Like Blog Ini...

Wednesday, February 29, 2012

Perjanjian Hudaibiah kemenangan Islam

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

PERJANJIAN Hudaibiah antara catatan sejarah yang masyhur di kalangan umat Islam. Peristiwa itu cukup jelas dan tidak ada apa lagi persoalan mengenainya yang boleh ditimbulkan..

Ia merupakan satu peristiwa besar yang menjadi kunci dan permulaan kepada pembukaan Kota Mekah serta kemenangan umat Islam di Semenanjung Arab.

Tetapi tahukah anda bahawa perjanjian itu sebenarnya telah menimbulkan rasa tidak puas hati terutama di kalangan para sahabat Rasulullah sendiri, terutamanya Umar bin Al Khattab.

Sebelum itu dikisahkan bagaimana Umar menceraikan kedua-dua isterinya bagi mematuhi wahyu Allah supaya menceraikan isteri yang masih tidak memeluk Islam, yakni kafir.

Ini kerana, ekoran daripada perjanjian Hudaibiah, perempuan-perempuan Islam mengadu kepada Nabi Muhammad bahawa wali-wali menuntut supaya mereka mesti pulang atau dikembalikan.

Ia sebagaimana termaktub dalam isi atau syarat perjanjian yang keempat: "Orang Quraisy yang datang kepada Muhammad tanpa kebenaran walinya, iaitu melarikan diri kepada Muhammad, hendaklah dikembalikan kepada mereka."

Namun sudah tentu Rasulullah menolak tuntutan yang seperti itu dengan alasan bahawa isi perjanjian tidak termasuk golongan wanita. Hanya golongan lelaki sahaja yang dimaksudkan.

Kemudian turun ayat al-Quran bagi menegaskan lagi alasan Rasulullah itu, iaitu firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila orang-orang perempuan yang mengaku beriman datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah (iman) mereka. Allah lebih mengetahui akan iman mereka dengan yang demikian, sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada orang-orang yang kafir. Mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu sebagai isteri dan orang-orang kafir itu pula tidak halal bagi mereka sebagai suami…. (al-Mumtahanah: 10)

Ekoran daripada ayat ini juga Umar menceraikan dua orang isterinya yang masih syirik itu.

Setelah bercerai, kedua-duanya berkahwin lain, seorang berkahwin dengan Muawiyah bin Abi Suffian dan seorang lagi berkahwin dengan Safwan bin Umayyah.

Ramai yang berpendapat bahawa Perjanjian Hudaibiah dilihat satu kemenangan kepada pihak Islam atau memberikan banyak faedah kepada Islam berbanding golongan kafir Quraisy.

Walaupun sekali imbas ia nampak sebaliknya, seolah-olah Islam yang banyak 'mengalah' dan terpaksa tunduk kepada kehendak-kehendak pihak Quraisy itu.

Ini terutamanya apabila niat dan kedatangan rombongan umat Islam dari Madinah untuk mengerjakan umrah dan haji dihalang.

Malah mereka dikehendaki supaya pulang dan hanya dibenarkan melakukan ibadat tersebut pada tahun hadapan dan dalam tempoh tiga hari sahaja.

Kejayaan kepada umat Islam dapat dilihat apabila kaum Quraisy mula mengiktiraf Nabi Muhammad dan agama yang disebarkan oleh baginda.

Sebelum ini puak Quraisy hanya ingin memerangi Islam hingga ke akar umbi. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk melihat berakhirnya riwayat umat Islam terutamanya Nabi Muhammad itu sendiri.

Tapi apabila mereka boleh diajak berbincang dan membawa kepada gencatan senjata, itu menunjukkan mereka tidak lagi mempunyai keupayaan menentang Islam.

Walaupun umat Islam hanya dibenarkan mengerjakan umrah dan haji pada tahun berikutnya, ia merupakan satu kemenangan kerana selepas itu mereka boleh melakukan ibadat itu pada bila-bila masa tanpa sekatan.

Malah jika ada orang Quraisy yang lari kepada Islam dan Rasulullah di Madinah dan perlu dipulangkan kepada puaknya di Mekah, ia juga merupakan satu kelebihan kepada Islam dan bukan sesuatu yang merugikan.

Bagi baginda golongan yang lari itu tentunya bukan lagi seorang Islam. Hanya mereka yang murtad sahaja yang akan berbuat demikian.

Justeru kalau ada yang murtad maka dia tidak diperlukan lagi dalam masyarakat Islam.

Maka adalah lebih baik orang seperti itu keluar daripada komuniti Islam.

Permaisuri hati pertama

Oleh TUAN ASMAWI TUAN UMAR

SESEORANG lelaki dikatakan lengkap beragama dalam aspek kesempurnaan ibadahnya apabila hidupnya didampingi seorang wanita bergelar isteri.

Semua makhluk di atas muka bumi inginkan keseronokan dan kegembiraan hidup berpasangan dan beranak pinak terutama manusia yang memperolehinya melalui hasil ikatan suci pernikahan.

Situasi ini tidak begitu jauh bezanya dengan kita semua jika dibandingkan penghulu segala nabi dan rasul kita Nabi Muhammad SAW yang juga memiliki sebuah keluarga seperti mana insan lain.

Walau pun sesetengah pihak menyatakan cara dan bentuk penyatuan atas nama pernikahan antara Nabi Muhammad SAW dan Saidatina Khadijah binti Khuwailid sedikit menongkah 'uruf (amalan kebiasaan) atau adat di mana menurut Thobaqot Ibnu Sa'ad bahawa Saidatina Khadijah, seorang tokoh korporat wanita terkaya di Kota Mekah pada waktu itu memberanikan diri meminang Nabi Muhammad SAW untuk dijadikan suaminya.

Paparan sejarah itu bukanlah suatu 'kesilapan'. Allah SWT yang mengaturkannya. Namun, ia menunjukkan bahawa adalah salah satu jalan yang lebih telus dalam menjunjung tinggi tatasusila bersadurkan panduan Ilahi.

Terlalu sarat dengan pengajaran untuk kita memetik paparan kehidupan rumahtangga Nabi Muhammad SAW dengan Saidatina Khadijah.

Bermula daripada nabi beruzlah (mengasingkan diri dalam beribadah) di dalam Gua Hira' yang akhirnya menerima wahyu pertama daripada Allah SWT menerusi malaikat Jibril a.s dengan penganugerahan surah pertama al-Qalam yang bermula dengan perintah Allah SWT bacalah - Iqra.

Maka bermulanya pengalaman baru ke atas diri baginda yang ketakutan dan resah gelisah. Sekembalinya ke rumah, baginda berbaring di tempat tidur dan meminta agar diselimuti. Dalam pada itu juga suhu badan baginda meningkat agak tinggi.

Baginda yang berada dalam keadaan ketakutan dan gementar ditenangkan Saidatina Khadijah dengan katanya: "Demi Allah, Allah tidak akan menyusahkan dirimu selama-lamanya.

"Bergembira dan teguhkanlah hatimu. Sesungguhnya engkau seorang yang suka menyambung tali persaudaraan, suka menanggung beban orang (yang kurang bernasib baik), menghormati tetamu, memberikan sesuatu kepada orang yang tidak mampu, bercakap benar dan memberikan bantuan kepada mereka yang ditimpa bencana."

Kehebatan seorang isteri pada diri Saidatina Khadijah begitu tinggi dengan timbulnya rasa kerisauan lalu dirawatnya baginda SAW.

Sejurus diceritakan segala detik yang dialami oleh nabi kepada permaisuri hatinya maka dengan kata-kata lemah lembut dan manis itulah yang membuatkan hati baginda tenang. Perasaan takut yang di raut wajah nabi hilang berganti cerah dan terang.

Seterusnya, dengan tidak ada sebarang keraguan di hati Saidatina Khadijah menerima Islam.

Saidatina Khadijah mengucapkan selamat buat suaminya kerana telah dinaikkan darjat yang tertinggi untuk membawa rahmat ke seluruh alam.

Lantas dengan peristiwa itu, isteri nabi adalah orang yang pertama memeluk agama baru itu. Begitulah kehebatan Saidatina Khadijah yang datang daripada golongan Quraisy Abdul Uzza yang menduduki tempat terhormat sebagai permaisuri hati pertama Rasulullah SAW memiliki keluhuran dan keunggulan peribadi bahkan beliau juga mempunyai nama jolokan masyarakat Mekah pada waktu itu iaitu Thohirah.

Sesungguhnya , insan pilihan Allah bernama Nabi Muhammad terlalu bertuah memiliki seorang permaisuri hati yang sentiasa tenang dan berupaya menenangkan jiwa baginda sewaktu menghadapi pelbagai tribulasi daripada Allah.

Maka, tidak hairanlah Saidatina Khadijah seorang wanita berhati waja yang diberi gelar Ummul Mukminin (ibu bagi orang mukmin) yang merupakan penyokong kuat usaha Rasulullah SAW dalam memantapkan usaha-usaha dakwah.

Beliau bukan sahaja sanggup mengorbankan hartanya, bahkan perasaannya semata-mata ingin memastikan kejayaan terhadap usaha dan perjuangan baginda.

Andai dalam kehidupan kita sebagai umat nabi memiliki insan istimewa seperti itu, maka tiada sebab untuk tidak berhasil mencapai status rumahku syurgaku'.

Biar pun secara fiziklnya , Saidatina Khadijah tidak menerima sebarang ancaman daripada golongan kuffar dan musyrikin, namun sebagai seorang isteri yang sentiasa taat dan setia bersama suami tercinta , beliau turut merasai tempias penderitaan dalam menyampaikan kebenaran agama Allah.

Rasulullah terus dibajai semangat kerana insan teristimewa dalam hidup baginda bertindak menjadi pendukung kuat bersamanya.

Contohnya, semasa tempoh mendepani mehnah (ujian) getir dalam peristiwa pemulauan oleh kafir musyrikin terhadap kabilah Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib yang mengambil masa selama tiga tahun.

Pengorbanan insan hebat itu menjadikan Rasulullah SAW sentiasa melangkah gagah dalam meninggikan syiar Islam. Semua itu bukan perkara mudah sehinggakan beliau sanggup melepaskan segala bentuk harta dan kemewahan demi mutiara keimanan kepada Allah SWT dan suaminya yang merupakan kekasih pilihan Allah.

Betapa kasih dan cintanya nabi kepada permaisuri hatinya setelah Saidatina Khadijah pergi mengadap Allah SWT ke alam baqa amat jelas terpapar. Kerana diriwayatkan pada suatu hari Khaulah binti Hakim bertanyakan kepada baginda: "Wahai Rasulullah, apakah tuan kesepian setelah berpisah dengan Saidatina Khadijah?

Rasulullah SAW lantas menjawab katanya: "Ya... Demi Allah,Khadijah itu seorang pentadbir dan suri rumah yang baik."

Memang benar sejurus kemudian, baginda mengahwini Saidatina Sa'udah binti Zum'ah dan juga Saidatina Aisyah binti Abu Bakar As-Siddiq.

Namun, perasaan kasih dan cinta nabi yang menebal terhadap permaisuri hati pertamanya menimbulkan perasaan cemburu di hati Saidatina 'Aisyah.

Akhlak mulia

Kehebatan akhlak mulia Saidatina Khadijah bukan sahaja diabadikan oleh nabi bahkan beliau juga dipandang tinggi oleh Allah SWT.

Sewaktu hayat Saidatina Khadijah, diriwayatkan bahawa Allah SWT telah menyampaikan salam-Nya kepada beliau melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s yang disampaikan kepada suaminya nabi Muhammad SAW.

Kesimpulannya, itu bukti betapa besarnya bukan sahaja cinta dan kasih sayang Rasulullah SAW kepada isteri baginda, malahan dengan pengorbanan secara kulli (keseluruhan) yang disumbangkan dalam menyebarkan Islam.

Ia dibuktikan dengan Ibnu 'Abbas menceritakan bagaimana Saidatina Khadijah daripada sudut pandang Rasulullah SAW.

Justeru , diriwayatkan pada suatu hari Rasulullah SAW membuat satu garisan di atas tanah.

Maka baginda pun bertanya kepada para sahabat: "Adakah kamu sekelian mengetahui tentang garisan ini?

Para sahabat menjawab: " Allah SWT dan rasul-Nya lebih mengetahui."

Lalu baginda bersabda: "Sebaik-baik wanita di dunia ini ada empat orang iaitu Maryam binti 'Imran , Asiah binti Muzahim (permaisuri Firaun) , Khadijah binti Khuwailid dan Fatimah binti Muhamad."

Ziarah ukhuwah fil ‘amal ke Kemboja

Oleh WAN AZIZAH YUSOF

KEMBOJA memang tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia khususnya bagi mereka yang terlibat dengan kerja-kerja amal khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sebagai sukarelawan Global Peace Mission (GPM), sebuah NGO yang terlibat dengan kerja-kerja misi kemanusiaan di luar negara, peluang menyertai rombongan ke Kemboja pada 4 hingga 6 Februari lalu merupakan kesempatan untuk melihat sendiri program-program yang dilaksanakan sana.

Misi itu diberi nama Ziarah Ukhuwwah Fil ‘Amal ke Kemboja (ZULFA) yang diketuai oleh Pengerusi GPM, Ahmad Azam Abdul Rahman bersama 47 peserta.

Lazimnya rombongan GPM akan ke Kemboja pada bulan Ramadan dan pada Hari Raya Korban untuk menyampaikan sumbangan masyarakat Malaysia yang prihatin kepada mereka yang memerlukan.

Namun misi kali ini yang bersempena sambutan Maulidur Rasul agak berbeza kerana GPM mengorak selangkah ke hadapan menganjurkan Majlis Khatam al-Quran Perdana.

Ia sebagai usaha memasyarakatkan budaya membaca al-Quran di kalangan kanak-kanak Islam di Kemboja.

Misi itu juga adalah sebagai kesinambungan kepada misi GPM pada Ramadan lalu iaitu mencetak dan mengedarkan 10,000 naskhah al-Quran kepada kanak-kanak di seluruh pelosok bumi Kemboja.

Diharap usaha itu dapat membangkitkan semangat berlumba-lumba untuk menguasai bacaan Muqaddam dan al-Quran di awal usia kanak-kanak lagi.

Misi kali ini menjadi lebih mantap kerana turut disertai 12 orang warga Universiti Terbuka Malaysia (OUM) untuk bersama-sama GPM melaksanakan kerja-kerja amal.

Program-program GPM di Kemboja bersifat pelbagai dimensi. Walaupun kunjungan kali ini adalah untuk majlis Khatam al-Quran Perdana namun beberapa program iringan turut diatur.

Antaranya melawat institusi pendidikan, perbincangan mengenai pembangunan ekonomi, melawat rumah anak yatim, bertemu penduduk kampung di luar Phnom Penh di samping program-program santai seperti melawat tempat-tempat bersejarah.

Untuk memastikan program Khatam al-Quran Perdana dan Sambutan Maulidur Rasul yang diatur berjalan dengan lancar, seawal pukul 7 pagi para peserta telah menuju ke Masjid Nurul Naim, Phnom Penh.

Sejurus turun dari bas, terdengar gema alunan suara 500 kanak-kanak berselawat atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW di pekarangan masjid untuk menyambut kehadiran ahli rombongan GPM.

Melihatkan kepada semangat dan kesungguhan mereka, emosi para peserta sedikit terusik. Sayu dan Sebak. Air mata mengalir tanpa sedar.

Dengan berpakaian segak, mereka berdiri megah dalam barisan bersama sepanduk bertulis daerah-daerah yang mereka wakili dari seluruh pelosok Kemboja.

Ada yang terpaksa menaiki kenderaan selama beberapa jam untuk tiba di situ seperti yang datang di Wilayah Kampung Thom, Kampung Cham dan Kampung Chnnang.

Rupa-rupanya itulah pengalaman pertama mereka menyertai majlis sambutan Maulidur Rasul dalam skala yang agak besar.

Kebiasaannya kanak-kanak Islam di Kemboja tidak dilibatkan secara langsung dalam acara sedemikian. Berbeza dengan di negara kita, di mana ibu bapa membawa anak-anakke masjid untuk sama-sama menyerikan acara sambutan perayaan keagamaan.

Majlis Khatam al-Quran itu dianjurkan dengan kerjasama Cambodian Muslim Intellectual Alliance (CMIA) sebuah NGO tempatan yang menjadi rakan pelaksana kepada program-program anjuran GPM di negara itu.

Di samping khatam al-Quran , diadakan juga majlis tilawah, hafazan dan syarahan agama untuk kategori lelaki dan perempuan sebagai satu usaha menggilap potensi mereka yang mengambil bahagian.

Ternyata kanak-kanak itu mempunyai bakat yang besar untuk berjaya jika diberi peluang dan bimbingan.


Majlis menjadi lebih berseri dengan persembahan nasyid. Agak memeranjatkan juga kerana kanak-kanak Kemboja masih boleh menyampaikan lagu nasyid dalam bahasa Melayu dengan baik, mewarisi bahasa nenek moyang mereka iaitu bahasa Melayu Champa.

Selesai saja majlis khatam al-Quran di Masjid Nurul Naim, para peserta rombongan dibawa melawat pusat pengajian al-Quran Ummul Qura yang dikendalikan oleh sebuah lagi NGO tempatan iaitu Perbadanan Komuniti Muslim Kemboja (CMCD) yang dinaungi oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Sosial Kemboja, Ahmad Yahya.

Setibanya kami di sebuah bangunan yang agak sederhana, masing-masing terpegun seketika apabila melihat kira-kira 500 kanak-kanak sedang dalam sesi pengajian al-Quran walaupun tanpa naskah al-Quran bersama mereka.

Di situ pihak GPM mengedarkan 500 naskhah al-Quran dan terjemahan dalam bahasa Khmer. Dana cetakannya adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin hasil daripada kempen Infak Ramadan 1432H yang lalu.

Terjemahan al-Quran dalam bahasa Khmer itu diharapkan dapat membantu menyebarkan ajaran Islam di negara itu.

Sekiranya langkah itu tidak diambil, dikhuatiri akan tertanam sikap prejudis terhadap Islam seperti yang berlaku di negara Barat sekarang.

Acara utama di Phnom Penh berlangsung dengan jayanya melalui sambutan yang amat menggalakkan.

Kemudian rombongan menuju pula ke wilayah Kampung Thom yang mengambil masa kira-kira tiga jam perjalanan.

Destinasinya Kampung Daun Pein. Di situ para peserta bertemu penduduk kampung di masjid, bertanya khabar dan bersama-sama berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW sempena sambutan Maulidur Rasul.

Turut disampaikan di kampung itu ialah sumbangan beras dan pakaian serta dana pendidikan.

Rombongan dari OUM pula berbesar hati menaja dan mengedarkan sebahagian daripada 1,000 naskhah Muqaddam kepada kanak-kanak di kampung itu.

Sementara itu, Yayasan Hayrat, sebuah NGO dari Turki pula menyalurkan dana bagi membina bangunan tambahan untuk dijadikan kelas agama rakyat.

Sehingga kini empat kelas pengajian agama telah berjaya dibuka di kampung itu di mana gaji guru-guru disumbangkan oleh GPM.

Ziarah Ukhuwah yang terakhir sebelum kembali ke tanah air adalah melawat Kampung Barayn yang terletak di Wilayah Kendal. Perjalanan mengambil masa sejam dan perlu menaiki bot untuk menyeberangi sungai.

Di Kampung Barayn, GPM telah menghulurkan sumbangan beras dan pakaian. Manakala pihak OUM pula mengedarkan Muqaddam kepada kanak-kanak dan juga menyalurkan dana untuk membaikpulih bangunan kelas pengajian agama yang sudah uzur.

Sebelum pulang, para peserta dibawa ke Muzium Toul Sleng atau dikenali sebagai S-21 - bekas sekolah tinggi yang dijadikan pusat kurungan dan penyiksaan ke atas rakyat Kemboja oleh Regim Khmer Rouge pimpinan Pol Pot.

Mangsa adalah dari kalangan profesional, pegawai kerajaan dan alim ulama.

Secara keseluruhan, misi tiga hari dua malam di Kemboja itu berjalan dengan jayanya.

Walau bagaimanapun misi projek jangka panjang GPM di Kemboja masih perlu sokongan dan dokongan masyarakat Malaysia yang prihatin.

Mencetak dan mengedarkan 10,000 naskhah al-Quran kepada kanak-kanak yang khatam Muqaddam mereka menjadi keutamaan pada masa ini. Kos cetakan senaskah al-Quran adalah RM15.

Mereka yang berhajat menderma bolehlah menghubungi Future Global Network Foundation - www.futureglobalnetwork.com (FGN) yang merupakan rakan pelaksana program GPM di talian 03-6187 7020.

Sumbangan juga dimasukkan terus ke akaun Future Global Network Foundation BIMB 12-113-01-003041-2.

Jangan abaikan moral generasi muda

“SAYA menyesal tak beli nombor kereta saya hujung minggu lepas, kalau tak, kayalah saya, boleh belanja awak semua,” seorang lelaki Melayu 20-an memberitahu kawan-kawannya di sebuah kafetaria.

Kawan-kawannya pula nampak teruja dan ada yang bertanyakan nombor kereta bertuah itu.

“Kalau saya beli satu ‘big’ dan satu ‘small’ banyak ribu juga saya menang. Saya tak ingat nak belilah,” tambah lelaki muda yang segak itu, dalam nada kesal.

Tiga orang sahabat berketurunan Melayu itu dilihat sudah cukup matang untuk memahami hukum halal haram agama.

Atau adakah ilmu tentang hukum-hakam agama warga muda beragama Islam semakin menipis kini?

Adakah ia disebabkan warga muda hari ini lebih mengutamakan kehendak diri dan kurang menitikberatkan hal-hal agama.

Siapa yang perlu dipertanggungjawabkan dengan tugas menyedarkan mereka ini?

Ada yang memberi respons pemerintah dan tidak kurang juga yang menyatakan ia tanggungjawab individu itu sendiri.

Generasi muda kini, yang berdepan dengan pelbagai dugaan dan kurang menghayati rukun dan hukum agama, mudah melencong dan kehilangan pegangan.

Orang seperti Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, 64, melihat anak-anak muda ini terutama yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi, melakukan dosa seperti berkhalwat dan minum arak tanpa rasa bersalah.

Bekas tokoh pemimpin PAS yang juga bekas anggota jawatankuasa untuk hal ehwal agama, adat-adat Melayu, infrastruktur dan kemudahan awam (exco) Selangor, Hasan berkata: “Mereka nampak tidak takut dengan perbuatan mereka sendiri yang jelas melanggar larangan Allah dan enakmen jenayah syariah.”

"Saya menyertai beberapa serbuan ke tempat-tempat hiburan di sekitar kawasan Petaling Jaya, tempat berkumpulnya generasi muda sehingga awal pagi, saya terkilan dengan apa yang saya lihat.

"Yang minum arak, ditemui di dalam serbuan itu. Ada juga yang menginap di hotel murah, seorang perempuan ditemui di dalam sebuah bilik bersama lima lelaki, mereka semua masih menuntut.

"Itulah sebabnya wajib kita menjunjung perintah Allah dalam kehidupan harian.”

Walaupun kini Hasan sudah tidak lagi memegang sebarang jawatan kepemimpinan, negeri, hidupnya kini didedikasikan untuk Islam dan Melayu.

“Saya mempunyai tanggungjawab yang besar kepada Allah. Seorang pemimpin Islam itu merupakan seorang khalifah Allah. Akhlak anak muda yang beragama Islam turut wajib dipastikan terpelihara dan tidak melencong daripada peratuan Allah.

“Semuanya dilakukan untuk menjamin kelangsungan generasi pengganti tunduk kepada perintah Allah,” kata Hasan.

Generasi yang takutkan Allah, menurut Hasan, akan menjadi pendinding di samping menggerakkan masyarakat ke arah mewujudkan negeri atau negara yang aman sejahtera.

Godaan ialah ancaman paling besar bagi generasi muda. Nampaknya godaan yang menduga prinsip moral dan keimanan ini tiada akhirnya.

Godaan baru bagi anak-anak muda kini muncul di Lembah Klang — pertumbuhan bilangan hotel bajet mengikut jam.

Tinjauan yang dijalankan Bernama menunjukkan banyak hotel sedemikian tumbuh bagai cendawan di Selangor — Shah Alam, Subang Jaya, Sunway dan Petaling Jaya — ada yang mengiklankan kadar sewa bilik bermula serendah RM9.90.

Menyewa ikut jam

Walaupun hotel-hotel ini berguna untuk pengunjung dan mereka yang mahu bermalam, tetapi timbul kebimbangan mengenai hotel yang menyewakan bilik mengikut jam.

Ia boleh menggalakkan aktiviti tidak bermoral dalam kalangan golongan muda.

Menurut seorang petugas hotel bajet yang menyewakan bilik mengikut jam, bilik-bilik itu disewakan bermula pukul 8 pagi, dan biasanya hotel ini penuh dengan tempahan.

"Ramai yang menyewa ikut jam atau separuh hari saja. Bukan polisi kami untuk bertanya pelanggan mengapa mereka hendak sewa untuk beberapa jam atau separuh hari, kami cuma berikan kunci,” jelas petugas kaunter itu.

Kemudahan seperti ini ada kalanya menjadi penyebab kepada sesuatu aktiviti yang negatif.

Harga yang dikenakan murah, hubungan pasangan yang menyewanya tidak dijadikan kriteria untuk disoal, dan waktu penggunaan yang fleksibel, antara sebab ia menarik perhatian ramai yang mungkin mempunyai niat untuk melakukan perbuatan tidak bermoral.

Penulis mudah mendekati hotel-hotel bajet ini memandangkan bila bertanyakan kedudukan hotel yang boleh disewa mengikut jam, penduduk di sekitarnya pantas menunjukkan lokasinya.

Berseronok tanpa batas lelaki dan wanita dan tanpa mengikut lunas agama, lambat laun dalam kalangan remaja dan penuntut IPT boleh merosakkan masyarakat.

Perlu dikaji semula kebenaran mengeluarkan lesen yang diberikan kepada jenis perniagaan seperti hotel dan rumah tumpangan ini apabila pemeriksaan mendapati ada kegiatan tidak bermoral dilakukan di situ.

Sesuatu yang negatif, yang dibenarkan menapak di satu-satu kawasan berpenghuni, pasti akan menggalakkan penularan aktiviti yang tidak positif.

Jadikanlah usaha memelihara akhlak dan keperibadian generasi masa depan satu keutamaan yang wajib diberi tumpuan, agar tidak membinasakan harapan negara untuk melahirkan generasi yang berakhlak, dan berjaya. - BERNAMA

Membudayakan akhlak dalam organisasi

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

Bagi sebuah syarikat, produktiviti adalah ukuran penting kepada keberhasilan dan pencapaian. Namun, daripada kaca mata Islam, sesebuah organisasi itu tidak cukup jika diukur hanya daripada sudut produktiviti.

Pada kaca mata Islam, sesebuah syarikat itu juga perlu dilihat pada sudut penerapan dan pembudayaan akhlak mulia di kalangan warga kerja.

Sesebuah syarikat itu sepatutnya tidak dianggap berjaya sekiranya mempunyai kakitangan yang runtuh akhlak dan rendah moral sekalipun mendapat keuntungan yang tinggi.

Ini kerana jika pembudayaan akhlak yang baik diabaikan lama kelamaan akan menimbulkan masalah dan seterusnya akan menjejaskan reputasi syarikat di mata masyarakat.

Akhlak menurut pandangan Imam Ghazali adalah suatu keadaan yang tertanam dalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian.

Apabila perbuatan yang terkeluar itu baik dan terpuji menurut syarak dan akal, perbuatan itu dinamakan akhlak yang mulia.

Sebaliknya apabila terkeluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk.

Menanamkan akhlak yang baik dengan sempurna adalah merupakan motif utama perutusan Rasulullah SAW kepada manusia. Nabi bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. (riwayat Bukhari)

Penerapan akhlak mulia yang dibawa Rasulullah SAW perlu dihayati bagi menjamin kreativiti serta kualiti pentadbiran secara efektif dalam sesebuah organisasi.

Langkah ini akan menambahkan lagi komitmen warga kerja ke arah mencapai matlamat serta memperkasakan lagi imej organisasi.

Masyarakat di zaman jahiliah telah mempunyai akhlak seperti memuliakan tetamu dan menepati perjanjian.

Namun, ia tidak mempunyai nilai ganjaran pahala kerana mereka tidak mempunyai keimanan kepada Allah.

Justeru, Rasulullah SAW diutus bukan sahaja untuk menyemai benih akhlak yang mulia, tetapi yang lebih utama ialah memayungi akhlak tersebut dengan lembayung akidah dan keimanan kepada Allah.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat tinggi. (al-Qalam: 4)

Setiap organisasi sama ada dalam kerajaan atau swasta bertanggungjawab membentuk pasukan pengurusan yang diyakini mantap dalam usaha meningkatkan daya pengeluaran.

Mereka perlu membuat pengambilan pekerja berdasarkan spesifikasi tertentu bagi memastikan warga organisasi mampu melaksanakan piawaian yang ditetapkan.

Stoner dan Wankel dalam buku Pengurusan (Terjemahan Yaakob Ibrahim) menerangkan bahawa terdapat empat kaedah umum untuk meningkatkan daya pengeluaran.

Kaedah-kaedah itu adalah pembaikan dalam proses pengeluaran, pembaikan kerja dan tugas, pembaikan dalam dorongan pekerja dan perubahan organisasi.

Menurut penulis itu lagi, antara semua kaedah itu, didapati pembaikan dan dorongan pekerja menjadi kunci utama dalam meningkatkan daya pengeluaran.

Pekerja menjadi tumpuan kerana mereka adalah kumpulan majoriti dan pelaksana utama dalam sesebuah organisasi.

Menghayati konsep ihsan

Islam memberi perhatian yang cukup tinggi terhadap usaha meningkatkan kualiti daya pengeluaran. Islam memperkenalkan konsep ihsan bagi menggalakkan manusia membudayakan kerja dengan cemerlang.

Ihsan secara kasar bermakna membuat baik dengan cemerlang atau sempurna. Ia hadir hasil dari perasaan merasa diri diperhatikan, dipantau dan dinilai oleh Allah.

Demikianlah sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW apabila baginda didatangi malaikat Jibril yang bertanyakan mengenai Islam, iman dan ihsan.

Baginda menjelaskan: Ihsan itu adalah hendaklah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Sekiranya kamu tidak melihat-Nya sekalipun, maka sesungguhnya Allah tetap melihat kamu. (riwayat Muslim).

Bekerja atau melakukan sesuatu kerja dengan sebaik mungkin selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mencintai jika seseorang melakukan sesuatu pekerjaan atau perbuatan dengan itqan (profesional dan terbaik)". (riwayat Baihaqi)

Antara budaya akhlak yang perlu ditanam dalam diri kakitangan ialah sentiasa berlumba-lumba dalam membuat kebaikan.

Suasana persekitaran tempat kerja perlu membantu ke arah persaingan secara baik di kalangan mereka.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (al-Baqarah: 148)

Konsep muhasabah juga perlu dibudayakan untuk mendorong kakitangan membaiki diri atau meningkatkan kualiti kerja dari masa ke semasa.

Jika berlaku kesilapan, kakitangan diberi peluang memberi penjelasan dan seterusnya memperbetulkan kesilapan dan tekad untuk tidak mengulanginya.

Ia sebagai mana firman Allah SWT yang bermaksud: Maka sesiapa yang bertaubat sesudah dia melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amal usahanya, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Maaidah: 39)

Beberapa contoh akhlak ini sangat penting untuk diambil perhatian oleh semua yang terlibat dalam membangunkan organisasi.

Sebenarnya, kebanyakan syarikat yang menanggung kerugian bukanlah disebabkan kurangnya produktiviti, tetapi kerana masalah akhlak yang gagal diutamakan dan ditekankan.

Kelebihan syuhada dan anbia di barzakh

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

KELEBIHAN hidup alam kubur (barzakh) bagi para nabi akan mudah difahami jika kita merenung tentang kelebihan mereka yang mati syahid. Sudah jelas dalam pelbagai nas yang mereka menerima pelbagai kelebihan di alam tersebut dan bukan hanya sekadar roh yang tidak binasa.

Sekiranya 'hidup di alam kubur' bermaksud roh yang kekal, tidak fana dan tidak binasa, maka tiadalah sebarang keistimewaan bagi para syuhada untuk layak disebut dengan kemuliaan tersebut, kerana ruh semua anak Adam juga adalah baqa' (kekal) iaitu tidak fana dan tidak binasa.

Inilah yang sebenarnya diakui oleh para pentahqiq seperti yang ditegaskan oleh Sheikh Ibnu Qayyim dalam kitabnya al-Ruh.

Maka semestinya, para syuhada itu memiliki keistimewaan yang melebihi manusia biasa. Sekiranya tiada keistimewaan itu, maka sia-sialah kehidupan mereka.

Lebih-lebih lagi, Allah SWT melarang kita mengatakan mereka itu 'orang mati'. Maka Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya. (al-Baqarah: 154)

Justeru, apa yang ingin diperkatakan, semestinya kehidupan mereka itu lebih sempurna dan mulia daripada kehidupan manusia biasa.

Inilah yang ditegaskan oleh nas-nas di atas. Hakikatnya, roh-roh golongan itu dikurniakan rezeki. Mereka mendatangi sungai-sungai di dalam syurga dan menikmati buah-buahan yang terdapat di dalamnya.

Ia sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud: Di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. (ali-'Imran: 169)

Seterusnya, segala yang mereka rasai seperti makanan, minuman dan segala bentuk nikmat dapat rasakan dengan rasa yang amat sempurna.

Ada perasaan yang amat puas, kelazatan yang begitu menggiurkan dan keseronokan yang hakiki.

Ia seperti yang dinyatakan di dalam hadis: "Ketika mereka merasai kenikmatan makanan, minuman dan tempat tidur, mereka pun berkata, Alangkah baiknya, kalau saudara-saudara kita tahu apa yang telah Allah kurniakan kepada kita ini." (Ibnu Kathir meriwayatkan daripada Ahmad)

Malahan, roh para syuhada itu memiliki keistimewaan tasarruf (pengurusan dan pentadbiran) yang lebih besar dan luas daripada manusia lain.

Mereka dapat mengembara dan bergerak bebas dalam syurga Allah SWT mengikut kehendaknya. Kemudian mereka menuju ke arah pelita-pelita yang terletak di bawah arasy Allah. Begitulah seperti yang disebut dalam hadis sahih.

Para syuhada dapat mendengar setiap pertuturan dan memahami apa yang diperkatakan kepadanya. Disebut dalam hadis sahih: Sesungguhnya Allah SWT berfirman kepada mereka, apakah yang kalian inginkan?" Maka mereka menjawab: "Ini dan ini. Berterusan soalan dengan disertai jawapannya. Kemudian mereka meminta supaya mereka dikembalikan ke dunia untuk berjihad. Kemudian, mereka memohon lagi supaya Allah menyampaikan daripada mereka suatu risalah (berita) kepada saudara-saudara mereka di dunia yang menceritakan tentang segala kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Maka Allah berfirman: Aku akan menyampaikannya daripada kalian.

Sekiranya perkara itu thabit pada hak syuhada, maka para nabi adalah jauh lebih berhak daripada mereka dalam dua aspek.

Yang pertama ialah kedudukan yang mulia itu dianugerahkan kepada para syuhada sebagai kemuliaan dan penghormatan untuk mereka.

Kita ketahui, tidak ada kedudukan yang lebih tinggi dan mulia daripada kedudukan yang dianugerahi kepada para nabi.

Kita juga tidak meragui, bahawa keadaan para nabi adalah jauh lebih tinggi dan sempurna berbanding keadaan kesemua para syuhada. Maka adalah mustahil sekiranya kesempurnaan nikmat itu hanya dirasai oleh para syuhada dan tidak dikurniakan kepada para nabi.

Lebih-lebih lagi kesempurnaan ini berupa kesempurnaan yang sudah pasti menambahkan taqarrub, pendekatan, nikmat dan kemesraan (al- Uns) mereka dengan Allah Yang Maha Tinggi.

Aspek kedua pula kedudukan yang mulia untuk para syuhada itu adalah sebagai ganjaran terhadap jihad dan pengorbanan mereka semata-mata kerana Allah.

Tetapi, nabi adalah insan yang telah mempelopori sunnah tersebut kepada kita. Bahkan, baginda mengajak dan menunjuki kita kepada jalan tersebut dengan izin Allah SWT dan taufik-Nya.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang mengajak kepada kebenaran, maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengikutinya tanpa berkurangan walau sedikit pun dan sesiapa yang mengajak kepada kesesatan maka baginya dosa seperti dosa-dosa orang yang mengikutnya tanpa berkurangan walau sedikit pun."

Banyak lagi hadis sahih yang masyhur mengenai hal ini. Justeru, setiap pahala yang dikurniakan kepada para syuhada, dikurniakan juga kepada nabi kerana kebaikan yang dilakukan sama seperti yang pernah dilakukan oleh nabi.

Kegemilangan kerajaan Uthmaniah

PADA abad pertengahan, muncul kerajaan Islam yang berpusat di Turki dan merupakan salah satu daripada tiga kerajaan besar Islam pada masa itu selain Safawiyah dan Moghul. Kerajaan tersebut ialah Uthmaniyah.

Kerajaan Uthmaniyah pernah menjadi negara terkuat dan berkuasa setelah mengalahkan Constantinople (Istanbul) dan kerajaan Rom Timur (Byzantium).

Kerajaan itu memainkan peranan penting bagi agama Islam terutamanya dalam meluaskan wilayah Islam.

Kerajaan Uthmaniyah berkuasa selama lebih kurang tujuh abad (1300-1922) dan dipimpin oleh 36 sultan. Puncak kejayaan Uthmaniyah adalah pada zaman Sulaiman 1.

Namun setelah itu, ia semakin lama semakin lemah kerana berlakunya pemberontakan dan kalah dalam peperangan dengan bangsa Eropah sehingga akhirnya kerajaan Uthamaniyah dihapuskan dan digantikan dengan penubuhan Republik Turki.

Setelah ditubuhkan oleh Uthman 1, Sultan kerajaan Uthmaniyah terus berusaha untuk meluaskan wilayah kekuasaan mereka.

Tarekat Bektasyi

Agama Islam memainkan peranan utama bagi masyarakat Turki dan menjadi satu- satunya sumber hukum, dengan mazhab Hanafi sebagai mazhab negara.

Dalam bidang tasauf, ajaran Tarekat Bektasyi berkembang pesat. Tarekat ini diajar oleh Bektasyi Velidari Khurasan dan terkenal di Anatolia (Asia Kecil) pada 1281.

Tarekat Bektasyi amat terpengaruh di kalangan tentera Janissary, sehingga mereka sering disebut sebagai Tentera Bektasyi. Ajaran Tarekat Bektasyi sehingga kini masih terus berkembang.

Janissary

Sebagai sultan pertama, Uthman 1 lebih menumpukan usaha untuk memantapkan kekuasaan dan melindungi wilayah daripada serangan musuh, terutama Byzantium.

Setelah Uthman meninggal dunia, baginda digantikan oleh puteranya, Orkhan.

Untuk memperkukuhkan kekuasaannya, Orkhan membentuk pasukan yang kuat dikenal sebagai Janissary atau Inkisyariah.

Pada zaman Orkhan, peluasan wilayah bermula. Pasukan Janissary terus menakluki Broissa (Turki), Izmir (Asia Kecil) dan Ankara. Pasukan Janissary yang dibentuk oleh Sultan Orkhan merupakan pasukan kuat yang berjaya menakluki wilayah lain dan meluaskan kekuasaan kerajaan Uthmaniyah.

Bayazid 1

Uthmaniyah berkembang menjadi kerajaan besar setelah sultan Uthmanyiah keempat, Bayazid 1, meluaskan wilayah hingga ke Eropah, meneruskan tugas ayahnya, Murad 1.

Hal itu membuatkan Eropah menjadi marah lalu berperang menentang Uthmaniyah pada tahun 1396.

Peperangan itu dimenangi oleh Bayazid 1. Pada 1402, Pasukan Timurlane (pemerintah Moghul) menyerang Uthmaniyah. Bayazid 1 ditawan dan Uthmaniyah mengalami kekalahan.

Akibatnya, hamper seluruh wilayah Uthmaniyah jatuh ke tangan Timurlane.

Awal penubuhan

Kerajaan Uthmaniyah ditubuhkan oleh Uthman, putera Ertugrul dari kabilah Oghuz di daerah Mongol yang datang ke Turki untuk meminta perlindungan pemerintah Saljuk, Sultan Alauddin 11, daripada serangan orang Mongol.

Mereka juga membantu Alauddin berperang menentang Byzantium. Uthman dilantik sebagai panglima perang kerajaan Saljuk, menggantikan ayahnya. Setelah Sultan Alauddin mangkat, Uthman mengambil alih kuasa dan sejak itulah tertubuhnya kerajaan Uthmaniyah.

Sulaiman 1

Puncak kejayaan kerajaan Uthmaniyah dicapai semasa pemerintahan Sulaiman 1 (1520-1566). Baginda digelar al-Qanun (Pembuat Undang-undang) kerana kejayaannya mengubal undang-undang yang mengatur masyarakat.

Selain itu, Sulaiman 1 juga digelar Sulaiman Yang Agung. Pada zaman kekuasaannya, Uthmaniyah memiliki wilayah yang sangat luas. Oleh sebab itu, kerajaan Uthmaniyah menjadi Negara terkuat dan berkuasa pada waktu itu.

Sepeninggalan Sulaiman 1, Uthmaniyah mula lemah meskipun masih dianggap sebagai kerajaan besar sehingga empat abad berikutnya.

Muhammad 11

Pada 1453, Muhammad 11 menakluki Constantinople. Dengan penaklukan kota yang merupakan pintu masuk Eropah dan laluan perdagangan Timur dan Barat itu, nasib Barat bergantung sepenuhnya kepada kerajaan Uthmaniyah.

Muhammad 11 kemudian menjadikan Constantinople sebagai ibu kota kerajaan dan menukar namanya menjadi Istanbul (Takhta Islam).

Walaupun telah ditalukinya, Muhammad 11 tetap memberikan kebebasan beragama kepada penduduk Constantinople.

Muhammad Al- Fatih

Uthmaniyah kembali bangkit pada zaman Murad 11, dan diteruskan olehputeranya Muhammad 11, yang digelar al-Fatih (Si Penakluk). Pada zamannya, peluasan kekuasaan Islam dilakukan secara besar-besaran. Beliau berjaya menaluki Constantinople.

Dengan jatuhnya Constantinople, maka kerajaan Uthmaniyah semakin mudah menaluki wilayah lain seperti Serbia, Albania dan Hungary.

Abdul Hamid 11

Pada 1876, Sultan Abdul Hamid 11 menaiki taktha. Pemerintahannya bersifat mutlak dan penuh kekerasan. Oleh sebab itu, timbul rasa tidak puas hati di kalangan orang awam dan tentera.

Gerakan penentang yang menentang Sultan Abdul Hamid 11 inilah yang kemudian dikenal dengan nama Gerakan Turki Muda. Sementara itu, kumpulan tentera membentuk jawatankuasa rahsia untuk menggulingkan sultan, seperti Jawatankuasa Perkumpulan Persatuan dan Kemajuan dengan salah seorang pemimpinnya ialah Mustafa Kamal Ataturk.

Mustafa Kamal bersama-sama rakan-rakannya berupaya mengakhiri kekuasaan Sultan Abdul Hamid 11. Pada 1922, Majlis Agung yang dipimpin Mustafa Kamal menghapuskan jawatan sultan dan mengisytiharkan penubuhan Republik Turki.

Peninggalan

Sebagai 'bangsa tentera', Uthmaniyah lebih banyak menumpukan pada kegiatan ketenteraan, sementara dalam bidang ilmu pengetahuan, mereka kurang menonjol.

Oleh sebab itu, dalam khazanah intelektual Islam, hampir tidak ada ilmuwan terkemuka dari dinasti ini.

Bagaimanapun, dalam mengembangkan senibina Islam, kerajaan ini cukup berjasa. Mereka banyak mendirikan masjid yang dihiasi dengan seni khat indah dan bangunan khas lainnya.

Masjid Salimiyyah di kota Adrianople yang dibina pada 1570, pada zaman pemerintahan Sultan Salim 11 merupakan salah sebuah bagunan bersejarah peninggalan Kerajaan Uthmaniyah.

Inisiatif IAM bantu pesakit Cerebral Palsy

Ujian hidup yang dihadapi oleh pasangan muda Mohd Affandi Ramli dan Raja Rohaisham Raja Mahaiddin memang sukar ditanggung. Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata yang mempunyai masalah kesihatan yang sukar untuk dipulihkan.

Lanjutan daripada itu, Hope 2 Walk adalah kempen yang diwujudkan bagi mencari dana pembiayaan rawatan intensif dan perubatan dua anak perempuannya iaitu Annisa Mohd. Affandi, 10, dan An-Nur Mohd. Affandi, 8, yang mengalami kecacatan Cerebral Palsy (Lumpuh Otak).

Dana ini bagi mengumpul RM500,000 iaitu kos membawa kedua-dua mereka menjalani rawatan dan latihan fisioterapi yang tersusun di Hospital Erkang, Beijing, China.

Hope 2 Walk dibantu oleh beberapa sukarelawan dan dipengerusikan oleh Hasan Suyut yang berpengalaman membawa anak lelakinya Atiq Wazif ke tempat yang sama beberapa tahun lepas.

Atiq Wazif yang juga mengalami Cerebral Palsy kini sudah boleh berjalan.

Annisa dan An-Nur mengalami Cerebral Palsy disebabkan kekurangan oksigen dan perkembangan tumbesaran mereka menjadi lewat.

Natijahnya, mereka tidak boleh mengurus diri sendiri dan memerlukan penjagaan sepenuh masa seperti kanak-kanak berusia sebulan.

Selain itu, tulang belakang mereka yang membengkok (scoliosis) menyebabkan isipadu paru-paru menyempit dan mudah terkena jangkitan.

Mereka kerap dimasukkan ke wad kerana mengalami Broncol Pneumonia. Tulang sendi pinggul mereka juga terkeluar daripada soket (hip dislocate) dan perlu dimasukkan semula.

Di Erkang Hospital, Beijing mereka akan mengikuti latihan dan rawatan rapi dan tersusun dengan berbagai kaedah moden dan tradisional di bawah satu bumbung selama 18 bulan.

Ini termasuk akupunktur, fisioterapi, latihan cara kerja (occupational therapy), stimulasi dan berbagai-bagai teknik yang mana kaedah ini begitu masyhur dan Erkang Hospital mempunyai kepakaran dalam bidang itu.

Bagaimanapun, Annisa meninggal dunia pada 22 Disember 2011 dan hari ini kempen Hope 2 Walk masih lagi diteruskan untuk membiayai rawatan adiknya, An-Nur.

Bonanza amal

Atas keprihatinan terhadap nasib yang menimpa An-Nur dan An-Nissa, pihak Islamic Aid Malaysia (IAM) mengambil inisiatif mengumpul dana untuk membantu mereka mendapatkan rawatan.

Program istimewa ini dinamakan program Bonanza Amal Hope2walk.

Konsep program amal itu adalah dengan mengumpul dan menjual semula barangan terpakai sumbangan orang ramai di mana hasil jualannya akan disalurkan kepada adik An-Nur.

Program unik tersebut diadakan di Dataran Muzium Negara, baru-baru ini. Ia menghimpunkan 30 sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur yang terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini.

Uniknya program ini telah dibanjiri oleh orang ramai seawal 8 pagi dan rata-rata mereka yang hadir amat berpuas hati dengan barangan yang mereka perolehi.

Keprihatinan

Usaha murni ini mendapat sokongan dan kerjasama IKIM.fm dan Jabatan Muzium Malaysia yang prihatin terhadap usaha-usaha kemanusiaan yang dijalankan oleh IAM.

Bagi menjayakan program ini, IKIM.fm membantu dalam aspek promosi serta hebahan kepada orang ramai tentang program ini. Satu segmen istimewa yang dinamakan sebagai segmen Prihatin, yang ke udara pada setiap Jumaat, pukul 3.15 petang menjadi platform dalam mempromosikan usaha kemanusiaan ini dalam membuat hebahan kepada orang ramai mengenai kutipan barangan terpakai dan juga mengenai adik An-Nur.

Pihak Jabatan Muzium Malaysia pula menjadi lokasi untuk pengumpulan barangan terpakai ini. Aktiviti pengumpulan barangan terpakai ini berjalan lebih tiga minggu dengan pembukaan pusat pengumpulan barangan terpakai di Muzium Negara.

Melalui program yang istimewa ini, pelbagai barangan terpakai seperti pakaian, barang perhiasan, barangan elektrik, kasut, beg tangan, buku-buku dan lain-lain telah dijual pada harga serendah RM2.

Kesemua barangan yang dijual ini telah disaring oleh para sukarelawan IAM dan dibantu oleh kakitangan Jabatan Muzium Negara dan hanya barang yang berada di dalam keadaan baik saja dipamerkan untuk jualan.

Program santai sambil beramal ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan di antara sukarelawan pertubuhan dan juga bagi mewujudkan sifat keprihatinan dan menyemai semangat kesukarelawan di kalangan masyarakat.

Selain jualan amal, program itu turut diserikan dengan penampilan penyampai-penyampai radio IKIM.fm seperti Dj Erwan, Dj Razak, Dj Farouq, Dj Siti, Dj Fairuz, Dj Mazlina dan Dj Faiz.

Turut memeriahkan majlis adalah artis-artis tempatan yang menyanyikan lagu berkonsepkan kerohanian seperti Suhaimi Mior Hassan, Kumpulan Pesawat, Nik Jidan, BandJawi, PelangiChenta, SevenWords, Hanzalini dan lain-lain serta deklamasi sajak oleh Pyan Habib.

Turut diadakan, demonstrasi masakan daripada Chef Sabri, persembahan karikatur serta lelongan barangan.

Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, Bonanza Amal Hope2walk adalah antara program tempatan anjuran IAM tahun ini bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Katanya, penglibatan artis tempatan yang membuat persembahan secara percuma juga harus dicontohi oleh artis lain.

"IAM telah ditubuhkan melihat kepada keperluan dan situasi semasa, di mana pihak kami merasakan perlu ada satu organisasi yang prihatin kepada keperluan masyarakat setempat khususnya di Malaysia sendiri," katanya.

Sementara itu, Pengarah Radio IKIMfm, Nik Roskiman Abd. Samad berkata, usaha IAM untuk membantu adik An-Nur ini seharusnya dicontohi oleh pelbagai pihak.

Katanya, IKIMfm sentiasa peka dengan nasib golongan yang kurang berkemampuan sehingga adanya segmen Prihatin yang keudara setiap hari Jumaat pukul 3.15 petang.

"Segmen ini menjadi platform kepada badan bukan kerajaan (NGO) seperti IAM membuat hebahan mengenai aktiviti amal yang dijalankan," jelasnya.

Yadim mendekati bakal daie di Mesir

Oleh HASSAN MOHD. NOOR

SEBAIK melangkah keluar dari balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, delegasi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mula terasa kedinginan yang teramat sangat, lebih-lebih lagi waktu itu hampir pukul 5 pagi (lebih kurang 11 pagi waktu Malaysia). Suhu dianggarkan 13 darjah celsius.

Kami disambut oleh pegawai-pegawai Kedutaan Malaysia di Mesir. Tidak ketinggalan Pegawai Hal Ehwal Pelajar Kedah Timur Tengah, Syeikh Zainul Jamal Abdul Ghani yang menjadi tuan rumah kepada delegasi yang diketuai oleh Yang Dipertua Yadim, Datuk Aziz Jamaludin Mhd. Tahir.

Turut sama dalam program turun padang itu ialah Ketua Pegawai Operasi, Dr. Abdul Ghani Mohamad; Ketua Pegawai Liaison, Mohd Noor Abd Rahman; Pengurus Besar Analisa & Penyelidikan, Mohd Shauki Abd. Majid; Pengurus Besar Operasi, Kapten Dr. Shamsuddin Moner; Pengarah Dakwah, Sheikh Ismail Hashim, Penolong Pengarah, Fadhullah Abd Wahid dan Prof. Sudirman Muhammad Johan dari Universiti Islam Negeri Sultan Syarif Kasim Riau.

Selesai segala urusan, delegasi dibawa menaiki bas menuju Hafez Badawi Street di Nasr City. Di dalam bas, Yang Dipertua Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK), Shazril Hanis Salmi menjadi 'pemandu pelancong' dengan memberi sedikit penerangan mengenai Mesir.

Tidak terkecuali mengenai suasana yang masih 'panas' di bumi para anbia itu selepas revolusi Januari tahun lalu.

Perjalanan ke destinasi berjalan lancar. Tiada kesesakan, mungkin masih awal pagi. Tempat yang dituju bukannya hotel lima bintang tetapi hostel pelajar Kedah atau dikenali sebagai Rumah Kedah.

Bangunan 11 tingkat itu menjadi penginapan delegasi sepanjang program Yadim mendekati pelajar-pelajar di luar negara.

Sambutan mesra anak-anak Kedah menandakan penerimaan yang baik. Nasi lemak menjadi sarapan pagi yang disediakan oleh mereka. Delegasi dibahagi dua kumpulan. Satu kumpulan menginap di blok itu sementara satu kumpulan lagi di satu lagi blok Rumah Kedah yang terletak berhampiran.

Program ini sepatutnya berlangsung awal tahun lalu. Bagaimanapun terpaksa ditangguhkan selepas rusuhan di Dataran Tahrir atau Revolusi 25 Januari yang membawa kepada kejatuhan Presiden Hosni Mubarak.

Ketika itu para pelajar Malaysia terpaksa dihantar pulang menggunakan pesawat komersial dan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Mesir yang menjadi tumpuan kira-kira 11,000 anak Melayu Islam menuntut di Al-Azhar terpaksa ditingggalkan sementara waktu. Demi keselamatan, para pelajar Malaysia terpaksa pulang.

Kini selepas setahun, mereka kembali meneruskan pengajian masing-masing di Al-Azhar dalam pelbagai bidang. Tidak ketinggalan bidang perubatan.

Namun, suasana di Mesir sebenarnya masih 'panas' dengan siri tunjuk perasaan secara kecil-kecilan di Dataran Tahrir. Boleh dikatakan setiap minggu ada sahaja siri tunjuk perasaan. Kemuncaknya apabila berlaku rusuhan bola sepak di Stadium Port Said yang membawa kepada satu lagi demonstrasi yang besar selepas insiden 25 Januari 2011.

Bagaimanapun Duta Besar Malaysia di Mesir, Datuk Dr. Mohd. Fakhrudin Abdul Mukti berkata, Mesir sebenarnya masih selamat.

Namun, beliau mengakui masih ada persepsi yang mengatakan Mesir tidak selamat. Kawasan 'panas' hanyalah sekitar Dataran Tahrir yang menjadi tempat penduduk yang tidak puas hati dengan pemerintah meluahkan perasaan mereka.

Justeru katanya, para pelajar Malaysia di Mesir diingatkan supaya mengelakkan diri daripada terlibat dengan sebarang tunjuk perasaan sama ada yang diatur oleh penduduk tempatan atau rakyat Malaysia di negara itu.

"Langkah ini juga bagi menjaga hubungan baik Malaysia - Mesir yang sudah lama terjalin sejak tahun 1960," katanya pada pertemuan dengan delegasi Yadim di pejabatnya, baru-baru ini.

Beliau berkata, rakyat Malaysia khususnya pelajar-pelajar perlu bersyukur kerana sejak sekian lama peluang pendidikan diberikan oleh kerajaan Mesir di Universiti Al-Azhar dalam pelbagai bidang.

Menurut Dr. Mohd Fakhrudin, banyak peluang diberi kepada kerajaan Malaysia untuk kemudahan para pelajar termasuk yuran, biasiswa dan penginapan. Baru-baru ini, Al-Azhar juga menawarkan untuk memperuntukkan bangunan asrama di kawasan kampus.

Di Mesir terdapat 27 bangunan milik Malaysia termasuk rumah atau hostel yang menjadi penginapan pelajar-pelajar.

"Bayangkan jika Mesir terus tidak stabil. Ke mana pelajar-pelajar kita mahu pergi? Ingatlah jumlah pelajar Malaysia seramai 11,000 orang adalah yang teramai di Mesir berbanding negara-negara lain," katanya.

Untuk itu, amat penting para pelajar Malaysia turut menyumbang kepada kestabilan Mesir supaya peluang pendidikan mereka di bumi para anbia itu tidak terjejas.

Harapan duta besar itu, para pelajar menumpukan perhatian kepada pengajian dan tidak terlibat dengan sebarang tunjuk perasaan di negara itu.

"Kedutaan tidak membenarkan para pelajar menyertai sebarang perhimpunan. Mereka juga sering diperingatkan supaya menjaga keselamatan sepanjang masa," katanya.

'Usah bimbang keselamatan kami'

Oleh HASSAN MOHD. NOOR

KEPADA ibu bapa di Malaysia, jangan risau keberadaan kami. Pengajian di Al-Azhar berjalan seperti biasa".

Begitulah pesanan Yang Dipertua Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK) Sesi 2011/2012, Shazril Hanis Salmi.

Beliau mengakui keadaan di Kaherah masih 'panas' dengan kejadian rompakan dan penculikan sering berlaku yang turut melibatkan para pelajar, tidak terkecuali pelajar Malaysia.

Pelajar tahun 3 Kuliah Usuluddin, Jabatan Hadis Universiti Al-Azhar, Kaherah itu mengakui, selepas revolusi, banyak kejadian samun dilaporkan lebih-lebih lagi ada pihak yang menyamar sebagai anggota polis.

"Ada pelajar yang dirompak dan diculik dan barang-barang seperti komputer riba, telefon bimbit, wang tunai dan pasport juga diambil," katanya ketika ditemui Mega, di Kaherah.

Bagi mengelakkan pelajar terus menjadi mangsa, Kedutaan Malaysia dan persatuan pelajar sentiasa bekerjasama memberi maklumat keselamatan dari semasa ke semasa.

"Nasihat keselamatan serta peraturan yang perlu dipatuhi juga diberi kepada pelajar-pelajar," katanya.

Pada masa yang sama, pihak persatuan terus mengadakan pelbagai aktiviti yang dapat mengisi masa lapang para pelajar di samping mengeratkan hubungan silaturahim sesama mereka.

Pada musim cuti, mereka turut mengadakan hari keluarga, aktiviti perniagaan, futsal Piala MB serta riadah.

Justeru kehadiran delegasi Yadim pada musim cuti juga dapat memberi peluang kepada pelajar-pelajar mengenali lebih dekat pertubuhan itu.

"Program ramah mesra seperti ini adalah kali pertama diadakan di Rumah Kedah dan sambutan yang diberikan oleh pelajar-pelajar amat menggalakkan. Dianggarkan 300 pelajar termasuk wakil-wakil negeri lain hadir.

"Mungkin selepas ini, program yang lebih besar dapat diadakan oleh Yadim atau NGO lain," katanya.

Selain kuliah di Kaherah, pelajar-pelajar Malaysia di Mesir turut berada di Iskandariah, Shoubra, Tanta, Dumyat, Mansourah, Syibinel-Kom, Damanhur, dan Zaqaziq.

Tuesday, February 21, 2012

Abu Hurairah bak mutiara

ABU Hurairah r.a, sahabat Nabi Muhammad SAW, dikatakan biasa berpuasa sunat tiga hari pada setiap awal bulan Qamariah (bulan Arab dalam tahun Hijrah) dan mengisi malamnya dengan membaca al-Quran dan solat tahajud.

Beliau akrab dengan kemiskinan dan sering mengikat batu di perutnya untuk menahan lapar. Dalam sejarah, beliau dikenal sebagai tokoh yang paling banyak meriwayatkan hadis. Orang mengenalinya sebagai Bapa Kucing Kecil (Abu Hurairah).

Abu Hurairah adalah sahabat yang sangat akrab dengan nabi. Beliau dikenal sebagai salah seorang ahli suffah, iaitu golongan fakir yang tinggal di wakaf masjid (pondok ini juga diperuntukkan bagi para musafir yang ingin bermalam).

Begitu rapatnya beliau dengan nabi sehingga baginda selalu memanggil Abu Hurairah untuk mengumpulkan ahli suffah, jika ada makanan yang hendak diagihkan.

Abu Hurairah adalah salah seorang 'tokoh kaum fakir.' Beliau sering berada dalam keadaan kelaparan. Tetapi beliau terkenal sebagai tokoh yang teguh berpegang pada sunnah Rasulullah SAW. Beliau sering menasihati orang agar jangan hanyut dalam kehidupan duniawi dan dorongan hawa nafsu.

Beliau tidak membezakan antara golongan kaya dengan golongan miskin, pembesar negeri atau rakyat jelata dalam menyampaikan kebenaran.

Malah selalu bersyukur kepada Allah sama ada dalam keadaan susah mahupun senang.

Pemilik nama Abdul Rahman (versi lain Abdul Syams) ibn Shakhr Ad-Dausi itu juga terkenal sebagai seorang yang periang dan suka berlawak. Beliau banyak menulis anekdot.

Beliau juga terkenal dengan sifatnya yang suka menghibur anak-anak kecil dan menyayangi anak-anak kucing.

Ke mana-mana sahaja pergi, beliau akan membawa haiwan itu sehingga julukan Abu Hurairah (bapa kucing kecil) melekat pada dirinya.

Usianya muda 30 tahun daripada Rasulullah SAW. Beliau lahir di Daus, sebuah perkampungan miskin di padang pasir Yaman. Hidup di tengah-tengah kabilah Azad, beliau menjadi yatim sejak kecil - yang membantu ibunya menjadi penggembala kambing.

Beliau memeluk Islam tidak lama setelah berhijrah ke Madinah pada tahun ketujuh Hijrah, bersamaan dengan rancangan keberangkatan Nabi SAW ke medan Perang Khaibar.

Bagaimanapun, ibunya enggan memeluk Islam. Malah ibunya pernah menghina Nabi SAW. Hal ini membuatkan Abu Hurairah berasa sedih. Oleh sebab itu, beliau memohon kepada Rasulullah agar berdoa moga-moga pintu hati ibunya terbuka untuk memeluk Islam.

Tidak berapa lama Abu Hurairah kembali menemui ibunya, memujuk ibunya memeluk Islam. Ternyata ibunya telah berubah, bersedia mengucapkan dua kalimat syahadah.

Abu Hurairah berhijrah ke Madinah untuk mengadu nasib. Di sana beliau melakukan pelbagai pekerjaan - menjadi buruh kasar bagi sesiapa yang memerlukan tenaganya. Seringkali beliau terpaksa mengikatkan batu di perutnya bagi menahan kelaparan yang bukan kepalang.

Begitu cintanya beliau kepada Rasulullah sehingga sesiapa yang disayangi oleh nabi, beliau akan turut menyayanginya. Misalnya, beliau suka mencium Hassan dan Hussain kerana selalu melihat Rasulullah mencium kedua-dua cucu baginda itu.

Tatkala kediaman Khalifah Uthman ibn Affan dikepung pemberontak, dalam peristiwa yang dikenal sebagai al-Fitnatul Kubra (bencana besar), Abu Hurairah bersama 700 orang Muhajirin dan Ansar mengawal rumah tersebut dengan penuh taat setia yang tidak berbelah bahagi terhadap khalifah.

Pada era pemerintahan Khalifah Ali bin Abu Talib, Abu Hurairah ditawar menjadi gabenor di Madinah. Bagaimanapun, beliau menolak. Ketika terjadi persengketaan antara Saidina Ali dengan seterunya, Muawiyah bin Abu Sufyan, Abu Hurairah mengambil keputusan untuk bersikap neutral.

Hinggalah era Muawiyah berkuasa, Abu Hurairah bersedia menjadi gabenor di Madinah. Bagaimanapun, terdapat versi lain mengatakan, Marwan bin Hakam merupakan orang yang memujuk Abu Hurairah bertugas sebagai pembantunya di pejabat gabenor Madinah.

Abu Hurairah menghembus nafas terakhir pada 57 atau 58 H (676-678 M) dalam usia 78 tahun di Madinah. Beliau meninggalkan warisan yang amat berharga, iaitu sejumlah 5,374 hadis Nabi Muhammad SAW yang terus bersinar bak butiran mutiara yang memancarkan kilauan cemerlang hingga ke hari ini.

Maulidur Rasul sana sini

Teks & foto ZAINIE MOKHTAR

Surau Jumaat Al-Hijrah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Kepong, Kuala Lumpur memanfaatkan sambutan Maulidur Rasul 1433H lalu dengan pelbagai aktiviti bagi menarik minat golongan kanak-kanak dan remaja mendekati surau, sekali gus menggalakkan mereka beribadat.

Antara program yang dijalankan ialah pertandingan futsal kanak-kanak dan veteran, pertandingan mencungkil bakat muazin remaja dan pertandingan memancing terbuka.

Pengerusi surau, Ab. Aziz Sidek berkata, program itu bertujuan mengajak masyarakat Islam terutama di kalangan kanak-kanak dan remaja agar terus berminat mendekati surau dan turut mengerjakan ibadat.

Katanya, beliau tidak mahu sambutan Maulidur Rasul berlalu begitu sahaja tanpa meninggalkan sebarang kesan positif jangka panjang terutama kepada golongan remaja.

Tambahnya, dengan program seperti itu, golongan kanak-kanak dan remaja berpeluang bermesra dan bekerjasama dengan ahli jawatankuasa surau, sekali gus membangkit minat mereka untuk terus mengikuti segala aktiviti anjuran surau pada masa akan datang.

"Surau bukan sahaja tempat beribadat tetapi juga boleh melakukan pelbagai aktiviti sampingan seperti sukan atau lain-lain pertandingan yang bersesuaian.

"Sambutan Maulidur Rasul kali ini dilihat sebagai masa yang sesuai untuk memulakan program menarik minat kanak-kanak dan remaja menyertai program seperti ini," katanya.

Dalam pertandingan futsal anjuran surau itu, ia melibatkan 12 pasukan mewakili lima blok PPR Intan Baiduri iaitu enam pasukan bawah 12 tahun dan enam pasukan bawah 17 tahun termasuk empat pasukan veteran berusia 40 tahun ke atas.

Pertandingan memancing terbuka di tasik berdekatan pula melibatkan 33 peserta yang terdiri daripada remaja dan dewasa kesemuanya adalah warga PPR Intan Baiduri.

Acara futsal dan memancing diadakan awal iaitu pada 1 Februari lalu dan dirasmikan oleh Pengurus Perumahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Zon 3, Mohd. Salleh Razali.

Pertandingan muazin yang diadakan pada 4 Februari lalu pula melibatkan 27 peserta berusia bawah 15 tahun. Ia bertujuan menyediakan golongan pelapis bilal berpotensi.

Sementara itu, Setiausaha surau, Ar Razak Sahimi berkata, selain pertandingan, program juga diisi dengan acara perarakan melibatkan hampir 1,000 peserta terdiri daripada wakil lima blok PPR berkenaan termasuk murid-murid KAFA dan pelajar GiatMara Kepong.

Katanya, perarakan bermula dari perkarangan surau mengelilingi enam blok PPR sejauh satu setengah kilometer.

Beliau berkata, perarakan itu juga memilih kontijen terbaik bagi membangkitkan semangat peserta untuk menjadi pasukan yang terbaik.

Katanya, di akhir sambutan Maulidur Rasul itu diadakan ceramah agama pada sebelah malamnya serentak dengan penyampaian hadiah dalam pertandingan yang diadakan.

Tambahnya, hadiah berupa wang tunai, barangan elektrik dan hamper sumbangan pihak swasta antaranya Pasaraya Mydin, Pertubuhan Ehsan Kasih, syarikat minyak Shell dan Petronas.

"Tujuan sebenar kami mengadakan beberapa pertandingan ini adalah menarik minat kanak-kanak dan remaja untuk menyertai pelbagai program anjuran surau sekali gus menyediakan mereka sebagai pewaris kepimpinan.

"Dalam pertandingan muazin contohnya, peserta berjaya menjadi johan dan naib johan akan dijadikan bilal muda di PPR ini sekali gus diharap dapat menarik minat rakan-rakan mereka untuk aktif dengan aktiviti surau," jelasnya.

Ar Razak menambah, pihak surau merancang menjadikan pertandingan seperti ini sebagai acara tahunan bagi memberi peluang kepada remaja supaya terus menyertai aktiviti anjuran surau.

Kehidupan barzakh para nabi

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

SEBELUM ini kita telah membicarakan tentang hakikat kehidupan alam barzakh yang merupakan alam yang tersendiri. Roh manusia tetap hidup dengan caranya yang tersendiri walaupun sudah berpisah daripada jasad dan menamatkan kehidupan duniawi.

Jika mereka yang telah mati langsung tidak dapat merasa dan mendengar di manakah kita hendak meletakkan pelbagai nas-nas berkenaan dengan larangan menyakiti mayat dan ahli kubur seperti yang banyak diriwayatkan daripada nabi SAW?

Kehidupan manusia di alam dunia berlegar di antara; melakukan ibadat atau hanya mengikut adat, dalam ketaatan atau kemaksiatan, dalam keadaan melaksanakan kewajipan-kewajipan untuk diri dan ahli keluarganya atau untuk Tuhannya.

Kadang kala dia berkeadaan bersih dan kadang kala dia berkeadaan sebaliknya. Kadang-kadang dia berada di dalam masjid dan kadang-kadang berada di tempat-tempat kotor tanpa dapat dipastikan bagaimanakah kesudahannya!

Kadang-kadang syurga itu jaraknya hanya sehasta daripadanya, tiba-tiba dia berpaling dari syurga itu akibat daripada perbuatannya yang keji, maka jadilah dia daripada kalangan ahli neraka, begitu jugalah apa yang terjadi sebaliknya.

Ada pun kehidupan di alam barzakh, jika dia termasuk daripada kalangan orang yang beriman, maka dia telah melepasi jambatan ujian yang hanya dapat tetap berada di atasnya orang yang bahagia dan berjaya. Setelah itu, dia mendapat pelepasan daripada sebarang pentaklifan.

Maka dia menjadi ruh yang bercahaya-cahaya, putih bersih, tajam pemikiran, bebas berterbangan dan berenang-renang di alam malakut dan alam-alam milik Allah SWT yang lain; yang tiada kemurungan, kesedihan, kebimbangan dan gundah gulana di dalamnya.

Alam ini bukan seperti dunia yang kita diami ini; tiada hamparan tanah, malahan tiada harta kekayaan emas dan perak jauh sekali hasad dan dengki manusia.

Sekiranya dia bukan di kalangan orang-orang yang beriman, maka keadaannya di alam barzakh adalah sebaliknya.

Sesungguhnya para nabi memiliki keistimewaan yang tersendiri di alam barzakh; tanpa ada manusia yang lain memilikinya. Jika ada manusia lain yang memiliki antara keistimewaan tersebut, itu hanyalah penisbahan sahaja; sama pada nama tetapi tidak pada hakikatnya.

Keistimewaan para nabi di alam barzakh terdiri dari dua aspek iaitu pertama, keistimewaan yang wajib bagi para nabi dan yang kedua, kelebihan yang menyempurnakan lagi keistimewaan tersebut.

Kita telah nyatakan sebelum ini bahawa kehidupan di alam barzakh adalah kehidupan yang hakiki. Mayat yang berada di alam kubur dapat mendengar, merasa dan mengetahui apa yang berlaku di dunia; sama ada dia itu seorang mukmin atau kafir.

Malah, kehidupan di dalam kubur dengan mendapat rezeki dan masuknya roh-roh ke dalam syurga bukanlah sesuatu yang dikhususkan kepada orang yang mati syahid sahaja seperti yang dibuktikan oleh dalil-dalil yang kukuh.

Ini adalah perkara yang sahih dan disepakati oleh ulama dan jumhur Ahli Sunnah wal Jamaah.

Daripada sini, perbincangan mengenai kehidupan para nabi (a.s) di alam barzakh adalah perbincangan yang sebenarnya tidak banyak mendatangkan faedah.

Ini kerana perkara ini telah jelas seperti terangnya mentari yang tidak memerlukan sesuatu dalil pun untuk menetapkan kebenarannya.

Bahkan, apa yang lebih tepat adalah kita memperakui bahawa kehidupan para nabi di alam barzakh adalah jauh lebih sempurna dan hebat (daripada kehidupannya di dunia), malahan lebih besar dan mulia daripada kehidupan manusia yang lain di alam barzakh.

Hidup manusia ada darjat

Kehidupan manusia di atas muka bumi ini pun berdasarkan bermacam-macam darjat, makam dan tingkatan yang berbeza.

Perbezaan ini bukan hanya di sudut lahiriah atau zahir tetapi turut berbeza dari sudut komitmen agama.

Ada di antara mereka yang hidup seperti orang yang telah mati. Allah SWT berfirman mengenai mereka: Ada pula di antara mereka seperti yang difirmankan oleh Allah: Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Yunus:62)

Ada pula yang hidup dengan suluhan agama, sebagaimana yang dikhabarkan oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang tetap memelihara solatnya, mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. (al-Mukminun: 10).

Ada yang difirmankan oleh Allah sebagai berikut: Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun). (al-Zaariyaat: 16-18)

Sebagaimana kehidupan di dunia, maka begitulah juga kehidupan di alam barzakh yang mempunyai darjat dan kedudukan serta makam yang berbeza-beza, seperti firman Allah: Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (mata hatinya), maka dia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya. (al-Israk: 72).

Adapun bagi para nabi; kehidupan, rezeki, pengetahuan, pendengaran, pemahaman dan perasaan mereka adalah jauh lebih tinggi dan sempurna daripada manusia yang lain.

Ini dapat dibuktikan dengan dalil tentang hak-hak para syuhada sebagai mana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. (ali-'Imraan: 169).

Insya-Allah, di ruang yang akan datang kita akan menghuraikan lebih lanjut khusus tentang hakikat kehidupan para nabi a.s di alam barzakh.

Monday, February 13, 2012

Hindari sambut Hari Kekasih

Oleh DR. AMINUDIN MANSOR

SECARA umumnya, budaya adalah apa yang kita lakukan dan amalkan dalam kehidupan seharian. Budaya Melayu-Islam adalah berpaksikan ajaran Islam yang luhur dan murni.

Oleh itu, pemahaman tentang budaya sangat penting kepada golongan remaja pada hari ini. Budaya ikut-ikutan tidak memberi manfaat, malah boleh memesongkan akidah kita.

Sebagai contoh, hari ini iaitu 14 Februari, ada sambutan Hari Kekasih atau lebih dikenali sebagai Hari Valentine yang mula dihebohkan melalui media massa.

Sesungguhnya, Hari Kekasih dari cerita dan sejarahnya bukanlah budaya Islam. Ia perlu dihindari dan dijauhi agar remaja kita tidak terikut dengan budaya ikut-ikutan.

Apa yang paling parah budaya ini menular di sekolah-sekolah. Ada segelintir remaja atau pelajar kita terikut-ikut dengan budaya menyambut Hari Kekasih ini dengan memberi hadiah bunga kepada kekasih atau teman di sekolah.

Justeru, ibu bapa dan guru khususnya guru mata pelajaran Islam haruslah memberi penjelasan, pemahaman dan penerangan kepada mereka yang terlibat.

Kita baru sahaja menyambut Maulidul Rasul, iaitu hari kelahiran Nabi SAW. Justeru, bagindalah yang sepatutnya ditanam sebagai kekasih kita umat Islam.

Selain berusaha mendapat belas kasihan daripada Allah SWT iaitu dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Jika diteliti surah al-Fatihah Ayat 1-7 menjelaskan: Segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh Alam, Yang Maha Pengasih Maha Penyayang, pemilik hari pembalasan. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan. Tunjukkan kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan-jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepadanya; bukan (jalan) mereka yang dimurkai, dan bukan pula jalan) mereka yang sesat.

Jalan yang lurus, iaitu jalan yang benar, yang dapat membuat ke arah kebahagiaan di dunia dan akhirat. Mereka yang dimurkai adalah mereka yang sengaja menentang ajaran Islam. Mereka yang sesat adalah mereka yang sengaja mengambil jalan lain selain Islam.

Justeru, Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Aku Muhammad dan Ahmad (terpuji), yang dihormati, yang menghimpun manusia, nabi (penyeru) taubat dan nabi (penyebar) rahmat. (riwayat Muslim)."

Berkaitan dengan Hari Kekasih, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 pada 22 hingga 24 November 2005 jelas dengan keras dan tegas mengatakan Hari Kekasih daripada Kristian, wajib dijauhi dan dihindari umat Islam yang boleh meruntuhkan akidah umat Islam.

Peranan ibu bapa dan guru sebagai pendidik dan pembimbing kepada anak-anak remaja khususnya yang masih bersekolah mestilah menegaskan tentang larangan menyambut Hari Kekasih yang bukan budaya Islam.

Berkaitan dengan hal ini, Nabi SAW menegaskan: "Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan mereka". (riwayat Abu Daud).

Lantaran itu, berhati-hatilah dalam melakukan sesuatu yang boleh menyerupai kaum-kaum lain selain daripada Islam.

Pemantapan akidah sangat penting dilakukan sejak seseorang itu masih kecil dan berterusan pada peringkat remaja dan juga dewasa. Kita telah diperingatkan, bahawa barang siapa menimbulkan sesuatu yang baru dalam urusan (agama) yang bukan dari ajaran-Nya maka akan tertolak.

Adab dan budaya Islam mempunyai keunikan dari segi akidah dan syiar, pemikiran dan emosi, serta akhlak dan keluhurannya. Masyarakat Islam juga mempunyai keunikan dari segi adab dan budaya yang tersendiri yang terbentuk mengikut acuannya serta terpancar dari nilai-nilai tersebut ialah akidah, perkara-perkara yang bersangkutan dengan cabang-cabangnya.

Dalam hal ini, ulama kontemporari, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi menegaskan, kebudayaan, kesopanan dan adat-adat ini telah diwujudkan oleh Islam dalam masyarakat Islam bertujuan untuk menjadikannya berkhidmat kepada akidah, syiar, pemahaman, emosi, akhlak dan tatasusila Islam.

Justeru, sebagai remaja Islam hindari daripada budaya ikut-ikutan seperti merayakan Hari Kekasih yang boleh menyesatkan dan memesongkan akidah.

Masyarakat Islam mempunyai adab serta budayanya dalam seluruh kehidupan yang murni bertunjangkan akidah Islam.

Peranan ibu bapa dan guru sangat penting dalam mendidik anak-anak dan para pelajar. Mereka seharusnya memberikan petunjuk agar anak-anak serta para pelajar tidak tersesat dan mengikut jalan yang boleh membawa kesesatan.

Melalui pemahaman, penerangan dan bimbingan yang berhikmah kepada mereka, sehingga nasihat atau hidayah tersebut masuk ke dalam hati mereka.

Al-Zahrawi Bapa Bedah Moden

Abu al-Qasim Al-Zahrawi yang juga dikenal sebagai Abulcasis, yang hidup antara tahun 936 hingga 1013 Masihi merupakan salah seorang saintis Islam terhebat yang banyak meletakkan asas penting dan kukuh dalam bidang perubatan.

Sungguh menakjubkan, kepakaran Al-Zahrawi tidak terhad dalam satu bidang sahaja, iaitu pembedahan yang menjadi keistimewaan kepakarannya, tetapi juga dalam beberapa bidang lain. Beliau dianggap bapa bedah moden.

Antaranya bidang pergigian, penciptaan alat-alat pembedahan tertentu, pakar telinga, tekak dan kerongkong (ENT) dan juga mencipta ubatan-ubatan.

Sebagai seorang pakar bedah yang terkenal ketika zamannya, beliau dilantik menjadi doktor peribadi kepada raja Sepanyol ketika itu, iaitu Al-Hakam II.

Beliau yang dilahirkan pada tahun 936 M di sebuah bandar berhampiran Cordova, terkenal kerana penemuan hebatnya dalam bidang perubatan, terutama dalam bidang pembedahan.

Seperkara lagi yang membuatkan beliau terkenal ialah terbitnya ensiklopedia perubatan beliau yang dikenali Al-Tasrif.

Ensiklopedia itu mengandungi 30 jilid pelbagai aspek sains perubatan. Bagaimanapun aspek paling penting sekali yang terkandung di dalamnya ialah siri tiga buku mengenai pembedahan.

Buku mengenai pembedahan itu menjelaskan secara terperinci mengenai pelbagai aspek rawatan melibatkan rawatan pembedahan berdasarkan pembedahan-pembedahan sebenar yang pernah dilakukannya sendiri.

Antaranya, termasuklah cauterization, iaitu teknik pembakaran bahagian badan untuk merawat luka dan sebagainya, mengeluarkan batu karang daripada buah pinggang, perbidanan, pembedahan ke atas haiwan dan juga pembedahan mata, telinga, dan kerongkong.

Secara tepat, beliau juga telah berjaya melakukan pembedahan-pembedahan rumit termasuklah mengeluarkan fetus yang tidak bernyawa daripada kandungan dan juga pengudungan atau pemotongan kaki.

Ensiklopedia Al-Tasrif diterjemahkan pertama kalinya ke dalam bahasa Latin oleh Gherard sebelum diterjemahkan ke bahasa Hebrew, Perancis dan Inggeris.

Buku itu mempunyai beberapa diagram dan ilustrasi alat-alat pembedahan yang digunakan pada zaman itu dan juga yang dicipta oleh beliau sendiri. Lebih membanggakan lagi, ilmu yang dicurahkan oleh beliau telah menjadi sebahagian daripada kurikulum perubatan di negara-negara Eropah sejak berkurun-kurun lamanya.

Penemuan dan juga hasil kerja Al-Zahrawi melalui ensiklopedianya Al-Tasrif ini menunjukkan bahawa kepercayaan dunia Islam ketandusan pakar dalam bidang pembedahan adalah silap dan meleset sama sekali.

Malah Al-Zahrawi juga sebenarnya adalah orang yang bertanggungjawab merekacipta alat-alat pembedahan. Tiga alat ciptaannya yang terkenal adalah:

(i) Alat pemeriksaan luar telinga

(ii) Alat pemeriksaan luar theurethra

(iii) Alat yang digunakan untuk mengeluarkan bendasing daripada kerongkong

Al-Zahrawi juga sebenarnya pakar mengubati penyakit menggunakan kaedah lecuhan. Teknik ini digunakan melalui lebih 50 pembedahan yang dilakukannya.

Tidak sekadar aspek pembedahan, dalam bukunya Al-Tasrif, Al-Zahrawi juga membincangkan mengenai penyediaan pelbagai jenis perubatan, selain penerangan komprehensif mengenai rawatan pembedahan yang mengkhusus dalam bidang-bidang ENT, oftalmologi dan sebagainya.

Beliau juga menjelaskan secara terperinci beberapa teknik seperti pejalwapan dan juga penyiringan (decantation).

Selain itu, Al-Zahrawi juga sebenarnya pakar dalam bidang pergigian dan dalam bukunya terkandung lakaran pelbagai alat yang digunakan dalam bidang pergigian.

Beliau juga menerangkan pelbagai bentuk pembedahan penting dalam bidang pergigian. Malah beliau juga membangunkan teknik untuk menyediakan gigi palsu.

Dalam bidang perubatan, beliau adalah orang pertama yang mengenal pasti dan menjelaskan secara terperinci mengenai sejenis penyakit keturunan yang dikenali hemofilia.

Melihat dan meneliti sumbangan-sumbangan Al-Zahrawi, tidak dapat disangkal lagi, pengaruh beliau dalam bidang perubatan dan juga pembedahan telah meletakkan asas utama dalam bidang sains perubatan, terutamanya bidang pembedahan serta mempengaruhi bidang perubatan secara keseluruhan.

Pakar bedah Perancis yang terkenal, Gus de Ghauliac (1300-1368M) menjadikan tulisan al-Zahrawi sebagai bahan tambahan dalam buku bedahnya.

Al-Tasrif menjadi bahan rujukan selama lima abad di Universiti Salerno di Itali, Motpellier di Perancis dan beberapa universiti lain di Eropah.

Malah menurut penulis History of Arab Medicine, Dr. Cambell, asas-asas yang diletakkan oleh Al-Zahrawi dalam bidang perubatan sebenarnya melebihi apa yang disumbangkan oleh saintis perubatan terkenal, Galen, dalam kurikulum perubatan Eropah.

Alam barzakh menurut Ibnu Taimiyyah

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Kita menyambung kalam tentang hakikat alam barzakh yang menjadi punca salah faham sesetengah kelompok dalam beberapa isu. Sekali lagi kita memetik pandangan tokoh yang sering menjadi rujukan aliran yang kontroversi iaitu Ibnu Taimiyyah.

Ibnu Qayyim murid Ibnu Taimiyyah, memuatkan dalam kitab al-Ruh penjelasan-penjelasan yang lengkap. Juga dinaqalkan fatwa penting Ibnu Taimiyyah seperti yang disebut dalam al-Fatawa al-Kubra.

Ibnu Taimiyyah ditanya mengenai orang hidup yang pergi menziarahi orang yang telah mati. Adakah mereka mengetahui tentang ziarah orang yang hidup? Adakah si mati mengetahui sesiapa yang mati selepasnya di kalangan kaum kerabatnya atau orang yang lain?

Maka beliau menjawab: "Segala puji bagi Allah. Ya, sebenarnya banyak athar yang menerangkan mengenai pertemuan dan pertanyaan mereka serta penayangan amalan orang-orang yang hidup kepada mereka yang telah mati."

Antaranya kata beliau, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu al Mubarak, daripada Abu Ayyub al-Ansori. Beliau berkata: "Apabila nyawa seseorang Mukmin itu dicabut, maka hamba-hamba Allah yang telah mendapat rahmat (yang telah mati dahulu) bertemu dengannya seperti mana bertemunya orang yang datang membawa berita gembira di dunia ini.

"Maka mereka bersegera datang kepadanya dan bertanyakan khabar, lalu berkata sebahagian daripada mereka kepada yang lain: "Tunggulah saudaramu itu berehat dahulu, kerana dia sebenarnya dalam kesusahan yang amat (kesan kesakitan Sakarat al Maut)."

Berkata Abu Ayyub lagi: "(Selepas dia berehat) mereka bersegera datang kepadanya semula dan bertanya kepadanya, Apakah yang telah dilakukan oleh si lelaki itu?" dan "Apakah yang telah dilakukan oleh si perempuan itu, adakah dia telah berkahwin?"

Adapun mengenai si mati mengetahui orang hidup, yang datang menziarahinya dan memberi salam ke atasnya, maka telah disebut dalam hadith Ibnu Abbas r.a, beliau berkata: "Telah bersabda Rasulullah SAW tidaklah seseorang itu melalui kubur saudaranya yang Mukmin yang pernah dikenalinya di dunia, kemudian dia memberi salam kepadanya, melainkan saudaranya itu (yang telah mati) mengenalinya dan menjawab salamnya."

Ibnu Mubarak berkata: "Hadis ini telah thabit daripada Nabi SAW dan disahihkan oleh Abdul Haq, pengarang Kitab al-Ahkam". (Majmu' Fatawa Ibnu Taimiyyah, 24:331)

Dalam bahagian lain pula, Sheikh Ibnu Taimiyyah ditanya: "Adakah si mati mendengar pertuturan orang yang menziarahinya dan melihat orang itu? Adakah rohnya kembali ke dalam jasadnya pada ketika itu, ataupun berlegar-legar di atas kuburnya pada waktu itu dan waktu yang lain? Adakah rohnya berkumpul bersama roh-roh ahli keluarga dan kaum kerabatnya yang mati sebelumnya?"

Maka beliau menjawab: "Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Ya! Mayat itu mendengar semuanya, seperti yang telah thabit di dalam Sohihain (Bukhari dan Muslim), daripada Nabi SAW, baginda SAW bersabda: Mayat mendengar bunyi sepatu mereka yang hidup ketika mereka beredar dari kubur.

Kemudian beliau menyebut beberapa hadis lain yang sehubungan dengan makna itu. Setelah itu, beliau berkata: "Dalil-dalil ini dan yang sama dengannya, menerangkan kepada kita bahawa mayat mendengar seluruh pertuturan orang yang hidup."

Tidaklah semestinya mayat itu sentiasa mendengar pertuturan yang diucap, tetapi mereka mendengarnya pada suatu ketika dan tidak pada masa yang lain.

Keadaannya sama seperti yang berlaku kepada orang yang hidup. Kadang kala mereka mendengar pertuturan orang yang hidup. Kadang-kadang mereka juga tidak mendengar apa yang dipertuturkan kepada mereka kerana suatu penghalang yang menghalangnya.

Pendengaran itu adalah pendengaran pengetahuan (hanya bertujuan memberikan maklumat) yang tidak menghasilkan sebarang balasan.

Ia juga bukannya pendengaran yang dinafikan melalui firman Allah SWT: Sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati (hatinya) itu menerima ajaran-ajaranmu. (al-Naml: 80)

Makna pendengaran yang dikehendaki daripada ayat ini adalah penerimaan dan menjunjung perintah.

Sesungguhnya Allah SWT mengumpamakan orang kafir seperti mayat yang tidak dapat menjawab seruan orang yang menyerunya dan juga seperti binatang-binatang yang mendengar suara-suara akan tetapi tidak memahami maknanya.

Sekalipun mayat boleh mendengar pertuturan orang yang hidup dan memahami maknanya. Tetapi mereka tidak boleh menjawab seruan orang yang menyeru dan tidak boleh melaksanakan perkara yang disuruh dan yang dilarang.

Maka tidak ada manfaat perintah dan larangan bagi mereka. Begitu juga dengan keadaan orang kafir. Mereka tidak langsung memberikan reaksi (tidak langsung mendapat manfaat dengan suatu suruhan dan larangan) apabila disuruh mahupun dilarang daripada melakukan sesuatu, walaupun dia mendengar pertuturan itu dan memahami maknanya.

Ia sebagaimana maksud firman Allah SWT di dalam al-Quran: Dan kalaulah Allah mengetahui ada kebaikan pada mereka, tentulah Dia menjadikan mereka dapat mendengar. (al-Anfaal: 23)

Atasi sifat mazmumah melalui iman

SAMBIL bersikap sombong takbur di muka bumi dan berusaha merancangkan rancangan-rancangan jahat (terhadap Rasul itu), sedang rancangan yang jahat itu tidak menimpa melainkan orang yang menjalankannya (dengan keadaan yang demikian, maka) tidak ada yang mereka tunggu selain daripada berlakunya ke atas mereka kebinasaan (sebagaimana yang telah menimpa) orang-orang yang telah lalu. Kerana engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan. Bagi "Sunnatullah" (undang-undang peraturan Allah), dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang penukaran bagi perjalanan "Sunnahtullah" itu. (al-Faatir: 43)

Huraian:

Allah SWT berfirman tentang orang-orang Quraisy yang belum datangnya seorang rasul kepada mereka, mereka bersumpah dengan nama Allah dengan sekuat-kuat sumpah, bahawa jika datang kepada mereka seorang rasul, nescaya mereka akan menjadi pengikut yang paling patuh kepada tuntutan rasul itu lebih daripada umat-umat yang telah pernah kedatangan rasul-rasul.

Akan tetapi setelah datang kepada mereka Muhammad sebagai Rasul dan Utusan Allah yang membawa al-Quranul Karim, mereka malahan mendustakannya, mengingkari kenabiannya dan menyombongkan diri enggan mengikuti ajarannya dan petunjuknya dan bahkan dengan berbagai rencana dan tipu daya mereka menghalangi orang lain untuk beriman kepada Rasulullah dan mengikuti petunjuknya.

Maka dengan sikap mereka yang menyombongkan diri itu dan dengan tipu daya mereka yang jahat akibatnya akan menimpa diri mereka sendiri, mereka hanya menanti-nantikan sunnah Allah yang telah berlaku terhadap orang-orang yang terdahulu , iaitu turun azab dan siksa atas orang-orang yang mendustakan rasul.

Kesimpulan:

Janganlah kita mempunyai sifat sombong, riak dan takbur kerana sifat itu adalah yang tercela. Kita dikurniakan oleh Allah dengan fikiran yang waras dan akal yang cerdas berfikir untuk melakukan amalan yang baik bukan untuk melakukan kejahatan serta melakukan rancangan jahat.

Buat program pikat orang muda

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

TOKOH ulama tersohor dunia, Imam Al-Ghazali pernah menyebut: "Apabila hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini."

Kedengaran agak ringkas, namun mutiara kata penuh makna itu memberi pengajaran yang sangat mendalam dan berharga.

Bukan sekadar ungkapan di bibir, malah ia turut menjadi salah satu ukuran masyarakat serta pakar sosial dalam menganalisis perkembangan negara pada masa akan datang.

Perkembangan semasa menjadikan segala urusan harian menjadi semakin mudah, ringkas dan cepat. Komunikasi yang dulunya diutus melalui surat mengambil masa sehingga hampir seminggu, kini boleh dikirim dalam tempoh kurang daripada lima saat.

Tidak ketinggalan dalam proses penyebaran dakwah. Segala kemajuan teknologi dunia menjadikan urusan penyebaran dakwah lebih mudah dan meluas untuk disampaikan kepada masyarakat.

Statistik terkini menunjukkan hampir 45 peratus bilangan penduduk di Malaysia terdiri daripada golongan belia. Belia di Malaysia adalah mereka yang berusia antara 12 hingga 40 tahun.

Justeru, golongan tersebut adalah kumpulan majoriti di negara ini. Sekali gus penyumbang tenaga utama dan terbesar dalam proses pembangunan dan pembinaan tamadun negara sehingga mereka disifatkan sebagai aset negara.

Potensi diri dan segala idea baru yang ada dalam minda belia yang lahir pada zaman teknologi dan maklumat itu sangat diharapkan oleh negara. Lebih-lebih lagi untuk mencetuskan perubahan di samping meneruskan wawasan jangka masa panjang negara.

Namun, apa yang dibimbangi, apabila membicarakan mengenai remaja, kini ia lebih sinonim dengan konotasi perbuatan negatif dan gejala sosial yang tidak berfaedah.

Sehingga suatu tahap, ada yang menganggap belia hanya golongan yang mencetuskan masalah dan kekecohan dalam masyarakat.

Jika benar fenomena negatif itu terus berlaku, sejauhmanakah jaminan kita terhadap masa depan negara. Adakah hasrat negara untuk meletakkan Malaysia setaraf dengan negara-negara maju dunia akan tercapai?

Pelbagai program berunsur keagamaan dilihat semakin pelbagai dan meluas diadakan melalui pelbagai medium. Hanya menanti sambutan daripada golongan yang menjadi harapan negara ini untuk menerimanya atau tidak.

Naib Yang Dipertua 1, Persatuan Ulama Malaysia, Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman berkata, Islam turut menyentuh peranan dan tanggungjawab remaja dalam kehidupan manusia dengan mengurniakan mereka kelebihan tersendiri.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT bermaksud: Sesungguhnya kami telah memuliakan anak-anak Adam dan mengangkat mereka di dataran dan lautan dan memberi rezeki yang baik dan melebihkan mereka dari kebanyakan makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna. (al-Israk: 70)

Oleh itu, menurut beliau, aktiviti kemasyarakatan serta program agama secara santai dan adalah formula untuk memikat golongan belia menyertainya.

Ini secara tidak langsung dapat membentuk kembali jiwa mereka agar menyedari tanggungjawab kepada masyarakat.

"Belia masa kini lebih suka kepada sesuatu pengisian yang menyeronokkan seperti hiburan, permainan dan sebagainya. Oleh itu, kita perlu bijak dalam menarik minat remaja bersesuaian dengan kemahuan mereka.

"Dengan cara ini, secara tidak langsung memberi pengajaran dan mendidik remaja untuk mengamalkan perkara yang berfaedah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Mega pada karnival Cinta Masjid di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Karnival itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Turut hadir, Pengerusi TV AlHijrah, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Nor; Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Bukhari Che Muda dan Imam Masjid Saidina Hamzah, Awang Mamat.

Fauzi yang juga Timbalan Pengerusi Masjid Saidina Hamzah berkata, akhlak Rasulullah SAW dalam mendidik anak dan membentuk belia perlu dijadikan teladan serta diamalkan di negara ini.

Walaupun baginda merupakan pemimpin tertinggi negara pada masa itu, namun baginda tetap menghormati dan merendahkan diri melayan kanak-kanak dan juga belia.

Diceritakan, Anas bin Malik yang telah berkhidmat dengan Nabi SAW hampir 10 tahun sejak berumur 10 tahun berkata, beliau tidak pernah sekalipun mendengar Rasulullah SAW berkata, "mengapa kamu buat begitu," jika beliau melakukan sesuatu. Dan jika beliau tidak melakukan sesuatu perkara, Nabi Muhammad SAW juga tidak pernah bertanya, "mengapa kamu tidak melakukannya."

Menurut Fauzi, belia jika tidak dibimbing dan dilengkapi ilmu agama akan menyebabkan timbulnya pelbagai masalah yang lebih serius dan tidak dijangka pada masa depan.

"Semua pihak perlu bekerjasama dan proaktif dalam membentuk peribadi remaja serta menangani isu remaja yang kian berleluasa pada masa ini.

"Jika segala permasalahan ini dapat ditangani dengan baik, maka nilai belia akan lebih dipercayai dan mampu melahirkan belia yang benar-benar berkualiti.

"Inilah yang kita usahakan bagi melahirkan belia yang berilmu dan bertakwa untuk mencetuskan perubahan dalam negara," jelasnya.

Karnival selama dua hari itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang melibatkan kerjasama antara pihak TV AlHijrah dengan penduduk serta jawatankuasa masjid.

Antara aktiviti yang diadakan adalah siaran langsung program selawat ke atas Nabi Muhammad SAW iaitu 'Kuala Lumpur Berselawat', program hiburan Islam 'Dikir Zikir' dan program dakwah melalui majlis dan ceramah keagamaan.

Pada program itu, Jamil Khir turut merasmikan perpustakaan Saidina Hamzah di masjid itu bertujuan menjadikan masjid sebagai pusat rujukan dan sumber ilmu kepada masyarakat.

Di samping itu, aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong membersihkan kawasan masjid, penyembelihan lembu, pertandingan azan dan mewarna untuk kanak-kanak.

Karnival itu dianggap berkesan dan berjaya mencapai objektifnya berdasarkan sambutan golongan sasar di kawasan sekitar dan berhampiran yang sangat menggalakkan.

Buktinya, masjid dilimpahi dengan orang ramai sejak awal program berlangsung.

Sunday, February 12, 2012

Nikon J1 : Gajet hadiah untuk tersayang


Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

DALAM mencari hadiah buat tersayang, tentu anda mahukan yang terbaik dan sesuai serta dalam lingkungan bajet yang tidak menyakitkan kocek.

Kini terdapat pelbagai gajet yang boleh dijadikan hadiah oleh semua peringkat usia dan golongan.

Apa pun kuasa memilih dan membeli adalah di tangan pengguna. Bijaklah membuat pilihan yang seiring dengan wang di dompet.

Nikon J1

Apa saja hadiah semuanya dengan warna merah atau merah jambu sama dengan kamera kompak Nikon.

Nikon J1 hanyalah setebal 2.9 cm dan beratnya hanya 277 gram (g) tetapi cukup maju untuk menerima siri baru format kanta Nikon dan merakam gambar 10 megapiksel.

Bagaimanapun tarikannya adalah kepada kelajuan fokus J1 kerana kamera ini ‘mengunci’ subjek dengan cepat dan merakam sehingga 10 gambar sesaat apabila menjejak subjek.

Nikon J1 juga menawarkan flash pop-up dan imej yang mengagumkan.

Telefon SpareOne dengan bateri AA

Tentu saja pengguna mahukan telefon bimbit yang mempunyai hayat bateri yang lebih panjang bagi membolehkan mereka menggunakannya lebih lama.

Kini terdapat telefon bimbit iaitu SpareOne yang menggunakan hanya satu bateri AA untuk berfungsi.

Beroperasi menggunakan rangkaian dual band GSM, Spare One dikatakan mempunyai masa berbual boleh menjangkau sehingga 10 jam.

Telefon berkenaan juga dikatakan boleh dicas sehingga 15 tahun sama dengan hayat bateri litium yang terkemuka.

Justeru pengguna disaran jangan menggunakan bateri jenama lain kerana bimbang memberikan kesan kepada hayat bateri.

Obsessive Compulsive Disorder (OCD) : Rehat cukup elak resah

Oleh Zulkiple Ibrahim

MASALAH keresahan melampau atau “Obsessive Compulsive Disorder” (OCD) boleh memberi impak negatif yang besar terhadap mereka yang mengalaminya.

Selain daripada stres, masalah ini juga berpotensi membuatkan pesakit itu “psikotik”.

Menurut pakar-pakar neurologi (saraf), terapi terbaik bagi mereka yang mengalami OCD adalah terapi kognitif tingkah laku.

Terdapat juga ubat bagi menghilangkan kemurungan tetapi ubat sahaja jarang sekali berkesan mengurangkan simptom masalah ini.

Pegawai Perubatan Neurologi, Dr. A. Ridzwaan Talib menjelaskan bahawa terdapat dua komponen bagi terapi kognitif tingkah laku.

“Contohnya, bagi seseorang yang kerap membasuh tangan. Beliau akan disuruh menyentuh tombol atau pemegang pintu tandas awam dan kemudian dihalang daripada membasuh tangannya.

“Semasa orang itu dalam keresahan, desakan untuk membasuh tangan secara “ritual” (berulang kali) akan beransur hilang.

“Melalui cara ini, individu itu akan belajar bahawa beliau tidak perlu melakukan ritual itu dan belajar mengawal perasaan obses dan tingkahlaku kompulsif,” ujar beliau.

Katanya, terapi kognitif pula memberi fokus terhadap pemikiran yang bahaya dan rasa tanggungjawab besar individu berkenaan. Ia mengajar cara memberi respons yang sihat dan efektif terhadap pemikiran obsesif tanpa perlu melakukan tingkah laku kompulsif.

Langkah mengatasi

Pakar neurologi mengesyorkan beberapa langkah bagi mengatasi OCD.

“Kenal pasti pemikiran dan desakan OCD. Contohnya, latihkan diri mengatakan “tangan saya tidak kotor” atau “saya rasa tidak perlu basuh tangan”.

“Sedar yang pemikiran sebegitu adalah disebabkan OCD dan katakan pada diri anda, ia bukan sebenarnya saya, tetapi hanya OCD bagi mengingatkan tingkah laku itu adalah mesej-mesej palsu dan tidak bermakna yang dihantar otak,” ujarnya.

Beliau menasihati mereka yang mengalami masalah itu memberi fokus terhadap perkara lain walaupun hanya beberapa minit.

Pesakit perlu berkata “saya mengalami gejala OCD dan perlu melakukan sesuatu yang lain.” Menilai semula gejala OCD juga perlu dilakukan dengan berkata ia bukan sesuatu yang signifikan dan hanya merupakan suatu “obsesi yang bodoh” dan tidak perlu diberi perhatian.


Bantuan keluarga

OCD boleh mengganggu kehidupan sosial dan keluarga mereka yang mengalaminya.

“Keluarga boleh membantu dalam memahaminya serta mengelakkan konflik daripada berlaku. Ahli keluarga boleh memberi motivasi serta sokongan terhadap individu yang menghidapi OCD,” katanya

Beliau juga mengesyorkan aktiviti riadah seperti berjoging, jalan kaki, mendengar muzik dan melayari internet semata-mata untuk mengelakkan diri daripada tingkah laku kompulsif dan pemikiran obses.

“Cuba melengah-lengahkan respons, lagi lama dilengah-lengahkan, semakin hilang desakan melakukan gerak kompulsif itu,” kata beliau.

Elak stres

Sesuatu yang mendatangkan stres boleh mencetuskan atau memburukkan lagi episod OCD.

“Oleh itu penting bagi kita elakkan stres untuk menjauhi OCD,” nasihat beliau.

Pesakit dinasihatkan mengamalkan gaya hidup tanpa stres serta aktiviti yang mendatangkan relaks selain mengamalkan senaman serta pemakanan yang secukupnya.

“Tidur dan rehat secukupnya dan jauhi rokok, nikotin dan alkohol,” nasihat beliau.

Dr. Ridzwaan juga menasihati mereka yang menghidap OCD agar jangan bersendirian dalam mengalami masalah itu.

“Mintalah bantuan, bercerita masalah anda pada orang lain. Ada baiknya jika melibatkan diri dengan kumpulan sokongan dan berkongsi pengalaman. Elakkan daripada memberi komen-komen yang negatif.

“Yang pentingnya individu itu mestilah tenang dalam menghadapi keresahan yang ekstrem.

“Berinteraksi secara positif dalam lingkungan sosial dan anggap semuanya itu adalah satu perkara yang lucu. Dengan cara ini boleh menceriakan penghidap masalah itu,” kata beliau.

– BERNAMA

Thursday, February 9, 2012

Dakwah Nabi Nuh penuh cabaran

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

FIRMAN Allah SWT: Nuh berkata: Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka telah menderhakaiku dan telah mengikuti orang-orang yang harta dan anak-anaknya tidak menambah kepadanya melainkan kerugian belaka, Dan melakukan tipu-daya yang amat besar.

Dan mereka berkata: Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwwa', yaghuts, ya'uq dan nasr. Dan sesudahnya mereka menyesatkan kebanyakan (manusia); dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kesesatan. (Nuh: 21-24)

Mukadimah

Allah SWT menceritakan tentang Nabi Nuh a.d bahawa baginda mengaku kepada Tuhan Yang Maha Esa Mengetahui dan tidak tersembunyi satu zarah pun dari pengetahuan-Nya bahawa setelah menggunakan segala media dan cara yang kadang-kadang merangkumi dorongan, peringatan dan sebagainya, kaumnya tetap melakukan pendustaan dan penderhakaan dan mengikut hamba-hamba dunia yang lalai terhadap perintah Tuhan, bahkan terpedaya dengan harta dan anak.

Mereka mengatakan: "Janganlah kita meninggalkan tuhan-tuhan yang disembah oleh kita dan sesuatu yang disembah oleh nenek moyang kita terdahulu."

Tidak menghairankan jika berhala-berhala itu telah menyesatkan ramai manusia sehingga berdoalah Nabi Nuh a.s kepada Tuhannya agar ditimpa kecelakaan ke atas mereka: "Ya Tuhanku! Hinakanlah kaum yang zalim itu, dan janganlah Engkau tambah mereka selain kesesatan."

Firman Allah SWT: Nuh berkata: Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka telah menderhakaiku dan telah mengikuti orang-orang yang harta dan anak-anaknya tidak menambah kepadanya melainkan kerugian belaka.

Al-Mawardi memetik pendapat ahli tafsir yang berkata: Bahawa Nabi Nuh a.s. hidup selama 950 tahun berdakwah kepada kaumnya sedangkan mereka berterusan dengan kufur dan derhaka.

Seterusnya Ibn Abbas berkata: Nabi Nuh mengharapkan agar anak yang lahir daripada bapa mengikut agamanya. Tetapi malangnya sehingga sampai kurun ke-7, mereka masih berdegil.

Akhirnya Nabi Nuh berdoa kepada Allah dan berlakulah taufan serta bah besar. Nabi Nuh hidup selepas taufan selama 60 tahun sehingga membiaklah keturunan manusia.

Al-Hasan berkata: Kaum Nuh bercucuk tanam dua kali sebulan.

Berkenaan ayat ini seolah-olah menggambarkan kepada kita betapa peritnya menyampaikan risalah Allah lebih-lebih lagi kepada penentangnya secara terang-terangan mengingkari dan memusuhinya.

Dengan sebab itu tidak hairan bila dibaca sirah dan sejarah para nabi dan rasul yang menghadapi pelbagai tribulasi sehingga ada yang terbunuh dipukul, didera, di azab dan diseksa.

Tidak kurang pula yang terpaksa berhijrah untuk mempertahankan agamanya serta meninggikan syiar agama Islam.

Firman Allah SWT: Dan melakukan tipu daya yang amat besar.

Iaitu tipu daya yang begitu dahsyat dan kalimah yang digunakan menggambarkan amat besar jenayah maksiat mereka.

Ada dua pendapat:

n Apa yang mereka sekutukannya dengan Allah daripada isteri dan juga anak seperti pendapat al-Kalbi.

n Ucapan pemimpin mereka terhadap pengikut mereka menggesa supaya tidak meninggalkan tuhan-tuhan seperti wuddan dan suwa'. Inilah pendapat Muqatil.

Sifat manusia apatah lagi yang berada di lembah maksiat amat mudah melakukan dosa. Justeru, keperluan untuk bertaubat dan kembali kepada Allah dengan istighfar serta menginsafi dosa-dosa yang lalu seterusnya menjadikan muhasabah sebagai keperluan utama dalam hidup sudah pasti membuahkan natijah yang baik dan dapat mencapai mardhatillah.

Al-Maraghi berkata: Mereka mengadakan tipu daya yang besar sehingga mereka sanggup memperdayakan agama dan memalingkan manusia daripadanya dengan pelbagai cara serta bercita-cita mencelakakan Nabi Nuh a.s.

Firman Allah SWT: Dan mereka berkata: Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwwa', yaghuts, ya'uq dan nasr.

Terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Ibn al-Mundhir dan Ibn Mardawayh, daripada Ibn Abbas yang berkata: Berhala-berhala ini kemudiannya menjadi berhala-berhala yang disembah oleh bangsa Arab.

Wadd berhala yang disembah oleh Bani Kalb, Suwa' berhala Bani Hudail, Yaguth berhala Bani Ghutayf yang tinggal di kawasan pinggiran Saba', Ya'uq berhala Bani Hamdan dan nasr berhala Bani Himyar Ali Dhu'l Killa.

Berhala-berhala sembahan orang Arab


Sementara itu, terdapat berhala-berhala lain yang disembah oleh beberapa kaum:

Lata: Berhala Bani Thaqif di Taif.

'Uzza: Berhala Bani Sulaym, Ghatafan dan Jusham.

Manat: Berhala Khuza'ah di Qudayd.

Isaf: Berhala penduduk Mekah.

Na'ilah: Berhala penduduk Mekah.

Hubal: Berhala penduduk Mekah dan ia merupakan berhala yang paling dimuliakan oleh mereka. Oleh sebab itu, ia diletakkan di atas Kaabah.

Berhala-berhala yang disebutkan di atas bukanlah berhala yang menjadi sembahan mereka tetapi maksud di sini adalah mereka mengambil nama-nama ini untuk dijadikan sebagai nama-nama berhala mereka. (lihat Tafsir Ibn Kathir 8/302)

Syed Qutub berkata: Itulah tuhan besar yang terus disembah pada zaman jahiliah selepas mereka hingga zaman kerasulan Muhammad SAW. Demikianlah pemimpin yang sesat dan menyesatkan itu membina pelbagai berhala dalam rupa bentuk dan pelbagai nama mengikut kecintaan dan kegilaan yang wujud dalam masyarakat jahiliah.

Mereka mengumpulkan pengikut dan berbangga dengan berhala mereka serta terus berada dalam kesesatan.

Firman Allah SWT: Dan sesudahnya mereka menyesatkan kebanyakan (manusia); dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kesesatan.

Ibn al-Jauzi berkata: Ada dua tafsiran ulama:

n Berhala-berhala telah menyesatkan ramai manusia dengan menyembahnya.

n Pembesar mereka telah menyesatkan ramai manusia.

Al-Mawardi berkata: Berkenaan dengan orang zalim menjadi bertambah sesat ada dua tafsiran:

n Kecuali dengan azab. Inilah pendapat Ibn Bahr.

n Kecuali fitnah dengan harta dan anak.

Ibn Kathir berkata: Iaitu semua berhala yang mereka sembah telah banyak menyesatkan orang ramai.

Sembahan berhala itu masih lagi berlanjutan sehingga zaman sekarang ini seperti terdapat di negeri Arab dan selain Arab serta seluruh lapisan manusia.

Syed Qutub berkata: Sebagaimana yang dilakukan oleh setiap pemimpin yang sesat meminta orang ramai menyembah berhala seperti batu, tokoh dan ideologi semuanya mempunyai tujuan yang sama iaitu menghalang dakwah Allah SWT dan menjauhkan orang ramai dan para pendakwah dengan pelbagai tipu daya yang besar.

Penutup

Di sini terdetiklah dalam hati Nabi Nuh a.s. untuk berdoa kepada Allah SWT: "Dan janganlah Engkau tambahkan sesuatu kepada orang-orang yang zalim selain kesesatan."

Itulah doa yang terbit daripada hati rasul yang berjuang sekian lama, menderita sekian banyak dan berusaha dengan segala cara dan akhirnya sedar tiada kebajikan dalam hati manusia yang zalim, pelampau dan degil.

Kisah ini sedikit sebanyak mengajar kita betapa pendakwah sentiasa menghadapi pelbagai tribulasi dan ujian dalam menyampaikan risalah Allah SWT.

Justeru, sewajarnya sentiasa bergantung kepada Allah, solat, berdoa, beriltizam dan membina jaringan hubungan ukhuwah Islamiah sesama pendakwah dan juga mereka yang mempunyai kuasa dan ilmu.