Like Blog Ini...

Monday, November 30, 2009

Lapan mesej Haji Wida'

Apakah inti pati haji wida' itu? SALAHUDDIN: Sebenarnya terdapat lapan perkara utama yang disebutkan oleh baginda SAW dalam khutbah tersebut. Saya akan menyebutnya secara ringkas di situ. Pertama, pengharaman riba kerana berkaitan dengan masalah ekonomi umat.

Riba pertama yang diharamkan oleh baginda adalah yang diterima oleh bapa saudaranya, Abbas Abdul Mutalib.

Ini menunjukkan dalam melaksanakan hukum Allah, tidak boleh pilih kasih. Sebaliknya ia perlu bermula daripada keluarga sendiri.

Kedua, perlindungan jiwa manusia. Ia disebut untuk mengelak kita daripada jangan senang-senang hendak mencabut atau membunuh orang. Sebab itu diturunkan ayat tentang qisas dalam surah al-Baqarah ayat 179.

Tuntutan hutang darah di zaman jahiliah (sebelum Islam) telah diampunkan. Kata Nabi SAW, tuntutan darah pertama yang aku batalkan adalah darah Rabi'ah bin Al-Haris yang disusukan oleh Bani Saad kemudian telah dibunuh oleh Huzail.

Ketiga, menghindari peperangan. Islam adalah agama yang sejahtera yang membenci perang kecuali setelah terpaksa bagi mempertahankan agama, negara dan diri.

Keempat, kesamarataan hak wanita. Sabda Nabi, Wahai manusia! Takutilah Allah SWT di dalam urusan yang berkaitan dengan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah SWT dan mereka telah dihalalkan kepada kamu dengan kalimah Allah.

Ini juga bermakna, isteri itu adalah amanah Allah kepada suami dan mereka juga mempunyai hak tertentu seperti yang ditetapkan oleh Islam.

Kelima, menghalang penindasan. Hal ini banyak berlaku sekarang. Pendek kata, Nabi berpesan supaya jangan kita menyalah gunakan kuasa untuk menindas orang lain.

Keenam, persamaan nilai kemanusiaan. Islam tidak meletakkan orang Arab lebih istimewa daripada orang ajam (bukan Arab). Warna kulit bukan pengukur sebaliknya tahap keimanan dan ketakwaan seseorang yang menentukan kedudukannya di sisi Allah.

Ini sebagaimana sabda nabi SAW yang bermaksud, "Tuhan kamu adalah Esa, datuk kamu pula adalah satu, kamu semua berasal daripada Adam dan Adam telah dijadikan daripada tanah..."

Ketujuh, banteras sistem monopoli. Umat Islam kini perlu mencari jalan menghapuskan sistem ini jika ia wujud.

Para ulama berkata, suatu hari nanti kamu kena berhati-hati dengan monopoli. Antara contohnya, pasar raya besar kini mengambil alih kedai-kedai runcit menyebabkan peniaga kecil sukar mencari makan. Monopoli akan menghakis rasa kasih sayang.

Kelapan, al-Quran dan sunnah sebagai panduan. Nabi meninggalkan dua khazanah ini kepada umat Islam.

Sabda Nabi yang bermaksud: Aku telah tinggalkan untuk kamu suatu panduan, jika kamu berpegang teguh dengan ajarannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya; kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

Mutakhir masih ada golongan wanita yang memperjuangkan emansipasi. Adakah benar Islam mendiskriminasi wanita?

SALAHUDDIN: Dakwaan itu tidak tepat. Islam meletakkan lelaki dan wanita itu sama kedudukannya. Ini dijelaskan menerusi firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 35.

Dalam ayat tersebut antara lain Allah menjelaskan bahawa orang lelaki dan wanita yang beriman itu sama-sama mendapat pengampunan dan pahala yang besar.

Sebaliknya kalau kita perhatikan khutbah Nabi SAW itu tadi, dijelaskan wajib bagi suami menjaga kehormatan isteri jangan dizalimi atau merendah-rendahkan mereka.

Waima jika bertengkar sehingga ke tahap perlu menghukum, suami dilarang memukul sehingga mencederakan. Yang dimaksudkan memisahkan tempat tidur bagi isteri yang ingkar itu bukanlah tidur berasingan tetapi tidur dengan membelakangkan isteri.

Sebab itu, kita disuruh bermusyawarah dengan isteri untuk mencapai kesepakatan. Kita disuruh berbuat baik dan memberi layanan mesra kepada isteri selagi mana mereka setia dan jujur melaksanakan perintah Allah.

Dari segi memikul tanggungjawab, kaum wanita juga memainkan peranan mencegah kemungkaran. Ini sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Dan orang lelaki dan perempuan yang beriman itu setengahnya menjadi penolong kepada setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan...(at-Taubah: 71)

Dalam hal masuk syurga pun tidak disebut lelaki masuk dahulu daripada wanita. Ini boleh dirujuk dalam firman Allah dalam ayat 195 surah ali-'Imran yang antara lain menyebut Allah tidak akan mensia-siakan amal soleh lelaki dan perempuan. Pada akhir ayat itu dijelaskan Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa syurga sebagai pahala di sisi-Nya.

Nabi SAW sudah mengingatkan umatnya tentang berbuat adil dan jangan menindas. Apa pengajarannya?

SALAHUDDIN: Memang kita disuruh berlaku adil dalam kehidupan bermasyarakat. Jangan gunakan kuasa kita untuk menindas orang lain.

Saidina Umar semasa melantik kakitangan kerajaan ada menulis watikah bahawa mereka itu adalah wakil kepada rakyat. Justeru, hendaklah menjalankan tugas dengan sebaiknya. Jika mereka (rakyat) datang hendaklah kamu melayan dengan baik.

Rasulullah SAW juga melarang keras perbuatan memperkosa harta atau hak orang lain. Sebabnya ia memberi kesan yang amat buruk.

Kerajaan Fathiniah misalnya, hanya menyedari kepentingan menunaikan hak rakyat seperti membina sekolah dan hospital di saat kerajaan mereka jatuh. Sayangnya, semua itu sudah terlambat.

Kesan daripada penganiayaan akan membawa kepada pemberontakan dan demonstrasi yang akan menggugat keamanan sesebuah negara.

Dalam realiti semasa, umat Islam perlu menguasai ekonomi untuk maju. Dengan demikian, barulah kita boleh keluar daripada status Negara Dunia Ketiga.

Nabi berpesan agar umatnya sentiasa patuh kepada al-Quran dan sunah untuk elak daripada sesat. Demikian juga dengan mafhum Allah bahawa kaum muslimin itu adalah bersaudara. Namun, masih timbul juga pertelingkahan dan perpecahan dalam umat Islam. Bagaimana mengatasi hal ini?

SALAHUDDIN: Imam al-Ghazali berkata, Nabi SAW bimbang umatnya kelak akan berhadapan dengan serangan yang akan merobohkan prinsip-prinsip Islam. Ia datang daripada musuh-musuhnya dan juga dari luar.

Hari ini, kita dapati banyak buku yang dibawa masuk dari luar. Oleh itu, kita perlu merujuk ia kepada al-Quran dan sunah untuk elak disesatkan oleh bahan tersebut.

Kedua, nabi juga bimbang pada akhir zaman, berlaku kekacauan ilmu dan amaliah sehingga menjadikan kita kepada sifat berlebihan atau ekstrem. Sedangkan kita disuruh bersederhana.

Ketiga, bimbang penyimpangan mengatasi kebenaran. Ini adalah penyakit dari segi ilmu. Ia melibatkan rasa riak. Apabila berlaku perselisihan, kita tidak mencari penyelesaian.

Saya menyarankan kita mengambil pandangan ulama seperti Sheikh Rashid Redza. Kata beliau, sepakat kita saling bekerjasama dalam hal persetujuan dan saling faham memahami kita dalam perkara yang berselisih atau berbeza.

Sebab itu, adalah malang apabila kita melihat insiden pengeboman di Pakistan. Marahkan orang lain, rakyat biasa yang menjadi mangsa pengeboman.

Walhal, Nabi SAW bersabda yang maksud-Nya, "tidak halal bagi seorang Muslim untuk menakutkan orang Muslim yang lainnya". (riwayat Abu Daud).

Sebab itu, perlu kita berlapang dada menerima perbezaan pendapat dalam hal-hal furu'.

Kita perlu bertanya, banyaknya persatuan Islam itu ke mana semua hendak pergi. Kalau ia menghala ke arah kebaikan Islam, maka teruskan tetapi jangan sampai mentakfirkan (mengkafirkan) umat Islam.

Mujtahid perlu faham manfaat dan mudarat

Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin

MALAYSIA mengamalkan Mazhab Syafie dan ia telah diwartakan sebagai mazhab rasmi dalam hampir semua perlembagaan dan undang-undang negeri.

Justeru, majoriti umat Islam menggangap mereka mesti mengamalkan mazhab tersebut secara tegar tanpa bertolak ansur, walaupun ada keperluan munasabah yang membenarkan.

Namun, dalam beberapa aspek seperti ibadat haji dam zakat, kelonggaran untuk menerima pandangan lain telah diperakukan.

Dalam Islam, semua hukum itu yang terangkum dalam maqasid syariah atau matlamat syariah tertakluk kepada prinsip maslahah (kebaikan) dan mafsadah (keburukan) bagi manusia.

Maqasid syariah adalah memelihara lima perkara iaitu menjaga agama, akal, nyawa, harta dan keturunan (maruah)

Konsep maslahah itu maksudnya, semua perbuatan manusia yang boleh membawa kebaikan hukumnya halal atau sebaliknya. Sementara apa yang membawa kepada keburukan hukumnya haram atau sebaliknya.

Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid berkata, berasaskan kepada prinsip inilah para fuqaha berpendapat, "bila ada maslahah di situ ada hukum".

Maksudnya, hukum selama-lamanya ditentukan oleh maslahah dan kepentingan hidup umat manusia.

Bagaimanapun, kata beliau, bukan semua fuqaha berpendirian sedemikian. Malah ada di antara mereka yang menolak konsep maqasid syariah secara total.

Bagi mereka, konsep ini memberi erti setiap hukum perlu ada asas yang boleh ditanya mengapa yang disebut al-ta'lil (menentukan alasan) dalam usul fiqh.

"Maka oleh kerana hukum itu dicipta oleh Allah ia akan bererti Allah boleh ditanya mengapa dan apa objektif serta tujuan mencipta hukum berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk 'Ijtihad, Taklid dan Talfiq dari Perspektif Maqasid al-Syariah' dalam seminar Taklid, Ijtihad dan Talfiq: Skop, Amalan dan Batasan baru-baru ini.

Ia dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Seminar sehari setengah itu dirasmikan oleh Pengerusi IKIM, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Turut hadir, Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan.

Objektif seminar antara lain adalah mengkaji ruang lingkup talfiq dan faktor-faktor yang mendorong kemunculan dan penggunaannya.

Ia juga bagi meningkatkan kefahaman tentang objektif undang-undang Islam dan menegaskan bahawa ia sesuai untuk semua keadaan, tempat dan zaman.

Sebanyak 11 kertas kerja dibentangkan termasuk pengalaman amalan talfiq dan taklid di Indonesia dan Brunei.

Seminar yang mendapat sambutan menggalakkan itu turut menarik penyertaan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid.

Menurut Mahmood Zuhdi, bagi merealisasikan maqasid syariah sebagai pendekatan dalam berijtihad seseorang mujtahid atau penyelidik perlu memahami dengan mendalam maksud manfaah (manfaat) dan madharrah (mudarat).

Katanya, mereka juga perlu objektif dalam membuat penilaian melalui merujuk keseluruhan hukum syarak dan kemudian merumuskan prinsip dalam bentuk yang menyeluruh.

"Ini supaya kemudiannya mudah diaplikasi apabila berhadapan dengan persoalan yang memerlukan penentuan sama ada perbuatan itu boleh dikelaskan kebaikan atau keburukan," jelas beliau.

Seorang lagi pembentang kertas kerja, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman berkata, walaupun undang-undang syariah berpaksikan wahyu, banyak ruang diberi kepada manusia untuk menggunakan akal fikiran secara bebas bagi mencapai kesempurnaan dalam perundangan.

"Para fuqaha dan mufti perlu menjadi pelopor kepada penerokaan dan pengembangan hukum syarak agar sejajar dengan peredaran masa dan tempat," katanya yang bertugas sebagai Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara.

Beliau menyatakan demikian dalam kertas kerjanya bertajuk 'Beberapa Manifestasi Penggunaan Ijtihad dan Talfiq Dalam Peruntukan-peruntukan Statut Moden di Malaysia'.

Menurut Sheikh Ghazali, dalam peruntukan undang-undang di Malaysia, ijtihad dan talfiq banyak digunakan dan penggunaannya agak meluas.

Sebagai contoh, dalam pembubaran perkahwinan. Kuasa mahkamah untuk membubarkan perkahwinan melalui fasakh kerana berlakunya dhirar terhadap isteri adalah satu bentuk talfiq kerana mengambil pandangan Mazhab Maliki.

"Sedangkan dalam Mazhab Syafie pembubaran perkahwinan melalui fasakh atas alasan dhirar tidak dibolehkan," jelas beliau.

Sheikh Ghazali turut menekankan kepentingan ijtihad dan talfiq dalam produk-produk perbankan Islam dan takaful.

Katanya, banyak produk telah diperkenalkan dalam sistem perbankan Islam dan takaful di Malaysia yang berdasarkan beberapa mazhab tanpa berpegang kepada Mazhab Syafie sahaja.

"Justeru, Ahli-ahli Majlis Penasihat Syariah di institusi perbankan boleh dianggap sebagai mujtahid yang bertanggungjawab melakukan ijtihad dengan mengkaji pandangan ulama terdahulu atau mencari pandangan yang terbaik daripada pandangan-pandangan mereka," katanya.

Sementara itu, Pegawai Istinbat Kanan Jabatan Mufti Brunei Darussalam, Awang Dennie Abdullah berkata, mengikut disiplin mazhab tidak dibolehkan dan dianggap tidak sah berfatwa dengan pendapat ulama-ulama dari mazhab lain.

Katanya, walaupun Mufti Mazhab Syafie tidak boleh berfatwa dengan mazhab lain, bukan semua persoalan semestinya berdasarkan fatwa Mazhab Syafie.

Menurut beliau, Ada beberapa perkara yang dikecualikan dalam keadaan tertentu termasuk ketika berpindah mazhab.

"Misalnya, dalam persoalan zakat ada tiga perkara yang boleh berfatwa dengan mazhab lain yakni Mazhab Hanafi.

"Yang pertama, persoalan memindahkan zakat. Kedua, memberi zakat seseorang kepada satu asnaf sahaja dan ketiga, memberi zakat seseorang kepada seorang saja," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam kertas kerjanya bertajuk 'Taklid-Talfiq di Negara Brunei Darussalam: Keperluan dan Pengalaman'.

Awang Dennie berkata, persoalan taklid kepada pendapat ulama-ulama Mazhab Syafie di Brunei masih berlaku dan masih relevan serta diperlukan.

Namun, kata beliau, sesetengah perkara yang berbangkit ada juga yang tidak jelas kewujudan hukumnya dalam kajian dan ijtihad itu, seperti dalam persoalan muamalat.

"Jadi, ketika ini akan dibincangkan tentang hukumnya oleh beberapa orang tetapi tetap juga merujuk hasil kajian dan ijtihad daripada pelbagai sudut," katanya.

Hidupkan Aidiladha dengan ibadah korban

Oleh ZUARIDA MOHYIN

HARI Raya Aidiladha dan ibadah korban tidak dapat dipisahkan dengan peristiwa Nabi Ibrahim a.s. yang diperintahkan oleh Allah SWT supaya mengorbankan puteranya, Nabi Ismail a.s.

Sayangnya, peristiwa agung ini sekadar dilihat dari sudut sejarahnya semata-mata. Sebab itulah, acap kali tibanya Aidiladha, segelintir masyarakat Islam di negara ini meletakkan perayaan ini setaraf dengan hari-hari cuti biasa. Berbeza dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri, yang disambut selama sebulan.

Adakah ini menunjukkan penghayatan terhadap pengertian dan pengajaran di sebalik Aidiladha itu sudah semakin terhakis dalam masyarakat kita? Jika ya, bagaimanakah seharusnya peristiwa tersohor ini dihayati pengajarannya sesuai dengan senario kehidupan sekarang.

Mengakui keperluan mendesak bagi menyemarakkan ibadah korban, Pengetua Kompleks Anak Yatim Darul Kifayah, Faridilatras Abd. Rahman berkata, sememangnya ibadah korban dan sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s tidak dapat dipisahkan.

"Sebenarnya Allah SWT menjadikan Hari Raya Haji sebagai salah satu syiar agama-Nya. Dalam istilah syarak, hari ini yang juga dikenali sebagai Hari Raya Aidiladha yang bererti perayaan penyembelihan korban.

"Oleh itu, jika kita benar-benar memahami sejarah berlakunya ibadah korban serta menghayati kisah Habil dan Qabil, maka ia akan mendidik jiwa sosial yang tinggi atau dalam erti kata lain, peka terhadap sosio-ekonomi dalam masyarakat," katanya dalam pertemuan dengan Mega, baru-baru ini.

Ibadah korban juga dapat melatih dan mendidik individu Muslim itu untuk bersikap dermawan.

Ini kerana Islam menyuruh agar daging sembelihan korban itu disedekahkan dan diagihkan kepada fakir miskin, di samping orang yang berkorban juga harus hukumnya memakan sebahagian kecil daripada daging tersebut.

Menurutnya lagi, perkara ini jelas menunjukkan bahawa Islam mengambil berat masalah yang dihadapi oleh golongan yang kurang bernasib baik.

"Begitu juga dengan kewajipan berzakat, disunatkan sedekah dan digalakkan penyembelihan korban, di mana menunjukkan agama Islam mengajar umatnya sentiasa menjauhi sistem ekonomi liberal yang menimbulkan jurang pemisah antara golongan miskin dan kaya.

"Sebaliknya Islam menggalakkan kesamaan ekonomi, kesamarataan kekayaan dan perkongsian kemakmuran," jelasnya.

Hakikatnya terang Faradilatras, Aidiladha adalah perayaan yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia merupakan sambutan terbesar dan teristimewa dalam agama Islam selain Hari Raya Aidilfitri.

Hari Raya Aidiladha disambut pada 10 Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha, khutbah pada pagi 10 Zulhijjah dan kemudian dilangsungkan ibadah korban yang boleh dilakukan pada 10, 11, 12 atau 13 Zulhijjah.

Tegas beliau, perayaan Aidilfitri dan Aidiladha adalah sama sahaja berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a, yang bermaksud: "Rasulullah SAW datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah SAW bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman Jahiliah: Kemudian Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (riwayat Abu Daud)

Oleh itu, jelaslah bahawa perayaan Aidilfitri dan Aidiladha adalah sama. Malah Rasulullah SAW juga ada menyatakan tentang kelebihan ibadat korban dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Al-Hakim yang bermaksud: "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih."

Sebenarnya kata Faridilatras, masyarakat hari ini menjadikan sambutan Aidilfitri lebih meriah berbanding Aidiladha kerana kurang faham akan peristiwa bersejarah melibatkan dua insan iaitu Nabi Ibrahim a.s dan anaknya, Nabi Ismail a.s yang sangat tinggi nilainya.

"Sudah lebih 1,400 tahun Nabi SAW meninggalkan kita dan sudah pastinya, ibadah hari raya kita sudah ditokok tambah dengan adat-adat dan budaya atau dikurangi beberapa perkara penting sehingga ia kini sudah menjadi lebih budaya daripada agama," jelasnya.

Di samping itu, Faridilatras berpendapat antara punca utama perbezaan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha adalah disebabkan kurangnya kesedaran tentang kelebihan melaksanakan amalan sunat seperti ibadah korban.

"Oleh yang demikian, saya merasakan perlu penerapan di peringkat awal kanak-kanak tentang sejarah keagungan ibadah korban agar ia terus bersemadi di dalam pemikiran masyarakat," katanya.

Sebenarnya kedatangan bulan Zulhijjah tegas Faradilatras, adalah bersama kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri.

Puasa sunat

Jadi, mestilah digunakan sebaiknya oleh umat Islam terutamanya dengan berpuasa sunat hari Arafah bagi yang tidak menunaikan haji, di samping melaungkan takbir bermula pagi sembilan Zulhijjah hingga berakhirnya hari 'tasyrik' iaitu hari ke 13 Zulhijjah.

"Islam amat menganjurkan amalan bertakbir (mengagungkan kekuasaan Allah SWT), bertahmid (memuji-muji kebesaran Allah SWT), bertasbih (menyucikan Allah SWT daripada sebarang kesyirikan) bagi meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT," katanya.

Malah, kalimah takbir yang dilaungkan itu bukan satu kalimah yang kosong, sebaliknya ia mampu menyuntik semangat juang dalam menghadapi pelbagai cabaran dan ujian hidup yang sememangnya terpaksa kita hadapi sebelum diiktiraf tahap keimanan kita kepada Allah SWT.

"Kalau kita hayati maksud Hari Raya Aidiladha itu sendiri, ia membawa maksud Hari Raya Korban, maka kita disunatkan untuk melakukan ibadah korban.

"Ini bagi memupuk semangat sanggup berkorban apa sahaja untuk meninggikan agama serta menghilangkan rasa terlalu sayang pada harta kesenangan dunia.

"Tanpa didikan dan asuhan agama dalam hal berkorban ini, maka agak sukar bagi kita untuk melakukan pengorbanan yang lebih besar terutamanya dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini," katanya.

Menurut Faradilatras, umat Islam dianjurkan memperbanyakkan ibadat pada malam Aidiladha. Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan dua malam Aidilfitri dan Aidiladha (dengan ibadat), maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana hati-hati manusia akan mati (iaitu leka dari mengingati Allah SWT)". (riwayat Ibnu Majah).

Amalan yang sunat dilakukan pada Hari Raya Aidiladha adalah melakukan korban dengan menyembelih haiwan ternakan seperti lembu dan kambing.

Jika diperhatikan kini, jumlah penyembelihan semakin bertambah setahun demi setahun. Malah trend terbaru ialah menunaikan ibadah korban dan akikah di luar Malaysia atau di negara-negara umat Islam yang lebih memerlukan seperti di Kemboja, Palestin dan sebagainya.

Dalam Islam pengagihan daging korban ke negara luar adalah diharuskan. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: Dengan yang demikian makanlah kamu daripada (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah (yang fakir miskin). (al-Hajj: 28)

"Ayat ini menjelaskan bahawa, kita diperintah untuk mengagihkan dan memberi makan kepada fakir miskin tidak dikhususkan kepada negara-negara tertentu, selagi mana ia tidak terkeluar daripada perintah syarak.

"Di samping itu juga, Islam tidak melarang untuk membantu saudara kita yang berada dalam kesusahan," katanya.

Lebih baik lagi, jika daging korban dapat diagihkan kepada masyarakat yang lebih memerlukan seperti di negara-negara Islam lain, terutamanya kepada mereka yang ditimpa bencana gempa bumi, peperangan dan kebuluran.

"Dan inilah, salah satu hikmah pelaksanaan ibadah korban yang menjurus kepada perkongsian kemakmuran dan menjauhkan umat Islam daripada sistem ekonomi liberal.

"Masyarakat pada hari ini, sewajarnya menilai bahawa Allah SWT telah menganugerahkan rezeki yang banyak di Malaysia, sehingga daging-daging korban berlebihan, sedangkan ada negara Islam yang masyarakatnya ramai, namun daging korban tidak mencukupi," kata Faradilatras. Sewajarnyalah program korban dan akikah serta pengagihan di negara-negara umat Islam lain disokong oleh setiap individu Muslim.

Malah menurutnya lagi, Dr. Yusuf al-Qaradawi, dalam penulisannya yang bertajuk Yusuf Qardawi dan pandangannya tentang Fiqh Minoriti dan Maslahah menyatakan, "maslahah (kepentingan umum) bermaksud kepentingan, kebajikan atau apa-apa yang mendatangkan faedah kepada masyarakat".

Jadi, pengagihan korban ke luar negara seperti di Kemboja dan negara-negara Islam yang lain boleh dikategorikan sebagai maslahah ummah (kepentingan umum).

Menyentuh cara sambutan ibadah korban dahulu hingga sekarang, terang Faradilatras, amalan ibadah korban sebenarnya telah dilaksanakan sejak dari zaman Nabi Adam a.s sehingga ke zaman Jahiliah.

Menyembelih korban di zaman nabi Adam a.s, adalah suatu sunat yang telah amat lama, yang dilakukan pertama kali oleh dua orang anak Adam, iaitu Qabil dan Habil atas perintah Adam a.s.

Firman Allah SWT: Dan baca oleh mu untuk mereka (terangkanlah olehmu untuk mereka) khabar berita dua orang anak Adam dengan sebenarnya, di kala anak Adam itu mempersembahkan korbannya maka Allah menerima korban salah seorang daripada keduanya termasuk menolak korban yang seorang lagi (iaitu Qabil). (al-Maidah 27)

Pada zaman Nabi Nuh a.s, sesudah terjadi taufan, Nabi Nuh a.s membuat tempat yang sengaja dan tertentu untuk meletakkan korban, yang nantinya korban tersebut dibakar.

Pada zaman Nabi Ibrahim a.s, yang mana pada mulanya beliau melakukan korban itu dengan memberi sedekah roti dan sebagainya. Menurut riwayat, beliau menyembelih anak sapi, kambing dan biri-biri.

Pada suatu ketika, Allah SWT menguji kekuatan iman Nabi Ibrahim a.s dengan memerintah kepadanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s sebagai korban. Hal ini telah digambarkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, surah ash-Shaffat, ayat 103 - 107.

Penyembelihan korban berterusan dilakukan hingga zaman Nabi Musa a.s iaitu membahagikan binatang yang disediakan untuk korban kepada dua bahagian. Sebahagian dilepaskan sahaja dan sebahagian lagi disembelih.

Sebagai berkongsi pengalaman, beliau yang pernah menuntut di Universiti Islam Madinah menceritakan, kebanyakan orang Arab sentiasa berlumba-lumba terutamanya di dalam hal agama khususnya memperbanyakkan ibadah sedekah dan korban.

Ini kerana mereka meyakini setiap amalan baik akan diberi pahala yang setimpal.

Sewaktu membuat lawatan rasmi kerja di Kemboja pula, beliau dapati, masyarakat kemboja menanti-nanti daging korban daripada luar negara, ini adalah kerana mereka menghadapi kesempitan hidup berbanding negara-negara lain seperti Malaysia.

Oleh itu, saran Faradilatras, umat Islam Malaysia perlu bersyukur dengan nikmat kekayaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT dengan menyalurkan bantuan seperti melaksanakan ibadah korban.

Wednesday, November 18, 2009

Hutang: Keperluan atau pelengkap

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

BERHUTANG memang seronok dan mudah untuk melakukannya tetapi jika ia tidak dilakukan dengan cara yang betul kesannya boleh membawa derita sepanjang hidup.

Tidak dinafikan ada keadaan tertentu berhutang adalah suatu keperluan, namun yang peliknya ada yang suka berhutang walaupun tidak mempunyai sebarang keperluan.

Tabiat suka berhutang ini barangkali dapat digambarkan menerusi satu laporan www.sabahdaily.com, bahawa perangkaan Bank Negara menunjukkan sebanyak 11 juta kad kredit digunakan di seluruh negara sehingga April 2009 membabitkan had RM105.5 bilion dan dengan purata empat kad seorang, baki tertunggak belum dijelaskan setakat April lalu ialah RM22 bilion.

Maka tidak hairanlah seperti yang dilaporkan bahawa jumlah pemegang kad kredit yang muflis semakin meningkat saban tahun.

Tabiat suka berhutang kerana ingin memenuhi kehendak atau keinginan atau tanpa ada sebarang keperluan adalah satu tabiat yang buruk dalam berhutang dan tabiat ini perlu dibendung.

Berlandaskan dalil-dalil daripada hadis Rasulullah, aktiviti berhutang ini walaupun dibenarkan oleh Islam namun ia adalah suatu aktiviti yang tidak digalakkan. Di antara ayat al-Quran yang paling panjang berkenaan dengan hutang adalah ayat 282 surah al-Baqarah yang menggambarkan amalan hutang ini adalah perkara yang sangat penting dan tidak boleh dipandang remeh.

Hutang jika tidak diurus dengan baik mungkin enaknya sementara tetapi yang pasti akan menjadi malapetaka di akhirat sebagaimana yang boleh kita fahami daripada ingatan-ingatan Rasulullah SAW berikut.

Nabi SAW bersabda ertinya: Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia). (riwayat Muslim).

Lebih dahsyat lagi apabila ada di kalangan yang berhutang itu awal-awal lagi memasang niat tidak mahu membayar balik hutang berkenaan.

Sabda Nabi SAW, ertinya: Barang siapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barang siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya. (riwayat al-Bukhari).

Rasulullah juga selalu berdoa berlindung daripada tabiat buruk dalam berhutang kerana dari tabiat suka berhutang ini akan membawa kepada sifat-sifat tercela yang lain.

Sabda Baginda ertinya: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada perbuatan dosa dan mempunyai bebanan hutang. Apabila ditanya kenapa baginda banyak memohon perlindungan kepada Allah dari mempunyai bebanan hutang, Baginda bersabda: "Sesungguhnya seseorang itu jika mempunyai hutang, maka kalau ia berbicara tentu ia suka berdusta dan jika ia berjanji tentu ia tidak menepatinya". (riwayat Bukhari)

Islam memberi amaran supaya berhati-hati dan sentiasa berwaspada kepada tabiat berhutang ini kerana jika tidak dikawal ia boleh memberi kesan yang buruk sama ada kepada individu berkenaan mahupun kepada masyarakat.

Di antara kesan kepada individu sebagaimana yang disebut Al-Qurtubi di dalam kitabnya al-Jaami' li Ahkaam al-Qur'aan akan menyebabkan seseorang itu merasa terhina, berdusta, mungkir janji dan lebih buruk lagi disekat daripada memasuki syurga.

Kesan kepada masyarakat pula ialah wujudnya keinginan kepada kepuasan segera tanpa memikirkan masa hadapan, menghakis rasa kebertanggungjawaban dan lemahnya pengagihan kekayaan.

Dari sudut hukum, hutang pada asalnya adalah harus. Namun status ini boleh berubah mengikut senario.

Hukum berhutang boleh menjadi wajib apabila niat berhutang tersebut untuk memenuhi keperluan asas yang dharuri yang jika tidak berhutang akan menyebabkan lima perkara asas yang dilindungi dalam Islam akan musnah iaitu agama, nyawa, akal, maruah dan harta.

Walaubagaimanapun, hukum berhutang ini boleh menjadi haram jika tujuan berhutang tersebut untuk perkara yang diharamkan oleh Islam.

Keharusan untuk berhutang dalam Islam bergantung kepada niat. Islam membenarkan berhutang pada keperluan-keperluan hidup yang asasi yang tidak dapat dielakkan. Ini bermakna kalau tiada keperluan maka tidak perlu berhutang.

Bila kita berhutang pada perkara yang tidak perlu dan belum sangat mendesak, sebenarnya kita telah menzalimi diri kita sendiri. (Ustaz Amaluddin Mohd Napiah,www.galeriilmu.com.my)

Berhutang dibenarkan dalam Islam apabila ia menjadi satu keperluan dan bukan kerana keinginan atau kehendak. Untuk menentukan ia suatu keperluan atau kehendak maka memahami aulawiyat (keutamaan) dalam kehidupan adalah sangat penting.

Menurut Al Sheikh Dr. Yusof Al Qardawi memahami aulawiyat itu didasarkan kepada prinsip mengutamakan suatu perkara ke atas suatu perkara yang lain. Justeru, suatu yang kurang penting tidak wajib dipentingkan.

Kehidupan manusia dewasa ini semakin mencabar dan keperluan hidup mereka juga semakin kompleks. Memahami dan menentukan keutamaan dalam kehidupan merupakan satu subjek yang sangat penting.

Bijaksana dalam menguruskan keperluan hidup menjadi asas penting seseorang itu akan dapat menikmati kebahagiaan hakiki. Tingkatan keperluan dalam kehidupan seseorang itu berkisar kepada perkara dharuriyyat (sangat perlu), perkara hajiyyat (memudahkan) dan perkara tahsiniyyat (aksesori).

Perkara dharuriyyat adalah perkara yang sangat diperlukan dan jika tiada akan menghancurkan kehidupan. Untuk memahami tahap keperluan tersebut ialah dengan melihat jika perkara itu tidak ada maka adakah ia akan merosakkan lima perkara asas yang dijamin oleh Islam iaitu adakah akan merosakkan agama, menghilangkan nyawa, merosakkan akal, mencemarkan maruah (keturunan) atau memusnahkan harta benda.

Jika tidak sampai ke tahap sedemikian maka ia bukanlah suatu perkara yang sangat perlu.

Perkara hajiyyat adalah sekiranya perkara tersebut ada maka akan memudahkan seperti memiliki kenderaan sendiri untuk ke tempat kerja. Walaupun tiada kenderaan sendiri masih boleh pergi ke tempat kerja dengan menaiki kenderaan awam tetapi jika mempunyai kenderaan sendiri maka akan lebih memudahkan.

Perkara tahsiniyyat pula lebih berbentuk perkara-perkara yang menjadi nilai tambah yang jika tidak ada tidak akan menghancurkan kehidupan atau menyusahkan. Seperti memiliki tempat tinggal ada satu keperluan dharuri tetapi kediaman yang dihiasi dengan landskap adalah bersifat tahsiniyat yang hanya menambah kecantikan kediaman itu sahaja.

Dengan membuat analisis terhadap tingkatan keperluan dalam hidup akan membantu seseorang itu membuat perancangan kewangan yang betul seterusnya dapat menentukan apakah keutamaan dalam hidupnya.

Beliau akan dapat menentukan apa yang perlu didahulukan, apa yang boleh ditangguhkan, apa yang lebih penting dan sebagainya.

Tip-tip oleh Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) berikut mungkin dapat membantu lebih memahami apakah prinsip yang perlu dipatuhi apabila hendak membuat pinjaman atau berhutang. (www.akpk.org.my)

Anda hanya perlu meminjam untuk sesuatu yang anda benar-benar perlu tetapi tidak mempunyai duit tunai untuk membayarnya.

Sebagai contoh, untuk membeli rumah, untuk membiayai pendidikan lanjutan anak-anak dan untuk membeli sebuah kereta (akan bincangkan hal ini kemudian).

Meminjam sejumlah duit di dalam kemampuan anda untuk membayar balik. Ini mungkin logik tetapi malangnya, ia bukan amalan biasa.

Ramai yang terlebih memberi komitmen dalam hutang kerana menyangka ekonomi akan terus berkembang dan situasi yang baik akan terus kekal.

Namun, bila tiba masanya, mereka ini akan menghadapi kesukaran membuat bayaran balik dan perampasan kereta dan harta mula dikuatkuasakan.

Elakkan meminjam untuk membiayai aset yang susut nilai. Ini mungkin akan menyinggung perasaan sesetengah orang tetapi ia adalah prinsip yang baik untuk diikuti. Cuba dapatkan barang-barang ini secara tunai dari simpanan anda daripada meminjam. Jika tidak, jangan beli.

Dewasa ini instrumen berhutang terbuka luas dan banyak ditawarkan dalam pasaran sama ada oleh institusi kewangan yang sah seperti bank mahupun oleh institusi yang tidak sah seperti 'ah long'.

Secara umumnya masyarakat hari ini banyak berhutang menerusi kad kredit, pinjaman peribadi, pinjaman kereta dan perumahan. Perlu disedari seluruh jenis pinjaman sama ada menerusi kad kredit, pinjaman peribadi, pinjaman kereta dan perumahan yang dilakukan secara konvensional adalah diharamkan oleh Islam sebagaimana yang disepakati oleh seluruh ulama.

Oleh itu, jika seseorang perlu berhutang maka hendaklah dia memastikan kaedah berhutang tersebut mengikut cara yang dibenarkan oleh Islam iaitu sama ada secara qard hasan (pinjaman tanpa faedah) atau menerusi fasiliti pembiayaan kewangan secara Islam yang berlandaskan jual beli yang sah yang ditawarkan oleh institusi-institusi kewangan Islam.

Hutang adalah satu kewajipan yang perlu dilangsaikan. Walaupun tidak dituntut, membayar hutang adalah wajib dan jangan menangguh-nangguhkan pembayaran balik hutang.

Monday, November 9, 2009

Ummu Qais melawat nabi

UMMU Qais atau nama sebenarnya Aminah binti Muhsan. Beliau adalah adik-beradik dengan seorang sahabat Nabi Muhammad iaitu Ukasayah bin Muhsan.

Sejarah Islam menyatakan bahawa Ummu Qais adalah antara wanita yang awal memeluk agama Islam. Dia berasal dari Bani Asad. Sesudah dia memeluk Islam, dia tidak terlepas daripada menerima pelbagai seksaan yang kejam daripada pihak orang kafir Quraisy.

"Orang kafir Quraisy tidak henti-henti menyeksa orang Islam di Mekah. Mereka sebenarnya benci terhadap orang Islam," kata seorang perempuan Muslim.

"Memang benar. Mereka semakin mengganas. Sekiranya mereka tahu di antara kita sudah menjadi orang Islam, mereka akan seksa dan bunuh kita. Mereka sudah tidak berhati perut," kata Ummu Qais pula.

Sedang asyik mereka berbual tiba-tiba datang seorang anak kecil memberitahu mereka tentang perihal orang kafir Quraisy.

"Ibu, cepat sembunyikan diri. Saya lihat orang kafir Quraisy sedang menuju ke arah kawasan kita. Mereka ingin menangkap orang Islam," kata anak perempuan Muslim itu tadi.

"Mari kita sembunyikan diri di dalam rumah masing-masing," kata perempuan Islam itu.

Mereka bersurai meninggalkan tempat tersebut. Masing-masing menyelamatkan diri di rumah sendiri. Orang kafir Quraisy semakin mengganas. Melihat kepada kezaliman Quraisy, Nabi Muhammad meminta orang Islam berhijrah ke Madinah.

"Wahai para sahabat, berhijrahlah ke Madinah. Kalian akan aman di sana," kata Nabi Muhammad.

Ummu Qais dan orang Islam yang lain mula berhijrah ke Madinah. Mereka meninggalkan rumah masing-masing untuk mencari ketenangan beribadat di Madinah.

Ummu Qais adalah seorang wanita yang rajin mempelajari ilmu agama. Dia telah melaporkan sebanyak 24 hadis daripada Nabi Muhammad. Keluarganya sangat dihormati oleh Nabi Muhammad.

Pada suatu hari, Ummu Qais datang ke rumah Nabi Muhammad bersama-sama anaknya yang masih bayi. Kedatangan Ummu Qais ke rumah Nabi Muhammad di sambut baik oleh Nabi Muhammad dan isterinya.

"Silakan masuk," pelawa Nabi Muhammad kepada Ummu Qais dan anaknya.

Ummu Qais dan anaknya masuk ke rumah Nabi Muhammad. Isteri Nabi Muhammad ada bersama di rumah itu.

"Silakan duduk," pelawa isteri Nabi Muhammad.

"Biar saya yang dukung bayi ini," kata Nabi Muhammad. Bayi itu dibawa masuk ke bilik Nabi Muhammad.

Isteri Nabi Muhammad berbual panjang dengan Ummu Qais. Dia dilayan dengan baik.

"Awak sudah makan?" tanya isteri Nabi Muhammada kepada Ummu Qais.

"Belum," jawab Ummu Qais.

Kemudian isteri Nabi Muhammad membawa makanan untuk tetamunya itu. Sedang asyik mereka berbual, tiba-tiba anak Ummu Qais menangis. Rupa-rupanya bayi itu membuang air kecil. Najisnya terkena baju Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad tersenyum dan berkata, "Bayi ini sudah melepaskan hajatnya".

Ummu Qais dan isteri Nabi Muhammad tersenyum melihat kejadian itu. Kemudian Nabi Muhammad berkata, "Berikan saya air".

Tanpa membuang masa, isteri Nabi Muhammad mengambil sebekas air yang terdapat di dapur rumahnya itu. Kemudian Nabi Muhammad mengambil air itu lalu menyiram air tersebut ke atas bajunya yang terkena najis bayi itu. Nabi Muhammad terus sahaja memakai baju itu tanpa mencucinya terlebih dahulu.

Begitu terperinci cara Nabi Muhammad mengajar wanita mencuci najis seorang bayi. Islam tidak membebankan seseorang dalam melaksanakan ibadatnya.

Selain itu, Nabi Muhammad juga bersikap baik terhadap anak yang masih kecil. Anak adalah amanah yang diberikan oleh Allah kepada manusia. Anak perlu dijaga dan didik dengan baik.

Ummu Qais adalah seorang ibu yang baik dan penyayang. Dia amat mengambil berat terhadap kesihatan anaknya. Semasa anaknya sakit, dia telah berjumpa dengan Nabi Muhammad bagi mendapat nasihat rawatan penyakit anaknya itu.

Anaknya mengalami sakit kerongkong. Lalu Ummu Qais menggunakan lintah dan diletakkan di leher anaknya.

Nabi Muhammad berkata, "Mengapa awak menyakiti anak awak dengan menggunakan lintah? Awak boleh guna kayu gaharu iaitu sejenis kayu dari India. Kayu itu boleh mengubati pelbagai jenis penyakit".

Ummu Qais mengikuti nasihat Nabi Muhammad. Ummu Qais merupakan wanita yang memiliki umur yang panjang. Sepanjang hidupnya dia banyak melakukan amal ibadah kepada Allah.

Ilmu menjadikan kita takut kepada Allah

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Pada hari ini, kita melihat rata-rata umat Islam di negara ini sudah mula berjinak-jinak dengan majlis-majlis ilmu dan ulama. Di masjid-masjid dan surau-surau majlis-majlis pengajian ilmu semakin rancak diadakan.

Ia mendapat sambutan yang memberangsangkan dari segenap lapisan masyarakat yang dahagakan ilmu dan pentarbiahan hatta terdapat masjid yang mengadakan majlis pengajian pada setiap malam. Ini suatu perkembangan yang baik kepada peningkatan kualiti umat Islam di negara ini dan agama Islam itu sendiri.

Persoalannya, apakah ilmu yang mereka perolehi ini benar-benar memberikan manfaat dan kesan ke dalam diri mereka?

Ketahuilah, bahawa sebaik-baik ilmu ialah ilmu yang menjelmakan perasaan takut kepada Allah SWT. Iaitu, takut yang disertai perasaan membesarkan Allah dan menumbuhkan amal. Allah SWT telah memuji para ulama melalui firman-Nya: Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. (al-Faatir: 28)

Inilah ilmu yang paling bermanfaat kerana ilmulah yang memandu kita ke jalan akhirat. Kalam hikmah ini diungkapkan oleh Sheikh Ibnu Atoillah al Sakandari r.a dalam Hikamnya yang bertajuk al Hikam al Atoiyyah.

Terbukti, kalam hikmahnya ini telah mampu melunakkan hati yang keras, menenangkan jiwa yang resah, mengekang nafsu yang rakus dan mengajak manusia menyelami hikmah-hikmah di sebalik kejadian Allah SWT. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya.

Adapun orang alim yang tidak mempunyai perasaan takut kepada Allah bukanlah orang alim yang sebenarnya.

Lebih-lebih lagi, orang alim yang keinginannya untuk mendapatkan kemewahan dunia, kemegahan dan bersikap takbur dengan ilmunya.

Ilmu sebegini hanya akan menjadi hujah ke atasnya di akhirat kelak dan sebab yang akan mengundang bala dan akibat yang buruk kepadanya.

Umar ibn al Khattab r.a pernah berkata, "Perkara yang paling aku takuti berlaku terhadap umat ini ialah munculnya orang yang alim pada lisan tetapi jahil pada hati".

Ini bukanlah ciri-ciri pewaris para nabi kerana pewaris para nabi memiliki sifat zuhud terhadap dunia, berminat terhadap akhirat, ikhlas menyampaikan amanah ilmu dan bertakwa.

Orang yang memiliki ilmu yang bermanfaat, tidak memiliki sifat bongkak atau takbur, tidak suka mencaci orang lain, berlapang dada, mudah diajak berbincang dan tidak cepat melatah.

Sahl ibn Abdullah r.a pernah berkata: "Janganlah kalian memutuskan satu urusan dari urusan-urusan dunia dan agama kecuali setelah berbincang dengan ulama. Maka kesudahannya akan dipuji di sisi Allah SWT".

Abu Muhammad r.a pernah ditanya: "Wahai Abu Muhammad! Siapakah ulama?" Jawabnya: "Orang-orang yang mengutamakan akhirat daripada dunia dan mengutamakan Allah daripada diri mereka sendiri".

Saidina Umar ibn al Khattab r.a pernah mewasiatkan: "Berbincanglah mengenai urusanmu dengan orang-orang yang takutkan Allah".

Al Wasiti r.a berkata: "Manusia yang paling pengasih ialah ulama, kerana perasaan takut mereka kepada Allah dan kebimbangan mereka terhadap apa yang diajar oleh Allah SWT".

Banyak ayat dan hadis yang menyebut tentang kemuliaan ilmu atau ulama. Rasulullah SAW pernah bersabda: "Penuntut ilmu dijamin oleh Allah rezekinya".

Ketahuilah, bahawa ilmu yang diulang-ulang sebutannya di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW ialah ilmu yang bermanfaat yang disertai oleh perasaan takut kepada Allah. Bahkan, ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang mampu menguasai nafsu dan mengekang syahwat.

Disebut juga, ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang membantu pemiliknya mentaati Allah, dan berdiri di atas landasan agama Allah.

Sebahagian Salaf berkata: "Sesiapa yang bertambah ilmunya, maka bertambah jugalah kekhusyukannya (kerendahan hatinya)".

Seorang lelaki bertanya kepada Sheikh Junaid al Baghdadi r.a: "Apakah ilmu yang paling berguna?" Jawabnya, "Ilmu yang menunjukkan kamu kepada Allah SWT dan menjauhkan kamu daripada menurut hawa nafsumu".

Beliau berkata lagi: "Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang menunjukkan pemiliknya kepada sifat tawaduk, sentiasa bermujahadah, menjaga hati, menjaga anggota zahir dari melakukan maksiat, takut kepada Allah, berpaling daripada dunia dan penuntut dunia, menjauhi orang-orang yang mengasihi dunia, meninggalkan apa yang ada di dunia kepada ahli dunia, suka memberi nasihat kepada makhluk, baik perilaku terhadap makhluk, suka duduk bersama golongan fuqara, memuliakan kekasih-kekasih Allah dan menghadapkan diri kepada apa yang mereka utamakan.

"Apabila orang alim yang mencintai dunia dan ahlinya, dan mengumpulkan dunia melebihi daripada keperluannya, maka dia akan lalai daripada akhirat dan ketaatan kepada Allah mengikut kadar kecintaannya kepada dunia".

Allah SWT berfirman (maksudnya): Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat. (al-Rum: 7)

Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang kasihkan dunia, maka dia telah membahayakan akhiratnya dan siapa yang kasihkan akhirat maka dia telah membahayakan dunianya. Justeru ingatlah, utamakanlah suatu yang kekal (akhirat) daripada yang akan rosak binasa (dunia)". (riwayat Imam Ahmad dan al Hakim)

Fudhail ibn 'Iyadh berkata: "Orang alim ialah doktor agama dan cinta dunia ialah penyakit agama. Apabila doktor telah memasukkan atau mengheret penyakit ke dalam dirinya, maka bilakah masanya dia boleh mengubati orang lain".

Sesiapa yang ilmunya memandunya kepada menuntut dunia, ketinggian di dalamnya, jawatan dan pandangan makhluk, maka ia adalah ilmu yang tidak bermanfaat. Bahkan, dia tertipu dengan ilmunya.

Tidak ada kerugian yang lebih besar daripada rosaknya orang alim dengan ilmunya yang diharapkan dapat menyelamatkannya. Kami memohon dengan Allah daripadanya.

Ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang diamalkan. Ulama mengumpamakan orang yang menghabiskan banyak waktu menuntut ilmu, duduk selama 40 atau 50 tahun belajar tanpa beramal, seperti orang yang asyik bersuci selama waktu itu dan memperbaharui wuduknya tetapi tidak solat walau satu rakaat.

Ini kerana maksud atau tujuan suatu ilmu ialah beramal dengannya sebagaimana tujuan berwuduk adalah untuk melakukan solat.

Berkata sebahagian ulama: "Kalaulah ilmu tanpa takwa itu penentu suatu kemuliaan, nescaya semulia-mulia makhluk Allah ialah iblis".

Berbeza manhaj tidak mesti sesat

Apakah manhaj penyampaian tauhid oleh Nabi SAW kepada para sahabat?

NIZAM: Dari sudut sejarah, pendekatan penyampaian akidah tauhid kepada para sahabat pada zaman Rasulullah SAW bersifat mudah dan padat. Maksudnya, menggunakan terus pendekatan al-Quran menerusi wahyu Allah.

Jika ada sebarang pertanyaan yang menuntut penjelasan dari Rasulullah, baginda memberi penerangan terus atau menunggu wahyu Allah. Corak jawapan kepada persoalan tersebut berbeza-beza tahapnya bersesuaian dengan tahap pertanyaan dari siapa dan keadaan semasa.

Penjelasan Nabi SAW dengan bait katanya pula menjadi sunnah ikutan dalam hal berakidah. Oleh sebab itu, pendekatan zaman awal Islam boleh dikatakan sebagai menggunakan pendekatan al-Quran dan al-Sunnah.

Pada zaman ini, masyarakat Islam menerima apa sahaja yang dibawa oleh Rasulullah tanpa banyak soal. Mereka beriman sepenuhnya dengan apa yang diajar kepada mereka oleh Nabi SAW.

Sebagai contoh, lihatlah sahaja bagaimana peribadi Saidina Abu Bakar yang membenarkan apa yang diceritakan kepadanya tentang peristiwa ghaib Israk dan Mikraj tanpa banyak soal tentang kebenarannya.

Asalkan khabar berita yang dibawa kepadanya datang dari Nabi Muhammad SAW, beliau akan membenarkannya. Oleh sebab itulah, beliau diberi gelaran al-Siddiq yang bererti yang membenarkan. (Muhammad Mutawalla al-Sya'rawi , 1981:110)

Adakah ini bermakna, suasana perbahasan ketika itu tenang daripada polemik?

NIZAM: Ringkasnya, suasana perbahasan pada zaman Rasulullah amat tenang daripada pertelingkahan pendapat khususnya dalam masalah akidah. Mereka menolak perdebatan dan perbahasan panjang tentang persoalan Ilahiyyat.

Rasulullah adalah sumber rujukan utama. Mereka juga menerima agama daripada riwayat yang benar dan athar yang diriwayatkan dari dalil orang adil dan thiqah (dipercayai) sehingga sampai kepada Rasulullah.

Mereka memahami apa yang diterangkan oleh Rasulullah dan memilih untuk berdiam diri dari berdebat tentang sifat-sifat Allah. Mereka juga tidak pernah membeza-bezakan sifat-sifat tersebut menjadi sifat zat dan sifat fi'l, melainkan mereka menetapkan sifat-sifat azali bagi Allah.

Mereka juga memutlakkan makna yang telah dimutlakkan Allah sendiri bagi diri-Nya, seperti wajah, tangan dan sebagainya dengan menafikan kesamaan sifat itu dengan makhluk. Mereka menetapkannya tanpa tasybih dan mensucikannya tanpa ta'til.

Mereka bersepakat mengakui sifat-sifat Allah sebagaimana diajar dan tidak ada yang pernah mengambil cara-cara ilmu Kalam dan juga falsafah. (Abu al-Hasan 'Ali bin Isma'il al-Asy'ari, 1999:8 & 9)

Apakah pula pendekatan mengajar tauhid selepas wafatnya Nabi SAW?

NIZAM: Setelah wafatnya Rasulullah khususnya pada era tiga kurun awal hijrah, pendekatan yang digunakan masih bersesuaian dengan kaedah yang ditinggalkan oleh baginda.

Kaedah pengajaran ini lebih dikenali dengan kaedah salaf, iaitu kaedah yang digunapakai oleh golongan terkemudian dalam mengajar tauhid kepada masyarakat. Istilah salaf ini mula masyhur ketika mana berlaku persaingan pemikiran dan perdebatan aliran-aliran ilmu kalam dalam soal usuluddin atau dasar-dasar agama berhubung dengan persoalan akidah.

Ramai dalam kalangan mereka cuba mengaku diri sebagai golongan salaf dan cuba mempertahankan Islam dari serangan pemikiran ahli bidaah. (Muhammad bin Aman al-Jami', 1991:57)

Pada zaman kemudiannya, ketika mana unsur falsafah dan ilmu kalam meresap masuk dalam ilmu tauhid, pendekatan pengajaran tauhid turut menggunakan kaedah falsafah dan ilmu kalam khusus dalam menjawab penyelewengan yang timbul dalam aspek akidah.

Pada masa yang sama, golongan salaf terutamanya ahli hadis membuat bantahan terhadap kaedah yang diguna pakai oleh ahli Ilmu Kalam. Mereka berpendapat, al-Quran dan al-Sunnah sudah memadai dalam mencari jawapan terhadap persoalan akidah dan tidak perlu kepada dalil akal atau menggunakan kaedah falsafah.

Para sahabat dan tabien menutup rapat pintu ta'wil dalam soal Ilahiyyat misalnya ta'wilan dan tafsiran yang membawa kekeliruan dan salah faham tidak mendapat tempat di sisi mereka. Soalan yang berbentuk bagaimana dan kenapa adalah perkara yang dijauhi dan dianggap suatu perkara bidaah dalam hal Ilahiyyat. ('Irfan Abd al-Hamid, 1967:126)

Kemudiannya, bangkit Ibn Taimiyyah (m.728H) yang merumuskan pendekatan Tauhid Tiga Serangkai iaitu rumusan tauhid berdasarkan kepada Tauhid Rububiah, Uluhiah dan Asma' wa Sifat yang berteraskan fahaman kaedah salaf.

Bila pula munculnya tauhid berasaskan Sifat 20?

NIZAM: Pada zaman mutakhir, tatkala umat Islam diserang pemikiran akidahnya dan bercampur baur pemahaman akidahnya dengan unsur falsafah yang menyesatkan, muncul Muhammad Yusuf al-Sanusi (w.896H / 1490M) dengan pendekatan baru iaitu pendekatan Sifat 20 dalam kitabnya yang masyhur iaitu Umm al-Barahin.

Pendekatan ini tersebar luas sehingga ke nusantara Asia Tenggara termasuk Malaysia. Pendekatan sifat 20 ini dalam memahami akidah kemudiannya dikembangkan dalam bentuk terjemahan oleh ulama nusantara dalam kitab-kitab jawi atau juga dikenali sebagai kitab-kitab kuning.

Pada tahun 1757M. iaitu pada abad ke 18M. misalnya, Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin telah menterjemah serta mengubah suai kitab al-Sanusi yang bertajuk Umm al-Barahin yang membincangkan persoalan berkaitan dengan ajaran Sifat 20. Kitab tersebut kemudiannya dinamakan Bidayah al-Hidayah. (Kamarul Bakri bin Abd. Aziz, 1999:80 & 81)

Selepas itu beberapa kitab berkenaan dengan ilmu tauhid yang berasaskan kitab Umm al-Barahin ini telah dikarang. Di antaranya ialah Zuhrah al-Murid fi Bayan Kalimah al-Tauhid oleh Abdul Samad Palembani pada tahun 1764M di Mekah.

Pada masa itu juga, Nawawi Bentani yang berada di Mekah telah menyusun sebuah kitab syarah kepada Umm al-Barahin yang bertajuk Zari'at al-Yaqin. (C. Snouck Hurgronje, 1970: 271)

Pada abad ini juga Tok Syihabuddin dari Palembang turut mengembangkan ajaran Sifat 20 melalui kitabnya Aqidah al-Bayan. (Kamarul Bakri Abd. Aziz, op. cit.)

Pendek kata, aliran akidah yang berkembang di nusantara adalah berasaskan fahaman al-Asya'irah terutamanya berkenaan sifat 20 menurut huraian al-Sanusi dalam kitabnya Umm al-Barahin.

Kebiasaannya, para ulama kitab Jawi akan mengupas tentang sifat wajib, mustahil dan harus bagi Allah. Mereka membahagikan sifat wajib kepada 20 dengan pembahagian kepada empat kategori iaitu nafsiah, salbiah, ma'ani dan ma'nawiyyah berserta huraiannya. (Ibid.)

Ringkasnya, di sepanjang sejarah perkembangan akidah Islam dari sudut pendekatan pengajarannya, terdapat pelbagai kaedah yang diformulasikan oleh para sarjana Muslim yang diaplikasikan dalam masyarakat Islam pada zaman-zamannya.

Secara ringkas, terdapat tiga pendekatan yang menonjol iaitu pendekatan al-Quran dan al-Sunnah, pendekatan lanjutan dengan nama pendekatan Tauhid Tiga Serangkai dan pendekatan lanjutan rumusan berasaskan Sifat 20 atau Doktrin Sifat 20.

Malangnya perbezaan pendekatan itu mendorong sebahagian kita melabel manhaj yang lain sesat? Bolehkah?

NIZAM: Ketiga-tiga cara penyampaian akidah tauhid di atas sama ada melalui pendekatan al-Quran dan al-Sunnah, pendekatan Tauhid Tiga Serangkai dan Sifat 20 merupakan cara atau manhaj yang digunapakai dalam sejarah perkembangan ilmu penyampaian akidah tauhid.

Kesemua cara tersebut bermatlamat hendak mengenalkan Allah kepada masyarakat. Oleh itu, membuat tuduhan bahawa pendekatan sesetengah pihak sesat dan bidaah adalah tidak wajar. Isunya di sini adalah apa yang digunakan itu adalah satu bentuk pendekatan.

Matlamatnya tetap sama untuk menyeru manusia beriman kepada Allah. Berbalah dalam isu pendekatan hanya merumitkan keadaan dan menyebabkan masyarakat keliru dengan pegangan pendekatan yang digunakan.

Ahli Sunnah wa al-Jamaah bukan sahaja melarang kita membudayakan isu kafir mengkafir bahkan tidak menggalakkan kita sesat menyesatkan antara saudara seagama tanpa asas yang kukuh.

Malah kedua-dua tindakan itu hampir sama. Begitu juga, seandai sesetengah pihak menuduh Ibn Taimiyyah sesat dalam kaedahnya, maka banyak yang perlu disemak dalam kurikulum pendidikan negara di peringkat sekolah menengah dan universiti.

Begitu juga andainya pihak yang lain pula menuduh Sifat 20 itu sebagai bidaah, maka banyak pula kitab-kitab ulama nusantara yang masyhur di sisi orang Melayu wajib ditinggalkan.

Berbalah dan berselisih dalam hal pendekatan pengajaran ini haruslah dielakkan demi keharmonian masyarakat awam dalam memahami akidah Islam yang sebenar.

Sunday, November 8, 2009

Hidup dan mati ketentuan Allah

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI (Siri Ke-59)

Setelah kaum Muslimin mengalami kekalahan dalam perang Uhud dan terdapat beberapa orang yang terbunuh di kalangan mereka, syaitan pun berseru: "Ketahuilah bahawa Muhammad telah terbunuh."

Ibn Qam'ah menemui orang-orang musyrik dan berkata: "Aku telah berjaya membunuh Muhammad". Padahal sebenarnya ia hanya memukul Rasulullah SAW dan sedikit terluka di kepala Baginda.

Peristiwa ini banyak menggoncangkan hati ramai orang dan ada di antara mereka yang yakin bahawa Rasulullah SAW telah terbunuh. Dalam keadaan ini, mereka beranggapan mungkin perkara itu terjadi kepada Rasulullah SAW sebagaimana Allah SWT menceritakan kisah para Nabi yang terdahulu sehingga perkara itu mengakibatkan kelemahan, ketakutan dan keengganan kaum muslimin meneruskan peperangan.

Pada saat Allah SWT menurunkan firman-Nya yang bermaksud: Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Maksudnya, Nabi Muhammad SAW mengikut jejak langkah para Nabi dalam kerasulan dan kemungkinan terbunuh.

Sebab Nuzul ayat 144

Al-Qurtubi berkata: Sebab nuzul ayat ini kerana kekalahan orang Islam dalam perang Uhud sehingga syaitan bertempik Muhammad telah terbunuh. Sebahagian orang ramai berkata telah terkena Muhammad, justeru berilah tangan kamu kerana mereka adalah saudara-saudara kamu untuk meneruskan jihad.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Qurtubi berkata: Ayat ini menjadi sebesar-besar dalil atas keberanian Saidina Abu Bakar r.a.

ii. Al-Maraghi berkata: Nabi Muhammad SAW hanyalah manusia biasa. Sebelum Baginda, telah wujud beberapa orang rasul. Mereka semua telah wafat.

Sebahagian daripada mereka ada yang dibunuh oleh musuhnya. Mereka seperti Nabi Zakaria AS dan Nabi Yahya AS. Tidak ada seorang pun di kalangan mereka yang ditetapkan untuk hidup kekal.

Ayat ini mengandungi bimbingan dan petunjuk bahawa peperangan itu tidak sepatutnya berhenti ataupun terus berlanjutan kerana adanya komandan.

Jika komandannya terbunuh, secara tidak langsung pasukannya akan terus menerima kekalahan atau menyerah diri kepada pihak musuh. Tetapi perlu diingat bahawa kepentingan umum lebih utama berbanding dengan undang-undang yang ditetapkan.

Ini tidak akan menyangsikan fikiran sesiapa meskipun para pemimpin perang terkorban. Inilah prinsip yang digunakan oleh pemerintah dalam menyusun strategi peperangan.

Allah SWT mewajibkan kita menurut segala petunjuk yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Oleh itu musibah yang menimpa Baginda, seperti luka dan saki atau hidup dan mati, sama sekali tidak ada hubungannya dengan kebenaran dakwah yang dibawanya, sebab baginda adalah manusia biasa seperti kamu. Baginda hanya tunduk kepada peraturan Ilahi.

iii. Hamka berkata: Dalam ayat ini menerangkan bahawa Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, seperti rasul-rasul yang lain yang terdahulu daripadanya. Iaitu manusia yang dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi utusan-Nya dalam kalangan manusia sendiri.

Maka dia bukanlah malaikat atau jin. Telah berlalu daripadanya rasul-rasul yang lain, mulanya mereka lahir ke dunia, kemudian diangkat menjadi rasul dan bila tiba waktunya, mereka pun wafat. "Apakah apabila dia mati atau terbunuh, kamu akan berpaling di atas kedua tumit kamu?"

iv. Quraish Shihab berkata: Dalam al-Quran nama Nabi Muhammad SAW, bila disebut selalu dirangkaikan dengan gelaran Baginda, kecuali sekali iaitu dalam surah yang menyandang nama beliau iaitu Muhammad. Berbeza dengan nama nabi dan rasul yang lain, yang biasanya disebut tanpa gelaran mereka.

Redaksi ayat ini menunjukkan sifat kerasulan Nabi Muhammad SAW yang serupa dengan rasul-rasul yang telah wafat untuk membangkang mereka yang menduga bahawa sifat kerasulan bertentangan dengan kematian atau menduga bahawa kerasulan Nabi Muhammad SAW memiliki kelebihan berbanding dengan kerasulan yang lain.

Bahkan boleh terjadi mereka menduga bahawa usia Baginda akan panjang, sehingga ada yang tidak percaya bila satu saat Baginda akan wafat sebagaimana yang dialami oleh Saidina Umar al-Khattab.

v. Ibn Abi Najih berkata dari ayahnya: Ada seseorang dari kaum Muhajirin yang telah lalu di hadapan seorang dari kaum Ansar yang berlumuran darah. Lalu ditanya kepadanya: hai fulan, apakah kamu rasa Rasulullah SAW telah terbunuh?

Orang Ansar itu menjawab: Jika Muhammad telah terbunuh, bererti ia telah menyampaikan risalahnya. Maka berperanglah kamu demi membela agama kamu. Lalu turunlah ayat ini:

Maksudnya: Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh).

vi. Al-Zuhri berkata: Abu Salamah telah menceritakan kepadaku dari Ibn Abbas bahawa Abu Bakar keluar, sementara Umar sedang berbicara kepada khalayak.

Kemudian Abu Bakar berkata: Duduklah wahai Umar. Lalu Abu Bakar berkata: Amma ba'du. Barang siapa menyembah Muhammad maka Muhammad telah wafat. Dan barang siapa menyembah Allah, maka Allah itu sentiasa hidup dan tidak akan pernah mati. Selanjutnya Abu Bakar menegaskan bahawa Allah berfirman, maksudnya: Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).

vii. Al-Zuhri berkata: Demi Allah, seolah-olah orang yang tidak mengetahui bahawa Allah telah menurunkan ayat ini sehingga Abu Bakar membacakannya kepada mereka. Maka orang-orang pun membaca ayat ini dari Abu Bakar. Sehingga setiap orang yang mendengar ayat ini, ia membacanya.

viii. Al-Sonhaji berkata: Ayat ini mengandungi pengajaran bahawa meneruskan sesuatu peperangan atau menghentikannya janganlah dihubungkan dengan hidup atau matinya seseorang pemimpin.

Contohnya, jika pemimpin itu hidup, perjuangan diteruskan, tetapi jika pemimpin itu mati perjuangan dihentikan. Kemaslahatan umum yang berjalan di atas dasar yang kukuh hendaklah dipertahankan bermati-matian.

Jangan pula goyah disebabkan kehilangan pemimpin atau jatuhnya pemimpin. Atas dasar inilah berjalannya pemerintahan dan peperangan pada zaman kita ini.

Iktibar dan fiqh ayat 145:

i. Ibn Kathir berkata: Tidak mati seseorang melainkan mengikut qadar Allah SWT dan menjalani masa yang telah ditetapkan oleh Allah.

ii. Ibn Kathir juga berkata: Oleh kerana itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Ayat ini memberikan motivasi bagi para pengecut dan dorongan bagi mereka untuk berperang, kerana maju berperang atau mundur darinya tidak akan mengurangkan atau memanjangkan usia.

Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dari Habib bin Zhabiyan, ia berkata: Apa yang menjadi halangan kepada kalian untuk menyeberangi Sungai Tigris ini untuk menemui musuh-musuh Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya.

Setelah itu, ia terus menepuk kudanya menyeberangi Sungai Tigris. Ketika dia menyeberangi sungai itu, mereka yang lain pun mengikutinya. Pada saat musuh mengetahui kedatangan mereka, musuh pun berteriak dan mereka pun lari kebelakang.

iii. Al-Qurtubi berkata: Ini adalah galakan berjihad dan pemberitahuan bahawa kematian mesti berlaku kepada manusia sama ada dibunuh atau tidak.

iv. Al-Maraghi berkata: Ayat ini mengandungi galakan agar berjihad dengan penuh semangat berani menentang musuh. Oleh itu apabila ajal sudah menjadi ketetapan, lalu kematian tidak akan tiba sebelum sampai waktunya. Walaupun berada di medan peperangan, tidak ada sebarang alasan untuk takut menjadi pengecut.

Ayat ini juga memberi satu isyarat bahawa Allah SWT selalu melindungi rasul-Nya.

Ayat ini mengandungi sindiran kepada para sahabat yang sibuk mengambil harta rampasan dalam Perang Uhud iaitu mereka yang meninggalkan tempat yang telah ditugaskan oleh Nabi SAW agar mempertahankan tempat tersebut.

v. Hamka berkata: Dalam ayat ini mengandungi dua tafsir dan maksud. Pertama sebagai peringatan keras kepada mereka yang lemah imannya, kerana mendengar Rasulullah SAW telah wafat.

Mengapa iman menjadi goncang, padahal menentukan hidup dan mati seseorang bukanlah di tangan manusia bahkan ia adalah ketentuan Allah SWT.

Isi tafsir yang kedua pula ialah, ayat ini adalah perangsang paling kuat untuk meneguhkan hati orang yang beriman di dalam menghadapi tugasnya, baik membina dan memajukan agamanya, ataupun di dalam menangkis serangan musuh.

vi. Quraish Shihab berkata: Al-Biqa'i menghubungkan ayat ini dengan ayat sebelumnya dengan berkata bahawa kematian pimpinan pendukung-pendukung suatu agama tidak wajar dijadikan sebab untuk mengelak dari pertempuran dan meninggalkan medan peperangan, kecuali kematian itu terjadi tanpa izin Allah SWT.

vii. Al-Sonhaji berkata: Ayat yang diperkatakan ini ditujukan oleh Allah SWT kepada pasukan-pasukan yang telah terpengaruh oleh harta rampasan dalam perang Uhud sehingga tergamak mereka meninggalkan kedudukan mereka.

Jadi seolah-olah Allah mengatakan: Sekiranya kamu mengejar upah dunia, tiadalah Allah menghalangnya, terserahlah kamu untuk merebutnya. Tetapi bukanlah ini yang menjadi dasar seruan pemimpin besar kamu Muhammad SAW. Malah kamu diseru ke arah kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat.

Semoga kita menjadi golongan yang cintakan Rasulullah SAW serta mengikut jejak langkahnya tanpa berpaling dan keluar daripada sunnahnya. Amin.

Berita palsu kewafatan Rasulullah

Dalam keadaan huru hara itu tentera Muslimin tidak dapat dikawal lagi. Banyak tentera Muslimin mati dalam serangan tentera Quraisy. Rasulullah sendiri berada dalam keadaan yang sangat bahaya.

Tentera Quraisy pula telah menghebahkan perkhabaran palsu mengatakan baginda telah terbunuh dalam peperangan itu. Keadaan inilah yang menyebabkan tentera Muslimin bertambah kucar-kacir.

Ramai di antara orang Islam yang mula berputus asa apabila mendengar khabar angin tersebut. Tetapi mereka terus berhadapan dengan musuh sehingga ke saat akhir.

Sesetengah daripada tentera Muslimin yang mengetahui kedudukan sebenar hanya bertahan semata-mata untuk menjaga keselamatan Rasulullah.

Berita palsu itu jugalah yang menyebabkan tentera Quraisy menghentikan serangan terhadap tentera Muslimin. Mereka berasakan cita-cita mereka sudah berjaya kerana Rasulullah sudah dibunuh. Manakala baginda telah melarang seorang sahabatnya daripada memberitahu tentera Muslimin bahawa baginda masih hidup.

Baginda berbuat demikian dengan tujuan supaya tentera Quraisy percaya kepada perkhabaran itu dan berundur dari medan peperangan.

Ramai tentera Muslimin yang terkorban, iaitu lebih daripada 70 orang. Rasulullah bersama sahabat-sahabatnya seperti Abu Bakar, Umar dan Ali telah berjuang bermati-matian.

Baginda sendiri mendapat luka dan sebatang gigi baginda telah patah. Mereka telah menunjukkan keberanian dalam peperangan itu. Kota Madinah akhirnya tidak berjaya ditawan oleh tentera Quraisy.

Setelah selesai peperangan itu, mayat tentera-tentera Islam yang gugur dalam peperangan tersebut dikumpulkan di suatu tempat. Rasulullah sendiri menyembahyangkan mayat-mayat itu dan baginda kemudiannya memerintahkan tentera Muslimin mengkebumikan mayat-mayat tersebut.

Peristiwa kekalahan dalam peperangan Uhud ini menyebabkan tentera-tentera Muslimin lebih berhati-hati apabila berhadapan dengan musuh terutamanya kaum Quraisy yang menentang Islam.

lPetikan daripada buku 366 Kisah-kisah daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

Monica, Sunaku pilih Islam

Susunan ZUARIDA MOHYIN

KEMODENAN dan kecanggihan teknologi sebenarnya tidak menjanjikan kebahagiaan dan ketenangan yang hakiki. Sesuatu yang tidak dapat dinafikan daripada kehidupan serba moden ialah nikmat dunia.

Pun begitu, kebahagiaan kebendaan ini, kata Monica dan Sunaku, wanita yang berasal dari Jepun tidak menjanjikan ketenangan jiwa atau kebahagiaan rohani yang didambakan selama ini. Ikuti kisah pengislam mereka berdua di bawah ini.

Kisah 1

Dibesarkan pada era teknologi moden yang sedang berkembang pesat di Jepun, Monica turut dikira sebagai seorang yang amat bertuah kerana dikurniakan kehidupan yang boleh dikategorikan selesa serta memiliki ahli keluarga yang begitu mengambil berat dan penuh kasih sayang.

Apa tidaknya, setiap yang diingini sama ada untuk pelajaran dan kerjaya tidak pernah tidak dipenuhi.

Majoriti penduduk Jepun adalah beragama Buddha, begitu juga dengan ahli keluarga Monica. Namun, sejak kecil, ibu bapanya langsung tidak mengambil pusing soal kepercayaannya sebagai penganut Buddha.

Pada peringkat awal dulu dia kerap memikirkan perkara-perkara seperti kejadian alam, tujuan manusia diciptakan dan kitaran kehidupan. Pertanyaan demi pertanyaan itu bermain di mindanya sehinggalah usia Monica mencecah 20 tahun dan sebaik menamatkan pengajian di peringkat kolej.

Pekerjaan pertama yang diceburi Monica ialah menyertai syarikat penerbangan Jepun sebagai pramugari. Selain menjadikan ia sebagai satu kerjaya, Monica berharap dia akan menemui ketenangan di situ.

Sayangnya, bukan itu yang ditemui malah hidupnya terus menerus dibelenggu rasa kekosongan yang teramat sangat. Jiwanya memberontak kerana apa yang dihajati selama ini belum kunjung tiba.

Ditakdirkan Allah SWT pada 1988, dia menjadi penterjemah kepada delegasi agensi pelancongan dari Jepun di Mesir selama setahun. Sepanjang berada di perantauan itu, menerusi teman-teman sekerja, Monica diperkenalkan dengan agama Islam.

Selepas menamatkan perkhidmatan di Mesir, Monica kembali ke Jepun dan mengambil keputusan mendalami agama Islam dengan harapan persoalan yang selama ini menyelubungi hidupnya akan terjawab.

Monica sekali lagi hampir dikecewakan kerana kebanyakan maklumat yang dikumpul menerusi media massa, bukan sahaja terbatas tetapi telah diputarbelitkan.

Sama jugalah seperti yang disogokkan oleh media-media tempatan dan antarabangsa, sehingga Islam dilabel sebagai agama yang bertunjang keganasan dan ketidakadilan.

Demi mencari kepastian, Monica terus ke Pusat Islam Jepun dan mendapatkan al-Quran terjemahan di situ. Hampir tiga tahun Monica berulang alik ke pusat itu.

Lama kelamaan, dengan kehendak-Nya, Monica semakin memahami dan menghargai agama Islam dan ia berkembang segar dari sehari ke sehari.

Berkat kesabaran dan usaha istiqamah itu, akhirnya terjawab semua kekusutan yang berselirat di fikirannya.

Kalau sebelum ini, dia difahamkan bahawa Islam menindas golongan wanita terutamanya dalam soal poligami. Namun, sebaik mendalami Islam yang syumul barulah diyakini sepenu hati bahawa Islam amat mengambil berat dan menghormati kaum wanita sehinggakan hak-hak mereka tidak pernah dipinggirkan.

Katanya, dia mula mengasingkan diri dan memperbanyakkan berdoa semoga Allah SWT memberi petunjuk ke jalan yang benar, jalan yang diredai dan agar dimudahkan pemahaman kepada Islam.

"Saya juga melakukan meditasi. Saya yakin Allah mempunyai dua buku iaitu buku yang mampu berkata-kata iaitu kitab suci al-Quran dan buku tanpa suara iaitu kejadian alam semesta dan segala bentuk keajaiban di muka bumi ini," jelasnya.

"Saya merasai cahaya Ilahi menyerap masuk ke seluruh pembuluh darah dan mengalir ke seluruh tubuh ini.

"Cahaya keimanan yang menyerap dalam diri bagai memberi satu kegembiraan, sekali gus merasakan kehadiran Allah dalam setiap saat," terang Monica penuh kesyukuran.

Malah, Monica ditakdirkan meneruskan kerjaya pramugari dengan penerbangan ke Indonesia selama setahun. Pada ketika itulah, teman-teman dari Indonesia banyak membantunya lebih memahami agama Islam, seterusnya meningkatkan tahap kecintaan Monica kepada agama Allah itu.

Lumrah bergelar mualaf, Monica tidak terkecuali daripada pelbagai dugaan terutamanya daripada keluarga kandung. Namun, ia tidak sedikitpun melemahkan keyakinan bergelar muslimah sejati.

"Saya mula mendirikan solat lima waktu mengikut tertib dan praktikalnya. Selain itu, saya berusaha menguasai bacaan-bacaan di dalam solat terutamanya ayat-ayat suci al-Quran, meskipun ia cuma ayat-ayat lazim.

"Pada 1992, saya ke Mesir dan mengucap syahadah di Universiti Al-Azhar. Kemudian saya mengambil keputusan bekerja di negara Tanah Arab itu.

"Rupa-rupanya jodoh saya juga telah ditentukan Allah dengan lelaki Islam Mesir. Saya terus menetap di sana dan perkahwinan kami diserikan dengan kehadiran anak perempuan bernama Maryam.

"Alhamdulillah, kini saya hidup bahagian dengan agama Islam dan keluarga baru. Saya banyak menghabiskan masa belajar mengaji al-Quran dan apabila ada masa terluang, saya dan suami akan belajar bersama dan membaca bahan-bahan Islamik," akui Monica yang berdoa semoga keluarga kandungnya yang masih menetap di Jepun turut menerima nur Islam. Insya-Allah.

Kisah 2

Sunaku hidup serba sederhana malah tidak ada kurangnya daripada segi kebahagiaan dan keselamatan, meskipun dibesarkan oleh ibunya seorang balu.

Sungguhpun begitu, sejak kecil lagi Sunaku tidak pernah merasai erti kegembiraan yang sebenar malah dia selalu dalam situasi tidak tenteram.

Untuk menghilangkan perasaan tersebut, dia selalu sibukkan diri dengan mentelaah pelajaran dan melancong ke luar negara.

"Namun, kerisauan dan kebimbangan yang dialami tidak juga hilang malah bertambah menjadi-jadi. Sehinggalah tamat pengajian peringkat menengah dan menyambung pengajian bahasa Inggeris di England.

"Saya masih ingat semasa cuti pengajian, saya dan seorang teman dari Jepun pergi ke Jordan. Memandangkan teman saya itu pernah ke Jordan sebelum ini, jadi dia telah uruskan penginapan kami dengan satu keluarga di sana yang beragama Islam.

"Saya dapati kehidupan keluarga tersebut begitu praktikal dan teratur. Selain itu, rumah mereka juga sungguh bersih dan kemas. Seperkara yang paling saya tertarik ialah melihat keakraban hubungan mereka sekeluarga, tidak kiralah dalam urusan rumah tangga mahupun kepada orang luar," kata Sunaku.

Barulah Sunaka ketahui suami adalah ketua keluarga yang mencarikan nafkah untuk mereka anak beranak. Sementara, isteri biarpun duduk di rumah sepenuh masa tetapi mereka bertanggungjawab menguruskan rumah tangga. Yang cantiknya semua tanggungjawab itu dipikul dengan penuh keikhlasan dan reda.

Dia sedar inilah kebahagiaan yang selama ini dia dambakan. Malah Islam yang selama ini difahami sebenarnya bukanlah gambaran yang sebenar tetapi tohmahan segelintir yang berniat jahat.

"Saya sendiri tidak memahami realiti kehidupan seorang Muslim. Ini kerana dia tidak pernah mengenali umat Islam. Apa yang dilabelkan oleh media massa Barat tentang keburukan Islam, itulah yang saya ambil bulat-bulat. Tambah buruk, apabila saya menilai wanita Islam menjadi mangsa terutamanya dalam hal berpoligami.

"Rentetan perjalanan ke Jordan itu, saya mengambil keputusan mempelajari agama Islam agar mesejnya lebih jelas. Sekembalinya ke Jepun, saya ke Pusat Islam Tokyo dan meminta senaskah terjemahan al-Quran dan buku riwayat hidup baginda Rasulullah SAW.

"Sejak itu, saya lebih kerap ke pusat tersebut dan mempelajari daripada ustaz-ustaz yang berasal dari Pakistan, Arab dan tidak terkecuali warga Jepun sendiri," kata Sunaku yang memeluk Islam enam bulan kemudian.

Jadi Agen Topup Celcom/Maxis

Anda inginkan bisnes Topup prepaid dan pendapatan harian. Bisnes Topup prepaid menggunakan SMS. Topup handphone pelanggan serta kawan satu kolej/hostel di kolej dan universiti. Topup HP anda sendiri dengan harga yg murah.

Cara mendaftarkan ahli baru:
Untuk mendaftar, sila masukkan (bank in) yuran penyertaan Rm25 + Modal, ke akaun CIMB (No. A/C: 125 300 0088 5201)
( atas nama: ARIFFUDDIN BIN JAMHARI )

Kemudian, Hantarkan maklumat deposit ke nombor 013-9992511 SAHAJA melalui SMS.
Format SMS Untuk Pendaftaran Ahli Baru :
Taip:
REG RAKAN EZY. .Nama Ahli Baru. Alamat. No H/P Ahli Baru. Cimb. Jumlah. Masa Bankin. No id 100962. 1234


Contoh :
REG RAKAN EZY. ADAM .SHAH ALAM. 0125636455. CIMB. RM60. 10.30AM. id 100962. 1234

Hantarkan Ke 013-999 2511
(SMS Boleh dihantar oleh anda ataupun telefon saya, syahrizal di 013-6371532). Yang penting, guna format yg diberikan dan jgn lupa sertakan no id 100962)

perniagaan prepaid
Pendaftaran akan diaktifkan dalam 15min~ 5 jam Sahaja, dan Jika ada sebarang masalah pendaftaran, boleh call/sms ke no 013-9992511.
Server juga akan menghantar mesej pengesahan daftar kepada anda. Kami juga akan mmberikan panduan2 topup dan maklumat2 berkaitan.

Jika bank in lebih dari Rm25.00, contoh jika bank in Rm100, balance Rm75 akan di transfer kepada anda sebagai modal untuk jualan topup. Dan Anda Boleh Mulakan Bisnes Hari Ini Juga!

Tuesday, November 3, 2009

Arak 'ibu' kepada maksiat

Oleh ZUARIDA MOHYIN

PERKONGSIAN pengalaman dua orang teman penulis tentang gelagat segelintir Muslim yang tanpa segan silu menonggak air haram atau minuman keras meskipun beranggapan ia bukannya di tempat awam pada ruangan sama dua minggu lalu, pastinya menimbulkan kegusaran ramai terutamanya umat Islam itu sendiri.

Tentunya persoalan pertama yang terdetik di hati kita yang mengakui bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW itu adalah pesuruh Allah atau perkataan yang terpacul daripada mulut kita ialah "Tidak takut tuhan ke?" atau "Apalah nak jadi dengan umat Islam hari ni," malah banyak lagi yang berserabut dalam fikiran kita.

Apa tidaknya, takut dengan balasan-Nya ketika di dunia ini kerana pada saat Allah SWT menurunkan bala-Nya, ia tidak terkecuali yang melakukan dosa atau tidak. Semuanya merasai musibah tersebut.

Malah penulis tambah terkejut dan kecewa apabila dalam satu Muzakarah Pakar: Arak dan Permasalahannya pada Jumaat lalu, Pengarah Institut Kajian Hadis Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Ustaz Mohd. Farid Ravi Abdullah menceritakan kepada audiens program anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pagi itu, bahawa beliau ada menerima kes di mana seorang bapa Muslim telah membawa anaknya yang baru berusia 10 tahun ke kelab malam dan telah diberikan minuman air beralkohol atau minuman keras. Tambah menyedihkan lagi, aktiviti ini dilakukan setiap malam sehingga kanak-kanak ini tidak dapat memberikan tumpuan di dalam kelas.

Begitu juga dalam satu penerbangan, beliau telah berkenalan dengan seorang Muslim yang berbangsa Arab. Yang memeranjatkan Mohd. Farid Ravi apabila kenalan baru beliau itu telah memesan mimuman keras. Apabila ditanya, mudah sahaja jawapannya iaitu dia sedang dalam musafir.

Biarpun alasan yang diberikan itu tidak munasabah serta menimbulkan suasana jenaka para peserta di Dewan Besar IKIM itu, namun dalam kita ketawa besar itu, jangan kita lupa bahawa sikap dan tindakan segelintir umat Islam itu sendiri telah menjelaskan tindakan yang memperlekehkan agama Islam, sama ada secara sedar ataupun tidak.

Pada muzakarah itu juga, semua audiens sepakat mengakui bahawa permasalahan arak bukanlah isu agama sebenarnya tetapi ia adalah isu sejagat. Ini bertitik tolak daripada kesepakatan, kesan negatif arak bukan sahaja kepada individu malah masyarakat dan juga membabitkan aspek spiritual.

Turut dibangkitkan undang-undang penyalahgunaan dadah dan membanteras gejala yang berkaitan dengan dadah, peruntukan undang-undangnya cukup ketat. Ada peserta mempersoalkan mengapa peruntukan undang-undang serupa tidak dipraktiskan ke atas arak?

Padahal, jika dilihat kesan arak kepada seseorang itu, itu boleh dikira setaraf atau jauh lebih buruk. Lantaran itulah, Islam telah mengklasifikasikan arak sebagai ibu segala maksiat. Ditambah pula undang-undang tidak dapat menyelesaikan masalah sosial dan pendekatan berkesan ialah menerusi penguatkuasaan yang efektif.

Mohd. Farid Ravi dalam kertas kerjanya yang bertajuk, 'Mengapa Islam Mengharamkan Arak' menjelaskan Islam menggunakan cara pendekatan tadrij (berperingkat) untuk mengatasinya.

"Ini dapat dilihat daripada ayat-ayat pengharaman arak yang diturunkan sebanyak empat kali dengan ungkapan yang berbeza. Ayat pertama al-Nahl: 67: Dan daripada buah tamar dan anggur, kamu jadikan daripadanya minuman haram dan rezeki yang baik, sesungguhnya pada yang demikian itu ada satu tanda bagi orang yang mahu menggunakan akalnya. Pada ayat ini Allah belum lagi mengharamkan arak secara total.

"Namun, ada peringatan yang sangat halus daripada ayat ini iaitu tamar dan anggur yang manis kalau dicampur dengan sedikit ragi, pastinya akan memabukkan. Ayat ini hanya menceritakan sahaja tabiat Arab yang memproses tamar dan anggur menjadi arak.

"Sementara pada surah al-Baqarah ayat 219 yang bermaksud: Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah pada kedua-duanya ada dosa yang amat besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya... Ayat ini membuktikan bahawa dosa arak adalah lebih besar berbanding manfaatnya," katanya.

Tambah Mohd. Farid Ravi, pada ayat 43 surah an-Nisaa yang bermaksud: Jangan kamu menghampiri solat sedangkan kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu sedar apa yang kamu ucapkan. Larangan minuman keras itu ditentukan dengan masa waktu solat. Jelas perintah pengharaman tersebut dapat difahami.

Akhirnya, pada kali keempat baru diturunkan firman-Nya bermaksud: Wahai orang beriman, sesungguhnya arak, judi, asnab (berhala dan merenung nasib itu adalah kerja kotor (dan keji daripada amalan syaitan maka tinggalkannya semoga kamu berjaya. (al-Maidah: 90) Pada ayat inilah muktamad hukum minum arak, iaitu haram dan termasuk dalam dosa besar.

Perlu dijelaskan di sini bahawa kebanyakan rumah di zaman perkembangan awal Islam di Madinah menyimpan banyak arak. Tindakan serta merta dengan arahan Allah SWT dalam surah al-Maidah 90 dan 91 didasari oleh iman yang teguh, lantas menjadikan mereka pasrah terhadap perintah Allah.

Kata Mohd. FaridRavi lagi, ia tidak mudah yang disangka kerana minum arak sudah lama mendarah daging di kalangan bangsa Arab. Tapi, uniknya tidak timbul persoalan ketagihan di kalangan para sahabat berbanding orang sekarang. Lantaran itu, saran beliau perlu ada semangat jitu untuk berhenti tidak kiralah untuk tabiat minum arak mahupun merokok.

"Apa yang diharapkan ialah umat Islam harus peka terhadap permasalahan arak bermula daripada hukum pengharaman serta hukum penglibatan dalam aktiviti arak.

"Tidak dapat disangkal bahawa sebahagian besar permasalahan yang kian menular dan membarah dalam masyarakat Islam adalah berpunca daripada arak.

"Kerana dengan menjauhi arak, ia dapat menjaga kewarasan berakal, keharmonian di dalam keluarga serta menjaga nilai-nilai manusiawi dalam diri seseorang individu," ujar Mohd. Farid Ravi kaedah berkesan dalam mengatasi permasalahan arak ialah dengan menggunakan pendekatan pendidikan.

Pada muzakarah itu juga Timbalan Pengarah Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Dr. Sallehudin Abu Bakar membangkitkan kebimbangannya kerana trend di negara maju di mana arak dan rokok semakin menurun berbanding di negara kita, ia nampak ketara peningkatannya. Lebih-lebih lagi statistik yang diperoleh mendapati bahawa golongan remaja Melayu Islam (antara usia 13 hingga 18 tahun) juga terlibat dengan pengambilan benda haram ini.

"Sebenarnya, amaran tentang bahaya arak atau alkohol telah wujud sejak zaman silam lagi. Sejarah membuktikan bahawa kejatuhan Empayar Kerajaan Mesir dan China Kuno ada kaitannya dengan penggunaan arak berlebihan.

Amaran

"Malah ahli falsafah Yunani ada mengeluarkan amaran tentang bahaya mabuk arak dan menasihatkan supaya minum secara sederhana. Begitu juga dengan Plato, Aristotle dan Hippocrates.

"Pada kurun ke 11 AD, Simoen Seth, doktor perubatan untuk keluarga diraja di Byzantine, ada menulis catatan bahawa meminum arak secara berlebihan boleh menyebabkan radang hati/hepatitis," katanya arak adalah minuman paling popular dan paling ramai selepas air dan teh.

Dr. Sallehudin juga menerangkan kepada audiens bahawa penyerapan alkohol ke dalam saluran darah adalah lebih cepat di usus kecil berbanding perut dan kecepatan penyerapan itu akan turut mempercepatkan kesan.

Antara kesan jangka pendek seperti; mabuk, dehidrasi dan keracunan alkohol. Manakala kesan jangka panjang termasuk perubahan metabolisma kepada organ hati, otak dan ketagihan.

"Alkohol yang terserap melalui saluran darah akan melemahkan aktiviti otak, tekanan darah menjadi tidak menentu, otot-otot tidak berfungsi sepenuhnya hilang keseimbangan dan jalan terhuyung-hayang dan juga aktiviti mental tidak dapat dikawal (hilang pertimbangan dan tidak siuman seperti pemarah dan hilang malu)

"Manakala kesan alkohol terhadap hati pula ia menukar alkohol kepada Axetaldehayde, suatu bahan mutagen dan carcinogen. Hati mampu memproses tujuh gms ethanol sejam. Kalau sekiranya seseorang itu mengambil sebotol wine, hati mengambil masa selama 12 jam untuk memproses. Bayangkan jika ia diambil berlebihan, tidakkah ini memudaratkan hati, sekali gus fungsi otak.

"Hakikatnya, kesan lebih buruk jika ia diambil dalam tempoh masa yang lama dan berterusan ke atas fungsi organ dan sistem tubuh badan manusia. Malah lebih memburukkan lagi, penggunaan alkohol melebihi 50g sehari akan meningkatkan risiko pelbagai jenis kanser," katanya seperti; kanser mulut, payu dara, hati, paru-paru, perut, hempedu, endometrium, ovari, prostat, kulit-melanoma dan kolorektal.

Menjelaskan tentang ketagihan alkohol atau istilahnya alcoholism adalah satu penyakit di mana meminum alkohol adalah satu kemestian.

Kata Dr. Sallehudin, mereka yang terjerat dengan arak, jika tidak mengambil arak untuk sehari dua, mereka akan mengalami gejala pengunduran (withdrawal syndrome)

Dr. Sallehudin secara sinis dalam hujahan beliau turut menyamakan bahawa bukan sahaja rakyat Malaysia ramai yang ketagihan tetapi masalah sama juga berlaku kepada pihak berkuasa.

"Pendapatan daripada hasil rokok ialah sebanyak berbilion setiap tahun. Itu baru rokok, arak pastilah lebih banyak lagi. Jadi pihak berkuasa kenalah memikirkan cara lain untuk mencari pendapatan atau jangan sehingga ketagih atau terlalu bergantung kepada dua sumber pendapatan ini.

"Selain itu kekangan dari segi kehendak politik (political will) juga menjadikan masalah arak ini sukar ditangani. Selagi ahli politik itu takut hilang undi atau menjadi pemimpin yang tidak popular atau disenangi, selagi itulah sukar untuk merealisasikan umat Islam bebas arak," tegasnya.

Sementara itu dalam kertas kerja bertajuk, 'Arak dari Perspektif Undang-Undang Malaysia', Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Prof. Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin menjadikan isu arak di Selangor sebagai kajian kes dalam perbincangan muzakarah pakar itu.

Dalam pembentangan, beliau menegaskan undang-undang berkaitan alkohol di luar negara adalah jauh lebih ketat berbanding di negara ini. Di Eropah contohnya; Laporan dari US Department of State (July 2009) menunjukkan bahawa undang-undang di Norway adalah antara undang-undang yang sangat ketat di Eropah. Undang-undang tersebut memperuntukan hukuman yang berat iaitu penjara terhadap pemandu yang meminum alkohol. Tahap maksimum kandungan alkohol dalam darah adalah .02 peratus.

Di Selangor pula kata Dr. Zaleha, sebarang minuman yang mengandungi kurang dua peratus alkohol tidak memerlukan lesen daripada Lembaga Pelesenan. Di bawah seksyen 2(1) Akta Eksais 1976 sebagai "any alcohol or any liquid containing more than two percent centum of proof spirit, which is fit or intended to be or which can by any means be converted for use as a beverage".

Negara-negara Skandinavia kecuali Denmark mengawal penjualan alkohol secara ketat oleh kerajaan secara monopoli melalui peraturan mengenai penjualan dan pengambilan alkohol.

Di negara Islam seperti Arab Saudi melarang sepenuhnya pembuatan, import atau pengambilan alkohol dan memperuntukkan hukuman yang berat kepada sesiapa yang melanggar undang-undang tersebut. Hukuman termasuk penjara dan sebatan.

Manakala di Qatar, undang-undangnya sama seperti Arab Saudi tetapi hukuman untuk kesalahan berkaitan dengan alkohol adalah penjara dan kemungkinan didiportasi. Walau bagaimanapun, alkohol boleh diperoleh di hotel dan bar berlesen. Pekerja asing bukan Islam pula perlu mendapatkan permit untuk membeli alkohol.

Di Bahrain yang terkenal sebagai negara yang sangat progresif di Teluk Parsi, bagaimanapun pada Februari 2009, Ahli-ahli Parlimennya telah berjaya menghalang penjualan semua jenis alkohol di Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain.

Hakikatnya, banyak negara di seluruh dunia seperti di Iran, Afghanistan, Libya telah mula mengharamkan dan mengehadkan penggunaan dan pembelian alkohol. Di Tunisia, Maghribi, Mesir, Syria, Lubnan, Jordan dan Turki sungguhpun tidak melarang penjualan kecuali kepada remaja yang kurang daripada 18 tahun atau semasa pilihan raya dan bulan Ramadan.

Di Asia Tenggara, Asia Selatan dan Amerika Latin mempunyai larangan tertentu mereka terhadap minuman beralkohol.

Di akhir pembentangan, Dr. Zaleha mengesyorkan dicari satu resolusi terhadap isu penjualan minuman keras khususnya di kawasan majoriti penduduknya beragama Islam dan selanjutnya, mencadangkan sebarang tindakan yang boleh diambil oleh pihak kerajaan dan agensi berkaitan bagi mengawal dan menjauhkan umat Islam daripada menghampiri minuman arak yang merupakan ibu kepada kemaksiatan.

Sunday, November 1, 2009

Perbezaan mazhab: Siapa betul siapa salah

Oleh PROF. DATUK DR. MAHMOOD ZUHDI ABD. MAJID

SEORANG pembaca menulis e-mel kepada saya bertanya sama ada mazhab Wahabi betul atau salah, dan sama ada ia boleh diamalkan atau sebaliknya. Saya menjawab, mazhab itu sebahagian daripada mazhab-mazhab dalam Islam, malah ia lanjutan kepada mazhab Hambali.

Bagaimanapun di Malaysia ia tidak diperlukan kerana kita sudah ada mazhab Syafie yang terbukti sesuai dengan cara hidup kita sejak zaman berzaman lagi.

Persoalan tentang mazhab ini merupakan persoalan semasa. Ia tiba-tiba lahir setelah sekian lama masyarakat kita tidak berhadapan dengannya.

Dalam persoalan seperti ini tentu sekali ada pro dan kontranya. Kerana ia tidak bersifat hitam putih, tetapi sebaliknya kelabu. Maksudnya, persoalan yang boleh menerima hujah dan alasan sama ada untuk mengatakan ya atau tidak.

Sebenarnya perbezaan pendapat tentang mazhab sudah lama berlaku dalam masyarakat kita. Bagaimanapun ia lebih bersifat sementara dan akan hilang begitu sahaja selepas beberapa ketika.

Dalam tahun 50-an pernah berbangkit perbezaan pendapat antara kaum Tua dan Kaum Muda. Sengit sekali perbezaan tersebut sampai membawa tuduh menuduh dan kadang kala berkelahi. Namun akhirnya ia hilang begitu sahaja setelah semua pihak merasa puas berbalah.

ada tahun 80-an, timbul pula persoalan tentang mazhab Syiah. Ia dicetuskan oleh kejayaan revolusi Iran di bawah pimpinan Ayatollah Khomeini.

Persoalan ini menjadi lebih hangat apabila melibatkan soal kafir mengkafir dan sebagainya. Malah ada yang masuk tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kerana terlalu celupar sehingga mengancam keselamatan negara.

Bagaimanapun perbalahan ini semakin reda dengan berlalunya masa dan timbul isu-isu lain yang lebih menarik untuk diperbalahkan.

Budaya berbalah


Apa pun ceritanya, perbalahan tentang mazhab sebenarnya sebahagian daripada fenomena dalam budaya berbalah dalam masyarakat kita.

Tidak salah kalau dikatakan, masyarakat kita suka berbalah. Kalau tidak kerana mazhab, kerana politik. Kalau tidak kerana politik, kerana permainan.

Dulu sewaktu saya kecil, di Kelantan ramai orang berbalah kerana permainan kertok, permainan rebana, wau dan sebagainya. Perbalahan itu kemudiannya terhenti dengan begitu sahaja bila timbul isu-isu lain, termasuk politik antara Pas dan UMNO.

Apabila berlaku kerajaan campuran dan kemudiannya penubuhan Barisan Nasional (BN) yang diusahakan bersama oleh Perikatan dan PAS, perbalahan UMNO-PAS pun hapus dengan serta merta.

Hangat

Apabila PAS ditendang keluar daripada BN, perbalahan antara dua parti Melayu Islam itu pun marak kembali. Malah begitu hangat sekali seolah-olah mereka tidak pernah berkawan.

Maksudnya, persoalan yang ada di hadapan kita ialah bukan soal Wahabi atau Salafi atau Syiah atau Ahli Sunnah Wal-Jama'ah. Apa yang sebenarnya ialah soal budaya suka berbalah sesama sendiri.

Maksudnya, sesama Melayu dan Islam. Dalam sejarah kejatuhan kerajaan Melaka ada dicatatkan, salah satu sebab kota gagah itu jatuh ke tangan Portugis ialah kerana adanya perbalahan dalaman di kalangan orang Melaka sendiri. Mereka asyik berbalah sehingga pertahanan negara terabai.

*Di atas tadi hanyalah petikan sebahagian daripada tulisan Dr. Mahmood yang disiarkan oleh majalah Al Islam keluaran November 2009.

Tulisan Dr. Mahmood itu kemudiannya berkisar tentang persoalan-persoalan yang menarik, antaranya mengapa dahulu terdapat perbezaan pendapat antara para sahabat, Sisters in Islam diibaratkan sebagai pokok yang tumbuh tanpa ditanam dan tiga sebab mengapa Wahabi tidak sesuai diamalkan di negara ini.

Tulisan beliau itu sangat menarik, dan anda perlu membacanya sehingga habis. Selain tulisan di atas, artikel-artikel lain yang menarik dan perlu dibaca adalah:

*Sejadah mula bersolat. Kenapa?

*Tiga perkara kenapa Allah turunkan bencana - oleh Dr. Yusuf Qaradawi

*Ikan yang tertera tulisan 'Muhammad Rasulullah' di badannya

*Mas kahwin untuk si janda

*Kenapa biarkan iklan nampak ketiak?

*Diterimakah amalan kalau masuk Islam kerana berkahwin?

Haji sempurnakan Islam Muslim

Oleh WAN NAJMIAH WAN MOHAMAD ALI

Pendahuluan

Ibadat haji adalah satu kefarduan ke atas setiap individu Muslim yang mukalaf dan berkemampuan. Sempurnanya Islam seseorang Muslim hanya apabila mereka telah menunaikan rukun Islam yang kelima, menunaikan haji di Baitullah.

Sememangnya setiap umat Islam yang memenuhi syarat hendaklah menunaikan rukun Islam yang kelima itu. Junjungan besar Nabi Muhammad SAW pernah mengingatkan kita melalui sabdanya yang bermaksud: "Sesiapa yang memiliki bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitul Haram, tetapi tidak menunaikan hajinya maka kematiannya pasti sebagai seorang Yahudi atau Nasrani". (riwayat At-Tirmizi)

Kaifiat melangkah ke Baitullah

Alangkah baiknya jika fardu haji ini dapat kita tunaikan dalam keadaan tubuh badan yang sihat dan cergas. Kesihatan kita pasti sentiasa berubah, lazimnya uzur apabila usia semakin meningkat dan dibejati oleh pelbagai penyakit serta permasalahan lain.

Oleh itu, apabila berkemampuan menunaikannya, kita tidak perlu menunggu sehingga usia tua lantaran maut tidak memilih usia seseorang.

Alangkah sedihnya mereka yang meninggal dunia dalam keadaan kaya-raya, mewah dan berupaya menunaikan haji tetapi tidak sempat menunaikan haji tanpa sebarang uzur syarie.

Tuntutan haji merupakan satu perintah yang mesti ditunaikan apabila cukup kemampuan. Jangan pula ada yang tidak mahu menunaikannya dengan alasan "belum sampai seru" sedangkan seruan Allah dan rasul sentiasa disampaikan kepada kita.

Malangnya kesedaran untuk menyempurnakan rukun Islam kelima ini dilihat seperti bermusim. Kesedaran hanya akan timbul bila musim haji tiba saban tahun. Pastinya ramai yang menanam azam untuk membuka akaun dengan Lembaga Tabung Haji (LTH) apabila terdengar radio memainkan nasyid tanda tibanya bulan haji.

Bagaimanapun tidak ramai yang berjaya menyempurnakan azam tersebut. Semangat untuk menjadi tetamu Allah bagaikan melayang apabila mendengar teman yang telah mendaftar terpaksa menunggu 10 tahun lagi untuk menunaikan ibadat haji.

Ingatlah! Kejayaan sesuatu misi itu bermula dengan langkah pertama. Dalam konteks ini, membuka akaun dan berdaftar dengan LTH adalah langkah permulaan anda.

Fadilat menunaikan haji

Fadilat menunaikan haji amat banyak. Antaranya sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW dari Abu Hurairah yang bermaksud:

l"Sesiapa yang menunaikan haji ke Baitullah sedang dia tidak mengeluarkan kata-kata keji dan melakukan perbuatan yang kurang sopan juga tidak membuat fasiq (caci memaki) maka dia akan terlepas dari dosa-dosanya sebagaimana anak-anak kecil yang baru lahir dari perut ibunya".

l"Tiap-tiap muslim yang keluar dari rumahnya menuju jihad fisabillah, kemudian jatuh dari kenderaan dan dipijak oleh binatang atau mati dengan apa cara sekali pun, maka ia dikira mati syahid. Dan tiap-tiap muslim yang keluar dari rumahnya dengan niat mengerjakan haji ke Baitullah kemudian ia mati sebelum menyempurnakan hajatnya, maka Allah mewajibkan untuknya syurga".

Abu Al-Laith As-Samarkandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdullah b. Ibad r.a berkata: Kami di Mina bersama Nabi Muhammad SAW tiba-tiba datang rombongan dari Yaman, lalu mereka berkata, "Beritakan kepada kami fadilat haji ya Rasulullah". Jawab nabi SAW: "Baiklah, tiap-tiap orang yang keluar dari rumahnya dengan niat haji atau umrah, maka tiap langkahnya gugurlah dosa-dosanya dari badannya sebagaimana gugurnya daun kering dari pohon. Maka apabila telah sampai ke Madinah dan memberi salam lalu berjabat tangan kepada ku, dijabat tangan oleh malaikat. Maka apabila telah sampai di Zulhulaifah lalu mandi sunat ihram maka Allah SWT menyucikan dari semua dosanya. Kemudian jika ia memakai pakaian baru untuk ihram, Allah membaharui baginya kebajikan dan bila mengucapkan Labbai kallahumma labbaik langsung dijawab oleh Allah SWT (Asma' kalaamaka wanzur ilaik) yakni aku mendengar kata-katamu dan melihat padamu, maka apabila telah sampai di Mekah dan Tawaf serta Saie di antara Safa dan Marwah maka Allah SWT menuang baginya kebaikan. Lalu ketika wukuf di Arafah dan gemuruh suara berdoa.

Maka Allah SWT membanggakan kepada malaikat dan berfirman yang bermaksud: Wahai malaikat dan penduduk langit, tidakkah kamu melihat hambaku yang datang dari seluruh pelosok alam yang jauh dalam keadaan yang terurai dan berdebu. Mereka telah mengorbankan harta dan benda, maka demi kemuliaan dan kemurahanku, aku akan memaafkan orang-orang yang berdosa dan melepaskan mereka dari dosa sebagaimana anak kecil yang baru lahir dari perut ibunya. Demikian pula apabila telah melontar jamrah dan mencukur rambut lalu Tawaf Ifadah iaitu ziarah. Maka ada seruan dari Arasy, kembalilah, kamu sudah diampunkan semua dosa-dosamu dan perbaharuilah amal perbuatanmu".

Nabi Muhammad SAW sendiri pernah berdoa: "Ya Allah, ampunilah bagi orang-orang yang melakukan ibadat haji dan bagi orang yang dimintakan ampun oleh orang yang berhaji".

Kelebihan menziarah Haramain

Allah telah menetapkan bahawa sesuatu itu ada yang melebihi yang lainnya. Di samping Allah SWT menjadikan kelebihan di antara sesama manusia, Dialah juga yang menetapkan kelebihan yang tertentu pada tempat tertentu.

Allah SWT melimpahkan berkatnya terhadap Mekah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawarrah dari segala tempat yang lain di dunia ini seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Sekali sembahyang di masjidku (Masjid Madinah) lebih baik daripada 1,000 kali sembahyang di tempat lain kecuali di Masjidil Haram".

Kita lebih bercita-cita melawat tempat-tempat lain berbanding Mekah al-Mukarramah. Kita cukup selesa mengunjungi rumah-rumah manusia berbanding rumah-rumah Allah SWT. Wang dan harta yang kita kumpulkan kita habiskan bagi melancong di atas muka bumi Allah sedangkan Baitullah dan tanah haram Allah tidak dikunjungi. Adakah ini tandanya kita mensyukuri nikmat-nikmat Allah dan beradab sopan dengan Allah?

Kita tidak boleh terus mengambil sikap suka bertangguh dalam melakukan kebaikan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan kalau Allah mengkehendaki nescaya ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu) tetapi ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumba lah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal saleh). Kepada Allah jua tempat kembali kamu semuanya, maka ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya. (al-Maidah: 48)

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara: muda sebelum tua, lapang sebelum sibuk, kaya sebelum miskin, sihat sebelum sakit, hidup sebelum mati." (riwayat Baihaqi)

Umat Islam hari ini banyak ketinggalan dalam segala hal kerana suka bertangguh.

Kita sering menangguhkan pelaksanaan perintah-perintah Allah untuk memastikan kesempurnaan pelaksanaannya hingga akhirnya kita langsung tidak melaksanakannya. Kita masih terus memohon penangguhan ajal di hadapan Allah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada kamu sebelum seorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat ini) akan merayu dengan katanya: "Wahai tuhanku! Alangkah baiknya kalau engkau lambatkan ajal matiku ke suatu masa sedikit sahaja lagi supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi orang-orang soleh". (al-Munafiqun: 10)

Penutup

Sebagai umat Islam yang baik, mulakan langkah pertama dengan menabung di LTH dan segera berdaftar untuk menjadi tetamu Allah. Di samping itu, berusaha dan berdoalah agar dipanjangkan umur dan dikurniakan rezeki menjadi tetamu Allah kepada sebaik-baik tempat di muka bumi ini iaitu Baitullah, Tanah Suci Mekah.

lWAN NAJMIAH WAN MOHAMAD ALI ialah Penolong Pengarah Haji (1), Bahagian Haji di Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Jabatan Perdana Menteri