Like Blog Ini...

Saturday, October 11, 2008

Kejadian Hawa

(DAN Allah berfirman): Hai Adam, bertempat tinggallah kamu dan isterimu di syurga serta makanlah olehmu berdua (buah-buahan) di mana sahaja yang kamu sukai dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini, lalu jadilah kamu berdua termasuk orang-orang zalim. (al-A'raaf: 19)

WALAUPUN Allah memberi Nabi Adam tempat di dalam syurga yang indah dan makanan yang lazat, tetapi sayangnya Nabi Adam tinggal di syurga seorang diri dan sebatang kara. Setiap hari Nabi Adam melalui hari-hari yang penuh dengan kesepian. Tiada tempat untuknya meluahkan suka, duka, kasih dan sayangnya.

Allah tahu kesepian yang dialami oleh Nabi Adam di dalam syurga yang indah itu. Allah sangat kasihan dan simpati melihat Nabi Adam. Oleh itu, Allah akan mencipta makhluk baru yang sama dengan Nabi Adam, tetapi jenis wanita. Tujuannya ialah menyempurnakan segala kekurangan dan kesepian dalam hidup Nabi Adam.

Makhluk yang diciptakan itu akan menjadi isterinya. Di samping itu juga untuk meramaikan makhluk di muka bumi bagi membentuk sejarah kebudayaan serta mengembangkan keturunan supaya menjadi lebih besar.

Sedang baginda termenung di bawah sepohon pokok, baginda ternampak sepasang burung sedang bergurau senda. Terdetik di hatinya serta berharap ada seorang teman yang boleh bercakap-cakap dengannya. Sedang asyik baginda memerhatikan burung itu, baginda pun rasa mengantuk dan terus tertidur. Di kala baginda tertidur itulah, Allah telah menciptakan manusia kedua, jenis wanita daripada tulang rusuk pendek yang terdapat di bahagian kiri tubuh Nabi Adam.

Setelah Nabi Adam bangun daripada tidur dan membuka matanya, baginda melihat seseorang berdiri di sisinya. Orang itu tidak pernah dilihat oleh Nabi Adam pun mempersilakannya duduk di sampingnya, dan lalu bertanya kepada orang itu, "Siapakah engkau dan siapa namamu?"

Wanita itu pun menjawab, "Aku adalah wanita dan belum tahu akan namaku sendiri."
Adam pun bertanya lagi, Kenapa kamu diciptakan?"

Dia menjawab, "Untuk menenangkan dirimu".

Mendengar kata-kata wanita itu, Nabi Adam sangat suka dan gembira. Nabi Adam pun memberi nama wanita itu 'Hawa'.

Selepas itu, Nabi Adam pun dikahwinkan dengan Hawa sambil disaksikan oleh Allah, para malaikat dan sekelian penghuni syurga. Kedua-duanya hidup bahagia dan girang di dalam syurga yang aman dan tenteram. Mereka boleh makan dan minum sepuas-puasnya kerana segala-galanya sudah tersedia dengan cukup di dalamnya.

lPetikan daripada buku Untaian 366 kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

Galakan membuat amal kebajikan

DAN dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat; dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahala di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan. (al-Baqarah: 110)

Huraian
Amal kebajikan yang dilakukan oleh manusia adalah hasil dari Iman kepada Allah SWT. Kemuncak keimanan ialah amalan atau kewajipan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Solat merupakan kemuncak ibadah seorang hamba kepada Allah SWT.

Solat melahirkan kekuatan jiwa muslim. Solat juga merupakan kekuatan dan benteng yang mampu mencegah seseorang muslim melakukan perbuatan keji dan mungkar. Solat yang cukup syarat akan mampu melahirkan akhlak yang mulia serta memberi ketenangan jiwa.

Kewajipan mengeluarkan zakat pula boleh membantu memantapkan ekonomi umat Islam di samping membersih dan memberi keberkatan dalam pemilikan harta dan kebajikan kaum fakir miskin.

Amal soleh tersebut bukanlah sesuatu yang sia-sia di sisi Allah. Bahkan Allah membalas setiap perbuatan baik yang dilakukan oleh hambanya dengan ganjaran setimpal.
Sesungguhnya Allah itu Maha Melihat perlakuan hambanya yang dilakukan seikhlas jiwa.

Kesimpulan
Lakukanlah ibadah hanya kerana Allah semata-mata. Setiap amal yang dilakukan dengan ikhlas dan mengharapkan reda Allah dilihat oleh Allah dengan Rahmat-Nya. Allah SWT menjanjikan ganjaran setiap amalan yang dilakukan oleh hambanya.

lDisediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Ibadat jangan sampai menyukarkan

SOALAN:
Ada orang berulang-kali pergi mengerjakan umrah dan ada juga yang setiap tahun walaupun umrah itu memadai dibuat sekali seumur hidup.
Dalam keadaan begini bukankah wang kegunaan umrah itu lebih afdal/ baik disedekahkan kepada fakir miskin atau pun surau/masjid yang pahalanya lebih meluas, berpanjangan dan berterusan kerana ramai orang dapat manfaat berbanding sedekah itu?

JAWAPAN:
Mengikut pandangan Dr. Yusof al-Qaradawi mengenai keperluan mengulangi ibadat umrah bagi mereka yang berkemampuan, beliau jelaskan bahawa dengan ulasan berikut.
Setiap muslim yang mukalaf perlu mengetahui tentang tuntutan yang bersifat fardu dalam Islam ke atasnya, terutama perkara yang berkaitan dengan rukun agama. Pada masa yang sama dia juga mengetahui bahawa ibadat-ibadat sunat jika dilakukan dapat menghampirkan dan mengundang kasih sayang Allah SWT.

Dalam sebuah hadis qudsi Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Tiada suatu pun yang dapat mendekatkan hambaku kepada-Ku seperti mana ibadat fardu mendekatkan seseorang itu kepada-Ku (dengan mengerjakan ibadat fardu seseorang itu menjadi lebih dekat kepada Allah ), dan tidaklah seorang pun dari kalangan hambaku yang melakukan amalan sunat sehingga aku menyukainya…" (riwayat al-Bukhari)

Sebelum seseorang hamba ingin melakukan sesuatu maka mestilah dia meletakkan asas syariah dan maqasidnya bagi kelakuannya. Ini amat perlu supaya setiap mukalaf itu dapat menilai keperluan dan kewajaran melakukan sesuatu amalan, termasuklah memahami fiqh awlawiyat (keutamaan).

Pertama: Sesungguhnya Allah tidak akan menerima ibadat sunat selagi mana tidak menunaikan ibadat wajib. Berdasarkan persoalan pertama ini barang siapa menunaikan ibadat haji sunat dan ibadat umrah sunat sedang dia tidak mengeluarkan zakat padahal dia wajib mengeluarkannya maka kedua-dua ibadat itu ditolak dan tidak diterima di sisi Allah SWT.

Ini kerana mereka yang dikurniakan Allah dengan limpahan rezeki yang banyak hendaklah terlebih dahulu membersihkan harta mereka sebelum harta itu digunakan untuk ibadat sunat.
Kedua: Allah SWT tidak akan menerima amalan sunat seseorang itu sekiranya membawa kepada haram. Ini kerana menyelamatkan diri daripada dosa adalah lebih utama daripada mencari pahala sunat. Ini berdasarkan kepada bilangan jemaah yang mengerjakan haji sunat dan umrah sunat yang boleh mengundang kepada masyaqqah (kesukaran), penyakit yang boleh berjangkit mudah merebak.

Sebab itu pengawalan bilangan jemaah perlu ada bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku, selain memberi peluang kepada yang belum menunaikannya.

Ketiga: Sesungguhnya menahan dan mengawal daripada sebarang fasad (kerosakan sama ada pada diri atau jemaah) adalah lebih utama daripada mengundang kebaikan. Lebih-lebih lagi jika kerosakan itu bersifat umum dan kebaikan itu bersifat khusus.

Keempat: Sesungguhnya pintu-pintu melakukan kebaikan sentiasa terbuka luas. Allah SWT tidak pernah menyempitkan peluang bagi hamba-hambanya melakukan kebajikan serta infak di jalan Allah.

Adapun seorang muslim yang peka dan prihatin kepada mujtamaknya pasti akan menyedari keperluan masyarakatnya. Jika mengulangi haji atau umrah boleh mengundang mudarat kepada jemaah lain, ada cara lain bagi seseorang itu mencari reda Allah dengan memanjangkan limpahan rezeki kepada orang yang lebih memerlukan.

Terdapat banyak hadis yang menggalakkan kita di antaranya sabda baginda daripada Salman bin Amir yang bermaksud: "Sedekah yang sebenarnya ialah sedekah kepada golongan yang miskin dan seterusnya kepada sanak saudara yang memiliki dua kelebihan: sedekah dan silaturahim". (riwayat Ahmad, al-Tarmidzi, al-Nasaie', al-Hakim, )
Berikut adalah nasihat kepada mereka yang cintakan Islam dan yang ikhlas dalam membela nasib ummah:

1)Menyumbang kepada sekolah-sekolah tahfiz dan agama, rumah kebajikan serta badan-badan dakwah yang masih mengharapkan perhatian orang ramai yang diberikan limpahan rezeki supaya tampil membantu.

2)Membiayai perbelanjaan pelajaran kepada anak-anak orang tidak berkemampuan.

3)Membina premis-premis yang menyediakan keperluan harian milik orang Islam, terutamanya keperluan fardu kifayah.

Sebab itulah al-Quran mengajar kita bahawa amalan jihad itu lebih utama daripada amalan haji. Ini jelas dalam firman Allah yang bermaksud:
"Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim. (Sesungguhnya) orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang yang hanya memberi minum orang haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. (al-Taubah: 19&20)

Umat Islam Malaysia berbelanja mengerjakan umrah RM488.8 juta setahun. Jumlah yang besar itu jika disalurkan untuk aktiviti pendidikan dan dakwah pasti kita akan lebih ke hadapan dengan kemudahan yang lebih memberangsangkan.

Namun, ada insan yang berjaya mengimbangi kefahaman mereka terhadap agama. Biarpun banyak kali menunaikan umrah tanggungjawab sosialnya tetap ditunaikan, zakat juga tidak dilupa. Selalunya, mereka yang pernah ke Tanah Suci pasti berniat ke sana lagi. Ini jugalah yang berlaku, kadang-kadang ada yang ingin mencari sesuatu yang belum ditemuinya selama dia berada di Tanah Suci.