Like Blog Ini...

Tuesday, January 31, 2012

Mensia-siakan masa satu kejahatan

Oleh BURHANUDDIN ABDUL JALAL

SEJAUH manakah kita menghargai masa dalam kehidupan kita? Sekiranya kita ditanya dengan beberapa soalan seperti apakah kekayaan yang paling berharga dalam hidup? Wang ringgit? Hartanah? Anak-anak? Kecantikan? Kecerdasan? atau Kesihatan? Barangkali jawapannya adalah kesemuanya.

Yang pastinya, semua itu tidak setara dengan nilai waktu yang kita miliki. Kekayaan yang sebenar yang kita miliki setelah Islam ialah masa.

Dapatkah kita memahami mengapa waktu ini begitu penting? Mungkin persoalan ini tidak mempengaruhi diri sedikitpun kerana kita telah terbiasa dalam kehidupan seharian dengan ketidakpedulian terhadap masa.

Dalam al-Quran Allah SWT banyak bersumpah dengan waktu dan ia disebut dalam banyak tempat, sekali gus menunjukkan kepentingan masa.

Antaranya surah al-Lalil ayat 1-2, surah ad-Dhuha juga ayat 1-2. Surah al-Fajr juga ayat satu 1-2 dan ayat pertama dalam surah al-Asr.

Apakah sebabnya Allah menyuruh manusia memikir dan merenung tentang hal berkaitan masa? Umat manusia yang tidak tahu menghargai masa, tidak mungkin akan menjadi umat yang maju, sebagaimana disebut dalam surah Ali Imran ayat 110.

Ayat di atas menyebut bahawa manusia adalah umat yang terbaik. Namun pada prinsipnya ia akan menjadi umat yang terbaik apabila mampu memanfaatkan seluruh kurnia Allah dan tidak menyalahgunakannya, khususnya masa.

Sebagai manusia yang terbaik adakah kita telah dapat merasakan kepentingan masa dalam kehidupan kita ini?

Sesungguhnya seluruh kehidupan dan amal umat Islam sentiasa berkait dengan masa. Lebih-lebih lagi, yang berkait rapat dengan ibadat. Dalam ibadat solat umpamanya, aspek masa amat dititikberatkan.

Ketika di tanya oleh para sahabat kepada Rasulullah tentang apakah amalan yang sangat disukai oleh Allah SWT? Baginda menjawab: "Solat tepat pada waktunya."

Begitu juga dengan ibadat puasa yang ditentukan dengan masa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Berpuasalah dan akhirinya dengan melihat anak bulan." Selain ditegaskan dalam surah al-Baqarah ayat 184.

Antara intipati ayat di atas ialah, tentang ingatan agar dapat memanfaatkan masa dalam bulan Ramadan dengan sebaik-baiknya kerana kelebihan bulan Ramadan di samping waktu yang terhad. Dalam ibadat haji pula, pelaksanaannya juga tertakluk kepada faktor masa. Sebagaimana dalam surah al-Baqarah ayat 197.

Begitu juga dengan ibadat zakat harta, faktor masa atau disebut haul merupakan salah satu syarat. Semuanya bertujuan satu bentuk penegasan kepada kepentingan masa. Oleh itu, marilah kita menggunakan ia dengan sebaik-baiknya, apatah lagi atas perkara yang sia-sia.

Pernahkah kita terfikir bahawa aspek pengadilan atau penghakiman manusia pada hari akhirat juga ada kaitannya dengan masa. Firman Allah SWT kepada golongan orang-orang kafir dalam surah al-Fathir ayat 37.

Dalam ayat ini Allah telah menempelak orang-orang kafir yang tidak manfaatkan masa kurniaan Allah untuk berfikir tentang kebesaran-Nya serta menzalimi diri mereka dengan mensia-siakan umur.

Selanjutnya marilah kita merenung sebuah hadis Nabi yang bermaksud: "Pada hari kiamat kelak, tidak ada seorang hamba pun dibenarkan meninggalkan tempatnya kecuali setelah ditanya lima perkara. Tentang penggunaan umur masa mudanya, tentang kekayaannya dari mana diperoleh dan untuk apa digunakan, tentang ilmunya untuk apa dilakukan."

Oleh itu, kita perlu berusaha untuk memanfaatkan waktu walaupun orang Barat telah lama menghargai waktu dan memanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Mulai hari ini kita perlu menghargai waktu dan tahu menilainya yang mana kaca dan yang mana permata.

Seorang tabiin besar, Hassan al-Basri pernah mengungkapkan kata-kata berikut setiap kali matahari terbit: "Wahai manusia, aku adalah hari kamu yang baharu yang akan menjadi saksi di atas segala amal perbuatan kamu. Pergunakanlah dengan baik dan jadikanlah aku bekalmu. Sebab bila aku telah pergi, aku tidak akan kembali hingga hari kiamat."

Justeru, masa adalah kehidupan kita dan kehidupan itu adalah nafas yang keluar dan masuk daripada rongga kita.

Jika sekiranya terdapat banyak kelapangan masa, kita perlu berwaspada kerana maksiat akan muncul apabila kita mempunyai masa lapang yang banyak. Lebih-lebih lagi, jika umur masih muda.

Sejarah telah mencatatkan peristiwa isteri seorang pegawai tinggi kerajaan Mesir telah menggoda Nabi Allah Yusuf dan salah satu sebab ialah kerana beliau mempunyai masa lapang yang banyak.

Orang yang mempunyai masa senggang yang banyak akan mendorong dirinya untuk melakukan perkara-perkara yang tidak baik melebih perlakuan orang muda.

Selain itu, kita lihat perlakuan anak-anak remaja pada hari ini. Ada kalanya seorang anak muda mempunyai kebebasan luar biasa yang diberikan oleh ibu bapa. Dibiarkan tidur hingga 12 jam, bangun hingga lewat tengah hari, terlepas semua kewajipan agama, pergaulan yang bebas, berhibur yang terlampau serta langsung tidak menghargai masa. Ini semua akan menjurus anak muda ke lembah maksiat.

Begitu juga berlaku di kalangan para pekerja yang berkhidmat di pejabat atau perusahaan. Ada kalanya mereka bekerja dalam erti kata yang sebenar hanyalah dalam tempoh yang sangat sedikit berbanding dengan waktu sebenar.

Banyak masa dihabiskan dengan berbual, membaca surat khabar, melayari Internet atau kerja-kerja yang tidak bersangkutan dengan tugasan hakiki.

Ini adalah sesuatu yang bertentangan dengan agama. Gaji yang diperoleh adalah haram kerana tidak menjalankan tugas dengan sepenuh amanah.

Persoalannya apakah ini yang dilakukan oleh umat Muhammad? Jika ini berlaku, seluruh umat akan menerima kesan yang buruk dan mendedahkan diri kepada pembalasan buruk pada hari kiamat.

Berapa banyak masa yang telah terbuang dengan sia-sia mungkin boleh dimanfaatkan untuk membantu kedua-dua ibu bapa kita.

Jika tersedar setelah keduanya telah tiada tidak berguna lagi. Pernahkah kita mengenal pasti wanita-wanita memakai tudung atau menutup aurat mereka setelah lanjut usia?

Mengapa orang-orang yang mengetahui agama tidak membetulkan atau menyedarkan mereka? Mengapa masih memilih untuk tunggu dan lihat atau tidak ambil kisah? Kesempatan yang ada itu mungkin akan hilang.

Kita perlu menyedari bahawa bencana dan musibah yang menimpa pada hari ini adalah akibat daripada ketidaksedaran umat terhadap menghargai masa.

Ramai yang tidak menyedari bahawa mensia-siakan waktu adalah salah satu ciri kejahatan. Ini termasuklah golongan yang suka melepak, duduk berjam-jam di kedai kopi.

Sebagi seorang Islam kita perlu menyedari kesan daripada mensia-siakan masa. Apabila kita masih tidak kisah apa yang berlaku di sekeliling, dibuai mimpi dan tidak ambil peduli terhadap jatuh bangun umat, maka bencana yang menimpa umat tidak akan berakhir, bahkan akan terus bertambah.

Kemungkinan satu hari nanti kita akan dikejutkan pula dengan musibah yang lebih besar. Ini menepati apa yang telah Allah tegaskan dalam surah ar-Ra'du ayat 11.

Selagi kita tidak menghargai masa, selagi setiap Muslim tidak menghayati agamanya, selagi anak watan tidak berusaha menghasilkan sesuatu hasil usaha mereka sendiri atau selagi mana anak-anak muda tidak mencari ilmu pengetahuan dan memanfaatkan untuk diri mereka dan masyarakat seluruhnya, selagi itulah keadaan amat sukar untuk berubah.

Tiada keredaan Allah tanpa keredaan ibu bapa

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

Dewasa ini, kita seringkali dipersembahkan dengan episod-episod sedih dan duka yang berlaku dalam masyarakat kita. Ada segelintir masyarakat yang sanggup mengabaikan ibu bapa mereka.

Bukan sahaja tidak pernah bertanya khabar, bahkan sanggup membiarkan kehidupan ibu bapa mereka melarat sehingga menagih simpati dari jiran-tetangga untuk meneruskan kehidupan.

Lebih malang, ada yang sanggup memukul, mencaci dan mengeji ibu bapa tanpa belas kasihan.

Ada pula yang tergamak menghantar ibu bapa mereka yang sudah tua dan uzur itu ke pusat-pusat penjagaan warga tua dan langsung tidak dipedulikan nasib mereka. Walhal ketika kecil, ibu bapa mereka tidak sampai hati menyerahkan mereka di bawah jagaan orang lain walau hidup dalam keadaan penuh kekurangan.

Islam meletakkan ibu bapa pada tempat yang tinggi dari segi kedudukannya. Seseorang itu wajib mentaati kedua ibu dan bapanya selagi ketaatan tersebut tidak bertentangan dengan Syariat Allah SWT. Bahkan, Allah SWT meletakkan keterikatan keredaannya bersama keredaan ibu bapa.

Dengan kata lain, seseorang itu tidak akan memperolehi keredaan Allah SWT, tanpa terlebih dahulu meraih keredaan kedua ibu bapanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Keredaan Allah bergantung pada keredaan ibu bapa, dan kemurkaan Allah bergantung pada kemurkaan kedua-dua ibu bapa". (riwayat al-Hakim)

Kita diperintahkan oleh Allah SWT untuk berbuat baik kepada keduanya, bercakap dengan lemah-lembut dan sopan-santun. Kita dilarang mengucapkan perkataan yang dapat mengguris hati mereka walaupun sekadar mengucapkan "ah".

Di samping itu, hendaklah kita sentiasa mendoakan kebaikan sama ada ketika kedua-duanya masih hidup atau telah meninggal dunia.

Perintah berbuat baik kepada kedua ibu bapa ini adalah kerana Allah SWT mahu kita menghargai pengorbanan mereka untuk memelihara dan membesarkan kita dengan penuh kasih-sayang.

Maka, kita perlu berterima kasih kepada mereka dengan cara membalas jasa mereka sebaik mungkin walaupun ia tidak akan sekali-kali menyamai pengorbanan dan sumbangan mereka selama ini.

Kewajipan berterima kasih kepada ibu bapa ini dapat dilihat dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya ,ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dari awal mengandung sehingga akhir menyusunya dan tempoh menceraikan susunya adalah dalam masa dua tahun. Dengan demikian bersyukurlah kepada ku dan kedua ibu bapamu dan ingatlah kepada Aku lah jua tempat dikembalikan untuk menerima balasan. (Luqman: 14)

Pengorbanan mereka adalah pengorbanan yang cukup besar. Maka atas dasar itulah Islam menggandingkan tanggungjawab mentaati ibu bapa mengiringi persoalan mentauhidkan Allah.

Firman Allah yang bermaksud: Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua pun dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa kamu, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang yang bermusafir dalam kesusahan dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong, takbur dan suka membangga diri. (al-Nisa': 36)

Seksaan berat

Justeru, Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW telah memberi ancaman kepada mereka yang sanggup menderhaka kepada ibu bapa. Mereka bakal berhadapan dengan seksaan yang berat dalam api neraka beserta laknat yang tidak berkesudahan daripada Allah SWT.

Nabi SAW bersabda: "Semua dosa diakhirkan hukumannya sekehendak Allah SWT sehingga ke hari kiamat, kecuali dosa kerana derhaka kepada kedua orang tuanya, maka yang demikian diciptakan hukumannya bagi yang melakukannya". (riwayat Al-Hakim)

Imam Az-Zahabi dalam kitabnya Al-Kabair telah menyebutkan kata-kata Ka'ab bin Al-Ahbar tentang keburukan orang yang menderhaka kepada ibu bapa dan kebaikan orang yang menjaga hubungan dengan ibu bapanya.

Beliau menyatakan: "Sesungguhnya Allah SWT akan mempercepatkan kebinasaan dan kecelakaan seseorang apabila dia menderhakai kedua ibu bapanya, iaitu akan dipercepatkan seksaannya. Dan sesungguhnya Allah akan menambah umur seseorang, jika dia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, maka dia akan memberikan perbelanjaan kepada keduanya, jika mereka berdua memerlukannya".

Justeru, marilah kita sama-sama menjaga ibu bapa kita sebaik mungkin. Jangan lokek menghubungi mereka selalu, bertanya khabar dan memberikan penjagaan penuh kepada mereka.

Ambillah peluang berbakti kepada mereka sementara mereka masih hidup. Bagi mereka yang telah kehilangan ibu dan bapa, teruskan mendoakan mereka supaya diampuni dosa dan dimasukkan dalam golongan orang yang soleh.

Hukuman ikut kitab Taurat

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Abu Lubabah telah gagal dalam misinya untuk menjadi orang tengah kepada kemelut antara kaum Yahudi Bani Quraizah yang sedang dikepung oleh tentera Islam.

Akibatnya, seluruh kaum Yahudi itu semakin tertekan dan mereka lebih cenderung memilih untuk menyerah diri kepada tentera Islam. Namun, mereka bimbang ia mungkin tidak semudah itu.

Mereka pasti dihukum dengan hukuman berat walaupun telah menyerah diri. Ini termasuk kemungkinan dihalau keluar dari Kota Madinah sebagaimana yang pernah menimpa puak-puak Yahudi sebelum ini.

"Saya tidak mahu orang saya dihalau keluar dari Madinah. Cukuplah dengan apa yang berlaku kepada Bani Nadhir sebelum ini. Tetapi apakah cara yang lebih selamat untuk kita keluar daripada semua ini," kata Kaab ketika duduk berbincang dengan kaumnya yang terkepung itu.

Mereka kemudiannya bersetuju untuk menghantar wakil kepada suku Aus dan meminta bantuan mereka untuk menemui Rasulullah bagi meringankan hukuman.

"Tidakkah kamu suka membela kami, sebagaimana kaum Khazraj membela sahabat-sahabat mereka dari kaum Yahudi Bani Qainuqa' sebelum ini," tanya wakil Kaab kepada pembesar Suku Aus.

Mendengarkan itu, Suku Aus tidak dapat menolak permintaan Bani Quraizah dan segera mereka bertemu dengan Rasulullah bagi memohon pertimbangan baginda supaya meringankan hukuman terhadap seluruh anggota kaum Bani Quraizah.

Baginda menerima permintaan tersebut. Tetapi untuk lebih adil dan memberikan memuaskan hati semua pihak, baginda sendiri tidak akan menjatuhkan sebarang hukuman.

Baginda memberikan penghormatan kepada seorang sahabat dari Suku Aus itu sendiri untuk menjatuhkan hukuman.

Oleh kerana Bani Quraizah percaya dan meminta bantuan Suku Aus jadi biarlah Suku Aus yang menentukan bentuk hukuman yang sesuai untuk mengajar Bani Quraizah yang khianat terhadap perjanjian damai.

"Wahai golongan Aus, tidakkah kamu reda bahawa jika seorang lelaki antara kamu memberi hukuman kepada mereka itu," tanya Rasulullah.

"Baiklah Ya Rasulullah, kami reda," jawab Suku Aus.

"Maka dengan itu kamu bawalah ke mari dan bertanyakan sendiri kepada Saad bin Muaz, pemimpin yang kamu segani daripada puak kamu akan bentuk hukuman untuk semua anggota kaum Bani Quraizah," kata Rasulullah.

Saad bin Muaz pada masa itu sedang sakit teruk akibat luka-luka yang dialaminya semasa Perang Khandaq.

Dengan menggunakan tandu, Saad dibawa kepada Rasulullah yang kemudiannya seluruh suku Aus pun datang berduyun-duyun bagi mendengarkan apa yang bakal dijatuhkan kepada Yahudi Bani Quraizah.

Mereka meminta supaya Saad berbuat baik terhadap Bani Quraizah namun mereka yakin Saad akan memaafkan dan membebaskan Bani Quraizah.

Dalam keadaan kesakitan itu, sebenarnya terlalu sukar bagi Saad untuk menentukan apa yang terbaik untuk beliau putuskan.

Lalu beliau pun meminta supaya diberikan Kitab Taurat bagi mencari ayat-ayat daripada kitab itu yang boleh dijadikan rujukan dalam menentukan hukuman yang tepat kepada pengikut kitab itu sendiri - kaum Yahudi.

Akhirnya Saad menemui ayat berikut: "Jika kamu telah dekat dengan suatu kota yang hendak kamu serang ajaklah mereka untuk berdamai. Jika mereka tidak mahu berdamai maka kepunglah kota itu.

"Jika tuhan memberikan kemenangan kepada kamu maka bunuhlah semua kaum lelakinya dengan pedang. Kaum wanita, anak-anak kecil dan haiwan ternakan jadikan sebagai rampasan perang."

Selepas membaca ayat yang diambil dari Kitab Taurat itu, Saad pun berkata: "Dengan ini saya menjatuhkan hukuman ke atas mereka, semua lelaki dari kaum Yahudi Bani Quraizah akan dibunuh, harta benda mereka akan dirampas dan anak isteri mereka akan dijadikan tawanan."

Masing-masing terkejut dengan apa yang keluar dari mulut Saad itu. Tetapi mereka tidak mampu berkata apa-apa lagi kerana semuanya sudah termaktub dalam kitab Taurat itu sendiri. Bukan daripada al-Quran mahupun dari Nabi Muhammad sendiri sebagai pesuruh Allah.

Hukuman tersebut tidak dapat ditarik balik ditambah lagi Saad pula meninggal dunia tidak lama selepas itu akibat kecederaan teruk yang beliau alami.

Maka hukuman sebagaimana yang ditetapkan oleh Saad itu dilaksanakan tanpa bantahan mana-mana pihak terutamanya kaum Yahudi Bani Quraizah itu sendiri.

Jika itu sudah ditakdirkan kepada mereka dan sebagaimana yang termaktub dalam kitab ikutan mereka sendiri, iaitu Taurat maka mereka pun menjalani hukuman tersebut.

Begitupun baginda Rasulullah masih meminta kepada kaum tersebut supaya memeluk Islam jika mahu nyawa mereka selamat. Tetapi sebagaimana Huyyay sendiri bukan sahaja menolak mentah-mentah permintaan baginda, malah beliau mengajak kaum Yahudi yang lain supaya jalani sahaja hukuman tanpa perlu rasa takut dan demi maruah jangan sekali-kali berpaling daripada agama mereka kepada Islam.

Maka seluruh kaum Yahudi Bani Quraizah tidak ada yang terlepas menjalani hukuman termasuk ketua mereka, Kaab bin Asad.

Kisah Perang Ahzab atau Khandaq itu ada diceritakan dalam surah al-Ahzab.

Ini termasuklah kisah hukuman terhadap Bani Quraizah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Allah telah menghalau kembali (angkatan tentera) orang-orang yang kafir itu (ke tempat masing-masing) dengan keadaan mereka geram marah (kerana gagal dan hampa), mereka tidak mendapat sebarang keuntungan. Dan Allah selamatkan orang-orang yang beriman dari bencana menghadapi peperangan itu. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

Dan Dia menurunkan golongan Ahli Kitab (kaum Yahudi) yang membantu tentera musuh itu, dari benteng-benteng mereka (menyerah diri), setelah diisikan-Nya hati mereka dengan perasaan gerun. (Lalu mereka diadili dan dijatuhkan (hukuman); sebahagian di antaranya kamu bunuh, dan sebahagian lagi kamu tawan.

Dan Dia menjadikan kamu mewarisi tanah-tanah dan rumah-rumah serta harta benda mereka, dan juga tanah-tanah (di negeri-negeri lain) yang belum kamu menjejaknya. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (al-Ahzab: 25-27)

Natabah dihukum bunuh

Hanya seorang sahaja wanita Yahudi yang menjalani hukuman bunuh iaitu Natabah binti Hakam.

Beliau dihukum bunuh kerana perbuatannya yang membunuh seorang sahabat baginda yang juga anggota tentera Islam iaitu Khallad bin Suwaid dengan batu penggiling semasa berlaku serangan-serangan kecil ketika Bani Quraizah itu dikepung oleh tentera Islam.

Apa yang menghairankan beliau hanya ketawa apabila dibawa untuk menjalani hukuman tersebut.

Saidatina Siti Aishah yang ada ketika itu pun bertanya: "Hairan, mengapa kamu ketawa? Sedangkan kamu akan dihukum mati sebentar lagi?"

"Saya gembira kerana pastinya dapat menemui suamiku yang telah menjalani hukuman mati sebentar tadi di alam sana.

"Saya juga gembira kerana akan bertemu dengan Khallad yang membolehkan saya dihukum mati dan berpeluang untuk menemui suamiku itu," kata Natabah.

Selain Natabah, seluruh wanita Yahudi yang lain termasuk kanak-kanak ditawan oleh tentera Islam. Mereka juga kemudiannya merampas harta-harta milik kaum itu untuk dijadikan harta rampasan perang atau ghanimah.

Turut dirampas ialah tanah-tanah dan kebun-kebun kurma, alat-alat pertanian dan rumah-rumah berserta perabut serta beratus-ratus haiwan ternakan terutamanya unta dan kambing.

Juga dikumpulkan pelbagai jenis peralatan perang dan senjata, iaitu 1,500 bilah pedang, 300 baju perang, 2,000 tombak dan 500 perisai.

Rasulullah ketua keluarga mithali

Oleh Tuan Asmawi Tuan Umar

Pembinaan sebuah keluarga yang dilimpahi kebahagiaan bukanlah menjadi satu fatamorgana atau ilusi yang tidak mampu dicapai seandainya semua umat Islam mempunyai iltizam yang tinggi untuk menggapainya.

Bak kata pepatah Melayu, "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan". Begitu juga pepatah bagi masyarakat Barat yang menyatakan when there is a will, there is a way.

Setiap manusia lelaki dan wanita diciptakan oleh Allah sememangnya memerlukan pasangan bagi saling melengkapi antara sama lain seperti Allah menciptakan Saidatina Hawa untuk menjadi teman dan pasangan kepada Abul Basyar Saidina Adam a.s.

Penciptaan insan yang bergelar lelaki dan wanita ini sudah menjadi fitrah dan tabie yang termaktub dalam setiap firman Allah menerusi al-Quran yang bermukjizat itu.

Bak kata sesetengah orang "perkahwinan dan pernikahan menurut kebiasaannya hanya dilihat dan dirasakan kemanisan dan kenikmatannya hanya sebulan atau paling lama tiga bulan sahaja".

Andainya benar kenyataan ini, apakah pernikahan tersebut hanya menjadi satu perkara sia-sia. Malah ia akan menjadi beban besar yang terpikul ke atas kedua-dua pihak - suami dan isteri.

Apabila ditanya mengapa situasi seperti ini boleh terjadi, maka kita akan dapati kesimpulannya hanya kerana "melihat orang lain berkahwin, maka saya pun berkahwin".

Justeru, keikhlasan dan ketulusan memikul tanggungjawab sebagai suami dan isteri kerana Allah itu sudah hilang. Sebabnya, sesetengah pasangan menganggap sebagai satu halangan yang besar dalam erti seorang lelaki dan wanita yang masih belum dan tidak merasa puas dengan kebebasan yang diperlukan dalam diri masing-masing.

Oleh yang demikian, sebagai umat Islam barangkali ada kebenaran di sebalik kata-kata bahawa mengahwini orang yang dicintai suatu keharusan dan mencintai orang yang dinikahi adalah suatu kewajipan.

Bersempena kedatangan tarikh ulang tahun keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabiulawal 1433 Hijri bersamaan 5 Februari 2012 Masihi yang menjadi qudwah (contoh) dalam pelbagai aspek.

Maka umat Islam bukan sahaja memperingati baginda sebagai insan suci yang membawa obor Islam di atas muka bumi akan tetapi ia perlu dilihat - jika dalam aspek rumahtangga, maka kita sewajarnya mendalami bagaimana untuk kita mencontohi teladan Rasulullah SAW dalam menyantuni para isteri (Ummahaat Al-Mukminin) serta kaum keluarganya.

Barangkali ada yang berkata bahawa terlalu jauh impian kita untuk menyamai taraf dan kedudukan serta segala teladan yang baginda lakukan. Namun, sebagai umat baginda perlu sentiasa menanam impian dan hasrat melakukan yang terbaik untuk keluarga.

Pelbagai contoh yang mungkin menjadi sumber inspirasi kepada kita semua seperti baginda pernah bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya ; dan aku adalah yang terbaik dari kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi". (riwayat Abu 'Asakir)

Di dalam hadis yang lain juga ada baginda SAW berpesan: "Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya". (riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)

Sekiranya kita mempunyai darjat dan kedudukan yang tinggi di mata masyarakat, maka tidaklah menjadi hina dan tercela darjat berkenaan dengan sebab kita menyantuni keluarga.

Bahkan dalam konteks ini, baginda SAW seorang yang Allah telah angkat dan iktirafnya sebagai kekasih-Nya tetap tidak melupakan tugas dan tanggungjawab baginda sebagai manusia biasa.

Maka, situasi ini agak kontradik dengan apa yang nabi SAW paparkan iaitu sesetengah suami yang percaya bahawa dengan ketegasan dan kemarahan sahaja 'jawapan' dalam mendidik seseorang isteri.

Baginda lemah-lembut dengan isteri

Sifat lemah lembut baginda SAW jelas terpapar dalam satu situasi pernah baginda pulang pada waktu pagi yang kebetulannya baginda teramat lapar pada ketika itu akan tetapi apabila dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk menjadi makanan sarapan. Lalu nabi bertanya: "Adakah masih belum ada sarapan wahai Humaira?" (Humaira adalah panggilan mesra untuk Saidatina Aisyah yang bererti pipi yang kemerah-merahan).

Maka Saidatina Aisyah menjawab dengan agak serba salah: "Belum ada apa-apa wahai Rasulullah". Rasulullah SAW lantas berkata: "Jika begitu saya puasa saja hari ini" tanpa sedikit tergambar rasa sekelumit kemarahan dan kekesalan pada raut wajah baginda.

Oleh yang demikian, dewasa ini, dengan situasi yang sama walau pun sekilas dipandang kecil tetapi ia boleh menjadi isu dan perkara besar sehingga boleh membawa kepada pergaduhan dan perbalahan.

Apa yang jelas bahawa jika bertindak dengan terburu-buru tanpa usul periksa maka pastinya akan berkesudahan dengan keputusan yang menjadikan syaitan dan iblis bergembira kerana telah berjaya mengkucar-kacirkan sebuah rumahtangga Muslim.

Menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai seorang ketua dalam sesebuah keluarga bukan sahaja memerlukan ilmu pengetahuan agama yang cukup malah kesabaran menjadi paksi yang teras dalam melayari bahtera kehidupan.

Ini kerana andainya tersalah dalam membuat sebarang keputusan seperti contoh dalam sesebuah rumahtangga maka banyak pihak yang akan menanggung permasalahan seperti anak-anak, pembahagian harta benda dan sebagainya.

Betapa tulus dan bersih hati seorang insan berdarjat mulia yang tidak keberatan untuk menjahit serta menampalnya sendiri jika ada pakaian baginda yang terkoyak tanpa menyuruh isterinya.

Malah lebih daripada itu baginda juga seperti insan yang lain tidak segan silu memerah susu kambing sama ada untuk kegunaan keluarga atau pun untuk dijual.

Masya-Allah, di manakah kita sekarang? Hanya dengan kerana darjat dan kedudukan, tugas-tugas seperti tadi barangkali tidak menjadi kegemaran kita.

Bersama kita sematkan dalam diri dan keazaman kita bahawa seandainya seorang nabi dan rasul yang mulia itu sanggup menyantuni keluarganya dengan baik. Beratkah kita untuk menjejaki langkah dan teladan Baginda.

Semoga iltizam dan cita-cita kita untuk menjadi seorang ketua keluarga yang mengambil semangat dan model paparan Nabi Muhammad SAW menjadi realiti.

l Jika ada kemusykilan agama, sila ke Facebook dan Twitter Ustaz Tuan Asmawi Tuan Umar, Pegawai Perhubungan Awam Jawi merangkap Pengasas & Penasihat Imam Muda & Ustazah Pilihan di www.facebook.com/tuanasmawi dan www.twitter.com/tuanasmawi

Mengenali Wali Songo

SALAH seorang Wali Songo yang terkenal ialah Sheikh Maghribi. Beliau juga dikenali dengan nama Maulana Malik Ibrahim, Sunan Gresik juga dikenal dengan nama Maulana Maghribi (Syeikh Maghribi) kerana beliau dikatakan berasal dari wilayah Maghribi (Afrika Utara).

Namun hingga kini tidak diketahui secara pasti sejarah tentang tempat dan tahun kelahirannya.

Beliau dikatakan lahir sekitar pertengahan abad ke-14. Beliau berasal dari keluarga Islam yang taat beragama, dan beliau mempelajari agama Islam sejak kecil, namun tidak diketahui siapa gurunya, hingga beliau kemudiannya menjadi seorang ulama.

Sunan Gersik

Sunan Gersik diyakini sebagai pelopor penyebaran agama Islam di Jawa. Beliau berdakwah secara intensif dan bijaksana. Sunan Gresik bukan orang Jawa, namun beliau mampu memahami keadaan masyarakat yang dihadapinya dan menerapkan kaedah dakwah yang tepat untuk menarik perhatian masyarakat kepada Islam.

Usaha menghilangkan sistem kasta dalam masyarakat pada masa itu menjadi objek dakwah Sunan Gresik. Cita-cita dan perjuangannya menyebarkan Islam di Jawa kemudian diteruskan oleh anaknya, Sunan Ampel.

Sunan Giri

Sunan Giri ialah putera Maulana Ishak. Nama asalnya Radin Paku. Beliau ditugaskan oleh Sunan Ampel untuk menyebarkan agama Islam di Blambangan. Sunan Giri pernah belajar di Pesantren Ampel Denta.

Setelah dewasa, dalam perjalanan menunaikan haji bersama-sama Sunan Bonang, beliau singgah di Pasai untuk mendalami ilmu agama.

Sekembalinya ke Jawa, Sunan Giri membina pondok pengajian agama di daerah Giri. Beliau banyak menghantar pendakwah ke Bawean (Madura), bahkan juga ke Lombok, Ternate dan Tidore di Maluku. Makam Sunan Giri atau Raden Paku terletak di Bukit Giri, dekat Gresik, Jawa Timur.

Syarif Hidayatullah

Nama asal Sunan Gunung Jati ialah Syarif Hidayatullah. Beliau adalah cucu raja Pajajaran yang lahir di Mekah. Setelah dewasa, beliau memilih untuk berdakwah di Jawa. Di Jawa, beliau bertemu bapa saudaranya, Raden Walangsungsang (Pangeran Cakrabuana).

Setelah bapa saudaranya meninggal dunia, beliau menggantikan bapa saudaranya dan Berjaya menjadikan Cirebon sebagai kerajaan Islam pertama di Jawa Barat.

Beliau juga adalah pengasas Kesultanan Banten yang bermula dengan puteranya, Sultan Maulana Hasanuddin. Atas inisiatif Sunan Gunung Jati, Sunda Kelapa diserang diserang pada 1527 di bawah pimpinan Fatahillah, panglima perang Kesultanan Demak yang juga menantu Sunan Gunung Jati.

Sunan Muria

Sunan Muria ialah salah seorang Wali Songo yang sangat berjasa dalam penyebaran Islam di kawasan desa. Putera Sunan Kalijaga ini suka menyendiri dan tinggal di desa bersama-sama rakyat biasa.

Dalam menyebarkan Islam, Sunan Muria selalu menjadikan desa terpencil sebagai tempat dakwahnya.

Sinom dan Kinanti

Seperti para Wali Songo yang lain, Sunan Muria juga menggunakan kesenian sebagai cara berdakwah. Dua puisi yang diciptanya dan sangat terkenal ialah puisi Sinom dan Kinanti.

Puisi Sinom umumnya menggambarkan suasana ramah-tamah dan mengandungi nasihat. Puisi Kinanti pula bernada gembira dan digunakan untuk menyampaikan ajaran agama, nasihat dan falsafah hidup.

Sunan Drajat

Sunan Drajat dikenal sebagai seorang wali yang berjiwa sosial tinggi. Beliau banyak memberikan pertolongan kepada yatim piatu, fakir miskin, orang sakit dan orang susah.

Perhatiannya yang besar terhadap masalah sosial sangat tepat pada masa itu kerana beliau hidup pada masa keruntuhan Kerajaan Majapahit (sekitar 1478).

Rakyat pada ketika itu dalam keadaan kacau-bilau dan menyedihkan. Sunan Drajat juga menggunakan media kesenian semasa berdakwah. Untuk itu, beliau mencipta puisi Jawa yang hingga kini masih digemari, iaitu puisi Pangkur.

Sunan Kudus

Sunan Kudus atau Jaafar Sadiq digelar wali al-'ilmi (orang berilmu luas) oleh para Wali Songo kerana mempunyai keahlian khusus dalam bidang agama.

Oleh sebab kepakarannya itu, beliau banyak dikunjungi oleh para penuntut dari pelbagai wilayah.

Beliau juga diamanahkan untuk mengendalikan pemerintahan di daerah Kudus. Beliau menjadi pemimpin agama dan juga pemerintah di wilayah itu.

Masjid Menara Kudus

Sebagai permulaan untuk menyebarkan Islam, Sunan Kudus membina sebuah masjid di daerah Loran pada 1549. Masjid itu diberi nama Masjid al- Aqsa atau al-Manar.

Wilayah sekitarnya disebut Kudus, nama yang diambil daripada nama kota al-Quds (Baitulmaqdis di Palestin) yang pernah dikunjunginya.

Masjid itu kemudian dikenal dengan nama Masjid Menara Kudus kerana di sebelahnya terdapat menara tempat beduk masjid. Masjid yang dibina oleh Sunan Kudus ini juga merupakan salah satu masjid tertua di Indonesia.

Sunan Kalijaga

Sunan Kalijaga berasal dari suku Jawa asli. Beliau berdakwah dengan cara berkelana. Dengan wawasan yang luas dan pemikiran yang tajam, Sunan Kalijaga tidak hanya disukai oleh rakyat, tetapi juga oleh cendekiawan dan pemerintah. Raden Fatah dari Kesultanan Demak sering kali meminta nasihatnya.

Dandanggula

Sunan Kalijaga juga dikenal sebagai budayawan dan seniman (seni suara, ukir dan busana). Beliau mencipta aneka cerita wayang yang berunsur Islam, Sunan Kalijaga memperkenalkan sejenis wayang yang diperbuat daripada kulit kambing (wayang kulit), kerana pada masa itu wayang selalunya dilukis pada seperti kertas lebar (wayang beber). Dalam seni suara, beliau ialah pencipta lagu Dandanggula. Sebahagian dari lirik lagu Dandanggula ciptaan Sunan Kalijaga adalah tentang rukun iman.

Friday, January 27, 2012

Bantuan zakat hanya sementara

ADA orang menyatakan sekali mereka mendapat bantuan zakat, maka mereka berhak ke atas bantuan zakat itu hingga ke akhir hayat. Adakah benar kenyataan ini? Bagaimana pula dengan pandangan Islam dan peranan yang sewajarnya dimainkan oleh umat Islam dan institusi zakat?

Jawapan

Terima kasih kerana mengemukakan pertanyaan. Memang tidak dinafikan pihak institusi zakat seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) sering berhadapan dengan isu-isu seperti ini. Ia memang memerlukan penjelasan dan jawapan, demi mengelakkan masyarakat umum dan juga alangan pembayar zakat khususnya mempunyai tanggapan buruk terhadap pihak institusi zakat.

Tidak dinafikan zakat adalah suatu komponen penting yang dianjurkan oleh Islam untuk membela fakir dan miskin. Namun, zakat adalah satu mata rantai dalam keseluruhan perjalanan sistem Islam yang dinamakan syariat.

Zakat hanya dapat bergerak secara berkesan andai syariat Islam dijana secara komprehensif dan seluruh potensi ummah digembleng secara bersama demi kemajuan umat Islam.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan: "Jika sistem zakat berdiri secara terpisah daripada ajaran Islam yang lain, sistem zakat ini tidak akan mampu mencukupi keperluan golongan miskin. Hal ini boleh menimbulkan kemarahan pelbagai pihak terhadap sistem zakat dan kesangsian mereka terhadap keberkesanannya." (Institusi zakat: Peranan dan Tanggungjawabnya, hal. 99).

Sementara itu, jika kita merujuk kepada sejarah pada zaman pemerintah Saiyidina Umar bin Abdul Aziz (memerintah dari 99-101 hijrah), baginda bukan sahaja memperkasakan aspek kutipan dan agihan zakat, bahkan mengarahkan agar seluruh sistem sosial di dalam negaranya diperbaiki.

Ia termasuk memperkasakan aspek ilmu dan kesedaran diri rakyat. Masjid meriah dengan majlis ilmu. Para ulama menjadi obor yang sentiasa menyuluh kehidupan umat dan para penjawat awam serta rakyat sentiasa bersifat bahu-membahu membangunkan negara selaras dengan syariat.

Hasilnya, sungguhpun hanya kira-kira tiga tahun baginda memerintah, namun disebutkan di dalam sejarah tiada lagi orang miskin yang mahu menerima zakat pada masa itu.

Pun begitu begitu, dipercayai bukan tiada langsung orang-orang miskin, namun mereka termasuk ke dalam golongan orang yang 'kaya hati'. Mereka mungkin miskin dari aspek harta tetapi jiwa mereka kaya.

Maka, mereka tidak suka menzahirkan kemiskinan kerena lebih rela berusaha sendiri bagi memenuhi keperluan diri dan keluarga.

Tepat seperti mana hadis Nabi Muhammad SAW: "Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta; sesungguhnya kaya itu adalah kekayaan jiwa." (Muttafaqun 'alaih)

Pada hari ini, antara cabaran terbesar institusi zakat ialah merubah persepsi dan kefahaman umum umat Islam, khususnya di kalangan penerima zakat bahawa bantuan zakat adalah sesuatu yang sementara.

Zakat sebenarnya ibarat 'pemangkin' yang menjadi baja dan air bagi menyuburkan diri mereka. Asnaf zakat tidaklah wajar mendambakan bantuan zakat selama-lamanya.

Berdasarkan sunnah nabi, baginda banyak sekali mengarahkan agar umat Islam tidak selesa menjadi orang yang senantiasa menerima bantuan orang lain. Misalnya dalam sebuah hadis yang begitu masyhur bermaksud: "Tangan yang di atas adalah lebih mulia dari tangan yang di bawah." (riwayat Bukhari)

Bahkan, dalam sebuah hadis daripada Abu Musa r.a; nabi dengan terang dan jelas telah mengarahkan agar para sahabatnya bekerja. Dengan itu mereka mendapat harta dan dapat pula memberikan hartanya kepada orang lain.

Sabda Nabi SAW: "Hendaklah setiap orang Islam itu bersedekah, jika dia tidak dapat berbuat demikian, maka hendaklah dia berusaha sendiri (bekerja) yang dapat memberi faedah kepada dirinya sendiri dan dengan yang demikian dia dapat bersedekah." (riwayat Ahmad)

Bahkan Allah SWT dengan amat terang dan nyata menjelaskan di dalam al-Quran dengan firman-Nya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, sehinggalah mereka sendiri yang berusaha mengubah apa yang ada pada diri mereka. (ar-Raa'du: 11)

Maka, adalah menjadi satu kewajipan kepada setiap penerima zakat untuk berusaha mengubah keadaan diri mereka. Institusi zakat hanya mampu menyediakan prasarana atau 'alat-alat' yang sifatnya 'membantu'. Segala bantuan itu, misalnya bantuan pendidikan anak-anak, bantuan perumahan dan bantuan perniagaan, adalah ibarat joran dan mata kail serta umpan yang sepatutnya digunakan oleh para asnaf untuk mendapatkan lebih banyak ikan.

Dari aspek lain pula, beban dan peranan merubah pemikiran para penerima bantuan zakat tidak wajar dibebankan hanya ke atas bahu institusi zakat semata-mata.

Seluruh umat Islam mempunyai saham masing-masing demi menjana perubahan ini.

Misalnya, jika kebetulan asnaf zakat itu tinggal di sesebuah taman perumahan atau kampung, maka pihak yang bertanggungjawab dan jiran di kawasan berkenaan wajar berganding bahu memantau perkembangan asnaf berkenaan.

Misalnya, jika pihak institusi zakat memberikan bantuan modal, enjin sangkut, pukat dan bot bagi nelayan adakah ia benar-benar dimanfaatkan demi mencari ikan.

Begitu juga, adakah anak-anak yang diberikan bantuan pendidikan diberikan peluang pendidikan yang baik oleh ibu bapa mereka.

Adakah mereka disuruh pula melakukan kerja-kerja rumah yang berlebihan, membantu kerja harian dan sebagainya sehingga mengganggu proses pembelajaran?

Hal ini jika dapat dilakukan, bukan sekadar membantu mempercepatkan proses perubahan diri asnaf zakat, bahkan berupaya mengekang daripada berlakunya gejala menyalah guna bantuan dan sebagainya.

Pendek kata, usaha ini adalah selaras dengan kehendak Islam. Firman Allah SWT: Dan bertolong-bantulah kamu dalam perkara kebajikan dan takwa; dan jangan kamu bertolong bantu dalam kejahatan dan dosa. (al-Maaidah: 2)

Kesimpulannya, usaha merubah kehidupan asnaf memerlukan komitmen semua pihak.

Bantuan zakat sememangnya bersifat sementara. Melainkan jika asnaf yang menerima itu sudah tua dan uzur serta kurang keupayaan untuk berubah.

Maka sudah sewajarnya mereka dijaga dengan baik oleh institusi zakat yang juga merupakan elemen kebajikan pemerintahan dalam sesebuah negara yang bertanggungjawab menjaga maslahah rakyatnya. Wallahua'lam.

Tuntutan solat berjemaah

Oleh ZUARIDA MOHYIN

UMUMNYA, umat Islam tidak menolak kepentingan solat berjemaah. Cuma setakat mana keutamaan untuk melakukannya.

Pertembungan antara tuntutan duniawi dengan ukhrawi membuatkan umat Islam pada akhir zaman ini semakin payah melaksanakan solat berjemaah sama ada di masjid mahupun surau di kejiranan tempat tinggal mereka.

Sedangkan kalau diteliti beberapa ayat-ayat al-Quran dan hadis, jelas dinyatakan tentang kelebihan atau ganjaran daripada solat berjemaah.

Antaranya, Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Solat seseorang dengan berjemaah itu digandakan 25 kali ganda berbanding solat yang dikerjakan di rumah atau di pasar. Demikian itu, kerana apabila seseorang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya, kemudian pergi ke masjid dengan tujuan khusus untuk solat, maka setiap kali ia melangkah kaki, diangkat satu darjat dan dihapuskan satu dosa. Dan bila ia mengerjakan solat, maka malaikat sentiasa memohon rahmat kepadanya selama ia berada di tempat solat selagi ia tidak berhadas (doanya iaitu): "Ya Allah, ampunilah dia ya Allah kasihanilah ia. Dan (para malaikat sentiasa mendoakan) selama ia menanti solat. (Riwayat Muslim)

Begitu juga yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya solat berjemaah dua 27 kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian (riwayat Muslim).

Manakala dalam surah al-Nisaa' ayat 102 yang menunjukkan bahawa semasa dalam medan perang sekalipun, kita diperintah oleh Allah SWT untuk bersolat secara berjemaah. Inikan pula jika di dalam keadaan aman, maka ia adalah lebih utama.

Hakikatnya, kalau disoroti sirah Rasulullah SAW, didapati bahawa baginda mendirikan solat secara berjemaah selepas berhijrah ke Madinah.

Selama 13 tahun baginda tinggal di Mekah, solat berjemaah tidak dapat dilaksanakan secara aman kerana umat Islam pada ketika itu sentiasa diancam oleh pihak kafir Quraisy.

Maka pada masa itu solat hanya dilaksanakan secara bersembunyi atau bersendirian. Bagaimanapun perpindahan atau penghijrahan ke Madinah membolehkan solat berjemaah dilakukan secara terang-terangan.

Menyedari hukum solat jemaah itu adalah fardu kifayah maka tidak kurang juga yang mengambil mudah mengenainya.

Ramai yang berfikir bahawa solat fardu berjemaah bersama keluarga adalah lebih baik. Sedangkan itu tidak ditunjukkan oleh Rasulullah. Jika ada pun, hanyalah dengan solat-solat sunat.

Lantaran itu, usaha bersama Telaga Biru Sdn. Bhd. dengan Maahad Tahfiz Darul Quran wal-Qiraat, Pasir Mas, Kelantan menerbitkan buku yang berjudul Solat Berjemaah Asas Kekuatan Peribadi, Masyarakat dan Ummah mampu memberi ilmu yang diperlukan dalam segala aspek solat berjemaah.

Sekali gus meletakkan solat itu sebagai amalan utama yang sangat penting dan menjadi pokok ajaran Islam.

Buku ini juga bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa solat berjemaah adalah asas kekuatan peribadi, masyarakat dan ummah. Jika kita ingin bangkit daripada kelemahan sekarang, maka kita mestilah beriltizam dan istiqamah dengan solat berjemaah.

Tajuk-tajuk besar dalam buku ini merangkumi enam bab iaitu;

Bab 1: Kaitan dan hikmah solat berjemaah dengan isu semasa, sosial dan sejarah

Bab 2: Kelebihan solat berjemaah

Bab 3: Ganjaran solat berjemaah sebanyak 27 kali ganda

Bab 4: Kisah kesungguhan dan keprihatinan Rasulullah SAW dengan solat berjemaah

Bab 5: Keprihatinan Salafussoleh dengan solat berjemaah

Bab 6: Hukum Solat berjemaah mengikut pandangan ulama

Solat fardu berjemaah adalah syiar Islam terbesar dan semulia-mulia ibadat. Namun yang mendukacitakan, ramai umat Islam memandang sepi, mengambil sikap acuh tidak acuh dan menganggapnya sebagai ibadah remeh-temeh.

Semoga dengan membaca buku ini, tidak ada lagi alasan untuk menjauhi dan mengasingkan diri daripada solat berjemaah.

Di samping itu, buku ini diterbitkan bertujuan mengumpul dana pembangunan dan dana pembinaan Maahad Tahfiz Darul Quran Wal-Qiraat, Repek, Pasir Mas, Kelantan.

Individu atau organisasi yang ingin memberi sumbangan boleh hubungi 09-790 6871, 09-790 6651 atau nombor akaun BIMB Cawangan Pasir Mas: 3027010014625.

Ismail berceramah sendirian di padang

Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin

Sekitar awal tahun 1990-an, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM1) antara program yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam.

Antara sebabnya, kepetahan dan kebernasan hujah yang disandarkan nas al-Quran dan hadis serta diselang seli lawak jenaka oleh salah seorang panelnya iaitu Datuk Ismail Kamus.

Gandingan serasi dan mantap beliau ketika itu adalah bekas pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Haron Din dan moderatornya, Datuk Dr. Hasan Ali.

Nama Ismail memang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada umat Islam yang meminati pengajian agama. Kemasyhuran namanya bukan sahaja di Malaysia tetapi di rantau Asia Tenggara terutamanya Indonesia, Singapura dan Brunei.

"Saya memang suka bersyarah. Semasa belajar di Kolej Islam Kelang (KIK), bila masa cuti di kampung, saya bersyarah seorang-seorang di padang.

"Bila ada orang lalu, saya senyap. Memang masa itu tengah gila-gila, suka bersyarah," katanya dalam pertemuan dengan Mega, di pejabatnya di Gombak, Selangor baru-baru ini.

Mengimbas kenangan itu, Ismail berkata, penglibatannya dalam syarahan atau menyampaikan ceramah agama bermula seawal usianya 18 tahun.

Ketika itu, beliau menuntut di KIK dan berjinak-jinak dengan bidang tersebut dengan mengajar dari rumah ke rumah di kawasan sekitar kolej.

"Saya mula mengajar kitab fikah dan juga dijemput memberi syarahan tentang Israk Mikraj. Selepas tamat pengajian di UKM, saya terlibat secara langsung sebagai penceramah di kampung.

"Kemudian kuliah banyak diadakan di pejabat-pejabat, surau dan masjid serta institusi pengajian tinggi (IPT)," katanya yang kini berusia 64 tahun.

Pendek kata, kalau dihitung jumlah anak murid beliau di seluruh negara sejak beliau mula mengajar 46 tahun lalu angkanya mencecah ratusan ribu orang.

Bakat berceramah Ismail diasah sejak usia remaja. Malah, beliau pernah muncul johan dalam pertandingan syarahan agama di KIK. Beliau juga pernah muncul johan tilawah al-Quran di kampungnya semasa berumur 10 tahun.

Kini, walaupun pergerakannya tidak secergas dulu kerana masalah kesihatan, Ismail terus menerima undangan berceramah di seluruh pelosok negara dan juga di negara jiran.

"Cuma sekarang, saya kurangkan menerima undangan berceramah. Hanya yang dekat-dekat saya pergi sebab saya kini menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

"Program kuliah bulanan yang agak jauh cuma di Johor dan Singapura. Itupun sebulan sekali," jelas beliau.

Ditanya petua mengelak pendengar atau jemaah mengantuk, Ismail berkata, para penceramah perlu rajin dan banyak membaca supaya ada modal untuk bersyarah.

Katanya, beliau mengamalkan pesanan Imam Ghazali iaitu jangan membosankan khalayak yang mendengar ceramah atau majlis ilmu.

"Jangan baca buku agama sahaja. Tetapi baca buku yang meliputi semua bidang termasuk buku cerita supaya huraian kita mantap," katanya.

Ismail menambah, penceramah juga mesti mematuhi peraturan iaitu isi diikuti nas al-Quran, hadis dan perkataan para sahabat.

Kemudian katanya, boleh dikaitkan dengan cerita yang mempunyai pengajaran dalam masyarakat supaya mudah difahami.

"Kita juga boleh bagi perumpamaan dan sulam dengan jenaka yang tidak menyeleweng daripada al-Quran," kata bapa kepada empat cahaya mata itu.

Menurut Ismail, golongan ulama mesti menasihati umara (pemimpin) dan tegas apabila bercakap tentang perkara hak.

Ia sebagai mana sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Pemimpin dan ulama apabila kedua-duanya elok maka eloklah rakyatnya, tetapi apabila ulamanya rosak maka rosaklah kedua-duanya."

"Ulama mesti bercakap benar. Jangan bimbang jawatan kita tergugat. Kita perlu mencontohi ulama silam termasuk Imam Ahmad bin Hanbal.

"Walaupun beliau diseksa dan dirotan dalam penjara, tetapi tetap mempertahankan al-Quran itu qadim, bukannya makhluk.

"Demikian juga Imam Syafie walaupun dirantai tetapi beliau tetap mempertahankan hujah yang benar," tegas beliau.

Pada zaman remajanya, Ismail aktif dalam sukan bolasepak sebagai pemain pertahanan dan juga bermain sepak raga.

"Saya juga suka memancing dan mencari ikan di sungai berdekatan rumah selain menolong ayah bertani menanam jagung.

"Tetapi semua itu terhenti apabila saya masuk KIK di mana tumpuan hanya kepada belajar dan menelaah," katanya.

Semasa di KIK, Ismail memberitahu, beliau sering dipanggil dengan nama Kamus kerana ramai yang beranggapan namanya adalah Ismail Kamus.

"Mereka tak tahu yang nama saya Ismail bin Kamus. Namun, itu juga yang menjadi faktor mengapa kejayaan saya menguasai bahasa Arab.

"Sebabnya, apabila ada perkataan yang tidak diketahui saya, guru-guru akan suruh rakan-rakan tanya pada "Kamus"," jelasnya yang dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor tahun 2011.

Nyaris jadi budak pejabat

Anak pasangan Kamus Ahmad dan Siah Leman itu sebenarnya pernah berhenti sekolah semasa usia remajanya apabila sekolah agama tempat beliau belajar ditutup kerana ketiadaan pelajar.

"Masa itu umur saya dalam 13 tahun. Saya seronok saja. Maklumlah fikiran ketika itu suka main. Selepas berhenti sekolah, saya minta kerja sebagai budak pejabat tetapi tak dapat sebab tidak cukup umur.

"Nasib baik tak dapat. Kalau tidak, tak jadi ustaz lah saya," katanya sambil ketawa.

Ismail berkata, beliau adalah anak keempat daripada 10 adik-beradik dan yang paling disayangi oleh bapa.

"Ke mana saja ayah pergi, dia mesti bawa saya. Baik ke kebun, ambil gaji, mengaji dan sebagainya," kata beliau.

Alhamdulillah, ibu bapanya sempat melihat Ismail menjadi ulama yang disegani di tanah air sebelum meninggal dunia.

Kata Ismail, bapa dan ibunya bukanlah terdiri daripada golongan ulama tetapi mereka kuat beramal.

"Berkat doa merekalah, saya menjadi ustaz hari ini," tambahnya.

Ismail berkata, bapanya meninggal dunia semasa beliau membawa rombongan haji melalui syarikatnya ketika itu pada tahun 1992.

"Arwah macam tahu dia nak meninggal. Sehari sebelum itu, dia menebang pokok dan menggali kubur serta berpesan kepada cucunya, kalau dia meninggal tanamlah di situ dekat pokok jambu.

"Esoknya, dia pun meninggal dunia semasa tidur. Arwah emak pula meninggal kira-kira 10 tahun selepas itu," kata beliau.

Bercakap mengenai pengalamannya ke ceruk rantau untuk berceramah, Ismail tersenyum lebar sambil mengenangkan, pengalamannya yang penuh warna-warni. Ada suka dan ada duka. Yang pasti, beliau sekeluarga puas menjelajah seluruh negara.

"Pengalaman di Terengganu, semasa minum di lapangan terbang, kawan yang ajak minum tu hanya bayar untuk dia sahaja.

"Saya juga pernah berceramah di tempat yang jauh tetapi tidak disajikan makanan dan kereta rosak dalam perjalanan balik pada waktu tengah malam.

"Ada juga yang bagi RM50 saguhati. Sedangkan saya datang bertiga di Pulau Pinang. Ada juga yang bagi keropok selepas ceramah di Terengganu.

"Masa itu saya baru mula bekerja dan bukan ada duit sangat. Tetapi apabila kita bersabar, Allah bagi rezeki kemudiannya," jelas beliau.

Ismail juga pernah 'menggemparkan' tanah air apabila beberapa kali dikatakan 'meninggal dunia'.

"Kali pertama, semasa saya bercuti di Port Dickson. Sedang gunting rambut, radio pun telefon minta saya beritahu saya masih hidup.

"Kali kedua, pada tahun 2000 ketika saya di Mekah. Kali ketiga tahun 2010 semasa saya sedang menunaikan umrah.

"Alhamdulillah, saya masih hidup lagi," katanya ketawa.

Mengenai politik, Ismail tidak mahu lagi terlibat secara serius atau menjadi calon parti pada pilihan raya akan datang.

"Saya tak mahu bertanding lagi. Sepenggal dulu cukup la. Lagi pun, kesihatan saya tidak mengizinkan dan saya lebih suka memberi khidmat mengubat orang sakit di Pusat Perubatan Islam Darussalam Malaysia," katanya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia.

Tumpu kepada perubatan Islam

Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin

Selepas bersara daripada perkhidmatan kerajaan dan menubuhkan syarikat perkhidmatan umrah dan haji, Datuk Ismail Kamus menumpukan sepenuh masa kepada rawatan Islam.

Beliau memberi perkhidmatan itu di Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia atau Darussalam yang ditubuhkan pada tahun 2003.

Menurutnya, beliau mempelajari perubatan Islam daripada Prof. Datuk Dr. Haron Din sekitar tahun 1979 dan mula mengubat pada tahun 1986.

Katanya, pelbagai pengalaman dalam mengubat orang, sampai koyak baju pun ada.

"Penyakitnya pun banyak. Antaranya sihir, gangguan dan penyakit zahir, kedai-kedai yang disihir.

"Syarikat yang diganggu oleh makhluk halus dan ada juga kerja-kerja memasang cerucuk yang tidak boleh dilakukan kerana gangguan jin dan sebagainya," kata beliau.

Ismail berkata, ada juga sihir yang bertujuan memporak-perandakan rumah tangga sehingga suami isteri berpisah.

Katanya, Darussalam hanya menawarkan rawatan dan yang menyembuhkan adalah Allah.

Pengubatan Islam adalah suatu kaedah yang berasaskan wahyu Ilahi yang diturunkan melalui al-Quran dan sunnah.

Ia juga bertemakan amalan as- Salafussoleh, Ahlu Zikr dan pengalaman ahli pengubatan Islam yang muktabar.

"Sekarang sudah ramai anak murid yang boleh membantu. Saya hanya mengubat pada hari Selasa sahaja," ujarnya.

Menurut Ismail, mereka yang berminat mempelajari kaedah rawatan Islam perlu bersungguh-sungguh dan beramal dengan al-Quran dan zikir.

"Tetapi jangan pula berniat baca al-Quran dan berzikir supaya jin takut tetapi lakukan ibadat itu kerana Allah," jelasnya.

Menyedari betapa pentingnya kesinambungan ilmu perubatan Islam yang diamalkan selama ini, maka dihimpunkan semua golongan ilmu agama dan individu yang berminat menyertai kursus perubatan yang pertama kali diadakan oleh beliau pada Januari 2003.

Ia dihadiri 35 peserta bertempat di Taman Sri Gombak, Selangor. Kuliah kursus disampaikan sepenuhnya oleh Ismail.

Hasil kursus yang pertama itu lahirlah generasi pertama perawat Darusslam. Pada peringkat awal, seramai 13 perawat yang berjaya menerima Ijazah Perubatan Darussalam selepas menjalani latihan praktikal perubatan bersama Ismail pada 17 Julai 2003.

Kursus Darussalam kali kedua diadakan pada 27 dan 28 Februari 2005 di Taman Melawati, Selangor yang dihadiri oleh 83 peserta.

Daripada jumlah itu, 63 peserta berjaya memperolehi Ijazah Perubatan Darussalam.

Ismail berkata, kaedah pengubatan Islam adalah satu cabang usaha pesakit dalam mencari kesembuhan penyakit yang dialami.

Ia sebagai mana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Kami turunkan daripada al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang zalim selain kerugian. (al-Israk: 82)

Walaubagaimanapun, ia bukanlah bertujuan mengambil alih peranan rawatan moden. Malah ia juga bukan untuk rawatan penyakit yang berpunca daripada makhluk halus semata-mata.

Pengubatan Islam tidak boleh dicampur-aduk antara yang halal dan haram. Ia juga menolak secara keseluruhan kaedah yang berunsur syirik.

"Tambahan pula ia merupakan satu ibadah bagi setiap Mukmin yang mencari keredaan Allah SWT.

"Setiap Mukmin disuruh untuk berusaha mencari penawar bagi setiap penyakit yang dihidapi. Penyakit juga suatu penghapus dosa dan mati di dalamnya membawa hati yang sejahtera di sisi Allah SWT," katanya.

Ismail juga menunjukkan himpunan pelbagai keris, tangkal dan barang dalam rawatan perbomohan yang berunsur syirik.

"Barang-barang ini diserahkan untuk tujuan 'dibuang' oleh sebahagian besar pesakit yang mendapat rawatan di Darussalam," jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau juga mengesyorkan umat Islam mengamalkan beberapa ayat dalam al-Quran sebagai pendinding daripada perbuatan syirik.

Katanya, sebelum tidur, amalkan membaca bismillah (21 kali), membaca tiga Qul (surah al-ikhlas, al-falaq dan an-nas) kemudian tiupkan pada tangan sehingga habis nafas dan sapukan pada seluruh badan (tiga kali).

"Disusuli dengan membaca ayat kursi, ayat 21 hingga 24 surah al-Hasyr dan empat ayat terakhir surah al-Mukminun," katanya.

Masak untuk kebajikan

Oleh FAROUQ ZAUJI

BENCANA alam datang dalam pelbagai bentuk dan saiz. Ada sesetengahnya boleh dijangka. Manakala sebahagian lainnya tidak. .

Walaupun bencana yang datang meninggalkan kesan yang menggerunkan, namun amat penting dan menarik bagi kita mengetahui dan mempelajarinya kerana sebahagian besarnya berlaku akibat proses semula jadi alam.

Pun begitu, dalam keadaan tertentu, ia boleh berlaku akibat daripada campur tangan manusia. Bencana banjir misalnya mengakibatkan kekurangan bekalan makanan dan keperluan-keperluan lain.

Masalah itu dikurangkan melalui operasi bantuan kepada mangsa banjir termasuk menyediakan bekalan makanan, selimut, tikar, bekalan perubatan dan juga rawatan untuk mangsa yang sakit.

Bencana buruk itu banyak memberi kesan kepada mangsa dan rakyat Malaysia khususnya.

Mereka yang tidak terlibat turut merasai penderitaan mangsa-mangsa tersebut. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia yang bersatu padu kita mesti saling menolong dan meringankan beban pihak-pihak yang terlibat ini.

Sesungguhnya bencana yang menimpa itu bukan di minta tetapi ia berlaku atas ketentuan Allah.

Maka dengan usaha yang dijalankan oleh mereka yang prihatin, diharapkan ia dapat meringankan beban mangsa.

Apa yang yang penting, adalah keikhlasan dan juga semangat bantu-membantu yang sinonim dengan masyarakat berbilang kaum di Malaysia

Keprihatinan

Atas keprihatinan terhadap mangsa-mangsa banjir di beberapa buah negeri di Malaysia, sebagai sebuah badan kebajikan yang mengutamakan kebajikan rakyat tempatan, Islamic Aid Malaysia (IAM) telah mengadakan beberapa siri bantuan kecemasan untuk mangsa banjir di Kelantan, Johor dan Pahang.

Usaha ini telah mendapat perhatian daripada akhbar Utusan Malaysia, di mana kerjasama kemanusiaan telah diwujudkan melalui Tabung Bantuan Bencana Banjir yang telah dilancarkan pada 29 November tahun lalu.

Tabung itu merupakan sebuah kerjasama kemanusiaan di antara IAM dengan Utusan Malaysia.

Misi ini mempunyai objektif membantu mangsa banjir yang mungkin terpaksa berada di pusat pemindahan sementara menunggu air surut selain meringankan beban warga miskin yang hilang mata pencarian kerana tidak dapat bekerja.

Hakikatnya, melalui program istimewa itu, mereka bukan sahaja dihidangkan dengan makanan yang lazat dan suasana bergotong-royong. Namun mereka juga turut dibantu dengan sumbangan pek-pek makanan asas harian.

Pek makanan itu mengandungi makanan asas seperti beras, gula, tepung, sardin, telur dan sebagainya.

Rata-rata yang ditemui menyatakan rasa syukurn kerana tidak pernah diraikan sebegini dalam suasana serba kekurangan di pusat pemindahan banjir.

Inilah uniknya sumbangan yang cuba dikongsikan oleh IAM. Konsep bantu membantu, ingat mengingati masih lagi diamalkan.

Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, misi bantuan itu membuktikan bahawa pihaknya prihatin terhadap keperluan masyarakat tempatan.

Program tersebut merupakan kerjasama dengan Kumpulan Utusan dan bantuan yang dihulurkan tidak terhenti setakat ini saja. Persediaan rapi telah disediakan bagi terus membantu mangsa-mangsa banjir.

"Selain menghulurkan bantuan berbentuk pek makanan, pihak kami juga turut memperkenalkan program baru iaitu Charity Chef, di mana program unik ini melibatkan seorang chef yang terkenal iaitu Chef Yang Jamil bagi membuat demonstrasi masakan serta memasak untuk para mangsa banjir.

"Mereka bukan saja diberikan ilmu masakan, tetapi juga berpeluang untuk merasa masakan tersebut.

"Selain itu, program seumpama ini juga dapat mengisi masa mangsa-mangsa banjir yang sudah beberapa hari berada di pusat pemindahan dengan aktiviti yang bermanfaat," katanya.

Berkaitan tentang penyediaan bahan memasak, jelas Zawahir pihaknya akan menanggung segala kos yang terlibat untuk memasak termasuk kos bahan mentah, kos bahan kering dan sebagainya.

"Bagi kami kegembiraan dan keceriaan mangsa-mangsa banjir itu adalah paling penting. Mereka bukan saja disajikan dengan makanan yang lazat, namun mereka turut dihiburkan dengan celoteh menarik daripada Chef Yang Jamil," ujarnya.

Tambahnya, program Charity Chef tidak terikat untuk mangsa banjir saja. Pihaknya akan melebarkan sayap program itu untuk kebakaran, program jejak prihatin dan program-program lain yang melibatkan masyarakat luar bandar yang susah dan berada dalam keadaan serba kekurangan.

Selain itu, golongan kanak-kanak juga tidak dilupakan apabila pihak IAM turut mengedarkan majalah komik Upin & Ipin hasil sumbangan syarikat Nyla Sdn. Bhd.

Chef Yang Jamil, 50 tahun, pula berkata, beliau berasa berbesar hati dengan lamaran IAM untuk membawanya memasak untuk program-program amal anjuran mereka.

Ini secara tidak langsung katanya, beliau dapat berkongsi ilmu masakan dengan masyarakat luar bandar.

"Saya bersyukur dengan kemahiran yang saya ada, saya berpeluang melakukan kerja-kerja amal. Bagi saya kegembiraan mereka ketika menjamah masakan air tangan saya itu merupakan satu nikmat.

"Terima kasih saya ucapkan kepada pihak IAM kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menjayakan program ini. Walaupun ketika ini saya sibuk dengan rakaman program masakan, namun saya cuba melapangkan masa untuk melaksanakan kerja-kerja amal ini.

"Saya percaya dengan adanya program seumpama ini, lebih ramai lagi pihak akan turut serta dalam menjayakan program-program kemanusiaan," katanya.

Pengaduan Nabi Nuh

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

ALLAH SWT telah menyebut perihal Nabi Nuh yang diperintahkan agar mengingatkan kaumnya sebelum mereka ditimpa kemurkaan dan seksaan-Nya yang amat pedih.

Nabi Nuh yang menerima seruan Allah itu terus memberi peringatan kepada kaumnya dan memerintahkan mereka agar bertakwa dan mentaati-Nya supaya Allah SWT mengampunkan dosa dan memanjangkan umur mereka.

Berikutnya diterangkan kisah Nabi Nuh bermunajat dan membuat pengaduan kepada Allah bahawa baginda telah mengingatkan mereka dengan apa yang diperintahkan.

Tetapi kaumnya telah menderhaka dan menolak peringatan yang diberikan kepada mereka.

Seruan baginda tidak memberi apa-apa faedah selain mereka terus menolaknya.

Kadang-kadang Nabi Nuh menyeru mereka secara terang-terangan dan adakalanya secara sembunyi.

Baginda memerintahkan mereka memohon keampunan di atas dosa mereka agar Allah SWT menurunkan hujan, menganugerahkan harta dan anak-anak serta mengurniakan kebun-kebun dan sungai kepada mereka.

Kemudian, baginda mengingatkan mereka tentang kekuasaan, keagungan Allah SWT dan keluasan kudrat-Nya serta memalingkan pandangan mereka kepada Allah SWT yang telah menciptakan mereka secara berperingkat.

Allah yang telah menciptakan langit secara bertingkat, menjadikan bulan yang bersinar di langit, matahari sebagai pelita dan bumi sebagai hamparan untuk kehidupan mereka.

Keadaan yang demikian membolehkan mereka berjalan-jalan dari satu lembah ke lembah yang lain.

Firman Allah SWT: Nuh berkata: Ya Tuhanku sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang, maka seruanku itu hanyalah menambah mereka lari (dari kebenaran). Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada iman) agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam telinganya dan menutupkan bajunya (kemukanya) dan mereka tetap (mengingkari) dan menyombongkan diri dengan cara yang melampau. (Nuh: 5-7)

Ibnu Kathir berkata: "Nabi Nuh a.s. menyatakan tidak pernah diam dan alpa menyeru kaumnya supaya mentaati dan mencari keredaan-Mu namun mereka terus lari daripada kebenaran."

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Ibnu Abbas: "Mereka mengingkarinya agar dia tidak mengetahui mereka."

Sa'id bin Jubair dan al-suddi berkata: "Mereka menutup kepala dan telinga supaya tidak mendengar apa yang dia katakan."

Syed Qutub berkata: "Itulah satu gambaran kegigihan pendakwah yang menyampaikan dakwah pada setiap kesempatan yang didapatinya dan gambaran kedegilan kaumnya mempertahankan kesesatan."

Gambaran itu memperlihatkan sifat-sifat kebudak-budakan mereka yang degil iaitu menyumbat jari dalam telinga dan menutup kepala dan muka dengan baju.

Mereka melakukan sedemikian dengan harapan tidak mendengar segala seruan Nabi Nuh.

Firman Allah SWT: Kemudian sesungguhnya aku telah menyeru mereka (kepada iman) dengan cara terang-terangan. Kemudian sesungguhnya aku (menyeru) mereka (lagi) dengan terang-terangan dan dengan diam-diam. Maka aku katakan kepada mereka: Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun. (Nuh: 8-10)

Ibnu Kathir berkata: "Iaitu kembalilah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah segala perbuatan lama kamu serta bertaubatlah kamu kepada-Nya.

"Ini kerana siapa yang bertaubat pasti Dia menerima taubat sebanyak manapun dosa yang dilakukan serta kekufuran dan kemusyrikan."

Al-Maraghi berkata: "Aku (Nabi Nuh AS) katakan kepada mereka: Mohonlah pengampunan daripada dosa-dosamu kepada Tuhan dan bertaubatlah kepada-Nya dari segala unsur kekafiran atau menyembah tuhan yang selain-Nya serta mengesakan Dia dengan cara mengikhlaskan ibadah kepada-Nya."

Berdasarkan ayat-ayat yang dibincangkan, jelas membuktikan kegigihan Nabi Nuh AS dalam menyampaikan risalah Allah SWT.

Pada masa yang sama baginda mengajak umatnya supaya beristighfar kepada tuhan tetapi malangnya mereka mengingkari dan tidak mahu beriman kepada Allah SWT.

Semoga kita dapat mengambil iktibar daripada kisah ini untuk mentaati perintah Allah dalam apa jua keadaan sekalipun. Amin.

Mencontohi akhlak Rasulullah

Oleh DR. AMINUDIN MANSOR

DALAM kehidupan, umat Islam diwajibkan mengikuti dan memiliki sifat dan akhlak Nabi Muhammad SAW. Ia merupakan pedoman setiap insan dan perlu dijadikan amalan dalam kehidupan setiap Muslim.

Sehingga sesiapa yang berpegang teguh dengan keindahan budi baginda maka akan bahagia dan sempurnalah kehidupan mereka di dunia dan akhirat.

Sejarah Islam telah membuktikan, apa yang menjadi tenaga pendorong atau obor semangat yang membangkitkan kegigihan umat Islam hingga lahirnya tokoh-tokoh agung dalam pelbagai bidang sebenarnya bersumberkan daripada al-Quran dan al-Sunah.

Iman, akhlak dan amal soleh merupakan tiga unsur yang tidak dapat dipisahkan daripada struktur pendidikan Islam yang mampu melahirkan manusia agung yang layak dijadikan pedoman dan ikutan umat Islam.

Keluhuran dan kemuliaan akhlak Rasulullah terbukti melalui sifat baginda yang berani, pemurah, adil, memelihara diri daripada yang haram, sifat benar, amanah, sabar, lapang hati dan sabar, pemaaf, pengasih dan penyayang.

Baginda juga mengutamakan perdamaian, zuhud, pemalu, tawaduk, setia, mengutamakan musyawarah, kebaikan dalam pergaulan, rajin bekerja dan selalu gembira serta bergurau senda dengan keluarga.

Semua itu seharusnya dicontohi umat Islam masa kini dan akan datang.

Ini terbukti melalui kisah dan sejarah yang dipaparkan semasa hayat baginda oleh sahabat-sahabat, isteri dan para pembantu yang rapat dengan baginda.

Rasulullah adalah insan pembawa cahaya penerang kehidupan ummah sejak dahulu hingga kini.

Hadis-hadis baginda secara keseluruhan melibatkan perkara asas yang penting dalam pembinaan dan pendidikan diri dan masyarakat ke arah kemajuan ummah.

Berkaitan dengan akhlak nabi, tokoh Islam, Dr. Ahmad Muhammad al Hufy menggambarkan, setiap orang dapat merasakan indahnya taman yang luas dengan pepohonan rendang. Segala sesuatu yang ada di dalamnya berbau harum semerbak, manis buah-buahannya dan sedap dipandang mata.

Itulah gambaran akhlak Nabi yang luhur, sehingga tidak seorang pun dapat memastikan manakah di antaranya budinya yang lebih tinggi martabatnya. Semuanya menarik dan mempesona ibarat mutiara yang sentiasa berkilau-kilauan.

Keistimewaan baginda terbukti melalui beberapa hadis antaranya daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda: Akulah penghulu manusia pada hari kiamat. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis yang lain berkaitan dengan pendidikan insan berakhlak mulia pula daripada Abu Hurairah Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik." (riwayat Ahmad).

Berkaitan dengan kesempurnaan syafaat Rasulullah daripada Anas bin Malik r.a. nabi bersabda: Bagi setiap nabi terdapat doa (yang telah dikabulkan di dunia) untuk umatnya. Tetapi aku telah menyimpan doaku sebagai syafaat untuk umatku pada hari kiamat. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Menurut Syarah Sahih Muslim, hadis ini menerangkan kesempurnaan syafaat nabi dan belas kasihan baginda terhadap umatnya.

Baginda mengambil perhatian terhadap kepentingan kemaslahatan umatnya. Baginda menangguhkan doa balasan azab terhadap umatnya sehingga waktu terpenting dan amat diperlukan.

Dalam usaha memantapkan ukhuwah dan memperkasa ummah, umat Islam digalakkan sentiasa menghubungkan silaturahim, mengelakkan sifat bermusuh-musuhan, hasad dengki dalam kehidupan.

Usaha memperkasa ummah mestilah dilakukan setiap masa bagi mewujudkan kekuatan bangsa dan negara. Seorang mukmin itu adalah saudara kepada mukmin yang lain.

Hal ini juga berkaitan dengan pembinaan iman dan akhlak yang baik. Orang-orang mukmin diibaratkan sebagai satu binaan.

Daripada Abu Musa al-Asy'ari r.a. Rasulullah bersabda: Sesungguhnya seorang Mukmin kepada Mukmin yang lain seperti satu binaan, sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Penyatuan ummah dapat mengelakkan segala anasir jahat yang cuba memecah-belahkan perpaduan.

Hanya melalui perpaduan, penyatuan ummah dapat diperkasakan bagi menghadapi apa juga cabaran yang mendatang.

Orang-orang mukmin diibaratkan sebagai satu jasad. Daripada Nu'man bin Basyir r.a., nabi bersabda: Kemesraan, kasih sayang, dan saling berbelas kasihan antara orang Mukmin diibaratkan seperti satu jasad; apabila satu anggota mengadu kesakitan seluruh jasad akan turut serta berjaga malam dan merasa panas dan gusar. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)."

Lantaran itu, umat Islam sewajarnya mengamalkan akhlak yang baik seperti sifat mesra, kasih sayang, saling berbelas kasihan, menghormati jiran dan tetamu serta mengamalkan sifat tolong-menolong, bekerjasama, sopan santun, bersedekah, menolong orang miskin dan menghubungkan silaturahim akan dapat memperkasa ummah.

Sifat-sifat mulia lain yang selari dengan sifat Islam seperti pemurah, berani, adil, memelihara diri, benar, menepati janji, penyayang, pemaaf, sabar, jujur, amanah dan kuat kemahuan yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan umat Islam bagi memperkasa ummah.

Sesungguhnya, taat kepada rasul itu bererti taat kepada Allah. Sebagaimana yang ditegaskan dalam surah al-Ahzab ayat 21 dan surah an-Nisa ayat 80.

Oleh itu, wasiat dan pesanan Nabi berkaitan dengan sifat baik dan akhlak mulia serta pesanan yang lain sewajarnya menjadi pegangan hidup bagi menghadapi cabaran meneruskan kehidupan di dunia ini serta mendapat keredaan Allah di akhirat.

Wednesday, January 25, 2012

Aisha bersyukur diberi peluang kedua

Oleh ZUARIDA MOHYIN

BERGELAR Muslim, itulah hasratnya sejak di bangku sekolah menengah lagi. Ditambah faktor pergaulan dengan teman-teman sekolah yang majoritinya beragama Islam.

Bahkan, nilai-nilai murni yang menjadi amalan masyarakat Islam sekitarnya, menambah keterujaan untuk memeluk Islam.

Sehinggakan laungan azan yang berkumandang, dirasakan bagai memanggil dirinya untuk melakukan syahadah.

Demikian gejolak jiwa yang dirasai Lais anak Jemal sebaik dirinya bertekad untuk memeluk agama Islam. Apatah lagi, keinginannya itu diiringi restu ibu tercinta.

Lantaran itu, penantian lebih lima tahun yang berakhir dengan lafaz kalimah syahadah tidak pelik jika diiringi air mata kegembiraan, sekali gus bertukar ke nama Aisha Azra Jemal Abdullah.

"Saya mengenali Islam sejak di tingkatan empat lagi. Dalam kelas Tamadun Islam, Ustazah Syarifah Hendon yang mengajar selalu menceritakan kisah-kisah nabi. Dari situlah minat saya kepada Islam bermula.

"Saya sendiri hairan bagaimana Islam boleh menjadi pilihan kerana saya juga terlibat secara aktif dengan gerakan mubaligh remaja Kristian.

"Selain itu, saya juga jadi suka dengan agama Islam apabila melihat akhlak dan penampilan yang ditunjukkan oleh kawan-kawan yang beragama Islam.

"Mereka ini saya lihat walaupun bertudung tetapi ia bukan kekangan untuk berjaya dalam pelbagai bidang kehidupan," akui wanita dari suku kaum Iban, kelahiran Kuching, Sarawak.

Tambah Aisha, dia juga tertarik dengan Islam kerana mendapati agama tersebut mempunyai kaedah yang menarik dalam menghadapi masalah.

Tiada putus asa atau mencari jalan nekad seperti membunuh diri, kekuatan keimanan dan rasa kebergantungan kepada Allah semata-mata itulah yang kata Aisha tidak ada pada agama lain.

Aisha yang mula menjejakkan kaki di Semenanjung Malaysia pada 1999 kerana menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan sains politik.

Dia memeluk Islam pada 10 Disember 2002 di Majlis Agama Islam di Kuching, Sarawak dengan ditemani keluarga angkat.

Siapa sangka setahun kemudian, anak bongsu daripada empat adik-beradik ini dipertemukan jodoh dengan lelaki Melayu yang juga berasal dari Sarawak. Mereka melangsungkan pernikahan pada 2003.

Pada pertemuan di Pusat Islam, baru-baru ini Aisha yang kini berusia 34 tahun membuat pengakuan dia hilang bimbingan sepanjang tempoh perkahwinannya.

Namun, bergelar ibu tunggal, ibu kepada dua cahaya mata iaitu Syahira Natasha, 8, dan Danial Mustaqim, 7, menganggap dirinya mendapat hidayah kedua.

Kedua-dua anak Aisha kini menuntut di sebuah sekolah tahfiz di Jalan Kebun, Klang, Selangor sejak hampir dua tahun.

"Selepas bercerai saya mula bermuhasabah diri. Saya rasa hidup ini ada kekurangan. Ini kerana selama saya bergelar Muslim, saya tidak berpeluang mendalami agama Islam. Apatah lagi bila melihat anak-anak semakin membesar. Sampai bila saya harus Islam sekadar pada nama sahaja.

"Satu lagi yang mendorong saya mendalami ilmu agama adalah pembantu rumah yang banyak memberikan tunjuk ajar terutamanya kepada anak-anak.

"Dialah yang mengajar anak-anak saya mengaji. Dialah pembakar semangat untuk saya hijrah keluar daripada kejahilan," kata Aisha bersyukur.

Kini dia sering mengunjungi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

Kata Aisha, selain mengikuti kelas-kelas pengajian pagi dan petang anjuran Jawi dan Perkim dia juga tidak akan melepaskan peluang untuk menghadiri kursus anjuran MAIS.

Jelasnya, setelah belajar secara istiqamah barulah dia lebih memahami bahawa ajaran Islam itu benar-benar serta amat selari dengan fitrah manusia.

Mengapa remaja Melayu layu?

Oleh NURUL IZZAH SIDEK

KEMERDEKAAN yang kita terima dan isi sepatutnya menjadikan remaja lebih bertenaga dan berwibawa. Sebaliknya proses pembangunan dan perubahan sosial tidak dapat dimanfaatkan oleh kebanyakan para remaja. Terdapat sebahagian remaja Melayu dalam jumlah yang agak membimbangkan terjebak dengan ketirisan jati diri dan menjalani hidup dalam keadaan keliru dan celaru. Ini boleh menyebabkan kelangsungan generasi Melayu menjadi 'layu'.

Abad ini adalah abad persaingan yang menuntut remaja yang berilmu dan mempunyai etika yang tinggi. Masalah sosial yang terjadi, penyalahgunaan dadah yang bertambah, kegiatan rempit yang berlaku, kadar penceraian yang tinggi serta amalan zina dan pembuangan bayi yang meningkat bukanlah suatu gambaran menarik kepada generasi muda. Generasi inilah yang bakal mengambil alih tampuk kekeluargaan, kemasyarakatan dan kepimpinan negara. Ia adalah gambaran suram yang menyebabkan Melayu itu bertambah 'layu'.

Ia bermula dalam pendidikan keluarga yang tidak seimbang. Anak-anak tidak dibina dalam suasana yang fitrah. Keciciran banyak terjadi dalam pembinaan keluarga dan ia menyebabkan keciciran berterusan di sekolah dan dalam masyarakat. Remaja Melayu amat terdedah dengan simpang siur, silang budaya yang kehilangan arah. Ia menyebabkan remaja Melayu mengalami sindrom ketagihan terhadap hiburan, gemar menonton filem-filem tahyul, seram dan hantu yang tidak mampu meningkatkan akal budi insani dan mudah cair dengan cabaran nafsu nafsi dan akhirnya menjerumuskan remaja Melayu ke kancah kerosakan.

Terlihat oleh kita sistem perubahan sosial berlaku dalam dua ekstrem. Di satu pihak cuba membentuk pemikiran generasi muda kearah kebaikan dan kemakrufan. Di sisi lain terdapat usaha dan kegiatan menjadikan mereka orang-orang yang lagha, cuai, dan lalai terhadap amanah keremajaan. Ia menyebabkan konflik sikap dan pemikiran terjadi. Akhirnya menyebabkan sebahagian remaja Melayu menjadi 'layu'.

Sindrom 'kelayuan' ini boleh menyebabkan remaja Melayu hilang pedoman dan arah dalam hidup dan akhirnya menjadi mangsa kepada persekitaran. Persekitaran yang tidak baik bakal membentuk pola berfikir dan binaan sikap yang lemah. Ia tidak akan menghasilkan pemikiran kreatif yang berpotensi untuk membawa perubahan dan pemikiran kompetitif untuk berdepan dengan cabaran dan saingan. Minda remaja Melayu akan menjadi lemah, suka bergantung kepada orang lain dan menjadi pengikut kepada agenda orang lain.

Oleh itu, amat penting generasi muda Melayu membina jati diri atas prinsip perubahan ke arah sesuatu. Remaja Melayu patut menginsafi bahawa ianya tidak boleh berlaku tanpa ilmu, kemahiran serta akhlak. Remaja Melayu yang jauh daripada pendidikan Islam dan tidak menjadikan Islam dan etikanya sebagai pedoman bakal terdedah menjadi mangsa zaman. Sifat zaman yang pantas berubah mengingatkan kita dengan kata-kata Saidina Umar r.a yang menyebutkan "Didiklah generasi muda dengan ilmu yang sezamannya".

Ilmu yang sesuai dengan zaman, pada hemat penulis ialah ilmu yang integratif, yang menyepadukan ilmu akal dengan ilmu wahyu (ilmu aqliah dan ilmu naqliah). Tanpa kekuatan ilmu, yang diolah secara wasatiyyah (berimbang), tidak mungkin kita mampu menyaingi terjahan globalisasi yang berlaku dengan hebatnya.

Reflektif terhadap tamadun Islam yang silam boleh membawa kepada proses integrasi dan islamisasi ilmu yang mampu mencetuskan perubahan dan tamadun. Kalau tidak, para remaja dan generasi muda akan kekal sebagai pengguna setia terhadap tamadun Barat yang belum tentu selari dengan tuntutan agama.

Para remaja yang mengikuti pendidikan agama mesti mampu membentuk pemikiran yang terbuka, tidak emosional dan taksub serta berfikir secara simplistik. Melakukan perubahan terhadap sistem menuntut pemikiran yang jelas, rancangan yang bijaksana dan strategi yang berwibawa.

Kalau pendidikan agama menjadikan para remaja gopoh berfikir, bersikap simplistik terhadap sesuatu, tidak bersedia mendengar pandangan orang lain ia bakal menghasilkan kejumudan dan kebekuan. Sikap jumud dan beku tidak boleh menghasilkan perubahan. Remaja bakal berada dalam kepompong berfikir yang lama dan tidak mampu melonjakkan diri dalam arus perubahan yang terarah.

Berkahwin bila mampu

Oleh NOOR AZIAH AWAL

PERKAHWINAN adalah sunnah Rasulullah SAW dan juga ibadah. Ia dapat memelihara diri seseorang daripada maksiat.

Dalam hadis Nabi SAW bersabda: "Apabila antara kamu ada yang mampu berkahwin, hendaklah ia berkahwin kerana nanti matanya akan lebih terjaga dan kemaluannya akan lebih terpelihara. Dan apabila ia belum mampu kahwin, hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu mengawal nafsunya." (Sunan Abu Daud, Kitab Nikah, vol2, 2544).

Hadis ini juga menerangkan bahawa berpuasa itu adalah satu cara terbaik untuk mengawal nafsu. Selain itu, syarat berkahwin adalah kemampuan segi mental, fizikal dan material.

Namun, ramai hanya melihat hadis ini dari satu sudut iaitu perkahwinan adalah cara mengawal nafsu dan mengelak diri daripada melakukan maksiat. Perkara yang jarang sekali kita bincangkan ialah apakah cara untuk mengawal nafsu seseorang untuk mengelak daripada melakukan maksiat? Adakah kita ibu bapa pernah duduk bertanya kepada anak lelaki atau perempuan kita yang baru baligh bagaimana dia harus mengawal dirinya? Atau pernahkah berlaku sebaliknya?

Berapa ramai generasi muda hari ini yang masih tidak dapat membezakan air mani dengan air mazi? Berapa ramai juga yang teragak-agak menjawab soalan yang melibatkan hubungan seksual atau isu melibatkan perkara-perkara yang meransang nafsu sehingga hilang kawalan.

Dalam kebanyakan kes, apabila sepasang remaja yang terlanjur hingga mengakibatkannya hamil luar nikah, jalan penyelesaian yang diambil ibu bapa ialah menikahkan mereka walaupun mereka sangat muda. Lantas tidak sampai tiga bulan bercerai.

Pernikahan itu tidak menyebabkan anak yang dikandung itu menjadi sah taraf kerana ia dilahirkan kurang enam bulan qamariah dari tarikh perkahiwan ibu bapanya. Yang dilahirkan lebih enam bulan qamariah (bulan Islam yang ada kalanya 29 hari dan ada 30 hari) maka anak itu dibin atau bintikan lelaki yang menyebabkan ibunya mengandung.

Menurut hukum, demi kepentingan anak itu, ia adalah anak yang sahtaraf dan dinasabkan pada lelaki itu walaupun jelas anak itu dikandung melalui perzinaan.

Berbalik kepada isu perkahwinan di mana perkahwinan kerana Allah semata-mata, kerana ingin hidup dalam peliharaan Allah. Namun jika ia dilaksanakan kerana pasangan telah terlanjur atau kerana takut melakukan zina, maka keperluan bahawa yang ingin berkahwin itu mesti mampu.

Dalam keadaan telah atau akan berzina, yang jelas mereka hanya mampu dari segi fizikal dan seksual. Tetapi dari segi nafkah isteri dan anak pula telah diketepikan. Dalam beberapa keadaan perkahwinan itu hanya semata-mata ingin menutup malu.

Saya pernah bertanya kepada seorang wanita muda (19 tahun) yang kenapa dia berkahwin. Dia seorang pelajar IPT dan telah terlanjur dengan seorang lelaki yang tidak bekerja. Dia mengandung dan melahirkan anak di rumah keluarga lelaki.

Oleh kerana tidak mahu keluarganya tahu, dia telah bernikah di Thailand. Sebulan kemudian anaknya lahir. Dia duduk dengan mertua di sebuah flat di Kuala Lumpur. Dia telah mendaftarkan kelahiran anak dan memasukan nama suami sebagai bapa anak dalam butiran s13(a) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian.

Dia mendapat anak lelaki dan keluarga suami sangat gembira kerana menurut bapa mertuanya anak itu membawa tuah kerana setiap kali dia mengambil loteri atau toto atau apa saja jenis judi, dia menang.

Dia dan anak diberi makan wang daripada perjudian sedangkan lelaki yang dia nikahi tidak bekerja. Suaminya dan keluarga suami sangat sayangkan anaknya. Sehinggakan dia kadang-kadang tidak dapat memegang anaknya. Ada juga masanya suami mula bersikap garang dan memukulnya dan keluarganya membiarkan sahaja. Jadi dia datang untuk bertanya jika dia boleh mohon cerai.

Setelah lama bertanya rupanya dia berkahwin kerana telah sarat mengandung. Dia takut didakwa di mahkamah syariah kerana melahirkan anak tanpa nikah.

Lantaran tiada tempat hendak pergi dan jika dia berkahwin di Thailand kerana anak boleh dibin atau dibintikan kepada suaminya. Dia tidak pernah menyintai suaminya sebelum atau selepas berkahwin. Saya sangat terkejut.

"Habis kenapa kahwin dengannya? Tidakkah kamu menyintainya sehingga melakukan zina?"

Dia menjawab: "Saya sangat muda dan mudah tergoda. Mengadakan hubungan seks hanya untuk suka-suka dan mencuba. Bila mengandung, kesian pula pada anak dalam kandungan itu. Jadi saya kahwin."

Saya tanya dia lagi sama ada dia tahu bahawa berzina itu dosa besar. Dia mengangguk dan tunduk. Saya menasihatkannya untuk mendaftarkan perkahwinannya di pejabat agama terdekat.

Selepas didaftarkan, barulah dia boleh memohon cerai di mahkamah syariah di Malaysia. Dia menyatakan kerisauannya kerana suami pernah berkata yang dia boleh diceraikan tetapi tidak akan dibenarkan membawa anak bersama. Saya menerangkan bahawa anak itu adalah anak yang tak sah taraf kerana dilahirkan satu bulan selepas ibu bapanya berkahwin.

Benar, nama bapanya telah dimasukkan dalam sijil kelahiran tetapi dengan hanya melihat di bahagian bawah sijil itu yang menulis seksyen 13, jelas menunjukan anak itu tidak sah taraf. Menurut hukum Islam, anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya atau lelaki yang menyebabkan ibu anak itu mengandung.

Anak tidak sah taraf adalah milik mutlak ibunya. Ibu dan keluarga ibu yang berhak kepada anak tersebut dan wajib menanggungnya.

Wanita muda itu berkata, "Jadi suami saya tidak boleh buat apa-apa atau ambil anak ini? Kalau saya tahu saya tidak nikah dengannya. Saya nikah kerana saya ingat saya boleh jadikan anak saya anak sah taraf dengan bernikah sebelum anak lahir."

Kali ini giliran saya terkejut. Pertama kerana kecetekan ilmu agama wanita muda pelajar IPT itu. Yang kedua, dia berkahwin atas alas an yang salah. Dia berkahwin kerana takut didakwa di mahkamah syariah!

Yang jelas, walaupun anaknya itu anak tidak sah taraf dan zinanya yang bukan atas dasar cinta. Naluri keibuannya jelas menunjukkan dia sangat sayangkan anak itu. Cuma dia tidak tahu ke mana hendak pergi bersama anak itu, sedang dia masih belajar.

Wanita muda tadi adalah contoh terbaik golongan yang berkahwin tanpa mengetahui hikmah perkahwinan. Pasangan yang ingin berkahwin perlulah tahu kenapa mereka ingin berkahwin. Ramai yang akan menjawab berkahwin atas dasar cinta. Ada juga yang dikahwinkan oleh ibu bapa kerana pergaulan yang terlalu bebas dan merunsingkan keluarga.

Namun bila hendak dikahwinkan, yang lelaki sama ada masih belajar, mengganggur atau baru bekerja. Duit tidak ada walau hanya untuk maharnya. Ramai juga ibu bapa anak perempuan terpaksa 'beralah' dan menerima pilihan anak perempuan mereka seadanya. Jika diminta yang bukan-bukan, mereka tidak jadi berkahwin. Sedangkan anak perempuannya itu telah 'diusung' ke sana ke mari. Ada ibu bapa berkongsi menyediakan persediaan perkahwinan anak-anak kerana anak tidak mampu lagi untuk berkahwin tetapi kerana takut anak-anak terlanjur, mereka dinikahkan segera.

Ada juga yang tahu anak mereka telah terlanjur tetapi tidak mengandung lagi lalu dinikahkan kerana takut kejadian berulangan. Ada juga pasangan yang datang berjumpa saya setelah 10 tahun berkahwin dan terlepas juga kata-kata suaminya: "Kami dulu dinikahkan oleh keluarga kerana kami sering keluar bersama. Sebenarnya kami belum bersedia untuk berkahwin."

Jika pasangan sering keluar berdua-duaan, masakan mereka tidak pernah terfikir untuk berkahwin atau tidak bersedia berkahwin. Sedangkan hubungan telah melebihi pasangan suami isteri? Apakah yang pasangan tahu tentang cinta dan bercinta? Apakah yang dimaksudkan dengan "tidur tak lena, mandi tak basah" itu? Adakah itu semata-mata emosi yang disaluti nafsu? Kenapa hari ini pasangan bercinta bertahun-tahun, berkahwin dan lepas tiga tahun bercerai. Ke mana hilangnya cinta yang diagung-agungkan itu? Atau ia semata-mata emosi yang disaluti nafsu?

Surah ar-Rum ayat 21 dan surah an-Nisa ayat 1 menunjukan bahawa Allah menjanjikan kasih sayang dalam perkahwinan untuk pasangan suami isteri hidup berkasih sayang. Allah juga menjanjikan zuriat daripada hubungan kasih sayang itu. Ini adalah janji Allah SWT.

Jika kita hamba Allah yang taat dan percaya kepada-Nya, maka kita mesti bercaya bahawa jika kita berkahwin dengan niat kerana Allah, maka perkahwinan itu akan Allah rahmati denga kasih sayang berpanjangan.

Pasangan perlu yakin bahawa Allah SWT sangat pemurah lagi penyayang dan dengan rahmat-Nya, kita beroleh keberkatan perkahwinan.

Yang berlaku hari ini ialah ramai pasangan berkahwin di atas dasar 'cinta'. Sebelum berkahwin, tidak dengar suaranya tidak boleh tidur. Tidak dapat SMSnya tidak lalu makan.

Selepas berkahwin, telefon jika ada kecemasan. Ke mana hilangnya cinta? Atau cinta yang dibalut nafsu telah hilang kerana apa yang dicari telah diperoleh? Berdoalah dan pupuklah cinta selepas berkahwin dan berkahwinlah dengan niat yang betul.

Persiapan laksana hudud

Oleh ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

ISU undang-undang hudud dan pelaksanaannya di Malaysia seringkali menjadi perbahasan di kalangan masyarakat. Kadangkala ia menjadi topik yang begitu kontroversi kerana disulami dengan pelbagai elemen lain seperti emosi politik dan juga realiti sebenar di Malaysia. Kebanyakan umat Islam mahu undang-undang hudud dilaksanakan di Malaysia. Namun pendekatan yang diambil berbeza antara satu sama lain.

Menukar undang-undang yang sedia ada kepada undang-undang hudud bukanlah semudah memetik jari.

Ruangan kali ini bukan bertujuan menongkah arus ataupun menambahkan lagi kontroversi yang sedia ada. Tetapi berbincang tentang pelaksanaan hudud dalam konteks sistem perundangan negara.

Perbincangan di ruangan ini juga hanya berkisar dari sudut perundangan negara dan tidak menyentuh perkara-perkara lain seperti politik pendidikan dan juga aspek dakwah.

Para ulama memberikan definisi hudud sebagai kesalahan yang mana hukumannya telah ditentukan (jumlah bilangan dan kaedah perlaksanaan) di sisi syarak dilaksanakan terhadap sesuatu maksiat yang dilakukan, yang melibatkan hak Allah Kesalahan hudud merangkumi kesalahan berzina, qazaf, meminum arak, mencuri, merompak dan juga murtad.

Perbincangan tentang hudud biasanya hanya berkisar tentang hukuman itu sendiri yang sering digambarkan sebagai zalim dan tidak berperi kemanusiaan. Amat jarang masyarakat membincangkan hudud secara ilmiah yang berkait dengan falsafah hukuman beban dan tahap pembuktian kes-kes hudud.

Undang-undang hudud sebenarnya merupakan benteng pencegahan kesalahan-kesalahan lain dalam masyarakat. Hukuman yang tegas berfungsi sebagai penghalang kesalahan-kesalahan hudud dan juga kesalahan-kesalahan yang lain.

Pembuktian dalam hukuman hudud pula amat tinggi iaitu melampaui sebarang keraguan. Berbeza dengan tahap pembuktian kes-kes sivil sekarang ini yang hanya setakat melampaui keraguan munasabah. Ini bermakna hudud tidak boleh disabitkan jika terdapat walaupun sedikit keraguan di sisi hakim.

Itu sebabnya kebanyakan kes-kes hudud disabitkan melalui pengakuan pesalah itu sendiri. Jika pesalah tidak mengakui pertuduhan yang dibawa kepadanya beban membuktikan kesalahan itu amat sukar kerana ia melibatkan hukuman yang amat berat.

Namun ini tidaklah bermakna pesalah akan dilepaskan begitu sahaja memandangkan tahap pembuktian yang tinggi tersebut. Seseorang yang dilepaskan atas tuduhan hudud bukan dibebaskan begitu sahaja, tetapi masih boleh dihukum atas kesalahan bersifat taazir yang memerlukan kadar pembuktian yang lebih rendah.

Penulis tidak berhasrat membincangkan satu persatu tentang tahap pembuktian kes-kes hudud di dalam ruangan ini kerana perbahasan mengenainya agak panjang dan kompleks. Cukuplah sekadar mengatakan bahawa kadar pembuktian ini adalah amat tinggi bagi mempastikan orang yang tidak bersalah tidak akan dalam mana-mana keadaan dihukum melalui hukuman hudud. Inilah jaminan yang diberikan Allah bagi menzahirkan kasih sayang Allah terhadap makhluk-Nya yang tidak melakukan kesalahan.

Berbalik kepada sistem perundangan negara yang mengamalkan dwisistem perundangan. Kita akan dapati Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan membahagikan penggubalan undang-undang kepada tiga kategori berdasarkan pembuat undang-undang iaitu Parlimen dan dewan-dewan negeri. Terdapat tiga senarai yang disebut dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan iaitu Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama.

Parlimen boleh membuat undang-undang yang perinciannya termaktub dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama. Manakala dewan-dewan negeri pula berkuasa membuat undang-undang yang terjatuh dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama.

Meneliti senarai-senarai tersebut, kita akan dapati jenayah disebut di dalam Senarai Persekutuan manakala pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu terletak di bawah Senarai Negeri. Berdasarkan Jadual Kesembilan tersebut penulis mendapati kesalahan hudud seperti mencuri dan merompak berada di bawah Senarai Persekutuan dan jenayah hudud lain seperti zina, qazaf, meminum arak dan murtad pula terletak di bawah kuasa negeri.

Dalam hal yang demikian penulis berpandangan bahawa kesalahan-kesalahan hudud ini tidak boleh dilaksanakan secara pakej dalam satu undang-undang disebabkan kesalahan tersebut terjatuh dalam kuasa dua badan perundangan yang berbeza.

Oleh itu penulis berpandangan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kelantan) 1993 dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Terengganu) 2003 tidak boleh dilaksanakan kerana sebahagian kesalahannya tidak berada di bawah kuasa Dewan Negeri.

Namun demikian, apa pun kedudukannya ia tidaklah memberikan suatu tiket kepada umat Islam untuk tidak melaksanakan undang-undang Islam. Segala usaha perlu digarap dan dimantapkan bagi mencari ruang bagaimana undang-undang Islam dapat dilaksanakan di Malaysia. Penulis juga berpandangan bahawa tidak semestinya sesuatu perkara tersebut mesti dinamakan atas nama agama bagi melaksanakannya. Ia boleh juga dilaksanakan walaupun tanpa menamakannya sebagai undang-undang Islam.

Oleh itu penulis berpandangan dalam kesalahan-kesalahan yang terjatuh di bawah kuasa Parlimen, kesalahan tersebut hendaklah dibiarkan kekal di bawah kuasa Parlimen kerana jika sekiranya kita ingin meminda Perlembagaan sudah pasti akan menghadapi jalan berliku.

Perkara yang perlu dititikberatkan ialah membawa undang-undang berkaitan agar lebih dekat kepada Islam dalam erti kata selaras dengan undang-undang dan falsafah undang-undang.

Dalam konteks ini Kanun Keseksaan, Kanun Prosedur Jenayah dan Akta Keterangan hendaklah dipinda bagi memasukkan beberapa peruntukan yang berkaitan dengan tahap serta cara pembuktian dan cara pelaksanaan hukuman diperincikan di dalam undang-undang tersebut.

Peruntukan juga mestilah dibuat bagi memberi ruang kepada para hakim mengenakan hukuman bersifat takzir sekiranya hudud gagal dibuktikan.

Seiring dengan hasrat melaksanakan undang-undang hudud, penulis berkeyakinan sekiranya undang-undang di atas dipinda maka kesalahan mencuri dan merompak akan dapat dilaksanakan secara hudud.

Manakala bagi kesalahan hudud lain seperti berzina, qazaf, meminum arak dan murtad pula badan perundangan negeri memang mempunyai kuasa penuh untuk mengadakan kesalahan-kesalahan demikian selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Sulaiman bin Takrib melawan Kerajaan Negeri Trengganu yang memutuskan bahawa tafsiran precepts of Islam dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan itu bukan sekadar dewan negeri mempunyai kuasa mengadakan kesalahan berkaitan perlanggaran rukun Islam yang lima itu tetapi lebih luas iaitu mewujudkan kesalahan yang melanggar apa-apa perintah agama Islam. Oleh itu empat kesalahan di atas boleh menjadi kesalahan yang bersifat hudud.

Walau bagaimanapun hukuman kesalahan tersebut disekat oleh Akta Bidangkuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 yang memperuntukkan Dewan Negeri boleh mengwujudkan mana-mana kesalahan jenayah syariah dan hukumannya hendaklah tidak melebihi tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan. Penulis berpandangan sekiranya akta ini dimansuhkan empat jenis kesalahan hudud yang terletak di bawah bidangkuasa negeri boleh dilaksanakan.

Umat Islam yang mempertikai atau memperlekehkan mana-mana undang-undang Islam boleh dipertikaikan juga syahadahnya. Umat Islam seharusnya mencari jalan bagaimana hendak melaksanakan undang-undang Islam.

Walaupun mungkin terdapat halangan-halangan tertentu usaha yang mantap perlulah dibuat bagi mengubah atau membuang halangan tersebut demi melaksanakan undang-undang Islam ini.

Penulis sering tertanya-tanya jika suatu ketika dahulu apabila pihak kerajaan berhasrat untuk melaksanakan perbankan Islam terdapat begitu banyak halangan dan kritikan yang diterima daripada masyarakat Islam dan bukan Islam. Namun bermula dengan tingkap-tingkap perbankan tanpa faedah, kemudiannya dinamakan perbankan Islam kini sistem perbankan Islam bukan sahaja menjadi pilihan umat Islam tetapi juga orang bukan Islam kerana keadilan sistem itu sendiri. Tidak mustahil sekiranya undang-undang hudud ini dilaksanakan lama-kelamaan orang akan faham kecantikan undang-undang ini bagi menjaga lima maqasid al syariah iaitu menjaga agama, aqal, diri, keturunan dan harta.

Adalah menjadi tugas setiap umat Islam untuk berusaha melaksanakan Islam dengan sewajarnya. Dari sudut perundangan jalannya sudah ada, terpulanglah kepada ahli siasah untuk melaksanakannya.

Kaburi pelanggan guna ayat al-Quran

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

AYAT 1000 dinar, ayat kursi, surah Yasin dan beberapa potongan surah lazim dalam al-Quran merupakan ayat yang popular digunakan untuk dipamer oleh peniaga di restoran atau kedai makan di negara ini.

Apakah tujuan mereka berbuat demikian? Adakah untuk mewujudkan persekitaran Islam atau hanya sebagai penghias kedai. Bukan hanya satu, malah terdapat sesetengah kedai yang mempamerkan ayat suci bagi umat Islam itu di setiap penjuru dinding dan juga pada papan penyata kedai tersebut.

Sedarkah kita yang merupakan pengguna, bahawa kaedah tersebut merupakan satu helah segelintir peniaga yang cuba mengaut keuntungan dengan menggunakan ayat al-Quran.

Ayat al-Quran yang melambangkan agama Islam disalahgunakan sebagai tarikan kepada pelanggan khususnya orang Islam yang merupakan penganut majoriti di negara ini.

Tanpa memikirkan sensitiviti umat Islam, peniaga yang tidak bertanggungjawab itu juga cuba mengaburi pelanggan dengan mengambil pekerja yang beragama Islam untuk menarik kepercayaan pelanggan Muslim memasuki kedai mereka.

Bermodalkan persekitaran dan latarbelakang Islam palsu yang digunakan oleh peniaga tersebut menjadi landasan mudah kepada mereka untuk mengelak daripada terkecuali mengambil logo halal yang diiktiraf daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Perkara ini yang membimbangkan Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) dan Jakim akan terus berleluasa di seluruh negara.

Operasi LPKPM bersama Jakim dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sekitar Taman Puchong Permai mendapati terdapat banyak premis makanan yang menyalahgunakan ayat al-Quran untuk menarik pelanggan Muslim.

Presiden LPKPM, Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan daripada orang ramai dan hasil tinjauan sendiri mendapati pelbagai kaedah penipuan yang dilakukan oleh segelintir peniaga makanan untuk mengaburi mata pelanggan.

"Peniaga restoran atau kedai makanan melakukan taktik ini kerana tidak mempunyai logo halal atau menggunakan logo yang tidak diiktiraf oleh Jakim. Oleh itu, mereka menggunakan ayat al-Quran sebagai alat untuk mengelirukan pelanggan Muslim dan mengaut keuntungan.

"LPKPM sebagai badan yang bertanggungjawab tidak mahu ada peniaga yang mengambil kesempatan dan tidak akan bertolak ansur terhadap perkara ini demi menjaga kemaslahatan umat Islam," katanya.

Beliau berkata demikian pada operasi Kempen Kesedaran Halal yang dilakukan baru-baru ini. Turut serta, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Pemeriksaan itu dijalankan hasil daripada aduan orang ramai dan pemerhatian LPKPM terhadap beberapa restoran yang didapati mengelirukan pengguna.

Operasi yang diadakan hampir tiga jam itu membabitkan seramai 20 pegawai daripada agensi terbabit.

Pada pemeriksaan itu, pelbagai kesalahan lain dikenalpasti. Antaranya, terdapat restoran yang diarahkan tutup oleh KKM kerana tidak mengikut tahap kebersihan yang ditetapkan, lesen perniagaan tamat tempoh dan menggunakan kaki lima pejalan kaki tanpa kebenaran.

Saharuddin turut menasihatkan kepada peniaga supaya mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan memohon sijil halal yang dikeluarkan oleh Jakim atau Majlis Agama Islam Negeri.

Saharuddin berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk sentiasa memantau premis perniagaan makanan yang masih berdegil dengan melakukan pelbagai kesalahan yang bertentangan dengan undang-undang Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) yang dikuatkuasakan 1 Januari lalu.