Like Blog Ini...

Saturday, February 27, 2010

Umat Islam bersifat dinamik

Oleh zin mahmud

Umat Islam pada zaman Rasulullah SAW jelas bersatu. Dengan Nabi Muhammad SAW menjadi pemimpin, tentunya menjadi umat Islam lebih mudah kerana patuh saja kepada Rasulullah SAW.

Namun begitu jika diteliti hadis-hadis dapat gambaran bahawa umat Islam khususnya di Madinah adalah masyarakat yang dinamik. Anggota masyarakat Islam sentiasa mengeluarkan pendapat yang pelbagai dan berhujah di antara satu sama lain. Terdapat kebebasan berfikir dan bersuara.

Para sahabat bertanya bukan saja kepada Rasulullah SAW, tetapi juga memberi pendapat. Begitu juga dengan Rsaulullah SAW yang memperoleh wahyu tetapi tetap bertanyakan pendapat para sahabat.

Bukan saja para sahabat, tetapi juga para Muslimat dalam masyarakat Islam awal di bawah pimpinan Rasulullah SAW. Rumah tangga Rasulullah SAW sendiri bersifat dinamik dengan hujah-hujah dikeluarkan terhadap apa saja persoalan yang timbul dalam masyarakat Islam.

Maka antara konsep yang diutarakan oleh Rasulullah SAW ialah umat Islam pada zaman tertentu akan lebih mengetahui tentang keadaan masyarakat mereka masing-masing.

Rasulullah SAW membuka fikiran umatnya bahawa mereka lebih tahu keadaan zaman masing-masing. Baginda tidaklah mahu mengongkong umat Islam akan datang kerana tentunya keadaan berbeza antara satu zaman ke zaman yang lain.

Dengan anjuran Al-Quran supaya manusia berfikir dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di sekelilingnya, maka sudah pasti muncul pelbagai pendapat dan fahaman kerana adalah sifat manusia, termasuk umat Islam sendiri mempunyai pelbagai pendapat dan pandangan.

Malah perbezaan pendapat dianggap sebagai rahmat. Jika diteliti usaha para ulama sepanjang zaman dapat dilihat bahawa perbezaan fahaman dan aliran disebut, diiktiraf dan dihormati.

Maka tidak hairanlah selepas wafatnya Rasulullah SAW, umat Islam sendiri mempunyai pendapat berbeza mengenai siapa yang bakal menjadi pengganti Rasulullah SAW.

Baginda tidak pernah mencalonkan sesiapa sebagai penggantinya. Ini jelas dengan sifat Rasulullah SAW yang semangatnya adalah setiap umat mengetahui keadaan zamannya dan pemuafakatan dilakukan. Cara hidup Islam bersifat syura, bukannya kediktatoran atau perintah dan patuh semata-mata.

Maka timbullah pendapat yang berbeza tentang siapa yang hendak dipilih sebagai Khalifah Rasulullah, iaitu pengganti Rasulullah. Ada pihak mahukan Saidina Abu Bakar As-Siddiq, sementara ada pihak lain pula mahukan Saidina Ali Abi Talib. Umat Islam tidaklah berpecah tetapi perbezaan pendapat adalah jelas benar-benar berlaku.

Namun begitu selepas itu, berlakulah peluasan perbezaan pendapat hingga kepada pembunuhan sesama Islam. Zaman Khalifah Usman dan Khalifah Ali menyaksikan pertumpahan darah sesama Islam. Jika ini dinamakan perpecahan dan bukannya perbezaan pendapat, maka apa yang dilaungkan sebagai perpaduan Islam adalah suatu mitos.

Sepanjang sejarah Islam dari zaman Khalifah Rasyidin hingga ke hari ini, umat Islam tidak bersatu dari segi hanya ada satu kerajaan atau fahaman.

Perpecahan berlaku dan peperangan di antara satu sama lain adalah suatu yang lumrah.

Malah kalau hendak dikirakan, persaingan politik di Malaysia pada hari ini iaitu seperti antara UMNO dan Pas umpamanya adalah kecil berbanding perpecahan dan peperangan yang berlaku sesama umat Islam pada zaman silam. Lihatlah bagaimana Bani Umayah dan Bani Abasiah berbunuhan sesama sendiri pada zamannya. Sedangkan pada zaman kedua-duanya itulah yang dikatakan Zaman Keemasan Islam. Jika dilihat dari sudut ini, perpaduan ummah yang dilaungkan adalah suatu mitos, ideal dan utopia.

Maka tidak hairanlah pada zaman moden ini, walaupun adanya Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tetapi perkelahian antara negara Islam adalah suatu yang lumrah.

Umat Islam baik di peringkat dunia mahupun dalam negara, bahkan dalam komuniti kecil sebagai minoriti di negara-negara Barat, umpamanya sentiasa berbalah sesama sendiri tentang isu-isu yang ada kalanya remeh-temeh.

Perdebatan

Masalah Maulid Nabi umpamanya sejak ia diadakan pada zaman silam oleh kerajaan Syiah, Fatimiyah di Mesir pada abad ke-5 sentiasa menjadi perdebatan. Sama ada ia patut diadakan atau tidak. Akhirnya sikap yang sebaiknya yang perlu diambil ialah tidak usah turut heret dalam perdebatan ini.

Kerana sememangnya lumrah terdapat perbezaan pendapat bukan saja dalam soal Maulid Nabi tetapi banyak perkara lain dalam agama. Dari sudut lain, berdebat tanpa kesudahan tentang perkara-perkara ini tidak membawa sebarang manfaat.

Banyak lagi masalah besar yang perlu difikirkan dan dibahaskan oleh umat Islam. Umpamanya mengenai kemajuan, pembangunan dan keupayaan ekonomi orang Islam.

Tetapi dalam hal duniawi, hatta soal strategi, perbahasan juga berlaku dan ada kalanya tidak ada kesudahan.

Sememangnya mungkinkah ini sifat umat Islam? Dalam mencari kemajuan dunia sekalipun, perbahasan umat Islam juga terjebak kepada perkara remeh-temeh, dan tidak menyelesaikan masalah.

Sejak berpuluh-puluh tahun dahulu, bercakap tentang kemiskinan serta kemunduran umat Islam adalah suatu perkara biasa yang berulang-ulang. Bukanlah tiada kajian atau usaha politik dilakukan. Kerajaan berganti kerajaan. Parti-parti politik baru muncul dan perubahan berlaku juga tetapi perbezaan pendapat dan perpecahan terus berlaku.

Tetapi kalau dilihat umat lain, perkara sama juga berlaku menurut tradisi masing-masing.

Umat Kristian mengalami perpecahan yang lebih besar. Begitu juga agama-agama lain menurut keadaan tradisi sejarah masing-masing.

Malah agama Yahudi juga mengalami perpecahan dan perbalahan sesama sendiri.

Tetapi umat Yahudi yang berjumlah kira-kira 13 juta saja (100 tahun dahulu mereka berjumlah kira-kira 17 juta) bukan saja mempunyai pengaruh yang besar terhadap dunia pada hari ini, tetapi telah menyumbang kepada pembentukan dunia moden dalam pelbagai bidang penting seperti sains dan hasil seni.

Malah ketika zaman kegemilangan Islam baik Umayah, Abasiah dan Uthmaniah, umat Yahudi juga berperanan besar dalam menyediakan kandungan intelektual kepada kerajaan-kerajaan Islam itu.

Kalau umat Yahudi terdiri daripada satu bangsa saja, umat Islam pula mempunyai pelbagai bangsa. Sementara bangsa-bangsa Islam itu pula berkongsi negara dengan penganut agama di negara masing-masing.

Oleh kerana umat Islam itu begitu besar, adalah praktikal bagi perhatian seseorang adalah terhadap bangsa masing-masing. Umpamanya orang Melayu wajar tumpukan perhatian kepada pembangunan bangsanya kerana sebarang kejayaan yang dinikmatinya kelak akan turut tersebar kepada bangsa-bangsa lain dari kalangan umat Islam.

Umpamanya sebarang kekuatan ekonomi orang Melayu, akan membolehkan bantuan disalurkan kepada Bosnia dan Palestin apabila mereka memerlukannya.

Tetapi orang Melayu hidup bersama dengan kaum-kaum lain yang bukan Islam di negara ini. Hubungan antara kaum dan agama di negara ini berkait di antara satu sama lain.

Kejayaan mana-mana kaum akan menyumbangkan kepada kemajuan negara.

Bagaimanapun kemajuan negara ini tidak semestinya menguntungkan semua kaum secara adil dan saksama jika tidak diberi perhatian.

Kerana pelbagai faktor, umat Islam di negara ini sentiasa bimbang bahawa mereka akan ketinggalan dalam bidang ekonomi walaupun negara mencapai kejayaan.

Dari sejak sebelum dan sesudah merdeka, dari sebelum Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan sesudahnya, perkara ini dibahaskan dan pelbagai pandangan diutarakan. Program juga dirancang dan banyak juga kejayaan telah dicapai.

Kebimbangan

Namun begitu kebimbangan masih berlaku kerana terdapat tanda jelas bahawa umat Islam Malaysia masih dan akan terus ketinggalan pada masa akan datang. Keadaan ini berlaku sungguhpun kejayaan umat Islam Malaysia lebih ketara berbanding umat Islam di negara-negara lain.

Tetapi siapakah umat Islam? Takrifnya adalah mereka yang beragama Islam.

Bilakah Islam bermula? Adakah ketika Rasulullah SAW mendapat perintah daripada Allah SWT supaya berdakwah dan mereka yang menganut agama Islam menjadi pengikutnya dan bermulalah sejarah umat Islam?

Tetapi agama Islam diturunkan untuk memperbetulkan ajaran agama sebenar yang telah diselewengkan.

Maknanya sebelum Rasulullah SAW berdakwah, ajaran Islam sudah ada dalam bentuk ajaran-ajaran nabi terdahulu iaitu seperti Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Isa. Kesemua ajaran mereka adalah agama sebenar, dan pastinya ia merupakan agama Islam.

Agama Islam sudah bermula dengan Nabi Adam AS. Setiap kali ajaran itu diselewengkan, maka nabi baru diturunkan untuk memperbetulkan, hinggalah akhirnya Rasulullah SAW.

Maknanya usaha memperbetulkan ajaran agama yang diselewengkan adalah suatu proses yang berterusan.

Nabi Muhammad SAW diisytiharkan sebagai nabi akhir. Tetapi adakah ia bermakna bahawa ajaran Islam tidak lagi diselewengkan?

Maka dengan tiadanya nabi selepas Rasulullah SAW, maka usaha memperbetulkan ajaran Islam jatuh pada mereka yang berusaha untuk melakukan perubahan iaitu tajdid. Tokoh-tokoh inilah yang dipanggil sebagai mujadid.

Tetapi ia tidak semestinya tokoh. Mungkin perubahan dilakukan secara kolektif atau jemaah. Atau setiap individu Muslim yang sedar melakukan tajdid pada bidang kuasa masing-masing di samping bekerjasama dengan pihak lain.

Friday, February 26, 2010

Sambutan Maulidur Rasul meriah

PUTRAJAYA 26 Feb. - Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1431H/2010 yang bertemakan 'Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah' di sini disambut meriah dengan penyertaan 106 kontinjen perarakan melibatkan 6,979 orang peserta.

Uniknya pada tahun ini, selepas perarakan berlangsung bermula di Istana Kehakiman hingga ke Dataran Putra, majlis diteruskan di Masjid Putra sebagai simbolik bagi mengingati perjuangan Nabi Muhammad SAW menyampaikan risalah kepada umat Islam.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah turut berkenan ke majlis tersebut.

Turut sama memeriahkan majlis ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin ditemani isteri masing-masing.

Di Kota Kinabalu, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah mengetuai perarakan Maulidur Rasul peringkat negeri bersama lebih 5,000 umat Islam bermula dari Padang Merdeka ke Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Di Pulau Pinang, sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diadakan di Dewan Sri Pinang di sini disambut dengan kehadiran lebih 2,500 umat Islam dari seluruh negeri.

Majlis yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas itu dimulakan pada pukul 8 pagi dengan perarakan masuk 55 kontinjen dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang diketuai Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman.

Di Kuala Terengganu, sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diadakan di Stadium Negeri dekat sini disambut meriah dengan kehadiran lebih 5,000 umat Islam dari seluruh negeri.

Sambutan tersebut turut dimeriahkan dengan acara perarakan yang dimulakan seawal pukul 8 pagi melibatkan 3,855 peserta.

Sementara itu di Taiping, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah serta Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun berkenan berangkat ke sambutan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Dataran Perbandaran Taiping.

Sambutan itu, turut disertai kira-kira 3,000 orang mewakili pelbagai agensi kerajaan, swasta, sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir pada majlis itu.

Di Johor Bahru, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar melahirkan kekesalan terhadap sikap 'kaki judi' di negeri ini yang tidak mempunyai perasaan malu sehingga sanggup melakukan perbuatan syirik untuk mengejar kemewahan.

Baginda bertitah pada sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Sultan Abu Bakar, di sini hari ini.

Di Melaka, sambutan Maulidur Rasul bagi memperingati keputeraan Nabi Muhammad SAW peringkat negeri disambut seluruh masyarakat Islam di negeri ini.

Acara kemuncak sambutan itu apabila kira-kira 8,000 umat Islam melibatkan 137 kontinjen berarak dari Stadium Fatimah, Bukit Serindit berakhir di Kompleks Al-Azim dan ia turut disertai Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan isteri, Datin Seri Asmah Abd. Rahman.

Syurga ganjaran terbaik

DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
(Siri Ke-75)

Muhammad Abu Zahrah berkata: Selepas Allah menceritakan secara khusus berkenaan dengan pahala yang baik yang diberikan hasil amalan di dunia, lantas Allah mengemukakan ayat berikut menggambarkan hakikat dunia supaya jangan terpengaruh dan terpedaya.

Ayat ke-196 - (Surah Ali Imran)

Firman Allah SWT yang bermaksud: Jangan sekali-kali engkau (Wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka).

Sebab nuzul ayat

Ayat ini diturunkan kepada golongan Yahudi. Terdapat tiga pandangan ulama berkenaan dengan turunnya ayat ini:

i. Golongan Yahudi selalu bermusafir di bumi mencari harta benda. Lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat Ibn Abbas.

ii. Nabi SAW malu untuk berhutang atau meminjam dengan mereka makanan syair. Ia enggan kecuali dengan gadaian.

Lantas Nabi bersabda yang bermaksud: Kalau diberi kepadaku nescaya aku tunaikannya lebih daripada itu kerana sesungguhnya aku pemegang amanah di langit dan juga di bumi. Lantas turunnya ayat ini seperti yang dinyatakan oleh Abu Sulaiman al-Dimasyqi.

iii. Ayat ini diturunkan kepada kaum Musyrikin Arab yang mendapat kemewahan. Lantas sebahagian orang yang beriman berkata: Kami dalam kesusahan, sedangkan musuh-musuh Allah sebagaimana yang kamu lihat. Lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat Muqatil.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Jauzi berkata: Perkataan usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri bermaksud dengan tiga:

Pertama: Cara urusan mereka berkenaan perniagaan. Inilah pendapat Ibn Abbas, al-Farra', Ibn Qutaibah dan al-Zajjaj.

Kedua: Mereka sentiasa berusaha siang dan malam dengan mendapat banyak nikmat. Inilah pendapat Ikrimah dan Muqatil.

Ketiga: Mereka merasa seronok dengan sebab tidak dihukum walaupun melakukan banyak dosa. Inilah pendapat sebahagian ahli tafsir.

ii. Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Ayat-ayat terdahulu menerangkan betapa kejamnya golongan Musyrikin yang menyeksa orang beriman, menghalau mereka, memusuhi dan membunuh mereka".

iii. Al-Maraghi berkata: "Wahai Muhammad yang dimaksudkan sebenarnya adalah umatmu, janganlah engkau terpedaya oleh banyak hal yang dibicarakan oleh pemimpin masyarakat".

iv. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Ayat yang ditutup dengan janji memperoleh ganjaran yang baik di akhirat nanti sehingga setiap ganjaran usaha di dunia tidak dapat dibandingkan sedikit pun di akhirat nanti.

"Terdapat segelintir kaum muslimin yang terpedaya dan silau oleh hasil-hasil yang dicapai oleh orang-orang musyrik, sehingga hal itu dapat mempengaruhi kualiti iman mereka tentang janji-janji Allah di akhirat".

v. Al-Sonhaji berkata: Ayat ini Allah SWT turunkan untuk menghiburkan mereka yang sabar di dalam menjalankan ketaatan kepada-Nya.

Ayat ke-197

Firman Allah SWT yang bermaksud: (Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Muhammad Abu Zahrah berkata: "Digunakan perkataan kemudian mereka ditempatkan mereka dengan neraka jahanam bukan menunjukkan kelewatan zaman atau masa sahaja, tetapi ia menunjukkan taraf perbezaan keadaan mereka di dunia dan akhirat".

ii. Al-Maraghi berkata: "Ayat ini turun berkaitan dengan peristiwa kaum musyrikin Mekah kerana dahulunya adalah satu kaum yang suka mengembara di atas muka bumi kerana menjalankan aktiviti perdagangan dan kerja, pada saat itu umat Islam tidak mampu menghentikan kegiatan kaum musyrikin.

"Walau di mana mereka berada, umat Islam tetap mengintai dan menimbulkan bencana kepada mereka. Malangnya umat Islam tidak mampu melawan mereka sewaktu mereka keluar dari kampung halaman untuk menjalani urusan dagangan atau urusan lain".

iii. Al-Sonhaji berkata: "Segala keuntungan yang mereka perolehi hasil daripada perniagaan mereka di dunia adalah sedikit jika dibandingkan dengan kerugian yang mereka terima kerana kehilangan nikmat dan kemewahan hidup di akhirat kelak".

Ayat ke-198

Firman Allah SWT yang bermaksud: Tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka, mereka beroleh syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, sebagai tempat sambutan tetamu (yang meriah dengan nikmat pemberian) dari Allah. Dan (ingatlah) apa jua yang ada di sisi Allah adalah lebih bagi orang-orang yang berbakti (yang taat, yang banyak berbuat kebajikan).

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Abdullah bin Amr berkata: "Allah SWT menyebut mereka sebagai orang-orang baik, lantaran mereka berbuat baik kepada orang tua dan anak-anak mereka, sebagaimana orang tua anda mempunyai hak atas diri anda, seperti halnya anak-anak anda juga mempunyai hak atas diri anda".

ii. Muhammad Abu Zahrah berkata: "Ayat ini dimulakan dengan akan tetapi untuk membezakan golongan yang bertakwa lagi soleh dengan yang Musyrikin lagi jahat. Nisbah kesudahan masing-masing.

"Golongan yang kufur kesudahannya neraka jahanam dan sedikit sahaja yang mendapat nikmat dunia. Sebaliknya golongan ahli takwa yang bersyukur dengan nikmat Allah mendapat syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai".

iii. Al-Maraghi berkata: "Segala kemewahan yang ada di sisi Allah SWT jauh lebih baik daripada yang ada di dunia dahulu yang pernah dinikmati oleh orang kafir dalam bentuk yang amat sedikit lagi fana".

Semoga kita menjadi golongan yang soleh dan bertakwa sehingga layak menghuni syurga Allah SWT.

Tip cemerlang Bahasa Arab

Nabi Muhammad ialah contoh penutur Bahasa Arab yang terbaik. Walaupun baginda seorang nabi, rasul, berbangsa Arab dan lahir di Mekah, baginda turut belajar bahasa Arab sejak kecil. Persoalannya, bagaimana dengan kita? Sehubungan itu sepatutnya kita perlu belajar Bahasa Arab untuk memahami al-Quran dan al-hadis.

Sempena Maulidur Rasul, penulis bersama dua perunding motivasi iaitu Dr. Mohd. Khalil Nordin dan Dr. Wan Hassan Wan Ahmad mengajak sesiapa yang ingin mengenali tokoh agung tersebut dengan menulis dan menerbitkan sebuah buku sirah Muhammad Rasulullah yang berwarna-warni.

Antara keistimewaannya, bentuknya sama seperti pasport Malaysia.

Buku sirah berbentuk pasport ini sesuai dijadikan bahan pengajaran & pembelajaran, hadiah, modul kursus dan bahan bacaan sempena sambutan Maulidur Rasul.

Kini, Bengkel bahasa Arab PM (penting & mudah) diadakan di seluruh Malaysia. Ia dilakukan sebagai melaksanakan gagasan '1 Malaysia Boleh berbahasa Arab'.

Setiap peserta hanya perlu membayar kos bahan berwarna-warni (potongan 33%) dan mereka akan memperoleh khidmat nasihat selama empat jam secara percuma. Pihak yang berminat sama ada kerajaan, swasta ataupun individu boleh menganjurkan bengkel selama empat jam ini di tempat mereka. Memandangkan sambutan yang amat menggalakkan, tempahan bengkel adalah berdasarkan siapa dulu dia dapat.

Program: Bengkel Penyediaan Bahan Bahasa Arab 1 Malaysia Mulai 2011 (kali ke-4)

Tarikh: 24 hingga 27 Feb. 2010 (Rabu hingga Sabtu)

Masa: 8.30 pagi -7 malam

Tempat: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Peserta: Pensyarah, guru, penerbit, pereka hiasan, editor, penulis dan pelukis.

Program : Bengkel Bahasa Arab PM

Tarikh: 28 Feb. 2010 (Ahad)

Masa: 8.30 pagi -1.00 tengah hari

Tempat: SMKA Slim River, Perak.

Peserta: Pelajar tingkatan 3

Membina kekuatan ummah

OLEH SITI AINIZA KAMSARI

ANTARA sambutan Hari Valentine dan Maulidur Rasul, persamaannya apabila kedua-dua hari tersebut adalah hari yang begitu ditunggu-tunggu oleh rakyat negara ini. Tetapi malangnya menurut seorang teman, salah satu begitu diraikan tetapi yang satu lagi, hanya sekadar hari yang diberi cuti umum.

Adakah maksudnya tiada sambutan diberikan terutamanya oleh umat Islam setiap kali tibanya 12 Rabiulawal mengikut kalendar Islam itu?

Di tambah pula sejak akhir-akhir ini sambutan Maulidur Rasul atau lebih tepat perarakan bagi meraikan kelahiran Nabi Muhammad cuba dipertikaikan.

Benarkan perarakan itu bidaah? Terlarang? Satu unsur pendewaan? Perarakan itu telah menyebabkan ada umat Melayu atau Islam menjadi lemah?

Pengalaman penulis ketika belajar di sebuah sekolah aliran mubaligh Kristian di Selangor, iaitu sebuah sekolah yang muridnya terdiri daripada berbilang kaum, Melayu, China dan India, tiada halangan untuk menyambut Maulidur Rasul.

Namun setiap kali tibanya tarikh 12 Rabiulawal (yang ketika itu juga dikenali sebagai Maulud Nabi) seluruh pelajar Islam menyambutnya dengan penuh meriah.

Malah masing-masing begitu teruja kerana terdapat pertandingan melukis poster dan banner untuk dibawa dalam perarakan yang bermula dari halaman sekolah menuju ke stadium berhampiran untuk program seterusnya.

Malah para pelajar terbabit membuktikan kecintaan dan ingatan mereka terhadap Nabi Muhammad SAW dengan pelbagai kata-kata yang indah sebagaimana panduan dan bimbingan daripada para ustaz.

Poster-poster yang dihasilkan juga dihias indah dengan pelbagai corak dan warna dan hasilnya, tidak sahaja berwarna warni, sangat menarik tetapi hendak menyampaikan pelbagai mesej.

Mengingati kelahiran Rasulullah juga bermakna mengimbau kembali sejarah perjuang baginda menyebar dan menegakkan Islam di bumi Arab.

Sebab itu segala pujian yang dilafazkan kadang-kadang membangkitkan rasa terharu dan sebak kerana mengenang perjuangan dan pengorbanan besar yang dilakukan oleh baginda.

Sebagaimana yang diceritakan oleh 'orang lama', Profesor Datuk Dr. Sidek Baba bahawa sambutan Maulidur Rasul baginya adalah sebahagian dari institusi pendidikan tidak formal tetapi antara guru yang terbaik dalam hidupnya.

"Zaman kecil-kecil saya dahulu iaitu sekitar tahun 1950-an dan 60-an, juga tidak kurang meriahnya sambutan Maulidur Rasul itu apatah lagi ketika dibesarkan di Kampung, iaitu Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka.

"Seluruh kampung meraikannya, memang suatu acara yang ditunggu-tunggu, lebih meriah berbanding kenduri kahwin.

"Tidak ada penduduk kampung yang tidak turut serta, dari peringkat yang tua dan tentu sekali kanak-kanak seperti saya ketika itu yang paling gembira menyambutnya.

"Kami mengadakan pelbagai acara termasuk perarakan untuk kami seluruh kampung berselawat terhadap Junjungan Besar baginda Rasulullah yang sebelum itu kami bergotong royong beramai-ramai masak untuk kenduri dan sebagainya, sungguh meriah.

"Diadakan pelbagai pertandingan terutamanya membaca al-Quran dan sebagainya, yang semua itu mendapat sambutan ramai dan masing-masing berlumba-lumba untuk menunjukkan bakat dan kebolehan," kata Sidek.

Namun yang jelas katanya, sambutan Maulidur Rasul merupakan acara yang tidak sahaja untuk memperingati Rasulullah tetapi natijah dan hikmah yang paling besar, hubungan erat yang terjalin di kalangan penduduk kampung.

"Seluruh penduduk kampung saling kenal mengenal antara satu sama lain dan menjadikan seluruh kampung itu seperti bersaudara," katanya.

Di tambah lagi jika di kampung-kampung yang terdapatnya madrasah atau sekolah-sekolah agama, sambutan akan lebih luar biasa sifatnya, tidak sekadar dibuat atas anjuran masjid sahaja.

Begitulah signifikannya mengadakan sambutan Maulidur Rasul bagi Sidek yang baginya tidak ditemui sebarang elemen bidaah sehinggalah boleh jatuh kepada hukum haram.

Menurutnya, sejak pertama kali diadakan iaitu di zaman pemerintahan kerajaan Fatimiyyah di Mesir, sambutan Maulidur Rasul tidak sewajarnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Malah setiap umat Islam bertanggungjawab mempertahankan atas sifat hukumnya yang harus sebagaimana yang disepakati oleh para ulama dan cendekiawan Muslim.

"Adalah benar mengadakan Maulidur Rasul itu hukumnya tidak wajib. Tetapi yang kita bimbang, ada yang memahami apabila perarakan tidak wajib bermakna tidak perlulah membuat sebarang sambutan untuk memperingati kelahiran Nabi Muhammad itu.

"Itu yang kita tidak mahu berlaku. Sedangkan tidak salah untuk kita terus mengadakan perarakan tersebut jika ia adalah sebahagian dari cara untuk umat Islam memperingati Nabi terakhir mereka," katanya.

Kata Sidek, Rasulullah dimuliakan kerana baginda adalah sumber contoh, sumber qudwah, bimbing umat manusia kepada jalan yang benar dan perjuangan nabi itu ikutan dan tauladan.

"Jadi cuba bayangkan jika kita tidak mengingatinya langsung. Sekadar kita ucapkan dalam lafaz kalimah syahadah atau berselawat seorang diri.

"Tidak timbul perasaan jemaah, jiwa berjemaah bersama-sama, beramai-ramai dengan umat Islam yang lain.

"Sedangkan bersama-sama dan beramai-ramai itu membina dan membentuk kekuatan ummah itu sendiri, kesannya tentu sekali berbeza berbanding jika mengingati nabi itu secara seorang diri," jelas Sidek.

Bagi kalangan umat Islam kebanyakan sambutan hari kebesaran adalah penting untuk diadakan. Sebagaimana apabila tibanya tahun baru Hijrah yang akan disambut dengan Maal Hijrah.

Begitu juga setiap kali tibanya 12 Rabiulawal maka sambutan Maulidur Rasul menjadi acara penting sama begitu juga sambutan Israk Mikraj.

"Ini kerana semua sambutan itu tidak sekadar perayaan tetapi membawakan mesej dengan makna yang cukup besar dan mampu memberikan kesan untuk mengubah kehidupan umat itu kepada kehidupan yang lebih baik," katanya.

Ia tidak sekadar soal mempertahankan identiti Islam tetapi terlalu banyak hikmah terutama bagi mereka yang menghayati dan Sidek tidak memahami mengapa perkara yang baik seperti itu kini cuba dipertikaikan dengan perkara-perkara yang remeh dan titik bengik.

"Menghalang laluan, terpaksa tutup jalan, menyebabkan kesesakan di laluan-laluan lain dan sebagainya, merupakan perkara-perkara atau isu tidak sepatutnya ditimbulkan.

"Jika begitu pada dasar logik akalnya, kerajaan sepatutnya mengharamkan juga acara lumba basikal antarabangsa Le Tour de Langkawi (LTdL) kerana acara itu juga menimbulkan pelbagai keadaan seperti yang disebutkan," katanya.

Beliau yang kini Profesor Pendidikan di Institut Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak turut kesal apabila ada pihak yang mendakwa sambutan seperti ini merupakan satu pendewaan terhadap baginda Rasulullah.

"Adakah Rasulullah itu telah kita jelmakan atau membentuknya dalam bentuk patung atau sebarang objek yang berkaitan? Lalu kita bawa berarak dan dijulang-julang?," tanya beliau.

Kebimbangan itu kononnya berasas kerana ia seperti meniru perbuatan pengikut agama Kristian yang mendewakan Nabi Isa sehingga dianggap sebagai Anak Tuhan.

"Sedangkan di negara ini, tidak ada sampai ke tahap itu kerana kita tetap berpegang bahawa Nabi Muhammad itu tetap Nabi.

"Hakikat itu tidak akan berubah sampai bila-bila. Jadi apa yang perlu dirisaukan," katanya.

Menurut beliau, ia umpana mengadakan tahlil secara beramai-ramai terutamanya bagi memperingati dan sedekahkan amalan kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia.

"Adakah ini bermakna sambutan seperti ini bermakna kita melakukan penyembahan terhadap ibu bapa kita itu," tanya beliau.

Namun yang lebih dikesalkan kerana bagi Sidek, ia terlalu kasar dibaca apabila dikaitkan pula perarakan Maulidur Rasul itu dengan maju mundurnya sebuah bangsa dan umat, iaitu lebih tepat umat Melayu.

Sedangkan katanya, perarakan tersebut adalah sebagai menghormati perjuangan baginda yang telah melahirkan Islam.

Mereka yang menempelak perarakan sempena Maulidur Rasul bermakna tidak menghormati baginda.

"Mungkin berlaku kurangnya penghayatan dalam perarakan tersebut menyebabkan ada umat Islam yang menyertai tidak berubah.

"Masih ditakuk lama dan sebagainya tetapi perarakan dalam setiap kali sambutan Maulidur Rasul tidak boleh dijadikan kayu pengukur kepada kemajuan atau kegagalan sesebuah bangsa ," katanya.

Beliau yang juga bekas Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Disiplin UIAM berkata, umat Islam semakin kurang penghayatan terhadap majlis seperti itu kerana sedikit sebanyak telah terpengaruh dengan anasir-anasir atau unsur lain.

Membaca pemikiran Al Ghazali

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

Dikatakan tentera Amerika Syarikat (AS) yang mula-mula menyerang ibu kota Baghdad, Iraq untuk menjatuhkan rejim Saddam Hussein pada 2003 ialah dari pasukan payung terjun yang bukannya terdiri daripada rakyat. Sebaliknya terdiri daripada rakyat Iraq itu sendiri. Iaitu rakyat atau lebih tepat anggota tentera Iraq yang kecewa dan lari dari kekejaman Saddam. Mereka berhijrah ke Amerika, 'membentuk' kekuatan dan akhirnya kembali untuk membalas dendam terhadap diktator itu.

Kisah seperti itu adalah sejarah yang berulang, kembali terjadi untuk menghancurkan Kota Baghdad untuk kedua kalinya dalam sejarah.

Kali pertama seperti yang kita ketahui sebelum ini, Kota Baghdad hancur dan musnah disebabkan serangan tentera Mongol yang terdiri dari bangsa Tartar yang diketuai oleh Hulagu Khan.

Itupun disebabkan pemerintah terakhir pada ketika itu iaitu Khalifah Al Musta'shim sangat lemah, terlalu mementingkan keduniaan, leka, berfoya-foya. Semua itu memudahkan tentera Tartar menyerang dan menjatuhkan kota Baghdad.

Tetapi tahukah anda, seperti yang ditulis oleh Al Ghazali dalam bukunya Warisan Pemikiran Islam, bahawa golongan minoritilah yang memainkan peranan di sebalik semua peristiwa kemusnahan Kota Baghdad dan kejatuhan empayar Islam Abbasiah.

Maksudnya bukanlah disebabkan sangat oleh serangan tentera Tartar itu. Ini sebagaimana yang beliau rujuk daripada Ibnu Kathir dalam bukunya Al Bidayah wal Nihayah; mengenai luapan kegembiraan 'mereka' ketika pasukan Tartar berhasil menghancurkan Baghdad.

Pengajaran

Pengajaran yang boleh kita ambil ialah, di sebalik setiap serangan luar terhadap sesebuah kerajaan selalunya disebabkan oleh 'sumbangan' pihak dalam kerajaan itu sendiri.

Jika dalam konteks pemerintahan pemimpin negara yang lemah, pastinya akan lahir golongan minoriti. Tidak mustahil dalam apa juga situasi sesebuah negara itu, golongan minoriti seperti ini pasti ada.

Begitupun seperti apa yang berlaku dalam kerajaan Iraq sehingga hancur dalam serangan AS dan tentera-tentera bersekutu (yang terdiri dari rakyat Iraq itu sendiri) dalam tempoh hanya beberapa hari itu adalah ulangan sejarah seperti yang berlaku semasa berakhirnya dinasti Abbasiah.

Dalam hal ini, Saddam Hussein tidak pernah mengambil pengajaran. Beliau tumpas di tangan rakyatnya sendiri, bukannya AS. Malangnya dari kedua-dua sejarah kejatuhan itu, bukan sedikit bilangan rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa, semuanya angkara pemimpin yang durjana.

Sedangkan kata Al Ghazali dalam bukunya itu, memegang kekuasaan dalam Islam adalah suatu ibadah yang tinggi pahalanya dan para penguasa yang adil merupakan kelompok manusia pertama yang memperoleh reda Allah dan golongan pertama yang akan mendapat perlindungan Tuhan pada hari kiamat.

"Tetapi yang demikian itu sangat kecil jumlah dalam sejarah kita. Kerana bagi mereka, kekuasaan adalah saranan untuk melampiaskan hawa nafsu yang akan mereka perjuangkan walaupun darah menjadi taruhannya," kata beliau.

Namun begitu kita mungkin akan lebih rasa terkejut apabila Al Ghazali dalam bukunya menceritakan bagaimana Hulagu Khan melakukan penghinaan terhadap Musta'shim.

Ini apabila Hulagu begitu marah mengenai betapa murahnya nilai pemerintahan yang ditunjukkan oleh khalifah itu.

Diceritakan oleh Al Ghazali antaranya apabila dalam keadaan terketar-ketar ketakutan, al Musta'shim melambakkan di hadapan Hulagu kotak-kotak batu permata dan barang-barang berharga. Kesemua itu tidak dirampas oleh Hulagu kecuali terus diserahkan kepada mereka yang hadir pada masa itu.

Selepas mendapatkan harta yang berada di atas bumi, Hulagu perintahkan Musta'shim mengeluarkan harta yang tersembunyi di dalam bumi (tanah) pula.

Khalifah bukan sahaja mengaku malah membawa mereka keluar ke halaman istana. Rupa-rupanya apabila halaman itu digali, ditemui sebuah kolam besar yang penuh dengan emas merah, yang kesemua dalam bentuk jongkong dengan setiap satunya mempunyai berat 100 mitsqal (468 gram). Terdapat beribu-ribu jongkong emas seperti itu yang selama ini tersembunyi di dalam tanah.

Kata Al Ghazali, memang sudah selayaknya khalifah terakhir dinasti Abbasiah itu menerima penghinaan daripada Hulagu.

Hulagu pun sangat hairan bagaimana seorang khalifah dapat memiliki seluruh harta yang bertimbun-timbun dan bersikap kikir (kedekut dan tamak) terutama kepada para tenteranya sendiri.

(Sebelum ini diceritakan bagaimana tentera kerajaan Abbasiah tidak dihirau, ditahan gaji mereka oleh khalifah sehingga mereka terpaksa meminta-minta di hadapan masjid dan pasar).

Kisah dan pengajaran ini diambil dari Bab 7 - Menulis Ulang Sejarah dalam buku yang sangat 'terkehadapan' sifatnya ini.


Sejarah

Pentingnya kajian dan penulisan sejarah kerana Al Ghazali mendefinisikan sejarah umpama orang tua yang menceritakan pengalamannya kepada anak-anak untuk menjamin masa depan mereka.

Sebab itu orang tua itu harus bijak dan cerdik, sehingga nasihat dan pesanan-pesanannya bermanfaat.

Buku ini merupakan terjemahan yang sangat baik oleh Nur Hadi Ihsan dari sebuah karya agung Al Ghazali bertajuk: Turatsuna al Islami Fi Mizan Al Syar Waal Aql.

Al Ghazali atau nama sebenar Muhammad Al Ghazali Al Saqq dilahirkan di al Buhaira Mesir. Seorang ulama Islam tersohor dan antara anak muridnya yang terkenal termasuklah Dr. Yusuf Al Qaradawi.

Sebagai salah seorang cendekiawan Islam yang terulung dalam abad ke 20, beliau tidak terlepas menghadapi saat-saat yang sukar dan sangat mencabar disebabkan perjuangannya yang tidak disenangi terutama oleh pihak penguasa negara.

Pernah ditangkap dan disumbatkan ke penjara Thurroh bersama As Syahid Imam Hassan Al Banna. Ketika dalam penjara, beliau sering meniupkan semangat perjuangan kepada rakan-rakan dalam pertubuhan Islam ternama, Ikhwan Muslimin.

Mentor

Kita jangan membaca buku kerana hanya ia ditulis oleh salah seorang mentor atau pemimpin dalam pertubuhan yang kurang mendapat tempat di hati kalangan sesetengah pihak berkuasa dan kuasa-kuasa Barat.

Ini kerana dalam kesemua 10 bab dalam buku ini umpama butiran-butiran mutiara yang sangat berharga buat kita sebagai pembaca untuk menginsafi diri, mengakui kelemahan diri dan ummah serta membuatkan kita sangat terfikir akan kebenaran-kebenaran dari kata-kata al-Ghazali itu.

Bab-bab yang mencakupi segala genap aspek kehidupan terutama ilmu pengetahuan, pendidikan, dakwah, bidaah, ijtihad, sunnah, bahasa dan kesusasteraan yang kesemua mempunyai kepentingan dalam soal agama, sosial, ekonomi, politik dan sebagainya.

Ini kerana kata Al Ghazali suasana keagamaan Islam dewasa ini dilitupi oleh sikap kaku dan beku serta dikotori oleh pelbagai penyakit dan sikap yang buruk. Suasana yang sangat jauh dari suasana yang digambarkan oleh al-Quran, iaitu suasana yang aktif, dinamik dan produk (muka surat 43).

Malah Al Ghazali memperjuangkan hak-hak wanita dalam Islam. Kita boleh membaca kemarahan beliau apabila ada pihak yang memperlekehkan kaum itu bersandarkan hukum-hukum yang kononnya dari al-Quran dan sunnah.

Terlalu banyak persoalan yang menjadi kebimbangan Al Ghazali mengenai umat yang beliau sayangi ini. Malah beliau memberi pelbagai jawapan apabila umatnya difitnah dan dipandang sinis oleh mereka yang berniat jahat terhadap Islam.

Dalam buku ini beliau menyenaraikan pelbagai pembaharuan bagi mengembalikan umat Islam kepada landasan yang sebenar. Senarai itu tidak bermaksud pembaharuan kepada satu ajaran Islam yang baru.

Tetapi kita perlu sedar bahawa dunia lain, iaitu dunia yang jauh dari petunjuk wahyu tidak pernah diam.

Thursday, February 25, 2010

Remaja dan sikap positif

Oleh Nurul Izzah Sidek

Menjadi remaja memberi peluang untuk kita belajar tentang hidup. Remaja belum sampai ke tahap matang dan dewasa. Justeru bersikap positif terhadap apa yang berlaku dalam kehidupan memberi pedoman kepada remaja supaya dapat membezakan jalan yang benar dan salah.

Remaja sememangnya memiliki rasa ingin tahu yang tinggi dan proses ingin tahu itu perlu disuburkan dengan sikap positif.

Pemikiran positif bermaksud tidak timbul sangka buruk atau prasangka terhadap sesuatu yang berlaku. Pemikiran positif adalah pemikiran yang menjurus ke arah keupayaan dan bukannya ketidakupayaan. Pada asasnya, ia melihat pada aspek yang baik dan membina.

Rasa ingin tahu membolehkan remaja bertanya, mengkaji, menyiasat, membuat pertimbangan tentang benar dan salah akan sesuatu yang atau bertindak atas apa yang berlaku. Rasa ingin tahu adalah suatu dorongan fitrah dan proses belajar akan makna sesuatu.

Sesetengah orang tahu sesuatu melalui pertanyaan, perkongsian, pengalaman atau maklumat. Sikap positif memberikan remaja data dan fakta yang berguna untuk membantu membuat kesimpulan terhadap sesuatu yang berlaku.

Contohnya, ada orang berpendapat bahawa barat itu buruk dan Timur itu baik. Sikap positif remaja mestilah dalam andaian tidak semua dari barat itu buruk dan yang datang dari timur semua baik.

Banyak kemajuan, ilmu pengetahuan teknologi dan sains berlaku di barat bermanfaat untuk manusia. Banyak juga keburukan tingkah laku orang timur yang tidak patut dicontohi manusia. Oleh itu bersikap positif terhadap perkara yang baik dan buruk baik dari timur atau barat seharusnya menjadi landasan dan pegangan remaja.

Rasa ingin tahu yang diisi dengan maklumat, ilmu dan pengalaman yang benar dan betul boleh meningkatkan kefahaman remaja terhadap sesuatu perkara.

Rasa ingin tahu yang diikuti dengan pengajaran dan pembelajaran menjadikan remaja manusia yang memahami. Memahami sesuatu bahasa, ilmu, fakta dan data membantu mematangkan fikiran.

Yang selalu berlaku adalah rasa ingin tahu yang tinggi tidak disalurkan menerusi proses pembelajaran yang betul menyebabkan remaja menjadi tidak faham.

Misalnya, remaja adalah golongan yang suka berhibur. Akibat tidak faham akan makna hiburan menyebabkan mereka selalu terjebak dengan hiburan yang merosakkan. Sedangkan hiburan yang positif tidak dilarang oleh agama.

Dalam berhibur, pertimbangan baik buruk haruslah diambil kira. Jika tidak syaitan dan iblis akan campur tangan. Apabila remaja mempunyai pertimbangan dan pedoman, ia tahu memilih, tahu akibatnya dan tahu dosa pahala.

Contohnya, remaja amat suka kepada lagu dan muzik. Pedoman dalam Islam adalah dengarlah lagu dan muzik yang mempunyai tujuan atau risalah.

Maksudnya, hiburan dalam pengertian lirik dan kata-kata yang dilagukan membawa makna ke arah keinsafan dan kebaikan. Iringan muziknya tidak merangsang nafsu-nafsi dan memberi rasa keindahan yang tinggi dan mendekatkan diri kepada Allah.

Melalui pemikiran yang positif, kita akan berasa seronok kerana di samping terhibur kita tidak hilang kawalan diri, malah dengan terhibur meningkatkan kesedaran kita tentang kebaikan dan arah tujuan dalam hidup.

Di tahap remaja ingin tahu dan cuba memahami, remaja sebenarnya ingin memahami makna akan sesuatu. Memahami makna bererti mengetahui hakikat kejadian peristiwa dan juga sesuatu pegangan.

Ada remaja yang faham akan sesuatu tetapi tidak bertemu makna akan sesuatu. Contohnya remaja tahu akan pentingnya akan pergaulan yang terkawal antara lelaki dan perempuan tetapi disebabkan kefahaman yang tidak mendalam terhadap batas larangan itu dan hukum syarak menyebabkan remaja sering melanggar hukum hakam.

Akhirnya sebahagian remaja yang kurang kawalan iman terjebak dengan tabiat buruk dan hilang makna dalam kehidupan. Tidak dinafikan bahawa persekitaran dan ruang didikan sekeliling sangat penting dalam membentuk sikap dan pemikiran positif dalam diri remaja.

Pengalaman penulis yang bertemu bual dengan beberapa orang remaja semasa kerja-kerja amal tuisyen kepada penduduk setempat beberapa tahun lalu memberi keinsafan bahawa ramai remaja kini ketandusan jiwa.

Mereka tidak memahami akan matlamat dan erti kehidupan di dunia ini. Justeru tidak hairanlah ramai yang lebih gemar bersuka-suka daripada memikirkan tanggungjawab yang semakin bertambah.

Sikap keterbukaan remaja dalam meluahkan perasaan mereka jelas menunjukkan bahawa mereka merasai diri mereka tersisih dan kurang mendapat perhatian dan bimbingan.

Ada antaranya yang cuba memahami akan makna kehidupan dengan cuba belajar bersungguh-sungguh dan menggapai impian, tetapi malangnya tidak dipedulikan oleh ibu bapa yang sibuk mencari rezeki.

Malah ada yang bertemu mengadu dijaga oleh datuk dan nenek, sedangkan duduk serumah dengan ibu bapa. Belum lagi disentuh hal-hal seperti perangai ibu bapa yang suka mendera, minum arak, menghisap dadah, selalu bergaduh dan sebagainya.

Agak menyedihkan apabila remaja yang sedang meningkat dewasa terpaksa melalui peringkat-peringkat kehidupan seperti ini. Ia bakal menyebabkan anak itu membesar dengan pelbagai andaian negatif dan prasangka bahawa untuk apa kejayaan dicapai sekiranya tidak dihargai oleh ibu bapa sendiri.

Selain itu, ia bakal membentuk watak remaja yang degil dan suka memberontak. Mereka mungkin faham bahawa belajar itu penting, tetapi tidak menghayati akan makna mencari ilmu itu sendiri adalah untuk kepentingan mereka di dunia dan akhirat. Lalu tanggungjawab mencari ilmu diambil mudah ditambah pula masalah keliling yang membelenggu dan mengekang pemikiran positif.

Ada remaja yang merasakan mereka tenang dan positif apabila bersama rakan-rakan. Walhal mereka sedang melakukan perkara-perkara yang kurang elok seperti melepak, ponteng sekolah, menghisap rokok dan sebagainya.

Tanggapan seperti ini menjadikan remaja menganggap perkara yang positif adalah sesuatu yang boleh menjanjikan keseronokan semata-mata dan boleh memuaskan perasaan walaupun ia bertentangan dengan hukum, nilai, etika mahupun undang-undang.

Oleh itu, pemikiran positif sewajarnya menjadikan kita lebih aktif dan proaktif. Sesuatu maklumat yang kita terima berkemungkinan boleh mendatangkan manfaat dan juga mudarat. Dengan sikap positif yang ada kepada kita seharusnya menjadikan kita orang yang suka mengambil tahu, membuat penyelidikan dan membuat keputusan sama ada menerima atau menolak.

Pemikiran positif bukan bermaksud kita menerima semua maklumat atau membuat pelbagai andaian untuk mempositifkan sesuatu keadaan yang nampak negatif tanpa terlebih dahulu membuat penyelidikan dan analisis.

Kita sering kali boleh ditipu jika semata-mata bersikap baik sangka tanpa menggunakan pemikiran yang analitik dan kritis.

Oleh itu remaja harus dididik agar tidak bersikap 'main hentam saja' asalkan sesuatu perkara itu nampaknya menguntungkan dan akhirnya mereka mempelajari bahawa sikap mereka yang terlalu berbaik sangka telah dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengaut keuntungan atau mempunyai niat-niat tertentu.

Kesimpulan

Dalam konteks kehidupan remaja Islam masa kini, cabaran terhadap kerohanian dan keimanan adalah terlalu mencabar. Pemikiran yang cetek dan kurang matang menyebabkan mereka gagal mengawal noda dan dosa.

Menjadi positif tidak bermakna menerima sesuatu bulat-bulat tanpa usul periksa. Sebaliknya, ia menggalakkan remaja supaya berlapang dada dalam mencari sesuatu maklumat dan bersedia menerima kebenaran.

Apabila proses rasa ingin tahu dan mengetahui remaja dikayakan dengan proses pembelajaran yang betul, ia bakal menghasilkan kefahaman yang tinggi terhadap sesuatu perkara. Seterusnya memungkinkan remaja itu dewasa dengan ilmu dan pemikiran yang seimbang.

Berusaha amal sunnah Nabi SAW

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN

SABAN tahun apabila menjelang tarikh 12 Rabiulawal, umat Islam akan menyambut peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW, insan mulia yang membawa rahmat kepada sekelian alam.

Malangnya, tidak ramai di kalangan kita yang benar-benar menghayati sirah baginda SAW. Seterusnya menterjemahkannya dalam kehidupan seharian.

Sebabnya, belum wujud perasaan kasih dan sayang yang tinggi terhadap nabi yang terakhir walaupun baginda disenaraikan sebagai The 100 A Ranking Of The Most Influential People in History tulisan Michael Hart.

Itulah yang ditekankan oleh Pegawai Agama Islam Daerah yang juga Kadi Daerah Kuala Selangor, Zainal Abidin Sulaiman dalam kuliah subuh bertajuk 'Menghayati Sirah Nabi Muhammad SAW'.

Kuliah itu disampaikan di Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor sempena sambutan Maulidur Rasul pada 26 Februari ini.

Antara kehebatan Nabi SAW adalah kelahiran baginda telah diceritakan menerusi kitab Taurat dan Injil.

Namun, golongan Yahudi dan Nasrani sengaja menyembunyikan fakta tersebut kerana dengki disebabkan nabi akhir zaman bukanlah daripada kalangan mereka. Nabi akhir zaman adalah dari kalangan orang Arab.

Kata Zainal, dalam al-Quran memang banyak diceritakan dengan kelahiran Nabi SAW sebagai pembawa rahmat ke atas sekelian alam.

Antaranya, firman Allah yang bermaksud: Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam. (al-Anbiya': 107).

* Dan ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama Ahmad. Maka tatkala ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: Ini ialah sihir yang jelas nyata! (as-Saff: 6)

Menurut Zainal, dengan memahami sirah nabi SAW, umat Islam akan berdiri untuk melaksanakannya. Ini kerana di dalamnya terkandung ayat al-Quran dan hadis dalam lapangan hidup yang pelbagai.

Katanya, hal ini penting supaya kita mendapat syafaat baginda di akhirat kelak.

"Kita nak ikut atau mencontohi Nabi SAW bukan maksud mengikut tempat di Arab tetapi berdasarkan keadaan tempat kita sebagai mana diterangkan dalam kitab Bahrul Mazi (lautan madu)," katanya.

Antara yang boleh kita amalkan adalah sunat mengucup hujung jari selepas makan. Ini supaya umat Islam dilihat sebagai yang menitik beratkan kebersihan.

Kata Zainal, Nabi Muhammad SAW walaupun semasa makan roti kering, baginda tetap mengucup hujung jari sebab ada keberkatan.

Menurutnya, dalam hidup seharian, kita boleh amalkan membaca doa sebelum dan apabila bangun tidur, masuk tandas dengan kaki kiri dan berdoa, keluar tandas dengan kaki kanan dan berdoa.

"Itu sekurang-kurangnya yang boleh kita lakukan dalam seharian. Jangan langsung tidak mencontohi sunnah Nabi SAW.

"Apabila kita melaksanakan perkara-perkara begini, akan datang rasa tenang dan gembira dalam hati yang tidak dapat diterjemahkan dengan perkataan," jelasnya.

Bagi pasangan suami isteri pula, kata Zainal, antara sunnah baginda adalah mandi bersama untuk menyemarakkan lagi kasih sayang.

Namun, katanya, tidak ramai pasangan suami isteri yang mengamalkannya.

"Malah ada pasangan yang apabila ditanya tentang perkara itu menjawab, mana boleh suami isteri mandi bersama," jelas beliau.

Dalam satu kisah, kata Zainal, bagi membuktikan Nabi SAW sebagai utusan Allah kepada sekelian makhluk telah bertemu dengan seekor kijang yang terjerat.

Katanya, kijang itu merayu kepada baginda agar dilepaskan kerana sudah tiba masa untuknya menyusukan anak.

"Kijang itu kemudiannya berbaiah dengan Nabi SAW yang ia akan kembali semula ke jerat itu selepas selesai menyusukan anaknya.

"Benarlah selepas selesai, kijang itu masuk semula dalam jerat itu dan baginda pun mencari tuan punya jerat untuk membeli kijang tersebut.

"Akhirnya pemilik jerat itu menghadiahkan kijang itu kepada Nabi SAW dan baginda pun melepaskan haiwan tersebut," kata beliau.

Sejarah ringkas Nabi SAW

Nabi Muhammad telah diputerakan di Mekah, pada Isnin, 12 Rabiulawal (20 April 571M). Ibu baginda, Aminah binti Wahb, adalah anak perempuan Wahb bin Abdul Manaf dari keluarga Zahrah.

Ayahnya, Abdullah, ialah anak Abdul Mutalib. Keturunannya bersusur galur dari Ismail, anak kepada Ibrahim kira-kira dalam keturunan ke-40.

Ayahnya meninggal sebelum kelahiran baginda. Sementara ibunya meninggal ketika baginda berusia kira-kira enam tahun, menjadikannya seorang anak yatim.

Menurut tradisi keluarga atasan Mekah, baginda telah dipelihara oleh seorang ibu angkat (ibu susu:-wanita yang menyusukan baginda) yang bernama Halimahtus Saadiah di kampung halamannya di pergunungan selama beberapa tahun. Dalam tahun-tahun itu, baginda dibawa ke Mekah mengunjungi ibunya. Setelah ibunya meninggal, baginda dijaga oleh datuknya, Abdul Mutalib.

Selepas datuknya meninggal, baginda dijaga oleh bapa saudaranya, Abu Talib. Ketika inilah baginda sering kali membantu mengembala kambing-kambing bapa saudaranya di sekitar Mekah dan kerap menemani bapa saudaranya dalam urusan perdagangan ke Syam (Syria).

Sejak kecil, baginda tidak pernah menyembah berhala dan tidak pernah terlibat dengan kehidupan sosial arab jahiliah yang merosakkan dan penuh kekufuran.

Pada usia remajanya, Muhammad percaya sepenuhnya dengan keesaan Allah. Baginda hidup dengan cara amat sederhana dan membenci sifat-sifat angkuh dan bongkak.

Baginda menyayangi orang-orang miskin, para janda dan anak-anak yatim serta berkongsi penderitaan mereka dengan berusaha menolong mereka.

Baginda juga menghindari semua kejahatan yang menjadi amalan biasa di kalangan para belia pada masa itu seperti berjudi, meminum minuman keras, berkelakuan kasar dan lain-lain, sehingga beliau dikenali sebagai As Saadiq (yang benar) dan Al Amin (yang amanah).

Baginda sentiasa dipercayai sebagai orang tengah kepada dua pihak yang bertelingkah di kampung halamannya di Mekah.

Saturday, February 13, 2010

Takutlah kepada kuasa Allah

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

IMAM Fakhru al-Razi menerangkan hubungan ayat ini dengan sebelumnya seraya berkata: Ketahuilah bahawa maksud daripada kitab yang mulia ini untuk menarik hati dan roh daripada sibuk dengan makhluk kepada tenggelam untuk makrifatullah.

Ayat ke-190 - (Surah Ali Imran)

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.

Sebab nuzul

Ibn Jauzi menyebut tiga pendapat berkenaan dengan sebab nuzul:

Pertama: Orang Quraish bertanya kepada Yahudi: Apakah yang dibawa kepada kamu oleh Musa? Jawab mereka: Tongkat dan tangannya yang bercahaya. Mereka bertanya kepada Nasara: Apa yang dibawa kepada kamu oleh Isa? Jawab mereka: Menyembuhkan sopak, kusta dan menghidupkan yang mati. Kemudian mereka datang kepada Nabi seraya berkata: Doalah kepada Tuhanmu supaya Allah menjadikan kami bukit Sofa sebagai emas. Lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat Ibnu Jubair daripada Ibnu Abbas.

Kedua: Penduduk Mekah bertanya Nabi supaya mendatangkan kepada mereka bukti. Lantas turunnya ayat ini. Inilah riwayat Abu Soleh daripada Ibnu Abbas.

Ketiga: Tatkala turunnya firman Allah yang bermaksud: Dan Tuhan kamu Tuhan yang satu. Orang Quraish berkata: Sesungguhnya dia menyamakan di antara tuhan-tuhan kita, justeru, datangkanlah kepada kami ayat atau bukti. Lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat Abu al-Dhuha yang bernama Muslim bin Subaih.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibnu Kathir berkata: Kadang-kadang terdapat malam yang panjang dan siang yang pendek. Lalu masing-masing menjadi seimbang.

ii. Al-Sonhaji berkata: Ayat ini memerintahkan kepada setiap orang yang mempunyai akal yang sihat supaya memusatkan pemerhatian mereka kepada kejadian langit dan bumi beserta dengan segala isinya.

iii. Para Mufassirin mengatakan: Ayat ini mengenai solat. Orang yang sembahyang itu hendaklah berdiri, jika tidak berdaya hendaklah duduk dan jika tidak berdaya duduk hendaklah baring mengiring di sebelah lambungnya. Sembahyang itu tidak boleh sekali-kali ditinggalkan dan mesti dilakukan dalam apa cara sekali pun.

iv. Syeikh Muhammad Abu Zahrah berkata: Ayat ini menyeru kepada tadabbur dan fikir kepada alam yang maha hebat ini dan juga Penciptanya.

v. Syed Qutub berkata: Kegiatan berfikir pada kejadian Allah SWT meneliti kitab alam buana yang terbuka, mengesani tangan kudrat Ilahi yang Maha Pencipta ketika Dia menggerakkan alam ini dan membalik-balikkan lembaran kitab alam ini merupakan jantung ibadat kepada Allah dan zikir kepada-Nya. Seandainya ilmu-ilmu sains yang mengkaji tentang susunan bentuk alam buana, undang-undang dan peraturannya, kekuatan-kekuatan dan perbendaharaan-perbendaharaannya, rahsia-rahsia dan tenaga-tenaganya mempunyai hubungan dengan mengingati Pencipta alam buana ini dan mempunyai hubungan dengan kesedaran terhadap kebesaran dan limpah kurnia-Nya. Nescaya ilmu-ilmu sains itu akan terus berubah kepada kegiatan beribadat dan mendirikan solat kepada Allah SWT.

vi. Al-Maraghi berkata: Kedudukan langit dan bumi yang begitu rapi susunannya, serta ciptaannya begitu mengagumkan sekali. Pertukaran malam dengan siang berjalan dengan teratur sepanjang tahun itu dapat kita saksikan kesannya terhadap badan dan akal kita melalui pancaran panas cahaya matahari dan dingin malam, juga terhadap haiwan dan tumbuh-tumbuhan serta lain-lain. Semua itu menjadi bukti kebenaran keesaan Allah SWT, kesempurnaan ilmu dan kekuasaan-Nya.

vii. Muhammad Quraish Shihab berkata: Kata al-albab adalah dalam bentuk jama' daripada lubb iaitu saripati sesuatu. Kacang, misalnya memiliki kulit yang menutupi isinya. Isi kacang lubb. Ulul albab adalah orang-orang yang memiliki akal yang murni yang tidak diselubungi oleh kulit untuk melahirkan kerancakan berfikir. Fenomena alam raya yang dapat sampai kepada bukti yang sangat nyata tentang keesaan dan kekuasaan Allah SWT.

Dinyatakan definisi ulul albab, ia merangkumi dua perkataan. Ulul yang bermaksud tuan, empunya atau pemilik manakala albab pula membawa maksud hati. Dalam Lisan al-Arab 8/16, oleh Ibn Manzur menyebut definisi Ulul Albab:

i. Ibnu al-Arabi berkata: Albab ialah al-Bal yang bermaksud akal.

ii. Dengan maksud beradab.

iii. Dengan maksud keluasan.

iv. Dengan maksud kesuburan.

v. Dengan maksud keamanan.

vi. Dengan maksud di hadapan.

vii. Al-Ahmar berkata: Lub ialah tapisan seperti tanah atau pasir yang halus.

viii. Dengan maksud tempat sembelih daripada sesuatu.

Sebahagian pendapat di atas disebut dalam al-Mu'jam al-Arabi al-Asasi.

Ayat ke-191

Firman Allah SWT yang bermaksud: (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Perkataan zikir ditafsirkan dengan tiga pendapat:

l Zikir dalam solat. Inilah pendapat Ali, Ibnu Mas'ud, Ibnu Abbas dan Qatadah.

l Zikir dalam solat dan lainnya. Inilah pendapat sekumpulan ahli tafsir.

l Perasaan takut dengan maksud mereka merasa takut kepada Allah ketika berdiri, duduk dan ketika hampir tidur. Seperti yang dinukilkan oleh Ibnu al-Jauzi.

ii. Ibnu Faris berkata: Fikir atau fikrah dengan maksud hati sentiasa teringat kepada sesuatu.

iii. Ibnu Abbas pula berkata: Dua rakaat yang dilakukan dengan penuh fakir dan penghayatan lebih baik daripada mendirikan sepanjang malam dalam keadaan hati lalai.

iv. Al-Maraghi berkata: Ayat ini mengandungi pengajaran kepada orang mukmin bagaimana cara mereka berbicara dengan Tuhan, sewaktu mendapat petunjuk, menunjukkan kebaikan dan kemuliaan Tuhan dalam penciptaan makhluk-makhluk-Nya.

v. Para Mufassirin mengatakan: Ayat ini mengenai solat. Orang yang sembahyang itu hendaklah berdiri, jika tidak tidak berdaya maka hendaklah duduk dan jika tidak berdaya duduk hendaklah baring mengiring disebelah lambungnya. Sembahyang itu tidak boleh sekali-kali di tinggalkan dan mesti dilakukan dalam apa cara sekalipun.

vi. Muhammad Quraish Shihab berkata: Manusia yang membaca lembaran alam raya, nescaya akan mendapatkannya. Sebelum manusia mengenal peradaban, mereka yang menempuh jalan ini telah menemukan kekuatan itu, walau nama yang disandangkan untuk-Nya bermacam-macam seperti Penggerak Pertama, Yang Maha Mutlak, Pencipta Alam, Kehendak Mutlak, Yang Maha Kuasa, Yahwa Allah dan sebagainya.

Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa berfikir dan berzikir dan melayakkan untuk mencapai martabat kedudukan Ulul Albab yang sentiasa berdoa kepada Allah supaya diselamatkan daripada api neraka-Nya. Amin.

Banjir besar

NABI Nuh telah dilantik oleh Allah untuk membimbing kaumnya supaya menyembah Allah. Pada waktu itu, kaum Nabi Nuh hidup dalam kekufuran. Mereka menyembah berhala yang dibuat oleh mereka sendiri. Baginda tetap menjalankan perintah Allah untuk menyeru kaumnya supaya tidak menyembah berhala lagi.

Walaupun begitu, hanya sedikit sahaja daripada kaumnya yang beriman kepada Allah. Nabi Nuh mula berasa putus asa. Lalu, baginda pun berdoa kepada Allah. Nabi Nuh mengadu kepada Allah mengenai sikap kaumnya. Maka, Allah pun mengkabulkan doa baginda. Allah memerintahkan Nabi Nuh supaya membina sebuah kapal yang besar. Dengan bantuan daripada Allah, Nabi Nuh pun membina kapal tersebut.

Apabila kapal tersebut telah siap, Nabi Nuh pun membawa setiap jenis haiwan yang berpasangan ke atas kapal. Nabi Nuh juga mengumpul benih-benih tumbuhan untuk disimpan dalam kapal tersebut. Selepas itu, Nabi Nuh pun menyuruh semua pengikutnya naik ke atas kapal lalu menyeru:

"Wahai orang-orang yang beriman! Naiklah kamu ke atas kapal ini. Janganlah kamu lupa untuk berdoa kepada Allah. Sesungguhnya Tuhan akan melindungi kamu."

Setelah semua orang Mukmin berada di atas kapal, Allah pun menurunkan hujan dengan lebatnya. Angin pun mula bertiup kencang. Allah juga memerintahkan bumi supaya mengeluarkan air dari perutnya.

Nabi Nuh yang berada di atas kapal memanggil anaknya yang tidak mahu beriman.

"Anakku, marilah naik ke atas kapal ini. Tidak ada siapa yang dapat menyelamatkan kamu melainkan Allah.

"Aku tidak mahu naik ke kapal itu. Aku akan berlindung di atas gunung," kata anaknya.

Anaknya tetap berdegil. Dia tidak mahu menjadi pengikut Nabi Nuh dan meninggalkan amalan menyembah berhala.

Hujan yang turun dengan banyaknya telah membuatkan air sungai naik. Mata air yang membuak-buak membanjiri tanah-tanah kering. Orang-orang kafir mula berasa takut. Mereka melarikan diri ke atas bukit. Tetapi tidak lama kemudian, air banjir itu pun sampai ke atas bukit. Lalu mereka melarikan diri ke atas gunung pula.

Namun air banjir terus naik ke atas gunung. Tidak ada tempat lagi untuk orang kafir menyelamatkan diri. Maka, tenggelamlah mereka dalam banjir itu. Anak Nabi Nuh dan ahli keluarganya pun tenggelam. Itulah balasan dan azab yang Allah timpakan kepada kaum Nabi Nuh yang ingkar itu.

Banjir yang besar itu menenggelamkan semua benda yang ada di atas muka bumi. Tidak ada makhluk pun yang terselamat kecuali mereka yang berada di atas kapal Nabi Nuh. Banjir itu juga telah menenggelamkan semua tumbuhan dan gunung-gunung yang tinggi.

Apabila kesemua orang kafir mati, Allah memerintahkan hujan supaya berhenti. Bumi pun menyerap semula air banjir itu. Nabi Nuh sentiasa berdoa dan berzikir kepada Allah. Selepas banjir itu surut, kapal Nabi Nuh pun berlabuh di atas Bukit Judiy.

lPetikan daripada buku 366 Kisah daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

Tip cemerlang Bahasa Arab

* CINTA dan insan tidak boleh dipisahkan. Insan perlu bercinta dan dicintai. Tanpa cinta, hidup tidak bermakna. Pertamanya, kita wajib mencintai Allah. Kita mulakan sesuatu dengan lafaz "dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang." Daripada 99 nama-Nya, Allah mengutamakan dua nama ini. Sehubungan itu, marilah kita hidup dengan penuh kasih sayang.

* Untuk mahir berbahasa Arab, kita mesti mencintai Bahasa Arab. Bahasa Arab bukan pilihan manusia, tetapi ia adalah pilihan Allah. Jadi, bahasa Arab adalah bahasa yang paling mudah kerana Allah yang Maha Mengetahui telah memilihnya untuk kita. Oleh kerana Allah sayang kepada kita, sudah tentulah Dia memilih bahasa yang paling mudah untuk hamba-Nya.

* Tahniah kepada SM Agama al al-Iughah dan kepada semua pelajarnya pada 14 Januari, 6 Februari dan 7 Februari lalu. Program B Arab PM (penting & mudah) ini disertai oleh seramai 700 orang pelajar dan 20 orang guru. Tahniah kepada Pengetua, Datin Rohani Hakim, Ustazah Romilah Amir Hamzah, jawatankuasa penganjur dan para peserta yang begitu bersemangat untuk menguasai bahasa al-Quran.

* Kini, Bengkel bahasa Arab PM diadakan di seluruh pelosok Malaysia. Ia dilakukan sebagai melaksanakan gagasan "1 Malaysia Boleh berbahasa Arab". Setiap peserta hanya perlu membayar kos bahan berwarna-warni (potongan 33 peratus) dan mereka akan memperoleh khidmat nasihat selama empat jam secara percuma. Mana-mana pihak sama ada kerajaan, swasta ataupun individu yang berminat boleh menganjurkan bengkel selama empat jam ini di tempat mereka. Memandangkan sambutan yang amat menggalakkan, tempahan bengkel adalah berdasarkan siapa dulu dia dapat.

Program : Bengkel Penyediaan Bahan B Arab 1 Malaysia Mulai 2011

Tarikh : 8 Feb hingga 12 Feb 2010 (Isnin hingga Jumaat)

Masa : 0800 pagi -1000 malam

Tempat : Hotel Quality, Shah Alam, Selangor.

Peserta : Pensyarah, guru, penerbit, pereka hiasan, editor, penulis dan pelukis.

Program : Bengkel Bahasa Arab PM

Tarikh : 18 Feb 2010 (Khamis)

Masa : 0830 pagi -1.00 tenghari

Tempat : Sekolah Menengah Raja Dr Nazrin, Kampung Gajah, Perak.

Peserta : 410 pelajar tingkatan 1 hingga 5.

Malaysian Mosques direktori masjid

Oleh ZUARIDA MOHYIN

"RAMAI pengunjung menunjukkan minat mereka kepada buku ini dan ada di antara pembeli memberitahu bahawa mereka berminat untuk membeli buku edisi antarabangsanya. Malah kita juga sudah berbincang dengan pembeli-pembeli dari Turki, Emeriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan beberapa buah negara lain. Mengejutkan juga bila negara yang majoritinya beragama Buddha seperti Jepun turut berminat dengan buku mengenai masjid-masjid di negara kita ini. (Petikan Bernama bertarikh 19 Oktober 2009)

Itulah ulasan cukup memberangsangkan daripada Pengurus Projek Seleksi Angsana Sdn. Bhd., Farah Azrin Zumdi mengenai sambutan yang diterima sewaktu mempromosikan buku berjudul, Malaysian Mosques pada Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt, Jerman yang berlangsung pada Oktober tahun lalu.

Tentu ramai daripada kita tertanya-tanya apakah keistimewaan yang terdapat pada buku berkulit keras setebal 439 muka surat ini sehingga mendapat sambutan sehangat itu bukan? Jawapannya ada pada Pengarah Seleksi Angsana Sdn. Bhd., pengendali portal www.mosques.com.my, Mahmud Zuhdi Zainudin yang juga merupakan penulis dan penerbit buku tersebut.

Menurut Mahmud Zuhdi, 61, idea penghasilan karya ini adalah rentetan daripada usaha bersungguh-sungguh dalam mengumpulkan bahan-bahan berkaitan masjid dari segi asal usul, sejarah, reka bentuk, seni bina dan banyak lagi. Sehinggalah terbinanya portal www.mosques.com.my.

Katanya lagi, portal ini bukan sahaja mengetengahkan masjid-masjid yang terdapat di seluruh Malaysia, Sabah dan Sarawak tetapi juga masjid-masjid besar yang terdapat di negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Brunei.

"Berbalik kepada buku, Malaysian Mosques, hasrat menghasilkan buku ini sebenarnya bertitik-tolak daripada portal tadi. Saya banyak menerima cadangan agar dibuatkan dalam bentuk buku. Jadi, dari situlah digerakan usaha ke arah penghasilan sebuah buku sehinggalah terhasil naskhah yang disampaikan dengan gaya buku coffee-table. Masjid Negara menduduki tangga teratas sebelum diikuti masjid-masjid besar lain yang disusun mengikut kategori; negeri dan daerah. Ia umpama satu direktori yang komprehensif mengenai masjid di seluruh Malaysia.

"Usaha mengumpulkan maklumat tentang masjid mula terdetik apabila pada suatu hari saya pergi ke sebuah masjid untuk menunaikan solat Zuhur. Sedang saya mengambil wuduk, saya lihat keadaan masjid tersebut cukup daif dan perlu dibantu. Sebenarnya, ini bukanlah suasana yang luar biasa kerana boleh dikatakan banyak masjid yang pernah saya pergi berkeadaan serupa. Jadi, saya mula terfikir sejenak bagaimana boleh saya membantu, agar masjid kita ini tidak dilabel dengan sesuatu yang negatif.

"Maka dari situlah, saya mula mengumpul bahan-bahan berkaitan masjid menerusi penyelidikan yang lengkap dan menyeluruh. Dengan harapan, menimbulkan keinginan kepada pengunjung tempatan mahupun antarabangsa untuk melawat ataupun jika ada segelintir orang perseorangan atau syarikat yang mahu menghulurkan sumbangan, mereka boleh terus menghubungi pihak masjid tanpa perlu melalui sebarang kepayahan terutamanya dari segi birokrasi," kata Mahmud Zuhdi yang dihubungi, baru-baru ini.

Tambahnya, buku yang pertamanya di Malaysia ini dan dijual pada harga RM150 mengetengahkan sebanyak lebih kurang 5,800 buah masjid. Ia ditampilkan secara menarik dengan disokong bantuan gambar berwarna serta fakta-fakta yang lengkap mengenai masjid serta alamat dan talian telefon untuk memudahkan perhubungan.

"Hakikatnya, Malaysia ialah sebuah negara yang paling unik di dunia. Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya berbangga dan bersyukur dengan keunikan yang dimiliki ini. Meskipun mempunyai masyarakat majmuk yang berbilang bangsa tetapi kita masih boleh hidup dalam suasana yang aman dan harmoni. Itu tidak termasuk keunikan dari segi adat budaya, kepelbagaian tradisi bangsa, kemeriahan makanan dan satu keistimewaan yang tidak dapat dinafikan ialah tentang masjid-masjid di sini.

"Boleh dikatakan, setiap negeri mempunyai ciri dan reka bentuk masjidnya yang tersendiri. Contohnya, di Melaka, kita dapat lihatnya masjidnya berbentuk pagoda yang dipengaruhi daripada tradisi negara China. Begitu juga masjid-masjid di Johor yang berciri seperti kolonial British, manakala Kedah pula dengan pengaruh Moorish," jelas Mahmud Zuhdi yang mensasarkan satu masjid satu buku, di samping mempromosikan kepada masyarakat tempatan dan para pelancong.

Terangnya lagi, buku ini juga mengandungi maklumat mengenai Malaysia secara umum diikuti negeri dan daerah. Buku Malaysian Mosques adalah buku berguna kepada mereka yang berminat sama ada untuk tujuan mengkaji atau simpanan peribadi serta pelancong yang melawat Malaysia. Untuk maklumat lanjut pembaca boleh melayari www.mosques.com.my.