Like Blog Ini...

Friday, November 21, 2014

Al-Quran Pemberi Syafaat..

Secebis kisah.......

Terdapat seorang lelaki tua yang tinggal di sebuah ladang dengan cucunya. Setiap pagi, Si Datuk akan membaca Al-Quran di ruang dapur. Si cucu yang melihat, juga meniru perbuatan Datuknya itu.  

Satu hari si Cucu bertanya kepada datuknya, “Atuk, saya baca Quran ini tapi tak fahamlah maksudnya. Kalau faham pun saya akan lupa bila tutup Al-Quran. Jadi apa gunanya kita baca Al-Quran ini?”  

Si Datuk lalu berpaling sebentar dan mendapatkan sebuah bakul yang kotor kerana diisi arang sebelumnya.  

“Nah, cucu pergi sungai, bawak air dalam bakul ni” . Si cucu pun bergegas ke sungai yang berhampiran dengan rumah mereka di ladang. Apabila pulang, tiada lagi air yang tinggal.  

“Cucu lambat sangat, cuba lari laju-laju sikit”. Si cucu pun berlari ke sungai dan apabila tiba di hadapan datuknya, tiada juga air yang tinggal.  

“Tak boleh lah Atuk”. Cuba sekali lagi. Kali ini datuknya melihat dari pintu. Si cucu pun, cepat-cepat ke sungai dan berlari membawa bakul untuk tunjuk kepada datuknya. “Nampak tak Atuk? Tak boleh lah”.  

"Tak ada gunanya” bentak si cucu.   

Si Datuk pun berkata, “Jadi cucu rasa tak bergunalah? Cuba kau tengok bakul tu”.  

Seperti baru tersedar, si cucu baru perasan yang bakul yang kotor tadi, kini sudah bersih.  

Terus si datuk menyambung, “Macam itu lah dengan membaca Al-Quran, walaupun tidak memahami maksudnya, tetapi ia tetap membersihkan si pembacanya. Itu semua dengan kehendak Allah. Kerja Allah”  

Moral: Bacalah Al-Quran walau tak tau maknanya... kerana ia kalam Allah yg boleh membersihkan hati kita. Wallahua'lam. Mudah2an diamalkan oleh si pengirim cerita terutamanya.

Tuesday, June 10, 2014

Nikmat Rezeki Yang Diberkati...

Saya masih teringat-ingat ungkapan seorang ustaz di masjid UTM tempoh hari. Kuliah maghrib yang disampaikan pada hari itu amat menyentuh hati. Ianya berkenaan dengan nikmat rezeki. Katanya, jumlah rezeki seseorang manusia itu telahpun ditentukan sebelum manusia itu dilahirkan lagi.

Seseorang insan itu tidak akan mati selagi mana dia belum disempurnakan rezeki yang ditakdirkan kepadanya. Alangkah ruginya diri, masih gelisah dengan duit gaji yang seolah-olah tidak pernah cukup. Benarlah kata junjungan nabi kita,
Sesungguhnya tidak ada yang dapat memenuhkan perut anak Adam itu kecuali tanah...

Apabila direnung kembali, sebenarnya amat banyak nikmat yang telah kita nikmati. Malangnya hati ini masih buta daripada melihat dan mensyukuri nikmat yang telah dinikmati. Para ulama dahulu pernah mengatakan bahawa rezeki sebenarnya bukanlah hanya berbentuk wang ringgit. Bahkan nikmat kesihatan, ketenangan dan nikmat cinta itu juga merupakan rezeki yang wajar kita syukuri...

Kita diseru bekerja mencari rezeki untuk menampung keperluan hidup diri dan keluarga. Sesungguhnya tuhan tidak menyukai orang yang malas. Akan tetapi, tuntutan ini perlulah diseimbangkan dengan amal ibadat yang bakal menjadi penolong kita di akhirat kelak. Dunia ini ibarat tempat bercucuk tanam. Apa yang kita tanam, itulah yang bakal kita tuai. Kebaikan yang kita lakukan, kebaikan jugalah yang bakal kita perolehi... Kita sanggup bekerja seharian untuk mencari rezeki di dunia, malangnya diri ini tidak pernah berhajat untuk mencari amalan yang menjadi bekal untuk kehidupan akhirat...

Dunia ini fana, akhirat jugalah yang kekal abadi tanpa penghujung...

Tuesday, May 20, 2014

Dunia Ini Sementara...

Rasulullah s.a.w. pernah mewasiatkan sebuah hadis yang indah kepada salah seorang sahabatnya. Sabda baginda,

Bekerjalah untuk duniamu sekadar mana engkau akan tinggal di dalamnya. Dan beramallah untuk akhiratmu sekadar mana engkau akan berada di sana. Dan beramallah kerana Allah sekadar mana engkau berhajat kepadanya.
Dan buatlah sebarang amalan yang akan memasukkan engkau ke dalam api neraka sekadar mana engkau sabar menahan seksaannya..

Tempoh masa kita berada di dunia ini sebenarnya amatlah singkat jika dibandingkan dengan tempoh masa yang kekal abadi di akhirat kelak. Selagi mana kita masih diberi kesempatan untuk beramal, gunalah masa yang ada dengan sebaiknya...

Apabila masa kita telah berakhir, pnyesalan kita ketika di akhirat kelak tidak berguna lagi.. sekadar peringatan buat diri yang sering lupa...