Like Blog Ini...

Friday, December 4, 2009

Kau Di Hatiku 2 mendekatkan hati dua generasi

Oleh MOHD. ROSLAN MD. ISA

BERHIBUR sambil beramal adalah antara teras utama ahli Komuniti Teman Inteam (KTI) menganjurkan program amal bersama masyarakat. Mereka menggunakan kuasa kerjasama antara mereka yang terdiri daripada pelbagai umur, pendidikan dan kawasan bergabung memeriahkan majlis itu.

Program Kau Di Hatiku 2 yang dijalankan di rumah anak yatim Baitu Saidati Khadijah, Gombak, Selangor baru-baru ini memaparkan ukhuwah rasa tanggungjawab mereka pada khalayak.

Program sehari itu dihadiri oleh 20 orang ahli KTI dan 30 orang anak-anak yatim di situ.

Majlis itu diceriakan lagi dengan kehadiran kumpulan Inteam bagi berkongsi ilmu, pengalaman kepada anak-anak yatim itu dan diselangselikan dengan persembahan nyanyian oleh kumpulan Inteam.

Ahli kelab KTI terdiri daripada pelajar universiti yang begitu komited dan mesra bersama anak yatim. Mereka bersemangat menganjurkan aktiviti bersama anak yatim. Menariknya, anak yatim dan KTI begitu mesra dan mudah bergurau senda. Paling memanfaatkan apabila mereka dapat bersama dengan kumpulan Inteam bagi memberi nasihat menggunakan medium nasyid.

Antara aktiviti yang dianjurkan adalah sesi taaruf, permainan 'kelopak-jantung' dan 'bom-bom' serta 'bola beracun'. Persembahan istimewa daripada anak-anak yatim menyerlahkan bakat mereka dan suasana begitu ceria apabila mereka mendapat sokongan ahli KTI.

Anak-anak yatim turut menyampaikan dua lagu iaitu, Syurga Mu daripada kumpulan Ungu dan Keluarga Bahagia daripada Saujana. Ahli KTI yang juga terdiri daripada peminat nasyid juga turut menyampaikan nasyid dendangan Inteam.

Di samping itu, KTI menjalankan aktiviti-aktiviti peningkatan minda dan sahsiah diri melalui program motivasi, aktiviti kesenian dan kebudayaan Islam, riadah dan rekreasi, dan pelbagai aktiviti yang menarik dan berfaedah.

Program-program ini diharap dapat menjadi platform dakwah kepada ahli untuk menyalurkan tenaga, masa dan idea untuk kebaikan sejagat. Layari www.inteam..com.my bagi menyertai komuniti itu.

Solat dalam kenderaan

SOALAN:

Saya kerap tersekat di dalam kesesakan lalu lintas terutamanya pada sebelah petang iaitu ketika pulang dari pejabat. Saya difahamkan bahawa kita boleh melaksanakan solat di dalam kenderaan.

Bagaimanakah kaedah atau caranya, tolong ustaz jelaskan kemusykilan di atas ini.

JAWAPAN

Solat adalah satu ibadah yang diwajibkan oleh Allah SWT kepada semua umat Islam dan pelaksanaannya adalah mengikut waktu dan tempoh masa yang telah ditetapkan (ditauqitkan).

Hal ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. (al-Nisa': 103).

Perintah menunaikan solat adalah bersifat tetap dan tidak berubah. Maksudnya, meskipun seseorang itu menghadapi kesukaran untuk menyempurnakan ibadah solatnya dengan mengikut setiap hukum, rukun dan tatacaranya, dia tetap diwajibkan mendirikan solat yang telah difardukan ke atasnya dengan beberapa kelonggaran.

Dalam erti kata lain, syariat Islam memberikan beberapa kelonggaran hukum kepada orang yang dibebani dengan keuzuran atau hambatan akan tetapi syariat Islam tidak mengangkat kewajipan solat dari setiap umatnya sama ada lelaki atau wanita.

Baginda SAW pernah menunaikan solat dari atas unta, kuda dan keldai. Dari Jabir r.a. katanya: Pada suatu ketika Rasulullah SAW mengutusku untuk suatu keperluan, lalu aku pergi. Setelah selesai melaksanakan tugas itu, maka aku datang kembali kepada baginda SAW. Lantas aku mengucapkan salam, tetapi baginda tidak menjawab. Justeru timbul dugaan di hatiku, Allah sahajalah Yang Maha Tahu. Aku berkata kepada diriku, "Barangkali baginda SAW marah kepadaku kerana aku datang agak lewat. Kemudian aku memberi salam kembali, namun baginda tidak juga menjawab. Praduga di hatiku semakin bertambah. Kemudian aku memberi salam lagi, lalu baginda menjawab salamku". Lantas baginda menjawab: "Aku tidak mampu (terhalang) untuk menjawab salammu kerana aku sedang solat". Ketika itu baginda sedang menunaikan solat di atas kenderaan; tidak menghadap kiblat. (riwayat al-Bukhari, hadis 639, jil. II]

l Dari Amir r.a. katanya: Aku melihat baginda SAW menunaikan solat di atas kenderaan; baginda menghadap ke mana sahaja arah kenderaan (tunggangannya) itu menghadap. (riwayat al-Bukhari, hadis 567, Jil. II)

l Diriwayatkan daripada Jabir r.a: Rasulullah SAW pernah mengerjakan solat (sunat) sambil menunggang haiwan tunggangannya (rahilah) ke mana pun baginda menghadap dan ketika Nabi SAW hendak mengerjakan solat wajib Nabi SAW turun dari tunggangannya dan solat menghadap kiblat (Kaabah di Mekah). (riwayat al-Bukhari, hadis 569, jil.2)

Tatacara solat

Terdapat pelbagai tatacara atau kaedah yang telah digariskan oleh Islam termasuklah tata cara solat di dalam kenderaan.

Ia sama ada kenderaan tersebut bersifat terbang di udara seperti pesawat kapal terbang atau jet mahupun kenderaan daratan seperti kereta, lori atau kenderaan lautan seperti kapal, bot dan perahu.

Baginda SAW dan juga para sahabatnya pernah menunaikan solat di atas tunggangan mereka bagi mengelak dari terperangkap dalam cuaca hujan lebat.

Dalam satu riwayat Ya'la ibn Murrah menerangkan bahawa para sahabat pernah bersama-sama baginda SAW dalam satu perjalanan lalu sampai ke satu lembah sedang baginda berada di atas kenderaannya; dan langit pula sangat mendung dan di bawahnya sangat basah.

Tatkala masuknya waktu solat baginda memanggil muazinnya lalu muazinnya melaungkan azan dan iqamat. Baginda lantas maju dengan kenderaannya dan solat berjemaah bersama mereka (para sahabat). Baginda memberi isyarat yang sujudnya lebih rendah dari rukuknya.

Hadis di atas jelas membolehkan solat-solat fardu dilaksanakan di atas kenderaan jika seseorang itu menghadapi suasana kesukaran. Solat sebegini adalah tetap sah jikalau kesukarannya itu adalah benar-benar ikhlas dan ia tidak perlu diulangi.

Dalil lain yang membolehkan solat di atas kenderaan ialah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah ibn Umar r.a. bahawasanya seorang sahabat telah bertanya kepada baginda SAW: Bagaimanakah cara untuk saya bersolat dalam perahu? Lantas baginda menjawab: "Solatlah di dalamnya dengan berdiri kecuali jika engkau takut tenggelam".

Imam an-Nawawi mengatakan: Menurut pendapat mazhab kami (Mazhab Shafie), apabila seseorang menunaikan solat fardu di dalam kapal maka tidak boleh baginya mengerjakan solat dengan duduk selama sanggup berdiri. Diserupakan orang itu dengan keadaan di darat. Demikianlah juga pendapat Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal.

Menurut pendapat Imam Abu Hanifah, boleh dikerjakan dengan duduk kalau kapal itu sedang bergerak.

Kaedah menunaikan solat fardu atau sunat adalah sama alam apa jua situasi sama ada di darat, di udara atau di lautan melainkan apabila timbul kesukaran maka kesempurnaan gerak laku solat itu berkurangan selari dengan kadar kesukaran yang dihadapi.

Ia mempunyai kesamaan dengan kaedah solat orang yang sakit dalam beberapa keadaan dan berbeza pula dalam beberapa keadaan lain.

Perintah menghadap kiblat tetap hadir dalam ibadah solat fardu tanpa terkecuali berbeza keadaannya jika melakukan solat sunat berdasarkan hadis Jabir r.a yang disebutkan tadi.

Berdasarkan pernyataan saudara, dalam situasi yang terdesak adalah lebih baik jika saudara menunaikan solat sebelum keluar dari pejabat. Ini kerana masuknya waktu solat asar sekarang pada jam 4.27 petang. Kebanyakan waktu kerja tamat adalah pada jam 5 petang.

Sememangnya tidak menjadi halangan kepada saudara/saudari untuk menunaikan solat terlebih dahulu sebelum balik.

Tambahan pula keadaan jalan raya ketika itu agak sibuk, sesak dan barangkali ditambah pula dengan kemalangan-kemalangan yang tidak diduga berlaku di jalan raya.

Pendek kata, sebelum membuat keputusan untuk menunaikan solat dalam kereta, saudara/saudari seharusnya berikhtiar mencari tempat atau lokasi yang bersesuaian untuk menunaikan solat.

Solat haruslah ditunaikan di tempat yang bersih dan menghadap kiblat serta didahului dengan wuduk. Jika tiada tempat untuk solat maka tetaplah bersolat di tempat duduk sendiri (atas tunggangan atau dalam kenderaan) dan solatlah dengan sujudnya ditunduk lebih rendah dari rukuk.

Namun, jika tidak dapat menunaikan solat dengan menghadap ke arah kiblat pada ketika itu saudara perlu bertaharri dan meyakini bahawa saudara telah menghadap ke arah kiblat lantas berserah diri kepada Allah swt.

Wallahu a'laam

Monday, November 30, 2009

Lapan mesej Haji Wida'

Apakah inti pati haji wida' itu? SALAHUDDIN: Sebenarnya terdapat lapan perkara utama yang disebutkan oleh baginda SAW dalam khutbah tersebut. Saya akan menyebutnya secara ringkas di situ. Pertama, pengharaman riba kerana berkaitan dengan masalah ekonomi umat.

Riba pertama yang diharamkan oleh baginda adalah yang diterima oleh bapa saudaranya, Abbas Abdul Mutalib.

Ini menunjukkan dalam melaksanakan hukum Allah, tidak boleh pilih kasih. Sebaliknya ia perlu bermula daripada keluarga sendiri.

Kedua, perlindungan jiwa manusia. Ia disebut untuk mengelak kita daripada jangan senang-senang hendak mencabut atau membunuh orang. Sebab itu diturunkan ayat tentang qisas dalam surah al-Baqarah ayat 179.

Tuntutan hutang darah di zaman jahiliah (sebelum Islam) telah diampunkan. Kata Nabi SAW, tuntutan darah pertama yang aku batalkan adalah darah Rabi'ah bin Al-Haris yang disusukan oleh Bani Saad kemudian telah dibunuh oleh Huzail.

Ketiga, menghindari peperangan. Islam adalah agama yang sejahtera yang membenci perang kecuali setelah terpaksa bagi mempertahankan agama, negara dan diri.

Keempat, kesamarataan hak wanita. Sabda Nabi, Wahai manusia! Takutilah Allah SWT di dalam urusan yang berkaitan dengan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah SWT dan mereka telah dihalalkan kepada kamu dengan kalimah Allah.

Ini juga bermakna, isteri itu adalah amanah Allah kepada suami dan mereka juga mempunyai hak tertentu seperti yang ditetapkan oleh Islam.

Kelima, menghalang penindasan. Hal ini banyak berlaku sekarang. Pendek kata, Nabi berpesan supaya jangan kita menyalah gunakan kuasa untuk menindas orang lain.

Keenam, persamaan nilai kemanusiaan. Islam tidak meletakkan orang Arab lebih istimewa daripada orang ajam (bukan Arab). Warna kulit bukan pengukur sebaliknya tahap keimanan dan ketakwaan seseorang yang menentukan kedudukannya di sisi Allah.

Ini sebagaimana sabda nabi SAW yang bermaksud, "Tuhan kamu adalah Esa, datuk kamu pula adalah satu, kamu semua berasal daripada Adam dan Adam telah dijadikan daripada tanah..."

Ketujuh, banteras sistem monopoli. Umat Islam kini perlu mencari jalan menghapuskan sistem ini jika ia wujud.

Para ulama berkata, suatu hari nanti kamu kena berhati-hati dengan monopoli. Antara contohnya, pasar raya besar kini mengambil alih kedai-kedai runcit menyebabkan peniaga kecil sukar mencari makan. Monopoli akan menghakis rasa kasih sayang.

Kelapan, al-Quran dan sunnah sebagai panduan. Nabi meninggalkan dua khazanah ini kepada umat Islam.

Sabda Nabi yang bermaksud: Aku telah tinggalkan untuk kamu suatu panduan, jika kamu berpegang teguh dengan ajarannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya; kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

Mutakhir masih ada golongan wanita yang memperjuangkan emansipasi. Adakah benar Islam mendiskriminasi wanita?

SALAHUDDIN: Dakwaan itu tidak tepat. Islam meletakkan lelaki dan wanita itu sama kedudukannya. Ini dijelaskan menerusi firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 35.

Dalam ayat tersebut antara lain Allah menjelaskan bahawa orang lelaki dan wanita yang beriman itu sama-sama mendapat pengampunan dan pahala yang besar.

Sebaliknya kalau kita perhatikan khutbah Nabi SAW itu tadi, dijelaskan wajib bagi suami menjaga kehormatan isteri jangan dizalimi atau merendah-rendahkan mereka.

Waima jika bertengkar sehingga ke tahap perlu menghukum, suami dilarang memukul sehingga mencederakan. Yang dimaksudkan memisahkan tempat tidur bagi isteri yang ingkar itu bukanlah tidur berasingan tetapi tidur dengan membelakangkan isteri.

Sebab itu, kita disuruh bermusyawarah dengan isteri untuk mencapai kesepakatan. Kita disuruh berbuat baik dan memberi layanan mesra kepada isteri selagi mana mereka setia dan jujur melaksanakan perintah Allah.

Dari segi memikul tanggungjawab, kaum wanita juga memainkan peranan mencegah kemungkaran. Ini sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Dan orang lelaki dan perempuan yang beriman itu setengahnya menjadi penolong kepada setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan...(at-Taubah: 71)

Dalam hal masuk syurga pun tidak disebut lelaki masuk dahulu daripada wanita. Ini boleh dirujuk dalam firman Allah dalam ayat 195 surah ali-'Imran yang antara lain menyebut Allah tidak akan mensia-siakan amal soleh lelaki dan perempuan. Pada akhir ayat itu dijelaskan Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa syurga sebagai pahala di sisi-Nya.

Nabi SAW sudah mengingatkan umatnya tentang berbuat adil dan jangan menindas. Apa pengajarannya?

SALAHUDDIN: Memang kita disuruh berlaku adil dalam kehidupan bermasyarakat. Jangan gunakan kuasa kita untuk menindas orang lain.

Saidina Umar semasa melantik kakitangan kerajaan ada menulis watikah bahawa mereka itu adalah wakil kepada rakyat. Justeru, hendaklah menjalankan tugas dengan sebaiknya. Jika mereka (rakyat) datang hendaklah kamu melayan dengan baik.

Rasulullah SAW juga melarang keras perbuatan memperkosa harta atau hak orang lain. Sebabnya ia memberi kesan yang amat buruk.

Kerajaan Fathiniah misalnya, hanya menyedari kepentingan menunaikan hak rakyat seperti membina sekolah dan hospital di saat kerajaan mereka jatuh. Sayangnya, semua itu sudah terlambat.

Kesan daripada penganiayaan akan membawa kepada pemberontakan dan demonstrasi yang akan menggugat keamanan sesebuah negara.

Dalam realiti semasa, umat Islam perlu menguasai ekonomi untuk maju. Dengan demikian, barulah kita boleh keluar daripada status Negara Dunia Ketiga.

Nabi berpesan agar umatnya sentiasa patuh kepada al-Quran dan sunah untuk elak daripada sesat. Demikian juga dengan mafhum Allah bahawa kaum muslimin itu adalah bersaudara. Namun, masih timbul juga pertelingkahan dan perpecahan dalam umat Islam. Bagaimana mengatasi hal ini?

SALAHUDDIN: Imam al-Ghazali berkata, Nabi SAW bimbang umatnya kelak akan berhadapan dengan serangan yang akan merobohkan prinsip-prinsip Islam. Ia datang daripada musuh-musuhnya dan juga dari luar.

Hari ini, kita dapati banyak buku yang dibawa masuk dari luar. Oleh itu, kita perlu merujuk ia kepada al-Quran dan sunah untuk elak disesatkan oleh bahan tersebut.

Kedua, nabi juga bimbang pada akhir zaman, berlaku kekacauan ilmu dan amaliah sehingga menjadikan kita kepada sifat berlebihan atau ekstrem. Sedangkan kita disuruh bersederhana.

Ketiga, bimbang penyimpangan mengatasi kebenaran. Ini adalah penyakit dari segi ilmu. Ia melibatkan rasa riak. Apabila berlaku perselisihan, kita tidak mencari penyelesaian.

Saya menyarankan kita mengambil pandangan ulama seperti Sheikh Rashid Redza. Kata beliau, sepakat kita saling bekerjasama dalam hal persetujuan dan saling faham memahami kita dalam perkara yang berselisih atau berbeza.

Sebab itu, adalah malang apabila kita melihat insiden pengeboman di Pakistan. Marahkan orang lain, rakyat biasa yang menjadi mangsa pengeboman.

Walhal, Nabi SAW bersabda yang maksud-Nya, "tidak halal bagi seorang Muslim untuk menakutkan orang Muslim yang lainnya". (riwayat Abu Daud).

Sebab itu, perlu kita berlapang dada menerima perbezaan pendapat dalam hal-hal furu'.

Kita perlu bertanya, banyaknya persatuan Islam itu ke mana semua hendak pergi. Kalau ia menghala ke arah kebaikan Islam, maka teruskan tetapi jangan sampai mentakfirkan (mengkafirkan) umat Islam.