Like Blog Ini...

Wednesday, October 17, 2012

Kelebihan Zulhijjah

SOALAN:

BULAN Zulhijjah itu terkandung dalam empat bulan-bulan yang haramkan ustaz? Pun begitu pada bulan ini, terutamanya Zulhijjah ibadah yang dilakukan pada hari-hari itu memiliki kelebihan tertentu di sisi Allah SWT. Tolong ustaz jelaskan?

JAWAPAN:

PADA saat ini kita tengah berada di penghujung bulan Zulkaedah. Beberapa hari lagi akan masuk ke bulan Zulhijjah. Mungkin tidak ramai daripada kalangan kita yang menyedari kelebihan bulan Zulhijjah, terutama 10 hari yang pertama.

Oleh itu, ada baiknya saya membincangkan kelebihan 10 hari pertama bulan Zulhijjah pada kesempatan kali ini.

Perkara pertama yang mesti kita sedari, bulan Zulhijjah adalah salah satu dari bulan-bulan haram. Allah SWT berfirman: Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah 12 bulan dalam ketetapan Allah apabila menciptakan langit dan bumi. Di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus. Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu. (al-Taubah: 36)

Empat bulan haram itu adalah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Sejak zaman Jahiliah, bangsa Arab mengharamkan berperang pada bulan-bulan haram ini. Hukum ini juga berlaku pada awal Islam, namun kemudian hukum itu dimansuhkan. Allah SWT mengizinkan kaum Muslimin membela diri atau menyerang musuh pada bila-bila masa meski pada bulan-bulan haram sekalipun.

Meskipun begitu, empat bulan haram ini tetap memiliki keistimewaan berbanding bulan-bulan yang lain, iaitu pahala dan dosa yang dilakukan pada bulan-bulan ini akan digandakan balasannya. Demikian penjelasan Imam Al-Baihaqi dalam kitab Syu'ab Al-Iman.

Pahala

Kemuncak bulan-bulan haram adalah Zulhijjah. Kemuncak Zulhijjah terdapat pada 10 harinya yang pertama. Ibadah yang dilakukan pada hari-hari itu memiliki kelebihan tertentu di sisi Allah SWT.

Imam Al-Bukhari meriwayatkan sabda Rasulullah SAW: "Tidak ada hari-hari di mana amal saleh padanya yang lebih Allah cintai daripada (amalan yang dilakukan) pada hari-hari ini, yakni 10 hari pertama bulan Zulhijjah."

Seorang sahabat bertanya: "Tidak juga jihad di jalan Allah?"

Rasulullah SAW menjawab: "Tidak juga jihad di jalan Allah. Kecuali seseorang yang keluar dengan jiwa dan hartanya lalu tidak kembali lagi."

Menurut Ibnu Rajab Al-Hanbali, hadis ini menjadi dalil bahawa sebuah amalan kecil yang dilakukan pada saat-saat tertentu boleh menjadi lebih baik daripada amalan besar yang dilakukan pada saat-saat yang lain.

Ibadah solat, puasa dan zikir yang kita lakukan pada 10 hari awal Zulhijjah ini pahalanya boleh melebihi amalan jihad yang dilakukan pada hari-hari yang lain.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121016/ba_03/Kelebihan-Zulhijjah#ixzz29XsxqFct
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pengiktirafan kepada pendidikan tahfiz

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

SEBAGAI satu pengiktirafan terhadap pendidikan tahfiz al-Quran di negara ini, kerajaan telah memperkenalkan satu skim biasiswa baru yang dikenali sebagai Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) untuk para pelajar lepasan tahfiz yang telah mendapat tawaran melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Sebanyak 97 bekas pelajar tahfiz dari Institut Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti telah menerima skim tersebut yang keseluruhannya bernilai RM450,000 (RM20,000 - RM30,000 setiap seorang), baru-baru ini.

Ini menjadikan mereka sebagai kumpulan pelajar pertama menerima skim daripada kerajaan bagi membantu menampung kos pengajian mereka sehingga mendapat ijazah.

Majlis penyerahan surat tawaran SPH telah dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di bangunan Perkim, Kuala Lumpur yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha dan Pengarah Institut Darul Quran, Paimuzi Yahya.

Penerima SPH itu terdiri daripada 73 pelajar yang akan melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di beberapa buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terutamanya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Sebanyak 24 orang pelajar lagi merupakan mereka yang akan melanjutkan pengajian di beberapa buah universiti di Jordan.

Dalam ucapan perasmiannya, Jamil Khir berkata, skim itu telah dicadangkan oleh Jakim kepada mesyuarat Majlis Kebangsaan Islam yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut dihadiri oleh menteri-menteri dan menteri-menteri Besar.

"Mereka akhirnya setuju untuk melaksanakan SPH sebagai salah satu pengiktirafan kerajaan dan penduduk Malaysia terhadap pendidikan tahfiz di negara ini dan sebagai satu faktor galakan supaya lebih ramai lagi anak-anak muda kita mencintai al-Quran dan menjadi Ahlul Quran," katanya.

Jamil Khir berharap para penerima SPH tidak sahaja mensyukuri pemberian itu sebagai satu nikmat dari Allah, tetapi memanfaatkan sebaik-baiknya.

Katanya, mereka juga hendaklah menjadi pelajar contoh dengan mengekalkan ketinggian akhlak, sahsiah dan keperibadian sesuai sebagai pelajar yang mempunyai kelebihan dalam pengajian dan menghafaz al-Quran.

"Kita tidak bercadang menjadikan kumpulan pelajar ini sebagai satu bahan uji kaji bagi memastikan SPH benar-benar mencapai maksud dan matlamatnya, tetapi jika itu yang berlaku kita khuatir tidak ada selepas ini pelajar yang akan menerima skim ini lagi.

"Akibat tidak amanah dengan pemberian yang ditawarkan pada hari ini menyebabkan pelajar lain akan tersekat peluang untuk memiliki skim ini pada masa akan datang," tegas beliau.

Sebanyak 287 permohonan diterima dan akhirnya 97 pelajar terpilih, berdasarkan pencapaian tinggi dalam keputusan peperiksaan, latar belakang keluarga dan penglibatan aktif dalam persatuan dan gerak aktiviti pelajar sepanjang berada di Institut Darul Quran yang terletak di Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor.

Melalui SPH, para pelajar akan menerima bayaran RM700 hingga RM800 setiap bulan sehingga tamat tempoh pengajian di universiti dan keutamaan diberikan kepada mereka yang melanjutkan pengajian di bidang agama dan al-Quran.

"Di masa akan datang kita bercadang meluaskan pemberian skim ini kepada mereka yang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana mahupun Ijazah kedoktoran dan mereka yang mengambil pengajian di pelbagai bidang akademik lain selain agama," kata Jamil Khir.

Para penerima tidak perlu lagi membuat permohonan untuk mendapatkan pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPN) bagi menampung kos pengajian malah mereka juga tidak perlu membayar semula atau terikat dengan syarat untuk berkhidmat dengan mana-mana pihak selepas tamat pengajian.

Namun difahamkan rekod pengajian mereka akan sentiasa dipantau sepanjang tempoh pengajian bagi memastikan skim ini benar-benar melahirkan para pelajar terbaik di universiti.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121017/ba_03/Pengiktirafan-kepada-pendidikan-tahfiz#ixzz29XmsVc8P
© Utusan Melayu (M) Bhd

Waspada pesona harta

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

HARTA adalah merupakan anugerah Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Sebagaimana kurniaan dan anugerah yang lain, harta yang diperoleh oleh seseorang itu sebenarnya adalah ujian daripada Allah SWT.

Walaupun harta tersebut berada dalam pemilikan kita, namun ia bukanlah bermakna harta tersebut boleh digunakan dan dibelanjakan sewenang-wenangnya.

Ia bukanlah milik mutlak yang mendatangkan kebebasan kepada kita untuk mendapatkannya dan membelanjakannya mengikut kehendak hati tanpa adanya pertimbangan dustur Ilahi.

Mengetahui sifat manusia yang sangat cintakan harta, maka Allah SWT membenarkan aktiviti atau kegiatan perolehan harta dan perbelanjaannya. Akan tetapi, ia tidak terhenti setakat itu sahaja.

Di samping kebenaran memanfaatkan harta, Allah SWT mendatangkan beberapa sekatan dan batasan agar manusia dapat menggunakan harta tanpa membinasakan dirinya dan tidak mendatangkan kerosakan kepada manusia yang lain.

Oleh yang demikian, dalam kita mencari dan membelanjakan harta, kita tidak harus sama sekali membelakangi wahyu Allah SWT yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah. (rujuk al-Munafiqun: 9)

Dalam ayat tersebut, Allah SWT telah memberikan amaran kepada orang-orang yang beriman supaya berhati-hati dengan harta kerana ia dapat melalaikan mereka daripada peringatan Allah SWT. Jelas di sini menunjukkan bahawa Allah SWT memberikan keizinan kepada manusia untuk berusaha memperoleh harta. Namun mereka perlu mengawasi diri mereka daripada terlalai dan terleka.

Golongan yang dilalaikan dengan harta boleh dilihat daripada beberapa sudut. Golongan pertama, harta boleh melalaikan manusia dalam konteks hubungan dengan Allah SWT. Golongan yang pertama ini biasanya terdiri daripada orang-orang yang telah menyibukkan dirinya mengejar harta sehingga tidak sempat untuk menunaikan kewajipan kepada Allah SWT.

Ada di kalangan mereka yang meremeh-temehkan solat sehingga sanggup mengerjakannya di akhir waktu dengan alasan perlu mendahulukan janji temu dengan pelanggan dan sebagainya. Sebahagiannya terlepas waktu solat kerana asyik bermesyuarat atau sibuk melayan pelanggan sehingga luput waktu solat.

Sebahagiannya pula ada yang pulang ke rumah pada lewat malam kerana meraikan hari jadi pelanggan di kelab-kelab sehingga terlepas solat Subuh kerana badan yang terlalu letih.

Ada pula yang asyik menangguhkan amalan fardu haji walaupun dirinya sudah lama memenuhi syarat wajib melakukan haji. Namun, berkali-kali haji ditangguhkan kerana memikirkan keuntungan perniagaan yang akan terlepas sekiranya pergi menunaikan haji.

Apabila mereka sudah lalai daripada mengingati Allah SWT, maka bukan sahaja hati mereka tidak tenteram, bahkan rumah-rumah mereka tidak damai dan harmoni kerana sunyi daripada ingatan dan zikir kepada Allah SWT. (rujuk an-Nur: 37)

Golongan kedua yang dilalaikan dengan harta ialah dalam konteks hubungan dengan manusia. Golongan ini sanggup untuk menganiaya orang lain dengan melakukan penipuan dan pengkhianatan semata-mata untuk mengejar keuntungan duniawi. Sedangkan Allah SWT memerintahkan manusia menjaga harta orang lain sebagaimana dia menjaga dan memelihara hartanya sendiri. Sekiranya dia tidak rela dan tidak sanggup hartanya diambil secara zalim, begitu juga seharusnya perasaannya kepada harta orang lain.

Nabi SAW bersabda: Setiap orang Muslim ke atas Muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya. (riwayat Muslim)

Golongan ini juga melupakan tanggungjawab terhadap manusia yang memerlukan bantuan dan pertolongan. Lalu mereka enggan untuk membayar zakat dan memberi sumbangan kepada fakir miskin kerana ia dianggap sebagai kerugian besar.

Sedangkan Nabi SAW telah memberikan jaminan bahawa harta yang disedekahkan dan didermakan akan mendatangkan keberkatan kepada kehidupan si pemberi.

Sabda Rasulullah SAW: Tidak akan dikurangkan harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya. (riwayat Muslim)

Orang-orang yang sanggup untuk memberikan sumbangan hartanya pada jalan Allah SWT sebenarnya telah berjaya melalui satu ujian dalam kehidupannya.

Hakikatnya, Allah SWT menjadikan kemiskinan untuk menguji si miskin, sama ada reda dan sabar dengan ketentuan-Nya itu. Si miskin juga akan diuji, sama ada dia sanggup mencari pendapatan yang haram untuk mengatasi kemiskinannya.

Allah SWT juga mencipta kekayaan kerana ingin menguji si kaya adakah dia bersyukur dan membantu si miskin.

Lantaran itu, Allah SWT berfirman: Sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (al-Taghabun: 16)

Golongan ketiga yang dilalaikan oleh harta ialah dalam konteks dirinya sendiri. Mereka gagal mengawal diri mereka daripada penyakit hati seperti tamak, hasad dengki, dendam dan sebagainya. Bahkan, mereka menjadi sombong dan ego sehingga menganggap dirinya melebihi orang lain daripada segala sudut. Lalu mereka bermegah-megah dengan hartanya sehingga membelanjakan hartanya bukan untuk keperluan, sebaliknya ia adalah untuk menunjuk-nunjuk akan status dan kekayaan mereka. (rujuk al-Taghabun: 16)

Kesimpulannya, terdapat tiga ancaman harta kepada kita iaitu dalam konteks hubungan dengan Allah SWT, hubungan dengan manusia yang lain dan terhadap diri sendiri. Marilah sama-sama kita menjaga diri agar tidak termasuk dalam mana-mana kelompok ini. Berwaspada agar diri tidak terlalu terpesona dengan harta sehingga kelalaian itu makin meningkat dan akhirnya menyesal apabila maut menjelang tiba.

l WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN adalah daripada Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121017/ba_01/Waspada-pesona-harta#ixzz29XmdlQcT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tuesday, October 16, 2012

Keutamaan Jumaat

Oleh AMINUDIN MANSOR

DALAM kehidupan sehari-hari, umat Islam harus melaksanakan segala kewajipan dan tanggungjawab, baik kewajipan seorang hamba terhadap Allah mahupun tanggungjawab sesama insan.

Sebagai manusia, kita sering terlepas pandang akan hakikat kehidupan dalam menjalankan segala perintah Allah dan meninggalkan segala yang dilarang-Nya. Sehingga dalam menjalankan tanggungjawab terhadap Allah dan sesama manusia, semuanya menjadi tidak stabil dan harmoni.

Sebagai contoh keutamaan hari Jumaat kepada umat Islam. Rasulullah SAW telah menjelaskan kepada umatnya tentang keutamaan hari Jumaat. Malah turut menegaskan tingginya kedudukan hari tersebut berbanding dengan hari-hari lain.

Sebagaimana baginda menceritakan tentang kemurahan, keberkatan dan kurnia yang diberikan oleh Allah SWT pada hari itu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Kita (ini adalah kaum) yang terakhir (dikeluarkan oleh Allah tetapi kita) akan mendahului (kaum-kaum yang lain) pada hari Kiamat nanti, hanya sahaja mereka lebih dahulu mendapatkan kitab sebelum kita. Lalu (hari Jumaat) ini adalah hari yang diwajibkan bagi mereka (untuk beribadah kepada Allah) tetapi mereka berselisih pendapat tentang hari itu, kemudian Allah SWT memberikan petunjuk pada kita (tentang hari tersebut). Maka orang-orang pun menjadi pengikut kita dalam hal ini, (menjadikan hari Jumaat sebagai patukan hari ibadah mereka), orang-orang Yahudi mengambil keesokan harinya (Sabtu), sementara orang-orang Nasrani pada hari (Ahad). (riwayat al-Bukhari, Muslim dan an-Nasa'i).

Dalam hadis lain, Baginda juga bersabda: Sebaik-baik hari yang pada saat itu terbit matahari adalah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan, pada hari itu dia dimasukkan ke dalam syurga dan pada hari itu pula dia dikeluarkan dari syurga, dan tidak akan terjadi kiamat kecuali pada hari Jumaat. (riwayat Ahmad, Muslim dan at-Tirmidzi).

Jelaslah hari Jumaat sebagai penghulu hari dan hari yang penuh keberkatan kepada umat Islam.

Sementara dalam hadis yang lain baginda bersabda: Solat lima waktu, juga hari Jumaat (yang satu) ke hari Jumaat (yang lain) akan dapat menghapuskan dosa-dosa yang ada waktu-waktu tersebut (dengan syarat) apabila dosa-dosa besar tidak dilakukan. (riwayat Ahmad dan Muslim).

Selain itu, Rasulullah SAW telah memberikan kepada umatnya bahawa pada hari Jumaat itu ada waktu mustajab untuk berdoa, dan bahawa seorang Islam akan mendapat ganjaran yang besar apabila dia lebih awal mendatangi solat Jumaat.

Larangan

Daripada Ibnu Umar dan Abu Hurairah r.a, kedua-duanya mendengar Rasulullah SAW bersabda dari atas mimbar yang bermaksud: Akan berhenti orang-orang itu meninggalkan solat Jumaat atau Allah akan mengunci dan menutup hati mereka, lalu mereka pasti akan termasuk kelompok orang-orang yang lalai. (riwayat Muslim).

Kewajipan solat Jumaat juga disebutkan oleh Allah dalam al-Quran firman-Nya yang bermaksud: Apabila diseru untuk solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kalian kepada mengingati Allah dan tinggalkan jual beli.

Diriwayatkan juga dari Abul Ja'ad adh-Dhumari r.a, Nabi SAW bersabda: "Barang siapa meninggalkan solat Jumaat kerana mengambil mudah (malas) tanpa ada alasan (yang dapat diterima) nescaya Allah SWT akan menutup hatinya." (riwayat Ahmad, at-Tirmidzi dan an-Nasa'i).

Rasulullah SAW juga telah menganjurkan kepada para sahabat dan menyuruh mereka agar memperbanyak membaca selawat untuk baginda pada hari Jumaat. Selain itu, baginda juga menganjurkan para sahabat membaca surah al-khafi pada hari tersebut.

Seterusnya Rasulullah SAW juga memerintahkan dan menekankan kepada para sahabat supaya mandi pada hari Jumaat. Diriwayatkan daripada Umar bin Khattab r.a, bahawa ia berkata: Tidakkah kalian mendengar Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya; Apabila akan pergi seseorang di antara kalian ke solat Jumaat maka hendaklah kalian mandi. (riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud).

Daripada al-Farisi r.a dari Nabi SAW bersabda: Tidaklah seseorang itu mandi pada hari Jumaat dia bersuci sebaik mungkin, kemudian memakai sedikit dari minyaknya atau memakai sedikit dari minyak wangi yang ada di rumahnya kemudian ia keluar (ke masjid) dan tidak memisahkan antara dua orang, lalu dia melakukan solat yang disyariatkan padanya, tentu dia akan mendapat pengampunan (terhadap dosa) yang ada di antara Jumaat itu ke Jumaat yang akan datang. (riwayat al-Bukhari).

Sesungguhnya Ibnu Umar r.a telah memotong kuku dan kumisnya setiap kali hari Jumaat sebagai penghormatan beliau terhadap hari tersebut. Riwayat ini telah diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dalam al-Kubra (3/344) dengan sanad hasan.

Kesimpulannya, hari Jumaat adalah hari istimewa yang sarat dengan maghfirah dan ampunan daripada Allah. Dalam hal ini, Rasulullah SAW sebagai utusan Allah, telah memberi banyak petunjuk tentang amalan di hari Jumaat dan malam hari-harinya.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121012/ba_07/Keutamaan-Jumaat#ixzz29S2l4o6y
© Utusan Melayu (M) Bhd