Like Blog Ini...

Friday, April 9, 2010

Anjing bukan binatang peliharaan

SOALAN:
APAKAH kedudukan orang Islam yang menjadikan anjing sebagai binatang peliharaan? Mereka pula bangga dengan perbuatan itu dengan kata rezeki saya makin bertambah sejak saya bela anjing?

Jawapan:

Orang Islam tidak boleh dan tidak dibenarkan memelihara anjing sebagai binatang peliharaan seperti kucing. Ia jelas boleh dipelihara hanya sebagai:

*Anjing perburuan seperti yang disebut dalam al-Quran, surah al-Maidah, ayat 4: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (makanan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah padanya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertakwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan apa yang diharamkan oleh Allah); Sesungguhnya Allah Maha segera hitungan hisab-Nya”.

Haiwan buruan yang ditangkap olehnya tidak perlu disamak kerana ia antara yang dimaafkan (ma’fuwwun ‘anhu).

*Untuk menjaga tanaman

*Untuk menjaga binatang ternakan seperti lembu dan kambing seperti yang kita lihat dalam filem-filem koboi.

Nabi Muhammad SAW bersabda: Sesiapa yang memelihara anjing bukan untuk menjaga tanaman atau berburu maka akan berkurangan daripada pahala amalan hariannya sebanyak satu qirat setiap hari. (riwayat Muslim dari Abu Hurairah dan Ibnu Umar)

Qirat dijelaskan dalam hadis lain riwayat Muslim dari Tsauban: “Qirat itu umpama sebesar bukit Uhud”. Malah dalam hadis lain yang muttafaq ‘alaih (diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim) dari Ibnu Umar: “…sebanyak dua Qirat”.

Jika difikirkan memang logik kerana jika kita memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan, sudah pasti tidak dapat mengelakkan diri daripada dijilat oleh anjing tersebut. Sedangkan setiap kali dijilat dikira najis mughallazah (berat).

Jadi, ia akan mengurangkan masa kita untuk melakukan ibadah lain kerana terikat dengan prosedur menyucikan diri dan tempat daripada najis mughallazah khususnya untuk solat lima kali sehari. Atau kita menjadi malas lalu mengabaikan status najis mughallazah yang perlu disucikan dengan tujuh kali air mutlak, yang pertama bercampur tanah yang suci.

Bayangkan rumah-rumah kita pada hari ini – bagaimana untuk mendapatkan tanah yang suci? Akan tetapi jika diabaikan, solat anda tidak sah pula.

Satu hadis yang diriwayatkan oleh Darqutni dan Hakim dinyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah menolak jemputan satu kaum yang membela anjing untuk datang ke rumah mereka.

Apabila ditanya, baginda menjawab kerana dalam rumah mereka ada anjing. Sebaliknya baginda menerima jemputan kaum yang membela kucing. Apabila ditanya, baginda menjawab, “kerana kucing itu bukan najis”.

Menolak jemputan

Lalu para sahabat baginda mengambil kesimpulan daripada hadis ini bahawa baginda menolak jemputan mereka yang membela anjing kerana bimbang terkena najis terutamanya air liur daripada jilatannya.

Terdapat juga hadis riwayat Muslim dari Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda: Malaikat tidak akan menemani seseorang yang berada di suatu tempat yang terdapat anjing dan juga loceng.

Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya malaikat tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya terdapat anjing atau gambar. (muttafaq ‘alaih- diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim) dari Ali.

Ulama kini pula mengharuskan penggunaan anjing untuk mengesan penjenayah, dadah, bahan letupan seperti bom atau periuk api, mangsa bencana alam seperti gempa bumi atau tsunami, dan sebagainya.

Ia bagi membantu kerja-kerja mencabar pihak pengawal keselamatan, pegawai penjara, pihak polis, dan imigresen terutamanya untuk pengawasan hatta kepada rumah-rumah persendirian yang memerlukan khidmat anjing daripada masalah kecurian atau rompakan.

Begitu juga untuk menolong orang yang cacat sama ada untuk tujuan pengawasan (contohnya daripada dibuli) atau untuk menunjukkan jalan seperti membantu orang buta.

Larangan membela anjing dan statusnya dikategorikan najis mughallazahnya mungkin menjadi tanda tanya. Mungkin satu kajian saintifik veterinar mempunyai jawapannya.

Dapatan kajian menunjukkan anjing biasanya sentiasa terkena jangkitan pelbagai jenis cecacing parasit yang menjadi perumah di dalam tubuhnya dan juga di bahagian luar seperti kulit dan bulunya.

Contoh cacing yang biasa didapati pada anjing ialah Toxocara canis yang membiak di dalam perutnya dan terdapat pada najisnya. Menyentuh dan membelai-belai anjing boleh menyebabkan perpindahan cacing jenis ini kepada manusia.

Seorang doktor haiwan dari Somerset, Ian Wright, melaporkan di dalam Jurnal New Scientist bahawa ia boleh mengakibatkan ‘toxocariasis’ yang boleh mengancam daya penglihatan manusia. Beliau mendapati purata 180 biji telur cacing pada setiap gram bulu anjing. Satu kuantiti yang lebih tinggi daripada jumlah telur cacing yang didapati dalam satu gram tanah.

Ada pun isu mengaitkan kehadiran anjing belaan dengan penambahan rezeki adalah syirik, (nauzubillah). Oleh itu, ia haram dalam Islam kerana Allah sahaja yang berhak menentukan rezeki makhluk-makhluk-Nya.

Tiada sekutu baginya dalam pembahagian rezeki. Wallahu ‘alam.

Jangan meminta-minta

SOALAN:
APAKAH pandangan Islam kepada golongan fakir dan miskin yang meminta-minta?

Jawapan:

Di dalam Islam, Allah SWT mengiktiraf hakikat kewujudan dua jenis sifat bagi manusia yang dikategorikan fakir dan miskin. Iaitu, ada di kalangan mereka yang fakir dan miskin tetapi tidak suka menzahirkan keadaan diri mereka.

Daripada Imran bin Husain katanya, telah bersabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah menyayangi hamba-Nya yang beriman, yang miskin, yang tidak suka meminta-minta sedangkan dia mempunyai anak yang ramai”. (riwayat Ibnu Majah)

Dalam ayat 273 surah al-Baqarah, Allah SWT menyatakan: (Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka (seperti) orang kaya, oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak minta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa juga yang kamu belanjakan daripada harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.

Namun ada pula fakir dan miskin yang gemar menzahirkan kemiskinan mereka. Rasulullah SAW menyatakan di dalam hadisnya yang lain: “Orang fakir miskin (yang sangat menderita) bukanlah orang yang (menadah tangan) meminta-minta ke sana ke mari kepada orang ramai, yang apabila ia mendapat sesuap atau dua suap makanan, atau mendapat sebiji atau dua biji buah kurma – ia akan pergi ke tempat lain meminta lagi. Sebenarnya orang fakir miskin (yang sangat-sangat menderita) itu ialah orang yang tidak mempunyai sesuatu yang mencukupi sara hidupnya. Dan ia pula malu hendak meminta bantuan kepada orang ramai, dan orang ramai pula tidak mengetahui keadaan penderitaannya untuk diberi bantuan. (orang inilah yang sebenarnya layak diberi zakat)”. (riwayat Imam Ahmad)

Oleh itu, dapatlah difahami bahawa Islam sebenarnya tidak menyukai sifat yang suka meminta-minta ini, sehinggakan Rasulullah SAW menyatakan, bahawa golongan yang menyembunyikan kefakiran dan kemiskinan mereka itulah yang lebih berhak untuk dibantu dengan zakat.

Ini kerana, ada kalangan manusia yang fakir dan miskin dan menjadikan status kefakiran dan kemiskinan itu sebagai tiket untuk meraih simpati sesama manusia.

Seterusnya menjadi alasan bagi mendapatkan habuan dunia dengan mudah tanpa perlu bekerja.

Walau bagaimanapun, ia bukanlah bermakna si fakir miskin tidak boleh mendapatkan habuan ke atas zakat.

Jika mereka adalah fakir dan miskin, maka layaklah mereka mendapatkan wang zakat bagi meneruskan kehidupan mereka.

Yang menjadi suatu kesalahan di sisi agama apabila mereka dengan sengaja menjaja kefakiran dan kemiskinan diri ke merata-rata tempat. Ia adalah perbuatan tidak bermaruah, sedangkan mempertahankan maruah diri dan sudah pastinya maruah agama adalah dituntut di dalam Islam.

Lebih bahaya lagi, jika mereka sendiri reda dengan kemiskinan dan kefakiran atas tujuan meraih simpati manusia dan atas nama mendapatkan zakat selama-lamanya. Wallahu a’lam.

Pengajaran kisah para nabi

DALAM konteks memahami Islam, sejarah adalah merupakan suatu yang sangat penting dipelajari. Apatah lagi mempelajari sejarah Rasulullah, para nabi dan para sahabat atau dalam istilah khususnya disebut sebagai sirah.

Dengan mempelajari sirah, kita dapat mengetahui bagaimana cara dan bentuk penyampaian dan dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah dan juga para nabi.

Melalui sirah, seseorang pendidik akan dapat mengetahui cara dan kaedah terbaik yang ditunjukkan oleh Rasulullah dan para nabi. Misalnya, bagi seorang jeneral tentera dia dapat mengetahui etika peperangan, layanan yang diberi oleh baginda terhadap orang tawanan dan pesanan-pesanan Rasulullah kepada panglima perang.

Pendek kata, semua golongan masyarakat daripada petani sehinggalah kepada ketua negara perlu mempelajari sirah untuk meningkatkan lagi personaliti dan prestasi pekerjaan mereka masing-masing.

Dr. Said Ramadhan al-Buti menegaskan bahawa tujuan memahami sirah ialah agar setiap orang Muslim memperoleh gambaran sebenar tentang hakikat agama Islam secara sempurna yang tercermin dalam kehidupan para nabi khususnya Nabi Muhammad SAW sesudah ia difahami secara konsepsi sebagai prinsip, kaedah dan hukum.

Oleh itu, mempelajari sirah mengandungi beberapa faedah. Antara lainnya adalah:

Pertama: Memahami keperibadian nabi melalui celah-celah kehidupan dan keadaan-keadaan yang pernah dihadapinya, untuk menegaskan bahawa Nabi Muhammad bukan sahaja seorang yang terkenal di antara kaumnya tetapi sebelum itu baginda adalah seorang Rasul yang didukung oleh Allah dengan wahyu dan taufik dari-Nya.

Kedua: Agar manusia mendapat gambaran contoh terbaik dalam seluruh kehidupan yang utama untuk dijadikan dastur dan pedoman kehidupan.

Tidak diragukan lagi, betapa pun manusia mencari contoh terbaik mengenai salah satu aspek kehidupan, dia pasti akan mendapatkannya di dalam kehidupan Rasulullah secara jelas dan sempurna.

Oleh itu, Allah menjadikannya qudwah (contoh ikutan) bagi seluruh manusia seperti firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kamu. (al-Ahzab 21)

Ketiga: Agar manusia mendapatkan dalam mempelajari sirah Rasulullah ini, sesuatu yang dapat membantunya untuk memahami kitab Allah dan menyelami tujuan-tujuannya. Ini disebabkan banyak ayat al-Quran yang boleh ditafsirkan dan dijelaskan maksudnya melalui peristiwa-peristiwa yang pernah dihadapi Rasulullah SAW dan sikapnya.

Keempat: Dengan mempelajari sirah ini seseorang Muslim dapat mengumpulkan sekian banyak pengetahuan dan ilmu-ilmu Islam yang benar, sama ada dalam perkara akidah, hukum dan akhlak.

Tidak diragukan lagi bahawa kehidupan Rasulullah merupakan gambaran yang kukuh dari sejumlah prinsip dan hukum.

Kelima: Agar setiap pendakwah Islam memiliki contoh hidup dalam aspek pendidikan dan dakwah.

Menyedari hakikat tersebut sebuah buku yang berjudul: Kisah Para Nabi - Pengajaran dan iktibar disusun oleh Johari Yaman berdasarkan dari kitab yang ditulis oleh Ibnu Kathir yang berjudul Qisahah al-anbiya' ibratun li ulilab, kini berada di pasaran dan telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia.

Ternyata buku asal yang berjudul Qisahah al-anbiya' ibratun li ulilab yang telah dihasilkan oleh Ibn Kathir itu memberikan gambaran yang jelas tentang kisah 25 orang nabi yang wajib diketahui dan diimani oleh setiap Muslim.

Secara jelas melalui buku yang telah disusun semula ini Ibn Kathir telah menceritakan kisah para nabi berdasarkan tafsiran ayat al-Quran serta bersandarkan hadis nabi Muhammad SAW dan ini menepati tiga sumber dan rujukan sirah para rasul dan nabi iaitu al-Quran, al-Sunnah nabawi yang sahih dan kitab-kitab sirah.

Penerbitan buku ini sekali gus dapat menyumbang dan memperkayakan lagi khazanah buku-buku yang berkaitan sirah dalam bahasa Melayu sama ada ditulis oleh ulama di sini atau terjemahan.

Oleh itu, melalui sirah umat Islam mendapat gambaran yang lebih lengkap dan terperinci tentang kehidupan para nabi dan Rasul. Di samping itu, ia dapat membantu dan mempermudah untuk mempelajari ilmu-ilmu lain seperti tafsir dan sejarah Islam.

Ia juga menonjolkan nilai-nilai keinsanan yang praktis yang dilakukan oleh Rasulullah dan para nabi yang lain untuk ikutan generasi muda kini supaya Rasulullah sentiasa menjadi qudwah atau model mereka sepanjang hayat. - BURHANUDDIN ABDUL JALAL