Like Blog Ini...

Monday, November 9, 2009

Berbeza manhaj tidak mesti sesat

Apakah manhaj penyampaian tauhid oleh Nabi SAW kepada para sahabat?

NIZAM: Dari sudut sejarah, pendekatan penyampaian akidah tauhid kepada para sahabat pada zaman Rasulullah SAW bersifat mudah dan padat. Maksudnya, menggunakan terus pendekatan al-Quran menerusi wahyu Allah.

Jika ada sebarang pertanyaan yang menuntut penjelasan dari Rasulullah, baginda memberi penerangan terus atau menunggu wahyu Allah. Corak jawapan kepada persoalan tersebut berbeza-beza tahapnya bersesuaian dengan tahap pertanyaan dari siapa dan keadaan semasa.

Penjelasan Nabi SAW dengan bait katanya pula menjadi sunnah ikutan dalam hal berakidah. Oleh sebab itu, pendekatan zaman awal Islam boleh dikatakan sebagai menggunakan pendekatan al-Quran dan al-Sunnah.

Pada zaman ini, masyarakat Islam menerima apa sahaja yang dibawa oleh Rasulullah tanpa banyak soal. Mereka beriman sepenuhnya dengan apa yang diajar kepada mereka oleh Nabi SAW.

Sebagai contoh, lihatlah sahaja bagaimana peribadi Saidina Abu Bakar yang membenarkan apa yang diceritakan kepadanya tentang peristiwa ghaib Israk dan Mikraj tanpa banyak soal tentang kebenarannya.

Asalkan khabar berita yang dibawa kepadanya datang dari Nabi Muhammad SAW, beliau akan membenarkannya. Oleh sebab itulah, beliau diberi gelaran al-Siddiq yang bererti yang membenarkan. (Muhammad Mutawalla al-Sya'rawi , 1981:110)

Adakah ini bermakna, suasana perbahasan ketika itu tenang daripada polemik?

NIZAM: Ringkasnya, suasana perbahasan pada zaman Rasulullah amat tenang daripada pertelingkahan pendapat khususnya dalam masalah akidah. Mereka menolak perdebatan dan perbahasan panjang tentang persoalan Ilahiyyat.

Rasulullah adalah sumber rujukan utama. Mereka juga menerima agama daripada riwayat yang benar dan athar yang diriwayatkan dari dalil orang adil dan thiqah (dipercayai) sehingga sampai kepada Rasulullah.

Mereka memahami apa yang diterangkan oleh Rasulullah dan memilih untuk berdiam diri dari berdebat tentang sifat-sifat Allah. Mereka juga tidak pernah membeza-bezakan sifat-sifat tersebut menjadi sifat zat dan sifat fi'l, melainkan mereka menetapkan sifat-sifat azali bagi Allah.

Mereka juga memutlakkan makna yang telah dimutlakkan Allah sendiri bagi diri-Nya, seperti wajah, tangan dan sebagainya dengan menafikan kesamaan sifat itu dengan makhluk. Mereka menetapkannya tanpa tasybih dan mensucikannya tanpa ta'til.

Mereka bersepakat mengakui sifat-sifat Allah sebagaimana diajar dan tidak ada yang pernah mengambil cara-cara ilmu Kalam dan juga falsafah. (Abu al-Hasan 'Ali bin Isma'il al-Asy'ari, 1999:8 & 9)

Apakah pula pendekatan mengajar tauhid selepas wafatnya Nabi SAW?

NIZAM: Setelah wafatnya Rasulullah khususnya pada era tiga kurun awal hijrah, pendekatan yang digunakan masih bersesuaian dengan kaedah yang ditinggalkan oleh baginda.

Kaedah pengajaran ini lebih dikenali dengan kaedah salaf, iaitu kaedah yang digunapakai oleh golongan terkemudian dalam mengajar tauhid kepada masyarakat. Istilah salaf ini mula masyhur ketika mana berlaku persaingan pemikiran dan perdebatan aliran-aliran ilmu kalam dalam soal usuluddin atau dasar-dasar agama berhubung dengan persoalan akidah.

Ramai dalam kalangan mereka cuba mengaku diri sebagai golongan salaf dan cuba mempertahankan Islam dari serangan pemikiran ahli bidaah. (Muhammad bin Aman al-Jami', 1991:57)

Pada zaman kemudiannya, ketika mana unsur falsafah dan ilmu kalam meresap masuk dalam ilmu tauhid, pendekatan pengajaran tauhid turut menggunakan kaedah falsafah dan ilmu kalam khusus dalam menjawab penyelewengan yang timbul dalam aspek akidah.

Pada masa yang sama, golongan salaf terutamanya ahli hadis membuat bantahan terhadap kaedah yang diguna pakai oleh ahli Ilmu Kalam. Mereka berpendapat, al-Quran dan al-Sunnah sudah memadai dalam mencari jawapan terhadap persoalan akidah dan tidak perlu kepada dalil akal atau menggunakan kaedah falsafah.

Para sahabat dan tabien menutup rapat pintu ta'wil dalam soal Ilahiyyat misalnya ta'wilan dan tafsiran yang membawa kekeliruan dan salah faham tidak mendapat tempat di sisi mereka. Soalan yang berbentuk bagaimana dan kenapa adalah perkara yang dijauhi dan dianggap suatu perkara bidaah dalam hal Ilahiyyat. ('Irfan Abd al-Hamid, 1967:126)

Kemudiannya, bangkit Ibn Taimiyyah (m.728H) yang merumuskan pendekatan Tauhid Tiga Serangkai iaitu rumusan tauhid berdasarkan kepada Tauhid Rububiah, Uluhiah dan Asma' wa Sifat yang berteraskan fahaman kaedah salaf.

Bila pula munculnya tauhid berasaskan Sifat 20?

NIZAM: Pada zaman mutakhir, tatkala umat Islam diserang pemikiran akidahnya dan bercampur baur pemahaman akidahnya dengan unsur falsafah yang menyesatkan, muncul Muhammad Yusuf al-Sanusi (w.896H / 1490M) dengan pendekatan baru iaitu pendekatan Sifat 20 dalam kitabnya yang masyhur iaitu Umm al-Barahin.

Pendekatan ini tersebar luas sehingga ke nusantara Asia Tenggara termasuk Malaysia. Pendekatan sifat 20 ini dalam memahami akidah kemudiannya dikembangkan dalam bentuk terjemahan oleh ulama nusantara dalam kitab-kitab jawi atau juga dikenali sebagai kitab-kitab kuning.

Pada tahun 1757M. iaitu pada abad ke 18M. misalnya, Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin telah menterjemah serta mengubah suai kitab al-Sanusi yang bertajuk Umm al-Barahin yang membincangkan persoalan berkaitan dengan ajaran Sifat 20. Kitab tersebut kemudiannya dinamakan Bidayah al-Hidayah. (Kamarul Bakri bin Abd. Aziz, 1999:80 & 81)

Selepas itu beberapa kitab berkenaan dengan ilmu tauhid yang berasaskan kitab Umm al-Barahin ini telah dikarang. Di antaranya ialah Zuhrah al-Murid fi Bayan Kalimah al-Tauhid oleh Abdul Samad Palembani pada tahun 1764M di Mekah.

Pada masa itu juga, Nawawi Bentani yang berada di Mekah telah menyusun sebuah kitab syarah kepada Umm al-Barahin yang bertajuk Zari'at al-Yaqin. (C. Snouck Hurgronje, 1970: 271)

Pada abad ini juga Tok Syihabuddin dari Palembang turut mengembangkan ajaran Sifat 20 melalui kitabnya Aqidah al-Bayan. (Kamarul Bakri Abd. Aziz, op. cit.)

Pendek kata, aliran akidah yang berkembang di nusantara adalah berasaskan fahaman al-Asya'irah terutamanya berkenaan sifat 20 menurut huraian al-Sanusi dalam kitabnya Umm al-Barahin.

Kebiasaannya, para ulama kitab Jawi akan mengupas tentang sifat wajib, mustahil dan harus bagi Allah. Mereka membahagikan sifat wajib kepada 20 dengan pembahagian kepada empat kategori iaitu nafsiah, salbiah, ma'ani dan ma'nawiyyah berserta huraiannya. (Ibid.)

Ringkasnya, di sepanjang sejarah perkembangan akidah Islam dari sudut pendekatan pengajarannya, terdapat pelbagai kaedah yang diformulasikan oleh para sarjana Muslim yang diaplikasikan dalam masyarakat Islam pada zaman-zamannya.

Secara ringkas, terdapat tiga pendekatan yang menonjol iaitu pendekatan al-Quran dan al-Sunnah, pendekatan lanjutan dengan nama pendekatan Tauhid Tiga Serangkai dan pendekatan lanjutan rumusan berasaskan Sifat 20 atau Doktrin Sifat 20.

Malangnya perbezaan pendekatan itu mendorong sebahagian kita melabel manhaj yang lain sesat? Bolehkah?

NIZAM: Ketiga-tiga cara penyampaian akidah tauhid di atas sama ada melalui pendekatan al-Quran dan al-Sunnah, pendekatan Tauhid Tiga Serangkai dan Sifat 20 merupakan cara atau manhaj yang digunapakai dalam sejarah perkembangan ilmu penyampaian akidah tauhid.

Kesemua cara tersebut bermatlamat hendak mengenalkan Allah kepada masyarakat. Oleh itu, membuat tuduhan bahawa pendekatan sesetengah pihak sesat dan bidaah adalah tidak wajar. Isunya di sini adalah apa yang digunakan itu adalah satu bentuk pendekatan.

Matlamatnya tetap sama untuk menyeru manusia beriman kepada Allah. Berbalah dalam isu pendekatan hanya merumitkan keadaan dan menyebabkan masyarakat keliru dengan pegangan pendekatan yang digunakan.

Ahli Sunnah wa al-Jamaah bukan sahaja melarang kita membudayakan isu kafir mengkafir bahkan tidak menggalakkan kita sesat menyesatkan antara saudara seagama tanpa asas yang kukuh.

Malah kedua-dua tindakan itu hampir sama. Begitu juga, seandai sesetengah pihak menuduh Ibn Taimiyyah sesat dalam kaedahnya, maka banyak yang perlu disemak dalam kurikulum pendidikan negara di peringkat sekolah menengah dan universiti.

Begitu juga andainya pihak yang lain pula menuduh Sifat 20 itu sebagai bidaah, maka banyak pula kitab-kitab ulama nusantara yang masyhur di sisi orang Melayu wajib ditinggalkan.

Berbalah dan berselisih dalam hal pendekatan pengajaran ini haruslah dielakkan demi keharmonian masyarakat awam dalam memahami akidah Islam yang sebenar.

No comments: