Like Blog Ini...

Saturday, July 14, 2012

Rahmat kemaafan

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN
dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

DALAM kehidupan kita, antara perkara yang sukar diamalkan ialah meminta maaf. Ini kerana, ia dihalangi oleh sifat ego dan sombong. Oleh kerana itulah, bagi sesetengah di kalangan kita, meminta maaf boleh menjatuhkan martabat dan merendahkan kedudukan seseorang itu di mata orang lain.

Bahkan, ada yang menganggap meminta maaf adalah merupakan satu langkah yang kurang bijak kerana ia seolah-olah menggambarkan kita bersalah.

Sebenarnya, pandangan dan tanggapan ini adalah tidak tepat. Meminta maaf adalah merupakan perlakuan yang sepatutnya dibudayakan. Tidak semestinya orang yang meminta maaf itu melakukan kesalahan.

Namun, bukankah Allah SWT meminta kita memohon ampun kepada-Nya? Perlakuan memohon keampunan Allah SWT ini bukannya di ketika kita melakukan dosa kepada-Nya sahaja, bahkan ia dituntut untuk dilakukan sebagai manifestasi kehambaan kita kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW telah menunjukkan kita contoh akhlak sebagai hamba iaitu memohon ampun walaupun Rasulullah SAW terpelihara daripada melakukan dosa.

Daripada Abu Hurairah RA katanya: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : Demi Allah sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepadanya di dalam sehari lebih daripada 70 kali. (riwayat Al-Bukhari)

Demikian juga di antara manusia dengan manusia. Meminta maaf bukanlah semestinya kita telah melakukan kesalahan kepadanya. Akan tetapi, ia membawa maksud kasih-sayang, hormat-menghormati dan saling menghargai.

Lebih-lebih lagi, terdapat dosa yang kadang-kala tidak disedari atau diketahui oleh kita. Maka, sebagai langkah berhati-hati, meminta maaf adalah cara yang paling selamat.

Walau bagaimanapun, sebenarnya memberikan kemaafan adalah lebih sukar daripada meminta kemaafan. Lebih-lebih lagi sekiranya terdapat kesalahan atau kesilapan besar yang dilakukan terhadap kita.

Memang tidak dapat dinafikan, apabila terdapat orang yang melakukan kesalahan kepada kita, ia kadang-kala berat untuk dimaafkan. Ini adalah kerana, kesalahan tersebut mungkin telah mengguris perasaan kita dan kadang-kala ia menjejaskan hak dan kepentingan kita.

Kenapa kemaafan sukar diberikan walaupun kesalahan yang dilakukan terhadap kita sudah lama berlalu dan orang yang melakukannya telah lama bertaubat? Jawapannya ialah kerana kita terlalu mengikut perasaan dan emosi.

Orang yang sukar memaafkan kesalahan orang lain sebenarnya terpenjara dalam perasaan dendam dan marahnya. Sehingga banyak masa yang dibazirkan untuk melayan perasaan benci, marah dan dendam yang membelenggu diri.

Hatinya sentiasa resah disebabkan kebenciannya yang berlarutan sehingga kadang-kala menghalangnya daripada melakukan tugasan dan seterusnya mengganggu pemikiran.

Allah SWT adalah merupakan Tuhan yang bersifat ghafur iaitu Yang Maha Pengampun. Dengan maksud yang lain, Allah SWT sentiasa mengampuni dosa hamba-hamba-Nya yang melakukan kesalahan dan maksiat kepada-Nya.

Rasulullah SAW pernah bersabda, Allah SWT berfirman: Wahai Anak Adam! Selagi mana engkau merayu padaku dan mengharapkan daku, Aku ampunkan segala kesalahanmu dan Aku tidak pedulikannya lagi. Wahai Anak Adam! Sekiranya dosa-dosamu memenuhi langit, kemudian engkau memohon maaf kepada-Ku, nescaya Aku maafkan dirimu serta Aku tidak pedulikannya lagi. Wahai Anak Adam! Sekiranya engkau datang kepada-Ku dengan kesalahan sepadat isi bumi, kemudian engkau menemui-Ku dalam keadaan tidak menyekutukan Aku dengan yang lain, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh isi bumi pula." (riwayat al-Tirmidzi)

Malahan, Allah SWT meminta kita supaya tidak berputus-asa kepada keampunan dan rahmat-Nya, walaupun telah melakukan kesalahan berulang-kali.

Allah SWT berfirman: Katakanlah: Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (az-Zumar: 53).
Kelebihan ayat Kursi

AYAT 255 surah al-Baqarah disebut ayat Kursi kerana dalam ayat tersebut terdapat kata "kursi Allah" yang meliputi langit dan bumi. Kata kursi membawa erti takhta, singgahsana, tempat duduk, kekuasaan, pengetahuan dan simbol autoriti.

Itulah sebabnya ayat itu di sebut "ayat Kursi" yang melambangkan kekuasaan Allah SWT yang meliputi langit dan bumi. Ayat ini sepanjang zaman telah menghidupkan suasana keagamaan umat Islam dari semasa ke semasa. Ayat Kursi begitu popular hingga kaligrafi ayat ini sering terdapat di rumah kaum Muslim.

Ayat Kursi dinilai sebagai salah satu ayat yang termulia dalam al-Quran kerana di dalamnya terdapat 17 kata yang menunjuk kepada Allah SWT daripada 50 kata yang terdapat di dalamnya. Apabila dihayati, 17 kata yang menunjukkan nama Allah itu akan memberi kekuatan batin pembacanya.

Terdapat ulama yang mengatakan bahawa 50 kata adalah lambang 50 kali solat yang pernah diwajibkan Allah kepada Muhammad ketika mikraj dan 50 kali itu diringankan menjadi lima kali dengan 17 rakaat sehari semalam. Di sisi lain, perjalanan menuju Allah ditempuh oleh malaikat dalam 50 tahun menurut perhitungan manusia.

Ayat Kursi lebih agung jika dibandingkan dengan ayat-ayat lain. Dalam ayat Kursi terdapat sejumlah nama dan sifat Allah SWT yang melebihi ayat-ayat lain. Intipati nama dan sifat Allah SWT yang berjumlah 99 itu diungkapkan dalam satu ayat hanya pada ayat Kursi.

Dalam satu kisah disebutkan bahawa ketika para sahabat sedang bertukar fikiran tentang ayat-ayat yang paling mulia, Ali berkata kepada mereka: "Bagaimana pandangan kamu tentang ayat Kursi?" Ali kemudian berkata: "Rasulullah SAW berkata kepadaku 'hai Ali, penghulu sekalian manusia adalah Adam, penghulu bangsa Arab adalah Muhammad tanpa rasa sombong, kalam yang terbaik adalah al-Quran, penghulu al-Quran adalah al-Baqarah dan penghulu al-Baqarah adalah ayat Kursi'."

Terdapat beberapa hadis yang menjelaskan keutamaan ayat Kursi, misalnya yang diriwayatkan Ali bin Abi Talib. Hadis itu berbunyi: "Tidak dibaca ayat ini (ayat Kursi) dalam sebuah rumah kecuali syaitan-syaitan lari meninggalkannya selama 30 hari dan tukang sihir laki-laki dan wanita tidak akan memasukinya selama 40 hari."

Ali juga menceritakan bahawa ia pernah mendengar Nabi SAW berkhutbah di atas mimbar dan berkata: "… dan barang siapa yang membacanya pada saat tidurnya, Allah akan mengamankannya, tetangganya, tetangga dari tetangganya dan rumah-rumah yang ada sekitarnya."

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakar bin Mardawaih, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang membaca ayat Kursi setiap penghujung solat wajib, maka tidak ada yang mencegahnya masuk syurga kecuali kematian dan tidak ditetapkan padanya kecuali sebagai siddiq (benar atau jujur) dan abid (tekun beribadah)."

Menjejaki si miskin

Oleh FAROUQ ZAUJI

SESUNGGUHNYA Islam tidak pernah menghalang hambanya untuk mencari kekayaan yang menjadi lambang serta kayu ukur kesenangan hidup manusia di dunia. Bahkan, mencari kesenangan itu adalah satu keperluan demi membina kehidupan sempurna dan sewajarnya.

Insan yang waras fikirannya sudah tentu tidak ingin hidup dalam keadaan susah, tersepit dan miskin. Lantaran itulah mereka sanggup bertungkus-lumus, membanting tulang tanpa mengira penat dan waktu.

Ingin menjadi kaya raya, memiliki harta yang banyak, rumah dan kereta mewah, juga bukan halangan atau satu kesalahan dalam syariat jika kita mampu.

Namun Islam tetap memberi peringatan supaya setiap manusia tidak lalai dan hanyut dengan harta dan kesenangan dunia.

Pelbagai bentuk kesenangan yang dikurniakan Allah, sesungguhnya ia bukanlah untuk dibangga dan dimegahkan, tetapi untuk disyukuri. Demikianlah sifat orang Islam yang beriman.

Allah sudah memberi jaminan keuntungan besar bagi orang yang mahu bersyukur dengan nikmat-Nya seperti terkandung dalam firman-Nya: Dan siapa yang mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan baginya kebaikan pada kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri. (asy-Syura: 27)

Walaupun sudah memiliki kekayaan yang melimpah ruah dan dapat menikmati kesenangan hidup secukupnya di dunia, seorang Muslim sejati disaran menabur bantuan atau pertolongan kepada manusia lain dalam mencari keberkatan hidup.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Harta tidak akan berkurang dengan sedekah dan Allah tidak menambah kepada hamba-Nya yang memaafkan melainkan kemuliaan, dan tidak tawaduk seseorang kepada Allah melainkan Allah menaikkannya. (riwayat Muslim)

Seharusnya masyarakat Islam ini sentiasa bersama dalam mengharungi hidup, ibarat kata pepatah: 'Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing'. Dengan kesedaran ini secara tidak langsung kita dapat membantu meringankan beban insan-insan yang amat memerlukan.

Melihat kepada situasi ini, usaha Islamic Aid Malaysia (IAM) dalam menjejaki mereka yang kurang berkemampuan telah mendapat perhatian daripada sebuah badan korporat iaitu Etiqa Takaful Berhad.

Kini, memasuki musim kedua, Etiqa Takaful Berhad terus bersama-sama IAM dalam menjejaki mereka yang kurang berkemampuan, seterusnya membantu mengurangkan beban penderitaan yang dihadapi sebagai tanda prihatin terhadap keperluan masyarakat tempatan.

Usaha murni ini menggunakan pendekatan konsep ziarah bagi melihat sendiri dan merasai kesusahan serta penderitaan yang mereka hadapi.

Melalui program ini, pihak Etiqa Takaful Berhad, sebagai rakan kemanusiaan IAM membiayai sumbangan pek makanan kepada 1,600 buah keluarga yang melibatkan penduduk miskin di negeri Kedah, Perlis, Johor, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan juga Sarawak.

Penerima sumbangan ini terdiri daripada golongan fakir miskin, ibu tunggal miskin, warga emas miskin dan juga golongan orang kurang upaya (OKU) miskin yang telah dikenal pasti oleh pihak IAM layak menerima bantuan.

Setiap mereka menerima sumbangan pek makanan yang mengandungi barangan keperluan makanan asas harian seperti beras, gula, minyak masak, susu, makanan dalam tin, biskut dan lain-lain.

Penerima manfaat juga turut menerima wang tunai RM50 setiap seorang.

Pengagihan bantuan dilaksanakan secara berperingkat mengikut pecahan wilayah.

Buat masa ini, hanya lima negeri sahaja telah selesai program pengagihan bantuan dan selebihnya dijadualkan akan berakhir pada pertengahan Julai ini.

Rata-rata mereka yang hadir dalam program 'Jejak Prihatin' ini menyatakan rasa kesyukuran kerana masih lagi ada pihak yang prihatin terhadap nasib mereka walaupun berada di kawasan luar bandar.

Ada juga yang menitiskan air mata kesyukuran kerana diraikan sedemikian rupa dan terkejut dengan sumbangan barangan dan wang tunai.

Menurut Naib Presiden merangkap Ketua Bahagian Syariah Etiqa Takaful Berhad, Zaiem Ismai, sumbangan Etiqa kepada IAM adalah sebahagian daripada zakat tahunan syarikat itu yang dihulurkan secara terus kepada institusi-institusi kebajikan yang layak di bawah program Tanggungjawab Zakat Korporat Etiqa.

"Secara jujur kami meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada IAM melalui program mereka yang dikenali sebagai program Jejak Prihatin 2012.

"Sementara itu, melalui program Tanggungjawab Zakat Korporat Etiqa, syarikat kami telah membantu lebih 17 institusi kebajikan dan lebih 1,600 anak-anak yatim dan golongan asnaf di seluruh Malaysia.

"Lebih RM1.5 juta dibelanjakan setiap tahun untuk memberi bantuan dalam bentuk kewangan, bangunan dan kemudahan-kemudahan seperti asrama, kelas pendidikan, kantin, surau dan juga dalam bentuk peralatan seperti komputer, peralatan pendidikan dan permainan dan pelbagai lagi.

"Program ini juga adalah sejajar dengan janji jenama kami untuk menginsankan insurans dan takaful. Kami berharap agar sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu para penerima sumbangan dari seluruh Malaysia," katanya ketika ditemui pada program tersebut di Kelantan, baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada Etiqa Takaful Berhad yang memberi kepercayaan serta keprihatinan mereka terhadap usaha-usaha kemanusiaan yang dilaksanakan IAM.

"Kami akan buat yang terbaik dalam menyalurkan bantuan tersebut dan hanya mereka yang benar-benar layak saja yang akan menerima manfaat daripada program ini tanpa mengira latar belakang politik mereka.

"Program ini akan diteruskan dengan berkunjung ke Perak, Pahang dan Sarawak bagi memenuhi tanggungjawab pengagihan sumbangan zakat Etiqa kepada mereka yang benar-benar memerlukan," kata Zawahir yang turut berterima kasih kepada rakan sukarelawan IAM yang terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini.

Di samping itu, Zawahir juga menyeru agar lebih banyak lagi syarikat korporat mencontohi usaha Etiqa Takaful Berhad ini dalam menjayakan misi kemanusiaan dan kebajikan kelolaan IAM.