sesuatu yang amat bermakna dalam masyarakat majmuk.

Asas-asas Islam seperti amanah, adil, jujur, ikhlas, tulus dan telus jika mendasari amalan generasi muda bakal menjadi binaan kukuh apabila mereka dewasa nanti. Dalam memberikan daya kepimpinan terhadap orang lain, mereka tidak lupa asas-asas di atas sebagai sesuatu yang amat tinggi nilainya.

Pada masa yang sama generasi muda bukan Islam harus juga memiliki nilai-nilai murni yang sama. Ini supaya jalur kemajuan yang berkembang adalah atas nilai-nilai bersama dan kemanusiaan tinggi yang amat diperlukan dalam proses bina negara.

Kesimpulan

Adalah menjadi harapan supaya remaja di Malaysia didedahkan dengan budaya berdialog secara berilmiah dan beretika. Dialog peradaban antara kaum dan agama boleh menjadi agenda yang penting dalam menambahkan kefahaman tentang integrasi dan mencantumkan titik-titik persamaan serta meraikan perbezaan. Yang baik sewajarnya dimanfaati bersama, yang berbeza harus diketahui batas sempadannya.

Terima kemajmukan bagi mengukuhkan perpaduan

Oleh MOHD. SHAUKI ABD. MAJID

AL-QURAN sebagai kitab suci terakhir yang diturunkan oleh Allah SWT untuk umat manusia mengandungi beberapa petunjuk yang tegas mengenai kemajmukan kaum dan menyatakan bahawa kemajmukan itu ialah suatu ketentuan Ilahi (takdir).

Oleh itu umat Islam wajib menerima kemajmukan itu dan berusaha untuk mewujudkan sikap bersamaan bagi mengukuhkan perpaduan ummah.

Kemajmukan itu ialah suatu sunnah Allah yang tidak dapat diubah oleh manusia. Rasulullah SAW sendiri tidak berupaya untuk menyuruh semua penduduk Madinah beriman kepada Allah, bahkan Allah menegur baginda dengan pertanyaan: “Apakah engkau hendak memaksa supaya mereka (seluruh manusia) menjadi orang beriman.” (maksud Surah Yunus ayat 99).

Islam sentiasa memberikan penekanan kepada konsep hidup bermasyarakat. Untuk hidup bermasyarakat, Islam memberikan ruang yang luas bagi setiap orang agar mengamalkan toleransi dan menghargai kebebasan.

Demikian juga al-Quran adalah kitab suci yang menonjol dalam pengakuan terhadap keabsahan agama-agama selain Islam.

Islam tidak menafikan semangat pluralisme (kemajmukan). Pluralisme ialah masyarakat pelbagai jenis etnik, agama dan budaya hidup damai dan berdampingan dalam satu bangsa. Daripada definisi ini, apakah Islam menafikan semangat pluralisme di mana masyarakat kita dapat hidup damai dengan berlatar belakang agama, budaya dan etnik yang berbeza?

Di dalam banyak ayat al-Quran dan hadis, kita menemui semangat pluralisme, di antaranya kebebasan beragama, hidup damai berdampingan walau pun berbeza bangsa, keturunan, agama, dan budaya.

Pluralisme agama sebenarnya bermaksud bahawa setiap pemeluk agama bukan sahaja dituntut untuk mengakui keberadaan dan hak agama lain, tetapi terlibat dalam usaha memahami perbezaan dan persamaan untuk mencapai kerukunan dalam perbezaan itu.

Al-Quran dengan jelas memberi gambaran semangat ini melalui firman-Nya yang bermaksud: “Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam).” (Surah Al-Baqarah ayat 256). Ini bererti Islam memberikan kebebasan sepenuhnya dalam beragama. Kemudian Allah SWT kembali menegaskan dalam al-Quran Surah Yunus ayat 99 yang bermaksud: “Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?"

Ayat-ayat ini secara tegas mengatakan bahawa seandainya Allah hendak menjadikan manusia seluruhnya Muslim, Allah pasti dapat melakukannya. Tetapi Allah tidak berkehendak, sebab kalau pun manusia di bumi ini menjadi Muslim, mereka tetap bermusuhan dan berbeza pendapat.

Oleh kerana itu, Allah menciptakan manusia berpuak-puak, bersuku-suku dan bermacam ras untuk saling mengenal dan membangun kerjasama atas dasar kebaikan.

Pada hakikatnya kemajmukan diakui dan diterima oleh Islam selagi ia bercirikan kedamaian. Kegagalan dalam mengembangkan semangat tolak ansur serta pluralisme agama seperti yang tercatat di dalam al-Quran hanya akan membangkit golongan Muslim radikal.

Sebaliknya, keberhasilan dalam melahirkan konsep toleransi beragama sangat bergantung pada kemampuan umat Islam menanamkan kesedaran masyarakat akan prinsip al-Quran tentang pluralisme keagamaan secara umum dan sikap positif terhadap agama lain.

Ketika teks al-Quran mengandungi banyak ayat yang secara nyata mendukung pluralisme, sejarah Islam juga memberikan banyak elemen pluralisme. Ketika Nabi Muhammad tiba di Madinah, pertama kali yang dilakukan adalah menyatukan masyarakat yang memiliki latar belakang berbeza baik agama mahupun etnik.

Formula yang dilakukan Rasulullah SAW setelah menyatukan umat Islam di Madinah yang terdiri dari Muhajirin dan Ansar, Nabi mengadakan perjanjian atas dasar kesatuan dan kebebasan beragama dalam “Piagam Madinah”. Di dalam piagam ini terdapat nilai-nilai persamaan, kebebasan beragama, hak asasi manusia, musyawarah dan demokrasi.

Pada masa pemerintahan Khalifah Umar Abd Aziz, beliau bersungguh-sungguh mengembangkan sikap keterbukaan dalam beragama dengan melarang meruntuhkan gereja dan memberi peluang mereka berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan.

Penulis ialah Pengurus Penyelidikan

Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia

Guna ilmu pertahankan akidah Islam

Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN

KELEMAHAN dan kekuatan umat Islam bergantung kepada sikap dan mentaliti mereka dalam mengendalikan urusan kehidupan mereka di dunia ini. Al-Quran dan hadis merupakan rujukan dan panduan kepada umat Islam keseluruhannya.

Apabila umat Islam memahami dan mengamalkan ajaran al-Quran dan hadis, mereka akan menjadi satu umat yang kukuh dan berwibawa. Konteks ajaran al-Quran dan hadis patut difahami dalam perspektif yang luas merangkumi hal ehwal keduniaan dan akhirat.

Ulama-ulama Islam masa silam mengkaji dan memahami Quran dan hadis secara mendalam. Oleh itu mereka mampu mengawal dan memelihara kesahihan dan kebenaran Islam dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman dan cabaran.

Cabaran terhadap akidah dan ajaran Islam yang dihadapi oleh umat Islam adalah pelbagai. Bagi mengatasi masalah ini umat Islam perlu mengkaji kelemahan-kelemahan yang wujud di kalangan masyarakat secara rasional dan bijaksana.

Cabaran terhadap akidah Islam sering ditampilkan dalam bentuk pemikiran dan kefahaman. Bagi mengatasi permasalahan ini perbahasan dan penjelasan secara rasional dan intlektual adalah diperlukan.

Tindakan radikal dan kekerasan dalam menghadapi cabaran akidah adalah tidak bersesuaian dengan nature atau ilmu pengetahuan. Tindakan begini boleh menimbulkan kesan negatif terhadap kewibawaan Islam.

Perbahasan dan perdebatan berkaitan dengan akidah atau doktrin merupakan fenomena biasa bagi negara-negara maju dan sedang membangun. Pengaliran pelbagai ilmu pengetahuan termasuk ajaran agama, doktrin, ideologi, teknologi dan lain-lain bukan sahaja boleh menjadikan sesebuah negara itu maju dalam teknologi malah ia juga berkembang menjadi pusat pengembangan ilmu pengetahuan dan doktrin.

Umat Islam perlu menyediakan diri mereka dengan ilmu pengetahuan yang mendalam dan pelbagai supaya setiap pengaliran doktrin dan ideologi yang menular dapat diatasi secara rasional dan hikmah.

Khalifah al-Ma'mun amat berminat terhadap ilmu-ilmu yang menggunakan akal atau logik termasuk falsafah Greek, Sanskrit dan Arab. Ketika pemerintahan beliau pengaliran ilmu-ilmu falsafah daripada Greek dan Rom serta doktrin pelbagai agama menggugat kedudukan akidah Islam berkaitan dengan konsep Tauhid yang dianuti oleh umat Islam.

Ketika ini ulama-ulama Islam begitu tekun mempelajari ilmu-ilmu falsafah, logik dan doktrin agama lain dengan tujuan untuk mempertahan akidah Islam secara rasional dan logik.

Umat Islam dalam negara ini perlu menunjukkan minat yang mendalam terhadap ilmu pengetahuan. Mempelajari ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang boleh membentuk pemikiran dan jiwa yang mantap dan berhemah. Kurang kepakaran dalam ilmu pengetahuan bukan sahaja boleh melemahkan umat Islam dalam mempertahankan akidah dan ajaran Islam malah ia juga boleh menyebabkan umat Islam kurang bijak dalam tindakan.

Ibu bapa dan umat Islam keseluruhannya perlu menanamkan semangat membaca dan berminat mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan sama ada daripada orang Islam atau bukan Islam kerana Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya, "Kalau kamu tidak memahami kejahilan maka kamu akan terlibat dalam kejahilan".

Penulis ialah Pensyarah Kanan Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama,

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Selawat ke atas Rasulullah perintah wajib

SOALAN

Kenapa kita ucapkan selawat ke atas Rasulullah SAW sahaja, sedangkan Nabi-nabi dan Rasulul-rasul yang lain kita hanya ucapkan selamat sejahtera?

Jawapan

Selawat ke atas Nabi SAW adalah perintah wajib daripada Allah SWT. Selawat ke atas Nabi-nabi yang lain tidak diperintah, cuma adabnya apabila kita menyebut nama mana-mana Nabi atau Rasul adalah elok kalau diucapkan selamat atau sejahtera ('Alaihi al-Salam).

Manakala apabila kita mendengar orang menyebut Rasulullah atau apa-apa nama baginda hendaklah berselawat ke atas baginda (Sallallahu alaihi wa sallam). Bagi mereka yang tidak mengendahkan selawat ke atas baginda digolongkan dalam golongan yang bakhil dan rugi serta macam-macam ancaman lain.

Maka ada beberapa perkara yang perlu diketahui umum kenapa wajib kita berselawat ke atas Nabi SAW berbanding Nabi-Nabi yang lain.

1- Apabila seseorang itu berselawat ke atas Rasulullah SAW kerana menurut perintah Allah SWT sedang Allah juga berselawat ke atas baginda maka selawat Allah SWT bermaksud pujian dan kemuliaan baginda berbanding Rasul dan Nabi yang lain. Manakala selawat manusia ke atas baginda bermaksud doa supaya Allah SWT mengangkat kedudukan baginda ke tempat yang lebih terpuji.

2- Sebagai mentaati perintah Allah SWT ke atas hamba-hambanya agar berselawat ke atas baginda SAW. Dalam surah al-Ahzab Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SWT); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (al-Ahzab: 56)

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa berterusan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Juga bermaksud kedudukan baginda serta kenikmatan yang diperoleh baginda sama ada di dalam alam barzakh mahupun di dalam syurga adalah sentiasa bertambah dan lebih mulia berbanding dengan Nabi-nabi yang lian.

Sekali gus para ulama berpendapat bahawa Allah SWT hanya berselawat ke atas baginda Rasulullah SAW secara khusus berbanding dengan Nabi-nabi yang lain. Adapun Nabi dan Rasul-rasul yang lain menerima ucapan kesejahteraan dengan ucapan salam tanpa selawat. Di dalam sepotong hadis diriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW ditanya oleh sahabat yang bernama Bashir bin Sa'ad: Kami diperintah Allah agar mengucapkan selawat ke atas kamu wahai Rasulullah, maka bagaimana caranya kami harus mengucapkan selawat itu, lalu baginda diam terlalu lama sehingga ada yang mengharap alangkah baiknya kalu dia tidak bertanya soalan itu kepada baginda. Kemudian barulah baginda bersabda bahawa: " Ya Allah selawatlah atas Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana engkau telah memberikan selawat ke atas Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Dan anugerahi ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana engkau anugerahi Nabi Ibrahim dan ahli keluarga Nabi Ibrahim di dalam alam sekelian, sesungguhnya engkau adalah yang Maha terpuji lagi Maha Mulia. Kemudian ucapkanlah salam sebagaimana yang telah kamu ketahui. (riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasaie, al-Tarmidzhi).

3- Berselawat ke atas Rasulullah SAW adalah wajib berdasarkan ayat di atas. Kewajipan ini ditunaikan melalui solat lima waktu yang menjadi selawat itu wajib dalam setiap tasyahud.

3- Baginda Rasulullah SAW adalah penutup seluruh Anbiya, baginda telah menyempurnakan syariat bagi panduan hidup manusia.

4- Baginda Rasulullah SAW adalah pemilik syafaat di mahsyar, bagi mereka yang taat kepada perintah Allah dan Rasulul-Nya juga memperbanyakkan selawat ke atas baginda akan mendapat syafaat.

5- fadilat selawat yang sangat agung, melalui selawat Allah menjanjikan keampunan, kelapangan, keberkatan, kerahmatan dan banyak lagi kelebihan-kelebihan yang menanti orang yang banyak berselawat.

Soalan

Apakah hukumnya membuang tahi lalat pada tubuh badan terutama sekali di bahagian muka?

Jawapan

Ada dua keadaan, pertama penyakit, kedua; terlalu banyak.

Bintik-bintik hitam yang kelihatan seperti tahi lalat adakalanya semacam penyakit kulit. Maka untuk merawat penyakit ini salah satu caranya mungkin dengan membuangnya dari kulit muka. Itupun, sekiranya tidak mendatangkan mudarat kepada muka. Sekiranya dengan membuang bintik-bintik hitam mendatangkan mudarat maka hukumnya haram. Ini kerana kulit muka adalah sangat sensitif.

Keadaan yang kedua ialah apabila tahi lalat terlalu banyak. Hukum membuangnya adalah harus, terutamanya pada wajah seseorang sehingga kehadirannya mengaibkannya atau menjadikannya tidak selesa apabila berkomunikasi dengan orang lain. Sekiranya niat menghapuskan tahi lalat untuk kecantikan semata-mata, maka hukumnya haram kerana termasuk mengubah ciptaan Allah yang asal.

Selawat ke atas Rasulullah perintah wajib

SOALAN

Kenapa kita ucapkan selawat ke atas Rasulullah SAW sahaja, sedangkan Nabi-nabi dan Rasulul-rasul yang lain kita hanya ucapkan selamat sejahtera?

Jawapan

Selawat ke atas Nabi SAW adalah perintah wajib daripada Allah SWT. Selawat ke atas Nabi-nabi yang lain tidak diperintah, cuma adabnya apabila kita menyebut nama mana-mana Nabi atau Rasul adalah elok kalau diucapkan selamat atau sejahtera ('Alaihi al-Salam).

Manakala apabila kita mendengar orang menyebut Rasulullah atau apa-apa nama baginda hendaklah berselawat ke atas baginda (Sallallahu alaihi wa sallam). Bagi mereka yang tidak mengendahkan selawat ke atas baginda digolongkan dalam golongan yang bakhil dan rugi serta macam-macam ancaman lain.

Maka ada beberapa perkara yang perlu diketahui umum kenapa wajib kita berselawat ke atas Nabi SAW berbanding Nabi-Nabi yang lain.

1- Apabila seseorang itu berselawat ke atas Rasulullah SAW kerana menurut perintah Allah SWT sedang Allah juga berselawat ke atas baginda maka selawat Allah SWT bermaksud pujian dan kemuliaan baginda berbanding Rasul dan Nabi yang lain. Manakala selawat manusia ke atas baginda bermaksud doa supaya Allah SWT mengangkat kedudukan baginda ke tempat yang lebih terpuji.

2- Sebagai mentaati perintah Allah SWT ke atas hamba-hambanya agar berselawat ke atas baginda SAW. Dalam surah al-Ahzab Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SWT); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (al-Ahzab: 56)

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa berterusan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Juga bermaksud kedudukan baginda serta kenikmatan yang diperoleh baginda sama ada di dalam alam barzakh mahupun di dalam syurga adalah sentiasa bertambah dan lebih mulia berbanding dengan Nabi-nabi yang lian.

Sekali gus para ulama berpendapat bahawa Allah SWT hanya berselawat ke atas baginda Rasulullah SAW secara khusus berbanding dengan Nabi-nabi yang lain. Adapun Nabi dan Rasul-rasul yang lain menerima ucapan kesejahteraan dengan ucapan salam tanpa selawat. Di dalam sepotong hadis diriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW ditanya oleh sahabat yang bernama Bashir bin Sa'ad: Kami diperintah Allah agar mengucapkan selawat ke atas kamu wahai Rasulullah, maka bagaimana caranya kami harus mengucapkan selawat itu, lalu baginda diam terlalu lama sehingga ada yang mengharap alangkah baiknya kalu dia tidak bertanya soalan itu kepada baginda. Kemudian barulah baginda bersabda bahawa: " Ya Allah selawatlah atas Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana engkau telah memberikan selawat ke atas Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Dan anugerahi ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana engkau anugerahi Nabi Ibrahim dan ahli keluarga Nabi Ibrahim di dalam alam sekelian, sesungguhnya engkau adalah yang Maha terpuji lagi Maha Mulia. Kemudian ucapkanlah salam sebagaimana yang telah kamu ketahui. (riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasaie, al-Tarmidzhi).

3- Berselawat ke atas Rasulullah SAW adalah wajib berdasarkan ayat di atas. Kewajipan ini ditunaikan melalui solat lima waktu yang menjadi selawat itu wajib dalam setiap tasyahud.

3- Baginda Rasulullah SAW adalah penutup seluruh Anbiya, baginda telah menyempurnakan syariat bagi panduan hidup manusia.

4- Baginda Rasulullah SAW adalah pemilik syafaat di mahsyar, bagi mereka yang taat kepada perintah Allah dan Rasulul-Nya juga memperbanyakkan selawat ke atas baginda akan mendapat syafaat.

5- fadilat selawat yang sangat agung, melalui selawat Allah menjanjikan keampunan, kelapangan, keberkatan, kerahmatan dan banyak lagi kelebihan-kelebihan yang menanti orang yang banyak berselawat.

Soalan

Apakah hukumnya membuang tahi lalat pada tubuh badan terutama sekali di bahagian muka?

Jawapan

Ada dua keadaan, pertama penyakit, kedua; terlalu banyak.

Bintik-bintik hitam yang kelihatan seperti tahi lalat adakalanya semacam penyakit kulit. Maka untuk merawat penyakit ini salah satu caranya mungkin dengan membuangnya dari kulit muka. Itupun, sekiranya tidak mendatangkan mudarat kepada muka. Sekiranya dengan membuang bintik-bintik hitam mendatangkan mudarat maka hukumnya haram. Ini kerana kulit muka adalah sangat sensitif.

Keadaan yang kedua ialah apabila tahi lalat terlalu banyak. Hukum membuangnya adalah harus, terutamanya pada wajah seseorang sehingga kehadirannya mengaibkannya atau menjadikannya tidak selesa apabila berkomunikasi dengan orang lain. Sekiranya niat menghapuskan tahi lalat untuk kecantikan semata-mata, maka hukumnya haram kerana termasuk mengubah ciptaan Allah yang asal.

Panduan memilih teman

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

'KOMPLEKS' adalah perkataan yang mungkin sesuai bagi menggambarkan mengenai 'hubungan' yang ditunjukkan oleh manusia pada hari ini. Namun dikirakan perkataan 'pelik' adalah lebih tepat.

Ini apabila pelbagai perlakuan yang tidak masuk akal sering ditunjukkan oleh manusia dalam pergaulan mereka untuk apa juga urusannya.

Walaupun telah terdapat pelbagai panduan dalam pergaulan dan memilih teman namun yang berlaku adalah sebaliknya.

Jika tidak, manakan berlaku kes pembuangan bayi luar nikah, jika tidak kerana salah memilih teman. Manakan berlaku gejala Mat Rempit, juga bukan kerana salah memilih teman dan sehinggalah baru-baru ini tuntutan kos perkahwinan selepas bercerai.

Semua ini menunjukkan manusia perlu kembali belajar bagaimana yang dikatakan pergaulan yang baik dan memilih teman itu.

Maka buku ini adalah bukan sahaja yang terbaru di pasaran malah mungkin yang terbaik untuk dijadikan rujukan!

Lebih-lebih lagi ditulis mengikut perspektif Islam dan adat budaya Melayu maka sesuai sekali untuk dijadikan bahan bacaan rakyat negara ini.

Ditambah pula yang menulis buku ini merupakan bekas guru sekolah, berkhidmat sebagai pegawai dakwah di peringkat antarabangsa (World Islamic Call Society yang berpengkalan di Tripoli, Libya) setelah beroleh ijazah dari Universiti Tripoli, Libya.

Beliau yang kini merupakan mutawif haji dan umrah masih meneruskan dakwah dan pendidikan iaitu sebagai Guru Takmir di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Buku ini mengandungi 13 bab yang merangkumi pelbagai tajuk-tajuk yang menarik dan sangat berkaitan dengan kehidupan kita sebagai umat Islam yang merupakan sebaik-baik ummah di muka bumi dan berjaya di akhirat kelak.

Dalam bab pertama, penulis menekan mengenai peri pentingnya seseorang itu untuk bergaul dengan orang lain. Dengan lain perkataan seseorang itu tidak mungkin dapat hidup seorang diri di muka bumi ini. Sedangkan Nabi Adam a.s yang hidupnya terlalu indah di syurga namun akhirnya kalah pada kesepian, hidup seorang diri.

Baginda mengharapkan teman, lalu dikurniakan Allah akan Siti Hawa, seorang isteri yang kemudiannya manusia pertama ciptaan Allah ini membiak dan mengembangkan zuriat manusia, bagi seluruh manusia yang pelbagai rupa dan bangsa di dunia ini saling mengenali. Sehinggalah semuanya kembali menjadi teman dan sahabat yang tidak sahaja di dunia malah di akhirat kelak atau syurga, insya-Allah.

Wahai Manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya semulia-mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa. (al-Hujurat: 13)

Dengan lain perkataan manusia tidak boleh hidup dengan mengasingkan diri atau beriktizal sekalipun kononnya dengan pengasingan itu bertujuan untuk menjadikan hatinya lebih bersih dan tawaduk.

Kata penulis, sifat tawaduk (rendah diri) tidak akan dapat dicapai dengan duduk berseorangan kerana kadang kala sifat sombong juga yang membuatkan sesetengah orang memilih jalan mengasingkan diri.

Lalu penulis menyenaraikan faedah-faedah mengapa manusia perlu bergaul sesama manusia. Antara yang menarik termasuklah; untuk hiburan! Ini apabila apabila hati seseorang itu menjadi terlalu sedih atau risau, nescaya dia akan menjadi 'buta'.

Maka hiburan diperlukan sebagai pengubatnya iaitu kehadiran kawan-kawan yang mampu memberikan sokongan moral, bantuan dan nasihat.

Lantaran buku ini dalam bab 7; Mengawal Pergaulan, Bab 8: Hidup Berteman, Bab 9: Orang Yang Patut Dijadikan Teman, Bab 10 Bahaya Berkawan Dengan Orang Jahat dan Bab 11: Memilih Teman Hidup adalah tajuk-tajuk yang perlu diberi perhatian khusus bagi menjayakan satu pergaulan yang diredai Allah, yang faedahnya kembali kepada manusia itu sendiri.

Begitupun tajuk-tajuk lain turut mendukungi citra pergaulan yang kian rapuh menjadi amalan dan adab dalam pergaulan hari ini. Iaitu Bab 2: Pergaulan Dalam Rumah Tangga, Bab 3: Bergaul Dengan Jiran, Bab 4; Bergaul Dengan Jemaah Masjid Atau Surau, Bab 5: Pergaulan Di Tempat Menuntut Ilmu dan Bab 6: Adab Bergaul Dengan Tetamu.

Turut menarik yang ditekankan oleh penulis ini iaitu pergaulan dalam masyarakat bandar yang berjiran. Ironis kadang kala kita berkongsi dinding, berkongsi lantai, berkongsi siling, pagar dan halaman iaitu merujuk jenis-jenis perumahan yang ada di bandar-bandar.

Namun, pergaulan sesama jiran lazimnya bagaikan enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Malah tak kurang membinakan tembok-tembok penghalang yang tinggi seperti meniru rejim Zionis terhadap penduduk Palestin!

Buku ini dalam bahasa yang mudah dan ringkas sambil mengambil pengajaran dari ayat-ayat al-Quran dapat meletakkan banyak asas dan panduan dalam pergaulan kerana jika jika kita beres berurusan dengan manusia, maka beres juga urusannya dengan Allah, insya-Allah!

Kematian itu pasti

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

AL-MARAGHI berkata: Setelah Allah SWT menghiburkan nabi-Nya sebagaimana yang terdapat dalam ayat yang lalu memuatkan pendustaan kaumnya terhadapnya.

Sebahagian daripada rasul sebelummu telah didustakan oleh kaumnya sebagaimana engkau sekarang didustakan.

Para rasul dahulu menghadapi penderitaan daripada kaumnya sebagaimana yang engkau hadapi sekarang. Bahkan (penderitaan mereka dahulu) lebih berat. Sebahagian daripada mereka ada yang dibunuh seperti yang tejadi kepada Nabi Yahya a.s dan Nabi Zakaria a.s.

Sebab nuzul ayat ke-185

Ibnu Abbas berkata: Tatkala turunnya ayat daripada surah Sajadah ayat 11 yang bermaksud: Katakanlah yang mematikan kamu ialah malaikat maut yang diwakilkan denganmu, lantas mereka bertanya: Hai Rasulullah, sesungguhnya ayat ini diturunkan terhadap anak Adam, bagaimana berkenaan dengan kematian jin, burung dan binatang? Lantas turunnya ayat ini.

Iktibar dan fiqh ayat ke-185

l Ibnu Kathir berkata: Allah SWT menceritakan secara umum yang meliputi semua makhluk-Nya bahawa setiap yang bernyawa pasti akan merasa kematian. Yang tidak mati hanyalah Allah sahaja.

Antara yang mati ialah jin, manusia, malaikat dan lain-lain. Ayat ini dengan jelas merupakan takziah kepada semua manusia. Tidak ada yang kekal di atas muka bumi kecuali pasti menerima kematian.

l Ibnu Jauzi berkata: Ayat ini memberi berita gembira kepada yang melakukan kebaikan dan memeberi ancaman yang melakukan kejahatan.

Ayat ini juga memberitahu hakikat kehidupan penuh dengan tipu daya dan diberi panjang angan-angan tentang kehidupan yang kekal, sedangkan ia boleh berlaku kematian pada bila-bila masa.

l Al-Qurtubi berkata: Apabila Allah menceritakan berkenaan orang bakhil dan kufur, lantas Allah perintahkan kepada orang yang beriman supaya bersabar di atas ujian yang dihadapi oleh mereka.

l Al-Maraghi berkata: Setiap yang berjiwa akan mengalami saat perpisahan dengan jasad (badan). Ini menunjukkan jiwa tidak akan mati sekalipun badannya mati.

Ini disebabkan yang mampu merasakan sesuatu adalah sesuatu yang wujud (ada), sedangkan yang mati tidak akan mampu berasa sesuatu.

l Hamka berkata: menurut ahli-ahli tafsir terutamanya ditegaskan oleh Ibnu Jarir bahawasanya ayat ini yang menyatakan bahawa tiap-tiap nyawa pasti merasakan mati, adalah lanjutan tasliyah ubat penawar hati Nabi dalam kesibukan perjuangan yang kadang-kadang menghadapi tentangan, dan dia pun menjadi ubat penawar bagi sekalian orang yang menegakkan iman.

l Al-Sonhadji berkata: Setiap yang bernyawa pasti akan merasai detik kematian dan bertemu ajal. Sebenarnya nyawa itu tidaklah sekali-kali mati dengan sebab matinya tubuh badan atau jasad.

Hanya yang hidup sahaja yang menikmati kehidupan akan tetapi kematian pasti akan menjemput bagi setiap makhluk yang bernyawa.

Iktibar dan fiqh ayat ke-186

l Ibnu Kathir berkata: Orang beriman pasti diuji sama ada tentang hartanya, jiwanya, anaknya, dan keluarganya. Ujian tersebut berdasarkan kadar keimanannya. Jika imannya kuat maka ujiannya bertambah, sebaliknya jika lemah maka ujiannya perlahan.

l Al-Qurtubi berkata: ayat ini ditujukan kepada nabi dan umatnya. Maknanya kamu pasti akan diuji pada harta kamu dengan musibah dan lain-lain taklif syarak. Begitu juga jiwa dan kematian, sakit dan kehilangan orang yang dikasihi.

l Al-Maraghi berkata: Ujian terhadap harta adakalanya dalam bentuk galakan, kebajikan yang dapat mengangkat martabat umat Islam dan menghancurkan musuh, menolak bala, membasmi wabak penyakit dan lain-lain.

Ujian terhadap diri (jiwa) dalam bentuk pengerahan tenaga adalah untuk berjihad pada jalan Allah SWT, kematian ahli keluarga, teman yang dicintai dan berjuang membela kebenaran.

l Hamka berkata: Dalam kehidupan, dugaan pasti datang. Segala kesulitan pasti akan dapat diatasi. Orang bersenjata kita pun bersenjata. Orang menyerang kita menangkis dan sesekali kita pun menyerang. Tetapi pertahanan batin tidak lain ialah sabar dan takwa.

l Al-Sonhadji berkata: Satu peringatan untuk memberi kesedaran kepada orang mukmin supaya tidak terkejut sampai hilang kewarasan dan terperanjat bilamana ujian Allah SWT datang menimpa ke atas harta mereka atau diri mereka.

Semoga kita sentiasa reda dengan ujian Allah dan bersyukur di atas segala nikmatnya. Mudah-mudahan nikmat tersebut akan bertambah dan berkekalan. Amin.

Kaum 'Ad lupa diri

KAUM 'Ad merupakan kaum yang kuat dari segala segi. Mereka bukan sahaja mempunyai kerajaan yang teguh, tetapi juga badan yang tegap dan sasa. Mereka dikurniakan pancaindera yang baik supaya dapat mengenal Allah.

Namun mereka mengabaikan segala anugerah tersebut. Mereka tidak menggunakan akal fikiran mereka untuk mendengar dalil-dalil tentang kekuasaan Allah. Sebaliknya mereka menggunakannya untuk mencari kepuasan hidup semata-mata.

Kehidupan kaum 'Ad sangat mewah. Mereka dikurniakan kawasan pertanian yang subur. Harta-harta mereka juga menggunung sehingga kaum mereka disegani kerana kekayaan yang dimiliki. Negeri mereka juga terdapat banyak bangunan yang tinggi dan tiada di tempat lain.

Kebahagiaan dan kekayaan yang banyak ini telah menyebabkan mereka lupa diri. Mereka lupa kepada pencipta dan asal usul mereka.

Lebih teruk lagi, mereka sama sekali tidak mengakui kewujudan Allah SWT. Hidup mereka menjadi semakin tidak berperaturan. Mereka menyembah dan meminta pertolongan kepada apa sahaja yang mereka sukai. Ada yang menyembah batu, patung dan sebagainya.

Walaupun Nabi Hud diutus untuk membimbing mereka, namun baginda tidak berjaya. Mereka tetap degil dan keras kepala untuk menerima ajakan ke arah kebenaran. Sebab itulah Allah menurunkan azab yang cukup pedih kepada mereka.

l Petikan daripada buku 366 Kisah daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

Sara tenang berjilbab

Susunan ZUARIDA MOHYIN

PENTAS peragaan pakaian, gemerlapan dunia lakonan, jurulatih kesihatan serta aktivis hak asasi merupakan senario kerjaya wanita bernama Sara Bokker. Apatah lagi dia pernah tinggal di Florida dan di pantai Selatan Miami, antara lokasi paling popular untuk mencari kehidupan glamor.

Pastinyalah, kehidupan alam remaja yang dilalui Sara dahulu banyak berfokus kepada kehidupan tanpa bantasan akhlak dan agama. Lebih-lebih lagi dalam aspek penampilan seksi dan rupa paras yang cantik menjamin kelangsungan hidup di mata masyarakat dan pemantapan kerjaya masa depan.

Malah Sara adalah antara ratusan mahupun ribuan pengunjung setia pantai peranginan itu yang 'gemar mempamerkan tubuh' serta kononnya berjaya mencapai taraf hidup yang penuh bergaya dan ada kelas.

Setelah bertahun-tahun bergelumang dalam dunia yang serba-serbinya mementingkan penampilan luaran, menyebabkan Sara rasa terkongkong dalam dunia yang dipujanya selama ini.

Hakikatnya, rutin kehidupan sedemikian tidak membawa kepuasan sejati kepada Sara, terutamanya yang menyentuh aspek kerohanian.

Lantaran itu, Sara mulai mengalihkan kegiatannya dari pesta ke pesta dan alkohol kepada bermeditasi, mengikuti aktiviti sosial dan mempelajari pelbagai agama lain sebagai satu escapism.

Sehinggalah apabila dunia dikejutkan dengan serangan 11 September 2001, Islam tiba-tiba muncul terutamanya di kalangan Barat yang bukan beragama Islam.

"Itulah detik pertama saya mengenali agama Islam. Sebelum ini, gambaran saya tentang Islam ialah wanita berkelubung, agama yang menafikan serta menganiayai hak wanita, berpoligami serta Islam adalah agama yang terkenal sebagai pengganas serta cenderung kepada keganasan. Ditambah pada ketika itu saya dikira seorang aktivis hak asasi manusia.

"Perasaan ingin tahu di sebalik Islam inilah yang membawa saya kepada kitab al-Quran. Melihat pada kulit depannya sahaja saya sudah tertarik.

"Apabila membacanya pula, hati saya menjadi tersentuh kerana isinya membawa kita rapat kepada Pencipta, lebih memahami persoalan tentang kejadian alam sekitar ini dan segala aspek dalam kehidupan," kata Sara yang terkesan dengan agama yang tidak memerlukan perantara, tidak seperti agamanya sebelum ini.

Ketenangan yang diperoleh menerusi al-Quran memberikan keyakinan kepada Sara untuk menjadikan Islam agama kepercayaannya. Setahun kemudian, Sara bukan sahaja mendirikan rumah tangga dengan jejaka Muslim pilihan hati tetapi paling ketara bagi diri Sara ialah penampilan dirinya yang dikira berubah 360 darjah.

"Kalau sebelum ini saya lebih suka dan serasi dengan berseluar pendek, berbikini dan bergaya dengan pakaian Barat yang berkelas. Kini tidak lagi. Saya lebih tenang dan selesa bila mengenakan jubah dan tudung kepala sebagaimana wanita-wanita Muslim berbusana Muslimah.

"Orang yang saya temui tetap sama tetapi untuk pertama kalinya dalam hidup ini, saya benar-benar menjadi seorang wanita Muslimah. Malahan saya tidak lagi terkongkong dengan minda masyarakat moden ketika itu. Inilah kebebasan yang saya cari-cari selama ini," cerita Sara akan pengalaman pertamanya berjilbab di khalayak ramai.

Beberapa lama mengenakan jilbab, hati Sara teringin untuk mengenakan niqab (pakaian Muslimah lengkap dengan purdahnya). Pernah juga dia mengajukan keinginannya itu kepada suami. Namun balas suaminya, menutup aurat itu satu kemestian kepada wanita Islam tetapi sebaliknya bagi berpurdah.

Pun demikian, hampir setahun setengah kemudiannya, Sara akhirnya mengenakan niqab dengan alasan berasa lebih tenang dan damai serta mahu melakukan terbaik hanya untuk Allah SWT.

Sayangnya, penampilan barunya itu mendapat reaksi yang pelbagai. Antara pihak yang terang-terangan mengkritik keras adalah ahli politik, kumpulan gereja dan aktivis kebebasan dan hak asasi manusia di media massa.

Mereka mengatakan bahawa niqab adalah satu bentuk penindasan terhadap kaum wanita, halangan bagi integrasi sosial dan paling memedihkan, berniqab dikatakan sebagai petanda kemunduran dan terkebelakang.

"Saya melihat kenyataan-kenyataan di atas ini sebagai kata-kata orang munafik.

"Natijahnya sekarang, berlaku banyak halangan terhadap wanita yang mengenakan hijab atau niqab untuk keluar berkerja dan mendapatkan pendidikan di sekolah dan universiti. Ia bukan hanya di bawah rejim kuku besi seperti di Tunisia, Maghribi dan Mesir tetapi juga di negara-negara demokrasi seperti Perancis, Belanda dan Eropah.

"Sehingga kini, saya tetap seorang aktivis wanita tetapi seorang aktivis wanita Muslimah, yang menyeru kepada para Muslimah untuk tetap menunaikan tanggung jawabnya dan memberikan sokongan penuh pada suami-suami mereka agar menjadi seorang Muslim yang baik. Membesar dan mendidik anak-anak mereka agar menjadi Muslim yang berkualiti sehingga mereka boleh menjadi insan berguna bagi seluruh umat manusia.

"Di samping itu, saya menyeru kaum wanita untuk berbuat baik dan menjauhi kemungkaran serta menyebarkan kebaikan dan menentang kebatilan.

"Yang pastinya, saya tidak berhenti setakat diri ini menikmati hidup yang semakin ceria, bahkan turut memperjuangkan Islam, menyedarkan wanita lain agar menutup aurat, memerangi dakyah musuh-musuh Islam dalam hal etika pakaian Islam," tegas Sara.

Tambah beliau, sebagai seorang bekas bukan Islam, dia bertekad menjelaskan kepada wanita lain akan hak-hak wanita untuk sama-sama mengetahui mengenai hijab, kebaikan-kebaikannya, kedamaian dan kebahagiaan yang dibawanya ke dalam kehidupan wanita, seperti yang telah terjadi ke atas dirinya sendiri.

Penjelajahan kebajikan Perkim

Oleh MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

NURUL Huda Phuan Abdullah (kiri) mencari rezeki dengan menjual kuih untuk menyara keluarganya.

PRIHATIN penderitaan yang ditanggung oleh pesakit ibu tunggal yang menghidap strok, beberapa orang pegawai dari Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) telah menziarahinya di Hospital Kuala Lumpur (HKL), baru-baru ini.

Faridah Hamid 54, jatuh pengsan pada Ahad lalu dan ditempatkan di wad 13D, Wad Perubatan 28, Tingkat 5 Blok Utama, Hospital Kuala Lumpur selepas disahkan menghidap penyakit darah tinggi dan strok kecil pada bahagian kanan tubuh badannya.

Ketua Unit Kebajikan dan Kaunseling, Suariza@Hidayah Muhammad berkata, Faridah adalah salah seorang kakitangan yang rajin dalam melaksanakan tanggungjawabnya di Pusat Pemulihan Kesihatan Perkim yang terletak di Sentul, Kuala Lumpur.

Suariza menyampaikan sumbangan wang RM 200 dan hamper buah-buahan kepada pesakit.

Unit Kebajikan dan Kaunseling meneruskan penjelajahan kebajikannya lagi ke rumah ibu tunggal saudara muslim terletak di PPR Gombak Setia, Taman Melati, dekat sini.

Ibu tunggal saudara Muslim yang dikenali sebagai Nurul Huda Phuan Abdullah 47, berbangsa Cina adalah salah seorang yang aktif di dalam aktiviti-aktiviti dan kelas pengajian Perkim. Beliau terpaksa menyara tiga orang anaknya selepas kematian suaminya akibat serangan jantung sejak 10 tahun dahulu.

Sehingga kini beliau mendapat bantuan daripada Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sedikit sebanyak meringankan bebanan beliau dalam menguruskan sewa rumah dan pendidikan serta kebajikan anak-anaknya.

Beliau juga gigih mencari rezeki dengan menjual kuih secara kecil-kecilan seperti pisang goreng, keropok lekor dan lain-lain.

Atas ehsan daripada Perkim, Suariza menghulurkan sumbangan RM100 dan buah tangan kepada beliau.

Penjelajahan kebajikan Unit Kebajikan dan Kaunseling diteruskan lagi ke rumah warga tua yang berhampiran dengan rumah sebelum itu.

Warga emas yang dikenali sebagai Rogayah Abd. Rahman 67, adalah seorang balu kepada K.K Nayapan atau nama Islamnya Kamaruddin Abdullah. Balu kepada allahyarham Kamaruddin yang berbangsa India ini sangat aktif menghadiri kelas Perkim untuk belajar dan mendekatkan diri dengan Islam, bersama saudara Muslim lain. Selain itu, beliau juga aktif dalam kumpulan marhaban dan nasyid.

Beliau yang berasal dari Kelantan dan telah menetap di sini selama 17 tahun bersedih tidak berupaya lagi menghadiri kelas-kelas pengajian di Perkim akibat strok pada bahagian kiri badannya.

Beliau yang juga menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi ini telah mendapat bantuan sewa rumah dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi kategori ibu tunggal.

Ketika menziarahi Rogayah, Suariza dan Pegawai Dakwah Perkim, Amran Abdullah telah menyampaikan risalah Perkim dan sumbangan sebanyak RM50 serta buah tangan kepada beliau.

Ini adalah satu kaedah merapatkan lagi ikatan silaturahim antara Perkim dan golongan pesakit, ibu tunggal dan warga emas kerana mereka memerlukan kasih serta ihsan dari keluarga Perkim.

Konsep ilmu faraid

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

"RM471 juta harta pusaka masih gagal diagih." seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia 30 September 2005 mungkin memeranjatkan kita semua. Tetapi itulah hakikatnya apabila kita gagal membuat perancangan pengurusan harta. Barangkali apa yang disebut di kalangan ahli-ahli pengurusan ada benarnya, "Apabila kita gagal merancang sebenarnya kita merancang untuk gagal."

Situasi ini berlaku mungkin berpunca daripada kejahilan masyarakat tentang ilmu faraid kerana ada yang beranggapan bahawa hukum faraid dapat menyelesaikan pengurusan harta. Pembahagian harta pusaka tidak dapat diselesaikan semuanya menerusi sistem faraid.

Sistem faraid dapat menyelesaikan permasalahan pembahagian harta apabila harta berkenaan berada dalam keadaan nyata, tidak tersembunyi, tidak bertindih penama dan jelas pemilikannya atau dalam erti kata lain ia secara jelas termaktub dalam wasiat. Maka untuk memastikan senario di atas tidak berlaku, pemilik harta semasa hayatnya perlu membuat perancangan dengan mewariskan harta kekayaan mereka itu melalui wasiat atau amanah.

Sangat mulia

Usaha perlu digembleng untuk meningkatkan kesedaran umat Islam terhadap pentingnya menulis wasiat, pentingnya pengetahuan berkaitan faraid dan hibah supaya harta dapat diagihkan dengan sempurna dan tidak berlaku sebarang pertelingkahan sesama ahli keluarga akibat merebut harta pusaka.

Dalam Islam mengurus dan membelanjakan harta adalah antara amanah Allah. Ia adalah satu keperluan yang bertujuan mencapai kehidupan yang diberkati. Perspektif yang tepat terhadap harta akan memastikan seseorang itu mencapai bahagia di dunia dan di akhirat menerusi hartanya.

Harta mempunyai kedudukan yang sangat mulia di sisi Islam. Islam menggalakkan umatnya memiliki, menghasil dan menggunakan harta dengan baik dan bijaksana. Dari kaca mata Islam, harta merupakan alat untuk menjamin keselesaan hidup manusia di dunia dan di akhirat. Ia juga merupakan wasilah untuk mencapai takwa. Allah juga menganugerahkan harta kepada manusia untuk menguji manusia, sama ada bersyukur atau sebaliknya sebagaimana yang ditegaskan dalam surah al-Munafiqun ayat sembilan.

Oleh yang demikian, Islam memerintahkan supaya harta dan kehidupan diuruskan dengan baik dan bijaksana. Jika sebaliknya ia akan menjadi faktor keruntuhan manusia dan kemurkaan Allah. Sebagaimana dalam surah Saba' ayat 15 hingga 16 dan surah an-Nisaa' ayat 10.

Bagi mencapai matlamat di atas, harta yang dimiliki seharusnya menjadi wasilah mencapai takwa di sisi Allah dan bukannya membawa bencana khususnya selepas kematian. Di antara langkah persedian yang boleh diambil ialah meningkatkan pemahaman tentang Ilmu Faraid. Ilmu faraid itu ialah "Ilmu berkenaan kaedah-kaedah yang telah ditetapkan oleh hukum Syarak tentang pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang Islam dan habuan yang bakal diterima oleh waris-waris yang sah dan layak seperti anak, isteri, suami, ibu, bapa dan lain-lain. Hal ini dijelaskan secara terperinci di dalam al-Quran surah an-Nisaa' ayat 11 hingga 13.

Di dalam Islam, terdapat dalil-dalil yang sangat jelas menggalakkan umatnya mempelajari, memahami dan menguasai ilmu faraid. Sabda Rasulullah SAW; "Belajarlah ilmu faraid dan ajarkanlah kepada orang lain kerana ia adalah separuh ilmu. Dia akan dilupakan dan dia akan menjadi perkara pertama dicabut dari umatku". (Riwayat Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.). Dan berkata Saidina Umar r.a.: "Pelajarilah ilmu as-Sunnah, ilmu Faraid dan ilmu Bahasa (Arab) sebagaimana kamu mempelajari al-Quran."

Ibnu Majah meriwayatkan bahawa Abdullah bin Amr bin al-Ash ra. berkata bahwa Nabi saw. bersabda: "Ilmu itu ada tiga, selain yang tiga hanya bersifat tambahan iaitu ayat-ayat muhakkamah (yang jelas ketentuannya), sunnah Nabi SAW yang dilaksanakan dan ilmu faraid."

Ibnu Mas'ud r.a. berkata bahawa Nabi SAW bersabda: "Pelajarilah ilmu faraid serta ajarkanlah kepada orang-orang, kerana aku adalah orang yang akan wafat, sedang ilmu itu akan diangkat dan fitnah akan tampak, sehingga dua orang yang bertengkar tentang pembahagian warisan, mereka berdua tidak menemukan seorang pun yang sanggup meleraikan (menyelesaikan perselisihan pembahagian hak waris) mereka." (riwayat Imam Ahmad, at-Tirmidzi, dan al-Hakim)

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahwa Nabi SAW bersabda: "Pelajarilah ilmu faraid serta ajarkanlah kepada orang lain, kerana sesungguhnya, ilmu faraid setengahnya ilmu; ia akan dilupakan, dan ia ilmu pertama yang akan diangkat dari umatku." (riwayat Ibnu Majah dan ad-Darquthni).

Dalam riwayat lain disebutkan, "Pelajarilah ilmu faraid, kerana ia termasuk bahagian dari agamamu dan setengah dari ilmu. Ilmu ini adalah yang pertama kali akan dicabut dari umatku." (riwayat Ibnu Majah, al-Hakim dan Baihaqi)

Objektif kenapa Islam sangat menggalakkan umatnya mempelajari dan memahami ilmu faraid ialah agar dapat mengetahui cabang-cabang nasab, siapa ahli waris dan siapa bukan ahli waris, kadar atau bahagian yang akan diwarisi oleh setiap ahli waris dan kaedah atau cara mengira.

Ikatan keturunan

Dengan itu setiap waris yang layak dapat ditentukan haknya di samping dapat mengelakkan pertelingkahan atau perebutan harta di kalangan waris-waris. Dalam ilmu faraid Tarikah adalah subjek utama yang menjadi aspek perbahasan. Tarikah atau harta peninggalan bermaksud segala harta yang ditinggalkan si mati selepas kematiannya, sama ada aset tetap (seperti tanah, rumah, bangunan dan sebagainya) atau aset berubah (seperti mata wang, emas, perak dan sebagainya).

Apabila meninggalnya seseorang itu, harta yang ditinggalkan hendaklah ditunaikan segala kewajipan ke atasnya iaitu, pertama; diambil darinya untuk kos pengurusan jenazahnya. Kedua; untuk membayar hutang-hutangnya; (pertama) hutangnya dengan hamba-hamba Allah dan (kedua) hutangnya dengan Allah. Ketiga; dilaksanakan wasiatnya dengan syarat tidak melebihi 1/3 dari harta yang tinggal setelah ditolak hutang. Keempat; diagihkan kepada ahli-ahli warisnya.

Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang-hutang si mati, sama ada berbentuk agama (seperti zakat, nazar, dan lain-lain) atau hutang kepada manusia dan menunaikan wasiat yang dibenarkan oleh syarak.

Sebagaimana dalam bab ibadat seperti solat, puasa dan zakat yang mempunyai rukun-rukun tertentu, begitu juga dalam perwarisan, ia juga mempunyai rukun yang perlu dipenuhi, iaitu Muwarrith iaitu orang yang mewariskan harta (yakni si mati), Warith iaitu orang yang bakal mewarisi harta si mati dan Mauruth iaitu harta yang diwariskan oleh si mati.

Dalam perwarisan, untuk membolehkan seseorang itu layak mewarisi harta peninggalan si mati ia mestilah mempunyai ikatan keturunan atau kekeluargaan dengan si mati seperti ibu bapa, datuk, nenek, anak, cucu, cicit dan seterusnya. Syarat seterusnya seseorang itu hendaklah mempunyai ikatan perkahwinan iaitu ikatan suami dan isteri. Dan syarat yang lebih penting ialah perlu ada ikatan akidah. Jika seorang Muslim yang mati tidak mempunyai sebarang ahli waris melalui sebab-sebab di atas, maka harta peninggalannya akan menjadi hak kaum muslimin yakni dimasukkan ke dalam Baitulmal.

Seseorang itu boleh mewarisi harta daripada seseorang apabila Muwarrith iaitu orang yang mewariskan harta telah pasti matinya dan ketika itu Warith iaitu orang yang mewarisi masih hidup ketika kematian si mati. Seseorang waris itu layak mewarisi harta juga apabila tidak terdapat sebarang tegahan yang menghalang dari mewarisi harta si mati.

Di antara sebab yang menghalang seseorang daripada mewarisi harta si mati ialah perhambaan, di mana seorang hamba tidak akan mewarisi kerana hartanya akan berpindah kepada tuannya. Seseorang itu terhalang juga daripada mewarisi harta jika waris berkenaan membunuh orang yang mewariskan harta sebagaimana sabda Rasulullah SAW: "Orang yang membunuh tidak mewarisi (harta dari orang yang dibunuhnya)". (riwayat Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.).

Di samping itu, berbeza agama (yakni antara Islam dan kafir) juga adalah sebab yang menghalang dalam perwarisan, sabda Rasulullah SAW: Tidak mewarisi seorang Muslim dari seorang kafir dan tidak mewarisi seorang kafir dari seorang Muslim. (Riwayat Muslim dari Usamah bin Zaid r.a.)

Demikianlah, Allah telah menjadikan harta suatu yang penting dalam hidup manusia maka dengan sebab itulah Allah juga telah menetapkan peraturan mutlak yang mesti diikuti dalam menguruskan harta yang telah dikurniakan-Nya agar digunakan secara betul sesuai dengan ketentuan dan perintah-Nya.

Menerusi sistem faraid ini, Islam menetapkan pembahagian harta dilakukan secara adil. Sekiranya pembahagian faraid diabaikan, dikhuatiri akan berlaku memakan harta anak yatim, memakan harta saudara-mara atau memakan harta Baitulmal.

Perkara yang perlu difikirkan, walaupun telah disediakan mekanisme yang sangat baik dalam perwarisan ini namun masih banyak kes berlakunya pertelingkahan dan perselisihan di kalangan umat Islam kerana merebut harta pusaka dan lebih malang dan amat menyedihkan ada yang menyebut bahawa ALLAH tidak adil dalam menentukan bahagian faraid.

Hargai nikmat keharmonian hidup

Wawancara Utusan bersama Dr. Khadijah Mohd. Khambali @ Hambali

MEGA: Bagaimanakah sejarah toleransi umat Islam kepada penganut lain selama ini?

DR. KHADIJAH: Islam adalah al-din dan tatacara hidup memperkenalkan pelbagai dasar kehidupan dan nilai sejagat demi menjamin kemaslahatan manusia dan alam. Islam juga adalah agama yang sentiasa mengamalkan sifat universal, toleransi dan kasih sayang.

Bibit-bibit dialog dirintis oleh Nabi SAW yang memberi jawapan jitu kepada pertanyaan ornag Najran dan Yahudi berhubung status Nabi Isa; sama ada manusia atau tuhan dan al-Quran sama ada qadim atau hadis (baharu).

Dialog dilihat sebagai asas toleransi kepada penganut agama lain.

Dialog berlaku kerana wujudnya pengiktirafan Islam terhadap bukan Islam. Secara teorinya, Islam mengiktiraf kewujudan agama lain sebagai anutan tetapi bukan sebagai agama yang sahih.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya agama yang benar dan diredai di sisi Allah adalah Islam...(Ali-'Imran: 19)

Praktiknya, Islam memberikan layanan dan hak sama adil kepada bukan Islam yang berada di bawah pemerintahan Islam.

Khalifah Umar juga menunjukkan contoh toleransi agama yang tinggi melalui singkapan sejarah seorang wanita Yahudi mengadu tanahnya diambil untuk didirikan bangunan masjid, maka khalifah mengarahkan bangunan di situ dirobohkan.

Perkembangan yang berlaku di negara kita menyedarkan pentingnya soal menjaga kerukunan hidup pelbagai agama dan kaum. Apa pula toleransi beragama berpaksikan Perlembagaan negara?

DR. KHADIJAH: Selama ini, Malaysia mengamalkan toleransi beragama bersandarkan Artikel 11(1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan setiap orang menganuti dan mengamalkan agama masing-masing.

Pada masa yang sama, terdapat Fasal (4) yang menyebut undang-undang boleh dibuat untuk menyekat atau mengawal pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang yang menganuti Islam.

Kekacauan yang cuba dilakukan oleh pihak tertentu menggambarkan ada segelintir masyarakat yang tidak jujur dan berniat jahat terhadap negara. Mereka juga tidak memahami konsep toleransi beragama.

Soal kebebasan beragama tidak sepatutnya menjadi perbalahan kerana masyarakat majmuk di negara kita tidak pernah mengalami sebarang bentuk penindasan dari sudut perkauman mahu pun keagamaan.

Malah, pengekalan dan pembinaan rumah-rumah ibadat merupakan bukti hubungan antara masyarakat majmuk di Malaysia tetap terpelihara.

Keadaan ini harus dihargai, dipelihara dan dipertahankan bagi memastikan kelangsungan budaya toleransi dapat dihayati oleh generasi baru.

Pengabaian terhadap budaya toleransi beragama mampu mendatangkan bencana kepada negara. Kejahilan menangani perkara ini akan menimbulkan kekeliruan dan salah faham yang mampu mendorong pembinaan 'tembok' tersendiri sekali gus menghalang terjadinya interaksi agama yang akhirnya mengakibatkan persengketaan dan permusuhan.

Apa pula syarat sebelum dialog agama boleh diadakan?

DR. KHADIJAH: Kaedah untuk berdialog perlulah mencontohi Nabi SAW iaitu bersandarkan al-Quran dan hadis. Ia juga telah diamalkan secara berterusan oleh golongan sahabat, tabien dan sarjana Muslim.

Ini juga secara tidak langsung memerlukan kemantapan ilmu terutama berkaitan perbandingan agama. Apabila berdialog dalam bentuk hubungan sosial, maka ilmu yang berkaitan seperti bahasa, sosio budaya dan latar belakang masyarakat perlu dikuasai.

Kedua, tidak boleh ada paksaan ke atas penganutan agama. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dengan kesesatan (kufur)...(al-Baqarah: 256)

Asbab nuzul ayat ini adalah selepas peristiwa hijrah Baginda SAW ke Madinah, golongan Ansar telah memaksa anak-anak merekayang masih lagi Yahudi dan Nasrani memeluk Islam selepas melihat kebaikan yang terkandung dalam Islam. Oleh sebab itu, Allah mewahyukan ayat di atas.

Soal memeluk Islam itu bergantung kepada hidayah Allah. Ia bukan boleh dipaksa. Ini kerana Islam agama yang sahih dan benar dan kebenaran akan pasti terserlah. Namun, dakwah wajar terus berjalan.

Ketiga, pihak yang terlibat dengan dialog wajar berlapang dada dan bersedia untuk bersetuju untuk tidak bersetuju.

Keempat, pendialog wajar orang yang berkepakaran dan berilmu. Penganut Muslim jangan sampai gadai agama Islam. Ada lagi syarat lain dan panjang dibahaskan.

Pun begitu, saya lebih cenderung diadakan dialog antara agama secara tertutup dalam isu ini yang dihadiri oleh pakar dalam bidang berkaitan dari pihak Muslim dan kristian. Sebabnya, dialog itu adalah satu kemahiran insaniah yang wajar dipelajari dan dibudayakan.

Dalam isu ini nampaknya terlalu ramai yang memberi ulasan menyebabkan ada masyarakat yang keliru. Bagaimana mengatasi hal ini?

DR. KHADIJAH: Saya setuju dengan saudara. Dalam kebanyakan isu di negara kita, agak malang apabila pakar dalam bidang tersebut tidak dirujuk. Sebaliknya, pihak lain sama ada orang perseorangan, politik dan tokoh popular yang biasanya memberi pendapat. Akibatnya, masyarakat kita semakin keliru.

Pada saya, jangan bila dah keliru baru nak merujuk isu kepada yang pakar. Sewajarnya, rujuk dahulu kepada pakar kemudian baru mengeluarkan kenyataan.

Kita juga wajar mempunyai hubungan yang baik dengan bukan Islam agar mereka lebih memahami dan menghormati Islam dan penganutnya serta tidak timbul salah faham dalam kalangan bukan Islam terhadap Muslim dan sebaliknya. Tetapi, keadaan kita di Malaysia dulu dan sekarang berbeza.

Kalau zaman saya kecil, tidak ada rasa 'jijik' untuk berkongsi makanan dengan jiran India atau Cina. Sebabnya mereka juga memahami bab halal dan haram makanan untuk disajikan kepada orang Islam atas hubungan baik dan saling memahami agama masing-masing.

Pendek kata, tidak timbul soal diskriminasi etnik.

Sebaliknya, sistem pendidikan anak-anak kini sudah menimbulkan diskriminasi etnik apabila menyebut misalnya Raju ialah budak India dan Ah Chong ialah budak Cina.

Malah, ada umat Islam yang tidak berani ucap Selamat Tahun Baru Cina kepada jirannya kerana bimbang ia menjejaskan akidah. Walhal ucapan kita itu hanya sekadar tanda hormat kepada jiran kita yang menyambut perayaan mereka. Tetapi jangan pula kita turut merayakan dan terlebih merayakannya..

Rasulullah SAW sendiri pernah makan masakan Yahudi dalam sambutan perayaan Yahudi. Memanglah nanti ada yang timbulkan dulu orangnya ahli kitab maka tiada masalah kita makan makanan mereka.

Tetapi kita sedari, masyarakat kita sebenarnya amal double-standard. Sebabnya, ramai yang tak rasa berdosa meneguk arak tetapi ragu apabila nak berkongsi makanan dengan bukan Islam. Bimbang tangannya yang walaupun telah bersih dicuci tetapi teringat dia makan makanan tidak halal akan turut terkena pada diri kita, maka jadi haram.

Ada yang menjadikan hak asasi sebagai modal menegakkan kepentingan agama masing-masing. Sehinggakan adakalanya ia menjejaskan pihak yang lain. Apa pandangan Dr?

DR. KHADIJAH: Dalam mana-mana masyarakat pun, hak asasi dan kebebasan itu ada hadnya. Ia tidak mutlak.

Jika kita amalkan toleransi beragama sekalipun tetapi sehingga menggugat ketenteraman pihak lain, maka perlu ada sekatan. Misalnya, jika dengan membenarkan orang Kristian menggunakan kalimah Allah akan menimbulkan ketidaktenteraman kepada umat Islam, maka ia tidak boleh dibenarkan.

Keharmonian itu hanya boleh dicapai jika hak asasi atau sesuatu perkara itu tidak menjejaskan kepentingan dan hak orang lain.

Pada masa yang sama, Islam melarang umatnya menindas kaum lain dengan jalan yang batil. Ini dijelaskan menerusi surah al-Mumtahanah ayat lapan.

Saturday, January 23, 2010

Diseksa angkara dosa sendiri

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

AL-MARAGHI berkata: Pembicaraan sebelumnya berkisar mengenai galakan agar berjihad dengan cara mengorbankan jiwa pada jalan Allah SWT serta menerangkan keistimewaan yang akan diterima oleh para mujahid, iaitu kedudukan yang mulia di sisi Tuhan mereka di dalam syurga yang penuh kenikmatan.

Iktibar dan fiqh ayat ke-180:

l Mujahid berkata: Maksud ayat ini ialah, orang-orang yang bakhil itu akan dipaksa memikul jenis harta yang dibakhilkannya pada hari kiamat sebagai balasan mereka sehingga tidak berdaya memikulnya.

* Al-Maraghi berkata: Ayat ini bersifat umum kerana ia mengandungi dorongan supaya melakukan pengorbanan harta tanpa batasan jumlah dan waktu yang tertentu.

* Hamka berkata: Ayat ini peringatan keras kepada si bakhil, supaya mengubah cara mereka berfikir.

Allah telah memberinya kurnia, tetapi setelah kurnia itu diterimanya dibolotnya untuk diri sendiri. Dia enggan memberikan sekadarnya untuk orang lain.

* Al-Sonhaji berkata: Allah menurunkan ayat ini supaya seseorang itu suka berjihad dengan mengorbankan hartanya, yang mana rasa sayang terhadap harta itu hampir sama dengan rasa sayang kepada nyawa mereka sendiri.

Lalu diterangkan di sini ancaman-ancaman Allah kepada orang yang lokek atau bakhil terhadap hartanya.

Iktibar dan fiqh ayat ke-181:

l Al-Qurtubi berkata: Allah menyebut kehinaan dan kehodohan ucapan kufur lebih-lebih lagi golongan Yahudi.

* Al-Maraghi berkata: Allah SWT akan menyeksa mereka dengan seksaan yang tidak dapat diragukan lagi sebagai balasan di atas perbuatan tersebut.

Ini kerana dalam proses mencatat dosa dan memelihara catatannya bererti memberikan hukuman (seksa) kepadanya. Pengertian seperti ini berlaku secara umum dari aspek penggunaan bahasa.

* Hamka berkata: kalau misalnya ditanyakan orang kepada mereka: Apa alasanmu berkata demikian? Tentu mereka menjawab: al-Quran sendiri mengatakan! Maka mengancamlah Allah: akan kami tuliskan yang mereka katakan itu. Sebab kata yang demikian adalah sangat jahat kerana menyalah ertikan maksud Allah.

* Al-Sonhaji berkata: Allah telah mengancam iaitu akan menuliskan kata-kata mereka sebagai pendusta dalam 'buku amalan' mereka yang bakal mereka pertanggungjawab di akhirat kelak.

Dan pembunuhan mereka yang tidak berhak terhadap para Nabi yakni peristiwa kekejaman yang dilakukan oleh mereka pada zaman dahulu akan dicatat di dalam buku amalan mereka dan disebabkan mereka reda dan bersetuju dengan kekejaman yang mereka lakukan tersebut.

Iktibar dan fiqh ayat ke-182:

l Ibn Kathir berkata: Apa yang dikatakan kepada mereka itu merupakan teguran, celaan, penghinaan dan ejekan.

* Al-Maraghi berkata: Seksaan yang diberikan kepada mereka kerana perbuatannya sendiri. Allah SWT itu bersifat adil dalam menjatuhkan hukuman dan dalam tindakan-Nya, tidak bersifat derhaka dan tidak pernah berlaku zalim.

Oleh yang demikian, orang yang tidak berhak dihukum, tidak dikenakan hukuman. Orang yang berdosa pula akan dipisahkan dengan orang yang bertakwa.

* Hamka berkata: Jika kamu disuruh merasakan betapa pedihnya seksa pembakaran, terbakar semangat kamu ketika hidup, terbakar di akhirat sesudah mati, janganlah itu kamu sesalkan kepada Allah.

Sebab hukum Allah adalah hukuman yang adil, orang yang tidak bersalah tidaklah akan dianiaya.

* Al-Sonhaji berkata: Adanya seksa kerana adanya amal yang jahat. Ini semata-mata menunjukkan keadilan Allah SWT jua.

Bukanlah bermakna Allah itu zalim, dan menganiaya. Orang yang tidak bersalah tidak boleh dihukum, yang durjana tidak akan diperlakukan seperti orang yang bertakwa dan yang kufur tidak akan dilayan seperti orang yang beriman.

Iktibar dan fiqh ayat ke-183:

l Ibn Kathir berkata: Allah SWT berfirman dalam mendustakan mereka yang menganggap bahawa Allah SWT telah mengambil janji dari mereka dalam kitab-kitab mereka, untuk tidak beriman kepada seorang Rasul pun. Sehingga terjadi mukjizat iaitu jika ada orang dari umatnya yang bersedekah, lalu sedekahnya itu diterima, maka akan turun api dari langit yang menghanguskan sedekah tersebut.

* Ibn Jarir al-Tabari berkata: Apabila salah seorang di antara mereka mengeluarkan sesuatu sedekah, sekiranya sedekah itu diterima Tuhan, nescaya turunlah api dari langit memakan apa yang telah disedekahkannya.

* Ibn Jarir meriwayatkan salah seorang daripada kalangan mereka yang dahulunya sering bersedekah, tetapi apabila sedekah itu diterima, maka turunlah api dari langit kepadanya, kemudian memakan barang yang disedekahkan itu.

* Mufassir al-Kalby berkata: Beberapa yahudi datang menemui Rasulullah SAW. Mereka itu ialah Ka'ab bin al-Asyaraf dan yang lainnya mereka berkata kepada Nabi Muhammad SAW: Engkau mengakui dirimu menjadi rasul dan membawa kitab. Sedangkan di dalam kitab Taurat ada menyebut, bahawa kami tidak boleh terus beriman kepada seseorang yang mengakui sebagai nabi, sebelum dia datang kepada kami dengan suatu korban yang kemudiannya dimakan api.

Iktibar dan fiqh ayat ke-184:

l Al-Qurtubi berkata: Kitab-kitab yang dipanggil sebagai Zubur atau Zabur sebenarnya bermaksud dengan kitab. Antara maksudnya juga satu tegahan dan ancaman.

* Al-Maraghi berkata: Ayat ini memberi hiburan kepada Rasulullah SAW dan menerangkan bahawa pada setiap zaman, tabiat manusia adalah sama sahaja.

Ada yang mahu menerima kebenaran dan mahu menyambutnya dengan dada yang lapang, hati yang tenang dan ada pula yang menunjukkan sikap melawan kebenaran, memusuhi pembawanya dan menganggap bodoh orang yang mahu menerima kebenaran.

* Hamka berkata: ini adalah kata tasliyah, pujuk penawar hati Nabi SAW daripada Allah.

Segala tentangan, sanggahan atau meminta mukjizat api putih menelan korban, atau meminta dihidupkan kembali korban bakaran Bani Israel iaitu korban dibakar bukan dibahagi dagingnya, atau hal-hal yang mereka kemukakan, sudah terang kerana kufur saja.

* Al-Sonhaji berkata: Ayat ini adalah hiburan dari Allah kepada nabi-Nya kerana di dalamnya diterangkan tabiat dan pekerti manusia sepanjang zaman.

Di antara mereka itu ada yang mahu menerima perkara yang hak dan benar seperti yang dibawakan oleh para rasul tersebut. Diterima dengan dada terbuka dan berlapang dada. Dan ada pula di antara mereka yang membangkang dan menentang kebenaran itu serta menghalang orang yang memperjuangkannya.

Ayat-ayat dibincangkan di atas jelas menunjukkan perlunya kita menjadi hamba Allah dan tidak terpesong sebagaimana golongan Yahudi yang sanggup membunuh para nabi mereka di samping mendustakan rasul dan nabi.

Perjalanan Nabi Muhammad melewati lembah berbatu

PADA ada suatu hari, Rasulullah dan para pengikutnya telah bermusafir untuk menghadapi Perang Tabuk. Sebelum meneruskan perjalanan, mereka singgah di suatu tempat untuk beristirehat.

Sambil beristirehat, para sahabat berjalan-jalan menuju ke satu longgokan batu-batan. Batu-batan itu adalah kesan peninggalan kaum Tsamud pada zaman Nabi Saleh.

Ketika melalui kawasan tersebut, mereka menjumpai beberapa buah perigi. Perigi-perigi itu pernah digunakan oleh kaum Tsamud sebagai sumber minuman dan ternakan mereka.

Lalu para sahabat mengambil air dari perigi itu untuk menghilangkan dahaga. Mereka juga menggunakan air tersebut untuk mengadun roti.

Apabila Rasulullah mengetahui tentang perkara tersebut, baginda melarang mereka menggunakan air itu. Baginda juga menyuruh para sahabat supaya membuang adunan roti itu untuk dijadikan makanan unta.

Kemudian Rasulullah mengajak pengikutnya berpindah ke perigi yang pernah digunakan oleh unta Nabi Saleh. Walau bagaimanapun, baginda melarang mereka memasuki wilayah kaum Tsamud yang telah diazab oleh Allah suatu ketika dahulu.

Baginda bersabda, "Aku khuatir kalau kamu akan ditimpa azab seperti yang pernah menimpa kaum Tsamud. Oleh itu janganlah kamu masuk ke wilayah mereka".

Baginda juga bersabda, "Jangan kamu menjejakkan kaki ke tempat orang-orang yang pernah diseksa, kecuali kamu menangis. Sekiranya kamu tidak boleh menangis, jangan sekali-kali kamu menjejakkan kaki ke sana jika tidak ingin ditimpa bencana seperti yang mereka alami".

Lalu baginda menyeru pengikut-pengikutnya supaya mengerjakan solat berjemaah.

"Kami berasa takjub dengan mereka, wahai Rasulullah," kata salah seorang sahabat apabila mereka melihat kawasan tersebut.

Lalu Rasulullah pun berkata, "Kamu mahu aku tunjukkan sesuatu yang lebih mengagumkan daripada itu?

Perkara itu ialah apabila salah seorang daripada kamu menyampaikan berita kepada kamu tentang peristiwa yang terjadi sebelum dan selepas kamu. Oleh itu, luruskan dirimu dan rapatkan barisanmu nescaya kamu tidak akan diazab walau sedikitpun kelak".

Pengikut-pengikut Rasulullah akur dengan arahan baginda dan mereka mengerjakan solat berjemaah bersama baginda.

Ada sesetengah riwayat menerangkan ketika Rasulullah melintasi kawasan tersebut, baginda menundukkan kepala dan mempercepatkan langkahnya. Ini untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang bencana.

Bagaimana online dengan Tuhan

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

Tajuk Buku: Online Dengan Tuhan - Berhubung Dengan Tuhan Melalui Talian Tanpa Wayar
Penulis: Zulkifli Khair
Penerbit: PTS Islamika Sdn. Bhd.
Halaman: 114 muka surat
Harga: RM13.00

AKIBAT laju mengetuk papan kekunci, maka kesilapan ejaan sering terjadi. Pada mulanya kita hendak mengakses "Online" (Utusan Online misalnya) yang terjadi: "Onlie", sedang menipu!

Justeru tajuk ini buku terus memberikan sedikit tamparan; jangan sesekali "onlie" ketika ber -'online' dengan tuhan, tuhan tidak bisa dibohongi, berterus terang sahaja malah sebenarnya tuhan lebih tahu apa yang terjadi!

Penulis buku ini merupakan pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang juga merupakan seorang jurulatih sambilan penulisan kreatif.

Mungkin nama beliau kurang dikenali selain pernah juga menghasilkan buku, 501 Soal Jawab Tentang Haji dan Umrah dan Yang OK dan KO Dalam Ibadah Haji bersama PTS.

Namun beliau mempunyai pendekatan penulis yang ternyata berbeza namun sangat menarik.

Tanpa perlu ulasan dan hujahan fakta yang panjang lebar, seolah-olah menyedari bahawa pembaca hari ini sudah tidak mempunyai masa untuk itu semua. Kecuali mahukan bacaan yang santai dan straight to the point maka buku ini sangat memenuhi cita rasa itu.

Jika secara mudahnya online dengan Tuhan itu boleh dimaknakan sebagai satu kaedah komunikasi antara seorang hamba dengan Maha Pencipta tanpa sebarang halangan, tanpa perantaraan, tanpa wakil; sangat bersemuka antara satu sama lain.

Walaupun ada yang menyifatkan hubungan atau komunikasi dengan tuhan itu bersifat komunikasi sepihak (sehala) namun yang jelas secanggih manapun ciptaan manusia untuk berkomunikasi dengan segala macam peralatan dan teknologi tetapi sedarilah sejak zaman nabi Adam, online bersama tuhan itu telah berlaku sehingga tiada titik tamatnya.

Zulkifli berjaya membuka satu ruang lingkup yang luas, yang tidak tertumpu kepada kupasan hubungan tersebut tetapi beliau kaitkan dengan pelbagai situasi dan fenomena. Dari topik wahyu (tanpa wayar), Al-Quran merupakan browser, bukan semua yahudi adalah jahat, kejahatan zionis melancarkan perang siber, apa yang patut diterima (accept) dan patut ditolak (delete), blog dan laman web yang mengeratkan lagu hubungan manusia dan tuhannya sehinggalah klik connect untuk cinta. Iaitu terdapat 33 bab yang kesemua mempunyai huraian dalam bahasa yang naratif, mudah dan penuh dengan motivasi. Di tambah lagi dengan pelbagai kutipan kata-kata dan kotak-kotak fakta menjadikan keseluruhan buku ini sangat menarik dan begitu meninggalkan kesan kepada pembaca!

Sementelah dengan harga yang sangat kompetitif murah, berbanding apa yang anda bakal peroleh, maka penulis ini bukanlah seorang yang hendak meraih untung.

"Sembahyang dan doa adalah contoh komunikasi dengan tuhan tanpa wayar, malah jauh lebih hebat berbanding jalur lebar (broadband). Manusia tidak perlu mempunyai modem dan router serta tidak perlu membayar bil untuk berkomunikasi dengan tuhan.

"Hanya dengan mendirikan sembahyang dan memanjatkan doa di mana sahaja di muka bumi ini, kita dapat berhubung terus dengan Tuhan," (M/S 80)

Walaupun ada menyifatkan komunikasi yang berlaku merupakan sehala (one way communication) iaitu kononnya tidak mendapat sebarang tindak balas dan jawapan daripada tuhan secara mutlak namun saya percaya keberadaan Allah itu dapat kita rasakan berada di sisi dan itu sudah cukup bermakna kepada seorang hamba-NYA.

Tidak sahaja percaya bahawa Allah sedia mendengarkan, namun yang jelas Allah tidak akan pernah jemu, berbanding andai kita berkomunikasi dengan manusia!

Friday, January 22, 2010

Sambut hari lahir: Ganti lagu dengan doa

SOALAN:

APAKAH hukum sambutan hari lahir dengan menyediakan kek serta lilin dan diiringi lagu happy birthday to you. Ada yang mengatakan kek yang diletakkan lilin itu sebagai simbolik orang kafir memecahbelahkan Islam ketika zaman dahulu.

Bagaimana pula sambutan yang dibenarkan oleh Islam?

JAWAPAN:

Kita sering diingatkan supaya tidak menyerupai sesuatu kaum, seperti mana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia dikira dari kaum tersebut". (riwayat Abu Daud, no: 4031, Ibn Hibban, no: 437, Al-Haithamiy, Majma' al-Zawaid, jld: 10, hlm: 274).

Maksudnya kita ditegah supaya tidak menyerupai mana-mana kaum yang jelas ingkar kepada Allah SWT.

Kalau dilihat sepintas acara sambutan hari jadi tidaklah menggambarkan apa-apa. Namun banyak yang diceritakan bahawa memotong kek dengan meniup lilin adalah sambutan golongan bangsa yahudi atas kemenangan mereka ke atas umat Islam.

Apa yang dikhabarkan ialah kek itu umpama dunia Islam dan lilin itu cahaya Islam. Lalu ditiup lilin menandakan mematikan cahaya Islam dan memotong kek maksudnya membahagi-bahagikan taklukan yahudi atas negara-negara Islam.

Saya kira semacam ada dongengnya. Alasan saya, cahaya lilin tiada kena mengena dengan cahaya Islam, cahaya Islam adalah Nur yang tidak boleh dipadam oleh sesiapa pun, kerana ia bukan cahaya hakiki (cahaya sebenar seperti cahaya lampu) tetapi cahaya maknawi (yang diumpamakan tetapi tidak sama).

Umat yang beragama Islam tahu bahawa bangsa Yahudi tidak pernah rasa tenang dan reda atas orang Islam, kerena mereka benar-benar inginkan umat Islam terpedaya atas segala ajakan mereka dalam segenap kehidupan manusia. Ini termasuklah mempengaruhi umat Islam supaya meniru mereka.

Allah SWT yang mengutus Rasul-Nya Muhammad saw telah berfirman yang bermaksud: Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. (al-Baqarah: 120)

Allah SWT memaklumkan dan memberi peringatan agar umat Islam berhati-hati atas segala tindak tanduk kaum Yahudi yang sentiasa merancang jahat atas kemusnahan agama Islam. Adapun cahaya Islam tiada kaitannya dengan cahaya lilin, kalau dipadamkan cahaya lilin dengan meniup tidak bermaksud terpadam cahaya Islam.

Allah berjanji akan menjaga cahaya Islam, biarpun golongan yang memusuhi Islam cuba memadamnya, firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang kafir tidak suka (akan yang demikian). (al-Saf: 8)

Cahaya Allah dalam ayat ini bermakna Islam yang sedang berkembang dan akan terus berkembang biarpun ada usaha untuk memadamnya (menghentikan).

Menerusi kedua-dua ayat yang di atas dapat disimpulkan bahawa meniup lilin dan memotong kek tidak seperti yang dimomok-momokkan oleh segelintir penulis.

Mungkin cara berfikir sesetengah dari kita yang tidak analis sesuatu cerita dari sudut latar belakangnya, lalu mudah menerima perkhabaran yang belum tentu kesahannya. Apa-apa pun setiap amalan kita bergantung kepada niat.

Budaya potong kek diterima dan diislamisasi dengan tujahan nilai-nilai Islam. Justeru, bagi mereka yang ingin menyambut hari jadi setelah dia memotong kek adalah lebih baik kalau disertai dengan bacaan doa selamat.

Adapun nyanyian iringan happy birthday to you ditukar kepada "Allah selamatkan kamu". Seperkara yang perlu diingat ialah tiada acara melalaikan.

Oleh yang demikian, iringan doa adalah lebih utama kerana majlis itu disambut dengan kegembiraan dengan peningkatan usia yang dikekalkan kesihatan dan keafiatan.

Walaupun demikian, tokoh dan sarjana Islam, Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi, menganggap bahawa menyambut hari lahir adalah suatu yang kurang tepat kerana kenapa harus disambut usia yang kian meningkat tua.

Sambutan yang dibenarkan oleh Islam adalah, dengan mengadakan majlis kesyukuran, dengan mengajak orang makan dan lain-lain amalan kebajikan yang lain, dan tiada aktiviti-aktiviti maksiat dalamnya.

"Air mata bukan kawan saya"

Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID
www.hamizul.com

melalui bantuan Lembaga Zakat Selangor, Faradillah Ismail kini menikmati kehidupan yang lebih baik malah kini sudah mampu membayar zakat.

JANGAN sombong dengan orang. Sebaliknya, berbuat baiklah sesama manusia. Bagi saya, hidup jangan suka memberi alasan juga jangan cepat melatah. Air mata, bukanlah kawan bagi saya."

Demikianlah tegasnya suara hati yang dilafazkan dengan lancar dan terang oleh Faradillah Ismail, 38, ibu tunggal beranak tiga yang bakal mengisi ruangan Jejak Asnaf pada kali ini.

Berasal dari Melaka, kehidupan beliau asalnya bahagia bersuamikan seorang Pegawai Waran dalam pasukan tentera. Namun, musibah datang tanpa diundang.

Kehadiran manusia ketiga menggoncang keharmonian rumahtangga. Lalu, bahtera pecah di tengah lautan dan masing-masing membawa haluan.

Bermula tahun 2001, beliau sah sebagai ibu tunggal menggalas amanah bersama tiga cahaya mata yang menggantung seribu harapan.

"Alhamdulillah, anak-anak saya memahami tanggungjawab saya sebagai ibu. Mereka tidak menghampakan saya bahkan tidak lokek membantu saya dalam berjualan."

Anak-anak Faradillah iaitu yang pertama, Mohd. Riduan Anuar, 19 kini belajar di British Malaysia Institute, Gombak; kedua Siti Nur Syafiqah, 14 belajar di Sekolah Menengah Taman Selayang dan anak bongsu, Mohd. Aiman Iskandar, 9, dimasukkan ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Khew Bin, di Batu Caves, Selangor.

Saya cuba mengusik andai ada kesengsaraan hidupnya selepas berpisah dengan suami yang boleh dikongsi.

Namun, Faradillah seakan enggan kembali mengenangnya melainkan untuk dijadikan sebagai pedoman digagahkan juga.

"Selepas bercerai, kehidupan kami anak-beranak memang menderita sekali ustaz. Maaflah, bekas suami saya tidak banyak membantu.

"Bayangkan dengan tiga anak yang sedang membesar, memerlukan susu dan biaya persekolahan, semuanya tergalas dibahu. Saya mencuba bekerja di kilang; namun tidak mampu bertahan. Kemudian, saya menjual nasi lemak, dapatlah untung RM20 sehari.

"Lebih malang, saya pernah ditipu oleh kawan sendiri, hangus modal saya RM3,000 buat membuka kedai basuh kereta. Kami anak-beranak juga pernah dihalau oleh anak tuan rumah kerana tidak mampu membayar sewa; lalu merempatlah kami di kawasan setinggan, tinggal di rumah yang bocor di sana-sini. Bahkan pernah saya berbuka puasa hanya dengan ikan bilis dan bawang sahaja.

"Namun, saya tidak pernah walaupun sekali meminta-minta dengan sesiapa pun. Susah-senang biarlah saya tanggung dan harung sendiri. Apa yang tinggal pada saya kala itu, hanyalah sedikit barangan perhiasan yang akhirnya saya gadai buat dijadikan modal bagi meneruskan kehidupan."

Maka benarlah fikir saya, bahawa golongan miskin itu memang ada yang enggan meminta-minta dan sesungguhnya, mereka inilah yang lebih layak untuk dibantu dengan wang zakat.

Sabda Rasulullah SAW: "Orang fakir miskin (yang sangat menderita) bukanlah orang yang (menadah tangan) meminta- minta ke sana ke mari kepada orang ramai, yang apabila ia mendapat sesuap atau dua suap makanan, atau mendapat sebiji atau dua biji buah kurma - ia akan pergi ke tempat lain meminta lagi. Sebenarnya orang fakir miskin (yang sangat-sangat menderita) itu ialah orang yang tidak mempunyai sesuatu yang mencukupi sara hidupnya. Dan dia pula malu hendak meminta bantuan kepada orang ramai, dan orang ramai pula tidak mengetahui keadaan penderitaannya untuk diberi bantuan (orang inilah yang sebenarnya layak diberi zakat)". (riwayat Ahmad).

air mata

Lalu, saya terus menantikan bicara daripada beliau. Daripada riak wajahnya, jelas beliau memang jenis orang yang tidak suka menyerah kepada nasib. Benarlah katanya, air mata bukanlah teman baginya.

"Entah bagaimana saya terdorong mencuba nasib menjual goreng pisang. Alhamdulillah, berkat menjual goreng pisang inilah, rezeki saya makin baik. Dapatlah saya memenuhi beberapa keperluan keluarga, khususnya anak-anak yang kian meningkat".

Saya mencungkil lagi, apakah cabaran dalam menjalankan perniagaan. Maklumlah, kehidupan di pinggir bandar besar memang terdedah kepada pelbagai kerenah manusianya.

"Sebenarnya, saya amat berharap mendapat lesen perniagaan daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kerana tempat saya berniaga ini sudah masuk ke dalam kawasan DBKL. Jika Majlis Perbandaran Selayang (MPS), memang senang dan saya sudah pun diberikan lesen berniaga dengan lori.

"Tetapi oleh kerana Kuala Lumpur (KL) dan Selayang ini bersempadan, maka kebetulan tapak saya berniaga ini sudah pun memasuki KL, maka saya memerlukan lesen DBKL pula." Beliau turut menunjukkan longkang yang agak besar di belakangnya yang menjadi sempadan di antara kawasan pentadbiran MPS dan DBKL.

"Sudah banyak kali pihak DBKL datang berjumpa saya bahkan beberapa kali dahulu, habis barang-barang di gerai ini mereka angkut. Apa saya nak buat, saya berniaga tanpa lesen. Tapi ustaz, agak susah juga sebenarnya untuk mendapatkan lesen daripada DBKL." Tegasnya lagi.

Sejak dimasukkan sebagai asnaf zakat di bawah Lembaga Zakat Selangor (MAIS), Faradillah diberi beberapa jenis bantuan. Antaranya bantuan untuk pendidikan anak-anak, menyambut Ramadan dan Aidilfitri dan juga bantuan modal perniagaan sebanyak RM5,000.

Namun, bantuan bulanan telah pun diberhentikan bermula Januari 2010 ini, memandangkan pendapatan beliau menerusi jualan goreng pisang dan kuih-muih sudah pun melepasi keperluan asasinya. Bahkan Faradillah juga berazam mengeluarkan zakat pendapatannya tidak lama lagi.

"Saya mengalungkan ucapan terima kasih kepada pembayar zakat dan saya juga mahu berpesan kepada kaum wanita, sama ada bersuami atau tidak, bukanlah alasan yang menggalang kemajuan diri kita.

"Buat anak-anak, ingatlah kepedihan hidup yang telah dilalui dan jadikan kejayaan orang lain sebagai cerminan. Insya-Allah, kita juga boleh berjaya satu masa nanti".

Cabaran mengurus masyarakat majmuk

Oleh DR. ZULKIPLE AB. GHANI

Menghargai perbezaan adalah satu kebijaksanaan dan bijak menguruskannya adalah satu keperluan. - Gambar hiasan

KENAPA kita memasuki gerbang 'konflik' terhadap penggunaan kalimah Allah? Jika ia tidak diurus dengan baik, ia boleh merosakkan keamanan dan persaudaraan yang kita nikmati selama ini.

'Kita hidup bersama tapi tidak bersatu'. Itulah ungkapan yang boleh menjelaskan bagaimana cabaran mengurus sebuah komuniti masyarakat majmuk seperti di negara kita.

Bagi sebahagian penulis, masyarakat majmuk ialah satu keadaan di mana kaum-kaum yang tinggal di dalam satu negara itu saling bercampur tetapi tidak bersatu. Ini bermakna mereka saling bercampur dalam urusan seharian tetapi tidak bersatu dalam konteks kebudayaan batin.

Dalam urusan jual beli, bekerja dalam satu pejabat, belajar dalam satu sekolah, tinggal dalam wad yang sama di hospital dan sebagainya mereka saling bercampur.

Bagaimanapun aspek-aspek yang melibatkan persoalan kebudayaan batin seperti kepercayaan dan amalan-amalan agama, tidak berlaku percampuran dan masing-masing akan menentukan corak dan haluan sendiri.

Hal ini berlaku di negara kita dan juga dalam masyarakat lain. Walaupun kita hidup harmoni dan saling percaya mempercayai di bawah naungan politik yang sama, namun kita masih tetap berbeza dalam kepercayaan dan amalan batin.

Satu fitrah

Itulah hakikat manusia yang dijadikan oleh Allah. Dalam ajaran Islam, masyarakat majmuk bukan suatu fenomena yang asing malah ia adalah satu fitrah yang dijadikan oleh Allah.

Fitrah atau tabii adalah hakikat yang perlu diterima oleh kita sebagai manusia. Ini supaya manusia saling kenal-mengenali dan hasilnya akan wujud usaha-usaha untuk memuliakan insan.

Dalam konteks ini Allah berfirman yang maksudnya: Wahai manusia, sesungguhnya Kami mencipta kamu dari lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendengar. (al-Quran 49: 13)

Kita perlu menerima hakikat manusia yang mendiami muka bumi ini memang dicipta oleh Allah dengan kepelbagaian latar belakang, warna kulit, bahasa, agama, cita rasa dan tingkah laku.

Semua perbezaan yang wujud, mengikut perspektif Islam, boleh disatukan dan diharmonikan dengan mewujudkan ketakwaan kepada Allah sebagai Pencipta.

Islam meraikan perbezaan-perbezaan budaya luaran tetapi cukup tegas pada prinsip-prinsip ajaran Islam.

Contohnya Islam tidak menentukan fesyen berpakaian dan terpulang kepada kesesuaian cuaca dan cita rasa sesuatu kaum, tetapi Islam menentukan prinsip-prinsip berpakaian seperti mesti menutup aurat dengan had-had tertentu bagi lelaki dan wanita.

Ketegasan ini diungkapkan oleh al-Quran: Bagi kamu agama kamu dan bagi ku agamaku. (al-Kafiruun: 6).

Dr. Chandra Muzaffar (1996) dalam tulisannya berhubung dengan sikap akomodatif dan penerimaan komuniti non-Muslim dalam arena politik Malaysia membincangkan panjang lebar bagaimana agama Islam telah memainkan peranan penting mewujudkan sikap toleransi tinggi di negara kita.

Sehingga kini negara kita Malaysia telah mempamerkan kepada dunia bahawa masyarakat majmuk boleh hidup bersama secara harmoni. Sikap toleran yang dianjur dalam ajaran Islam dimanifestasi oleh orang-orang Islam di Malaysia sehingga kata Dr. Chandra: "... as a people, Malays often evince certain attitudes associated with aspects of Quranic universalism: One should not be unjust to non-Malays and non-Muslims, one should recognise that they are human beings."

Kejayaan Malaysia mempertahankan keharmonian pelbagai kaum banyak bergantung kepada suntikan ajaran Islam yang memberi jawapan untuk hidup harmoni di kalangan pelbagai kaum.

Persoalan mengurus masyarakat majmuk terletak kepada perkataan lita'arafu (supaya kamu mengetahui dan mengenali) seperti yang disebutkan oleh Allah dalam al-Quran.

'Mengetahui' kepercayaan batin yang dipegang oleh pelbagai agama adalah keperluan asas, lebih-lebih lagi kepada para pemimpin masyarakat. Ini kerana mereka mempunyai pengikut, mereka menjadi pemimpin pendapat dan mereka juga adalah antara orang yang terlibat dalam pembuatan dan pelaksanaan polisi pentadbiran negara.

Persoalannya, sejauh mana aspek 'mengetahui' ini dikuasai oleh para pemimpin. Apakah mereka melalui latihan-latihan formal untuk mengetahui aspek kepercayaan batin ini? Dari mana mereka sepatutnya mengetahui perkara-perkara penting sebegini?

Persoalan-persoalan sebegini menuntut kita untuk melihat secara objektif dalam usaha membina negara menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang tahun 2020.

Kita tentu tidak ingin melihat isu-isu kesilapan mengurus masyarakat majmuk menjadi penghalang kepada hasrat murni negara tersebut.

Isu sensitif kepada orang Melayu perlu difahami oleh rakan-rakan daripada bangsa lain. Begitu juga orang-orang Melayu perlu memahami isu-isu sensitif bangsa-bangsa lain.

Islam begitu tegas apabila timbul persoalan paksaan dalam beragama. "Tidak ada paksaan dalam agama", tegas al-Quran (al-Baqarah: 256).

Islam adalah agama yang menekankan kepada keamanan dan kesejahteraan. Islam menekankan tentang pengetahuan dan Islam berdiri di atas hujah-hujah yang boleh diterima oleh nilai akal yang tinggi.

Emosi perlu diimbangi oleh hujah melalui akal dan kebenaran wahyu. Justeru, dalam mengharungi apa-apa konflik yang boleh merosakkan objektif keamanan dan keharmonian, Islam bertegas supaya keamanan dan keharmonian masyarakat awam diutamakan.

Kepercayaan batin berkait rapat dengan amal ibadat. Jika dilihat kepada rumah-rumah ibadat, ia menjadi cukup eksklusif dan untuk 'ahli' sahaja dengan tembok-tembok pagar yang tinggi. Apa yang berlaku di dalamnya tidak diketahui oleh orang yang bukan 'ahli'.

Asasnya masjid dalam ajaran Islam adalah tempat sujud, tempat menunaikan solat. Namun, ia tidak terhad kepada ibadat ritual itu.

Pada zaman Rasulullah SAW, baginda pernah menerima wakil Kristian dari Najran di masjid. Al-Bukhari juga meriwayatkan dalam sahihnya bagaimana Thamamah ibn Athal yang belum Islam ketika itu masuk ke masjid.

Amalan ini diteruskan termasuk oleh Masjid Negara dan Masjid Putra di negara kita ketika ini. Orang bukan Islam dialu-alukan memasuki masjid dengan menjaga adab-adab tertentu dan mengetahui bagaimana orang-orang Islam beribadat serta dibenarkan berbincang dan membandingkan dengan amalan-amalan mereka.

Soal kepercayaan batin seperti soal halal haram makanan adalah perkara sensitif. Kita boleh bayangkan bagaimana kita telah bersama sehari suntuk bekerja dan tidak menghadapi sebarang masalah dalam apa sahaja urusan berkaitan profesion.

Namun, bila tiba waktu makan atau waktu sembahyang, ia menjadi cukup sensitif kepada rakan-rakan daripada agama tertentu.

Bagi orang Islam, makanan dan minuman halal adalah perkara pokok yang tidak boleh dikompromi. Tidak berkompromi tidak bermaksud tidak bersatu dan ia juga bagi orang yang mengetahui bukanlah satu masalah.

Ia perlu diurus dan diselesaikan secara yang cukup mudah. Menghargai perbezaan adalah satu kebijaksanaan dan bijak menguruskannya adalah satu keperluan.

Justeru, tanggungjawab mengurus masyarakat majmuk yang pelbagai seperti di negara kita terletak khususnya kepada pemimpin masyarakat di pelbagai peringkat. Pun begitu, para pengikut juga tidak terlepas daripada tanggungjawab untuk 'mengetahui'.

Mekanisme 'mengetahui' ini perlu diperluas supaya wujud keikhlasan untuk saling bertoleransi dalam ruang lingkup beragama yang cukup luas dan saling menghormati kepercayaan batin yang dimiliki oleh setiap agama.

Dana Amanah salah satu cabang pelaburan

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

PENGHASILAN Harta (Wealth Creation) merupakan langkah permulaan interaksi seseorang itu dengan harta. Harta boleh dihasil dan dikembangkan menerusi pelbagai kaedah; antaranya menerusi kaedah pelaburan.

Hakikat dalam kehidupan ini, harta perlu dicari dan tidak hanya pasrah pada qadak dan qadar seperti dalam surah al-Juma'ah ayat 10 yang bermaksud: Maka apabila telah ditunaikan sembahyang, bertebaranlah kamu dimuka bumi dan carilah kurnia (rezeki) Allah dan ingatlah akan Allah sebanyak-banyaknya, mudah-mudahan kamu menang.

Justeru, harta yang dimiliki tidak wajar disimpan begitu saja tanpa mengembangkannya. Malah Islam melarang membekukannya agar manfaatnya dapat dirasai oleh ramai orang sebagaimana firman Allah dalam surah al-Hasyar ayat 7 yang bermaksud: Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah dan bagi kaum kerabat (Rasulullah) dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).

Naluri untuk memiliki kekayaan ada pada setiap manusia. Manusia akan sentiasa berfikir mencari jalan bagaimana untuk membaiki kehidupannya.

Maka tidak hairan jika hari ini kita dihidangkan dengan pelbagai kaedah untuk mengumpul kekayaan dengan pelbagai nama atau label.

Pelbagai pendekatan digunakan termasuklah unsur-unsur Islam bagi menarik masyarakat menyertai skim atau pelan pelaburan yang ditawarkan.

Sebagaimana yang diketahui umum, di negara kita ini ada badan atau institusi seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan juga Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang mengawalselia aktiviti berkaitan kewangan agar kepentingan masyarakat terjamin dan tiada yang mengambil kesempatan.

Masyarakat perlu bijaksana dan memiliki ilmu-ilmu asas berkaitan kewangan ini agar langkah perlu dapat diambil sebelum membuat sebarang komitmen khususnya yang berkaitan dengan kewangan.

Alhamdulillah, kita cukup bertuah berada di negara yang mempunyai kerangka perundangan berkaitan kewangan yang sangat kondusif di mana masyarakat tidak perlu ragu atau takut menyertai skim atau pelan pelaburan yang ditawarkan oleh institusi kewangan yang sah, hak dan kemaslahatan mereka terjamin.

memberangsangkan

Di antara kaedah pelaburan yang ada dan popular di dalam industri kewangan negara adalah Unit Saham Amanah.

Adalah sangat memberangsangkan bahawa industri unit amanah negara kita bernilai berbilion ringgit dan terbuka luas kepada semua lapisan masyarakat untuk diterokai.

Mengikut satu sumber yang dikeluarkan pada tahun 2008 dalam tempoh 15 tahun sejak 1992, jumlah aset yang diuruskan oleh syarikat unit amanah berkembang dari RM400 juta ke RM71,005 bilion.

Menurut SC, pada Disember 2007, industri unit amanah Malaysia berkembang 15.32 peratus dalam pasaran ekuiti berbanding 6.4 peratus pada tahun 1992.

Perkembangan ini menggambarkan bahawa peluang terbuka luas kepada semua lapisan masyarakat untuk menjana pendapatan menerusi kaedah pelaburan yang sah dan terjamin.

Dari sudut sejarah pelaburan menerusi unit amanah ini pertama kali dilancarkan di United Kingdom pada tahun 1931 oleh M&G. Di Malaysia, ia bermula dengan pembentukan Malayan Unit Trust Ltd. pada tahun 1959.

Unit amanah ini adalah satu bentuk pelaburan kolektif, di mana modal para pelabur dikumpulkan ke dalam satu dana untuk diuruskan oleh pengurus dana profesional.

Dana tersebut akan dilaburkan di dalam pelbagai portfolio ekuiti, sekuriti pendapatan tetap dan aset-aset lain yang dibenarkan oleh surat ikatan di samping Garis Panduan SC ke atas Dana Unit Amanah.

Unit amanah membabitkan penglibatan tiga pihak iaitu Pemegang Unit/Pelabur yang melabur dalam sesuatu dana amanah, Pemegang Amanah yang bertindak sebagai badan bebas dan penjaga aset yang dilabur dan Syarikat Pengurusan yang menyediakan kepakaran teknikal untuk menguruskan dana berkenaan.

Melabur dalam unit amanah adalah satu cara terbaik dan ideal mendapatkan pulangan yang baik dalam jangka sederhana dan panjang berbanding simpanan tunai atau simpanan tetap.

Di samping itu, risikonya juga kurang berbanding melabur terus dalam saham atau bon, yang mana hanya boleh diperoleh melalui kepelbagaian portfolio yang benar-benar baik.

Di antara kelebihan melabur dalam unit amanah adalah pelaburan di dalam dana unit amanah diurus selia oleh pengurus dana profesional, berpeluang melebarkan portfolio pelaburan, transaksi yang mudah, kurang berisiko, boleh mencairkan unit-unit pada bila-bila masa dan potensi pertumbuhan modal yang lebih tinggi berbanding simpanan di bank-bank.

Umat Islam di negara ini tidak perlu risau kerana industri unit amanah negara sama dengan industri kewangan yang lain di mana unit amanah Islam telah ada dan semakin berkembang.

Kita semua faham bahawa Islam menyuruh agar harta dikembang atau dilaburkan. Namun kita perlu meletakkan matlamat untuk mendapatkan keredaan Allah SWT dengan memastikan aktiviti pelaburan itu menepati hukum syarak yang berasaskan kepada al-Quran, al-sunnah, ijmak, qiyas dan ijtihad.

Firman Allah dalam surah an-Nisa' ayat 26, maksudnya: Hai orang - orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu.

Justeru, pelaburan yang diterima dan sah di sisi Islam adalah pelaburan yang menepati prinsip pelaburan daripada perspektif Islam. Unit amanah Islam dari sudut mekanismenya adalah sama dengan unit amanah konvensional, cuma berbeza dari beberapa sudut antaranya dari sudut kontrak Syariah yang diaplikasikan. Ia jelas serta telus dan juga dari sudut pelaburan, ia dilaburkan dalam pelbagai portfolio yang mematuhi syariah. Sekuriti yang patuh Syariah adalah sumber pelaburan utama unit amanah Islam.

Industri unit amanah ini bukan sahaja menawarkan peluang pelaburan kepada masyarakat untuk menambah pendapatan tetapi turut menawarkan peluang pekerjaan di mana mereka yang layak boleh menjadi ejen unit amanah ini sama ada sepenuh masa mahupun separuh masa.

Kerjaya sebagai Perunding Unit Amanah sangat menarik dan kompetitif serta mampu memberikan peluang pendapatan berterusan yang sangat menggalakkan. Kerjaya ini menjanjikan peluang yang cukup luas untuk seseorang mendapat pendapatan seberapa banyak yang diingini kerana apa yang diperoleh adalah bergantung pada keinginan diri sendiri.

Islam menuntut agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh untuk membangun dan membina kehidupan yang bahagia dan harmoni. Firman Allah ayat Hud: 61 yang bermaksud: Dia yang menghidupkan kamu di muka bumi ini dan memerintahkan supaya kamu membangun dan membina kehidupan yang harmoni di atasnya.

Islam juga menyeru agar menjadikan kehidupan ini dapat memberi manfaat kepada orang lain sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sebaik-baik kamu adalah yang paling banyak memberi manfaat".

Namun, dalam keghairahan mengejar kekayaan jangan mudah terpedaya dengan janji-janji manis yang menawarkan keuntungan berlipat ganda menerusi pelbagai kaedah kreatif yang menggunakan nama-nama seolah-oleh ia satu pelaburan secara Islam, takut nanti bukan laba yang diraih tetapi bala yang datang!