Like Blog Ini...

Friday, October 23, 2015

Niat Itu di Hati...



Agak lama aku tak menulis. Sekian lama tidak menulis artikel baru, rasa sedikit janggal dengan stail penulisan. Pada awal bulan ini, kawan sekelas meminta untuk aku sampaikan tazkirah ringkas sempena awal Muharram. Pertama kali aku sampaikan tazkirah kepada rakan-rakan sekelas, walaupun agak jauh berbeza umur. Untuk makluman, aku baru kembali ke sekolah. Kini bergelar mahasiswa. Cuba untuk menyesuaikan diri dengan adik-adik yang jauh lebih muda daripada aku...

Dalam masa yang agak terhad, aku cuba untuk mencari isi dan maklumat berkenaan hadis pertama dalam kitab Hadis 40 karangan Imam Nawawi. Permulaan tahun baru dan lembaran baru di universiti, aku kira niat memainkan peranan penting untuk difahami. Berikut adalah isi-isi tazkirah yang berjaya aku siapkan...


Berkenaan niat
Kita menyambung perbincangan tazkirah kita, hari baru tahun baru dengan tazkirah ringkas berkaitan hadis pertama dalam kitab hadis 40 Imam Nawawi.

Besarnya Peranan Niat dalam kehidupan kita. Niat ialah satu lintasan dalam hati yang menunjukkan apakah perbuatan kita ini bersandarkan pada jalan yang sepatutnya.

Peranannya tersangatlah besar, sehinggakan Hadis Rasulullah S.A.W berkenaan niat diletakkan sebagai Hadis pertama dalam dua kitab besar iaitu Soheh Bukhari dan (Hadis 40) Imam Nawawi.
Diterimanya amal kita atau tidak, semua berdasarkan apa yang kita niatkan. Renung-renungkanlah..


Hadits ini muncul kerana adanya seorang lelaki yang ikut berhijrah dari Makkah ke Madinah semasa zaman Rasulullah S.A.W, dengan niat untuk mengahwini seorang perempuan bernama Ummu Qais. Dia berhijrah bukan untuk mendapatkan pahala hijrah bersama Rasulullah S.A.W. kerana itu dia dipanggil dengan gelaran Muhajir Ummu Qais. Sahabat nabi yang lain memperolehi Allah dan Rasul sebagai ganjaran daripada pengorbanan mereka, manakala pemuda ini hanya memperolehi Ummu Qais sahaja. Alangkah ruginya sahabat tersebut...

Kita seharusnya cuba untuk mengaitkan niat kita datang ke universiti, apakah sebenarnya tujuan kita datang ke sini...

Dalam kitab Riyadhus Shalihin Kitabul Ilmi Al Imam An Nawawi menyebutkan hadits nabi shallalahu’alaihi wasallam,

Dari Abu Hurairah radhiallahu’anhu, sesungguhnya Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam bersabda: “Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.” (H.R Muslim)

Semoga kita semua tergolong dalam kalangan orang yang memiliki niat yang betul dan ikhlas dalam menuntut ilmu. Hanya kepada Allah kita berserah dan bertawakal...

Mengenali Penyakit Wahan..

Daripada Tsauban r.a berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda;
"Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa (kafir) akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah S.W.T akan mencabutkan rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah S.W.T akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'. Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah s.a.w.?" Nabi Muhammad s.a.w menjawab, "Cinta pada dunia dan benci pada kematian". (Riwayat Abu Daud)

Memang benar apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Keadaan umat Islam pada hari ini, menggambarkan kebenaran apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Umat Islam walaupun mereka mernpunyai bilangan yang banyak, tetapi mereka selalu dipersendakan dan menjadi alat permainan bangsa-bangsa kafir. Mereka ditindas, diinjak-injak, disakiti, dibunuh dan sebagainya.

Sebenarnya, segala kekalahan kaum Muslimin adalah berpunca dari dalam diri mereka sendiri, iaitu dari penyakit "wahan" yang merupakan penyakit campuran dari dua unsur yang selalu wujud dalam bentuk kembar dua, iaitu “cintakan dunia” dan "bencikan mati". Kedua-dua penyakit ini tidak dapat dipisahkan. "Cintakan dunia" bermakna tamak, rakus, bakhil dan tidak mahu mendermakan harta di jalan Allah s.w.t. Manakala “bencikan mati" pula bermakna leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan dengan taat dan beribadat untuk menghadapi negeri akhirat dan teragak-agak untuk berkorban dengan diri dan jiwa dalam memperjuangkan agama Allah S.W.T.

Kita berdoa agar Allah S.W.T. memberikan petunjuk kepada kita dan memberikan kejayaan di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.


(Rujukan : Dengan suntingan dari Laman sesawang Koleksi Hadis Rasulullah s.a.w. @ http://tanbihul_ghafilin.tripod.com/koleksihadith.htm.) Tazkirah Mingguan BIMB Securities.