Like Blog Ini...

Monday, April 19, 2010

Ilmu & Hidayah Itu Umpama Hujan

Ilmu dan Hidayah itu ibarat hujan lebat yang melimpahi bumi manakala manusia itu ibarat tanah di muka bumi ini. Rasulullah saw pernah memberikan analogi ini dalam hadisnya yang sahih pada hadis riwayat Bukhari no. 79 & hadis riwayat Muslim no. 6093.

Bagaimanakah hujan itu boleh diumpamakan sebagai ilmu & hidayah? Apa significant hujan yang menjadikan ia boleh diumpamakan sedemikian? Apakah indikator yang mampu dijadikan bukti hujan itu boleh diumpakan sebagai ilmu & hidayah? Kita boleh utarakan pelbagai soalan apabila seseorang mengeluarkan sesuatu hujah yang kita mungkin tak faham ataupun mungkin kita tak berapa setuju. Tapi hakikatnya ini analogi yang diberikan oleh Rasulullah saw. Jadi mari kita telusuri apakah yang dapat dikaitkan. Andai diumpamakan manusia dengan tanah itu memang sangat logik atas dasar manusia itu sendiri dijadikan daripada tanah. Kecuali bagi yang berfahaman darwinisme mungkin tak bersetuju kerana bagi mereka manusia itu berasal daripada beruk..

Jadi untuk dapatkan lebih kefahaman apakah manfaat hujan kepada bumi? Sudah tentu hujan ini banyak manfaatnya kepada bumi ini. Turunnya hujan memberi manfaat yang banyak kepada muka bumi ini dengan tumbuhnya tumbuh-tumbuhan dan menghijaukan muka bumi ini. Dengan air hujan ini juga wujudnya kawasan tadahan air yang menjadi sumber air manusia. Dengan air hujan yang turun ini juga manusia beroleh manfaat air itu sendiri. Oleh itu sangatlah banyak manfaat hujan itu pada manusia. Daripada huraian nie rasanya mungkin dah faham dah kot. Or kalau tak dihuraikan pun mungkin ramai dah faham. Maklumlah, manusia sekarang tahap intelektualnya tinggi. Tak perlu hurai banyak dah faham. Tak perlu diajar pun dah boleh faham. Tapi jangan pula rasa bangga diri dengan nikmat kelebihan yang ada itu kerana walau ada kesombongan walaupun sebesar biji sawi dalam hati kita maka kita tidak akan masuk syurga. Itu hadis ye..bukan direka-reka.

Sabda Rasulullah saw :

"عن عبد الله بن مسعود قال قال رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه والسلام لاَيَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِى قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُوْنَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنًا قَالَ إِنَّ اللهَ جَمِيْلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ اَلْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وّغَمْطُ النَّاسِ "

Maksudnya : Dari Abdullah bin Mas’ud RA berkata : “Rasulullah SAW bersabda : “Tidak akan masuk kedalam surga, seseorang yang didalam hatinya terdapat kesombongan (takabur) seumpama biji sawi.” Seorang laki-laki bertanya :”Sesungguhnya ada seseorang yang menyukai supaya bajunya bagus dan sandalnya bagus.” Nabi menjawab : “Sesungguhnya Alla itu Indah, Dia menyukai keindahan. Kesombongan itu menolak kebenaran dan memandang rendah orang lain.”

Ok. Berbalik kepada topik asal kita tentang hujan yang diumpakan sebagai ilmu & hidayah dan tanah yang diumpakan dengan manusia. Sabda Rasulullah saw:

"Narrated Abu Musa: The Prophet said, "The example of guidance and knowledge with which Allah has sent me is like abundant rain falling on the earth, some of which was fertile soil that absorbed rain water and brought forth vegetation and grass in abundance. (And) another portion of it was hard and held the rain water and Allah benefited the people with it and they utilized it for drinking, making their animals drink from it and for irrigation of the land for cultivation. (And) a portion of it was barren which could neither hold the water nor bring forth vegetation (then that land gave no benefits). The first is the example of the person who comprehends Allah's religion and gets benefit (from the knowledge) which Allah has revealed through me (the Prophets and learns and then teaches others. The last example is that of a person who does not care for it and does not take Allah's guidance revealed through me (He is like that barren land.)"

nie terjemahannya :)

"Dari Abu Musa ra, dia berkata : “Nabi SAW bersabda : "Sesungguhnya perumpamaan ilmu dan hidayah yang aku bawa seperti air hujan yang menimpa bumi. Di antara bumi ini ada yang kelompok yang baik, dia menerima air lalu menumbuhkan rumput yang banyak, di antaranya juga ada yang gersang (cadas), dia bisa menahan (menadah) air, sehingga bisa dimanfaatkan oleh manusia, manusia bisa minum, mengairi (tanaman) dan bisa menggembala. Dan air hujan itu juga mengenai bagian bumi yang lain yaitu lembah yang tidak bisa menahan air dan tidak bisa menumbuhkan rumput. Itulah perumpamaan orang yang paham tentang agama Allah (Islam), dia mendapatkan manfaat dari apa yang aku bawa, dia tahu lalu mengajarkannya. Dan perumpamaan orang yang tidak memperdulikannya sama sekali dan tidak menerima hidayah dari Allah yang aku bawa."
(HR. Bukhari- Muslim)

Jadi daripada cerita hujan tadi, rupanya hadis Rasulullah saw nie ceritakan tentang perumpamaan manusia yang ada 3 jenis semuanya :
Manusia yang ibarat tanah yang subur dan sihat yang mana menumbuhkan pokok-pokok, rerumput dan lalang-lalang apabila menerima air hujan. Dalam erti kata lain dia mengambil manfaat daripada ilmu itu serta mengamalkannya tetapi bukan setakat itu saja, dia mampu memberikan manfaat itu kepada orang lain pula. Inilah golongan yang diberikan ilmu & hidayah oleh Allah swt lalu dimanfaatkan dan kesannya dapat kepada orang lain.
Manusia yang ibarat tanah gersang yang tidak menumbuhkan tanaman tapi menakung air sepertimana kolam yang ditakungi air. Maka air ini memberi manfaat kepada orang lain yang dapat menggunakan air itu untuk membersihkan diri, menghilangkan dahaga dan sebagainya. Jadi inilah pula golongan yang mana menerima ilmu & hidayah daripada Allah cumanya mungkin mereka tidak begitu mengambil manfaat dari pemberian tersebut atau mungkin juga ilmu yang mereka pelajari itu tidak cukup memberi kesan kepada mereka. Namun mereka tetap mampu memberi manfaat kepada orang lain dengan menyampaikan ilmu kepada orang lain. Ini juga golongan yang baik kerana dengan menyampaikan ilmu itu juga ada sahamnya di akhirat kelak.
Golongan ketiga inilah yang patut kita elakkan. Golongan ini diibaratkan seperti tanah yang tak mampu menakung air & tak subur serta tak sihat. Tak ada tumbuhan yang tumbuh darinya & air pun tak diserap & ditakung oleh tanah tersebut. Inilah golongan manusia yang menolak ilmu & hidayah daripada Allah lalu tidak pula ada manfaatnya kepada orang lain.

Untuk bermuhasabah, renung-renungkanlah kita ini pada tahap yang mana?

Jadi Rasulullah saw 'conclude'kan hadis tersebut dengan sabdanya
"......Itulah perumpamaan orang yang paham tentang agama Allah (Islam), dia mendapatkan manfaat dari apa yang aku bawa, dia tahu lalu mengajarkannya. Dan perumpamaan orang yang tidak memperdulikannya sama sekali dan tidak menerima hidayah dari Allah yang aku bawa."

Oleh itu sentiasalah berebut-rebut & berlumba-lumba dalam mencari ilmu & amalkanlah ilmu yang kita peroleh itu. Boleh jadi ilmu itu kita dapat melalui bacaan atau kuliah atau mungkin juga daripada pengalaman hidup kita sendiri. Jadi kongsikanlah ilmu-ilmu ini kepada orang lain seperti mana para ulama' berkongsi ilmu mereka kepada kita. Andai para ulama' tidak berkongsi ilmu ini, maka keseluruhan manusia ini mungkin akan berada dalam kesesatan yang nyata. Jadi, hargailah usaha ulama' kita membukukan ilmunya di dalam kitab-kitab mereka dan jadikanlah ilmu-ilmu ini sebagai sumber kekuatan kita untuk menjadi Muslim secara Total.

Artikel dipetik dari
http://ruhhuldaie.blogspot.com/2010/04/ilmu-hidayah-itu-umpama-hujan.html

Jaga 7 Sunnah Rasulullah S.A.W

Dipetik daripada koleksi artikel rakanmasjid.com

"Cerdasnya orang yang beriman adalah, dia yang mampu mengolah hidupnya yang sesaat, yang sekejap untuk hidup yang panjang. Hidup bukan untuk hidup, tetapi hidup untuk Yang Maha Hidup. Hidup bukan untuk mati, tapi mati itulah untuk hidup.

Kita jangan takut mati, jangan mencari mati, jangan lupakan mati, tapi rindukan mati. Kerana, mati adalah pintu berjumpa dengan Allah SWT. Mati bukanlah cerita dalam akhir hidup, tapi mati adalah awal cerita sebenarnya, maka sambutlah kematian dengan penuh ketakwaan.

Hendaknya kita selalu menjaga tujuh sunnah Nabi setiap hari. Ketujuh sunnah Nabi SAW itu adalah:

Pertama: tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.

Kedua: membaca Al-Qur'an sebelum terbit matahari Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur'an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.

Ketiga: jangan tinggalkan masjid terutama di waktu shubuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.

Keempat: jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.

Kelima: jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.

Keenam: jaga wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, "Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah".

Ketujuh: amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.


Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya. Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme dan hedonisme.

Friday, April 16, 2010

Semut bersama Nabi Sulaiman

PADA zaman Nabi Sulaiman, semut-semut hidup dengan aman dan damai. Mereka saling tolong-menolong di antara satu sama lain. Setiap pergerakan mereka mesti bersama dan berkumpulan. Sekiranya salah seekor sahaja daripada mereka menjumpai makanan, mereka tetap akan makan bersama. Begitulah kehidupan mereka setiap hari.

"Assalamualaikum tuanku," kata salah seekor daripada pahlawan semut.

"Waalaikummussalam," jawab Permaisuri Semut.

"Kenapa kamu datang ke sini dengan tergesa-gesa?" tanya Raja Semut.

"Sebenarnya aku mendapat khabar berita bahawa Nabi Sulaiman bersama bala tenteranya menuju ke negara kita. Apa yang harus kita buat, tuanku?" tanya pahlawan semut.

Permaisuri Semut itu risau sekiranya angkatan tentera Nabi Sulaiman yang ramai dan besar memijak rakyatnya yang kecil itu. Lalu ia mencari jalan untuk menyelamatkan mereka.

Tanpa membuang masa, Permaisuri Semut memanggil pahlawan-pahlawannya untuk membincangkan hal itu. Semut-semut itu berasa hairan melihat Permaisuri Semut kerisauan.

"Beta mendapat khabar bahawa Nabi Sulaiman bersama angkatan tenteranya sedang menuju ke negara kita. Apakah yang patut kita buat demi menyelamatkan negara dan rakyat kita daripada dimusnahkan?" tanya Permaisuri Semut.

"Pada pendapat patik, lebih selamat sekiranya kita arahkan semua semut-semut masuk ke dalam sarang. Patik risau semut-semut ini akan dipijak oleh angkatan tentera Nabi Sulaiman," sahut salah seekor daripada menteri semut.

Maka Permaisuri Semut bersetuju dengan cadangan daripada menterinya itu.

Apabila angkatan tentera Nabi Sulaiman sampai ke lembah semut, maka Permaisuri Semut berkata kepada rakyatnya, "Hai semut-semut sekalian! Masuklah kamu ke dalam sarang masing-masing, supaya kamu tidak dipijak oleh Nabi Sulaiman bersama angkatan tenteranya. Mereka tidak menyedari bahawa mereka membawa bencana kepada kamu," kata Permaisuri Semut.

Ketika itu Nabi Sulaiman bersama angkatan tentera baginda telah berada di situ. Nabi Sulaiman memandang ke arah Permaisuri Semut sambil tersenyum.

"Janganlah kamu takut dan bimbang, angkatan tenteraku tidak akan merosakkan dan memijak lembahmu ini," kata Nabi Sulaiman.

Nabi Sulaiman terus sujud tanda bersyukur kerana Allah telah mengurniakan kepada baginda kebolehan memahami bahasa binatang. Baginda juga berdoa kepada Allah, supaya diberi ilham untuk mensyukuri nikmat yang telah dianugerahkan kepada baginda dan ibu bapa baginda.

Nabi Sulaiman juga memohon supaya Allah menempatkan baginda di kalangan orang yang beriman.

Lalu baginda mengarahkan angkatan tenteranya melalui jalan yang lain. Nabi Sulaiman bimbang akan terpijak semut-semut di situ. Akhirnya semut-semut itu selamat daripada dipijak oleh Nabi Sulaiman dan angkatan tenteranya.

lPetikan daripada buku 366 Kisah daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

Kagat perkukuh spiritual ATM

Oleh MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL

PERTAHANAN dan keamanan merupakan satu keperluan yang penting (maslahat dharuriyyat) bagi setiap manusia, masyarakat serta negara pada setiap masa dan tempat. Dengan adanya pertahanan, keamanan dan keselamatan manusia, masyarakat dan negara akan dapat melaksanakan tugas, peranan dan tanggungjawab yang dimiliki ke tahap yang maksimum.

Para ulama telah menyebut kepentingan dan kebajikan manusia ini sebagai satu maslahat atau kepentingan dan ia terbahagi kepada tiga iaitu:

* Masalahat dharuriyyat. Sesuatu yang diperlukan oleh manusia dalam kehidupan bagi memastikan kehidupan mereka berjalan dalam keadaan yang normal dan tidak terancam. Sekiranya perkara ini tidak dijaga maka kehidupan manusia akan pincang dan tidak sempurna.

* Maslahat hajaiyyat. Perkara yang diperlukan manusia untuk memudahkan perjalanan hidup. Sekiranya perkara ini tidak wujud, kehidupan mereka tidak akan pincang tetapi akan berhadapan dengan sedikit kesusahan.

* Maslahat tahsiniyyat. Perkara yang dinilai menepati kebiasaan manusia dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara tersebut yang boleh mencacat dari segi penilaian dan adat kebiasaan (Yusuf al-Qaradawi, 1995).

Selain itu, al-Quran menyebut bahawa antara keperluan asasi manusia itu antara lain diistilahkan sebagai al-amn atau keamanan, iaitu kata bahasa Arab, yang bererti aman dan tenteram.

Keamanan berkait rapat dengan keimanan kerana iman sebagai benteng kekuatan dalam hati untuk mencipta dan membina rasa keamanan dan ketenteraman, khususnya aman dan tenteram daripada segala gangguan dan kegelisahan di dunia atau pun di akhirat.

Dalam al-Quran perkataan al-amn (keamanan) disebut sebanyak 45 kali dan istilah iman sebanyak 800 kali. Kedua-dua perkataan tersebut mempunyai hubungan yang rapat berkaitan dengan keamanan dan pertahanan yang pada asasnya mempunyai makna atau pengertian yang cukup luas iaitu, pertama: Saling percaya mempercayai serta tidak saling mencurigai dan kedua: Makna ketenangan dan perdamaian dan bukan permusuhan atau pertentangan.

Dalam konteks negara kita Malaysia, salah satu agensi yang diamanahkan untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara adalah organisasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tugas tersebut adalah amanah yang besar dan yang tentunya berkait rapat dengan aspek keagamaan. Ternyata amanah tersebut dipikul dengan jayanya oleh ATM sejak tahun 1933 hingga kini dan telah menjangkau 77 tahun.

Proses menyediakan angkatan tentera yang kuat, profesional dan berwibawa bukanlah sesuatu yang bersifat tabie semata-mata. Ertinya bukanlah disebabkan adanya musuh atau terdapatnya ancaman ke atas sesebuah negara menyebabkan sesebuah negara itu membentuk angkatan tentera yang mungkin dapat menangani persoalan keselamatan dan pertahanan.

Sebenarnya pembentukan angkatan tentera di sesebuah negara khususnya negara yang dikuasai oleh umat Islam, adalah sesuatu yang diperintahkan oleh Allah SWT. Ini jelas seperti firman Allah dalam ayat 60 surah al-Anfal.

Dalam usaha membentuk angkatan tentera yang mantap dan digeruni, tentunya terdapat kaedah yang benar-benar berupaya untuk melahirkan anggota yang cekap dan berwibawa.

Aspek-aspek latihan seperti mendisiplinkan anggota, melatih kecekapan menggunakan senjata, membentuk moral anggota supaya taat kepada arahan, tekun bekerja dan tidak melakukan penyelewengan adalah sesuatu yang perlu dititikberatkan.

Namun demikian, kejayaan aspek-aspek tersebut tidak boleh dicapai tanpa ada satu lagi elemen penting dalam pembentukan diri anggota tentera. Elemen tersebut adalah elemen kerohanian yang ada hubungannya dengan keimanan, ketakwaan, dan kepercayaan kepada agama.

Kepentingan pengukuhan nilai-nilai rohani ini perlu terus digerakkan bagi memastikan warga ATM dapat melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan.

Menurut Muhammad Ahmad Bashil (1989) dalam, bukunya, Politik dan ketenteraan - Perjanjian Hudaibiyyah, usaha-usaha untuk membentuk anggota tentera yang boleh memahami tugas mereka dengan berkesan dan dalam masa yang sama menjadi hamba Allah yang taat memerlukan usaha dakwah dan pendidikan yang berterusan.

Ternyata tugas dan tanggungjawab bagi membentuk kekuatan kerohanian anggota ATM keseluruhannya terletak kepada Kor Agama Angkatan Tentera atau Kagat yang kini genap 25 tahun pada 16 April 2010.

Kagat yang ditubuhkan pada tahun 16 April 1985 itu, tentunya sedikit sebanyak membina kekuasaan kerohanian ini atau disebut sebagai kekuatan tempur spiritual (spiritual combat power), yang bermaksud: "Elemen berkaitan roh dan kejiwaan atau kerohanian yang menjadi pendorong dalam perjuangan dan peperangan bagi mencapai matlamat yang dicita-citakan".

Dalam erti kata yang lain ia juga boleh didefinisikan sebagai: "Semangat juang atau kekuatan spiritual yang tersembunyi serta wujud dalam diri anggota tentera yang mampu bertindak sebagai penggerak menjadikan mereka tabah dan berani mengharungi apa jua bentuk kesusahan, kepayahan dan bahaya meskipun tekanan peperangan yang sengit".

Sesungguhnya penghayatan Islam di kalangan anggota ATM amat penting. Sejarah membuktikan bahawa anggota tentera di bawah pimpinan Panglima Perang Islam Tariq bin Ziyad telah berjaya membuka Andalusia dan anggota tentera di bawah pimpinan Salahuddin Al-Ayubi yang membebaskan Al-Quds dan anggota tentera di bawah pimpinan Sultan Muhammad Al-Fatih telah berjaya menawan Kota Konstantinopel.

Ini juga menepati apa yang pernah disabdakan oleh nabi dengan hadis yang bermaksud: "Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan baik-baik Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan tentera-tenteranya adalah sebaik-baik tentera".

Sehubungan itu, setelah 25 tahun Kagat dalam ATM, usaha-usaha memantapkan aspek syiar dan penghayatan Islam di kalangan anggota ATM perlu diteruskan. Aspek kekuatan doa dan amal ibadah perlu diterapkan selaras dengan kecanggihan senjata.

Ini bermaksud kekuatan jiwa dan hati juga perlu seimbang dengan kekuatan fizikal dan mental. Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). (al-Anfal: 45)

Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, dalam ayat ini Allah memerintahkan lima perkara kepada para pejuang Islam termasuk anggota tentera yang berjuang demi mempertahankan agama, bangsa dan tanah airnya.

1. Tentang keteguhan hati ketika berjuang dan Allah akan memberikan sifat keberanian.

2. Banyak mengingati Allah dengan berzikir dan beribadat.

3. Taat kepada Allah dan Rasul-Nya.

4. Bersatu dan saling tidak berpecah.

5. Keupayaan untuk mengekalkan keempat perkara yang telah disebutkan.

Jika ini dapat dilakukan oleh seluruh warga ATM sudah tentu Allah sentiasa memberikan kerahmatan dalam perjuangan dan tugas-tugas yang telah diamanahkan.

Menyorot kejayaan Kagat dalam tempoh 25 tahun ini ternyata telah membawa kesan positif terhadap kemajuan ATM serta memberi sumbangan terhadap peningkatan syiar Islam di Malaysia pada umumnya.

Buktinya, model Kagat diterima pakai oleh agensi lain untuk menubuhkan unit agama dalam perkhidmatan mereka seperti Polis Diraja Malaysia, Penjara Malaysia, dan juga JAMAAT dalam Angkatan Tentera Diraja Brunei.

Namun demikian usaha-usaha untuk meningkatkan tahap pengurusan organisasi, modul dan pendekatan dakwah juga perlu terus dilakukan.

Pendekatan ini termasuklah apa yang disebut oleh Franklin Covey, The 7 habits of highly effective people (2001) yang telah menyenaraikan aspek Seek First to Understand, then to be Understood. Aspek tersebut adalah prinsip penting yang perlu dihayati oleh para pendakwah.

Selain itu, pemantapan pengurusan dakwah juga merangkumi aspek ad-daie iaitu anggota dan pegawai Kagat. Membina kualiti manusia ad-daie amat penting khususnya dalam aspek ilmu, maklumat, kemahiran dan sikap.

Ciri-ciri utama yang disasarkan oleh ATM dalam era transformasi adalah kebersamaan, cegah rintang dan versatil yang diyakini akan membolehkannya menangani segala cabaran dalam sebarang situasi konflik masa hadapan dengan lebih mantap lagi berkesan.

Oleh yang demikian evolusi transformasi keupayaan ATM ini perlu diperkasa secara menyeluruh. Ia bukan sahaja tertumpu kepada aspek penstrukturan organisasi dan perolehan aset-aset tempur berteknologi canggih, malahan membudayakan nilai teras yang berwibawa, kepimpinan berintegriti dan pembangunan modal insan berkualiti.

Ini merangkumi aspek pembangunan modal insan. Membangun modal insan dalam erti kata sebenar amat berkait rapat dengan membangunkan potensi manusia secara menyeluruh sebagai khalifah Allah.

Untuk itu manusia hendaklah berilmu dan menghayati ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW secara menyeluruh dalam kehidupan.

Ternyata dalam suasana kegemilangan menyambut jubli perak atau ulang tahun ke 25 penubuhan Kagat ini, seluruh warga Kagat perlu menyedari bahawa perjuangan masih belum selesai.

Ini selari dengan apa yang disebutkan oleh tokoh dakwah Mustaffa Masyhur bahawa usaha memberi kefahaman dan penghayatan Islam kepada golongan sasaran dakwah perlu melepasi peringkat tertentu bermula daripada memahami Islam yang dianuti dengan fahaman yang benar, tepat dan menyeluruh sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW, hinggalah kepada merealisasikan segala ajarannya dengan cara yang betul dan sempurna hingga mencapai tahap para amilin dan solihin.

Jika ini mampu dilakukan, ternyata Kagat telah menyumbang bagi mencapai matlamat menjaga kepentingan Islam atas dasar Maqasid as-syariyyah dan dalam tempoh 25 tahun ini juga memenuhi keperluan tersebut yang turut merupakan misi dan visi ATM secara amnya iaitu menjaga lima perkara yang selari dengan kehendak Islam iaitu ad-din, akal, jiwa, kehormatan dan menjaga harta.

Saturday, April 10, 2010

Ulama bukan pak turut

Kerajaan pada 31 Mac yang lalu memutuskan lokasi sambutan Hari Pahlawan yang sering diadakan di Tugu Negara pada setiap 31 Julai akan dipindahkan ke Putrajaya, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pemindahan lokasi itu adalah sebagai mematuhi garis panduan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini yang menyatakan sambutan itu tidak boleh diadakan di kawasan yang mempunyai patung menyerupai manusia.

Saya gembira apabila mendengar keputusan kerajaan itu. Ini merupakan satu kemenangan pihak institusi agama dalam menegakkan kebenaran syarak, walaupun tradisi sambutan Hari Pahlawan di tugu negara seolah-oleh terlalu suci untuk diubah. Namun pengumuman terbaru itu menunjukkan bahawa tradisi boleh diubah jika kita serius dan mahu menjunjung perintah Allah SWT dan Rasulullah melebihi tradisi dan peraturan yang kita adakan sendiri. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada Ahmad Zahid Hamidi yang kebetulan dulunya adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama. Begitu juga dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang dulunya orang kuat Angkatan Tentera Malaysia.

Sebenarnya fatwa ini bukannya baharu, tapi telah diputuskan oleh AJK Fatwa Kebangsaan pada 6 Oktober 1987 dalam Muzakarah Kali Ke-19 yang telah menetapkan bahawa :

(a) Amalan-amalan seperti tiupan Last Post bertafakur dengan menundukkan kepala selama 20 saat, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan Rouse yang dilakukan di hadapan Tugu Negara dalam upacara menyambut Hari Kenangan Rakan Seperjuangan olah Angkatan Tentera Malaysia bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.

(b) Bacaan sajak yang boleh menimbulkan semangat kepahlawanan adalah diharuskan dengan syarat tidak dilakukan di hadapan tugu atau di tempat-tempat atau dalam suasana yang dilarang oleh syarak.

Kemudian pada 21 September 1995, Muzakarah Kali Ke-39 pula memutuskan bahawa :

'' Meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara sempena sambutan Hari Pahlawan adalah sama dengan keputusan yang telah diambil dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang pada 7 Oktober 1987 iaitu bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik."

Apa yang saya ingin nyatakan di sini bagaimana pendekatan dakwah pada hari ini perlu diteruskan bersama dengan kekuatan kekuasaan. Fatwa berkaitan dengan Hari Pahlawan bukannya baru, malah sudah 13 tahun diputuskan, namun hanya pada 31 Mac 2010 fatwa itu diterima untuk dipatuhi.

AJK Fatwa Kebangsaan dan para mufti seluruh negeri umumnya bertindak sebagai penasihat dalam hukum syarak. Namun sejauh mana nasihat ini boleh diterima dan dipatuhi, semuanya bergantung kepada pemegang kuasa, pemerintah atau Umara. Saya melihat inilah cabaran utama para ulama hari ini.

Pengalaman

Golongan ulama banyak bertugas sebagai penasihat, ada yang menjadi Mufti, ada yang menjadi Panel Syariah di perbankan atau di syarikat-syarikat. Sedikit pengalaman saya sebagai Kadi Besar dan hari ini sebagai Mufti menunjukkan bagaimana para ulama perlu bijak mendekati para Umara. Di tangan merekalah kuasa untuk merubah polisi dan undang-undang.

Bukan saya kata mendekati di sini dengan maksud membodek atau sanggup menjadi pak turut, seperti tuan penasihat Sadiq Segaraga dalam cerita tiga Abdul. Asal saja dapat 25 peratus semuanya boleh. Maksud saya bagaimana hari ini kita berperanan menunjukkan 'permata' itu adalah permata dan bukan dipandang orang ia 'kaca'. Cuma mungkin gaya pendekatan, penghujahan dan metod dakwah yang perlu kita titik berat hari ini. Dengan itulah nanti setiap nasihat ulama akan berupaya membentuk dan dijadikan panduan oleh para umara dan masyarakat. Ulama perlu tegas namun berhikmah dalam menyampaikan dakwah mereka.

Perkembangan terbaru ini sudah nampak baiknya. Namun saya akan terus berjuang moga segala fatwa dan nasihat yang telah diputuskan akan terus dipatuhi oleh pemerintah dan masyarakat. Masih banyak keputusan atau fatwa tinggal terlipat dalam fail-fail muzakarah.

Saya juga mengharapkan institusi fatwa nanti akan kebal daripada tekanan politik serta mempunyai kekuatan untuk ditaati oleh semua pihak sama ada rakyat mahupun pemerintah. Keimanan kita terhadap Islam yang tinggi (Islamuya'lu wala yu'la alaih) dan sokongan Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 3 perlu diterjemahkan dalam realiti negara pada hari, jika kita terus mahu melihat Islam dihormati. Saya mengharapkan ia menjadi realiti sebelum saya dipanggil Allah SWT satu hari nanti.

Apabila sejarah silam tidak jadi pengajaran

PELBAGAI dugaan dihadapi oleh warga Islam di beberapa negara Eropah dewasa ini. Berlaku di Warsaw, ibu negara Poland pada minggu lalu adalah demonstrasi membantah pembinaan sebuah masjid di pinggir kota itu.

Walhal bilangan warga Islam di negara itu tidak sampai 30,000 orang dan 90 peratus daripada 38 juta penduduknya penganut Katholik. Menurut laporan agensi berita luar negara seorang penunjuk perasaan membawa sepanduk yang menggambarkan menara masjid sebagai peluru berpandu.

Sebelum itu sebuah jawatankuasa Parlimen Belgium sebulat suara mengundi mengharamkan pemakaian burqa dan niqab di khalayak ramai. Di Switzerland rakyat disaran mengundi mengharamkan pembinaan menara masjid.

Sebelum itu pula harian akhbar Jyllands-Posten menyiarkan 12 kartun yang mengejek Nabi Muhammad SAW. Bantahan daripada beberapa negara dan golongan Islam ditolak atas alasan mahu menegakkan kebebasan berbicara seperti dinyatakan oleh ketua jabatan pengarang akhbar itu: ''Kami hidup dalam negara demokrasi dan karya jolokan dibolehkan.''

Bilangan warga Islam di Denmark kira-kira 150,000 saja, iaitu 2.8 peratus dari jumlah penduduk. Majalah Gatra di Jakarta melaporkan kenyataan Ahmad Furqan Noor, Ketua Perhimpunan Masyarakat Islam Indonesia di Denmark mengenai perubahan sikap pihak berkuasa. Contohnya, seorang warga Islam dan orang asing mesti punyai 50,000 krone jika mahu menikahi warga Denmark.

Lain hal berlaku di Serbia minggu lalu apabila Parlimennya meluluskan usul mengutuk pembunuhan seramai 8,000 warga Islam di Srebenica pada tahun 1995 semasa meletusnya Perang Bosnia.

Bertugas di situ waktu itu ialah 400 askar Belanda sebagai tentera pendamai Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Menurut sebuah laporan akhbar Times, London kemudiannya: ''Pembunuhan beramai-ramai itu meninggalkan kesan mendalam pada rakyat Belanda hingga menyebabkan kerajaan Belanda waktu itu meletakkan jawatan setelah terbit laporan yang menegur kerajaan kerana menempatkan askar-askar Belanda dalam keadaan paling sukar.

Bantuan

"Kerana tiadanya bantuan tentera udara, maka mereka tidak dapat bertindak manakala askar-askar Serbia mengasingkan lelaki dewasa dan budak lelaki daripada isteri dan ibu mereka. Mereka dipaksa menaiki lori dan kesemuanya dibawa ke tempat pembunuhan.

"Kerajaan Belanda kemudian menyekat permohonan Serbia untuk menyertai Kesatuan Eropah. Dalam pada itu Jeneral Retko Mladic yang mengetuai laskar Serbia masih bebas.'' Demikian laporan akhbar Timur pada 19 Jun 2008.

Laporan itu mengulas tuntutan para isteri dan ibu kepada 8,000 mangsa korban pembunuhan itu supaya PBB memberi bantuan wang. Mereka menuntut ganti rugi sejumlah 2 bilion pound.

Pembunuhan 8,000 orang itu pun dicop sebagai Srebenica Genocide. Ia diakui sebagai pembunuhan beramai-ramai paling kejam selepas tamat Perang Dunia Kedua.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa bersidang pada 2007 di The Hague, Belanda. Keputusannya berbunyi: ''Mahkamah memutuskan bahawa tindakan-tindakan di Srebenica telah dilakukan khusus untuk membinasakan orang Islam dan dengan itu berlaku pembunuhan beramai-ramai.''

Mahkamah Antarabangsa itu juga memutuskan bahawa pihak berkuasa Serbia gagal menyekat pembunuhan beramai-ramai itu. Lalu dicatit seterusnya: ''Juga menjadi korban ialah kanak-kanak, para wanita dan orang-orang tua.'' Suruhanjaya yang mengira jumlah orang menjadi korban mencatat 8,373 nama.

Keputusan Parlimen Serbia yang mengutuk pembunuhan itu tidak menyebut perkataan genocide. Usul yang diluluskan itu dianggap sebagai usaha baru pihak berkuasa Serbia supaya diterima menjadi anggota Kesatuan Eropah.

Seperti diketahui, seorang lagi ketua pihak Serbia, Radovan Karadzic, telah ditangkap dan sedang dibicarakan di The Hague. Masih bebas ialah General Ratko Mladic yang mengepalai laskar Serbia.

Setelah 15 tahun berlalu sejak pembunuhan beramai-ramai itu maka kini berlaku pula demonstrasi anti-pembinaan masjid, larangan bertudung di khalayak ramai, larangan membina menara masjid dan pelbagai kartun mengejek nabi.

Timbul pertanyaan, apakah ini caranya manusia belajar dari sejarah silam?

Baitul Fiqh beri perlindungan

Oleh Aishah Ariff

PELBAGAI isu gejala sosial yang berleluasa di kalangan masyarakat hari ini seperti pergaulan bebas, hamil luar nikah, pembuangan bayi dan sebagainya bukanlah sesuatu yang baru. Sebelum Islam menyinari kehidupan manusia sejagat, dosa-dosa besar sudah menjadi amalan biasa bagi masyarakat zaman jahiliyah.

Kini, kejadian ribuan tahun dahulu yang seharusnya menjadi pengajaran manusia pada hari ini berulang kembali.

Perasaan sayu dan simpati terhadap bayi-bayi malang yang dibuang dan dibunuh seolah-olah tidak berpenghujung.

Pembuangan bayi sekadar untuk menutup malu akibat perbuatan zina yang dilakukan oleh mereka yang cetek pengetahuan agama.

Melihat kepincangan sosial yang semakin menggerunkan, kewujudan rumah perlindungan dianggap penyelesaian jangka pendek yang paling berkesan bagi menyelamatkan nyawa dan mengembalikan akidah mereka yang terlanjur.

Sesuai dengan namanya, Baitul Fiqh (rumah perlindungan), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diasaskan lima tahun lalu menjadi tempat transit bagi mangsa keganasan rumah tangga, ibu tunggal, orang miskin dan remaja bermasalah.

Buat masa ini Baitul Fiqh menempatkan remaja dan wanita berusia dalam lingkungan 14 hingga 32 tahun dengan dua daripadanya merupakan penghuni baru, tujuh hamil manakala dua lagi dalam proses berpantang.

Menurut Yang Dipertua Baitul Fiqh, Juhaidi Yean Abdullah, kos saraan penghuni yang tinggi menyebabkan pihaknya perlu mengupas idea mencari sumber kewangan lain agar tidak terlalu bergantung kepada sumbangan tetap pihak tertentu dan orang ramai.

"Memang kami ada menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), namun ia tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian, kesihatan dan rawatan penghuni selepas bersalin.

"Selain itu kami juga amat memerlukan sebuah kenderaan untuk kemudahan penghuni sekiranya mereka mengalami tanda-tanda mahu bersalin," katanya ketika ditemubual sejurus majlis perasmian Program Remaja Iman Negara Aman, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menyentuh tentang program itu, Juhaidi berkata, ia adalah sebahagian langkah Baitul Fiqh mengumpul dana bagi mencapai hasrat mengukuhkan status kewangan pertubuhan tersebut.

Melalui program itu, peserta yang terdiri daripada orang ramai dan sukarelawan perlu membeli tiket masuk terlebih dahulu sebelum menyertainya.

Aturcara program juga turut memuatkan forum khas bertajuk Anak Anugerah Ilahi yang disampaikan oleh dua pendakwah terkenal iaitu Dr. Zulkifli Mohamad Albakri dan Ustazah Zawiyah Hasan.

Forum 30 minit itu memberi penekanan terhadap pembangunan rohani dalam pendidikan anak-anak selain menghurai lanjut mengenai peranan masyarakat yang sepatutnya membimbing remaja terlanjur, bukan mencemuh.

Dalam pada itu Juhaidi berkata, penubuhan institusi sosial seumpama ini juga tidak lari daripada pandangan serong dan kritikan masyarakat.

Antara cemuhan yang paling kerap dilemparkan ialah menggalakkan zina.

"Penubuhan Baitul Fiqh bukan sekadar melindungi remaja terlanjur dan bayi yang baru lahir, kami juga menyediakan khidmat bimbingan agama dan motivasi oleh pendakwah pelbagai agensi," ujarnya.

Usaha istiqamah Baitul Fiqh mendidik anak remaja bermasalah memperlihatkan keberkesanannya tatkala seorang bekas penghuni rumah itu mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran dengan lancar ketika pembuka majlis.

"Walhal anak tersebut sebenarnya mempunyai latar belakang agama yang agak mendukacitakan," jelas Juhaidi.

Sementara itu, program Remaja Iman Negara Aman turut mendapat perhatian kerajaan apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, dilantik sebagai penaung Baitul Fiqh.

"Apa yang dilakukan oleh Baitul Fiqh menepati tiga komponen amal jariah yang wajib dilaksanakan setiap umat Islam iaitu pembangunan ilmu, fizikal dan rohani," jelas Mashitah.

Mashitah dalam ucapannya berkata, masyarakat terlalu memberi tumpuan kepada aspek pencegahan dan bukannya perlindungan.

"Hakikatnya bukan begitu. Dalam apa jua keadaan sekali pun, ibu dan bayi mesti diberi perlindungan. Soal hidup atau mati adalah kuasa Allah.

"Sebagai manusia, kita perlu sedaya upaya melindungi dan menyelamatkan mana-mana nyawa yang masih hidup," katanya.

Friday, April 9, 2010

Ambil pengajaran kisah Firaun

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Mukadimah

Muhammad Quraish Shihab dalam tafsirnya berkata: Ayat-ayat ini menghuraikan kisah Nabi Musa a.s dengan Firaun untuk menunjukkan betapa besar kuasa Allah menjatuhkan seksa kepada para penentang-Nya.

Ini dihuraikan sebagai ancaman kepada para penderhaka sekali gus sebagai penenang hati Nabi SAW. Al-Biqa'i menilai bahawa pemilihan kisah Firaun kerana berlakunya perkara yang luar biasa untuk menjadi contoh kecil pada hari kiamat.

Dalam kisahnya antara lain perhimpunan Bani Israel bersama harta benda dan binatang mereka lalu disusuli dengan tentera Firaun cepat dan tangkas.

Namun semuanya diakhiri dengan mudah oleh Allah SWT dalam bentuk yang sangat mustahil di sisi manusia.

Firman Allah SWT: Sudahkah sampai kepadamu (Wahai Muhammad) perihal Nabi Musa? Ketika ia diseru oleh Tuhannya di "Wadi Tuwa" yang suci.

Ibn Kathir berkata: Allah SWT mengkhabarkan kepada Nabi-Nya Muhammad SAW berkenaan Nabi Musa AS yang diutuskan kepada Firaun dengan diperkuatkan beberapa mukjizat. Oleh itu, ikutilah jejak langkahnya.

Al-Maraghi berkata: Kejayaan itu dicapai oleh Nabi Musa a.s sewaktu baginda dipanggil oleh Tuhannya di lembah suci lagi diberkati terletak di lereng Gunung Sinai.

Kemudian Allah SWT menjelaskan dialog antara-Nya dengan Nabi Musa a.s menerusi ayat ini.

Mengikut pendapat kebanyakan ulama al-Wadi al-Muqaddas yang bernama Lembah Thua terletak di Palestin di bawah Gunung Thursina.

Dikatakan lembah itu berada di arah kanan Gunung Thur. Ini bagi mereka yang datang dari daerah Madian iaitu di sisi utara Arab Saudi.

Firman Allah SWT: (lalu diperintahkan kepadanya): "Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas (dalam kekufuran dan kezalimannya). Serta katakanlah kepadanya: Adakah Engkau suka hendak menyucikan dirimu (dari kekufuran)? Dan mahukah, aku tunjuk kepadamu jalan mengenal Tuhan-mu, supaya Engkau merasa takut (melanggar perintah-Nya)?"

Ayat-ayat di atas menggambarkan perintah Tuhan kepada Musa AS untuk berdakwah dan memberi nasihat kepada Firaun selepas jelas sifat keji dan melampaunya.

Ini diharap supaya mereka kembali ke pangkal jalan sebelum ditimpa azab sama ada di dunia dan di akhirat. Allah mengajar cara berhadapan dengan Firaun secara lemah-lembut kerana ia lebih terkesan.

Sebahagian ulama berpendapat Firaun yang dimaksudkan bernama Maneftah, memerintah di Mesir antara 1224 SM-1214, atau menurut pendapat lain 1204 SM.

Maneftah ditemukan mumianya di Wadi al-Mulk (lembah Raja-raja) daerah Thaba-Luxor, Mesir pada tahun 1896 M dan dibuka pembalut-pembalutnya oleh Eliot Smith seorang Ahli Kaji Purba pada 8 Julai 1907.

Firman Allah SWT: (setelah Nabi Musa menyempurnakan perintah Tuhannya, dan Firaun pun meminta bukti kebenarannya), maka Nabi Musa a.s memperlihatkan kepada Firaun, mukjizat yang besar.

Iaitu mukjizat tongkat dan mukjizat tangan yang putih melepak bagi meyakinkan dakwah yang dibawanya dari Allah SWT. Malangnya keangkuhan Firaun menyebabkan mereka ingkar bahkan menentangnya seperti firman Allah SWT pada ayat-ayat berikutnya.

Firman Allah SWT: Lalu Firaun mendustakan (Nabi Musa) dan menderhaka (kepada Allah). Kemudian ia berpaling ingkar sambil menjalankan usahanya (menentang Nabi Musa). Lalu ia menghimpunkan orang-orangnya dan menyeru, dengan berkata: "Akulah Tuhan kamu, yang tertinggi".

Firaun dalam rangka menentang kebenaran dengan kebatilan yang dianutinya telah mengumpul ahli sihir serta orang ramai untuk menghadapi mukjizat Nabi Musa a.s, lebih malang lagi dia mendakwa sebagai Tuhan yang tertinggi.

Al-Maraghi berkata: Firaun terus bongkak dan sombong sehingga dia mengejar Nabi Musa a.s dan kaumnya yang pergi menuju ke Laut Merah sewaktu keluar dari Mesir.

Firman Allah SWT: Maka Allah menyeksa Firaun di akhirat dan di dunia ini, dengan azab yang menakutkan sesiapa yang mengetahuinya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang takut (melanggar perintah Tuhannya).

Ibn Kathir berkata: Allah SWT menimpakan azab sengsara kepadanya untuk dijadikan ibrah dan pengajaran bagi orang seumpamanya yang melakukan takbur dan penyelewengan di dunia.

Sedangkan orang yang mengambil pengajaran itulah sebenar-benar orang yang takut dan mendapat kebaikan dalam hidupnya.

Dalam tafsir al-Misbah menyebut berkenaan pendapat beberapa pakar sejarah iaitu Firaun yang ditenggelamkan ini bukanlah Firaun yang memungut Nabi Musa a.s dari sungai Nil.

Sebaliknya yang ditenggelamkan ini adalah puteranya yang dibesarkan bersama Musa a.s dan kemudian menjadi Firaun iaitu pemerintah tertinggi Mesir.

Penutup

Syed Qutb berkata: Orang yang mengenal Tuhan-Nya dan takut kepada-Nya dapat memahami contoh pengajaran dari kisah Firaun.

Namun, bagi mereka yang hatinya tidak mengenal takwa akan terhijab dari contoh pengajaran itu hingga mereka berlanggar dengan akibat yang buruk sehingga Allah SWT menyeksa mereka dengan azab yang dahsyat di dunia dan di akhirat.

Setiap orang mendapat pilihan untuk memilih jalan ke arah kebaikan atau keburukan. Hanya orang yang takut kepada Allah sahaja dapat mengambil pengajaran.

Allah menguji tentera Thalut

SETELAH Thalut dilantik menjadi raja bagi Bani Israel, beliau telah membina sebuah angkatan perang. Semua pemuda dan orang-orang tua yang masih sihat dan kuat dikumpulkan untuk membentuk satu pasukan.

Matlamat mereka adalah untuk menentang tentera Palestin yang diketuai oleh Jalut. Mereka sangat terkenal dengan kekuatannya. Oleh itu, tentera Israel berjanji untuk menebus kembali wilayah mereka yang telah ditakluk oleh Palestin.

Thalut yang mengetuai pasukan tentera tersebut telah merancang berbagai-bagi strategi. Beliau banyak memberi nasihat penting kepada para tenteranya tentang taktik-taktik untuk melawan musuh.

Thalut juga mengajar tenteranya erti kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi peperangan.

Apabila sampai waktunya untuk berperang, Thalut dan tenteranya telah bersiap sedia untuk memulakan perjalanan. Dalam perjalanan ke medan perang itu, Thalut berkata: "Wahai tenteraku sekelian! Sebentar lagi kita akan melalui sebuah anak sungai. Sekiranya ada di antara kamu yang minum airnya, kamu bukan lagi pengikutku. Tetapi sekiranya kamu hanya mengambilnya secedok sekadar untuk menghilangkan dahaga, kamu adalah pengikutku".

Mereka kembali meneruskan perjalanan. Tidak lama kemudian, mereka menemui sebuah anak sungai seperti yang diberitahu oleh Thalut. Kebetulan pula ketika itu mereka sangat dahaga.

Tanpa berlengah lagi, sebahagian besar tentera Thalut turun ke sungai tersebut lalu minum sepuas-puasnya. Mereka tidak mengendahkan segala pesanan Thalut. Hanya beberapa orang yang mengikut nasihat Thalut itu. Mereka hanya mengambil secedok air untuk membasahkan tekak.

Selepas itu Thalut mengarahkan semua bala tenteranya meneruskan perjalanan semula. Akan tetapi orang-orang yang telah minum dengan banyak air sungai itu berkata: "Wahai Thalut! Hari ini kami tidak sanggup untuk menentang Jalut dan tenteranya."

Mereka ingin mengundurkan diri daripada peperangan, lalu berpatah balik. Tinggallah sebahagian kecil tentera Thalut yang masih teguh pendiriannya.

"Kami tidak gentar walaupun jumlah kita hanya sedikit kerana Allah pasti akan menolong kita. Berapa ramai tentera yang sedikit jumlahnya telah menang dalam peperangan melawan tentera yang lebih besar jumlahnya? Sesungguhnya Allah sentiasa bersama orang yang sabar."

Akhirnya mereka meneruskan perjalanan untuk berjuang sambil berdoa kepada Allah SWT: "Wahai Tuhan kami, berikanlah kami kesabaran dan tetapkanlah pendirian kami untuk menentang orang-orang kafir".

Anjing bukan binatang peliharaan

SOALAN:
APAKAH kedudukan orang Islam yang menjadikan anjing sebagai binatang peliharaan? Mereka pula bangga dengan perbuatan itu dengan kata rezeki saya makin bertambah sejak saya bela anjing?

Jawapan:

Orang Islam tidak boleh dan tidak dibenarkan memelihara anjing sebagai binatang peliharaan seperti kucing. Ia jelas boleh dipelihara hanya sebagai:

*Anjing perburuan seperti yang disebut dalam al-Quran, surah al-Maidah, ayat 4: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (makanan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah padanya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertakwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan apa yang diharamkan oleh Allah); Sesungguhnya Allah Maha segera hitungan hisab-Nya”.

Haiwan buruan yang ditangkap olehnya tidak perlu disamak kerana ia antara yang dimaafkan (ma’fuwwun ‘anhu).

*Untuk menjaga tanaman

*Untuk menjaga binatang ternakan seperti lembu dan kambing seperti yang kita lihat dalam filem-filem koboi.

Nabi Muhammad SAW bersabda: Sesiapa yang memelihara anjing bukan untuk menjaga tanaman atau berburu maka akan berkurangan daripada pahala amalan hariannya sebanyak satu qirat setiap hari. (riwayat Muslim dari Abu Hurairah dan Ibnu Umar)

Qirat dijelaskan dalam hadis lain riwayat Muslim dari Tsauban: “Qirat itu umpama sebesar bukit Uhud”. Malah dalam hadis lain yang muttafaq ‘alaih (diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim) dari Ibnu Umar: “…sebanyak dua Qirat”.

Jika difikirkan memang logik kerana jika kita memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan, sudah pasti tidak dapat mengelakkan diri daripada dijilat oleh anjing tersebut. Sedangkan setiap kali dijilat dikira najis mughallazah (berat).

Jadi, ia akan mengurangkan masa kita untuk melakukan ibadah lain kerana terikat dengan prosedur menyucikan diri dan tempat daripada najis mughallazah khususnya untuk solat lima kali sehari. Atau kita menjadi malas lalu mengabaikan status najis mughallazah yang perlu disucikan dengan tujuh kali air mutlak, yang pertama bercampur tanah yang suci.

Bayangkan rumah-rumah kita pada hari ini – bagaimana untuk mendapatkan tanah yang suci? Akan tetapi jika diabaikan, solat anda tidak sah pula.

Satu hadis yang diriwayatkan oleh Darqutni dan Hakim dinyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah menolak jemputan satu kaum yang membela anjing untuk datang ke rumah mereka.

Apabila ditanya, baginda menjawab kerana dalam rumah mereka ada anjing. Sebaliknya baginda menerima jemputan kaum yang membela kucing. Apabila ditanya, baginda menjawab, “kerana kucing itu bukan najis”.

Menolak jemputan

Lalu para sahabat baginda mengambil kesimpulan daripada hadis ini bahawa baginda menolak jemputan mereka yang membela anjing kerana bimbang terkena najis terutamanya air liur daripada jilatannya.

Terdapat juga hadis riwayat Muslim dari Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda: Malaikat tidak akan menemani seseorang yang berada di suatu tempat yang terdapat anjing dan juga loceng.

Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya malaikat tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya terdapat anjing atau gambar. (muttafaq ‘alaih- diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim) dari Ali.

Ulama kini pula mengharuskan penggunaan anjing untuk mengesan penjenayah, dadah, bahan letupan seperti bom atau periuk api, mangsa bencana alam seperti gempa bumi atau tsunami, dan sebagainya.

Ia bagi membantu kerja-kerja mencabar pihak pengawal keselamatan, pegawai penjara, pihak polis, dan imigresen terutamanya untuk pengawasan hatta kepada rumah-rumah persendirian yang memerlukan khidmat anjing daripada masalah kecurian atau rompakan.

Begitu juga untuk menolong orang yang cacat sama ada untuk tujuan pengawasan (contohnya daripada dibuli) atau untuk menunjukkan jalan seperti membantu orang buta.

Larangan membela anjing dan statusnya dikategorikan najis mughallazahnya mungkin menjadi tanda tanya. Mungkin satu kajian saintifik veterinar mempunyai jawapannya.

Dapatan kajian menunjukkan anjing biasanya sentiasa terkena jangkitan pelbagai jenis cecacing parasit yang menjadi perumah di dalam tubuhnya dan juga di bahagian luar seperti kulit dan bulunya.

Contoh cacing yang biasa didapati pada anjing ialah Toxocara canis yang membiak di dalam perutnya dan terdapat pada najisnya. Menyentuh dan membelai-belai anjing boleh menyebabkan perpindahan cacing jenis ini kepada manusia.

Seorang doktor haiwan dari Somerset, Ian Wright, melaporkan di dalam Jurnal New Scientist bahawa ia boleh mengakibatkan ‘toxocariasis’ yang boleh mengancam daya penglihatan manusia. Beliau mendapati purata 180 biji telur cacing pada setiap gram bulu anjing. Satu kuantiti yang lebih tinggi daripada jumlah telur cacing yang didapati dalam satu gram tanah.

Ada pun isu mengaitkan kehadiran anjing belaan dengan penambahan rezeki adalah syirik, (nauzubillah). Oleh itu, ia haram dalam Islam kerana Allah sahaja yang berhak menentukan rezeki makhluk-makhluk-Nya.

Tiada sekutu baginya dalam pembahagian rezeki. Wallahu ‘alam.

Jangan meminta-minta

SOALAN:
APAKAH pandangan Islam kepada golongan fakir dan miskin yang meminta-minta?

Jawapan:

Di dalam Islam, Allah SWT mengiktiraf hakikat kewujudan dua jenis sifat bagi manusia yang dikategorikan fakir dan miskin. Iaitu, ada di kalangan mereka yang fakir dan miskin tetapi tidak suka menzahirkan keadaan diri mereka.

Daripada Imran bin Husain katanya, telah bersabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah menyayangi hamba-Nya yang beriman, yang miskin, yang tidak suka meminta-minta sedangkan dia mempunyai anak yang ramai”. (riwayat Ibnu Majah)

Dalam ayat 273 surah al-Baqarah, Allah SWT menyatakan: (Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka (seperti) orang kaya, oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak minta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa juga yang kamu belanjakan daripada harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.

Namun ada pula fakir dan miskin yang gemar menzahirkan kemiskinan mereka. Rasulullah SAW menyatakan di dalam hadisnya yang lain: “Orang fakir miskin (yang sangat menderita) bukanlah orang yang (menadah tangan) meminta-minta ke sana ke mari kepada orang ramai, yang apabila ia mendapat sesuap atau dua suap makanan, atau mendapat sebiji atau dua biji buah kurma – ia akan pergi ke tempat lain meminta lagi. Sebenarnya orang fakir miskin (yang sangat-sangat menderita) itu ialah orang yang tidak mempunyai sesuatu yang mencukupi sara hidupnya. Dan ia pula malu hendak meminta bantuan kepada orang ramai, dan orang ramai pula tidak mengetahui keadaan penderitaannya untuk diberi bantuan. (orang inilah yang sebenarnya layak diberi zakat)”. (riwayat Imam Ahmad)

Oleh itu, dapatlah difahami bahawa Islam sebenarnya tidak menyukai sifat yang suka meminta-minta ini, sehinggakan Rasulullah SAW menyatakan, bahawa golongan yang menyembunyikan kefakiran dan kemiskinan mereka itulah yang lebih berhak untuk dibantu dengan zakat.

Ini kerana, ada kalangan manusia yang fakir dan miskin dan menjadikan status kefakiran dan kemiskinan itu sebagai tiket untuk meraih simpati sesama manusia.

Seterusnya menjadi alasan bagi mendapatkan habuan dunia dengan mudah tanpa perlu bekerja.

Walau bagaimanapun, ia bukanlah bermakna si fakir miskin tidak boleh mendapatkan habuan ke atas zakat.

Jika mereka adalah fakir dan miskin, maka layaklah mereka mendapatkan wang zakat bagi meneruskan kehidupan mereka.

Yang menjadi suatu kesalahan di sisi agama apabila mereka dengan sengaja menjaja kefakiran dan kemiskinan diri ke merata-rata tempat. Ia adalah perbuatan tidak bermaruah, sedangkan mempertahankan maruah diri dan sudah pastinya maruah agama adalah dituntut di dalam Islam.

Lebih bahaya lagi, jika mereka sendiri reda dengan kemiskinan dan kefakiran atas tujuan meraih simpati manusia dan atas nama mendapatkan zakat selama-lamanya. Wallahu a’lam.

Pengajaran kisah para nabi

DALAM konteks memahami Islam, sejarah adalah merupakan suatu yang sangat penting dipelajari. Apatah lagi mempelajari sejarah Rasulullah, para nabi dan para sahabat atau dalam istilah khususnya disebut sebagai sirah.

Dengan mempelajari sirah, kita dapat mengetahui bagaimana cara dan bentuk penyampaian dan dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah dan juga para nabi.

Melalui sirah, seseorang pendidik akan dapat mengetahui cara dan kaedah terbaik yang ditunjukkan oleh Rasulullah dan para nabi. Misalnya, bagi seorang jeneral tentera dia dapat mengetahui etika peperangan, layanan yang diberi oleh baginda terhadap orang tawanan dan pesanan-pesanan Rasulullah kepada panglima perang.

Pendek kata, semua golongan masyarakat daripada petani sehinggalah kepada ketua negara perlu mempelajari sirah untuk meningkatkan lagi personaliti dan prestasi pekerjaan mereka masing-masing.

Dr. Said Ramadhan al-Buti menegaskan bahawa tujuan memahami sirah ialah agar setiap orang Muslim memperoleh gambaran sebenar tentang hakikat agama Islam secara sempurna yang tercermin dalam kehidupan para nabi khususnya Nabi Muhammad SAW sesudah ia difahami secara konsepsi sebagai prinsip, kaedah dan hukum.

Oleh itu, mempelajari sirah mengandungi beberapa faedah. Antara lainnya adalah:

Pertama: Memahami keperibadian nabi melalui celah-celah kehidupan dan keadaan-keadaan yang pernah dihadapinya, untuk menegaskan bahawa Nabi Muhammad bukan sahaja seorang yang terkenal di antara kaumnya tetapi sebelum itu baginda adalah seorang Rasul yang didukung oleh Allah dengan wahyu dan taufik dari-Nya.

Kedua: Agar manusia mendapat gambaran contoh terbaik dalam seluruh kehidupan yang utama untuk dijadikan dastur dan pedoman kehidupan.

Tidak diragukan lagi, betapa pun manusia mencari contoh terbaik mengenai salah satu aspek kehidupan, dia pasti akan mendapatkannya di dalam kehidupan Rasulullah secara jelas dan sempurna.

Oleh itu, Allah menjadikannya qudwah (contoh ikutan) bagi seluruh manusia seperti firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kamu. (al-Ahzab 21)

Ketiga: Agar manusia mendapatkan dalam mempelajari sirah Rasulullah ini, sesuatu yang dapat membantunya untuk memahami kitab Allah dan menyelami tujuan-tujuannya. Ini disebabkan banyak ayat al-Quran yang boleh ditafsirkan dan dijelaskan maksudnya melalui peristiwa-peristiwa yang pernah dihadapi Rasulullah SAW dan sikapnya.

Keempat: Dengan mempelajari sirah ini seseorang Muslim dapat mengumpulkan sekian banyak pengetahuan dan ilmu-ilmu Islam yang benar, sama ada dalam perkara akidah, hukum dan akhlak.

Tidak diragukan lagi bahawa kehidupan Rasulullah merupakan gambaran yang kukuh dari sejumlah prinsip dan hukum.

Kelima: Agar setiap pendakwah Islam memiliki contoh hidup dalam aspek pendidikan dan dakwah.

Menyedari hakikat tersebut sebuah buku yang berjudul: Kisah Para Nabi - Pengajaran dan iktibar disusun oleh Johari Yaman berdasarkan dari kitab yang ditulis oleh Ibnu Kathir yang berjudul Qisahah al-anbiya' ibratun li ulilab, kini berada di pasaran dan telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia.

Ternyata buku asal yang berjudul Qisahah al-anbiya' ibratun li ulilab yang telah dihasilkan oleh Ibn Kathir itu memberikan gambaran yang jelas tentang kisah 25 orang nabi yang wajib diketahui dan diimani oleh setiap Muslim.

Secara jelas melalui buku yang telah disusun semula ini Ibn Kathir telah menceritakan kisah para nabi berdasarkan tafsiran ayat al-Quran serta bersandarkan hadis nabi Muhammad SAW dan ini menepati tiga sumber dan rujukan sirah para rasul dan nabi iaitu al-Quran, al-Sunnah nabawi yang sahih dan kitab-kitab sirah.

Penerbitan buku ini sekali gus dapat menyumbang dan memperkayakan lagi khazanah buku-buku yang berkaitan sirah dalam bahasa Melayu sama ada ditulis oleh ulama di sini atau terjemahan.

Oleh itu, melalui sirah umat Islam mendapat gambaran yang lebih lengkap dan terperinci tentang kehidupan para nabi dan Rasul. Di samping itu, ia dapat membantu dan mempermudah untuk mempelajari ilmu-ilmu lain seperti tafsir dan sejarah Islam.

Ia juga menonjolkan nilai-nilai keinsanan yang praktis yang dilakukan oleh Rasulullah dan para nabi yang lain untuk ikutan generasi muda kini supaya Rasulullah sentiasa menjadi qudwah atau model mereka sepanjang hayat. - BURHANUDDIN ABDUL JALAL