Like Blog Ini...

Monday, May 10, 2010

Jangan alpa persiapan hari pembalasan

DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
(Siri Kesembilan)

Mukadimah

Al-Maraghi berkata: Setelah Allah SWT menerangkan keadaan al-Quran sebagai kitab yang mengandungi peringatan dan nasihat. Ia dengan menerangkan kesanggupan manusia untuk memanfaatkannya apabila menghendaki seterusnya Dia mengemukakan keterangan bahawa tidak layak bagi manusia yang memiliki harta kekayaan yang banyak dan berkedudukan tinggi berlagak sombong.

Iaitu mengikut hawa nafsunya tanpa memikirkan kesudahan di kemudian hari malah tidak bersyukur terhadap kenikmatan yang dianugerahkan kepadanya.

Manusia dijadikan oleh Allah SWT dengan sebaik-baik kejadian melalui peringkat yang tertentu dalam pelbagai bentuk. Manusia tinggal di bumi hanya untuk sementara waktu, kemudian kembali menjadi tanah dan dikuburkan sehingga tiba saat yang hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja.

Firman Allah SWT: Binasalah hendaknya manusia (yang ingkar) itu, betapa besar kekufurannya? Ibn Abbas berkata: Terkutuklah manusia dan itulah jenis manusia yang suka berbuat dusta kerana terlalu banyak mendustakan hari akhirat.

Ibn Juraij mengatakan: Sungguh parah kekafirannya, sedangkan Ibn Jarir berkata: Apakah yang membuatnya menjadi kafir dan mendustakan hari akhirat?

Firman Allah SWT: (tidakkah ia memikirkan) dari apakah ia diciptakan oleh Allah? Dari air mani diciptakan-Nya, serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk bertanggungjawab. Kemudian jalan (baik dan jahat), dimudahkan Tuhan kepadanya (untuk menimbang dan mengambil mana satu yang ia pilih).

Ibn Abbas berkata: Dia memudahkan keluarnya dari perut ibunya. Syed Qutb berkata: Allah memudahkan jalan kehidupan atau jalan hidayah. Di samping itu, memberikannya kemudahan bertindak dengan sifat-sifat, bakat dan kesediaan yang ada pada dirinya sam ada untuk perjalanan hidupnya atau untuk mencari hidayah dalam hidupnya.

Sesudah tamat perjalanannya, ia akan kembali kepada kesudahan yang diterima oleh setiap yang hidup tanpa pilihan dan tanpa kesempatan melarikan dirinya.

Saidina Ali r.a berkata: Mengapa manusia banggakan diri sedangkan dia telah keluar melalui saluran kencing dua kali?

Firman Allah SWT: Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan. Kemudian apabila Allah kehendaki dibangkitkannya (hidup semula).

Al-Maraghi berkata: Kemudian Allah SWT menggenggam nyawanya dan tidak membiarkan begitu sahaja berbaring di atas bumi untuk dimakan oleh binatang buas, tetapi dimuliakannya dan jenazahnya ditanam sebagai penghormatan.

Apabila Allah SWT menghendaki akan dibangkitkan semula dari kuburnya untuk dihitung dan diberi pembalasan pada suatu saat yang hanya Allah SWT sendiri mengetahuinya.

Dalam perkataan idhasha, tersirat pengertian bahawa hari kiamat itu tidak dapat diketahui oleh sesiapa pun kecuali Allah SWT.

Dia sahaja yang mengetahuinya, berkuasa untuk mempercepatkan atau melewatkan kedatangannya, berkuasa menghidupkan, mematikan, membangkitkan dan mengumpulkannya serta memberi balasan terhadap amal yang telah dikerjakannya sama ada baik mahupun buruk.

Firman Allah SWT: Janganlah hendaknya ia kufur ingkar lagi! Sebenarnya ia belum menunaikan apa yang diperintahkan kepada-Nya.

Syed Qutb berkata: Manusia umumnya, baik secara individu mahupun generasi belum lagi melaksanakan apa yang diperintahkan Allah SWT hingga akhir hayat.

Itulah saranan yang disampaikan oleh ungkapan tidak sekali-kali begitu. Manusia masih cuai, tidak menunaikan kewajipannya, tidak mengingatkan asal-usul kejadiannya dengan ingatan yang sebenar, tidak bersyukur dan tidak membuat persediaan menghadapi hari pembalasan.

Beginilah keadaan manusia pada keseluruhannya sedangkan kebanyakan mereka pula menolak dan menentangnya.

Firman Allah SWT: (Kalaulah ia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana Kami mentadbirkannya).

Ibn Kathir berkata: Terkandung juga dalil tumbuhnya tumbuhan dari bumi yang gersang sebagai bukti jasad-jasad yang sebelumnya berupa tulang belulang yang hancur di tanah boleh dihidupkan kembali.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya Kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan. Kemudian Kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan.

Ibn Kathir berkata: Kami tempatkan air di sana yang masuk ke lapisan tanah selanjutnya menumbuhkan tanaman di permukaan bumi.

Firman Allah SWT: Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian, dan buah anggur serta sayur-sayuran.

Sebahagian ulama menafsirkan qadbhan sayur-sayuran yang dimakan dengan mentah oleh binatang sedangkan Hasan Basri berkata: "Ia bermaksud makanan binatang".

Firman Allah SWT: Dan zaitun serta pohon-pohon kurma, dan taman-taman yang menghijau subur. Al-Maraghi berkata: Gambaran demikian ini mengandungi petunjuk bahawa kenikmatan yang dapat diambil dari pohon-pohon itu tidak hanya terbatas kepada buahnya sahaja.

Bahkan ia dapat digunakan untuk membuat perabot rumah, bangunan dan alat-alat kraftangan dan industri. Kayunya juga dapat dimanfaatkan untuk memasak makanan dan digunakan untuk melebur besi dan benda-benda logam yang lain.

Firman Allah SWT: Dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput, untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu.

Syed Qutb berkata: Demikianlah kisah makanan dan semuanya adalah ciptaan tangan kudrat yang menciptakan manusia itu sendiri. Manusia tidak boleh mendakwa ada kekuasaan yang lain turut serta dalam penciptaan itu baik di peringkat perkembangannya, biji-bijian dan benih yang ditabur bukan dari ciptaan dan rekaannya.

Mukjizat dalam ciptaan benih-benih di luar kefahaman dan tanggapan manusia. Tanah di hadapannya sama sahaja, tetapi benih dan bijian berlainan dan masing-masing mengeluarkan buahnya di petak bumi yang berdekatan.

Semuanya dijirus dengan air yang sama tetapi dengan kudrat Ilahi telah mempelbagaikan tumbuh-tumbuhan dan buahan itu dan memelihara dalam biji benih yang kecil itu segala sifat-sifat ibunya yang melahirkannya. Kemudian sifat ini dipindahkan kepada anak yang dilahirkannya.

Semua sifat itu tersembunyi daripada pengetahuan manusia. Mereka tidak mengetahui rahsianya dan tidak pula membuat apa-apa keputusan terhadapnya. Mereka tidak pula dirundingi dalam mana-mana urusannya. Inilah kisah makanan yang dikeluarkan dengan kekuasaan Allah SWT.

Penutup

Terlalu banyak kurniaan Allah SWT dan nikmat-Nya kepada hamba-Nya. Dengan kurniaan tersebut, maka mudahlah meneruskan kehidupan.

Ini menunjukkan kasih sayang dan rahmat Allah kepada manusia, dan sewajarnya dibalas dengan ketaatan dan kepatuhan mutlak kepada-Nya.

Kisah haiwan pada zaman Rasulullah

Oleh ZUARIDA MOHYIN

BUKU cerita kanak-kanak memang diakui banyak terdapat di pasaran. Malah ibu bapa mungkin boleh jadi rambang mata dek kerana tidak tahu yang mana satu hendak dipilih untuk dijadikan bacaan santai kepada anak-anak mereka.

Justeru, timbul masalah sekarang bagaimana mencari naskhah buku kanak-kanak yang baik lagi berkualiti, lebih-lebih lagi keberkesanannya dari sudut pendidikan jiwa halus kanak-kanak ini.

Terpanggil untuk mengisi kekosongan itu, Telaga Biru Sdn. Bhd. menerbitkan Siri Kisah Haiwan Zaman Rasulullah SAW yang mengandungi dua set buku iaitu; Kisah Haiwan Makkah Zaman Rasulullah SAW dan Kisah Haiwan Madinah Zaman Rasulullah SAW.

Buku ini berbeza dengan buku kanak-kanak yang sedia ada di pasaran. Kenapa? Ini kerana, sirah atau sejarah hidup Rasulullah SAW sering dihidangkan kepada kanak-kanak dalam bentuk yang membosankan.

Apatah lagi, subjek sejarah memang kurang popular serta boleh dikatakan senasib dengan mata pelajaran Sains di kalangan para pelajar sekolah. Ini kerana mereka terpaksa mengingati banyak tarikh dan nama.

Hakikatnya, Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah memberikan definisi sejarah sebagai asal-usul, keturunan, salasilah, peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu yang lampau, kisah, riwayat, tawarikh dan kajian atau pengetahuan mengenai peristiwa yang telah berlaku.

Sejarah dalam erti kata lain digunakan untuk mengetahui masa lampau berdasarkan fakta-fakta dan bukti-bukti yang sahih. Ia bagi membolehkan manusia memperkayakan pengetahuan supaya waktu sekarang dan akan datang menjadi lebih cerah. Dengan itu akan timbul sikap waspada dalam diri semua kelompok masyarakat.

Yang pastinya, subjek sejarah amat penting bukan sahaja kepada pelajar sekolah tetapi kepada setiap daripada kita. Sejarah mengajar asal usul keturunan dan peristiwa lepas yang banyak berkait rapat dengan kehidupan seharian kita.

Maka selaras dengan usaha untuk menarik minat generasi muda hari ini kepada sejarah, Telaga Biru telah mengaitkan sejarah itu dengan bidang yang digemari golongan ini. Contohnya, kaitan rapat haiwan dengan sejarah Rasulullah SAW.

Menerusi siri ini penulis, Fatimah Syarha Mohd. Noordin membawa perspektif sirah Rasulullah SAW melalui kaitan dengan haiwan yang pernah bertemu Baginda atau yang hidup pada zaman Baginda.

Pada set pertama, Haiwan di Makkah ia merangkumi Gajah Raja Abrahah, Keldai Halimatus Saadiah, Unta Jelmaan, Buraq Israk Mikraj dan Ketua Ular Mekkah.

Di dalam set kedua, Haiwan di Madinah; Merpati Gua Thur, Kuda Surakah, Kambing Betina Mukjizat Nabi, Unta Betina Tunggangan Rasulullah dan Kambing Biri-biri Beracun.

Semua haiwan ini pernah bertemu atau hidup pada zaman Rasulullah SAW. Fatimah Syarha berjaya menyelami diri haiwan tersebut dan menceritakan apa yang dialami ketika bersama Rasulullah.

Menariknya, adik-adik akan bertemu dengan peristiwa yang belum pernah adik-adik dengar. Ini bukan dongeng Sang Kancil, tetapi peristiwa sebenar yang berlaku pada diri Rasulullah!

Setiap satu dipersembahkan dalam gambaran penuh dengan warna-warni dan senario yang berbentuk diorama oleh tiga pelukis terkemuka tanah air, Athool, Abe dan Zaharudin Sarbini.

Sebahagian gambar dilukis dalam bentuk epik yang luas. Anak-anak yang membaca akan dapat merasakan mereka turut kembali semula ke zaman Rasulullah SAW seperti menonton sebuah animasi.

Penceritaan diolah supaya generasi muda hari ini menjadikan roh perjuangan Rasulullah SAW serta para sahabat sebagai ikutan dalam meletakkan hala tuju dan matlamat, sekali gus menyusun tatatertib dalam kehidupan seharian.

Siri ini juga menyediakan nilai tambahan dengan membawa objek dan tema tertentu untuk diterangkan dengan lebih jelas. Penambahan ini akan lebih meningkatkan pengetahuan dan perbendaharaan kata (vocabulary) mereka. Di samping itu, siri ini boleh dibeli satu-satu (loose).

Selain itu, setiap buku disediakan dua teks; rumi dan jawi. Justeru, buku ini juga sesuai dijadikan rujukan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang sedang mempelajari dan memahirkan tulisan Jawi.

Pihak penerbit telah mengunakan kaedah ejaan dan sebutan Dewan Bahasa yang terbaru, termasuk penggunaan font huruf Jawi yang betul.

Buku ini juga ada disertakan info dan slot menguji minda adik-adik.

Pastinya, siri ini akan membuka lembaran baru dalam dunia anak-anak kita dalam menggarap sirah Rasulullah SAW.

Huraian ibu bapa nabi dalam syurga

SOALAN
Saya membaca dengan teliti jawapan tentang status ibu bapa Nabi dalam jawapan minggu lalu. Cuma, ada pendapat yang mengatakan ibu bapa Nabi berada dalam syurga. Boleh ustaz huraikan?

JAWAPAN:

PENDAPAT ulama yang mengatakan ibu bapa nabi SAW di dalam syurga. Kebanyakan ulama tidak suka berbincang topik ini termasuklah saya atas dua alasan. Yang pertama apa kepentingan tajuk ini, dan keduanya apa manfaat yang diperolehi sesudah kita bincangkan suatu yang menjadi hak Allah SWT.

Namun, minggu lepas soalan ini dijawab. Sebenarnya, soalan sebegini dikhuatiri akan menyinggung Rasulullah SAW.

Oleh itu harus dielak membincangkan perkara yang menjadi hak mutlak Allah SWT. Kita wajib beriman bahawa, syurga itu adalah hak Allah neraka juga adalah hak Allah SWT.

Keputusan muktamad siapa ke syurga dan neraka juga menjadi hak Allah SWT. Allah akan memasukkan ke dalam syurga-Nya sesiapa yang dikehendaki-Nya dan akan dihantar ke neraka sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Kita yakin dengan sepenuh hati bahawa sifat Rahmat mengatasi sifat kemurkaan-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: …Ia telah mewajibkan atas diri-Nya memberi rahmat… (al-An'am: 12)

Di dalam mentafsirkan ayat ini Sayyid Qutub telah memberi huraian yang sangat menarik. Jelas beliau: "Allah SWT telah menetapkan rahmat dengan kehendak dan kemahuan-Nya, ini merupakan keadaan ketetapan-Nya ke atas ciptaan-Nya, dan itu jugalah kaedah yang dilimpahkan ke atas ciptaan-Nya di dunia mahupun di akhirat…" (Sayyid Qutub, Fii Zilal al-Quran, jld: 2, hlm: 1048, lihat Muhammad al-Tahir ibn 'Asyur, al-Tahrir wa al-Tanwir, jld: 3, hlm: 151)

Al-Tabrisiy berpendapat: "Allah SWT telah mewajibkan atas diri-Nya memberi nikmat rahmat kepada ciptaan-Nya". (al-Fadl Hasan al-Fadl al-Tabrisiy, jld: 4, hlm:11)

Allah berfirman yang bermaksud: …Tuhan kamu telah mewajibkan atas diri-Nya sendiri akan memberi rahmat…(al-An'am: 54).

Sebahagian ulama berpendapat ibu bapa Nabi SAW berada dalam syurga dengan beberapa alasan yang berikut:

1- Sesungguhnya keturunan bapa Nabi SAW, Abdullah bin Abdul Mutalib dan bonda Nabi SAW, Aminah daripada Nabi Adam a.s hingga Abdullah bin Abdul Mutalib tidak ada yang kafir, ini kerana keturunan asal Nabi SAW adalah suci dan baik.

Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya golongan musyrikin adalah najis…(al-Taubah: 28). Najis dalam ayat ini bermaksud kotornya akidah mereka kerana menyembah selain Allah. (Fakhruddin al-Razi, tafsir al-Kabir, jld: 16, hlm: 21, lihat Muhammad al-Tahir ibn 'Asyur, al-Tahrir wa al-Tanwir, jld: 3, hlm: 151)

Sehingga kini tiada nas secara jelas sama ada daripada ayat al-Quran mahupun hadis atau mana-mana buku tarikh (sejarah) yang membuktikan bahawa ibu bapa Nabi SAW terlibat dalam penyembahan berhala.

Ini bermaksud mereka suci daripada melakukan amalan jahiliah. Dalam hadis yang dikeluarkan oleh Imam Muslim baginda bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah telah memilih bani kinanah daripada keturunan Nabi Ismail lalu memilih kaum Quraisy daripada kalangan bani kinanah, daripada Quraisy memilih bani Hashim lalu Allah memilihku daripada keturunan bani Hashim. (riwayat Muslim, Sahih Muslim, no: 5897, Kitab: al-Fadail, Bab: Fadl Nasab al-Nabiy, jld: 15, hlm: 38)

Asal usul keturunan Rasulullah SAW bersusur galur dan ada rantaian yang sah daripada Nabi Ismail a.s daripada Nabi Ibrahim a.s.

Doa Nabi Ibrahim a.s melalui firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua (Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail): orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 128).

2- Dalam hadis yang dikeluarkan oleh Abu Nuaim, al-Thabariy dan Ibn 'Asakir daripada Rasulullah SAW, baginda bersabda yang bermaksud: "Aku telah keluar daripada hasil nikah dan bukan daripada keturunan yang rosak, sedang aku adalah daripada keturunan Adam sehingga telah dilahirkan akan aku oleh Ibu dan Ayahku sedang aku tidak pernah ditimpa sebarang perbuatan jahat orang jahiliah". (al-Sayuti, al-Dur al-Manthur, jld:3, hlm: 294)

Dalam riwayat yang lain daripada Abu Nuaim al-Asbahaniy, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ibu bapaku tidak pernah (beramal) dengan amalan jahiliah (menyembah berhala) sedang Allah SWT mengeluarkan daku daripada asal-usul yang baik ke rahim yang yang suci bersih (solid) sedang tidak bercambah kepada dua melainkan aku adalah yang terbaik daripada keduanya. (al-Sayuti, al-Dur al-Manthur, jld: 3, hlm: 294)

3- Imam Jalaluddin al-Sayuti di dalam karya beliau Masalik al-hunafa' fi Islam waaliday al-Mustafa membuat ketetapan seperti berikut: "Sesungguhnya jalan hidup kedua-dua mereka (ibu bapa Nabi SAW) adalah meninggal sebelum baginda di utus menjadi Rasul dan tiada penyiksaan sebelum itu kerana risalah Islam belum sampai kepada mereka berdua.

Keadaan ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: …Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah. (al-Israk: 15)

Pak Hamka di dalam tafsirnya menyebut: "ertinya tidaklah Allah sewenang-wenang saja memasukkan hamba-Nya ke neraka lantaran satu kesalahan sedang mereka belum diutus seorang Rasul pun". (Prof. Dr. Hamka, jld: 6, hlm: 4,024)

Berdasar ayat ini sepakat al-'Asyairah daripada kalangan ahli Kalam dan Usul, begitu juga dengan ulama al-Syafieyah daripada kalangan fuqaha berpendapat, sesiapa yang meninggal sebelum sampai kepada mereka dakwah maka meninggallah mereka dalam keadaan selamat (bebas daripada api neraka).

4- Tidak tersabit secara jelas yang mereka berdua (ibu dan ayah Nabi SAW) pernah menyembah berhala. Maka dan mereka adalah terdiri daripada kalangan ahli fatrah (tempoh belum sampai utusan Allah).

Datuk mereka adalah Ibrahim a.s seperti mana terdapat kumpulan daripada keturunan ini menyembah Allah SWT yang masih beriman kepada Allah SWT seperti Zaid bin Amru bin Nufail dan Warqah bin Naufal.

Lalu pandangan inilah yang didokong dan disokong oleh sekumpulan ulama seperti Imam Fakhruddin al-Raziy.

Kesimpulannya, mengikut sebahagian ulama, ibu bapa Nabi saw di dalam syurga. Ini kerana mereka tidak terlibat dengan aktiviti jahiliah, dan mereka tergolong dalam ahli fatrah.

Tenang ‘dihiburkan’ ayat al-Quran

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN

TENANG dan mengasyikkan. Demikianlah ungkapan bagi menggambarkan suasana majlis menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-31 di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MTIC) Ayer Keroh, Melaka.

Bertema ‘Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah’, majlis itu menyaksikan persaingan yang hebat di antara para hafiz dan hafizah dari seluruh Malaysia yang berlangsung pada 21 hingga 25 April lalu.

Apa tidaknya, hampir sepanjang masa para hadirin diperdengarkan bacaan al-Quran oleh para huffaz yang mewakili negeri masing-masing.

Berada di dewan itu ‘melupakan’ seketika segala gundah-gulana dan pelbagai masalah yang bersarang dalam kepala.

Ia mengesahkan lagi kebenaran ayat Allah sebagai mana firman-Nya yang bermaksud: Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia. (al-Ra’d: 28)

Seramai 73 peserta menyertai majlis ini dengan dibahagikan kepada 3 kategori iaitu hafazan dari 1-10 juzuk beserta tarannum, 1-20 juzuk dan 1-30 juzuk beserta tafsir.

Pada tahun ini, satu kategori baru diperkenalkan iaitu hafazan dari 1-10 juzuk beserta tarannum. Walaupun ia merupakan kategori baru, namun para peserta dapat menyampaikan bacaan dengan cemerlang.

PESERTA suami isteri yang mewakili Sarawak bagi kategori 1 ke 10 juzuk, Ahmad Fikri Morshidi, 21, dan Nur Izaidah Ishak, 21, adalah bukti golongan hafiz juga boleh menguasai bidang profesional.

Pasangan muda yang melangsungkan perkahwinan pada Julai 2009, kini menuntut dalam tahun pertama jurusan perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, Pahang.

Kata Fikri, kejayaan yang dicapai itu adalah hasil dorongan ibu bapa terutama bapa yang mahukan anak-anaknya hafal al-Quran.

“Kata ayah, al-Quran itu mukjizat. Kalau kita menjaganya, Allah akan menjaga kita. Alhamdulillah, kata-kata itu terbukti kini,” jelasnya.

Beliau mula menghafal al-Quran sejak usia 10 tahun di Maahad Sri Madani, Kuching, Sarawak.

Perjalanan Fikri sebagai hafiz melalui banyak cabaran. Lebih-lebih lagi apabila beliau terpaksa berhenti sekolah di tahun empat untuk menumpukan kepada menghafaz al-Quran.

“Saya berhenti sekolah dari umur 10 tahun kemudian masuk semula pada tahun enam untuk menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Alhamdulillah saya dapat 6A dalam UPSR, termasuk Bahasa Arab kemudian 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan 9A1 dan 1A2 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum memasuki matrikulasi UIAM,” tambahnya.

Kecemerlangan beliau dalam bidang akademik membolehkan Fikri dipilih sebagai penerima Anugerah Ibnu Sina semasa menuntut di Sekolah Menengah Sains Kuching.

Sementara itu, Nur Izaidah adalah lulusan program persijilan tahfiz Darul Quran di Kuala Kubu Bahru, Selangor. Menamatkan hafazan 30 juzuk dalam tempoh satu setengah tahun.

Beliau juga pernah mewakili Sarawak dalam majlis menghafaz al-Quran Sekolah Rendah peringkat kebangsaan pada tahun 1999 dan 2000.

Pada majlis peringkat negeri mereka bertemu buat kali pertama sebagai peserta hafazan. Nur Izaidah mewakili Miri dan Fikri mewakili daerah Kuching.

Menurut Fikri, pada ketika itu beliau bersaing dengan adik Nur Izaidah bagi kategori 1-10 juzuk.

“Semasa itu, emak ada mengambil gambar Nur Izaidah. Bila di rumah saya ada melihat gambar itu tetapi tidak tahu siapa dia.

“Rupa-rupanya ditakdirkan Allah, beliau menjadi isteri saya selepas kira-kira 10 tahun gambar itu disimpan di rumah,” katanya senyum mengimbau saat manis itu.

Selain persamaan dalam pengajian dan sebagai hafiz, pasangan suami isteri ini juga adalah anak ketiga daripada lima adik-beradik dalam keluarga masing-masing.

Lebih manis lagi, adik-beradik Fikri turut menghafal al-Quran. Contohnya, abang sulung beliau menghafal 10 juzuk, kakaknya yang juga menuntut sebagai doktor turut menghafal empat juzuk.

Ternyata pasangan ini mempunyai kelebihan apabila membuat ulang kaji. Apa tidaknya, apabila si suami membaca isteri akan menyemak dan begitulah sebaliknya.

Kata Fikri, itu adalah antara nikmat yang diperolehi apabila mempunyai pasangan yang juga hafiz. Bagaimanapun, kadang kala, mereka mendengar rakaman bacaan al-Quran untuk mengulang kaji.

“Biasanya kami akan mengulang kaji selepas solat subuh dan maghrib setiap hari. Ini untuk mengelak daripada lupa,” jelasnya.

Fikri juga berharap masyarakat membetulkan salah tanggapan bahawa bidang hafiz al-Quran ini adalah untuk anak-anak yang kurang cemerlang dalam bidang akademik.

“Golongan yang cemerlang akademik mesti mengambil berat dalam hal agama termasuk menjadi hafiz.

“Barulah kita boleh melahirkan masyarakat yang seimbang dunia dan akhirat,” katanya yang bercadang mendapat sijil syahadah daripada pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Sarawak, Sam’ani Fauzi al-hafiz.

Penghakiman dijamin profesional

DALAM mana-mana pertandingan, aspek utama yang diberi perhatian adalah dari segi penghakiman. Ia supaya tidak timbul cakap-cakap belakang atau wujudnya dakwaan berlaku pilih kasih apabila seseorang peserta itu diumumkan sebagai pemenang.

Lebih tepat lagi, kita tidak mahu berlaku 'rumah siap pahat berbunyi'. Apatah lagi, jika penghakiman itu melibatkan majlis berkaitan agama seperti tilawah dan menghafaz al-Quran.

Demikianlah perhatian kepada penghakiman majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-31 di di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MTIC) Ayer Keroh, Melaka pada 21 hingga 25 April lalu.

Tugas besar ini dipertanggungjawabkan kepada Pengerusi Jemaah Hakim yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Beliau berkata, penghakiman tahfiz merangkumi cara membentuk dan membina soalan yang dipanggil kaedah 'tebuk'.

Di sini, hakim fatih (yang memulakan bacaan) yang berada di atas pentas akan mengutarakan soalan daripada mana-mana ayat berdasarkan kategori yang disertai.

Untuk itu, kata Wan Mohamad, bengkel khusus penyediaan soalan diadakan untuk memastikan ia mematuhi disiplin wakaf (tempat berhenti) dan ibtida' (tempat memulakan bacaan).

"Hakim pentas iaitu hakim fatih dan munabbih (yang membetulkan kesilapan bacaan) tidak terlibat dalam pemarkahan," katanya kepada Mega, baru-baru ini.

Wan Mohammad berkata, untuk meyakinkan lagi mutu penghakiman, semua hakim juga terdiiri daripada para hafiz kecuali hakim tarannum.

Katanya, ini kerana tarannum memerlukan kemahiran tersendiri dan hakim yang dipilih perlulah orang yang benar-benar menguasai bidang tersebut.

Bagi memperkemaskan mutu penghakiman, beliau berkata, pihaknya menyediakan peraturan bertulis tentangnya.

"Pada tahun ini, satu kategori baru diperkenalkan iaitu hafazan dari 1-10 juzuk beserta tarannum. Walaupun ia merupakan kategori baru, namun para peserta dapat menyampaikan bacaan dengan cemerlang," kata beliau.

Dua lagi kategori yang dipertandingkan adalah hafazan 1-20 juzuk dan 1-30 juzuk beserta tafsir.

Wan Mohamad berkata, setiap peserta diberi markah penuh di mana hakim akan memotong markah bagi setiap kesalahan peserta.

Para hakim bidang yang sama contohnya tajwid juga diletakkan di tempat yang berbeza bagi mengelak sebarang dakwaan mereka akan berpakat.

"Para hakim juga tidak mengetahui nama peserta kerana mereka dikenali melalui nombor undian giliran menghafaz.

"Secara tidak langsung ini mengurangkan kemungkinan hakim berat sebelah kerana mengenali peserta," jelasnya.

Menurut Wan Mohamad, setiap lima tahun Jakim akan menyemak peraturan ini di mana dilibatkan para hakim peringkat kebangsaan.

"Kita juga menjemput para hakim peringkat negeri untuk menyeragamkan mutu penghakiman di seluruh negara," jelasnya.

Daripada segi kualiti bacaan, Wan Mohamad mengakui, tahap bacaan dan penguasaan para peserta semakin meningkat.

Ia juga dapat dilihat berdasarkan permohonan yang meningkat dari semasa ke semasa untuk memasuki Darul Quran Jakim di Kuala Kubu Bharu dan juga pelbagai pusat tahfiz di negara ini.

Antara yang diperkenalkan selain Diploma Tahfiz Al-Quran adalah Persijilan Tahfiz al-Quran Jakim/Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di mana tempoh pengajian program ini adalah 18 bulan.

Para pelajar akan didedahkan dengan pembelajaran tahfiz dan lain-lain matapelajaran yang berkaitan.

"Selepas tamat pengajian, mereka boleh menyambung pelajaran dalam pelbagai bidang di UIAM," kata beliau.

Menurut Wan Mohamad, Malaysia bertuah memiliki kelebihan persekitaran Islamik iaitu antara elemen penting untuk anak-anak menghafal al-Quran.

"Kita juga mempunyai kelebihan daripada segi rangkaian dengan para peserta tahfiz di Timur Tengah terutama Mesir dan Indo-Pakistan," jelas beliau.

Ditanya tentang pencapaian para huffaz, Wan Mohamad berkata, perkara itu sukar diukur kerana pencapaiannya tidak boleh dinyatakan dari segi kuantiti tetapi ia dapat dirasai.

Lazimnya, kata beliau, anak-anak yang menguasai al-Quran jiwa mereka terdidik. Apabila minat kepada kitab suci itu, maka mereka tidak gemar kepada budaya dan perilaku yang tidak sihat.

"Anak-anak yang dididik dengan al-Quran juga mempunyai disiplin yang tinggi serta tahap kesabaran untuk memelihara al-Quran.

"Namun, kita perlu memastikan ada sistem sokongan supaya arah tuju mereka jelas. Ia bagi mengelak mereka terjebak dengan pemikiran sempit bahawa kalau mahu menghafal al-Quran maka hubungan sosial semasa insan tidak boleh berlaku," katanya.

CSR di pusat perlindungan

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
ainiza.kamsari@utusan.com.my

APABILA gejala membuang bayi kian parah, maka ia menjadi satu tanggungjawab kepada kesemua institusi korporat di negara ini memainkan peranan mereka supaya gejala ini dapat dibendung dan dihentikan.

Bergantung harap kepada sesetengah pihak tentu sahaja tidak adil kerana masing-masing ada batasan dan kekangan bagi menangani apa juga permasalahan.

Akan tetapi jika semua pihak bergabung terutama antara agensi kerajaan dan kerjasama dari sektor korporat untuk sama-sama turun padang, maka apa juga gejala sosial dan maksiat akan lari lintang pukang.

Justeru kesudian Syarikat Amanah Rakyat di bawah Jabatan Care Management mereka untuk datang dan melihat sendiri Rumah Perlindungan Wanita Darul Wardah di Jalan Kebun, Kelang Selangor adalah satu contoh korporat yang bertanggungjawab untuk melaksanakan tanggungjawab sosial mereka (CSR).

Rombongan yang diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Alina Hashim dan Ketua Jabatan Care Management, Nik Salina Nik Idris, bersama dua lagi anggota dari jabatan tersebut ke pusat perlindungan yang di bawah kendalian Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Selangor mereka datang untuk mendapatkan penjelasan dan penerangan yang terperinci mengenai pusat itu.

Ini bagi membolehkan mereka menentukan sumbangan yang sesuai untuk diberikan kepada pusat yang telah ditubuhkan sejak lima tahun lalu.

Penjelasan dan taklimat diberikan oleh Pengasas dan pengetua pusat tersebut iaitu Hazlina Abdul Razak yang kemudiannya sama-sama berbincang dan bertukar-tukar pandangan bagi membentuk kerjasama terutama untuk membantu para penghuni mendapat perlindungan dan menjalani pemulihan.

Buat masa ini pusat tersebut sedang menempatkan sembilan kes wanita yang bermasalah iaitu terutama wanita yang menjadi mangsa deraan suami (1 kes), 1 kes melibatkan seorang wanita yang selamat melahirkan anak tidak sah taraf dan suka rela menjalani pemulihan dan tujuh kes yang lain melibatkan remaja-remaja [perempuan yang sedang hamil luar nikah.

Ini termasuklah satu kes yang baru-baru ini telah selamat melahirkan anak melalui pusat itu dan satu kes yang melibatkan kes hamil akibat perbuatan sumbang mahram.

"Melihatkan kes-kes yang seperti inilah, memerlukan semua pihak terutama kalangan yang berkemampuan untuk tampil membantu pusat ini memberikan perlindungan dan pemulihan terhadap para penghuni.

"Ini kerana kita percaya setiap yang terlanjur wajar diberikan peluang untuk bertaubat, belajar dan menebus kembali dari kesilapan yang akhirnya keluar dari Pusat ini menjadi manusia berjaya di dunia dan di akhirat sebagaimana orang lain," kata Hazlina.

Beliau menjangkakan akan semakin ramai gadis-gadis yang terlanjur akan meminta perlindungan di pusat-pusat perlindungan seperti ini ekoran kesedaran supaya tidak berlaku lagi kes-kes pengguguran haram dan membuang bayi.

"Namun kita sama sekali tidak bermaksud kes-kes zina dibiarkan berleluasa kerana apabila berlaku hamil luar nikah, mereka yang terlanjur itu tahu ke mana diri hendak dibawa.

"Jika itu yang menjadi tujuannya, banyak mana pun pusat perlindungan seperti ini, ia tidak akan cukup untuk menampung kes-kes perzinaan seperti ini," katanya.

Pusat perlindungan seperti ini kata Hazlina tidak semata-mata untuk menjadi tempat sementara untuk menutup aib, supaya masyarakat tidak tahu ada remaja wanita yang hamil luar nikah.

"Sekali mereka masuk ke sini, bererti mereka juga meminta diri diperbaiki setelah pelbagai kerosakan berlaku menyebabkan mereka hilang malu, hilang iman dan membiarkan diri terus hanyut dibawa arus maksiat," katanya.

Namun tidak dapat dinafikan Pusat itu memerlukan sumbangan bagi membolehkan pusat itu mampu untuk menampung lebih ramai penghuni kerana permintaan untuk memasukinya semakin bertambah.

Di majlis itu, pihak Amanah Raya Berhad menyampaikan sumbangan awal dan sebagaimana yang ditegaskan sendiri oleh Nik Salina bahawa mereka akan menyalurkan pelbagai sumbangan mengikut keperluan pusat itu.

"Kami kini telah jelas mengenai pengendalian pusat yang cukup bermakna ini dan tidak dinafikan pusat ini memerlukan perhatian dari pelbagai pihak.

"Semua ini kerana kita mestilah prihatin untuk membantu para penghuni yang kurang bernasib baik, yang wajib kita bantu dan memberikan peluang untuk meneruskan hidup normal sebagaimana orang lain," katanya.

Fatimah al-Khattab adik yang berani

FATIMAH binti al-Khattab ialah adik Umar al-Khattab. Beliau antara wanita yang terawal memeluk Islam. Semasa Fatimah memeluk Islam, Umar al-Khattab masih menganut agama nenek moyangnya. Umar juga merupakan salah seorang yang begitu membenci hingga sanggup menyiksa orang Islam termasuk adiknya sendiri, Fatimah.

Pada suatu hari, Umar dengan marah keluar ingin membunuh Nabi Muhammad. Di tangannya ada sebilah pedang yang tajam.

Sedang asyik Umar berjalan, tiba-tiba dia ditegur oleh seorang lelaki yang bernama Nu'aim bin Abdullah an-Nahham.

Nu'iam bertanya, Wahai Umar, awak hendak ke mana?

Umar menjawab dengan suara yang lantang, "Saya ingin membunuh Nabi Muhammad."

"Awak tidak akan selamat dan dapat hidup dengan aman sekiranya awak membunuh Nabi Muhammad," balas Nu'aim pula.

Umar terus berjalan pantas. Lalu Nu'aim berkata lagi, "Tahukah awak, adik dan ipar awak sudah memeluk agama Islam?"

Umar terkejut mendengar berita itu lalu menggenggam erat pedang di tangannya. Dia semakin marah lalu pergi ke rumah adiknya. Di rumah itu kelihatan ada iparnya iaitu Khabab bin al-Art dan suami Fatimah iaitu Saib bin Zaid. Khabab sedang membaca surah Thaha kepada Fatimah dan suaminya.

"Buka pintu ini cepat," sergah Umar dari luar rumah Fatimah.

Fatimah, Saib dan Khabab terkejut lalu menyembunyikan ayat al-Quran tersebut. Kemudian Khabab lari ke belakang rumah dan bersembunyi di situ.

"Ada apa awak ke mari?" Tanya Fatimah kepada Umar.

Pintu rumah dibuka. Umar pun masuk ke rumah adiknya.

"Tadi saya dengar ada suara lelaki di sini. Suara itu membacakan sesuatu yang belum pernah saya dengar. Suara apakah itu?" Tanya Umar dengan nada tinggi.

Fatimah dan suaminya berpandangan sesama sendiri. Kemudian Fatimah berkata: "Apa yang awak dengar tadi hanya perbualan kosong sahaja. Kami berbual-bual perkara biasa. Tidak ada apa-apa yang perlu awak tahu."

Umar semakin marah lalu berkata: "Sekarang ini awak sudah pandai menjawab".

Saib cuba mengawal keadaan lalu berkata: "Wahai Umar, saya ingin memberitahu awak bahawa agama yang awak anuti itu adalah tidak benar."

Umar naik berang dan berkata: "Berani awak cakap begitu.."

Umar melompat dan menampar muka Saib. Saib jatuh ke lantai rumah lalu Umar datang memijak badan Saib.

"Sudah, sudah. Berhenti bergaduh," kata Fatimah cuba menahan Umar dari terus menyiksa suaminya.

"Adik tidak kenang budi," Umar berkata lalu menampar kuat ke muka Fatimah.

Tiba-tiba darah mengalir banyak daripada muka Fatimah.

"Apa yang saya lakukan. Wajah Fatimah luka parah. Mengapa dengan saya ini. sanggup mencederakan adik saya sendiri," kata Umar menyesal dengan perbuatannya itu.

Fatimah segera mengambil kain untuk mengelap darah yang terus keluar dari mukanya itu. Umar menyesal di atas perbuatannya.

"Maafkan saya Fatimah. Saya tidak dapat kawal perasaan sebentar tadi," kata Umar kepada adiknya.

Kemudian Umar meminta adiknya lembaran ayat al-Quran yang mereka baca tadi. Fatimah menyuruh abangnya membersihkan diri terlebih dahulu sebelum memegang ayat al-Quran itu. Selepas itu Umar pun membaca surah Thaha.

Umar terpegun dengan keindahan ayat dari surah Thaha itu.

"Saya ingin berjumpa dengan Nabi Muhammad," kata Umar kepada adik dan iparnya.

Pada masa itu Khabab yang sudah lama bersembunyi di belakang rumah muncul. Khabab pun berkata kepada Umar: "Syukur. Ini berkat doa Nabi Muhammad. Nabi Muhammad sekarang berada di Darul Arqam di Shafa."

Umar bergegas menemui Nabi Muhammad. Sampai sahaja di hadapan Nabi Muhammad, Umar pun memeluk Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah.

"Terima kasih ya Allah. Akhirnya Umar mendapat cahaya Islam," ujar Fatimah selepas abangnya itu memeluk Islam.

Umar akhirnya menjadi khalifah Islam yang kedua selepas khalifah Abu Bakar as-Siddiq meninggal dunia.

Asdaf perlu ramai sukarelawan

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
ainiza.kamsari@utusan.com.my

Selain Muhammad, sukarelawan dari pelajar UIAM, Muhardi Mahamad dan Ismail Md. Salleh yang memastikan penghuni Asdaf lancar membaca al-Quran.

Mereka ini ada sahaja kerenah. Mungkin kerana tidak dapat meninggalkan alam di mana mereka pernah dibesarkan dan ingin hidup bebas sebagaimana dunia asal.

"Tetapi semua itu tidaklah menjadi masalah, kerana keseluruhannya anak-anak dari suku kaum Orang Asli ini sangat unik. Dunia mereka yang tersendiri itu sebenarnya banyak hikmah dan ada peranan besar untuk memajukan mereka."

Demikianlah luahan Wafazulfatihah Ismail yang baru enam bulan bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Asrama Darul Falah (Asdaf).

Asrama yang terletak di daerah perbukitan yang sejuk, hijau dan damai di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur ditubuhkan pada 1995. Ia satu-satunya rumah kebajikan bagi menempatkan golongan asnaf yang terdiri anak-anak OrangAsli dan yatim keluarga miskin di negara ini.

Perjuangan murni untuk membela nasib terutamanya anak-anak Orang Asli itu sebenarnya menjadi tugas berat yang dipikul oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam terkemuka negara iaitu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) sebagai badan penyelia Asdaf.

Sesuai dengan makna Darul Falah itu sendiri iaitu 'negara yang berjaya' maka itulah yang cuba dicapai, agar hak mereka untuk berjaya di dunia dan di akhirat tidak dinafikan.

Walaupun berhadapan pelbagai kerenah pelajar, Wafazulfatihah yang juga warden penghuni perempuan di asrama itu mahu terus bersama-sama para penghuni Asdaf yang kini bilangannya seramai 40 orang.

Jumlah pelajar lelaki dan perempuannya hampir sama dan mereka terdiri daripada pelajar sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah.

"Bayangkan kalau pada pukul 11 malam, loceng sebagai arahan untuk mereka tidur telah berbunyi tetapi pada detik itu anak-anak Orang Asli ini mula 'kembali' ke alam semula jadi mereka.

"Mereka akan 'bergerak' dalam senyap dan akhirnya didapati sudah tiada di tempat masing-masing.

"Padahal, mereka sepatutnya telah mula dibuai mimpi. Tetapi tahu-tahu sudah berkeliaran di sekitar dan luar asrama ini walaupun ketika itu malam kian larut, dingin, gelap dan terkadang menakutkan," katanya.

Ketika itulah anak-anak Orang Asli yang terdiri dari suku kaum suku Semai, Bateq, Mahmeri, Semelai, Temuan dan Temiar ini didapati sedang asyik dan tenggelam dalam dunia mereka yang unik itu.

Mencari kayu api, bermain dengan unggun api, memanjat pokok malah tidak sedikit pun punya perasan takut untuk berjalan di tengah-tengah malam dan akhirnya akan 'lepak' di sebuah pondok kosong berhampiran di luar asrama itu yang lazimnya begitu menakutkan.

"Bagi mereka biarlah hidup miskin serba kekurangan, tidak perlu sebarang kecanggihan tetapi yang penting kebebasan hidup. Bebas untuk ke mana-mana dan menikmati segala kurniaan alam dan belajar dari alam (alam semulajadi)," katanya.

Jika dilihat jadual tugasnya, Wafazulfatihah mempunyai rutin yang sangat mencabar di asrama itu.

Tugasnya bermula seawal pukul 5 pagi iaitu ke pasar untuk membeli barang-barang dapur, sayur dan ikan.

"Paling mencabar mengejutkan para penghuni bangun tidur supaya segera bersiap untuk ke sekolah. Sebelum itu, loceng telah dibunyikan banyak kali. Tetapi masing-masing menekup telinga dan kepala dengan bantal.

"Kalau dikejutkan juga, mulalah mereka mengadu tak sihatlah, demamlah dan macam-macam lagi.

"Inilah akibat curi-curi keluar di malam hari di saat sepatutnya mereka tidur. Jadi sukarlah untuk bangun pagi ke sekolah," katanya sambil tersenyum.

'Episod' yang terpaksa dihadapi oleh Muhamad Kamarulazizi tidak kurang juga mencabar sebagai sukarelawan di Asdaf.

Beliau ialah Pengurus Pembangunan Program Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia, iaitu sebuah lagi NGO yang mengambil Asdaf sebagai asrama angkat mereka.

"Cabaran menguruskan mereka memang banyak. "Mungkin kerana kehidupan di sini agak asing bagi mereka yang sudah biasa tinggal di pedalaman yang berlatarkan hutan,"katanya.

Mujur persekitaran asrama itu yang serba hijau tidak ubahnya seperti persekitaran asal mereka.

Maka terubatlah rindu terhadap alam semula jadi, ibu bapa dan masyarakat Orang Asli yang mereka tinggalkan.

Namun apabila bersekolah di bandar bersama-sama anak-anak dari kaum lain, kata Muhamad, proses interaksi dan asimilasi bukan mudah dilakukan.

Apatah lagi mereka terpaksa bersaing dengan pelajar lain tanpa diberi bimbingan dan perhatian khusus kerana masing-masing mempunyai pencapaian yang berbeza-beza tahapnya.

"Ini menjadikan tugas untuk memajukan mereka semakin mencabar malah kadang-kadang kita terpaksa berkompromi banyak perkara agar mereka tidak terlalu mengalami kejutan budaya.

"Namun penubuhan asrama seperti ini sangat relevan kerana kita percaya anak-anak Orang Asli mempunyai potensi yang sangat besar untuk dimajukan," katanya.

Ini menyebabkan kesemua penghuni di asrama itu walau pun tidak dikawal oleh satu rejim disiplin yang ketat tetapi sentiasa dipastikan masa mereka diisi dengan pelbagai program, aktiviti dan lain-lain pengisian yang berfaedah.

"Di pihak Muslim Aids, kita sering mengadakan pelbagai aktiviti bersama anak-anak Orang Asli ini seperti bercucuk tanam: My Kitchen Garden dan pelbagai program berbentuk motivasi dengan kerjasama pelbagai pihak terutama sukarelawan-sukarelawan dari pusat-pusat pengajian tinggi dan individu," katanya.

Mereka juga dibawa mengikuti pelbagai aktiviti luar termasuk beriadah, rekreasi, bersukan dan melawat pelbagai destinasi pelancongan.

Dalam aspek rutin seharian pun, mereka dipastikan untuk tidak sahaja ke sekolah, malah perlu menyiapkan kerja-kerja sekolah, mengulangkaji pelajaran dan berjemaah semasa makan dan setiap kali solat lima waktu.

Namun seperkara yang harus diketahui bahawa Asdaf tidak mempunyai sumber kewangan yang tetap. Institusi itu banyak bergantung kepada sumbangan orang ramai bagi membiayai kehidupan anak-anak Orang Asli terbabit.

"Sumbangan kewangan memang amat besar ertinya kepada anak-anak Asdaf bagi membolehkan mereka menerokai alam pembelajaran yang lebih efektif dan mampu menarik minat mereka lebih kepada pelajaran.

"Namun pada masa sama sokongan moral dan kemahiran turut diperlukan bagi menghidupkan asrama ini," katanya.

Anak-anak Orang Asli itu akan lebih mudah dilentur, mendengar dan patuh kepada nasihat dan kata apabila ada orang yang rapat serta sanggup menghabiskan banyak masa dengan mereka.

Kata Wafazulfatihah, pernah seorang sukarelawan menetap selama tiga bulan di asrama itu untuk bersama-sama dengan anak-anak Orang Asli berkenaan.

Hasilnya, mereka mendapat motivasi, bersemangat, mendengar kata dan tidak banyak menimbulkan kerenah.

"Tetapi apabila tamat tempoh dan sukarelawan itu terpaksa pulang, mereka kembali seperti anak ayam kehilangan ibu," katanya.

Seperti yang sering diulang oleh Muhammad, masyarakat lain sebenarnya akan belajar banyak perkara dari anak-anak Orang Asli tersebut.

"Walaupun tugas di Asdaf mencabar tetapi ia sebenarnya menarik kerana kita boleh berkongsi pelbagai kisah suka duka anak-anak Orang Asli ini," katanya.

Remaja: Zaman masalah atau transisi?

Oleh DR. KHAIDZIR ISMAIL

REMAJA adalah individu yang berumur antara 13 tahun hingga 20 tahun. Ia merupakan peringkat di antara alam kanak-kanak dengan dewasa. Pada ketika ini, berlaku proses perubahan besar pada aspek fizikal, kognitif dan sosial. Tetapi kematangan seksual lebih ketara dan mencabar dalam peringkat peralihan ini.

Pakar psikologi remaha, Erik Erikson berpendapat, pada peringkat itu individu terbabit lazimnya mengalami konflik identiti dan tercari-cari siapakah dirinya yang sebenar.

Konflik itu disebabkan kurangnya keyakinan diri menyebabkan mereka sukar menentukan cara hidup yang konkrit. Seterusnya, mengakibatkan mereka kerap melakukan sesuatu perkara tanpa menimbangkan rasionalnya.

Remaja adalah satu peringkat apabila tingkah laku bermasalah dan emosi bermula atau meningkat. Perubahan sosial yang berlaku pada peringkat remaja ini menyumbang kepada perkembangan tingkah laku dan emosi.

Contohnya, perubahan hormon semasa baligh menyebabkan cenderung kepada kemurungan atau kelangsungan seksual pada setengah remaja. Perubahan pada bentuk badan dan saiz juga membuatkan mereka berasa malu dan sensitif.

Ketika memasuki alam sekolah menengah mereka akan di kelilingi remaja-remaja lain yang lebih tua.

Ini juga membantu kepada pengaruh persekitaran, rakan sebaya dan perasaan ingin tahu serta ingin mencuba yang membawa kepada keterlibatan dengan masalah-masalah yang melencong.

Remaja juga adalah masa untuk bersosial seperti mempuyai kawan berlainan jantina. Kadang-kadang ini mendorong kepada aktiviti yang tidak dapat dikawal kerana pada peringkat ini keupayaan kognitif mereka masih kurang matang.

Ini menyebabkan berlaku pertentangan dengan orang dewasa dan menyebabkan kemurungan atau kelangsungan.

Disebabkan perubahan biologi dan sosial ini ramai remaja cuba lari secara psikologi dan fizikal daripada ibu bapa, saudara, jiran, kawan, guru dan orang yang pernah membimbing mereka semasa kecil.

Kesan penglibatan sosial ini mungkin boleh menjadikan mereka lebih berdaya tahan dan bertanggungjawab serta sensitif kepada persekitaran. Tetapi pada masa sama ia juga boleh merosakkan masa depan mereka.

Saidina Ali pernah mengatakan bahawa bermainlah dengan anak sebelum umurnya meningkat tujuh tahun. Apabila anak itu sudah meningkat umur tujuh hingga 12 tahun mengajarlah dia dan apabila sampai 12 tahun keatas maka berkawanlah dengan mereka.

Remaja berisiko

Berisiko merujuk kepada sebab dan akibat yang boleh meletakkan remaja dalam keadaan bahaya daripada peristiwa negatif yang akan berlaku.

Masalah sikap dan tingkahlaku, agresif dan tahap pencapaian akademik yang rendah merupakan penandanya.

McWhirter menyenaraikan ciri 'berisiko tinggi' yang boleh dibahagikan kepada empat iaitu:

*Keluarga tidak berfungsi, kedaifan sekolah, interaksi sosial yang negatif dantekanan psisosial.

*Sikap negatif individu itu sendiri, juga termasuk emosi dan tingkah laku.

*Kebimbangan, kemurungan, kelangsungan dan ketidakupayaan

*Kekurangan kemahiran sosial dan tingkah laku menangani.

Wiener (2003) menjelaskan, faktor risiko merupakan faktor peribadi atau persekitaran yang mengancam perkembangan normal individu.

Individu yang mudah terdedah dengan faktor risiko digelar 'individu berisiko' yang cenderung dipengaruhi faktor risiko di sekelilingnya.

Ahli psikologi, pekerja sosial, dan kaunselor menggunakan istilah 'berisiko' untuk menandakan seseorang yang mengalami kesengsaraan atau kepayahan daripada segi emosi dan penyesuaian tingkahlaku.

Kajian mendapati antara faktor menyebabkan pelajar mempunyai masalah tingkahlaku, adalah:

*Mempunyai keluarga yang tidak menjalankan fungsi dengan berkesan dan terima rangsangan kurang berkualiti daripada ibu bapa.

*Tidak mempunyai orientasi akademik yang tinggi.

*Gagal menggunakan masa dengan berkesan.

*Sukar mengawal emosi.

*Hiperaktif.

*Masalah dengan rakan sebaya.

*Tahap asertif rendah.

*Persekitaran sekolah tidak kondusif.

Memahami masalah tingkah laku remaja

Walaupun kebanyakan remaja mengalami tahap masalah tingkah laku yang minor tetapi ramai yang terlibat gagal menanganinya secara betul. Akhirnya mereka tewas kepada desakan malah keremajaan itu.

Terdapat banyak faktor mengapa kita harus memahami dan cuba membantu remaja yang berada dalam peringkat peralihan ini.

Yang paling ketara, mengurangkan kesengsaraan dan tekanan remaja yang sedang mengalami masalah.

Masalah mereka kadang-kadang tiada kesudahan sehingga ada yang mencari jalan mudah termasuk membunuh diri.

Masalah mereka boleh membawa kerosakan kepada tahap psikologikal atau fizikal jangka panjang.

Malah, ia boleh mempengaruhi ibu bapa, adik beradik, guru dan rakan sebaya lain.

Selain itu, masalah remaja juga membawa kepada nilai sosial yang melibatkan kewangan seperti menyediakan pusat pemulihan dadah, akhlak, hospital dan juga penguatkuasaan yang melibatkan polis, tentera, Jabatan Agama Islam dan sebagainya.