Like Blog Ini...

Sunday, November 18, 2012

Kerana hutang, syurga terhalang

Soalan

ADIK saya pernah meminjam wang kepada saya. Sebagai abang, tentu sahaja saya memberikan pinjaman kepadanya. Namun yang jadi masalah: Dia sangat liat membayar kembali hutang itu. Puas saya menunggu dan merayu, tapi dia tak memberinya juga.

Masalahnya dia bukannya tidak mampu membayar. Saya lihat pakaian anak dan isterinya berjenama. Baju dan kasut mereka, bahkan lebih mahal daripada yang dipakai anak-anak saya sendiri. Dia pernah berkata: "Awak dah kaya. Saya tak wajib bayar hutang kepada awak." Betulkah ucapan sebegini?

Jawapan

Ucapan seperti ini tentu sahaja tidak benar. Hutang seberapa kecil pun tetap wajib dibayar meskipun pemilik hutang itu seorang jutawan yang kaya raya.

Sebagai agama yang menjunjung keadilan, Islam sangat menghormati hak milik seseorang. Ia melihatnya sebagai sesuatu yang suci. Tiada siapa yang boleh mengambil milik orang lain tanpa kerelaan hati daripadanya.

Daripada Abu Humaid Al-Saidi, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak halal bagi seseorang mengambil walau sebatang tongkat milik saudaranya tanpa kerelaan hati daripadanya." Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam Sahih-nya.

Islam juga melihat sikap enggan membayar hutang adalah satu bentuk kezaliman. Pelakunya sangat dibenci oleh Allah, Rasulullah SAW dan seluruh manusia.

Baginda SAW bersabda: Menangguh hutang padahal mampu membayarnya adalah satu kezaliman. Maka halal menghukumnya dan (memburukkan) namanya. (riwayat Al-Bukhari)

Maksud hadis ini, kita boleh mengadukan orang yang enggan membayar hutang kepada hakim untuk diambil tindakan ke atasnya. Dan mendedahkan sifat buruk orang ini bukan termasuk mengumpat yang diharamkan.

Bahaya hutang

Islam melihat hutang sebagai sesuatu yang berat. Oleh itu, umat Islam dianjurkan untuk menghindari hutang sedaya mungkin. Jangan berhutang kecuali sangat terpaksa seperti membeli rumah yang sukar dibayar secara tunai. Itu pun mesti bersesuaian dengan kemampuan diri dan tidak berlebihan.

Adapun berhutang hanya untuk tampil bergaya dan menunjuk-nunjuk, maka kebiasaan ini sangat buruk. Islam menyebut sikap ini sebagai takalluf (memaksa diri di luar kemampuan). Dan orang yang takalluf akan selalu hidup dalam seksaan.

Hutang akan membuat kita hidup dalam ketakutan. Setiap kali keluar rumah, kita khuatir berjumpa dengan penagih hutang. Kita juga takut menjawab panggilan telefon. Khuatir panggilan itu berasal dari si penagih hutang. Sungguh penat hidup seperti ini.

Itu sebabnya Nabi SAW selalu berdoa agar dihindarkan daripada hutang. Siti Aisyah berkata: "Doa yang selalu dibaca Nabi SAW dalam solat adalah: Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan hutang."

Seorang sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, mengapa tuan selalu berlindung daripada hutang?"

Baginda menjawab: Sesungguhnya orang berhutang jika ia berkata, ia akan berdusta. Dan jika ia berjanji, ia tidak menepati janjinya. (riwayat al-Bukhari)


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121106/ba_04/Kerana-hutang-syurga-terhalang#ixzz2CYsER9uz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Budaya wasatiyyah

WASATIYYAH ialah perkataan dalam bahasa Arab berasal daripada perkataan wasat dan wusta yang boleh diertikan dengan adil, terbaik, sederhana, seimbang dan pertengahan. Terdapat beberapa rujukan ayat-ayat al-Quran bagi memahami maksud wasat secara lebih jelas tentang konsep sebenar wasatiyyah. (rujuk al-Baqarah: 143)

Tafsiran kedua boleh dirujuk melalui surah al-Baqarah ayat 238). Wusta dalam konteks ayat ini menurut pandangan ulama tafsir adalah dari sudut bahawa solat Asar itu adalah terbaik dan mempunyai kelebihan, pertengahan dari segi bilangan dan waktu. Tafsiran ketiga pula ialah melalui surah al-Qalam ayat 28.

Analisis rangkuman daripada ketiga-tiga ayat di atas, bolehlah disimpulkan bahawa wasatiyyah bermaksud adil, baik, pertengahan, seimbang dan sederhana.

Dalam konteks kerajaan, penghayatan terhadap konsep ini sebenarnya bukanlah satu idea baru, malah ia adalah pelengkap dan kesinambungan kepada dasar-dasar Islam yang telah dahulu diperkenalkan seperti Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam, Pendekatan Islam Hadhari dan sebagainya.

Merujuk ayat 143, surah al-Baqarah yang menyebut perkataan ummatan wasata, beberapa kitab tafsir cenderung membahaskannya dari sudut pengertiannya sebagai adil, baik, pertengahan dan sederhana. Sebagai contoh, Imam Fakr al-Din al-Razi dalam kitab tafsirnya menghuraikan wasatiyyah itu daripada pelbagai dimensi.

Adil dianggap sebagai pertengahan di antara dua keadaan iaitu antara melampau dan mencuaikan. Begitu juga dianggap adil dan pertengahan sebagai pengimbang di antara dua pihak atau unsur yang bertentangan.

Penjelasan ini bertepatan dengan maksud ayat seterusnya yang menyebut agar adil itu menjadi sifat kepada umat Islam supaya layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia lain akan kebaikan Islam.

Daripada dimensi yang lain, al-Razi juga menjelaskan wasatiyyah dalam hal agama iaitu keseimbangan di antara dua keadaan terlalu ekstrem dan terlalu mencuaikan, maka kesederhanaan itu yang menjadi keutamaan.

Beliau menjelaskan bahawa umat Islam seharusnya bersederhana dan lebih seimbang dalam beragama, lantaran tidak terlalu melampau seperti contoh penganut Nasrani yang mengaitkan Nabi Isa sebagai anak Tuhan, manakala penganut Yahudi pula membunuh para nabi dan penyelewengan kitab mereka.

Berdasarkan analisis ini, penulisan ini lebih cenderung dalam mengaitkan wasatiyyah itu dengan konsep adil dan bersederhana. Pada masa sama menolak sebarang unsur kezaliman dan berlebih-lebihan.

Konsep ini apabila dipegang dan diamalkan, mampu untuk membentuk ummah yang progresif, bersatu padu dan menjunjung nilai persefahaman antara satu sama lain.

Banyak ayat-ayat al-Quran menekankan kepada konsep bersederhana dan tidak melampau dalam melakukan sesuatu pekerjaan. (rujuk Hud: 112). Ayat ini menjelaskan konsep istiqamah dalam melaksanakan sesuatu perbuatan.

Al-Qurtubi dalam tafsirnya al-Jami Li Ahkam al-Quran menyatakan bahawa istiqamah dalam ayat bermaksud berterusan dalam mendirikan segala perintah Allah kepada manusia dan dalam masa yang sama, manusia diberi amaran untuk tidak bersikap melampaui batas dalam beramal. Dibimbangi akan mendatangkan kesan yang tidak baik seperti penat, jemu dan sebagainya.

Perkaitan di antara larangan melampaui ini dengan menolak kezaliman disusun cantik oleh Allah SWT dalam ayat seterusnya.

Kedua-dua ayat ini saling berkaitan antara satu sama lain kerana ia nampak sinonim dalam mengaitkan hubungan membentuk budaya bersederhana dan menjauhi kezaliman agar sentiasa berada dalam kebaikan secara berterusan.

Wasatiyyah itu dijunjung dalam kerangka menjadikan keadilan itu sebagai neraca pertimbangan kerana adil itu sendiri memberi maksud meletakkan sesuatu itu kena dan wajar pada tempatnya. (rujuk al-Maidah: 8 dan al-Nahl: 90)

Pemahaman terhadap Maqasid al-Syariah atau objektif di sebalik pensyariatan sesuatu hukum juga mesti diketahui untuk mengelakkan daripada beramal secara membuta-tuli. Kegagalan umat Islam memahami objektif syarak itulah di antara punca salah konsep dalam beramal dan mendatangkan kecelaruan kepada ummah.

Untuk menuju kepada kesederhanaan beramal, amat perlu diberi penekanan kepada kefahaman jitu di antara tuntutan fardu ain dan fardu kifayah serta antara wajib dan sunat. Kesemua konsep ini perlu difahami dan diketahui sebagai langkah awal menyusun keutamaan dalam beribadat secara konsisten dan mengelakkan beramal secara melampau.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121115/ba_04/Budaya-wasatiyyah#ixzz2CYs6DBLm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kebersihan diri kesucian hati

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

ISLAM adalah agama yang sangat mementingkan kebersihan dan kecantikan. Bahkan di sisi Islam orang yang menjaga kebersihan itu adalah mereka yang mempunyai iman yang tinggi. Umat Islam perlu menjaga ketrampilan dan penampilan diri agar sentiasa kelihatan anggun dan hebat selari dengan garis panduan yang telah ditetapkan dalam al-Quran, as-Sunnah dan ijtihad para ulama yang muktabar. Nabi Muhammad SAW adalah contoh yang terbaik untuk kita jadikan ikutan dalam menekankan aspek kebersihan dan kesucian, khususnya berkaitan penampilan diri dan berpakaian.

Sekiranya kita meneliti hadis-hadis berkaitan dengan pakaian Rasulullah SAW, kita akan mendapati bahawa baginda amat suka memakai pakaian yang berwarna putih. Warna putih menampakkan kebersihan dan kesucian, walaupun baginda tidak melarang untuk memakai pakaian berwarna lain.

Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Hendaklah kalian mengenakan pakaian yang berwarna putih. Orang-orang yang masih hidup antara kalian hendaklah mengenakan pakaian berwarna putih. Dan orang-orang yang telah meninggal dunia, hendaklah dikafankan dengan kain yang berwarna putih. Sesungguhnya, pakaian yang berwarna putih itu merupakan bahagian pakaian yang paling baik." (riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)

Pakaian baginda bukan sahaja amat bersih malah sangat kemas dan wangi. Walaupun mempunyai pakaian yang terhad dan sederhana harganya, ia tidak langsung menjadi alasan untuk baginda memakai pakaian yang kotor dan tidak kemas.

Baginda amat menjaga tubuh badan Baginda agar sentiasa dalam keadaan sihat dan bertenaga. Paling penting, orang-orang yang berada di sekeliling merasa selesa bersama baginda.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jika tidak menyusahkan ke atas umatku, aku ingin menyuruh mereka bersugi setiap kali mereka hendak melakukan solat. (riwayat Muslim)

Anas ra pula meriwayatkan: Aku tidak pernah menghidu wangian anbar, kasturi dan apa jua wangian yang lebih wangi daripada bau Rasulullah SAW. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikianlah beberapa kaedah menjaga penampilan diri yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Di samping kebersihan pakaian dan imej luaran ini, Islam juga amat mementingkan kebersihan dan kesucian hati. Hal ini kerana individu Muslim yang berjaya menyucikan hatinya, pasti akan memelihara zahir dan batinnya daripada melanggar perintah Allah SWT.

Peranan hati sangat penting dalam kehidupan manusia, khususnya dalam menentukan sikap dan perilaku. Nabi Muhammad SAW bersabda: Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota. Dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggota, ketahuilah itulah hati. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Individu yang bersih hatinya, akan menjaga tutur katanya agar tidak mengguris perasaan orang lain. Apa sahaja yang diungkapkan melalui lidahnya akan menggembirakan hati orang lain dan menambahkan manfaat dalam kehidupan dunia dan akhirat. Orang yang bersih hatinya akan berfikir sebelum berkata-kata. Dia juga akan menjaga hatinya daripada perasaan-perasaan keji seperti bongkak, iri hati, dendam dan sebagainya.

Dia juga akan merasa senang dengan kejayaan orang lain di samping meningkatkan prestasi diri agar beroleh kejayaan yang sama.

Di samping itu, dia akan merasa susah dengan kesusahan yang dialami oleh orang lain dan berusaha untuk membantu menyelesaikan masalahnya, bukan memberatkan lagi bebanan tersebut.

l WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN adalah daripada Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121107/ba_01/Kebersihan-diri-kesucian-hati#ixzz2CYrEdzM6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Memupuk sifat tawaduk

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

SESEORANG individu yang beriman pastinya akan memahami tentang tugasnya sebagai khalifah Allah di atas muka bumi. Setiap rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepadanya, akan dianggap sebagai amanah yang perlu digunakan untuk kepentingan menjaga agama dan mentadbir dunia dengan agama.

Anugerah Allah SWT tersebut hanyalah sementara dan tidak akan kekal selama-lamanya. Harta yang banyak, pangkat yang tinggi dan rupa paras yang cantik hanyalah diberikan Allah SWT sebagai ujian kepada manusia.

Semua kenikmatan ini tidak akan dapat menjadi bekal untuk 'membeli' syurga Allah melainkan sekiranya ia digunakan dengan mengikut landasan yang betul berdasarkan pertimbangan agama.

Orang yang beriman akan menyedari bahawa harta yang ada padanya adalah jauh lebih sedikit berbanding dengan harta yang dimiliki oleh Allah yang menguasai alam semesta ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang. (al-Isra': 37)

Oleh itu, manusia yang beriman pastinya tidak akan merasa sombong dan bongkak di atas segala kurniaan Allah tersebut. Dia tidak akan membangga diri, mendabik dada dengan menyatakan bahawa dia mempunyai kelebihan berbanding orang lain. Dia tidak akan memandang rendah terhadap orang miskin dan tidak memandang sepi terhadap orang yang lemah.

Bahkan, manusia yang beriman akan sentiasa bersyukur dan memohon ampun kerana bimbang pangkat dan harta yang diperoleh olehnya itu akan menjadi fitnah kepadanya dan akan menyusahkannya di akhirat kelak.

Masyarakat jahiliah sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW adalah antara golongan yang terlalu ego dan sombong. Mereka sanggup menolak ajaran Rasulullah SAW walaupun mengetahui kebenaran yang dibawa oleh Baginda SAW.

Sifat sombong dan ego ini diperangi oleh Nabi SAW sepanjang hayatnya. Namun, setelah kewafatan Baginda Rasulullah SAW dan masa telah berlalu, manusia akhirnya kembali balik kepada perangai jahiliah tersebut.

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: Allah Azzawajalla berfirman, Kemuliaan adalah sarungku dan kesombongan itu adalah selendangku, sesiapa yang mencabut daripadaku salah satu daripada keduanya nescaya Aku akan menyeksanya. (riwayat Muslim).

Segala kepujian dan sifat kebesaran hanya menjadi milik Allah SWT. Oleh itu, Allah memberi peringatan bahawa tiada sesiapapun daripada kalangan makhluk-Nya yang layak memakai mana-mana sifat itu melainkan Dia.

Setiap Muslim hendaklah sentiasa tawaduk (merendah diri), dan bersikap sederhana. Tawaduk bukannya bermaksud berjalan dalam keadaan terbongkok-bongkok seolah-olah orang sakit seperti yang banyak dilakukan oleh orang yang mengaku soleh dan bertakwa.

Ini adalah kerana Nabi SAW tidak mendidik kita berbuat sedemikian. Bahkan diriwayatkan oleh Ali bahawa Nabi SAW berjalan seolah-olah seperti meniti jalan menurun. Ini adalah cara berjalan orang yang penuh dengan semangat dan keberanian.

Sombong pula maksudnya menolak kebenaran dan menganggap remeh segala yang lain. Orang yang sombong akan berasa dirinya lebih baik, pintar, kaya dan hebat seperti Firaun, Qarun dan Abu Jahal yang bersikap angkuh, tidak mahu menerima kebenaran.

Orang yang sombong sebenarnya adalah mereka yang terpedaya dengan nikmat sementara yang dikurniakan Allah SWT sehingga lupa kepada nikmat hakiki di akhirat kelak.

Dalam surah Luqman, ayat 18 Allah melarang kita bersikap sombong sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Dan janganlah engkau memalingkan muka daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah engkau berjalan di muka bumi ini dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.

l WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN adalah daripada Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121113/ba_01/Memupuk-sifat-tawaduk#ixzz2CYr5FQTy
© Utusan Melayu (M) Bhd