Like Blog Ini...

Sunday, August 30, 2009

Ibadat puasa Ramadan unik

Oleh DR. MOHD. FAHMI ABDUL KHIR

PUASA terdapat di dalam hampir kebanyakan agama. Di era ketamadunan Greek juga sudah ada amalan-amalan puasa tertentu yang dipraktikkan. Hippocrates, bapa perubatan, juga mengesyorkan puasa kepada ramai pesakitnya. Syariat para Nabi terdahulu juga tidak terkecuali daripada ibadat puasa. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman difardukan ke atas kamu puasa seperti mana difardukan ke atas umat-umat terdahulu, mudah-mudahan kamu dari kalangan orang-orang yang bertakwa. (Surah al-Baqarah:183)

Al-Qurtubi menyatakan Allah SWT telah mensyariatkan puasa Ramadan kepada kaum Nabi Musa a.s dan kaum Nabi Isa a.s tetapi mereka telah mengubahnya dan menambah jumlah harinya kepada 50 hari.

Puasa Nasrani ialah meninggalkan makanan bersumberkan binatang seperti daging, susu, lemak dan lain-lain. Sesetengah Katolik berpuasa dengan tidak makan tetapi dibenarkan meminum air.

Orang Yahudi diwajibkan berpuasa selama dua puluh lima jam pada youm kabur. Terdapat agama yang hanya membenarkan memakan nasi ketika berpuasa. Ada juga agama yang membenarkan memakan sekali sahaja dalam sehari ketika berpuasa.

Terdapat kepercayaan yang menyuruh pengikutnya berpuasa pada waktu malam sahaja. Sesetengah agama hanya mewajibkan puasa kepada golongan ahli agama (sami). Amalan orang Parsi purba berpuasa dua hari berturut-berturut tanpa berbuka - pada bulan purnama. Terdapat pelbagai bentuk puasa lain yang diamalkan mengikut kepercayaan dan pegangan agama yang dianuti.

Dalam kepelbagaian bentuk puasa yang diamalkan, Islam datang mensyariatkan puasa yang ditakrifkan sebagai menahan diri daripada makan, minum dan persetubuhan bermula dari terbit fajar (subuh) sehinggalah terbenam matahari (Maghrib).

Islam juga menganjurkan tuntutan-tuntutan yang lain ketika berpuasa seperti menjaga akhlak dan menyempurnakan perkara-perkara sunat yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW.

Apabila menyusuri aturan Islam dalam berpuasa, ternyata ia suatu syariat yang unik, menjangkau akal pemikiran manusia.

Ia bukanlah rekaan manusia bahkan ia datang daripada Allah SWT. Justeru, ia adalah sebahagian daripada nilai kemukjizatan syariat di dalam al-Quran.

Salah al-Khalidi menyatakan puasa yang disyariatkan oleh Islam bersifat fitrah dan sederhana. Ia bertitik tolak dari dasar syariat Islam yang bersifat wasati (sederhana).

Jika ditinjau ibadat puasa dalam agama-agama lain, ternyata puasa dalam Islam mempunyai keunikannya yang tersendiri di mana ia tidaklah memudaratkan mereka yang mengamalkannya dan dalam masa yang sama ia tidaklah terlampau ringan.

Dari sudut perubatan, tempoh puasa Ramadan iaitu selama 14 hingga 16 jam sehari ternyata tidak memudaratkan kesihatan manusia yang normal.

Justeru, Islam menggalakkan mereka yang berpuasa menyegerakan berbuka puasa. Ini bagi memastikan tubuh badan kita menerima sumber makanan untuk diserap selepas tempoh yang dinyatakan di atas.

Dalam masa yang sama, tempoh tersebut mencukupi untuk melemahkan hawa nafsu manusia yang melampau, mencukupi untuk kita selami kesusahan dan kepayahan yang dihadapi oleh orang lain.

PENULIS ialah Pensyarah Kolej Komuniti Gerik, Perak

Saturday, August 29, 2009

Fungsi radio di Selatan Thai

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

DALAM amalan demokrasi hak kaum-kaum tertentu tetap harus dipelihara biarpun mereka adalah kelompok penduduk minoriti.

Inilah senario yang dapat disaksikan jika kita melawat dua stesen radio milik kerajaan Thailand dan meninjau kehidupan masyarakat Islam di selatan negara itu menjelang Ramadan.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh penulis, ia jelas membuktikan sikap toleransi yang ditunjukkan oleh kerajaan Thailand. Biarpun masyarakat Islam di negara itu adalah kaum minoriti namun mereka tetap diberi peluang yang sama rata dari segi penyebaran maklumat dan menjalankan aktiviti harian.

Stesen Radio Pattani dan Stesen Radio Narathiwat menjadi pengantara utama antara penduduk Islam dengan kerajaan Thailand.

Kedua-dua stesen radio itu memainkan peranan penting dalam memberikan maklumat yang tepat dan betul mengenai situasi semasa. Langkah itu bertujuan bagi mengelakkan umat Islam terpengaruh dengan sebarang dakyah yang boleh memecah belahkan mereka.

Apa yang menarik kedua-dua stesen radio berkenaan turut menyediakan ruangan khas untuk umat Islam. Ia bersesuaian dengan fungsinya yang bukan sahaja bertindak sebagai penyebar maklumat tetapi juga saluran berdakwah bagi umat Islam.

Menurut Pengarah Stesen Radio Pattani, Abbas Abdullah, stesen itu yang bersiaran selama 16 jam sehari menyediakan slot tiga jam bagi ruangan agama.

Katanya, sempena menyambut Ramadan, siaran agama akan diadakan selama sejam pada sebelah pagi dan sejam ketika waktu berbuka.

''Selain itu kita juga menyediakan slot-slot seperti ucapan Ramadan, paparan hadis dan selingan,'' katanya ketika ditemui.

Dalam memastikan siaran radio itu mendapatkan sambutan, Abbas menegaskan, mereka sentiasa berusaha memenuhi kehendak tempatan.

''Rancangan-rancangan agama yang kita siarkan mendapat sokongan daripada pihak universiti, Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam Pattani dan pakar-pakar agama.

''Kita mahu umat Islam di ketiga-tiga wilayah di selatan iaitu Pattani, Narathiwat dan Yala mendapat maklumat yang betul kerana itulah matlamat kita,'' katanya.

Turut disiarkan sepanjang Ramadan ialah rancangan khas yang dipancarkan secara langsung dari Bangkok.
SEBAHAGIAN daripada alim ulama yang mengendali rancangan agama sepanjang Ramadan di radio Pattani.



Pada masa ini, berdasarkan kaji selidik yang dijalankan, Radio Pattani mencatatkan 350,000 pendengar setiap hari berbanding jumlah keseluruhan penduduk wilayah tersebut iaitu seramai 850,000 penduduk.

Terpengaruh

Ditanya mengenai sumbangan radio itu dalam usaha mewujudkan keamanan di selatan, Abbas berkata, mereka bertanggungjawab menyiarkan maklumat yang betul.

''Apabila berlaku sesuatu kejadian yang mendapat perhatian masyarakat, kita akan memanggil pelbagai pihak untuk memberikan penjelasan.

''Melalui cara itu, ia akan mengelakkan masyarakat terutamanya umat Islam terpengaruh dengan sebarang maklumat yang tidak tepat,'' katanya.

Di Stesen Radio Narathiwat pula, Pengarahnya, Abdullah Hassan memberitahu, sempena Ramadan, radio berkenaan menyiarkan secara langsung solat tarawih dari Mekah.

''Selain itu, kita juga mempunyai slot pada sebelah pagi dan menjelang waktu berbuka puasa,'' katanya.

Beliau berkata, radio berkenaan yang bersiaran 24 jam sehari, mempunyai ruangan soal jawab agama yang merupakan salah satu program yang mendapat sambutan hangat.

''Pendengar kita bukan sahaja terdiri daripada masyarakat setempat, malah di luar negara, ini terbukti kerana kita turut menerima panggilan daripada pendengar yang mengikuti siaran melalui laman web kami,'' katanya.

Dari segi kerjasama dengan Malaysia, kedua-dua stesen radio berkenaan amat mengharapkan kerjasama yang pernah wujud suatu ketika dahulu dijalinkan semula.

''Dulu kita ada kerjasama melalui program ceramah yang disampaikan oleh tokoh-tokoh agama dari Malaysia tetapi sekarang sudah tidak ada lagi. Kita berharap usaha ini disambung semula kerana ia mendapat sambutan ramai di sini,'' katanya.

Kewujudan kedua-dua radio ini dan diterajui oleh orang Islam telah membuktikan dakwaan berlakunya diskriminasi terhadap umat Islam di wilayah berkenaan adalah tidak benar.

Merdekakan pendidikan perkauman

Pendidikan adalah merupakan salah satu elemen penting dalam pembentukan sebuah negara bangsa. Bentuk pendidikan yang lahir akan menentukan sama ada agenda nasional dapat dicapai atau tidak. Jika sistem pendidikan berbentuk perkauman, maka perkaumanlah penyudahnya.

Setakat ini, hanya Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia ini yang mempunyai pendidikan pelbagai mengikut kaum atau vernakular. Inilah yang selalu dicanangkan oleh golongan tertentu sebagai salah satu kekuatan Malaysia. Ya, dari satu sudut ia memang satu kekuatan. Tetapi dari sudut yang lain, kita lihat bila ada ura-ura kerajaan untuk menyeragamkan sistem pendidikan berasaskan konsep 1Malaysia, tanpa menafikan hak-hak kaum lain mendapat pendidikan ibunda mereka, serta-merta golongan ini akan membuat laporan polis dan menuduh kerajaan yang bukan-bukan.

Saya amat menyanjungi sikap bumiputera Sabah dan Sarawak selaku pribumi, kerana mereka tidak menuntut sekolah berasaskan kaum. Jika tidak, saya tidak tahu ke manakah hala tuju pendidikan negara?

Ini tolak ansur yang mesti dihargai. Orang Melayu dan bumiputera tidak ada sekolah mereka sendiri. Yang ada ialah sekolah kebangsaan untuk semua. Sistem inilah yang dipraktikkan di seantero dunia. Jika adapun sistem pendidikan perkauman, ia telah lama dihapuskan. Semua bentuk pendidikan diseragamkan demi mencapai matlamat nasional. Contohnya, Thailand, Indonesia dan negara-negara maju yang lain.

Kita perlu berfikir jauh ke hadapan walaupun pahit untuk diterima. Setelah 52 tahun merdeka, sistem pendidikan kita masih belum merdeka dan terbelenggu. Setiap kaum masih leka dalam kepompong sistem pendidikan masing-masing. Orang Melayu masih percaya kepada sistem pendidikan kebangsaan untuk semua, tetapi tetap dengan sistem perkauman, India dengan cara India dan Cina dengan cara Cina. Kehidupan kita sebenarnya semakin jauh dan terasing.

Sebagai permulaan, biarlah saya mulakan dengan kajian yang telah saya lakukan terhadap sistem pendidikan Cina khususnya, selaku majoriti kedua terbesar. Secara umumnya, orang Cina terbahagi kepada dua kumpulan. Satu kumpulan dikenali sebagai Hua Ch'iao (orang Cina seberang laut) yang masih berwarga negara China. Satu lagi ialah Ma Hua, menganggap diri mereka sebagai Malayan Chinese, kebanyakan lahir di Tanah Melayu menganggap Tanah Melayu adalah negara mereka.

Wang Gungwu (1970), membahagikan orang Cina Malaysia kepada tiga kumpulan iaitu A, B dan C. Kumpulan A boleh dikategorikan dalam kumpulan minoriti berbanding dengan kumpulan lain. Mereka masih mengekalkan hubungan dengan politik di China, sama ada secara langsung atau tidak, serta masih mengambil berat akan masa depan negara China. Kumpulan ini tidak sedominan kumpulan B dan C.

Kumpulan B pula terdiri dari kalangan yang keras kepala. Majoriti bersikap realistik dan yang secara tidak langsung mengambil berat soal politik perniagaan dan pertubuhan komuniti. Kebanyakan mereka amat aktif dalam pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengaruh mereka amat mendalam dalam komuniti masyarakat Cina, malahan kerap memberikan tekanan kepada kerajaan. Inilah kumpulan ultra kiasu yang selalu saya sebut. Kumpulan ini berada dalam pertubuhan pendidikan (NGO), politik dan persuratkhabaran.

Kumpulan C pula, mereka menunjukkan minat yang mendalam serta aktif dalam politik negara. Wang Gungwu yang meletakkan mereka dalam kategori orang yang tidak pasti tentang identiti mereka sendiri tetapi secara umumnya mempunyai ketaatan kepada negara.

Pendapat Gungwu turut dikongsi oleh Rita Sim dan F.K. Soong, daripada Institute of Strategic Analysis and Policy Research (INSAP). Menurut mereka, terdapat dua jenis kumpulan Cina daripada keseluruhan berjumlah 6.5 juta.

Kumpulan pertama, mewakili 85-90 peratus orang Cina, berlatar belakangkan perkauman Cina, berpegang kepada tiga rukun, menyertai pertubuhan-pertubuhan Cina, bersekolah Cina dan membaca/mendengar/menonton media Cina. Manakala, selebihnya mewakili kumpulan kedua 10-15 peratus, adalah English- speaking group atau kumpulan yang mendapat pendidikan Inggeris, yang tidak mendapat pendidikan Cina. Kebanyakan mereka ada yang beragama Kristian, Cina Peranakan dan menyertai kelab Lions dan Rotary.

Pengkategorian ini sudah cukup untuk membuktikan kajian Yew Yeok Kim (1973, 1982) dan Leo Suryadinata (1989) mengenai sikap mereka yang mendapat pendidikan Cina dan bukan aliran Cina. Pelajar Cina yang mendapat pendidikan Inggeris (termasuk pendidikan kebangsaan) kurang identiti kecinaannya, lebih mudah bergaul dengan kaum lain dan memudahkan proses integrasi nasional. Manakala, mereka yang mendapat pendidikan sekolah Cina adalah bersikap sebaliknya.

Semua bukti ini jelas menunjukkan kedudukan dan polarisasi masyarakat di negara kita akibat sistem pendidikan yang wujud sekian lama. Sistem ini yang telah mewarnai kehidupan kita hari ini. Akibatnya, lahirlah golongan yang meletakkan kepentingan kaum di hadapan berbanding kepentingan nasional. Bahasa kaum sendiri lebih didaulatkan berbanding bahasa kebangsaan.

Kita ambil contoh kedudukan bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan. Bahasa Melayu hanya diajar tiga kali seminggu berbanding dengan bahasa Cina yang diajar setiap hari. Ini tidak termasuk matapelajaran lain seperti Matematik, Sains, Kemahiran Hidup, Pendidikan Moral, Sivik dan Kajian Tempatan yang turut diajar dalam bahasa yang sama. Saya ingin mencadangkan Kementerian Pelajaran menambahkan waktu pembelajaran matapelajaran bahasa Melayu, sekurang-kurang sama waktunya dengan mata pelajaran bahasa Cina. Jika tidak, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak ada ertinya.

Saya berkongsi pandangan ini kerana saya mempunyai pengalaman yang agak luas berinteraksi dengan sekolah Cina. Boleh dikatakan kesemua anak saya mendapat pendidikan rendah di sekolah Cina. Secara kebetulan, saya juga adalah Yang Dipertua, Persatuan Ibubapa dan guru (PIBG), di salah sebuah sekolah menengah yang majoriti pelajar-pelajar Cina yang datang dari sekolah rendah Cina (SJKC). Keadaan ini menjadikan saya lebih faham mengenai masalah bangsa saya sendiri, terutama dalam soal penguasaan bahasa Melayu dan pendidikan ibunda.

Melalui pengalaman dan pemerhatian, secara umumnya, tahap penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar-pelajar Cina adalah rendah. Dengan sebab itu, kelas peralihan terpaksa diwujudkan apabila mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah. Bagi mereka yang berada di kelas bukan peralihan pun, itu bukan bermakna penguasaan bahasa Melayunya baik. Bahasa Melayu lebih sekadar hafalan untuk menghadapi peperiksaan berbanding bagi tujuan interaksi dan pemahaman sebagai bahasa kebangsaan. Inilah dilema sistem pendidikan kebangsaan hari ini.

Kadangkala saya amat hairan kenapa setiap kali kerajaan cuba untuk menyeragamkan sistem pendidikan tanpa menafikan hak setiap kaum terhadap pendidikan mereka, mendapat tentangan yang begitu hebat. Mereka mempunyai prasangka bahawa ia adalah agenda kerajaan untuk menghapuskan sekolah Cina secara terancang. Inilah bentuk pemikiran yang telah bertapak setelah 52 tahun kita merdeka.

Kini, kedudukan pendidikan Cina tidak pernah tergugat, malah semakin kuat, termasuk kedudukan kewangannya. Di SJKC tempat anak saya belajar, penyata kewangan berakhir setiap tahun melebihi RM1 juta. Ini menunjukkan bahawa sokongan yang ditunjukkan oleh orang Cina terhadap pendidikan mereka semakin padu dan jitu. Manakala pendidikan kebangsaan semakin tergugat dan terhakis. Walaupun pelbagai usaha cuba dilakukan oleh kerajaan untuk mengadakan sistem satu sekolah dengan tidak mengenepikan hak kaum lain untuk mempelajari bahasa ibunda, namun ia tetap ditolak.

Pada hemat saya, jika inilah bentuk pendidikan yang lahir, kita masih belum merdeka dalam erti kata yang sebenar. Pemikiran kita masih dibelenggu dengan pemikiran perkauman. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-52.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah ialah Pensyarah Kanan, Universiti

Pertahanan Nasional Malaysia

Hormat tidak boleh dipaksa

Oleh Zin Mahmud

KETIKA Rasulullah SAW memasuki Mekah, tidak berlaku sebarang pertempuran. Penduduk Mekah sudah bersedia menerima tentera Islam, bukan kerana takut atau gerun, tetapi dihormati. Mereka tahu Islam akan menjadi rahmat kepada kota Mekah.

Begitu juga ketika Omar Ibn Khattab memasuki Baitulmakdis. Tidak berlaku penentangan. Bukanlah kerana mereka takut atau gerun pada tentera Islam itu tetapi mereka tahu orang Islam datang dengan keadilan dan keamanan mengatasi pemerintah Rom sebelum itu.

Dengan mudah, Islam tersebar ke seluruh Asia Barat dan Afrika Utara, bukan kerana penaklukan atau kekuatan tentera Islam itu sangat tetapi adalah kerana agama yang dibawa oleh orang Islam itu jauh lebih baik daripada amalan terdahulu. Kedatangan Islam merupakan suatu rahmat bagi rantau itu.

Tetapi mengapakah sekarang orang bukan Islam bukan saja memandang serong kepada Islam tetapi amat takut dan gerun terhadap agama ini? Sedangkan tentera mana-mana negara Islam tidaklah sekuat pihak bukan Islam. Tetapi di seluruh kalangan dunia bukan Islam, mereka takut terhadap Islam, termasuklah hal-hal mengenai Islam seperti Syariah, dan apatah lagi jihad dan hudud.

Syariah

Malah di negara-negara Islam juga, penduduk bukan Islam yang sudah tinggal beratus tahun dengan orang Islam turut takut dengan Islam.

Bukan itu saja, di kalangan orang Islam sendiri pun takut atau gerun terhadap Islam dan institusi-institusinya termasuk seperti jabatan agama, badan penguatkuasa, mahkamah Syariah dan lain-lain. Mengapakah keadaan sudah menjadi sebegitu rupa? Islam, sebagai suatu agama memberi rahmat kepada masyarakat yang menerimanya kini ditakuti dan digeruni, dan sudah tentu cuba dihalang.

Agama Islam ditakuti dan bukannya dihormati. Agama ini dilihat sebagai menekan perempuan, mengongkong dan tidak memberikan kebebasan. Agama Islam dan institusi-institusinya juga dilihat tidak memberikan kasih sayang melalui nasihat dan bimbingan. Tetapi sebaliknya institusi agama Islam dilihat bertindak tegas, cepat menghukum dan tidak memberi ruang kepada perbincangan waras serta tolak ansur.

Adakah agama Islam seharusnya menjadi begitu? Dunia sememangnya takut kepada Islam kerana ada segelintir orang Islam yang melakukan keganasan, memaksa orang mengikut cara hidup Islam.

Maka tentu timbul persoalan mengapakah orang Islam, agama Islam, institusi-institusinya tidak dihormati walaupun mereka ditakuti dan digeruni,

Kalau melihat pada zaman Abasiah di Baghdad dan Umayah di Andalusia, asas kepada Islam dihormati dan disambut baik ialah kebebasan warganya untuk berfikir, bersuara, berhujah, berbincang, menulis dan akhirnya mencambahkan pemikiran baru.

Pada zaman Abasiah umpamanya, terdapat pelbagai mazhab berkembang. Bukan itu saja, banyak lagi mazhab lain dan pelbagai aliran yang muncul.

Tetapi adakah di negara-negara Islam hari ini, dari Iran ke Malaysia, dari Arab Saudi ke Indonesia, kebebasan berfikir dan bersuara ini digalakkan?

Bagaimanakah masyarakat Islam hendak dihormati jika dilihat sebagai menyekat kebebasan berfikir dan bersuara. Tetapi bukan itu saja, Islam juga dilihat sebagai menyekat kebebasan bergaul dan berkasih sayang. Akibatnya, umat Islam tidak dihormati tetapi ditakuti. Ini kerana orang Islam dilihat terlalu sensitif, mudah melenting, protes di sana sini, dan akhirnya mengangkat senjata dan meletupkan diri.

Friday, August 28, 2009

Ramadan rahmat kepada anak yatim

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

MUNGKIN ramai yang bersetuju, walaupun apa pun kejayaan dan kenangan yang kita kecapi selama hidup ini, ia tidak semanis zaman kanak-kanak atau lebih tepat lagi setiap kali detik-detik menyambut lebaran!

Terlalu indah dan menyeronokkan, lebih-lebih lagi jika desa yang melatari suasana!

Walaupun siangnya letih lesu dek puasa, namun ibadat itu tidak pernah menghalang untuk mereka melakukan pelbagai aktiviti. Ligat tetap ligat. Mencari tin-tin diikuti meredah hutan belukar untuk mencari batang-batang buluh atau kayu. Semua itu kerana semangat yang tinggi untuk membuat pelita-pelita panjut.

Hasilnya pada waktu malam maka bergemerlapanlah cahaya pelita-pelita itu di sekeliling rumah yang menerangi jalan masuk dan halaman rumah!

Pemandangan yang terhasil itu sungguh indah, malah kita sanggup sekeliling kampung hatta di tengah-tengah malam bagi menikmati suasana yang cukup mengasyikkan itu.

Suasana bertambah meriah apabila sedari siang sehingga ke malam malah sehingga ke titisan embun pagi yang terakhir, kedengaran dentuman dari meriam buluh di sana sini.

Walaupun sangat bingit tetapi tiada siapa yang dapat menghalang kanak-kanak dan remaja malah seorang dua, orang tua yang sama-sama melakukan aktiviti 'pengeboman' itu dari serata ceruk kampung.

Begitu juga bermain mercun dan bunga api, satu lagi aktiviti wajib bagi 'mewarnai' malam-malam Ramadan!

Namun keindahan Ramadan dan Hari Raya bagi seorang kanak-kanak itu turut bermakna, meraikannya bersama ahli keluarga terutama ayah dan ibu tercinta.

Telah menjadi tradisi sehingga kini, tiada ibu bapa yang mahu melihat anak-anaknya menyambut Hari Raya tanpa sepatu baru, baju baru segala-galanya baru.

Segala-galanya akan mereka sediakan demi si anak. Apabila di pagi raya, pemandangan yang cukup mengasyikkan apabila si anak-anak yang begitu segak dan comel yang serba serbi baru tadi mengucup kedua-dua tangan dan pipi ayah dan ibu untuk pelbagai pengucapan yang ditujukan khas buat orang tua yang melahirkan.

"Selamat Hari Raya ayah, ibu! Minta ampun maaf dan halalkan makan minum!" merupakan ayat-ayat yang sering kita dengar, dilafazkan oleh si anak.

Suasana yang asalnya hening dan sayu, serta merta bertukar kepada sangat ceria apabila si anak melonjak kegembiraan apabila menerima habuan duit raya dari orang tua.

Sedikit catatan dari pelbagai 1,001 memori Aidilfitri ini mungkin tidak pernah tercatat pada diari si anak yatim. Catatan mereka adalah tersendiri dan menuntut seribu pengertian dan keinsafan dari semua pihak.

Namun pada hakikatnya, Ramadan dan Syawal tidak pernah membeza-bezakan umatnya. Semua individu muslim layak untuk meraikannya.

Malah golongan yang tidak bernasib baik inilah yang patut lebih mendapat keutamaan dan perhatian agar kemeriahan Ramadan dan kegembiraan Syawal itu sama-sama dapat dirasai.

Jika kita selami hidup sebatang kara, tiada ayah dan ibu, seolah-olah kehadiran Ramadan dan Syawal seperti tiada erti. Bagaimana kita dapat meraikan bulan-bulan kebesaran ini sedangkan orang yang kita sayangi dan kasihi tiada di sisi?

Kita tidak nafikan, golongan anak yatim piatu pastinya mempunyai psikologi mereka yang tersendiri. Jiwa mereka menjadi lebih halus dan mudah terusik, lebih-lebih lagi di saat orang lain begitu gembira terutama menyambut Syawal bersama-sama ibu bapa, ahli keluarga dan saudara mara.

Justeru kita selami isi hati anak-anak yang menghuni asrama anak yatim dan miskin Darul Kifayah kelolaan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI).

Ketika ditemui di asrama mereka di Taman Koperasi Polis Fasa 2, Batu Caves, Kuala Lumpur, seolah-olah berlaku pertembungan dua dunia yang berbeza.

Suasana mereka menyambut Ramadan dan Syawal tidak ada titik persamaan seperti yang dilalui rakan-rakan yang seusia mereka di luar sana.

Malah kadang kala termalu sendiri apabila bercakap soal kualiti berpuasa. Penulis akui, penghuni Darul Kifayah ini tidak memerlukan mercun, bunga api, pelita panjut sehinggalah bersengkang mata untuk membuat biskut Raya bagi sebagai pengisian bulan Ramadan.

Ini kerana mereka begitu mengejarkan pelbagai kelebihan bulan Ramadan, iaitu satu bulan yang menjanjikan rahmat pada 10 hari pertama, berkat pada 10 hari kedua dan maghfirah atau keampunan dari Allah pada 10 hari yang terakhir.

Wan Muhd. Zubair Wan Mohd. Noor, 14, berkata, suasana Ramadan di situ amat berbeza berbanding bulan-bulan lain.

Katanya, apabila tiba Ramadan, mereka diraikan oleh pelbagai pihak dengan jemputan berbuka puasa dan tidak kurang yang menyediakan juadah-juadah yang istimewa di asrama.

"Tidak cukup itu, kami juga dilimpahkan rezeki dengan sumbangan-sumbangan duit raya dan pelbagai hadiah berupa kelengkapan-kelengkapan termasuk baju baru, kasut dan sebagainya bagi membolehkan kami ceria dan gembira menyambut Syawal.

"Sebagaimana rakan-rakan sebaya di luar yang lebih bernasib baik, kami di sini tidak pernah kekurangan malah bersyukur kerana semakin ramai yang prihatin dengan nasib kami," katanya yang telah menetap dua tahun di situ.

Namun semua itu berbeza ketika Zubair mula-mula menghuni di situ. Perasaan sedih, rendah diri, takut, bimbang bercampur baur walaupun dia tinggal bersama seorang abang dan adiknya di situ.

"Saya tidak dapat membiasakan diri dan masa diperlukan apatah lagi tahun lalu adalah kali pertama saya berpuasa jauh dari kaum keluarga dan sanak saudara.

"Sekarang Alhamdulillah, tiada sebab lagi untuk saya menangisi nasib diri, malah yang penting saya bersama-sama penghuni lain, kami gembira dengan cara kami sendiri bagi menyambut Ramadan dan Syawal," katanya yang berasal dari Terengganu.

Mohd. Iskandar Mohd., 14, pula berkata, rezeki yang melimpah ruah dengan pelbagai pemberian dan sumbangan membuktikan bahawa pelbagai pihak juga mahu anak-anak yatim bergembira menyambut Ramadan dan Syawal.

"Mungkin ini tidak dirasai oleh anak-anak di luar sana tetapi kami begitu bersyukur kerana dikurniakan 'durian runtuh.'

"Walaupun setahun sekali tetapi semua sumbangan itu begitu bermakna bagi kami menampung perbelanjaan diri, sekolah dan dapat digunakan di waktu-waktu kecemasan," katanya.

Menurut Iskandar, setiap penghuni mempunyai akaun peribadi bagi menyimpan semua sumbangan duit raya yang diterima. Mereka tidak boleh menggunakan wang berkenaan sesuka hati ini apabila untuk tujuan wang poket, ia telah menjadi tanggungjawab kepada pihak pengurusan untuk memberi wang itu setiap hari.

Remaja perempuan, Nurfatin Pazin, 13, berkata, berpuasa di Darul Kifayah memberi banyak kenangan manis.

"Ini terutama apabila para penghuni di situ mendapat layanan istimewa dari syarikat-syarikat dan individu korporat yang menaja majlis berbuka puasa dan bersahur.

"Suasananya memang menyeronokkan apatah lagi mereka selalu memberikan banyak kata-kata nasihat dan perangsang supaya kami juga boleh berjaya seperti orang lain," katanya.

Tambah seronok apabila para penghuni Darul Kifayah kata Nurfatin, mereka secara dapat berbuka puasa, solat tarawih, bertadarus al-Quran sehingga khatam beramai-ramai.

"Berbanding orang lain, alhamdulillah kami dapat memanfaatkan sepenuhnya bulan Ramadan dan melakukan ibadat. Walaupun penat tetapi seronok," katanya.

Teh Maizatul Idayu Mohd. Nazri, 13, yang sebelum ini tinggal bersama ibu saudaranya pula sedih kerana ini kali pertama dia berpuasa di Darul Kifayah.

"Tetapi semakin lama di sini, saya makin serasi dan dapat menyesuaikan diri dengan baik. Saya belajar hidup bertolak ansur dan berkerjasama.

"Hasilnya, bukan sahaja dapat mengenali ramai kawan tetapi semua penghuni di sini seperti keluarga sendiri, saling bantu-membantu dan berkongsi suka duka," katanya.

Menggembirakan anak-anak yatim antara menjadi tanggungjawab umat Islam yang berkemampuan.

Bercakap soal fadilat dan ganjaran, hayatilah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Barang siapa memuliakan anak yatim di bulan ini (Ramadan) Allah akan memuliakannya pada bertemu-Nya di hari akhirat kelak. (riwayat Bukhari)

Pesta menuai ganjaran pahala Ramadan

Oleh A. MOHD. RAHIMIN SIHAT

PADA bulan suci Ramadan, inilah peluang kita untuk beribadat terbuka dengan seluas-luasnya. Misalnya dengan menghidupkan setiap malam dengan mengerjakan solat tarawih, bertadarus al-Quran, menjamu hidangan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka, melakukan kerja-kerja khidmat bakti masyarakat dan sebagainya.

Sekecil mana sekalipun amal yang kita lakukan pada bulan suci ini akan mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda daripada Allah SWT.

Bulan Ramadan adalah bulan yang sungguh luar biasa keistimewaannya berbanding dengan sebelas bulan yang lain. Apa tidaknya, dosa-dosa yang dilakukan akan mendapat keampunan dari Allah bagi hamba-Nya yang melakukan ibadah pada bulan tersebut dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas serta pengharapan.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Barang siapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala dari Allah maka diampunkan bagi-nya segala dosa yang telah lalu. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam bulan ini juga kita perlu memperbaharui dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melipat gandakan amal ibadat kepada Allah supaya hubungan kita dengan Allah bertambah teguh dan semakin halus pula perasaan kemanusiaan kita terhadap sesama insan, sehingga melahirkan amal kebaikan yang bermanfaat dalam suasana aman dan tenteram. Dengan sifat mulia yang ditunjukkan maka penghidupan sesama insan bertambah harmoni dalam suasana keselesaan dan saling rasa prihatin.

Allah SWT juga menetapkan ibadah puasa pada bulan Ramadan dengan matlamat untuk memupuk dan melahirkan sifat rahmah ke atas setiap insan. Sifat ini dapat diserapkan ke dalam hati apabila umat Islam yang sedang mengerjakan ibadah puasa bersama-sama merasakan keperitan dan kemelaratan orang lain dalam mengharungi perjuangan puasa dengan menahan diri daripada lapar dan dahaga serta melawan hawa nafsu.

Penzahiran sifat rahmat ini menjangkau jauh tanpa mengenal batasan bangsa, agama dan negara sebagaimana Allah SWT telah menunjukkan sifat rahmah terhadap hamba-hamba-Nya sama ada yang beriman atau yang tidak beriman.

Sifat rahmah ini sememangnya sukar untuk dizahirkan ke dalam diri manusia dengan mengambil kira sifat fitrah manusia yang lebih cenderung mementingkan diri sendiri.

Di dalam bulan Ramadan juga, Allah SWT telah menurunkan al-Quran kepada Rasulullah SAW sebagai rahmat bagi alam ini dan untuk menjadi pedoman hidup bagi manusia. Oleh itu, untuk mendapatkan keberkatan al-Quran janganlah kita setakat, bertadarus al-Quran atau sekadar membacanya semata-mata dengan tujuan mengkhatamnya.

Yang lebih penting adalah hendaknya kita dapat berinteraksi dengan al-Quran secara langsung, berusaha memahami maknanya dan menjadikannya sebagai panduan hidup sehingga ia menghidupkan minda, perasaan, kalbu, penghidupan, masyarakat dan negara.

Sebagai satu rahmat Allah SWT pada bulan Ramadan ini, usaha membangun sahsiah Muslim seutuhnya perlu dipraktikkan di sepanjang bulan Ramadan ini. Bahkan pelaksanaan ibadat puasa dan ibadat-ibadat lain pada sepuluh hari terakhir Ramadan perlu dipergiatkan dan diperbanyakkan.

Ini kerana tempoh tersebut merupakan kemuncak ibadat puasa sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW. Di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. daripada Saiyidatina Aishah r.a., sesungguhnya Nabi SAW adalah sangat giat mendekatkan diri kepada Allah SWT (beribadat) pada sepuluh hari terakhir Ramadan.

Tunggak ibadah pada bulan Ramadan ialah ibadah puasa iaitu menahan diri bukan sahaja dari makan dan minum bahkan dari segala perkara maksiat dan yang membatalkan pahala puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Dalam konteks ibadah puasa, kejayaan menempuh ujian perlu disertai dengan sifat sabar. Sifat sabar merupakan perkara asas dalam kehidupan kita seharian terutamanya sabar dalam menghadapi segala macam ujian hidup. Sifat sabar ini dapat menjadikan kita seorang Muslim yang tabah dan mempunyai jati diri dalam menghadapi ujian dan ranjau kehidupan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Zumar ayat 10, maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang bersabar akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.

Oleh itu hendaklah kita merebut peluang yang sangat berharga ini dengan beribadah yang disertai dengan rasa kesyukuran dan kegembiraan, ikhlas dan yakin terhadap kurniaan Allah yang tidak ternilai banyaknya. Sesungguhnya keistimewaan dan kelebihan berpuasa dalam bulan Ramadan tidak akan kita nikmati jika tidak dilakukan dengan sempurna dan penuh keikhlasan.

PENULIS ialah Penolong Pengurus Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Pengurusan Ramadan Nabi SAW

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

AHLAN Wasahlan Ya Ramadan (Selamat Datang Ya Ramadan). Begitulah ucapan Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya bila menjelang bulan al-mubarak sebagai menghormati dan menyambut bulan mulia tersebut.

Sebelum menjalankan ibadat Ramadan, ada beberapa perkara yang perlu difahami, di antaranya ialah puasa Ramadan adalah rukun Islam yang keempat.

Hukumnya adalah fardu (wajib) yang langsung dari perintah Allah SWT, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu sekalian berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertakwa. (al-Baqarah: 183).

Dalam hadis dijelaskan, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya Islam itu dibangun di atas lima (dasar). Kesaksian bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad itu adalah utusan-Nya, menegakkan solat, menunaikan zakat, melaksanakan puasa Ramadan dan menunaikan haji. (riwayat Muslim).

Dari ayat dan hadis di atas berpuasa Ramadan hukumnya wajib atas setiap Muslim dan Muslimat yang sihat akalnya, dan telah mukalaf, tidak dalam keadaan musafir dan sakit. Khususnya bagi wanita, tidak dalam keadaan haid dan nifas.

Allah SWT mensyariatkan berpuasa dan pelbagai ibadat Ramadan sebagai salah satu program yang harus dilalui setiap muslim dan mukmin dalam pembentukan karakter takwa mereka.

Sebaliknya ancaman keras bagi orang-orang beriman yang tidak melaksanakan ibadat puasa Ramadan.

Ia sebagaimana yang disabdakan Rasulullah SAW yang bermaksud: Ikatan dan penegak agama Islam itu ada tiga. Siapa yang meninggalkan salah satu darinya, maka ia telah kafir, halal darahnya iaitu: syahadat, solat fardu, puasa Ramadan. (riwayat Abu Ya'la dan Dailami). Yang dimaksudkan kafir ialah hukumnya seperti murtad.

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Siapa yang berbuka satu hari dalam bulan Ramadan tanpa ada rukhsah (faktor yang membolehkan berbuka) dari Allah, maka tidak akan tergantikan walaupun ia melaksanakan puasa sepanjang masa. (riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi).

Jenis-jenis puasa itu terbahagi dua, pertama puasa fardu (wajib), dan kedua puasa tathowwu' (puasa sunat).

Adapun puasa wajib terbahagi tiga, pertama puasa Ramadan, iaitu puasa yang dilaksanakan selama bulan Ramadan seperti dijelaskan dalam surah al-Baqarah: 183.

Kedua, puasa kaffarat (puasa denda), iaitu puasa yang wajib dilakukan sebagai denda dari pelanggaran hukum seperti pelanggaran dalam ibadat haji, membunuh tidak sengaja, melanggar sumpah dan sebagainya.

Ketiga, adalah puasa nazar, iaitu jika seseorang bernazar dengan berpuasa bagi perkara yang dinazarkannya seperti jika ia sembuh dari penyakit dan sebagainya maka ia bernazar untuk berpuasa. Puasa seperti ini disebut dengan puasa nazar dan wajib hukumnya.

Puasa tathowwu' (puasa sunat), adalah puasa enam hari di bulan Syawal. Dalam hadis Rasulullah SAW dijelaskan: Siapa yang berpuasa Ramadan, kemudian dia teruskan dengan enam hari di bulan Syawal, seakan dia berpuasa sepanjang masa (tahun). (riwayat al-Jamaah kecuali Bukhari, Nasa'i)

Isnin dan Khamis

Puasa hari Arafah bagi yang tidak menunaikan ibadat haji. Dalam hadis dijelaskan: Berpuasa hari Arafah (9 Zulhijah) menghapuskan dosa dua tahun, setahun sebelum dan setahun selepasnya. (riwayat al-Jamaah kecuali Bukhari, Nasa'i).

Puasa hari Asyura (10 Muharam). Dalam hadis Rasulullah SAW dijelaskan: Puasa pada hari Arafah (9 Zulhijah) menghapus dosa dua tahun yang lalu dan yang akan datang. Dan puasa Asyura (10 Muharam) menghapuskan dosa setahun yang lalu. (riwayat al-Jamaah kecuali Bukhari, Tirmizi).

Berkaitan puasa Asyura, Rasulullah SAW menyarankan agar ditambah sehari sebelumnya agar tidak sama dengan Yahudi, kerana mereka juga berpuasa pada hari Asyura.

Puasa diperbanyak di bulan Syaaban. Dari Aisyah r.a dia berkata: Aku tidak melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasanya kecuali di bulan Ramadan sahaja, dan aku tidak melihat banyak berpuasa di bulan selain Ramadan kecuali di bulan Syaaban. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Puasa pada hari Isnin dan Khamis. Dari Abu Hurairah r.a dia berkata: Rasulullah SAW paling banyak berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Lalu Baginda ditanya kenapa? Baginda menjawab : Sesungguhnya semua amal diangkat (ke langit) setiap hari Isnin dan Khamis. Maka Allah akan mengampunkan setiap Muslim atau setiap Mukmin kecuali dua orang yang sedang berbantah, maka Allah berkata : Tangguhkan keduanya." (riwayat Imam Ahmad).

Puasa tathowwu' (sunat) dibolehkan berbuka, khususnya jika ada penyebabnya seperti dijemput makan. Dari Abu Said al-Khudri r.a dia berkata: "Saya menyiapkan makanan untuk Rasulullah SAW, maka Baginda datang dengan beberapa sahabatnya. Ketika makanan dihidangkan salah seorang di antara mereka berkata: Sesungguhnya saya sedang berpuasa. Lalu Rasulullah berkata: Saudaramu telah menjemputmu dan telah bersusah payah untukmu. Kemudian Baginda bersabda: Berbukalah dan berpuasalah di hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu". (riwayat Baihaqi).

Setiap ibadat dalam Islam ada rukunnya agar ibadat itu dapat tegak dan berjalan dengan benar. Demikian juga dengan puasa Ramadan ada dua rukun.

Pertama, niat yang menentukan sah atau tidaknya ibadat seseorang seperti yang dijelaskan Rasulullah SAW: Sesungguhnya (sahnya) setiap amalan itu bergantung adanya niat, dan sesungguhnya setiap orang (akan memperoleh) sesuai apa yang diniatkannya. Siapa yang berhijrah kerana kepentingan dunia yang akan dia peroleh atau wanita yang akan dinikahinya, maka dia akan memperoleh apa yang diniatkannya. (riwayat Muslim).

Setiap amal ibadat, baik wajib mahupun yang sunat akan bernilai di mata Allah jika didasarkan dengan niat.

Niat kerana Allah

Niatnya harus hanya kerana Allah, tidak menyeleweng sedikitpun. Kemudian itu niat letaknya dalam hati yang diucapkan dengan lisan, termasuk niat berpuasa Ramadan mesti dilakukan dalam hati. Waktunya sebelum terbit fajar.

Juga menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa sejak terbit fajar sampai matahari tenggelam sebagaimana maksud dalam surah al-Baqarah: 187.

Yang berniat membatalkan puasanya di siang hari, dengan demikian membatalkan puasanya walaupun dia tidak makan atau minum.

Adapun yang membatalkan puasa dan mesti diqada dan kaffarat menurut jumhur ulama adalah berhubungan suami dan isteri dengan sengaja.

Kaffarat bagi yang berhubungan suami isteri ialah memerdekakan hamba. Jika tidak sanggup, berpuasa dua bulan berturut-turut. Jika tidak mampu memberi makan fakir miskin sebanyak 60 orang, seperti yang dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW, yang diriwayatkan Imam Bukhari.

Orang kafir aniaya diri sendiri

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SHEIKH Sya'rawi berkata : Selepas Allah menceritakan berkenaan keadilannya dalam pembalasan, Allah menyebut pula berkenaan keadaan orang-orang kafir yang menyangka banyaknya harta dan ramainya anak boleh menjadikan mereka kaya serta tidak berhajat kepada Allah.

Iktibar dan fiqh ayat 116

i. Ibn Kathir berkata: Allah menceritakan perihal orang kafir musyrikin sekalipun anak dan harta mereka banyak kecuali semuanya tidak dapat menolak azab Allah SWT. Mereka akan kekal di neraka.

ii. Al-Alusi berkata: Anak-anak mereka pada hari akhirat kelak, begitu juga dengan harta mereka tidak dapat menegah dan menghalang daripada azab Allah SWT.

iii. Al-Maraghi berkata: Mereka tetap tinggal di dalam neraka, tanpa mampu untuk keluar daripadanya disebabkan rohani mereka sudah menjadi gelap, akidahnya pula sudah rosak, dan amal perbuatan mereka pula jelik.

Semuanya itu menghendaki mereka tinggal kekal di jurang kebinasaan yang amat gelap serta panas yang mana bahan bakarnya adalah manusia dan batu berhala. Tempat ini dikhaskan untuk setiap orang yang mengingkari ayat Tuhannya, menolak dakwah para nabi dan rasul-Nya, dan hanya mahu tunduk mendengarkan seruan nafsu dan keinginannya.

iv. Muhammad Quraish Shihab berkata: Pada hakikatnya orang-orang yang beriman pun tidak akan bermanfaat buat mereka harta dan anak-anaknya untuk menolak ketetapan Allah SWT kerana seringkali menduga bahawa itu semua akan memberi manfaat kepada orang kafir bukan kepada orang mukmin.

Jelas di sini mereka itu ialah orang-orang kafir. Bukankah ada di antara mereka yang berkata: Kami memiliki harta dan anak-anak yang lebih banyak sehingga kami tidak akan diseksa. (terjemahan surah al-Saba': 35)

v. Hamka berkata: Kerana kemewahan dan kemegahan hidup mereka menjadi sombong dan tidak mempercayai pada seruan Ilahi.

Sesungguhnya harta dan anak-anak mereka tidak akan dapat menolong apabila azab Allah SWT menimpa kepadanya.

Sebab Nuzul ayat 117

Ayat ini diturunkan berkaitan dengan harta yang dibelanjakan oleh penduduk Mekah atau bangsa Yahudi yang memusuhi dan memerangi Nabi Muhammad SAW.

Mereka telah memilih cara seperti itu untuk kepentingan diri mereka, sedangkan Nabi SAW dan para sahabatnya sedikit pun tidak ditimpa kecelakaan dengan tindakan mereka itu. Sebaliknya mereka pula yang dikuasai dan ditundukkan.

Ada yang berpendapat, bahawa ayat ini turun berkaitan dengan golongan munafik yang telah membelanjakan kekayaannya untuk jalan kebaikan, tetapi dengan maksud untuk menunjuk dan mencari pujian, atau menyembunyikan niat jahatnya (dengan bertopengkan kebajikan).

Sementara dalam riwayat lain pula menyebut bahawa perumpamaan dalam ayat-ayat ini ditujukan tepat terhadap golongan kafir yang membelanjakan kekayaan untuk kegiatan yang baik, dan mengharapkan kebaikan. Akan tetapi kerana syarat untuk memperoleh pahala daripada perbuatan-perbuatan yang baik adalah iman, maka mereka telah menzalimi diri mereka sendiri.

Ini disebabkan mereka tidak mahu memikirkan dalil-dalil yang sememangnya telah jelas, atau mengingkari kebenaran setelah difikirkannya benar padahal dalil-dalil tentang kebenaran ini telah diutarakan kepada mereka.

Iktibar dan fiqh ayat

Mereka yang menafkahkan dalam kehidupan di dunia mempunyai empat pendapat:

lNafkah orang kafir dan sedekah mereka. Inilah pendapat Mujahid.

lNafkah orang-orang yang rendah di kalangan Yahudi terhadap pendeta mereka. Inilah pendapat Muqatil.

lNafkah orang Musyrikin di Perang Badar. Inilah pendapat Abul Hasan al-Mawardi.

lNafkah orang munafikin. Apabila mereka keluar bersama orang Islam untuk memerangi Musyrikin. Ini juga pendapat al-Mawardi.

Ringkasnya, usaha mereka dalam membelanjakan harta kekayaan, sekalipun pada jalan yang baik, tetap keadaannya sama seperti angin dingin yang bertiup keras lalu menghancurkan tanaman.

Jadi, mereka tidak memperoleh sebarang manfaat daripada perbelanjaan hartanya, laksana pemilik tanaman tadi.

ii. Muhammad Quraish Shihab berkata: Ayat ini memberi perumpamaan seorang petani yang telah bekerja sedemikian rupa sehingga sawah dan ladangnya telah siap untuk dipetik, tetapi tiba-tiba datang angin yang membawa udara yang sangat dingin, yang keras sehingga seperti berbunyi 'sheer' dan akhirnya tanamannya terbakar tanpa mendapat apa-apa hasil.

Bahkan dia mengalami kerugian modal, tenaga dan pikiran. Demikian juga keadaan mereka di Hari Kemudian. Mereka menduga bahawa amal-amal mereka akan bermanfaat tetapi kenyataannya sama dengan petani yang dicontohkan di atas.

iii. Hamka berkata: Ayat ini diumpamakan harta benda yang dibelanjakan untuk maksud yang jahat laksana angin sejuk yang kering pada musim dingin bukan membawa kesuburan melainkan kemusnahan.

Berbeza dengan ajaran dan seruan Ilahi yang dibawa oleh Rasulullah SAW umpama air hujan yang turun membawa rahmat dan berkat.

Semoga Allah menjadikan kita golongan yang taat dan beriman kepada-Nya serta yang menyelamatkan kita di hari akhirat kelak daripada api neraka. Amin.

Elak amal adat yang syirik

SOALAN:
ADA beberapa adat Melayu yang menjadi kemusykilan. Adat-adat tersebut masih diamalkan di sesetengah tempat. Antaranya:

1. Seseorang (suami) perlu mencabut paku yang telah dipakunya di mana-mana tempat untuk menyenangkan isterinya untuk bersalin.

2. Jangan belitkan kain tuala di leher, nanti anak yang keluar akan terbelit tali pusat di lehernya.

Apakah pandangan ustaz ke atas perkara ini menurut Islam?

Jawapan:

Cuba kita renung dan hayati makna ayat al-Kursi berikut: Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya (mentadbirkan sekelian makhluk-Nya). Yang tidak pernah berasa mengantuk apalagi tidur. Yang Memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan Dengan izin-Nya (sahaja). Yang Maha Mengetahui apa yang berada di hadapan mereka dan apa yang berada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah Kehendaki. Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara kedua-duanya. Dan Dia-lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya). (al-Baqarah: 255)

Subhanallah, betapa agung konsep keesaan Allah SWT yang digambarkan oleh ayat tersebut. Allah dengan jelas memberitahu kita bahawasanya segala kuasa itu adalah milik mutlak-Nya semata-mata bukan sahaja di bumi bahkan di langit!

Jadi, apa ukuran yang kita pakai sebagai orang-orang yang benar-benar beriman apabila kita meletakkan sejumlah kuasa pengakibat kepada paku dan tuala?

Adakah mempercayai sial pembawa padah dan petanda atau alamat buruk serasi dengan ajaran Islam terutamanya apabila kita menyentuh bab tauhid dan akidah Islam yang suci dan tulen? Atau dari mana asal kepercayaan-kepercayaan ini sebenarnya?

Sebenarnya ia berpunca daripada kepercayaan silam orang-orang Melayu pada zaman sebelum Islam. Ketika itu ideologi paganisme yang menisbahkan kuasa kepada setiap benda yang wujud di muka bumi ini lalu memuja segalanya. Dipanggil semangat itu, dan semangat ini.

Namun, saki-baki daki syirik kepercayaan lalu masih berakar umbi di jiwa generasi pewaris generasi yang telah bertukar kepada mempercayai ajaran agama Islam sejak kurun ke-10 lagi yang telah mula bertapak di Negeri Terengganu berdasarkan artifak sejarah Tugu Peringatan Batu (Batu Bersurat) yang ditemui di Kuala Berang, Terengganu.

Walaupun 10 kurun telah berlalu, dan kurun ke-21 telah menjelma kini, ramai yang masih kabur untuk membezakan antara unsur syirik ideologi paganisme silam dengan dasar keesaan Allah SWT yang menjadi asas berimannya seseorang yang bergelar Muslim.

Perlu diingat bahawa syirik yang bermaksud 'memberi hak perkongsian terhadap sesuatu contohnya kuasa di antara Allah dan sesuatu benda' ini adalah dosa besar nombor satu dalam senarai 70 dosa-dosa besar.

Allah SWT dengan tegas menyatakan pendirian-Nya mengenai syirik ini bahawa ia adalah satu dosa besar yang sangat berat kesalahannya dalam surah al-Nisa', ayat 48 yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak akan Mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua sekalipun), dan akan mengampunkan dosa lain selain daripada dosa itu (syirik) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang amat besar (berat).

Dalam ayat lain, Allah tegaskan perbuatan itu adalah satu kesesatan yang sangat menjauhkan seseorang daripada Allah dalam ayat 116 yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak akan Mengampunkan dosa syirik orang yang mempersekutukan-Nya Dengan sesuatu (dengan sesuatu apa jua sekalipun), dan akan mengampunkan dosa lain selain daripada dosa itu (syirik) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya; Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat menjauhkannya (daripada Allah).

Langit mana kita sanggup junjung, bumi mana kita sanggup bertongkat apabila Allah telah menganggap kita terkeluar senarai daripada keampunan dan rahmat-Nya?

Khazanah sunnah juga membawa hadis-hadis yang senada dengan ayat-ayat al-Quran yang telah kita baca tadi.

Hadis paling sahih daripada Sahih al-Bukhari menegaskan bahawa: Dari Abu Hurairah r.a. yang telah mendengar baginda SAW bersabda: "Tiada petanda atau alamat buruk atau sial pembawa padah (dalam Islam). Sebaik-baiknya ialah kata-kata yang baik (senang didengari) diperdengarkan kepada kamu." (Sumber: Sahih al-Bukhari, juzuk 5, halaman 2171, bilangan hadis: 5422).

Hadis yang sama juga terdapat dalam Sahih Muslim, Sahih Ibnu Hibban, Sunan al-Bayhaqi al-Kubra, Musnad Imam Ahmadbin Hanbal, Musnad al-Tayalisi, dan Musnad Abu Ya'la menggambarkan betapa besar perkara ini di sisi Islam.

Jangan sekali-kali memandang remeh dan membiarkan ia berterusan dalam kehidupan kerana Imam Ahmad bin Hanbal ada meriwayatkan satu lagi hadis yang lebih jelas mengenai perkara ini yang bermaksud: Dari Abdullah bin 'Amru berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang membenarkan petanda atau alamat buruk daripada sesuatu sehingga menjejaskan hajatnya untuk berbuat sesuatu sesungguhnya dia telah melakukan syirik. Para sahabat bertanya: Maka apakah kaffarahnya (penebus kesalahan itu?) Rasulullah bersabda: Hendaklah kamu berkata: Allahumma La Khaira Illa Khayruk, Wa La Tiyara Illa Tiyaruk, Wa La Ilaha Ghayruk yang bermaksud: "Ya Allah, tiada kebaikan selain daripada kebaikan milik-Mu, tiada alamat atau petanda selain daripada alamat atau petanda dari-Mu, dan tiada Tuhan selain-Mu". (Sumber: Musnad Imam Ahmad bin Hanbal, juzuk 2, halaman 220, bilangan hadis: 7045).

Sebaik-baiknya kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW seperti membaca: Bismillahillazi la yadhurru ma'asmihi shay'un fil ardhi wa la fissama' wa huwassami'ul alim yang bermaksud: "Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya tiada sesuatu di bumi dan di langit akan (dapat) memudhratkan (sesuatu yang lain) sedang Dia (Allah) Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".

Menurut baginda, sesiapa yang membacanya tiga kali pada waktu pagi maka tiada apa yang boleh memudaratkannya sehingga waktu petang; begitu jugalah apabila ia dibaca tiga kali pada waktu petang, maka tiada apa yang boleh memudaratkannya sehingga waktu pagi. (Sumber: Sunan Abu Daud, juzuk 3, halaman 132, bilangan hadis: 5088)

Insya-Allah kita kan sentiasa dilindungi oleh-Nya daripada segala mudarat.

Kempen membaca di bulan Ramadan

Oleh ZUARIDA MOHYIN

PENJUALAN aneka kurma, telekung, kopiah, tasbih dan telekung adalah senario yang cukup sinonim acap kali tibanya bulan Ramadan. Bahkan, bahang kemuliaan bulan penuh barakah ini semakin dirasai di masjid serta surau serata negara, waima di negara yang mempunyai minoriti Muslim.

Apa yang pastinya, kelas-kelas pengajian ilmu, tadarus dan banyak lagi majlis ilmu adalah antara aktiviti yang mendahului senarai teratas carta aktiviti di masjid mahupun surau.

Sayangnya, seperkara yang sering terlepas pandang setiap kali tibanya penghulu segala bulan ini ialah hilangnya budaya membaca masyarakat Muslim di negara ini. Apa yang lebih 'dibudayakan' adalah tidur sepanjang hari.

Sementara, di toko-toko buku pula, tumpuan mereka adalah kepada penjualan kurma serta kelengkapan beribadat. Yang mana, koleksi buku-buku bermanfaat sering diletakkan ke bahagian belakang.

Sedangkan hakikatnya, pada bulan Ramadan inilah, salah satu peristiwa besar lagi bersejarah berlaku iaitu bulan di mana turunnya al-Quran atau lebih dikenali sebagai Nuzul Quran.

Sudah pastilah, pencarian ilmu itu serta penghayatan roh Ramadan tidak sekadar dititikberatkan kepada pembacaan al-Quran menerusi aktiviti tadarus dan tilawah sahaja.

Malah, pemahaman al-Quran juga perlu digarap dengan majlis-majlis ilmu dan bacaan-bacaan tambahan bagi menguatkan pemahaman berkenaan Islam, sekali gus membina jati diri Muslim sejati.

Kelebihan Ramadan

Menyedari kelebihan amalan-amalan baik sepanjang bulan Ramadan, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. (PTS) mengajak umat Islam menjadikan bulan ini sebagai bulan membaca dengan mengutarakan tema 'Ramadan tetamu yang dirindui, bulan perjuangan, bulan Nuzul Quran, mencerdaskan minda, mencari Lailatul Qadr dan menunaikan haji'.

Pengerusi PTS, Ainon Mohd. berkata, PTS melihat bulan Ramadan perlu diisi dengan aktiviti membaca kerana secara umumnya, umat Islam mempunyai lebih banyak masa rehat yang daripada 'diisi' dengan tidur sepanjang hari.

Oleh itu, katanya, adalah lebih baik menjadikan membaca sebagai satu amalan sepanjang Ramadan.

Beliau berkata, suasana di Malaysia berbeza dengan jiran Indonesia, di mana sebelum tibanya bulan Ramadan, buku-buku memang menjadi rebutan dan penjualan buka pada bulan Ramadan jauh lebih tinggi berbanding bulan-bulan lain.

"Justeru, budaya sebegini perlu dibudayakan di kalangan masyarakat kita terutamanya yang beragama Islam. Tidak kisahlah jika bacaan itu sekadar sehari selembar halaman sahaja.

"Apa lagi, ia adalah bulan muhasabah diri. Jadi cara terbaik ialah dengan mengukuhkan ilmu dan antara cara yang termudah ialah dengan membaca," katanya.

Ainon berkata demikian pada sidang akhbar memperkenalkan 27 buku terbitan PTS sempena mempromosikan kempen membaca sepanjang bulan Ramadan di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Ainon lagi, buku-buku di atas merangkumi novel sejarah Islam iaitu sebanyak 12 hasil pengarangnya, Abdul Latip Talib. Di samping itu penulis hebat, Dr. Danial Zainal Abidin turut membariskan lima buah buku antaranya; Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran daripada Teropong Sains, Minda Muslim Super dan Tip-tip Cemerlang daripada Quran. Turut diketengahkan ialah buku-buku berbentuk motivasi dan haji seperti; Haji Muda, 99Q: Kecerdasan berasaskan Asmaulhusna dan 3T: Taubat Tasbih Tahajud.

"Yang pastinya, PTS sedang giat mempromosikan kempen membaca sepanjang Ramadan ini dengan menyediakan lebih 27 judul buku dengan potongan harga istimewa.

"Kami turut berharap pihak masjid dan surau dapat menyarankan menerusi kelas-kelas agama, ceramah dan di dalam khutbah perihal kelebihan membaca, seterusnya memupuk minat membaca para jemaah menerusi penganjuran pelbagai aktiviti," kata Ainon.

Thursday, August 27, 2009

Kelebihan Ramadan dan orang yang berpuasa

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

RAMADAN datang lagi. Umat Islam di seluruh dunia kini begitu sibuk beribadah, termasuk menggandakan ibadat pada bulan yang mulia ini. Ramadan amat sinonim dengan salah satu daripada Rukun Islam iaitu berpuasa.

Ibadat yang mempunyai seribu satu macam rahsia dan hikmah. Begitu juga ia membawa kepada banyak pahala dan keuntungan bagi mereka yang berpuasa serta melakukan ketaatan pada bulan Ramadan.

Dibincangkan di sini fadilat Ramadan, puasa dan kelebihan puasa dan orang yang berpuasa:

Pertama: Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah sabda Nabi SAW: "Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka: Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi, malaikat mengampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hambaku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam."

Hadis ini menunjukkan kemuliaan Ramadan dan keistimewaan mulut orang yang berpuasa di sisi Allah SWT di samping syaitan yang dibelenggu kerana kelebihan Ramadan.

Kedua: Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad meriwayatkan hadis daripada Sahal bin Sa'd sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan al-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya.

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada al-Zain bin al-Munir dalam al-Fath al-Bari : Sesungguhnya dikatakan pada syurga, tidak dikatakan bagi syurga untuk menggambarkan bahawa pintu itu sendiri sebahagian daripada kenikmatan dan kerehatan yang membawa lebihan rasa rindu kepadanya.

Ketiga: Mengikut riwayat al-Nasaie sama seperti di atas kecuali ditambah sabda Nabi SAW: "Sesiapa yang masuk di dalamnya nescaya dapat meminum dan siapa yang minum nescaya tidak dahaga selama-lamanya."

Hadis ini menunjukkan kelebihan minuman dalam syurga yang menghilangkan dahaga selama-lamanya.

Keempat: Mengikut riwayat Imam Ahmad dan al-Nasaie daripada Abi Hurairah r.a sabda Rasulullah SAW: "Puasa merupakan perisai." Dan daripada Uthman bin Abi al-As, "Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat."

Ini kerana, puasa mempunyai kelebihan yang tersendiri dan pada ghalibnya (kebiasaannya), mereka yang berpuasa akan memelihara nilai puasanya.

Kelima: Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Uthman bin Abi al-As, "Puasa merupakan perisai daripada azab Allah.

Hadis ini menunjukkan kelebihan puasa yang melindungi tuannya daripada disambar api neraka.

Keenam: Imam Ahmad, Muslim dan al-Nasaie meriwayatkan daripada Abi Hurairah dan Abi Sa'id sesungguhnya Allah berfirman: "Sesungguhnya puasa bagi-Ku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.

Hadis qudsi ini menggambarkan kemuliaan orang yang berpuasa semata-mata kerana Allah SWT yang sudah pasti mendapat pembalasan daripadanya.

Ketujuh: Ibn Majah dan al-Hakim meriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa yang tidak ditolak".

Hadis ini menunjukkan kelebihan orang yang berpuasa dengan mustajabnya doa.

Kelapan: Al-Dailami meriwayatkan daripada Ibn Umar katanya: "Diam orang puasa merupakan tasbih, tidurnya adalah ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan".

Hadis ini menunjukkan terlalu banyak kelebihan orang yang berpuasa, sekalipun mereka diam dan tidur.

Kesembilan: Ibn Majah meriwayatkan daripada Ibn Jabir, Ahmad, al-Tabarani dan al- Baihaqi daripada Abi Umamah bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya bagi Allah ketika berbuka puasa mempunyai mereka yang dibebaskan daripada neraka yang demikian itu pada setiap malam."

Hadis ini menunjukkan keampunan Allah SWT kepada yang berpuasa.

Kesepuluh: Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda: "Puasa merupakan separuh kesabaran dan atas tiap sesuatu mempunyai zakat dan zakat bagi tubuh badan adalah puasa."

Hadis ini menggambarkan betapa sabarnya orang yang berpuasa.

Kesebelas: Imam Ahmad, al-Turmidzi dan al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ummi Imarah: "Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan sentiasalah malaikat berselawat ke atasnya sehingga selesai makanannya".

Hadis ini dengan jelas menunjukkan betapa malaikat berdoa dan berselawat kepada yang berpuasa.

Sebenarnya banyak lagi kelebihan puasa dan Ramadan seperti mendapat syafaat dan dijauhkan daripada neraka.

Justeru, marilah sama-sama kita mengambil kesempatan dengan kunjungan Ramadan al-Mubarak dengan berpuasa dan beramal. Selamat berpuasa dan semoga diterima Allah.

Wednesday, August 26, 2009

Anjuran memberi sedekah

Oleh MOHD NORZI BIN NASIR

UMAT Islam juga amat dianjur membanyakkan amalan bersedekah dalam bulan Ramadan. Banyak hadis Rasulullah yang membicarakan tentang anjuran dan kelebihan bersedekah.

Antaranya, sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa ditulis baginya pahala seperti orang yang berpuasa tanpa berkurang walaupun sedikit". (riwayat Ibn Hibban dalam kitab Sahihnya)

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r. a menyatakan bahawa: Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: Wahai Rasulullah, Sedekah manakah yang paling besar pahalanya? Rasulullah bersabda: "Sedekah yang engkau berikan, sedangkan engkau pada masa itu masih sihat dan bakhil (merasa sayang untuk mendermakan harta), engkau takut menjadi fakir dan engkau berangan-angan untuk menjadi lebih kaya. Maka janganlah engkau menangguhkan sedekah sehingga apabila roh sampai di kerongkong, lalu ketika itu baru engkau berkata: Harta ini untuk si pulan, harta ini untuk si pulan, padahal harta engkau itu memang akan diwarisi (dimiliki) oleh orang lain. (riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim).

Daripada Abu Hurairah r.a sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidak satu hari pun dimana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: Ya Allah, berikanlah ganti (kembangkanlah harta) bagi orang-orang yang berinfak (menghulurkan sedekah) dan satu yang lain pula berdoa, "Ya Allah, binasakanlah harta orang-orang yang kikir (kedekut). (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Hakim ibn Hizam r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (tangan yang menerima atau meminta). Maka kerana itu mulakanlah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Sesiapa yang memohon dipelihara (agar ia tidak sampai meminta-minta) Allah akan memeliharanya dan sesiapa yang memohon dicukupkan (agar ia tidak bergantung selain kepada Allah) Allah akan mencukupkannya. (riwayat al-Bukhari)

Konsep penghayatan Ramadan sebenar

Mutakhir ini manusia bergembira dengan kedatangan bulan puasa, mereka memperolehi pada bulan Ramadan kebaikan dan keberkatan. Namun amat sedikit mereka yang melaksanakan puasa menurut cara yang diredai Allah SWT menerimanya dengan penuh ketaatan, tekun beribadah dan menunaikan kewajipan yang ditaklifkan ke atas diri masing-masing.

Terkadang pelbagai bentuk perilaku yang ditegah oleh agama sengaja dilakukan dalam bulan Ramadan, seperti membazir, melalaikan solat, melayani program-program televisyen yang melalaikan, menghabiskan waktu dengan melepak di jalanan. Semua perlakuan ini dilakukan dengan alasan kerana letih sambil menunggu waktu berbuka.

Seringkali perasaan malas segera menyelinap masuk bagi setiap diri yang enggan menahan rasa payah dan penat selama berpuasa. Pelbagai alasan dijadikan sandaran bahawa puasa sering dikaitkan atau sinonim dengan istirehat, sehingga membawa kesan negatif kepada produktiviti kerja yang cenderung menurun dan pudar.

Menolak pelbagai alasan negatif di atas, madrasah Ramadan sebaliknya mendidik kita untuk mampu lebih survival dan lebih memiliki semangat juang dan daya tahan fizikal dan mental yang kuat. Allah SWT memerintahkan puasa untuk menguji manakah kalangan hambanya mencapai tingkat takwa.

Abu Hamid al-Ghazali berkata, Ramadan itu mempunyai tiga darjat: Pertama, puasa umum iaitu puasa menahan diri daripada syahwat.

Kedua, puasa khusus iaitu puasa menahan pendengaran, penglihatan, tangan lidah dan semua anggota daripada dosa.

Manakala ketiga, puasa khawas al-khawas iaitu puasa hati dari mengejar perkara yang keji dan memikirkan tentang perkara duniawi serta menjaga seluruh anggota dari segala bentuk dosa. Puasa yang ketiga inilah (khawas al-khawas) merupakan puasa hamba-hamba yang soleh.

Mereka menjaga penglihatan dari perkara yang dibenci Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Pandangan itu merupakan panahan daripada panah-panah iblis la'natullah, sesiapa yang meninggalkan pandangan tersebut kerana takut kepada Allah, Allah akan mengurniakannya keimanan dan merasai kemanisan iman didalam hatinya. (riwayat al-Bukhari)

Mereka menjaga lidah daripada berkata dusta, ghibah, mengadu-domba dengan sentiasa mengingati Allah SWT, membaca al-Quran.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Puasa adalah perisai, jika salah seorang dari kalian sedang berpuasa janganlah dia berkata keji , jika ada yang memeranginya atau mencercanya maka katakanlah: Aku sedang berpuasa. (riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim).

Mereka menjaga pendengaran dari perkara yang dibenci Allah SWT seperti mendengar perkara yang dusta. Justeru Allah SWT meletakkan kedudukan yang sama bagi pendengar kata dusta dan golongan yang suka memakan segala yang haram.

Firman Allah yang bermaksud: Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). (al-Maidah: 42)

Mereka menjaga seluruh anggota tubuh badan seperti tangan, kaki dan perut daripada perkara yang larang. Tidak memperbanyakkan hidangan atau juadah berbuka puasa sehingga menyebabkan berlaku pembaziran. Tidak memakan hidangan yang syubhat dan haram ketika berbuka puasa.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Barangkali di kalangan hamba yang berpuasa tetapi tidak mendapat suatu pun (pahala) daripada puasanya melainkan semata-mata lapar, dan barangkali di kalangan hamba yang melakukan qiam (qiamulail) tetapi tidak mendapat suatu pun (pahala) daripada qiamnya melainkan berjaga malam semata-mata. (riwayat Ibn Majah)

Kalangan ulama berpendapat bahawa golongan yang dimaksudkan melalui hadis ini ialah pertama, iaitu orang yang berpuasa tetapi berbuka dengan makanan yang haram.

Kedua, orang yang menahan dari makanan yang halal dan berbuka dengan ghibah (memakan daging saudaranya) yang diharamkan.

Ketiga, orang yang tidak menjaga anggota tubuhnya daripada melakukan segala bentuk dosa. (al-Ghazali: Ihya' 'Ulum al-din)

Sesungguhnya, detik Ramadan apabila dijalani dengan penuh takwa, sabar di samping kerendahan hati mampu menyingkap hijab ketinggian hati dan kesombongan sehingga seorang Muslim akan mampu menerima segala tuntunan dan tuntutan agama ini dengan hati yang lapang.

Setiap amal kebaikan seorang Muslim selain puasa akan dibalas dengan ganjaran kebaikan yang tertentu dan setimpal. Adapun amalan puasa, tidak diketahui ganjarannya kecuali Allah.

Dalam sebuah hadis Qudsi Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: Allah telah berfirman: Sesungguhnya setiap amalan anak Adam itu adalah baginya melainkan puasa kerana puasa hanya untukKu, dan Akulah yang akan memberikan pahalanya. (riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim)

Seandainya peluang Ramadan dan pintu angan-angan dibukakan kesekian kalinya bagi ahli kubur, nescaya mereka meronta-ronta untuk hidup kembali meskipun hanya untuk sehari di bulan Ramadan.

Mereka mengimpikan rahmat Allah SWT, ingin kembali memperbaiki dan menampung ruang-ruang yang amalan yang cacat, menghidupkan siangnya dengan membaca al-Quran, menambah iman, menghidupkan malamnya dengan ibadah solat-solat sunat, berdoa, menangis, merintih memohon keampunan dan kebebasan dari neraka.

Di manakah hambanya yang mendambakan cinta Allah? Di manakah hamba yang ingin membersihkan hati? Di manakah hamba yang ingin kerehatan hati dan ketenangan fikiran?

Di manakah hamba yang ingin memperbaiki produktiviti amalannya? Di manakah hamba yang inginkan kebahagiaan dunia dan akhirat?

Wahai hati-hati yang sering lalai dan alpa, sesungguhnya peluang taubat bagimu terbentang luas. Di Ramadan ini Allah SWT sentiasa memanggil dan menghamparkan keampunan buat sekalian hambanya atas setiap dosa siang dan malamnya. Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Musa r.a Baginda SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menghamparkan keampunan (menerima taubat) pada waktu malam bagi pelaku kejahatan di siang hari, menghamparkan keampunan (menerima taubat) pada waktu siang bagi pelaku kejahatan di malam hari sehingga terbit matahari dari sebelah barat. (riwayat al-Imam Muslim)

Allah SWT juga menyiapkan pintu khusus iaitu al-Rayyan bagi orang yang berpuasa untuk masuk syurga-Nya pada hari kiamat kelak.

Pendek kata sebagai kesimpulan renungan, apakah Ramadan yang bakal dijalani selama tempoh sebulan melalui tarbiyah intensif ini bakal menjanjikan satu transformasi positif dalam menghayati erti kata Ramadan yang sebenar atau sebaliknya?

Rebutlah peluang beribadah dan bertaubat menyesali setiap kesilapan selama Ramadan dan lentera keampunan Allah SWT terbuka luas, selama jantung berdegup.

Rohayati tabah dalam duka

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN

LANGIT tidak selalu cerah. Demikianlah kehidupan Rohayati Yusuf, 43, yang kini mengerah tulang empat kerat bagi membesarkan tujuh anaknya selepas kematian suami pada Oktober 2008.

Menceritakan kisah hidupnya, anak kelahiran Muar, Johor ini memberitahu, suaminya, Zakir Hussin Nor Mohamed meninggal dunia kerana penyakit bengkak hati.

Sejak itu, beban yang digalas oleh Rohayati semakin berat. Ibarat kata pepatah, 'berat mata memandang berat lagi bahu memikul.'

Namun, beliau menggagahi melalui semua kepayahan itu apabila memikirkan masa depan anak-anak yang berusia dari tujuh hingga 21 tahun.

Bayangkan, lima daripadanya masih bersekolah. Seorang di institut latihan dan anak sulungnya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor.

Untuk itu, Rohayati bingkas bekerja sebagai pembersih di Lembaga Zakat Selangor (LZS) Kuala Kubu Bharu, seawal pukul 7.30 pagi. Selepas tiga jam, dia balik ke rumah untuk membungkus jajan dan nasi lemak.

Semua makanan itu adalah untuk diniagakan di hadapan Sekolah Rendah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu 1.

"Saya berniaga di sekolah dari pukul 1.30 hingga 2.30 petang ketika murid-murid keluar dari sekolah.

"Saya lakukan semua ini bagi membuktikan yang saya juga mampu berusaha dan berdikari untuk memberi makan anak-anak saya," katanya dalam pertemuan dengan Mega di rumahnya di Rumah Murah Padang Tembak, Kuala Kubu Baru, baru-baru ini.

Turut menyertai ziarah itu ialah Pegawai Pena LZS, Majlis Agama Islam Selangor, Hamizul Abdul Hamid.

Hasil keringatnya itu, membolehkan Rohayati memperoleh pendapatan sekitar RM600 sebulan.

Minat berniaga Rohayati bukanlah baru. Sebelum ini, dia pernah menjual cendol dan rojak menggunakan kereta sorong. Walaupun perniagaannya mendapat sambutan, ia terpaksa dihentikan apabila gagal mendapat lesen daripada pihak berkuasa.

"Memang berniaga itu cita-cita saya. Malah anak sulung saya pun melanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan di UiTM.

"Sebabnya dia mahu membantu saya mencapai cita-cita tersebut yang sekian lama tertangguh akibat ketiadaan modal," katanya sambil membungkus jajan untuk jualan.

Sedang kami berbual tengah hari dalam bulan Syaaban itu, Rohayati menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada anak sulungnya, Norjahan, 21.

Kandungan SMS itu antara lain berbunyi: "Mak, duit Along tinggal RM7. Kredit panggilan pun tinggal 20 sen ja. Nak top up pun tak berani. Kalau ada duit mak tolonglah masukkan. Ni, pun Along puasa hari-hari".

Membaca SMS itu menyebabkan Rohayati menitiskan air mata. Manakan tidak, hendak dihulur bantuan dia sendiri kesempitan ketika itu. Wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) anaknya masih belum diterima.

"Macam mana ustaz, (Hamizul). Nak minta tolong dari jiran-jiran saya malu. Itu yang saya sedih sangat.

"Saya balas kepadanya, bila dapat duit bantuan LZS nanti saya akan masukkan segera," katanya sambil mengesat air mata.

Menurut Rohayati, hal itu berlaku disebabkan anaknya mengambil semester tambahan bagi mempercepatkan pengajiannya.

"Masa itu, makan minum kena tanggung sendiri. Sebab itulah duit PTPTNnya tak cukup," jelasnya yang berusaha keras memastikan ada wang saku Norjahan sebanyak RM300 sebulan.

Dengan azam membebaskan hidup daripada kemiskinan, Norjahan tekad belajar bersungguh-sungguh dan sudah dua semester mendapat Anugerah Dekan.

Bagaimanapun, Rohayati bersyukur kerana di sebalik kesusahan dan kesempitan hidupnya, dia masih mendapat bantuan khususnya daripada LZS.

Katanya, sebelum mendapat bantuan LZS, kehidupannya jauh lebih susah. Malah dia pernah tinggal di garaj kereta untuk berteduh anak beranak.

"Masa itu, anak lelaki yang sekolah menengah akan ambil upah mencuci pinggan untuk bantu saya pada Sabtu dan Ahad. Anak perempuan pula ambil upah sebagai pencuci rambut.

"Nak menyambut hari raya bagi kami hanya bergantung kepada sedekah orang. Baju, kasut dan lain-lain semuanya orang bagi.

"Kalau ada barang yang masih elok dan pemiliknya nak buang, saya minta untuk anak-anak saya," katanya.

Kata Rohayati, anak-anaknya juga seperti kanak-kanak lain selalu meminta dibelikan macam-macam.

"Ada yang minta makan KFC, McDonalds, ada yang minta kasut bola tetapi saya tak dapat belikan.

"Saya cuma kata, sabarlah bila ada duit nanti, kita beli.

"Baju-baju pun yang mampu saya beli hanyalah baju bundle," katanya.

Di situlah, bermulanya dia mendapat bantuan LZS. Sejak tahun 2008, Rohayati menerima bantuan bulanan RM350 selain beras, gula dan tepung.

Dia mengakui, bantuan LZS itu bagaikan memberi semangat baru untuknya berusaha lebih gigih menambah pendapatan.

Selain itu, dia juga mendapat 'kaki' baru apabila mendapat bantuan motosikal terpakai untuk kegunaannya berniaga.

Lain-lain bantuan adalah bantuan Hari Raya iaitu RM1,000 dan bantuan pada awal sesi persekolahan sebanyak RM600.

"Kini, saya sedang mengumpul modal untuk membuka semula peniagaan cendol. Saya rasa RM500 cukup untuk memulakannya tetapi saya dah malu hendak minta bantuan lagi," katanya.

Mengenai sumbangan yang diterima dari LZS, Rohayati amat berterima kasih pada LZS dan para pembayar zakat kerana bantuan itu meringankan beban hidupnya.

"Saya doakan mereka murah rezeki dan boleh bantu lebih ramai lagi orang yang senasib dengan saya.

"Ada yang salah anggap orang kaya pun dapat zakat tetapi saya nak beritahu, LZS utamakan orang yang lebih susah. Sebab saya sudah melaluinya," katanya.

Puasa, kerja secara efektif di bulan Ramadan

Oleh MUKHIFFUN MUKAPIT

RAMADAN ialah bulan yang penuh keberkatan. Kedatangan bulan ini seharusnya meningkatkan semangat dan iltizam umat Islam untuk merebut segala keberkatan tersebut.

Justeru itu, kehadiran bulan mulia ini tidak boleh dijadikan alasan untuk menjadi malas bekerja.

Sesetengah individu melihat puasa sebagai kekangan untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti atas alasan tiada tenaga kerana lapar dahaga. Persepsi ini sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam.

Seharusnya ibadah puasa perlu dilihat sebagai motivasi untuk lebih berusaha dan berjaya.

Puasa sebenarnya adalah 'madrasah' bagi kita membentuk peribadi mulia dan unggul.

Pada zaman Rasulullah SAW, peperangan juga berlaku pada bulan yang mulia ini. Para sahabat tetap berjuang menjadi tentera Allah.

Jika menyelusuri konsep kerja dalam Islam, ia sebenarnya merupakan satu bentuk jihad iaitu jihad sosioekonomi.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang bekerja untuk anak isterinya melalui jalan yang halal, maka bagi mereka pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah." - Hadis riwayat Bukhari.

Bagi mendepani bulan puasa yang penuh dengan cabaran dan dugaan ini, seharusnya kita perlu lebih peka memahami keadaannya dan bagaimana kita dapat mengekalkan prestasi dan stamina.

Konsep puasa ialah menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkannya, mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari.

Seorang pekerja biasanya akan bekerja selama lapan jam sehari di waktu siang. Rehat yang diperuntukkan pula adalah 30 hingga 60 minit.

Akta Kerja 1955 menyebut: "Waktu kerja biasa ialah waktu kerja harian yang dipersetujui antara majikan dan pekerja dalam kontrak perkhidmatan. Waktu kerja biasa tersebut tidak boleh melebihi 8 jam sehari tidak termasuk waktu rehat, 5 jam bekerja berterusan tanpa rehat sekurang-kurangnya 30 minit dan 48 jam seminggu".

Pihak majikan dan pekerja perlulah memahami keadaan kerja seharian di bulan Ramadan. Pendekatan yang boleh digunakan oleh pihak majikan ialah menambahkan jam rehat, menambah penggantian kerja atau shift dan pengurangan waktu kerja.

Pengurangan jam bekerja adalah bertujuan memberikan peluang kepada pekerja merehatkan fizikal dan minda agar dapat mengekalkan prestasi bagi sesi seterusnya.

Ia juga membantu pekerja memulih dan menyegarkan kembali tenaga mereka. Walaupun secara kebiasaan waktu rehat adalah sesi menjamu selera, namun di bulan mulia ini sewajarnya waktu rehat tersebut diisi ganti dengan zikir dan tahlil kepada Allah SWT.

Pada 2007, Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pernah menyarankan kerajaan memendekkan waktu bekerja untuk kakitangan wanita kepada setengah hari sepanjang Ramadan. Tetapi kebanyakan profesional dan ulama tidak setuju.

Memendekkan waktu kerja kepada setengah hari memang agak janggal dan amat merugikan organisasi.

Secara idealnya pengurangan waktu kerja adalah 30 hingga 60 minit daripada kerja biasa, seperti yang dipraktikkan di Kelantan dan Terengganu. Penjawat awam di sana dibenarkan pulang kerja lebih awal 30 minit berbanding hari biasa. Jadual harian kerja juga perlu disusun dengan cara bestari seperti menyelesaikan kerja-kerja yang memerlukan tenaga yang banyak di awal pagi.

Kekurangan tenaga dan rehat semasa kerja kadangkala memaksa pekerja "curi tulang" dan mengundang bahaya pada diri.

Antara lain pemakanan juga merupakan faktor penting. Ia penyumbang bagi meningkatkan tenaga dan prestasi kerja seseorang. Bila seorang pekerja berpuasa maka pengambilan makanan adalah terhad iaitu semasa sahur dan berbuka.

Bagi mengekalkan tenaga, ia bergantung kepada cara pemakanan dan zat yang diserap. Diet perlulah seimbang dan bergantung kepada bentuk dan ciri pekerjaan seseorang. Nilai kalori dan tenaga bagi setiap jenis pekerjaan juga berbeza-beza.

Perancangan pemakanan penting bukan sahaja untuk bekerja tetapi juga beribadat.

Kebiasaannya rakyat Malaysia akan berpuasa lebih daripada 13 jam. Bagi memastikan tenaga mencukupi, kita memerlukan zat yang baik.

Jika tubuh badan manusia memerlukan 40 peratus kalori bagi tugasan di tempat kerja, maka secara idealnya 20 peratus kalori itu diambil sewaktu sahur.

Pengambilan serat, protein dan lemak daripada buah-buahan dan sayuran penting pada waktu sahur. Kurangkan karbohidrat kerana ia hanya dapat membekalkan tenaga sekitar tiga hingga empat jam sahaja berbanding serat, protein dan lemak yang tahan lebih lama.

Makanan yang mengandung serat tinggi akan dicerna secara perlahan dan dapat menyediakan tenaga lebih lama berbanding makanan berserat rendah seperti nasi.

Ketika berbuka, ikutlah sunah Rasullullah. Baginda bersabda: "Jika seseorang kamu berbuka, hendaklah ia berbuka dengan buah kurma. Sekiranya buah kurma tiada, bolehlah ia berbuka dengan air kosong. Sesungguhnya air itu bersih lagi suci".

Kemudian barulah kepada menu utama dan elakkan berlebih-lebihan.

Puasa sebenarnya bukan sahaja amalan yang membentuk rohaniah tetapi juga jasmaniah. Banyak faedah kesihatan diperoleh apabila berpuasa.

Maka menjadikan puasa sebagai alasan untuk tidak bekerja adalah tidak berasas.

Pekerja cemerlang mampu menghadapi cabaran dengan baik dan berkesan.

Sebenarnya kita hendaklah sedar bahawa setiap suruhan Allah SWT ada hikmahnya dan perlu dilakukan mengikut kemampuan.

Firman-Nya: "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan apa yang terdaya olehnya". Al-Baqarah Ayat 286.

PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Pengurusan & Muamalah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa.

Keindahan sebuah masjid berkonsep moden

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM

TENTUNYA, masih ada yang tertanya-tanya atau tidak perasan mengenai kewujudan sebuah lagi masjid yang tersergam indah di tengah-tengah Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Presint 3 berlatarkan keindahan Tasik Putrajaya.

Masjid yang diberi nama Tuanku Mizan Zainal Abidin yang dulunya dikenali Masjid Bandaraya pada awal pembinaannya mungkin tidak lagi sesuai dengan gelaran itu berikutan statusnya kini bertaraf dunia.

Berkonsepkan kontemporari melalui reka bentuk moden, ia bakal muncul sebagai satu lagi mercu tanda di bandar raya itu.

Cetusan idea untuk membina sebuah masjid baru di Putrajaya telah wujud sejak dulu lagi seperti termaktub di dalam Pelan Induk Putrajaya yang diluluskan kerajaan. Di atas pelan tersebut, telah ada peruntukan dua kawasan untuk dibina masjid di Putrajaya.

Terletak dalam kawasan seluas 4.04 hektar yang dibahagikan kepada dua zon utama iaitu kompleks masjid dan Kiblat Walk, reka bentuknya tanpa dinding yang digantikan Skrin Mashrabiyah separa tertutup yang diperbuat daripada besi tahan karat pertama di Malaysia, bakal mengkagumkan setiap pengunjung yang datang.

Anyaman Mashrabiyah yang diimport khas dari Jerman itu merupakan skrin sama yang digunakan seperti stadium terkenal milik pasukan Real Madrid iaitu Stadium Bernabeu termasuk Perpustakaan Negara di Paris pada ruang meletak buku setinggi 20 tingkat dan sebuah ruang letak kereta di Barcelona.

Pengunjung juga pasti teruja apabila melalui Kiblat Walk yang menghubungkan Dataran Putrajaya dengan masjid itu. Kaligrafi nama-nama Allah di kiri dan kanan dinding 'Iwan Utama' serta diukir indah di ruangan laman 'Sahn' sebelum sampai ke ruang solat utama bagai menyambut kedatangan anda di pintu gerbang konkrit yang dibina menggunakan glass reinforce concrete (GRC).

Sebaik menjengah ke ruang solat utama, mata pasti terpaku melihat satu lagi keunikan masjid ini iaitu Dinding Mihrab. Tulisan ayat-ayat suci al-Quran dari surah al-Baqarah dan surah Ibrahim yang dilakar pada panel kaca diimport khas dari Jerman setinggi 13 meter itu pasti menarik perhatian seolah-olah tulisan tersebut terapung di udara.

Anda tidak perlu terkejut apabila tiada kipas atau penghawa dingin dipasang di ruang solat utama tetapi suasana damai dan nyaman masih dapat dirasai.

Suasana itu dapat dirasai kerana terdapatnya angin sejuk yang dihasilkan melalui dinding yang mempunyai saliran air daripada air kolam bertingkat mengelilingi bangunan. Saliran itu juga menembusi dinding telus cahaya dan penggunaan teknologi gas penyejukan udara menambahkan kedamaian.

Paras ketinggian siling di ruang solat utama sebanyak 30 meter dari aras lantai menambah lagi suasana kedamaian dan ketenangan.

Anda akan melihat binaan konkrit kolam bertingkat itu seolah-olah sebuah pulau atau kelihatan seperti mini air terjun yang melimpah terus ke dalam Tasik Putrajaya.

Nabi Muhammad SAW turut mengingatkan di sebalik janji Allah untuk menyediakan sebuah rumah di dalam syurga kepada sesiapa yang membina masjid untuk-Nya, tetapi di dunia akhir zaman ini ramai yang ingin berlumba-lumba membina masjid yang besar dan cantik, namun kosong tiada pengisian.

Sabda nabi SAW: "Tidak berlaku (terjadi) hari kiamat sehingga umatku bermegah-megah (dengan binaan) masjid". ( riwayat Abu Daud)

Harapan Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Md. Ali Sarbini, 56, terhadap masjid ini amat tinggi.

Beliau tidak mahu masjid yang dibina begitu besar dan cantik menjadi kusam dan pudar kerana tiada 'sinar' yang menyinarinya.

Katanya, aktiviti pengimarahan yang diatur harus selari dengan penglibatan masyarakat agar usaha menjadikan masjid ini sebagai pusat sehenti masyarakat dan program pengantarabangsaan terlaksana.

''Saya amat mengharapkan masjid yang begini besar, mahal dan indah ini dapat menjadi pusat kegiatan masyarakat dan saya turut mengalu-alukan apa jua idea untuk dilaksanakan di masjid ini.

"Marilah kita sama-sama memakmurkan masjid ini tanpa mengira siapa kita dengan membuat pengisian seperti program jabatan atau kekeluargaan dan menganggap masjid ini masjid kita semua," jelas mantan Imam Masjid Negara ini.

Md. Ali dengan dibantu tiga pegawai kumpulan pengurusan profesional bertindak sebagai imam serta 31 kakitangan kumpulan sokongan, usaha memastikan masjid tersebut sebagai pusat kemasyarakatan, penyebaran ilmu, kebudayaan Islam, perpaduan ummah dan sumber kekuatan ekonomi umat Islam mampu direalisasikan, insya-Allah.

Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar takwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan masjid ditepi jurang yang (hampir runtuh). (at-Taubah: 109)

Sabda Nabi SAW yang bermaksud, Sesiapa yang membina masjid, Allah SWT akan bina baginya sebuah rumah di dalam syurga. (riwayat Muslim).

Masjid yang bakal menjadi tarikan pelancong itu merupakan satu-satunya dibina menggunakan 70 peratus atau 6,000 tan besi keluli, manakala selebihnya adalah konkrit.

Batu batan hanya diguna untuk membina ruang letak kereta dan laluan pejalan kaki yang terletak bersebelahan dengan masjid.

Bagaimanapun, besi keluli hanya menjadi kerangka masjid kerana ia akan dikemaskan dengan material telus cahaya pada setiap tiang menggunakan sejenis bahan iaitu crystalized glass yang akan menyerlahkan masjid agar kelihatan berwarna putih bercahaya jika dilihat dari jauh.

Pada sebelah malam, simbahan cahaya lampu menambah keindahan masjid campuran kesenian Jerman dan China itu.

Kubah masjid pula diperbuat daripada besi tahan karat dan bahagian tepi bumbungnya sepanjang 13 meter pula mampu mengelakkan jemaah yang bersembahyang di luar dewan solat utama terkena tempias hujan.

Percaya atau tidak, masjid yang bernilai RM203 juta yang mampu memuatkan seramai 20,000 jemaah pada satu-satu masa itu tidak menggunakan tenaga kepakaran dari luar.

Kumpulan Seni Reka Sdn. Bhd. telah diberi mandat untuk menyediakan pelan pembinaan masjid ini diketuai Ir. Nik Arshad Nik Mohamed dan kontraktor Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) telah berjaya menyiapkan pembangunan masjid ini yang dibina sejak tahun 2004 berkonsepkan airy, light and transparent.

Mereka bertanggungjawab memastikan konsep reka bentuk tersebut dipenuhi supaya bangunan tidak nampak sangat besar melalui penggunaan struktur keluli itu di samping menitik beratkan aspek keselamatan.

Selain kompleks masjid yang berkapasiti 12,000 jemaah di dewan solat utama dan 8,000 di ruangan Sahn, ia turut dilengkapi pelbagai kemudahan lain termasuk tiga unit kuarters dua tingkat, 10 unit kedai serta dewan serbaguna berkapasiti 250 orang.

Sistem audio visual terbaik juga dilengkapi bagi memastikan tiada sebarang masalah seperti pantulan bunyi berlaku ketika laungan azan, khutbah dan ceramah agama dijalankan.

Bilik jenazah, ruang pejabat, bilik kawalan televisyen dan radio serta 620 petak letak kereta dan 100 petak motosikal turut disediakan bagi kemudahan pengunjung jika tidak mahu berjalan kaki melalui jejantas yang menghubungkan terus ruang solat dengan Dataran Putrajaya, di hadapan Istana Keadilan dipanggil Kiblat Walk seluas 13,639 meter persegi.

Kawasan yang menghadap kiblat ini dihiasi dengan kolam air persis binaan seni bina berkonsep Islamik.

Masjid yang dibina bagi menampung keperluan kira-kira 24,000 kakitangan kerajaan di kawasan Presint 2, 3, 4 dan 5 serta 28,000 penduduk di masa hadapan, fungsinya tidak hanya terhad untuk menunaikan solat semata-mata.

Menurut Presiden Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman sehingga kini sejumlah 15 plot rumah kerajaan telah dibangunkan di Presint 2, 3 dan 4 melibatkan seramai 15,000 kakitangan kerajaan.

"Sejumlah 2,777 unit perumahan telah pun dibangunkan di Presint 18, sekali gus akan menampung penghuni seramai lebih 14,000 orang," jelasnya.

Oleh itu, peranan dan fungsinya akan diperluaskan dengan memberi tumpuan sebagai medan dakwah kepada para pelancong yang bakal dikunjungi dari serata pelosok dunia.

Ia dapat dilihat melalui statistik kunjungan pelancong terhadap sebuah lagi masjid cantik di Putrajaya iaitu Masjid Putra. Pada tahun lepas, seramai 565,048 pelancong dalam dan luar negara melawat ke Masjid Putra tanpa mengira mereka yang datang untuk solat.

Mengambil kira jumlah pelancong tersebut yang berminat mengunjungi rumah ibadat orang Islam itu, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) yang kini mengambil alih pengurusan masjid itu daripada Perbadanan Putrajaya mahu fungsinya berbeza dengan Masjid Putra.

Jakim dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan mewujudkan persempadanan kariah antara Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan. Ia bertujuan memberi fokus dengan objektif dan kumpulan sasar masing-masing, selain 38 surau sedia ada sebagai sokongan peranan dua masjid itu.

Dengan memperjelaskan fungsi masjid itu, ia bakal melenyapkan suara-suara sumbang yang mempertikaikan kewujudan masjid ini sedangkan sudah ada Masjid Putra yang serba sempurna lagi menarik.

"Selain sebagai medan dakwah kepada pelancong, Jakim akan menetapkan fungsi lebih bersifat pengajian kepada program-program antarabangsa kepada pelajar institut pengajian tinggi, program kanak-kanak, perpustakaan serta bidang-bidang pengajian pengkhususan.

"Kursus pemandu pelancong akan disediakan dalam usaha membantu pelancong bukan Islam mengenali agama Islam sekali gus menerangkan kepada mereka tentang keindahan Islam," katanya.

Samsudin berkata demikian semasa berucap pada majlis penyerahan projek pembinaan masjid itu daripada Perbadanan Putrajaya kepada Jakim, baru-baru ini.

Tanggal 21 Ogos 2009 bersamaan 30 Syaaban 1430 Hijrah, masjid agung ini kini dibuka kepada orang ramai dengan dimulakan sembahyang sunat tarawih yang diimamkan oleh imam jemputan dari Syria, Sheikh Rami Al-Badawi Al-Suri sempena bulan Ramadan.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan masjid yang diberi nama sempena nama baginda dengan mengadakan sembahyang Jumaat pertama pada 4 September ini.

Menyedari hakikat itu, ciri-ciri pada seni bina masjid itu merupakan simbolik sebagai cermin yang mengingatkan kita kepada Pencipta, kerana setiap sesuatu yang ada di alam ini adalah tanda yang mengingatkan kita kepada Maha Pencipta.

Jika pembinaan masjid ini disertakan dengan usaha pengimarahan dengan pelbagai aktiviti keagamaan, pastinya harapan untuk melahirkan sebuah masyarakat Islam yang harmoni, bersatu padu, berilmu dan menghayati Islam secara realistik dapat dijayakan.

Walaupun ia bakal menjadi tumpuan diplomat dan pelancong dari seluruh dunia dan tempatan, umat Islam di negara ini wajar mengimarahkan masjid ini termasuk masjid-masjid lain agar tidak dibiarkan kosong atau menjadi salah satu lokasi pelancongan semata-mata.

Perkara Wajib Haji

Oleh Nukman Fadzil (siri i)

MENGERJAKAN ibadat haji adalah satu kefarduan bagi mereka yang telah mencukupi syarat-syarat wajib menunaikan haji. Jutaan manusia mengerjakan haji pada setiap tahun dengan harapan dan matlamat yang satu iaitu mendapat haji yang mabrur.

Mendapatkan haji mabrur bukannya satu perkara yang mudah, tidak semudah dilafazkan. Inilah yang memerlukan persediaan ilmu yang bersungguh-sungguh dan istiqamah serta beramal dengannya.

Ilmu berhubung ibadat haji yang maha luas ini tidak hanya terhenti pada perkara rukun sahaja, malahan merangkumi perkara-perkara wajib, sunat dan sebagainya.

Selain rukun-rukun haji seperti yang telah dibicarakan dalam siri sebelum ini, jemaah haji juga perlu mengetahui apakah yang dikatakan wajib haji?

Wajib haji ialah pekerjaan yang wajib dilakukan ketika mengerjakan haji. Jika tidak dikerjakan salah satu daripadanya, haji tersebut tetap sah, tetapi dikenakan dam menurut syarat-syaratnya, dan juga akan menanggung dosa jika meninggalkan perkara tersebut dengan sengaja. Terdapat enam wajib haji iaitu:

I. Berniat ihram di Miqat.

II. Meninggalkan larangan ihram.

III. Mabit (bermalam) di Muzdalifah.

IV. Melontar anak batu di Jamrah Kubra.

V. Mabit (bermalam) di Mina.

VI. Melontar anak batu di tiga Jamarah, iaitu Jamrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra.

Niat Ihram di Miqat

Niat ihram ialah lafaz niat untuk mengerjakan ibadat haji atau umrah, ia tertakluk kepada cara pelaksanaan haji yang dipilih iaitu sama ada haji tamattuk, ifrad atau qiran.

Niat tersebut hendaklah dilafazkan di miqat. Contoh Lafaz niat ihram haji: "Sahaja aku mengerjakan haji dan berihram dengannya kerana Allah taala".

Apakah yang dimaksudkan dengan miqat?

Miqat ialah ketentuan tempat atau sempadan atau masa untuk berniat ihram haji atau umrah. Miqat pula terbahagi kepada dua bahagian iaitu miqat Zamani dan miqat Makani.

l Miqat Zamani haji ialah masa bagi seseorang untuk berniat ihram haji. Ia bermula dari 1 Syawal hingga seketika terbit fajar (masuk waktu Subuh) pada 10 Zulhijjah. Tempoh inilah yang dinamakan bulan-bulan haji.

l Miqat Zamani umrah pula ialah sepanjang masa selain dari masa sedang berihram haji.

l Miqat Makani ialah ketentuan tempat atau sempadan untuk berniat ihram haji atau umrah.

Miqat Makani haji atau umrah bagi penduduk Luar Mekah iaitu:

I. Yalamlam atau pun dikenali juga sebagai al- Sa'diyyah

Yalamlam ialah nama sebuah bukit yang terletak berhampiran Laut Merah di Semenanjung Tanah Arab. Jaraknya lebih kurang 89 kilometer (km) dari Mekah. Yalamlam ialah miqat bagi penduduk Yaman dan orang yang datang dari arahnya.

II. Zulhulaifah atau pun dikenali juga sebagai Abyar Ali/Bir Ali

Zulhulaifah ialah kawasan yang jaraknya lebih kurang 425 km dari Mekah dan lebih kurang 10 km dari Masjid Nabawi. Zulhulaifah ialah miqat bagi penduduk Madinah dan orang yang datang dari arahnya.

III. Al- Juhfah

Al- Juhfah ialah kawasan yang jaraknya lebih kurang 187 km dari Mekah. Al- Juhfah ialah miqat bagi penduduk Syam (Jordan, Lubnan, Palestin dan Syria) dan mereka yang datang dari arahnya.

IV. Qarn al-Manazil atau pun dikenali juga sebagai al-Sayl

Qarn al-Manazil ialah kawasan yang jaraknya lebih kurang 94 km dari Mekah. Qarn al-Manazil ialah miqat bagi penduduk Najd atau orang yang datang dari arahnya.

V. Zatu 'Irqin atau pun dikenali juga sebagai al- Daribah

Zatu 'Irqin ialah kawasan yang jaraknya lebih kurang 94 km dari Mekah. Zatu 'Irqin ialah miqat bagi penduduk Iraq atau orang yang datang dari arahnya.

Pada masa kini, kebiasaannya hanya dua miqat sahaja yang dilalui oleh jemaah haji dari Malaysia iaitu:

1. Qarn al-Manazil- Bagi jemaah haji yang dijadualkan penerbangan masuk ke Jeddah dan seterusnya ke Mekah dari Malaysia.

2. Zulhulaifah- Bagi jemaah haji yang dijadualkan penerbangan masuk ke Jeddah kemudian Madinah atau terus ke Madinah dari Malaysia selepas itu barulah ke Mekah.

Jemaah haji yang melaksanakan haji tamattuk akan berniat umrah terlebih dahulu ketika melalui miqat yang ditetapkan. Niat haji akan disempurnakan di Mekah (tempat penginapan), kebiasaannya pada 8 Zulhijjah.

Jemaah haji yang melaksanakan haji ifrad atau qiran akan berniat haji terlebih dahulu ketika melalui miqat yang ditetapkan. Niat umrah pula akan disempurnakan pada kebiasaannya di Tan'im, Ja'aranah atau Hudaibiyah selepas selesai melaksanakan haji.

Walau bagaimanapun menurut pandangan para ulama jemaah haji boleh berniat ihram sebelum melepasi kawasan atau sempadan miqat, tetapi yang terbaik adalah sebaik sahaja memasuki/tiba di miqat yang ditetapkan.

Bagaimana jemaah haji akan mengetahui miqat manakah yang akan dilaluinya untuk berniat, sama ada niat ihram haji atau umrah?

Jemaah haji perlu mengambil perhatian ia adalah tertakluk kepada jenis haji yang dipilih oleh jemaah haji, iaitu sama ada melakukan haji tamattuk, ifrad dan qiran dan juga ada kaitan dengan jadual penerbangan haji yang akan dikeluarkan oleh TH.

Jika berhajat berniat ihram lebih awal dan contohnya dalam pesawat (bagi kes miqat yang dilalui nanti adalah Qarnul Manazil) maka niat hendaklah dilafazkan setelah empat atau lima jam mengharungi perjalanan udara.

Tidak digalakkan berniat terlalu awal contohnya di Kompleks Haji Kelana Jaya atau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang.

Meninggalkan larangan semasa dalam ihram

Jemaah haji perlu memahami perkara berhubung larangan semasa dalam ihram. Walaupun hanya perkara wajib haji jemaah perlu memberi tumpuan dan perhatian kerana dibimbangi akan memberi kesan terhadap mencapai matlamat haji mabrur.

Meninggalkan larangan semasa dalam ihram bermaksud setelah jemaah haji berniat ihram sama ada haji atau umrah maka haram melakukan perkara yang ditegah.

Jika melakukan perkara tersebut maka dikenakan dam menurut syarat-syaratnya. Sekiranya dilakukan juga dengan sengaja maka ia akan memberi kesan dosa.

Larangan ihram adalah seperti berikut:

1- Menutup kepala atau sebahagian daripadanya (lelaki sahaja).

2- Menutup muka (perempuan sahaja).

3- Memakai pakaian yang berjahit secara bercantum atau bersarung (lelaki sahaja). (Memakai kain pelekat dengan cara tidak menyarung ke dalamnya adalah dibenarkan)

4- Memakai sarung tangan.

5- Menanggalkan rambut atau bulu dari mana-mana anggota badan.

(Perlu diingatkan bagi kes rambut/bulu yang gugur bukan disebabkan oleh usaha atau perbuatan tangan maka tidak berdosa dan tidak dikenakan dam begitu juga dengan kuku).

6- Mengerat atau memotong kuku.

7- Memakai wangi-wangian sama ada di badan, pakaian, makanan, minuman atau menghisapnya ke dalam hidung (sabun, ubat gigi atau shampoo yang ada wangian dibenarkan penggunaannya hanya sekadar keperluan bagi tujuan pembersihan sahaja).

Penggunaan minyak ubat/gosok yang terdapat wangian seperti minyak serai wangi, balm dan sebagainya adalah dibenarkan.

8- Memakai minyak di rambut atau janggut dan semua bulu muka selain daripada tumbuhan di pipi dan di dahi.

9- Memotong/menebang/mengerat atau mencabut pokok-pokok di Tanah Haram.

10- Memburu binatang buruan yang halal di makan atau membinasakannya di Tanah Haram atau Tanah Halal.

11- Melakukan mukadimah (pendahuluan) persetubuhan.

12- Bersetubuh.

13- Berkahwin, mengahwinkan atau menerima wakil kahwin.

Dalam pelaksanaan ibadat haji jemaah haji akan dikira bebas dari 10 larangan ihram (no. 1 hingga 10) di atas setelah bertahallul awal, iaitu melakukan dua daripada tiga perkara berikut:

i- Melontar Jamrah Kubra

ii- Tawaf dan saie

iii- Bercukur atau bergunting

Jika sekiranya telah melakukan ketiga-tiga perkara di atas maka jemaah haji dikira telah tahallul thani dan akan bebas semua larangan ihram.

Ini berbeza dengan pelaksanaan ibadat umrah, iaitu jemaah akan dikira bebas daripada semua larangan ihram setelah selesai melakukan tawaf, saie dan bercukur atau bergunting.

Berdasarkan pengalaman penulis, perkara mengenai larangan dalam ihram sering mengelirukan jemaah haji, khususnya dikenakan dam atau tidak, berdosa atau tidak berdosa, sengaja atau tidak sengaja, jika dilakukan dalam keadaan lupa dan sebagainya.

Jika jemaah haji memerlukan penjelasan dan bantuan bagi menyelesaikan permasalahan ini mereka dinasihatkan merujuk kepada guru agama yang bertugas di hotel Mekah dan Madinah (Pusat Perkhidmatan Maktab dan Zon).

Jangan malu dan teragak-agak serta elakkan sama sekali menghantar wakil (kawan) untuk bertanya kepada guru agama. Ini penting bagi mengelak perasaan was-was timbul di kemudian hari.