Like Blog Ini...

Friday, July 24, 2009

Ratu Balqis di istana Nabi Sulaiman

"APABILA ratu itu sampai tanyakan, apakah takhtamu serupa ini?" Jawab ratu, "Seolah-olah inilah dia. Dan kepada kami telah diberikan pengetahuan sebelum ini, dan kami adalah orang-orang yang tunduk kepada Tuhan. (an-Naml: 42)

RATU Balqis terpaksa datang mengadap Nabi Sulaiman di istana bagi menyelamatkan diri dan kerajaannya. Ini kerana Nabi Sulaiman bersama bala tenteranya berjanji untuk memerangi Ratu Balqis sekiranya dia enggan beriman kepada Allah SWT.

Maka Ratu Balqis bersama pembesar-pembesar berangkat menuju ke istana Nabi Sulaiman. Setelah sampai di hadapan istana Nabi Sulaiman, Ratu Balqis berasa bingung dan ragu-ragu kerana istana Nabi Sulaiman menyerupai istananya.

"Wahai Balqis, adakah istana aku ini sama dengan istanamu di Saba'?," tanya Nabi Sulaiman kepadanya.

"Memang bentuk istana ini menyerupai istana aku," jawab Ratu Balqis.

"Ini adalah istanamu, aku membawa istanamu ke mari dengan mudahnya kerana Allah SWT telah memberi pengetahuan kepada aku. Sesungguhnya aku tunduk dan beriman kepada-Nya."

"Aku yakin ini adalah istanaku," jawab Ratu Balqis lagi.

Kemudian, Ratu Balqis dipersilakan masuk ke dalam istana yang lantainya diperbuat daripada kaca yang putih bersih, rata dan licin. Di bawahnya dialirkan air sehingga nampak seakan-akan lantai istana itu penuh dengan air.

Ratu Balqis pun masuk ke dalam istana Nabi Sulaiman. Ketika berjalan masuk ke dalam istana itu, Ratu Balqis menyingkap kainnya agar tidak membasahi gaun yang dipakai sehingga menampakkan kedua-dua betisnya. Dia menyangka lantai istana itu dipenuhi dengan air.

"Tidak usahlah kamu menyingkap kainmu itu. Lantai itu bukannya dipenuhi dengan air tetapi ia diperbuat daripada kaca yang sangat nipis dan licin. Oleh kerana itulah ia nampak berkilau-kilauan seperti adanya air," kata Nabi Sulaiman.

"Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiayai diriku sendiri dengan menyembah matahari. Aku telah tersesat dan melalaikan nikmat yang diberikan oleh-Mu. Ampunilah diriku ini. Kini aku tunduk kepada-Mu dan berserah diri kepada Sulaiman, nabi-Mu dengan penuh keyakinan. Kasihanilah diriku wahai Tuhanku sekelian alam. Sesungguhnya hanya Engkaulah yang berhak disembah," kata Ratu Balqis.

Perintah mencegah kemungkaran

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SHEIKH Muhammad Abu Zahrah berkata: "Selepas Allah SWT mengarahkan orang Islam supaya berpegang dengan tali Allah SWT iaitu al-Quran al-Qarim dan jangan berpecah-belah lantas Allah menerangkan jalan dan cara untuk berpegang iaitu kesatuan dan juga pelaksanaan amar makruf nahi mungkar." Oleh yang demikian Allah SWT fardukannya dengan ayat di atas.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Kalimah lam (pada perkataan waltakum adalah lam perintah). Yakni hendaklah terdapat di kalangan kamu satu kumpulan yang menyeru ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran.

Ayat ini mengandungi perintah menyeru kepada kebaikan. Ditafsirkan oleh sebahagian ulama seperti berikut. Kalimah man di dalam ayat ini dinamakan litab'ngid ertinya untuk sebahagian.

Jelasnya perintah menyeru kepada kebaikan di sini bukanlah ditumpukan hanya kepada sebahagian umat Islam sahaja, tetapi ditumpukan kepada setiap umat Islam yang mukalaf berdasarkan firman Allah SWT (Terjemahan: surah al-Imran: 110) Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).

Maka berdasarkan ayat ini wajiblah atas setiap umat Islam yang mukalaf itu melaksanakan al-Amr Makruf al-Nahi al-Munkar iaitu menyuruh mengerjakan kebajikan dan melarang berbuat kejahatan.

ii. Adapun cara melarang berbuat kejahatan atau mungkar itu sama ada dengan tangannya yakni tindakan keras, atau lisannya dengan memberikan nasihat atau sekurang-kurangnya mengingkarkan dengan hati.

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa'id al-Khudri r.a, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan lisannya dan sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan hatinya. Yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman. (riwayat Muslim )

iii. Cara mengubah mungkar ada tiga jenis:

lMengubah dengan tangan iaitu menggunakan kekuatan atau kekuasaan orang menurut cara yang lebih berkesan. Bukan dengan cara yang membawa pertumpahan darah atau menimbulkan kekacauan yang lebih dahsyat bencananya dari perbuatan mungkar itu sendiri.

lMengubah dengan lidah setelah tidak dapat gunakan tangan. Ini dibolehkan jika ada faedah atau kesannya kerana dapat diterima dan dipatuhi nasihat atau tunjuk ajar kemudian perkara mungkar itu dihentikan.

lMengubah dengan hati setelah kedua-dua cara yang diterangkan tadi gagal dan tidak memberi kesan. Ini dikenali sebagai tanda selemah-lemah iman.

Namun demikian, ia adalah fardu ain ke atas tiap-tiap orang Islam. Ertinya wajib atas mereka mengingkari perkara yang mungkar itu dengan hati. Hal ini pernah dikatakan oleh Rasulullah SAW dalam sabda-Nya yang bermaksud: "Apabila dikerjakan kejahatan dalam permukaan bumi, maka orang yang menyaksikannya tetapi dia membencinya seperti orang yang tidak melihat perbuatan tersebut. Dan barang siapa yang tidak melihat kejahatan itu tetapi dia suka akannya maka dia seperti orang yang menyaksikan perbuatan tersebut".

Maka di atas tafsiran ayat dan hadis yang disebutkan itulah membawa pengertian hendaklah kamu menjadi umat yang menyeru orang supaya berbuat kebajikan dan mencegah orang daripada mengerjakan kejahatan

iv. Al-Maraghi berkata: "Mereka yang melaksanakan dakwah ini harus memenuhi syarat-syaratnya agar dapat mencapai matlamat dengan baik dan teladan dalam aspek ilmu dan amalan:

lMemahami isi kandungan al-Quran, sunnah dan jejak langkah Nabi SAW serta para Khalifah al-Rasyidin.

lPeka dengan keadaan masyarakat yang menjadi sasaran dakwah, dari aspek selok-belok masalah, kesediaan, tabiat, akhlak dan pergaulan mereka dengan masyarakat.

lMenguasai bahasa masyarakat yang menjadi sasaran dakwahnya. Nabi SAW pernah menyuruh beberapa orang sahabatnya mempelajari bahasa Ibrani bagi kemudahan berkomunikasi dengan bangsa Yahudi yang menjadi jiran Baginda dan mengetahui mereka yang sebenar.

lMengetahui agama dan tradisi serta berbagai-bagai aliran di kalangan pelbagai umat demi memudahkan dirinya mengetahui mana yang batil dari yang betul.

v. Al-Sonhadji berkata: "Kita mendapati bahawa ayat ini ditujukan kepada setiap umat Islam bertanggungjawab dengan tidak ada kecualinya bahkan semuanya hendaklah menyeru kepada kebaikan, caranya dengan menyuruh manusia berbuat kebajikan dan menegah kejahatan.

Tanggungjawab untuk melaksanakan

"Masing-masing mengikut taraf dan kemampuannya. Hendaklah mereka melantik sekumpulan umat yang dapat menjalankan kewajipan itu, manakala sesuatu kesalahan atau penyelewengan segeralah memperbaikinya supaya tidak menimbulkan kebinasaan terhadap umat tadi".

vi. Sayid Qutub dalam tafsirnya berkata: "Penggunaan dua kata yang berbeza itu menunjukkan keharusan adanya dua kelompok dalam masyarakat Islam.

"Kelompok pertama yang bertugas mengajak dan kelompok kedua bertugas memerintah dan melarang. Kelompok kedua ini tentulah memiliki kekuasaan di bumi.

"Ajaran Ilahi di bumi ini bukan sekadar nasihat, petunjuk dan penjelasan. Ini adalah salah satu tanggungjawab untuk melaksanakan pemerintahan dan menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran".

Akhir kata penulis meminjam kata-kata Dr. Aid al-Qarni berkenaan dengan nasihatnya melalui buku Ihfazillah Yahfazka yang menyebut: "Dan para ulama Ahli Sunnah wa al-Jamaah dan para wali Allah itu adalah orang yang bergelut dan bergaul dengan masyarakat yang luas.

"Di dalam Islam, tidak ada seorang alim yang menutup dirinya hanya di dalam rumah dan tidak keluar ke khalayak ramai untuk menyebarkan manfaat ilmunya kepada mereka. Orang seperti ini bukan Ahli Sunnah wal-Jamaah.

"Kamu akan mendapati para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah di masjid, di tempat terbuka, di jalan raya, di forum-forum, di tempat perkumpulan manusia dan di kampus-kampus universiti dan sebagainya.

"Mereka sentiasa mengajar manusia dan menginfaqkan sebahagian rezeki yang Allah anugerahkan kepada mereka dan tidak kedekut terhadap ilmunya".

Berdasarkan ayat di atas jelas menunjukkan kita semua harus mencontohi dan meneladani pendirian dan peranan Ahli Sunnah wal-Jamaah. Semoga kita semua sentiasa mendapat rahmat Allah yang melayakkan untuk menghuni syurganya. Amin.

Al-Quran terjemahan Inggeris oleh bekas mufti

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

TEMA warna kulit luar al-Quran Terjemahan Bahasa Inggeris ini begitu melambangkan kelembutan dan kesederhanaan. Ini kerana pemilihan warna merah samar atau merah jambu yang begitu mendominasikan corak atau hiasan illuminasinya.

Namun keunikan dan keindahan 'ukiran' bunga-bungaan dan kaligrafi khat yang menjadi motif iluminasi atau zukhruf kulit luarnya itu, jelas sukar untuk diungkap melalui kata-kata kecuali begitu artistik dan 'mewah indah'.

Pun begitu, di sebalik tema warna kulit itu, kitab ini sebenarnya mempunyai daya tarikan yang sangat kuat dan ia bakal membuang satu pandangan yang mengatakan naskhah ini hanyalah satu terjemahan yang biasa sahaja. Sedangkan jika anda tahu, betapa ia mempunyai makna yang sangat besar kerana ia satu lambang kejayaan negara!

Sebuah lagi sumbangan besar Yayasan Restu apabila mereka berjaya membina al-Quran terjemahan ini bermula pada tahun 2001 dan apabila siap tahun lalu, ia merupakan al-Quran Terjemahan Bahasa Inggeris yang terbaik pernah ditemui.

Dari serata dunia sebelum ini, kita mungkin telah sering menemui pelbagai al-Quran terjemahan sebegini, malah yang popular termasuklah yang diterjemahkan oleh Abdullah Yusuf Ali.

Namun, yang diusahakan secara gigih oleh Yayasan Restu ini adalah yang pertama, hasil terjemahan daripada kalangan anak tempatan Malaysia. Walaupun pertama di peringkat tempatan namun ia bersifat yang sangat merentasi semua sempadan geografi dunia.

Tokoh yang cukup berjasa besar menterjemahkan al-Quran ke bahasa Inggeris ini ialah bekas Mufti Pulau Pinang, Ghulam Sarwar al-hafiz (1873-1954). Individu yang lahirnya daripada lipatan sejarah lama namun 'kembali' untuk menaburkan jasa!

Ringkas mengenai beliau, Ghulam Sarwar adalah tokoh Islam yang terbilang. Beliau bukan sahaja pernah bertugas sebagai Mufti Pulau Pinang malah pernah bertugas sebagai Hakim Mahkamah di Singapura dari tahun 1923 sehingga 1928.

Sebelum itu, pada tahun 1897 beliau adalah lulusan Cambridge, England dan pernah merupakan Imperial di Institute Modern Languages Scholar (Arabic) dari tahun 1896 sehingga 1900.

Seorang yang sangat prolifik dalam menghasilkan buku-buku dan terjemahan-terjemahan dalam bahasa Inggeris, Parsi dan Urdu dalam pelbagai topik terutama mengenai Islam.

Manuskrip terjemahan al-Quran oleh mufti ini kemudiannya ditemui oleh Yayasan Restu dan ini memberikan ilham agar terjemahan itu dapat dibukukan. Namun oleh kerana manuskrip itu tidak bersama dengan teks-teks al-Quran itu sendiri, Yayasan Restu kemudiannya mendapat bantuan suntingan daripada pakar bahasa Arab dan bahasa Inggeris, iaitu Duraid G. Fathouhi.

Fathouni ialah rakyat Iraq yang dahulunya penganut Kristian Katholik tetapi kemudiannya memeluk Islam.

Seorang lagi nama besar khususnya dalam dunia Melayu Islam, Dr. Uthman El Muhammady telah menyunting semula keseluruhan naskhah ini bagi melayakkan ia diterbitkan.

Melalui naskhah ini kita sebenarnya dapat mengenali bekas Mufti Pulau Pinang dengan lebih dekat. Ini apabila terdapat catatan allahyarham di dalamnya. Hayatilah kegetiran dan cabaran yang terpaksa beliau lalui bagi memastikan al-Quran itu dapat diterjemahkan dalam bahasa Inggeris dengan kaedah penulisan lebih mudah (dengan mengelakkan penggunaan Inggeris Latino) dan penggunaan ayat-ayat yang lebih pendek umpama jalinan syair yang mengandungi ritma-ritmanya yang tersendiri.

"Yang penting yang terjemahan yang terhasil adalah lebih jelas, mudah dan tepat untuk dihayati oleh sesiapa sahaja," kata Ghulam.

Naskhah ini menjadi semakin 'mahal' apabila turut dimuatkan dua esei mengenai Sejarah Hidup Nabi Muhammad SAW . Ia adalah syarahan yang pernah disampaikan oleh mufti ini sempena sambutan Maulidur Rasul pada tahun 1924 dan 1925 di London dan Singapura.

Namun lebih istimewa, naskhah ini mendedahkan satu pengetahuan yang sangat unik, iaitu rahsia di sebalik motif-motif yang menjadi hiasan (zukhruf) yang digunakan khas bagi setiap 30 juzuk al-Quran di dalamnya.

Juzuk 1 bermula dengan motif Malaysia iaitu pemilihan Bunga Jasmin dan ukiran kayu, diikuti Juzuk 2 yang bersifat universal dengan mengambil motif Bunga Bawang Putih dan pandangan dari atas Baitul Maqdis, Juzuk 3 Bunga Clive dan imej Masjid Nameerah di Mekah.

Dengan lain perkataan, apa sahaja motif yang unik dan istimewa dari hampir seluruh dunia dijadikan hiasan atau iluminasi naskhah terjemahan ini. Ini termasuklah dari Mesir, Iran, Maghribi, Nigeria, Mali, Samarkand, Hong Kong, China, India (Taj Mahal), Singapura, Brunei, Indonesia, Washington, Kanada, New Mexico, Sepanyol dan diakhiri untuk Juzuk 30 motif Bunga Padi dari Malaysia.

Jadi, kini anda tahu mengapa naskhah ini mengambil masa selama hampir tujuh untuk disiapkan. Selain itu, ia turut melibatkan penyelidikan yang khusus dan yang paling mencabar tentunya teknik pewarnaan di samping salinan semula teks-teks al-Quran itu sendiri yang ditulis tangan!

Terlalu banyak untuk memperkatakan keistimewaan Naskhah ini sehinggalah anda mendapatkannya sendiri.

Jadi, apa ditunggu lagi, segera anda mesti mendapatkan naskhah al-Quran Terjemahan ini. Namun jangan sekadar hanya untuk menambahkan koleksi, tetapi naskhah ini perlu menjadi rakan kepada anda.

Naskhah ini mula dijual terutamanya di Yayasan Restu iaitu di Kompleks Taman Kesenian Islam, Shah Alam, di kedai-kedai buku terkenal terutamanya MPH Book Store dan kerjasama dengan Pos Malaysia, iaitu tempahan boleh dibuat melalui pos dengan kos kiriman yang sangat minimum iaitu RM5.

Perkasa bahasa, perkasa ilmu

Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS

TANGGAL 8 Julai 2009 menjadi tarikh bersejarah dalam senario sistem pendidikan di negara kita. Pada hari tersebut, Menteri Pelajaran , Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2012.

Pengumuman ini menjadi klimaks kepada polemik isu PPSMI ini yang berlarutan sejak pelaksanaannya. Pihak kerajaan membuat keputusan tersebut setelah mengambil kira pelbagai aspek termasuk kajian ilmiah, pandangan ilmuwan serta umum dan realiti pelaksanaan dasar.

Sebagai remaja, situasi yang berlaku ini seharusnya menyedarkan kita tentang kepentingan menguasai pelbagai bahasa. Sebagai rakyat Malaysia, bahasa Melayu perlu kita martabatkan, tetapi bahasa lain juga perlu dikuasai demi meluaskan skop pergaulan dan membina jambatan untuk meneroka gudang ilmu daripada bahasa lain.

Memartabatkan Bahasaku

Mengapa bahasa Melayu perlu dimartabatkan? Ini kerana bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi yang dipersetujui semua pihak dalam asas pembentukan negara Malaysia. Bahasa Melayu merupakan bahasa perpaduan, yang diharapkan berhasil menyatukan seluruh masyarakat Malaysia yang berbilang etnik dan budaya.

Terdapat lebih daripada 2,000 istilah dalam bahasa Melayu yang berasal daripada bahasa Arab, seperti rahmat, insan, solat dan sebagainya. Bermakna apabila seseorang itu menguasai bahasa Melayu, secara tidak langsung ia dapat memahami asas maksud 2,000 perkataan Bahasa Arab yang terkait dengan ajaran Islam.

Hubungan bahasa Melayu dengan ajaran Islam terkait menerusi istilah-istilah berkenaan dan ia merupakan satu warisan yang amat berharga untuk kita. Memahami istilah-istilah tersebut seharusnya memudahkan kita memahami asas ajaran Islam dan menghayatinya.

Sebagai contoh, perkataan akhlak berasal daripada bahasa Arab yang merujuk kepada adab, budi, pekerti dan perangai. Dalam bahasa Inggeris, secara umumnya akhlak ditafsirkan sebagai morality. Tetapi sebenarnya terdapat perbezaan maksud di antara kedua-duanya.

Perkataan akhlak mempunyai konotasi berbeza yakni berlandaskan perspektif Islam. Hal ini berbeza dengan maksud morality yang bersandarkan kepada nilai-nilai atau pegangan masyarakat setempat.

Tetapi kewujudan perkataan akhlak dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu sudah sedia difahami justeru kayu ukur yang kita gunakan dalam mencirikan akhlak seseorang secara tanpa kita sedari adalah berpandukan nilai keislaman itu sendiri.

Kepentingan Bahasa Inggeris

Bahasa Inggeris sememangnya diguna pakai secara meluas dalam semua bidang, tidak hanya dalam sains dan teknologi. Terdapat rujukan keilmuan dalam bahasa Inggeris bagi pelbagai bidang yang lain juga umpamanya undang-undang, ekonomi dan sains kemanusiaan.

Justeru fokus pengajaran bahasa Inggeris tidak sepatutnya terhad demi bidang sains dan teknologi semata-mata. Pokoknya, asas kemahiran berbahas Inggeris itu perlu diberi perhatian terlebih dahulu demi mendidik pelajar mahir berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Terdapat banyak istilah dalam bahasa Inggeris yang diguna pakai dalam perisian komputer dan di Internet. Justeru tidak dinafikan bahawa pemahaman istilah-istilah yang digunakan adalah perlu demi memudahkan generasi muda menguasai bidang teknologi maklumat.

Tetapi golongan kanak-kanak dan remaja sebenarnya mempunyai upaya mempelajari istilah baru dengan cepat terutamanya apabila mereka didedahkan secara langsung kepada sumber pengajaran berkaitan dan diberi peluang untuk menerokainya.

Sebagai contoh, dengan mewujudkan akses untuk pelajar menggunakan komputer dan Internet, para pelajar akan tertarik untuk menggunakannya dan meneroka perisian yang ada. Melalui penggunaan berterusan, secara automatik pelajar akan terbiasa dengan istilah-istilah yang digunakan serta maksudnya.

Apa yang penting ialah kemudahan untuk mengakses komputer dan internet itu perlu ditambahkan demi membolehkan lebih ramai pelajar khasnya di luar bandar agar mereka juga tidak ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi maklumat.

Harapan Semua

Kita percaya bahawa polemik PPSMI ini didasari oleh keinginan semua pihak untuk melihat remaja negara kita hari ini hebat penguasaan bahasa Melayunya, bahasa Inggerisnya, bahasa ibundanya atau mungkin juga bahasa-bahasa lain.

Tentunya melalui penguasaan pelbagai bahasa, diharapkan para remaja dapat sama-sama memacu kemajuan untuk diri, bangsa, agama dan negara, dan pada masa yang sama memperkasa jati diri dan sahsiah yang dimiliki.

Keputusan kerajaan untuk menyemak kembali dasar PPSMI serta pelaksanaannya berdasarkan penilaian terperinci merupakan satu langkah yang patut dipuji. Impak pelaksanaan dasar ini seharusnya dapat ditelaah dan diambil pengajaran demi membentuk sistem pendidikan negara yang lebih mapan dan bersepadu.

Ibarat Membina Menara

Mungkin hari ini kita bermula semula dari bawah untuk menanam pasak bahasa dengan acuan baru. Tetapi pasak ini bukan sebarang utuh, bukan sebarang tegak, tetapi utuh dan tegak demi menjadi menara setinggi Gunung Fiji.

Mengapa sebanding Gunung Fuji, kerana pada sekitarnya didiami oleh satu bangsa berteladan, yang perkasa reka terbangnya, tetapi tetap unggul bersama bahasa miliknya.

Panahan suria globalisasi bukan untuk mencairkan, tetapi menuntut teduhan, olahan, tapisan agar manfaat cahayanya tetap mampu menerangi. Ribut teknologi bukan untuk membadai, tetapi menjadi kayu ukur sejauh mana kekuatan pasak yang terbina.

Itulah aspirasi kita terhadap bahasa. Manfaat ilmu menerusi bahasa lain ingin kita gapai, dan seterusnya kita semai serta suburi pada bahasa sendiri.

Semoga buah keilmuan yang terhasil dapat dinikmati dan dapat juga disebarkan pada semaian bahasa lain demi manfaat bersama dan martabat bahasa.

Para sahabat generasi terbaik

Kelahiran dan kebangkitan para sahabat Rasulullah SAW merupakan satu kurniaan luar biasa daripada Allah SWT. Sumbangan tidak ternilai mereka berupa penjelasan-penjelasan terhadap kebanyakan peristiwa yang dialami bersama baginda serta ijtihad yang mereka lakukan, terutama setelah kewafatan Nabi dalam mengisi tata ruang kehidupan, menjadi sebuah model ikutan yang terus memberi inspirasi kepada seluruh umat Islam.

Masih terlalu banyak sirah para sahabat Nabi SAW yang belum dijejaki dan masih banyak hikmah yang masih belum diketahui. Sekiranya ia ditemui, pastinya rasa kecintaan umat kepada baginda SAW akan lebih mendalam dan amat berguna sebagai penunjuk umat manusia meniti kehidupan seterusnya mengembalikan kegemilangan Islam seperti yang pernah direntasi oleh Rasulullah dan para sahabat r.a.

Kelahiran mereka merupakan bukti kejayaan penerapan nilai-nilai wahyu dalam kehidupan duniawi.

Kedudukan para sahabat sangat istimewa dan kehidupan mereka diredai olah Allah SWT dan rasul-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta ia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar. (al-Taubah: 100)

Firman Allah SWT yang bermaksud: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang sepatutnya), tentulah iman itu menjadi baik bagi mereka. Tetapi di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik. (ali-'Imran: 110)

Sabda Rasulullah SAW: Sebaik-baik kurun adalah generasiku, kemudian generasi berikutnya, kemudian generasi berikutnya. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Ibn Umar r.a. mengatakan, "Sesiapa yang mencari teladan, hendaklah meneladani generasi yang terdahulu, iaitu para sahabat Rasulullah SAW. Merekalah generasi terbaik umat ini, hati mereka lebih bersih, ilmu mereka lebih dalam, dan mereka sangat jauh dari sikap berlebihan.

"Merekalah generasi yang dipilih Allah untuk menyertai Rasulullah SAW dan menyampaikan agama-Nya. Maka teladanilah akhlak dan jejak hidup mereka, kerana mereka adalah para sahabat Rasulullah SAW. dan telah mendapat petunjuk yang lurus." (Hilyat al-Auliya' 1: 305)

Berdasarkan huraian di atas, para sahabat r.a tidak hanya memiliki ciri-ciri bertakwa dan menjaga maruah. Malah memiliki sifat atau jati diri yang murni iaitu menjaga serta menyampaikan agama secara benar kepada generasi sesudah mereka dan tidak menyembunyikan apa jua kebenaran serta tidak mendustakan baginda SAW.

Para sahabat turut mencapai tingkat kesolehan dan kualiti amal yang paling tinggi berbanding umat manusia yang lain.

Rasulullah SAW dalam menegaskan sanjungan dan pujian Allah SWT ke atas para sahabat r.a mengecam keras sesiapa yang mengkritik kredibiliti dan sifat adil para sahabat r.a.

Sabda nabi SAW yang bermaksud, Jangan kalian mencaci sahabat-sahabatku kerana seandainya salah seorang di kalangan kalian menginfakkan emas sebesar gunung Uhud, hal sedemikian masih belum menyamai satu cupak mereka atau sebahagian daripadanya. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Ibn Kathir dalam menegaskan sabda Baginda SAW mengatakan, "Para sahabat adalah 'adl menurut Ahl al-Sunnah wal-Jamaah kerana Allah memuji perilaku dan akhlak mereka seperti mana yang tercatat dalam al-Quran dan Hadis. Mereka telah mengorbankan jiwa raga dan harta mereka, di hadapan Rasulullah SAW, di jagat raya demi mengharap ganjaran yang baik.

Nur al-Din pula mengatakan, "Mereka (para sahabat) adalah 'adl. Sifat 'adl mereka telah ditetapkan dan ia lebih kuat berbanding penetapan 'adl sesiapapun kerana penetapan ini menurut nas al-Quran, al-Sunnah, ijmak dan logik akal.

Dalam menterjemahkan kecintaan mereka kepada Rasulullah, para sahabat r.a berusaha mempelajari segala pergerakan baginda semata-mata untuk dijadikan contoh teladan dalam rutin kehidupan seharian. Mereka bertekad dan berusaha jiwa dan raga untuk mencontohi baginda bukan sahaja dalam tatacara beribadat solat, puasa, dan corak kehidupan zahir melalui etika berpakaian.

Malah, mereka turut mencontohi Rasulullah SAW dalam berkomunikasi, bertindakbalas, berfikir, berdiplomasi dan berdakwah menyebarkan risalah Islam.

Kehidupan para sahabat penuh dengan kebahagiaan dan kesyukuran, kerana mereka sempat menghabiskan sisa usia menjalani kehidupan di dunia bersama Rasulullah SAW mereka. Kehidupan mereka jauh dari permusuhan di antara satu sama lain.

Setiap individu mengasihi saudara muslimnya dan membantu meningkatkan diri dan keimanan masing-masing. Meskipun pun berbeza keturunan atau warna kulit, mereka tetap mengutamakan persaudaraan Islam.

Setiap tetangga saling mengasihi tetangganya yang lain, tidak pernah mementingkan diri sendiri seiring mematuhi setiap tunjuk ajar baginda SAW. Begitulah kecintaan sahabat kepada Rasulullah SAW, yang mencerminkan kekukuhan iman dalam sanubari mereka.

Abu Bakar al-Siddiq (Khalifah Islam yang pertama) membuktikan rasa cintanya dengan menemani Rasulullah berhijrah ke Yatrib atau Madinah di saat getir baginda menghadapi masa-masa sulit kerana para pemuka Quraisy yang hendak membunuh baginda meskipun ada ketika Abu Bakar r.a berada dalam keadaan ketakutan.

Melihat situasi yang berlaku baginda menenangkannya. Peristiwa ini dirakamkan oleh al-Quran melalui firman Allah SWT yang bermaksud: Jangan engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita. (al-Taubah: 40).

Umm al-Mukminin Khadijah binti Khuwailid r.a, srikandi Islam terulung yang sangat mencintai Rasulullah SAW. Beliaulah insan yang selalu membantu Rasulullah SAW, sentiasa memacu semangat baginda untuk tetap meneruskan gerak kerja dakwah. Menyelimuti, mengasihi dan mendukungnya, dek dorongan cinta yang mendalam kepada insan yang paling jujur dan dikasihi Allah SWT.

Ikrimah ibn Abu Jahl r.a, yang selalu setuju dengan Rasulullah SAW dan sentiasa teguh hatinya. Beliau gugur pada Perang Yarmuk.

Sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, ia meletakkan kepalanya di atas paha Khalid bin Al-Walid, seraya berkata dengan air mata yang mengalir dari kedua matanya: "Wahai paman, apakah kematian ini membuat Rasulullah reda kepadaku?" Pada saat kritikal seperti itu pun dia teringat Rasulullah SAW, dan keinginannya hanyalah agar Rasulullah SAW reda kepadanya.

Ali ibn Abi Talib pula pernah ditanya bagaimanakah kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW. Beliau berkata: "Demi Allah, Kami mencintai Rasulullah SAW lebih daripada harta kami, anak-anak kami ayah-ayah kami dan ibu-ibu kami".

Demikian rasa taat setia dan kasih sayang para sahabat kepada baginda SAW. Apa jua situasi dan keadaan yang menimpa mereka, termasuk perselisihan yang mengakibatkan peperangan, dan sebagainya, ia sama sekali tidak mengeluarkan para sahabat dari landasan keredaan Allah SWT.

Mereka tetap mendapat keredaan Allah dan ganjaran nikmat syurga-Nya di akhirat kelak. Firman Allah yang bermaksud: Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (al-Hujurat: 9)

Sehubungan itu, sebagai umat Islam yang mengecapi nikmat hidayah, kefahaman dan kenikmatan Islam melalui kalam Allah, untaian sabda baginda dan pelestarian sunnah melalui pengorbanan dan jasa para sahabat r.a.

Sewajarnya kita perlu membuka kembali lembaran sejarah dan mengambil 1,001 rahsia dan hikmah tersembunyi berkenaan sikap para sahabat sebagai tindakbalas kepada peristiwa yang berlaku bukan sahaja dalam menyelesaikan permasalahan semasa, tetapi terus menerus menjadi panduan berguna bagi umat Islam setiap masa dan ketika.

Tindakbalas seumpama ini barangkali semakin pudar atau hilang dalam diri setiap muslim masa kini, sehingga menghilangkan kehebatan jati diri muslim sejati.

Melalui pengetahuan yang diperolehi dari usaha menjejaki sirah para sahabat r.a mampu mengembalikan kesedaran umat Islam dalam memahami tuntutan agama, seperti mana kefahaman dan kesefahaman tinggi para sahabat terhadap agama Islam. Wallahu a'lam.

Saturday, July 18, 2009

Safiyah menjadi tawanan perang

Safiyah Binti Hurai ialah puteri Huyai Bin Akhtab, Raja Yahudi keturunan Nadir yang dihalau keluar dari Kota Madinah pada tahun 4 Hijrah. Mereka dihalau kerana merancang membunuh Nabi Muhammad.

Safiyah ditawan oleh pasukan tentera Islam yang mengalahkan pihak Yahudi dalam Perang Khaibar pada tahun 6 Hijrah.

Nasib Safiyah diserahkan kepada Nabi Muhammad yang menjadi komander pasukan tentera Islam dalam ekspedisi ke Khaibar.

Walaupun ayah Safiyah pernah menjalinkan konspirasi membunuh Nabi Muhammad tetapi baginda tidak pernah menyimpan dendam kepada Huyai bin Akhtab dan keturunannya.

Nabi telah membebaskan Safiyah dan memintanya memeluk agama Islam. Safiyah menyahut seruan baginda dengan pantas lalu memeluk agama Islam.

Kemudian Nabi berkahwin dengan Safiyah dengan satu tujuan iaitu bagi menjalinkan hubungan antara pihak Islam dengan keturunan Nadir.

Safiyah pada ketika itu berusia 17 tahun dan Nabi pula berusia 60 tahun. Perkara yang sama berlaku pada Juwariyah binti al-Harith daripada keturunan Mustaliq yang berkahwin dengan Nabi apabila tentera Yahudi keturunan Mustaliq tewas di tangan tentera Islam.

Nabi mahu menjadikan kesulitan pembayaran ganti rugi ini sebagai kesulitan bersama penduduk kota Madinah. Beliau mahu orang Yahudi yang menandatangani perjanjian dengan orang Islam menanggung beban itu bersama orang Islam. Oleh sebab orang Yahudi keturunan Nadir adalah sekutu keturunan Amir, Nabi bersama 10 sahabat pergi ke tempat keturunan Nadir.

"Kami setuju dengan cadangan Muhammad. Boleh tunggu sebentar sehingga kami semua mengumpul bahagian kami bagi diserahkan pada kamu," pinta orang keturunan Nadir.

"Kita tak pernah mendapat peluang seperti ini. Muhammad hanya ditemani oleh beberapa orang sahabat tanpa senjata. Ini peluang keemasan bagi membunuh Muhammad," timbul konspirasi untuk membunuh Nabi.

Mereka mengkhianati perjanjian yang dibuat. Malaikat datang kepada Nabi lalu memberitahunya tantang niat jahat mereka untuk membunuhnya.

Nabi segera meninggalkan tempat itu. Nabi memaklumkan kepada orang Islam Madinah tentang konspirasi orang Yahudi Nadir. Pasukan tentera Islam di bawah pimpinan Nabi melancarkan serangan kepada kubu pertahanan Nadir dan mendapat tentangan hebat dari pihak Yahudi Nadir.

Tentera Islam terpaksa berundur dan mengumpulkan kagi tentera Islam bagi menyerang mereka. Selepas sampai di tempat Nadir, Nabi nampak kebun-kebun kurma kepunyaan keturunan Nadir di luar kubu mereka.

"Lihat tentera Muhammad mengepung kita. Kita mesti lakukan sesuatu supaya kita selamat," jerit Huyai bin Akhtab.

"Kami datang berunding," jelas utusan keturunan Nadir yang datang berjumpa Nabi. Akhirnya mereka terpaksa menerima syarat yang dikemukakan oleh Nabi Muhammad dan menyerah diri. Mereka menghantar seorang utusan bagi berunding tentang nasib mereka.

"Kami pohon supaya kami tidak dibunuh. Kami mahu keluar dari Madinah dengan membawa barang-barang kami," kata utusan keturunan Nadir.

"Baiklah. Semua senjata kamu perlu diserahkan pada saya. Hanya barangan yang mampu dipikul oleh unta sahaja boleh dibawa. Selebihnya ditinggalkan," Nabi setuju dengan permintaan orang Yahudi keturunan Nadir.

Akhirnya orang Yahudi keturunan Nadir meninggalkan Madinah atas kesilapan mereka sendiri. Mereka berpindah ke sebuah kawasan bernama Khaibar, utara semenanjung Arab dan ketua mereka dilantik sebagai pemimpin di Khaibar.

Khaibar adalah sebuah kawasan yang kaya dan hanya orang Islam yang terlibat dalam perjanjian Hudaibiah dibenarkan menyertai pasukan tentera Islam ke Khaibar.

Tentera Islam menyerang kubu Nazar yang menempatkan kaum wanita dan kanak-kanak dengan menggunakan manjanik, alat melontar batu dan kereta kebal Yahudi.

mayat tentera Yahudi

Nabi memerintahkan serangan dilakukan dari dua hala. Tembok kubu dipecahkan oleh pelontar manjanik. Tentera lain menyerang kubu sebelah pula. Tentera Yahudi kelam kabut dengan serangan itu.

Akhirnya tentera Islam berjaya memasuki kubu Nazar dan menawannya. Tentera Yahudi yang masih hidup melarikan diri meninggalkan anak dan isteri mereka ke kubu terakhir di kawasan Khatibah.

Bilal bin Rabab membawa dua orang wanita bangsawan Yahudi Khaibar yang ditawan oleh Nabi Muhammad.

Salah seorang wanita menjerit melihat mayat-mayat tentera Yahudi bergelimpangan di sepanjang jalan menuju ke arah khemah nabi. Seorang lagi hanya mendiamkan diri mengikut jejak Bilal bin Rabab. Wanita yang mendiamkan diri itu ialah Safiyah binti Huyai dan seorang lagi adalah sepupunya.

"Jaga wanita yang asyik menjerit itu," kata Nabi kepada pengawalnya.

"Bilal, mengapa kamu sanggup membawa kedua wanita itu meredah jalan yang dipenuhi dengan mayat-mayat dari keturunan mereka?" Nabi berasa kesal dengan tindakan Bilal itu.

"Kamu mahu memeluk agama Islam?" tanya Nabi kepada Safiyah yang berdiri tenang di hadapannya.

"Ya, Rasulullah," jawab Safiyah dengan pantas. "Mengapa kamu mahu memeluk agama Islam?"

"Apabila Rasulullah tiba di Madinah pada awal perpindahan, ayah saya dan pakcik saya, Yasir telah pergi melihat kamu. Apabila mereka pulang, mereka menceritakan tentang diri kamu," Sufiyah menerangkan kepada nabi.

"Apabila ayah saya bertanya kepada pakcik saya, adakah kamu ini nabi yang disebutkan dalam kitab Taurat. Dia mengiyakan dan berazam memusuhi kamu selama-lamanya, Safiyah menyambung kata-katanya.

Nabi gembira mendengar penjelasan Safiyah lalu mengambil Safiyah sebagai isterinya. Safiyah melayari bahtera rumah tangga bersama Nabi Muhammad selama empat tahun sebelum Rasulullah meninggal dunia.

Safiyah hidup menjanda selama 39 tahun sebelum meninggal dunia ketika berusia 60 tahun pada tahun 50 Hijrah. Begitulah kisah seorang tawanan Perang Khaibar yang dimuliakan oleh Nabi Muhammad.

Mikraj ke Sidratul Muntaha

PERISTIWA Israk dan Mikraj (perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram menuju Masjidil Aqsa, kemudian ke Sidratul Muntaha) yang diabadikan di dalam al-Quran merupakan satu proses pengukuhan dan penyucian kerohanian Rasulullah pada masa lalu.

Ia sekali gus menjadi ‘peristiwa agung’ yang mengandungi makna yang besar untuk dihayati oleh umat baginda pada masa kini.

Hanya dalam satu malam, Allah SWT mencipta perjalanan Rasulullah SAW untuk melihat sebahagian tanda-tanda kebesaran-Nya; mulai dari proses penciptaan alam semesta hingga ditetapkannya perintah solat. Berjuta misteri dan keajaiban menyelubungi perjalanan suci yang dilakukan dengan jasad dan roh Rasullullah SAW dalam keadaan jaga itu (bukan mimpi).

Perjalanan ini memiliki makna yang sangat khusus, terutama bagi diri Rasulullah.

Ia berlaku kerana Allah hendak menunjukkan kepada Muhammad tentang tanda-tanda kekuasaan-Nya, seperti yang disebut dalam al-Quran: Agar Kami tunjukkan kepadanya sebahagian tanda-tanda kekuasaan Kami (Surah Al-Isra ayat 1).

Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda kekuasaan Tuhannya yang paling benar (Surah Najm ayat 18).

Meskipun terdapat jurang perbezaan pendapat yang agak luas mengenai sejarah peristiwa Israk dan Mikraj, terutama yang berkaitan dengan ketepatan hari dan bulan serta tahun terjadinya peristiwa agung itu, namun dunia Islam keseluruhannya memperingati tarikh 26 Rejab (malam 27 Rejab) setiap tahun sebagai tarikh penuh bermakna.

Banyaknya pendapat yang membahaskan perihal Israk dan Mikraj ini telah mencipta ruang polemik tersendiri dalam periwayatan ‘perjalanan agung’ tersebut. Di antaranya yang berkaitan dengan hakikat dan latar belakang Israk dan Mikraj, perjalanan fizikal dan roh Rasulullah SAW dalam keadaan jaga, buraq yang dinaiki Nabi SAW, pertemuan Rasulullah dengan para nabi, misteri pintu-pintu langit, rahsia Sidratul Muntaha, perintah solat, dan hikmah-hikmah besar Israk Mikraj.

Sebagai contohnya tentang hakikat buraq dimana sifat-sifatnya menjadi perbincangan menarik sepanjang masa. Timbul pertanyaan pada setiap Muslim kenapa dalam perjalanan Israk dan mikraj nabi harus ada perantara (wasilah) Buraq dan bukan binatang lainnya. Walhal tanpa media Buraq pun Allah SWT berkuasa untuk menperjalankan Nabi SAW dalam perjalanan yang agung ini.

Dalam hal itu maka pendapat yang diyakini jumhur ulama adalah pendapat yang paling baik untuk diikuti. Kita harus menolak dalil-dalil yang sesat dan sebaliknya mengunakan dalil yang sahih sebagai dasar pegangan bagi menunjukkan nilai-nilai keislaman dan sikap keberagamaan.

Sayyid Qutub dalam kitabnya yang terkenal, Fi Zhilal al-Quran menyatakan, ‘‘Perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa adalah perjalanan yang murni pilihan daripada Zat Yang Maha Kasih dan Maha Lembut, yang menghubungkan akar kesejarahan agama-agama besar dari zaman Nabi Ibrahim dan Ismail hingga Nabi Muhammad SAW.

Demikian pula, perjalanan agung ini menghubungkan akar sejarah tempat-tempat suci bagi agama tauhid (agama-agama monoteisme) yang besar sepanjang masa. Perjalanan ini adalah untuk memberitahu seluruh manusia bahawa Muhammad adalah nabi dan rasul terakhir yang menjadi pewaris agama-agama tauhid terdahulu.


Muhammad

Begitu juga dengan Israk Mikraj tersebut, menjadikan Muhammad sebagai penutup seluruh Nabi dan rasul-Nya. Israk Mikraj adalah perjalanan yang menembus dimensi ruang dan waktu, serta memiliki makna yang lebih luas dan mendalam.

Banyak berlaku perdebatan yang terus berlanjutan, antaranya: apakah perjalanan Israk Mikraj itu dengan roh sahaja atau dengan roh dan jasad? Hampir majoriti ulama mengatakan bahawa ia terjadi dengan jasad dan roh. Pandangan yang mengatakan hanya dengan roh tidak begitu popular di kalangan umat Islam.

Sebenarnya, peristiwa Israk dan Mikraj hanya disebut secara umum dan sekilas saja di dalam al-Quran. Rasulullah tidak banyak meninggalkan hadis yang berbicara tentang perjalanan agung itu. Bagaimanapun, kenyataan yang terjadi sekarang ini menunjukkan bahawa hadis yang hanya sedikit itu telah berubah menjadi banyak, bahkan melahirkan tafsir-tafsir baru tentang Israk dan Mikraj.

Ia menunjukkan secara jelas tentang adanya penambahan atau penceritaan versi baru yang lahir dari perawinya dan sama sekali tidak berkaitan dengan sabda Rasulullah atau dari dalil-dalil yang sahih.

Sejarah membuktikan banyak kitab yang membahaskan tentang perjalanan kenabian dan menunjukkan sedikitnya hadis yang membicarakan perihal Israk Mikraj. Setidak-tidaknya ia dapat dilihat dalam kitab As-Sirah karya Muhammad Bin Ishaq (85 H -151 M). Kitab ini adalah karya tertua dan pertama yang berisi dalil-dalil sahih atau dapat dipertanggungjawabkan bagi membicarakan perihal Israk dan Mikraj.

Setelah itu lahir banyak karya atau tulisan yang membahaskan Israk dan Mikraj disertai dengan penambahan hadis-hadis yang dari segi kesahihannya tidak dapat dipertanggungjawabkan.

Dengan demikian, maka lahirlah pula pemikiran dan tafsiran yang menyatakan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj itu tidak hanya berlaku sekali tetapi ia berlaku beberapa kali, sekali dengan jisim (tubuh) baginda Rasulullah SAW, selebihnya dengan roh.

Dalam hal ini perlu ditegaskan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj memerlukan kajian yang mendalam dan usaha yang bersungguh untuk meneliti hadis-hadis palsu yang dikaitkan dengan perjalanan agung Rasulullah SAW tersebut. Ini penting untuk generasi yang akan datang agar dapat memahami nilai-nilai Islam yang benar dan fakta yang betul, bukan dongengan atau palsu semata.

Apakah sebenarnya makna-makna tersirat yang dapat dikutip dan seterusnya dihayati daripada peristiwa Israk dan Mikraj itu? Kenapa harus Israk dan Mikraj dan bukan mukjizat lain yang ditunjukkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW? Dan apa yang lebih penting ialah untuk melihat apakah kaitan peristiwa ini dengan keadaan yang menyelimuti diri Rasulullah ketika peristiwa itu terjadi.

Realiti sejarah membuktikan bahawa tiada seorang pun dari kalangan orang musyrik dan kafir yang percaya akan kejadian Israk dan Mikraj ini.

Para ulama merumuskan bahawa sebab dan hikmah daripada Israk dan Mikraj adalah untuk menghiburkan Rasulullah SAW yang ketika itu dilanda kesedihan kerana kematian bapa saudara, Abu Talib serta isteri kesayangan baginda, Khadijah, juga di samping penentangan masyarakat Taif terhadap usaha dakwah baginda yang hampir-hampir meragut nyawanya.

Tahun yang dianggap tahun kesedihan ini akhirnya dengan kekuasaan Allah SWT telah ‘mengisrak mikrajkan’ Rasulullah SAW. Allah SWT telah menperjalankan hamba-Nya untuk memperlihatkan tanda- tanda kekuasaan-Nya. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah melihat sebahagian tanda- tanda kekuasaan Tuhan Yang Maha Agung.

Ini bermakna hikmah peristiwa Israk dan Mikraj itu adalah khusus bagi diri peribadi Rasulullah dan dengan perjalanan ini diharapkan dapat mengubati atau menghibur hati yang luka itu.

Sheikh Thanthawi Ahmad Umar menyatakan dalam majalah Mimbar al-Islam, “Ketika Rasulullah kembali dari perjalanan agung tersebut, baginda kelihatan begitu ceria, bersemangat dan bahagia. Kedukaan, kepedihan benar-benar telah lenyap dalam diri Rasulullah SAW.” Malah dikatakan bertambah yakinlah Rasulullah akan kekuasaan Allah dan ini memberi semangat yang lebih kuat untuk meneruskan tugas kenabiannya.

Namun begitu, ada juga yang mengatakan peristiwa tersebut tiada kaitan dengan ‘tahun kesedihan’ Rasulullah kerana sesungguhnya peristiwa itu terjadi semata-mata atas kehendak Allah SWT, sesuai dengan kekuasaan dan kudrat-Nya. Ia merupakan sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaa-Nya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.

Mohd Shauki Abd Majid
Penulis adalah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Hizbullah bangunkan semula Lebanon

Oleh HELMI MOHD. FOA

ABU HASSAN Musulmani dan isterinya, Ummu Hassan Musulmani sayu menatap foto dua anak lelaki mereka - Hassan, 24, dan adiknya Ali, 22. Kedua-dua anak kesayangan mereka ini tiada lagi di sisi kerana terkorban di perbatasan selatan Lebanon ketika menentang tentera rejim Israel pada perang yang meletus pada Julai 2006.

Namun di sebalik garis wajah kesayuan itu, kedua-duanya tidak menyesal dengan pemergian Hassan dan Ali buat selama-lamanya itu. Malah pemergian kedua-dua anak lelaki yang menjadi harapan dan tunggak keluarga, menjadi kebanggaan keluarga syuhada itu yang mendiami sebuah pangsapuri sederhana di pinggir Beirut.

Kunjungan penulis ke rumah keluarga syuhada itu, Februari lalu terasa masih segar apatah lagi bulan ini (Julai) genaplah tiga tahun serangan dahsyat rejim Israel itu ke atas Lebanon.

Ternyata emosi pasangan suami isteri itu amat kuat, apabila tiada setitis air mata pun yang membasahi pipi ketika mengimbau kisah dan detik-detik kematian kedua-dua anak mereka itu.

Abu Hassan yang sudah menjangkau usia 50-an sebaliknya dengan bersemangat memberitahu: "Kalau Israel menyerang lagi, saya bersama tiga lagi anak, semua akan turun sekali lagi untuk melawan rejim itu. Menang atau kalah bukan soalnya lagi".

Kata-kata semangat yang sama turut dilafazkan isterinya, yang sama sekali tidak gentar untuk menyertai peperangan pada masa depan sekali pun menghadapi risiko kehilangan anak-anaknya buat kali kedua atau dirinya sendiri.

Seluruh keluarga tersebut merupakan 'anggota-anggota tentera' yang berperang dalam Perang Tammuz termasuk Ummu Hassan bertugas sebagai tukang masak kepada para pejuang Hizbullah.

Ketika ribuan warga Lebanon termasuk mereka yang sudah mendapat kewarganegaraan asing menyelamatkan diri keluar dari negara itu, Abu Hassan sekeluarga pulang ke kampung halaman mereka di Selatan Lebanon bagi mempertahankan negara daripada serangan Israel.

"Kami bertiga berada di barisan hadapan bersama-sama para pejuang Hizbullah yang lain, bertempur berdekatan sempadan wilayah Palestin yang dijajah (Israel), selama 30 hari.

"Sepanjang tempoh itu, pertempuran begitu sengit sehinggakan kami terkepung tanpa bekalan makanan dan air bersih," kata Abu Hassan dengan penuh emosi.

Dalam pertempuran itulah, Abu Hassan bertukar nada perlahan memberitahu, anaknya Hassan mengalami cedera parah.

"Saya begitu pilu melihatkan keadaan Hassan namun sempat memberikannya minum sedikit air. Namun anak saya itu meminta saya segera pergi menyelamatkan diri kerana merasakan dia akan menemui syahid.

"Walaupun sedih dengan permintaannya itu namun saya terpaksa 'keraskan hati' meninggalkan Hassan yang sempat berpesan agar saya meneruskan perjuangan dan itulah kata-kata akhirnya yang sehingga kini masih segar dalam ingatan.

"Jenazah anak saya itu terpaksa dibiarkan di medan perang sehinggalah perang tamat. Selepas tamat, barulah kami bawa jenazah Hassan ke Beirut untuk dikebumikan," ujarnya dalam nada berbaur pilu.

Menurut bapa yang tabah ini, setelah gencatan senjata, ramai jiran dan saudara mara menangisi kesyahidan kedua-dua anak lelakinya yang gagah berani itu.

"Tetapi mujurlah Allah anugerahkan saya ketabahan hati sehinggakan saya pula yang berusaha menceriakan tetamu yang menziarahi rumah saya itu.

"Kami mencintai syahid kerana ia adalah garisan perjuangan ahlul bait (ahli syurga), pengalaman kesyahidan sebagaimana yang dilalui oleh Imam Hussein," katanya sambil jari jemarinya perlahan-lahan mengusap foto kedua-dua anak kesayangannya itu.

Kisah Abu Hassan dan keluarganya melambangkan ketabahan rakyat Lebanon ketika menghadapi kekejaman Israel yang hingga kini terus menjadi ancaman kepada keamanan negara-negara Asia Barat itu.

Ternyata pengorbanan mereka tidak sia-sia apabila Israel malu besar setelah gagal mencapai matlamat perang pada 2006 itu.

Rejim itu tidak dapat menguasai hatta seinci pun tanah Lebanon. Meskipun mereka sempat sampai di sekitar Sungai Litani dan jauh sekali berjaya melumpuhkan sistem pertahanan Hizbullah.

Sebaliknya hanya menyaksikan tentera Israel meraung-raung bagaikan bayi yang kelaparan di Bint Jbeil, iaitu salah satu medan pertempuran paling sengit dalam perang itu.

Hizbullah berjaya memusnahkan 38 Merkava dan merosakkan 82 kereta kebal yang menjadi kebanggaan Israel selain menghancurkan kapal perang rejim itu di perairan laut Lebanon.

Sedangkan Israel dengan segala kekuatan yang ada sanggup membunuh lebih 1,000 rakyat Lebanon yang tidak berdosa. Ia melalui serangan udara semata-mata untuk mendapatkan semula dua tentera Israel yang ditawan Hizbullah dalam operasi dinamakan 'Janji yang Benar' di selatan Lebanon.

Janji yang benar itulah yang sering dilaung-laungkan berulang kali oleh Setiausaha Agung Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah.

Beliau dijadual menyampaikan pidatonya secara langsung hari ini (Jumaat) bagi meraikan ulang tahun ketiga perang itu dalam apa yang disifatkan sebagai kejayaan Operasi 'Haji Redwan'.

Ini kerana hasil perang Julai 2006 itu, Hizbullah berjaya melunaskan janjinya kepada rakyat negara itu untuk membebaskan para pejuang termasuk Shamir Kuntar yang telah merengkok kira-kira 30 tahun dalam penjara Israel.

Seperti biasa, Sayyed Hassan tidak muncul di khalayak, sebaliknya akan berucap dari lokasi yang dirahsiakan

Pidato beliau yang pastinya lantang berapi-api itu, dipancarkan melalui skrin-skrin besar dan disiarkan secara langsung oleh Stesen Televisyen al-Manar.

Sebelum ini, Stesen TV al-Manar pernah menjadi sasaran Israel malah turut mengadakan sekatan dan menghalang liputan media asing ke atas kekejaman rejim itu dalam perang di Genting Gaza, Disember lalu.

Pengurus Besar Stesen TV Al-Manar, Abdullah Qasir berkata, sekatan ke atas media itu ternyata gagal kerana beberapa unit stesen televisyen termasuk al-Manar telah lama beroperasi dari dalam wilayah Gaza yang dikuasai pergerakan Hamas.

"Sekatan itu tidak berjaya bahkan terdapat stesen televisyen yang lain seperti al-Aqsa dan al-Jazeera, ia ternyata memberikan sumbangan dalam mendedahkan keburukan dan wajah sebenar Israel.

"Ia juga telah mengubah pandangan dunia tentang konflik di Palestin," katanya.

Beliau yang juga bekas ahli Parlimen Lebanon berkata, al-Manar menjadi sasaran Israel sehingga ibu pejabatnya ranap dibom dalam serangan udara pada 2006 berikutan berita-berita yang disiarkan tidak menyenangkan rejim tersebut.

"Kami jadi sasaran kerana menyiarkan laporan tentang para syuhada yang terkorban, kapal terbang dan kereta kebal Israel yang berjaya dimusnahkan, itu semua tidak menyenangkan Israel," katanya sambil menambah siaran al-Manar turut ditonton di wilayah haram Israel.

Di sebalik cabaran berkenaan, Abdullah menegaskan, al-Manar akan terus berusaha meneruskan siarannya mengenai laporan berkaitan penentangan terhadap kekejaman Israel selain rancangan agama, keluarga dan remaja serta berita semasa.

"Sekiranya Hizbullah mengambil inspirasi perjuangan cucu Rasulullah SAW, Saidina Hussein maka kami berperanan sebagainya adiknya, Sayyidah Zainab yang bertanggungjawab memberikan penerangan bagi mencetuskan kebangkitan.

"Meskipun ada cabaran dan halangan, kami akan terus membuat liputan," tegasnya.

Justeru ucapan Sayyed Hassan yang disiarkan oleh al-Manar hari ini amat ditunggu-tunggu oleh rakyat Lebonan malah seluruh dunia termasuk musuh tradisinya, Israel.

Yang pasti, terdapat mesej penting untuk disampaikan. Ini mengingatkan penulis ketika Sayyed Hassan 'muncul' di Bandar Dauhiah, Selatan Beirut, berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Rafiq Hariri pada 16 Februari lalu.

Sebahagian besar penduduk Dauhiah - bandar yang dibangunkan oleh pelbagai organisasi Hizbullah, terpaku di depan kaca televisyen mendengar ucapan Sayyed Hassan pada satu majlis di Kompleks Syuhada.

Penulis ketika itu memilih untuk menonton sahaja melalui saluran al-Manar semasa singgah di sebuah kedai roti setelah dimaklumkan jalan ke pusat perhimpunan itu sudah penuh sesak.

Di hadapan puluhan ribu rakyat Lebanon , Sayyed Hassan ternyata mengambil kesempatan majlis tahunan 16 Februari setiap tahun iaitu hari memperingati para syuhada untuk menyampai mesej-mesej penting.

Mesej oleh Sayyed Hassan itu lebih menarik perhatian apabila Hizbullah kian mendapat tempat dari segi pengaruhnya dalam kerajaan dan sokongan politik serta moral daripada dunia Arab dan Islam.

Sebelum ini, di bawah pimpinan Sayyed Hassan, penentangan Hizbullah memaksa Israel mengundurkan tenteranya dari Selatan Lebanon pada tahun 2000.

Sayyed Hassan menganggap, kejayaan Hizbullah dalam tempoh lebih 20 tahun setelah penubuhannya pada 1982 adalah hasil sumbangan para syuhada mereka yang perlu diingati.

Tiga tokoh syuhada yang cukup dikenang antaranya ialah Sheikh Ragheb Harb yang terkorban pada 16 Februari 1984.

Lapan tahun kemudian Setiausaha Agung Hizbullah, Sayyed Abbas Musawi terkorban dalam serangan Israel dan yang terbaru, pembunuhan komander tertinggi tentera Hizbullah, Imad Mughniyah di Damsyik, Syria pada 12 Februari 2008 yang dipercayai dilakukan oleh agen Israel.

Kata Sayyed Hassan, pengorbanan para syuhada itu telah memulangkan semula tanah dan rumah para penduduk Marjayoun, Hasbaya, Shebaa dan Bint Jbeil.

Paling memberi kesan adalah pembunuhan Imad atau 'Haji Redwan' yang disifatkan Hizbullah sebagai memberi kesan yang menakutkan bagi Israel.

Ini kerana Imad ialah tokoh yang diibaratkan sebagai 'tangan kanan' Sayyed Hassan. Imad dipercayai bertanggungjawab merancang strategi pertahanan Hizbullah sebelum tercetus perang 2006.

Selepas perang itu, Imad dikatakan meminta kebenaran Syed Hassan untuk turun padang membuat persiapan menghadapi serangan Israel akan datang dalam tempoh setahun.

Dalam tempoh itu, Imad dipercayai berjaya melengkapkan segala persiapan termasuk perancangan membabitkan Palestin dan kerjasama dengan Syria.

Meskipun Hizbullah dilihat tidak membantu pejuang Hamas dalam serangan ganas Israel selama 22 hari ke atas Genting Gaza, Palestin pada Disember 2008, namun dipercayai kemampuan Hamas mempertahankan kedudukannya mempunyai kaitan dengan perancangan oleh Imad.

Justeru, kematian Imad begitu digeruni Israel kerana ia boleh membuatkan Hizbullah meningkatkan penentangannya ke atas rejim itu.

Ini dapat dilihat apabila Sayyed Hassan secara terbuka menyatakan Hizbullah tidak lagi gentar dengan serangan-serangan udara Israel.

Bagi memastikan wujud keseimbangan dalam konflik akan datang, Hizbullah mempertahankan haknya mendapatkan senjata bagi mempertahankan diri termasuk sistem anti pesawat sebagai pelengkap pertahanan darat dan lautnya.

Pada saat ini, Hizbullah sedang bertungkus lumus membina semula rumah-rumah rakyat Lebanon yang musnah dan rosak teruk angkara bom tentera Israel pada perang 2006 itu.

Perintah jangan berpecah belah

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Allah telah menerangkan pada ayat terdahulu keengganan sebahagian ahli Kitab dan berterusan mereka dalam kejahatan dan menyekat mereka jalan hidayat untuk sampai ke dalam hati mereka.

"Di samping itu, cabaran mereka terhadap kebenaran dan pengikutnya. Dan keengganan mereka untuk bukti yang sabit yang tidak boleh dinafikan kemudian mereka melampaui batas tersebut dan menentang orang yang beriman. Lantas ia meniupkan roh perpecahan dan kembali kepada zaman jahiliah.

"Pada ayat ini Allah menerangkan kepada orang beriman tali yang kukuh tidak sesat supaya mereka berpegang dengannya iaitu dengan takwa kepada Allah SWT".

Ayat ke-102:

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Sebab Nuzul.

Ikrimah berkata, ayat ini diturunkan kepada Aus dan Khazraj ketika mereka hampir berperang, kemudian Nabi SAW mendamaikan mereka.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir meriwayatkan daripada Anas r.a katanya: "Seorang hamba tidak bertaqwa kepada Allah dengan sebenarnya sehingga lidahnya dipelihara daripada maksiat".

ii. Ibn Jauzi berkata: "Perkataan takwa yang sebenarnya mempunyai tiga pendapat:

lDitaati tanpa diderhaka, diingati tanpa dilupa dan disyukuri tanpa dikufuri. Inilah pendapat Ibn Mas'ud, al-Hasan, Ikrimah, Qatadah dan Muqatil.

lBerjihad pada jalan Allah dengan sebenar-benarnya tanpa merasa takut kepada celaan dan berlaku adil walaupun terhadap diri sendiri, ibubapa dan anak-anak mereka. Inilah pendapat Ibn Abi Talhah daripada Ibn Abbas RA.

lIa bertakwa apa yang menjadi hak ke atas kamu. Inilah pendapat al-Zajjaj.

iii. Ibn Mas'ud berkata, pengertian takwa kepada Allah SWT ialah taat kepada-Nya, tidak menderhakai-Nya, mensyukuri-Nya, tidak mengingkari-Nya, mengingat-Nya serta tidak melupakan-Nya.

iv. Ibn Abbas r.a berkata, pengertian takwa adalah berjihad pada jalan Allah SWT dengan jihad yang sungguh-sungguh dan tidak mudah terpengaruh apabila dicela oleh seseorang ketika melaksanakan agama Allah.

Menegakkan keadilan semata-mata kerana Allah SWT termasuk terhadap diri sendiri, bapa dan ibunya.

v. Ibn Abbas r.a pula menafsirkannya begini: "Hendaklah Tuhan itu ditaati, jangan diderhakai, disyukuri jangan dikufuri dan diingati jangan dilupai".

vi. Mujahid menafsirkannya: "Hendaklah kamu berjuang pada jalan Allah dengan sebenar-benarnya, jangan melakukan sesuatu pada jalan Allah yang menjadi celaan orang, dan berlakulah adil pada jalan Allah walaupun terhadap diri sendiri, terhadap ibubapa dan anak-anak kamu".

Ayat ke-103

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan berpegang teguhlah kamu sekelian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Jauzi dalam Zad al-Masir berkata, tali Allah mempunyai enam pendapat:

lKitab Allah iaitu al-Quran. Inilah pendapat Shaqiq daripada Ibn Mas'ud, Qatadah, al-Dhahaq

lJemaah. Inilah pendapat al-Sya'bi daripada Ibn Mas'ud.

lAgama Allah. Inilah pendapat Ibn Abbas, Ibn Zaid, Muqatil dan Ibn Qutaibah.

l Perjanjian Allah. Inilah pendapat Mujahid, 'Ata', Qatadah dan Abu 'Abid.

l Ikhlas. Inilah pendapat Abu al-'Aliah.

l Perintah Allah dan ketaatannya. Inilah pendapat Muqatil bin Hiyan.

Berkenaan dengan jangan kamu berpecah belah ada dua pendapat seperti kata al-Mawardi:

lDaripada agama Allah yang diperintahkan untuk beriltizam dengan jemaah. Inilah pendapat Ibn Mas'ud dan Qatadah.

lDaripada Rasulullah SAW.

ii. Al-Syauqani berkata, mudah-mudahan kamu mendapat petunjuk ke arah ketetapan atas hidayah dan bertambah hidayahnya.

iii. Al-Maraghi berkata, perselisihan yang terjadi antara manusia ada dua jenis:

l Perselisihan yang tidak dapat dihindarkan dan tidak mungkin dapat dielakkan iaitu perselisihan pendapat dan fahaman. Hal ini sudah dianggap fitrah manusia.

Hawa nafsu

Perselisihan inilah yang dinyatakan oleh firman-Nya yang bermaksud: Dan kalaulah Tuhanmu (Wahai Muhammad SAW) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan tetapi orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu…(Hud: 118-119) kerana akal dan pemahaman tidak sama.

Contohnya dalam satu keluarga, ahli-ahli juga berbeza pendapat dalam menyelesaikan masalah. Begitu juga dalam hal mencintai sesuatu dan perselisihan jenis ini tidaklah dianggap merbahaya.

Perselisihan yang dianggap serius yang diusahakan oleh semua agama untuk menghapuskannya. Perselisihan ini bersumberkan fikiran dan hawa nafsu yang ingin menetapkan hukum-hukum agama dan kepentingan hidup.

iv. Al-Sonhadji berkata: "Tali Allah di sini ialah agama-Nya yang menuju ke jalan yang lurus. Dan dilarang kamu berpecah-belah, yakni jangan berselisih di antara kamu sesama Islam kelak membawa ke jalan yang sebaliknya iaitu jalan yang ditegah oleh Allah".

Di antara jalan-jalan perselisihan dan perpecahan ialah menubuhkan kumpulan atau parti-parti berdasarkan semangat berpuak-puak kerana taksubkan bangsa. Masing-masing memandang sukunya atau bangsanya lebih daripada yang lain dan hendak mengalahkan lawannya seperti dibayangkan oleh Tuhan terhadap suku Aus dan suku Khazraj banyak kita saksikan berlaku pada masa ini.

Oleh yang demikian, perkara-perkara yang membawa kepada perpecahan hendaklah dijauhi.

v. Muhammad Quraish Shihab berkata, perintah mengingat nikmat-Nya merupakan alasan atau dalil yang mengharuskan mereka bersatu padu, berpegang teguh dengan tuntutan Ilahi.

Ini bertepatan dengan al-Quran yang kebiasaannya apabila memerintahkan sesuatu atau melarangnya akan disertakan dalil dan alasan atau sekurang-kurangnya menyuruh manusia berfikir. Ini bersangkutan dengan bab akidah, fikah dan lain-lain.

Ayat-ayat yang telah kita bincangkan jelas menunjukkan beberapa arahan Allah supaya kita benar-benar melaksanakannya seperti takwa, Islam, berpegang teguh dengan tali Allah, tidak berpecah belah dan sentiasa zikrullah.

Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang mendapat hidayah Allah. Amin.

Kaedah solat jamak dan qasar

SOALAN:

Jika saya pergi ke luar daerah lebih daripada satu hari, bolehkah saya solat jamak dan qasar?

JAWAPAN:

Sembahyang jamak adalah menghimpunkan dua solat dalam satu waktu. Adakalanya jamak itu dinamakan jamak ta'khir dan adakalanya dinamakan jamak taqdim.

Jamak taqdim ialah mengerjakan sembahyang dalam waktu yang sebelumnya misalnya sembahyang Asar dilakukan pada waktu Zuhur sesudah mengerjakan sembahyang Zuhur.

Jamak ta'khir pula ialah menjamakkan sembahyang dalam waktu sesudahnya, misalnya sembahyang Zuhur dikerjakan sesudah sembahyang Asar atau sembahyang Maghrib sesudah Isyak.

Adapun yang boleh dijamakkan ialah sembahyang siang sama sembahyang siang seperti Zuhur dan Asar, dan sembahyang malam sama sembahyang malam seperti Maghrib dan Isyak.

Tidak boleh menjamakkan sembahyang siang dengan sembahyang malam begitu juga sebaliknya. Sembahyang Subuh tidak boleh dijamakkan.

Solat jamak dan qasar adalah rukhsah pemberian Allah untuk musafir. Pendapat yang lebih kuat ialah ia untuk musafir yang tidak bertujuan maksiat.

Namun bagi isu penetapan tempoh yang dibolehkan solat jamak dan qasar bagi musafir sebenarnya tiada dalil sahih lagi jelas berhubung dengannya.

Hukum Solat Qasar

Wujud pelbagai perbezaan pendapat mengenai permasalahan solat qasar. Perbezaan ini bersumber daripada kepelbagaian riwayat hadis dan athar (riwayat) yang datang daripada para perawi di kalangan sahabat Rasulullah SAW.

Apa yang dilakukan oleh segolongan masyarakat yang berada di luar negeri atau negara, yang selalu mengqasar dan menjamak solat, adalah berdasarkan pengetahuan yang dia miliki daripada seseorang.

Justeru, apa jua perbezaan pendapat yang berlaku diharapkan tidak mengakibatkan tali persaudaraan sesama saudara Muslim menjadi retak.

Perlu difahami bahawa permasalahan perbezaan pendapat di atas adalah permasalahan fiqh. Dan ia merupakan suatu yang perlu diterima dan kita dituntut untuk berlapang dada dan berbesar hati dalam meraikan perbezaan yang berlaku. Apa yang pasti sebagai umat Islam kita berusaha menjadikan dalil yang kuat sebagai landasan amal ibadah kita.

Keterangan mengenai qasar solat telah difirmankan oleh Allah SWT dalam al-Quran surah al-Nisa' ayat 101 yang bermaksud: Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa 'mengqasarkan' (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.

Dalam ayat ini, mengqasar solat dikaitkan dengan "apabila takut dengan musuh."

Ketika turun ayat ini, para sahabat merasa hairan, adakah masih dibolehkan untuk mengqasar solat jika keadaan aman dan tenteram?

Justeru, ketika persoalan ini diajukan oleh sahabat kepada Rasulullah, maka baginda SAW bersabda: "Ia adalah sedekah dari Allah SWT, maka terimalah sedekah-Nya".

Aisyah r.a berkata: "Selama di Mekah, kewajipan solat adalah dua rakaat dua rakaat. Kemudian, ketika Rasulullah SAW datang ke Madinah, di tambah dua rakaat dua rakaat untuk setiap solat, kecuali maghrib, kerana ia adalah solat witir untuk siang hari, dan solat subuh kerana panjang bacaannya."

Rasulullah SAW ketika safar (musafir), baginda melakukan solat yang pertama (solat ketika masih di Mekah; dua rakaat dua rakaat).

Mengenai hukumnya pula, sebahagian ulama seperti mazhab Hanafi mengatakan wajib. Mazhab Maliki pula mengatakan sunah muakkad. Sedangkan Syafi'e dan Hanbali mengatakan boleh, ertinya dalam keadaan safar, mengqasar solat lebih baik daripada menyempurnakan.

Solat qasar tidak ada masalah dari segi hukum kerana ia memang disyariatkan.

Perincian bagaimana batasan-batasan solat qasar, bila seseorang boleh mengqasar solat, adalah berdasarkan butiran berikut:

l Jauhnya perjalanan yang disyariatkan qasar.

Fiman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 101 yang bermaksud: Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.

Dari ayat di atas, tidak ada batas tertentu tentang jarak safar (bermusafir), sehingga berapapun jarak tempoh safar, dekat atau jauh, seseorang boleh melakukan qasar.

Ibn Mundzir, menghimpun beberapa riwayat mengenai hal ini, di antaranya:

l Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Muslim, dari Yahya ibn Yazid berkata: Aku bertanya kepada Anas ibn Malik tentang mengqasar solat? Anas berkata: Dahulu Rasulullah SAW, jika keluar rumah yang jauhnya sampai tiga batu atau satu farsakh maka baginda mengqasar solat.

Ibnu Hajar dalam menerangkan status hadis ini mengatakan bahawa hadis ini adalah hadis yang paling sahih dan jelas, berkenaan dengan masalah ini (masalah jarak perjalanan sehingga diperbolehkan qasar).

l Dari Abu Said al-Khudri berkata: Ketika Rasulullah SAW melakukan safar sejauh satu farsakh, baginda mengqasar solat. (keterangan: satu farsakh>3 batu, satu batu > 1,748m, 3 batu> 5km lebih).

l Adapun pendapat ulama fiqh yang mensyaratkan bahawa boleh mengqasar solat dengan jarak perjalanan tertentu. Hal itu dibantah oleh Imam Khoroqi dalam kitab al-Mugni.

Saya tidak tahu dalil yang digunakan oleh para imam itu (imam-imam fiqh), kerana pernyataan para sahabat banyak yang bertentangan antara satu dengan yang lain, maka tidak boleh dijadikan dalil.

Padahal perkataan dan perilaku Rasulullah SAW telah jelas. Menurut Imam Kharaqi, penetapan syarat perjalanan harus sampai kepada batas tertentu seperti 85 km, adalah tidak bersumber, kerana ia bertentangan dengan perkataan dan perilaku Rasulullah SAW.

Bilakah seseorang itu dianggap musafir?

Seorang musafir disyariatkan mengqasar solatnya selama dia masih dalam safar iaitu jika dia tinggal di suatu tempat (tidak tahu tempoh tinggalnya) untuk menyelesaikan urusannya, maka dia dianggap sebagai musafir. Dalam hal ini boleh dikatakan semua ulama mencapai kata sepakat.

Akan tetapi para ulama berselisih pendapat jika seseorang berniat tinggal di suatu tempat, dengan masa tertentu (dia sudah tahu masa lama tinggalnya).

Ibn al-Qoyyim lebih memilih pendapat bahawa niat tinggal di suatu tempat dengan sudah mengetahui batas waktu tertentu, tidak menghapus keadaannya sebagai musafir selama ia tidak menjadi penduduk setempat.

Dalam hal ini, para ulama mempunyai pendapat sesuai dengan ijtihad masing-masing. Oleh yang demikian, setiap orang yang mempunyai kemampuan untuk mengkaji permasalahan-permasalahan fiqh, maka dia sewajarnya melakukannya, dan mengambil pendapat yang berdasarkan dengan dalil yang kuat.

Namun begitu, bagi orang awam tidak mengapa jika mereka mengikuti pendapat satu mazhab tertentu tanpa harus taksub dengan pendapat itu. Wallahu a'lam.

Memberi zakat kepada orang kaya

SOALAN

Adakah orang kaya layak menerima zakat? Saya keliru memandangkan ada anak-anak jiran yang ibu dan bapa mereka memiliki pendapatan yang besar; namun masih diberikan bantuan zakat?

JAWAPAN

Di dalam perbahasan mengenai agihan zakat, ulama fikah misalnya Dr. Abdullah Nashih Ulwan menyatakan, bahawa orang-orang kaya memang ditegah daripada mendapat agihan zakat.

Ini sesuai dengan sabda Nabi Muhammad SAW kepada Muaz bin Jabal r.a, iaitu: Zakat itu hendaklah dikutip daripada orang-orang kaya dan diagihkan kepada orang miskin di kalangan mereka. (riwayat Bukhari)

Walau bagaimanapun, apa yang dimaksudkan dengan tegahan itu ialah, jika diambil harta zakat itu daripada bahagian (asnaf) fakir dan miskin dan diberikan kepada orang kaya.

Sekiranya diambil daripada asnaf yang lain, misalnya daripada asnaf fisabilillah, maka tidaklah disyaratkan penerimanya seorang yang miskin.

Sehubungan dengan itu, amalan zakat di Malaysia, khususnya di Selangor, setiap orang Islam berhak mendapat bantuan zakat walaupun mereka tidak miskin, misalnya dalam kes hutang rawatan dan membantu melanjutkan pendidikan. Mereka dibantu atas nama asnaf fisabilillah, asnaf gharimin (berhutang) atau asnaf-asnaf lain yang sesuai; bukan atas sifat kemiskinannya. Wallahua'lam.

Kesabaran suami melembutkan Sumayyah

Susunan ZUARIDA MOHYIN

MENGAPAKAH dakwah Rasulullah SAW mudah diterima? Jawapannya sudah tentu disebabkan oleh keperibadian, sahsiah serta penampilan Islamik yang menjadi qudwah atau role model kepada umat manusia.

Hakikatnya, ramai yang terlepas pandang bahawa salah satu kaedah atau uslub dakwah yang paling berkesan ialah dengan contoh teladan atau dalam istilah dakwahnya, bil-hal.

Yang pasti, inilah yang akan memberi nilai tambah kepada khalayak lain, sama ada bukan Islam mahupun segelintir kumpulan atau individu Islam yang sudah jauh dari Islam untuk melihat dan sedar kembali tentang kecantikan Islam itu.

Seorang penulis bebas yang sebelum ini beragama Kristian, Sumayyah Meehan mengakui bahawa keperibadian mulia suami sepanjang tempoh perkahwinan mereka telah menjadi titik tolak kepada penghijrahan akidahnya.

Sedangkan katanya lagi, ketika mendirikan rumah tangga kira-kira 12 tahun lalu, beliau langsung tidak berhasrat bertukar kepada agama anutan suaminya iaitu Islam. Apatah lagi, Islam pada saat itu, sering dilabel secara negatif dan jahat, terutamanya terhadap golongan hawa mereka.

"Siapa sangka, suami saya sendiri adalah sebab yang membawa saya kepada agama Islam. Apa tidaknya, kalau sebelum ini saya melihat Islam dari sisi gelapnya sahaja.

"Tetapi kebaikan, kasih sayang yang ditunjuk dan dilakukan suami mengubah segalanya. Saya bersyukur dianugerahkan jodoh dengan seorang lelaki yang baik dan banyak membimbing.

"Suami saya adalah seorang manusia yang amat memahami dan bersikap begitu toleransi. Jangankan untuk memaksa saya agar mengikut agamanya, jauh sekali mendera mental mahupun fizikal, waima mengetahui keengganan keras saya bergelar muslimah.

"Malah hanya satu sahaja permintaannya sebaik kami bergelar suami isteri iaitu agar saya cuba untuk membaca kitab terjemahan al-Quran.

"Itupun katanya, kalau tidak selalu, dia minta agar saya membukanya sekali-sekala dari semasa ke semasa. Ohh... itu mudah sahaja. Spontan saya bersetuju dengan permintaannya itu," cerita Sumayyah yang dipetik dari laman web islamonline.net.

Kata ibu beranak tiga ini lagi, sebaik bernikah mereka berpindah ke kampung halaman suami di Kuwait, tambahan pula ekonomi di Amerika Syarikat (AS) sedang tidak menentu.

Senario ini sudah pastinya tidak menjanjikan peluang kepada mereka untuk menikmati kehidupan yang selesa dan baik di negara berkuasa besar itu lagi.

"Pada saat kaki menuruni tangga kapal terbang, mahu tidak mahu saya bagai dipaksa untuk berada dalam satu dunia baru yang penuh dengan Islam.

"Daripada orangnya yang majoriti Muslim, adat kebudayaan malah merangkumi cara pemikiran dan tingkah laku mereka semuanya berpaksikan agama Islam.

"Kalau hendak diikutkan hati, mahu sahaja saya lompat balik ke dalam perut kapal terbang dan balik semula ke AS. Saya benar-benar rasa keseorangan, seluruh perasaan dihantui dengan rasa ketakutan yang amat sangat.

"Namun semua itu lenyap apabila suami sentiasa berada di sisi, tidak kira dalam apa juga situasi. Malah dalam soal pemakanan sekali pun, dia berusaha mencarikan makanan yang sesuai dengan selera saya kerana tahu masakan ibunya yang berempah itu agak pedas bagi orang baru seperti saya," terang Sumayyah.

Kongsinya lagi, apabila beliau rindukan ahli keluarga dan kampung halaman, suaminya lah yang berjaga malam menemaninya serta menawarkan diri untuk membawanya pulang AS.

Malah boleh dikatakan dalam apa juga situasi; sakit pening, gembira dan duka dialah insan yang akan memegang tangan Sumayyah untuk mengharungi semua keadaan itu.

"Dialah sahabat baik, tempat mengadu dan bapa kepada anak-anak kami. Bahkan dia turut berjaga malam membancuh susu anak, menggantikan lampin pakai buang, bersabar dengan kerenah nakal anak-anak.

"Bahkan sehingga kepada membantu membasuh pinggan mangkuk, bila melihat saya sudah tidak larat melakukannya.

"Sayangnya, suami Islam yang bertanggungjawab sebegini mendapat gambaran buruk dari media-media Barat. Kebanyakan lelaki dan suami Muslim dilabel atau digambarkan sebagai seorang yang gila kuasa sehingga sanggup memaksa isteri-isteri mereka 'berpakaian Islamik," kata Sumayyah yang juga siswazah dari Kolej Waynesburg dalam bidang keadilan jenayah.

Realitinya, ujar Sumayyah pemakaian sebegitu adalah menurut ajaran sebenar agama Islam seperti mana yang disuruh dalam al-Quran dan sunnah. Hakikatnya, ia bukannya soal isu paksaan ataupun perang amanat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kehormatannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.

Katakanlah kepada orang wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kehormatannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka atau ayah suami mereka..... (al-Nur: 30-31)

"Secara peribadinya, saya datang ke Kuwait bebas dengan pakaian yang saya selesa memakainya iaitu, kemeja T dan seluar jean. Tidak ada siapa dalam keluarga suami malah suami saya juga tidak menegur apa-apa.

"Pun begitu, suami saya tidak pernah berhenti menyuruh saya membaca terjemahan al-Quran. Caranya yang penuh hikmah tetapi kadang-kala terasa seperti membebel berbaloi juga.

"Ini kerana saya akhirnya mula membaca al-Quran dan sejak itu saya semakin tidak puas dan sentiasa mencari ilmu agama.

"Saya mula mencari dan menggali seberapa banyak sumber yang boleh didapati sehinggalah saya temui kebenaran yang selama ini dicari di dalam helaian al-Quran," jelas Sumayyah yang akhirnya mengambil keputusan memeluk Islam.

Sumayyah mahu keputusan besar itu bukan sahaja menjadi transformasi dalaman tetapi turut membawa perubahan secara luaran. Lantas itu, beliau sanggup membeli hijab atau tudung kepala bersendirian.

Malah, suaminya juga adalah guru yang banyak mengajarnya tentang ajaran Islam terutamanya tentang solat dan berpuasa.

Apabila beliau melakukan kesalahan dia menegur dengan lembut dan tidak pernah memarahi Sumayyah, sebaliknya berusaha mencari alternatif lain agar dapat menyampaikan ilmunya supaya lebih mudah difahami isteri tercinta.

"Kesabaran suami memang menakjubkan, manakala saya pula dalam keadaan bertentangan. Apa tidaknya, saya ghairah untuk mengetahui banyak lagi tentang Islam, padahal saya tahu bahawa ia tidak berlaku dalam masa singkat atau satu malam sahaja. Namun apa yang saya inginkan dipenuhi juga.

"Akhirnya, berjaya juga saya menjadi seorang yang penyabar dan tidak cepat menggelabah apabila saya menggunakan pendekatan kehidupan seharian dalam usaha lebih memahami sesuatu perkara itu," kata Sumayyah.

Malah menerusi al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, beliau banyak mempelajari matlamat sebenar kehidupan seorang Muslim.

Hakikatnya, setiap hari Sumayyah sentiasa berusaha melakukan perkara-perkara baik agar menjadi bekalan di hari kemudian yang dijanjikan kekal abadi.

Kini, Sumayyah yang bekerja di bahagian buku-buku Islamik kanak-kanak menetap bahagia di Kuwait bersama suami tercinta dan tiga orang anak mereka.
MENGAPAKAH dakwah Rasulullah SAW mudah diterima? Jawapannya sudah tentu disebabkan oleh keperibadian, sahsiah serta penampilan Islamik yang menjadi qudwah atau role model kepada umat manusia.

Hakikatnya, ramai yang terlepas pandang bahawa salah satu kaedah atau uslub dakwah yang paling berkesan ialah dengan contoh teladan atau dalam istilah dakwahnya, bil-hal.

Yang pasti, inilah yang akan memberi nilai tambah kepada khalayak lain, sama ada bukan Islam mahupun segelintir kumpulan atau individu Islam yang sudah jauh dari Islam untuk melihat dan sedar kembali tentang kecantikan Islam itu.

Seorang penulis bebas yang sebelum ini beragama Kristian, Sumayyah Meehan mengakui bahawa keperibadian mulia suami sepanjang tempoh perkahwinan mereka telah menjadi titik tolak kepada penghijrahan akidahnya.

Sedangkan katanya lagi, ketika mendirikan rumah tangga kira-kira 12 tahun lalu, beliau langsung tidak berhasrat bertukar kepada agama anutan suaminya iaitu Islam. Apatah lagi, Islam pada saat itu, sering dilabel secara negatif dan jahat, terutamanya terhadap golongan hawa mereka.

"Siapa sangka, suami saya sendiri adalah sebab yang membawa saya kepada agama Islam. Apa tidaknya, kalau sebelum ini saya melihat Islam dari sisi gelapnya sahaja.

"Tetapi kebaikan, kasih sayang yang ditunjuk dan dilakukan suami mengubah segalanya. Saya bersyukur dianugerahkan jodoh dengan seorang lelaki yang baik dan banyak membimbing.

"Suami saya adalah seorang manusia yang amat memahami dan bersikap begitu toleransi. Jangankan untuk memaksa saya agar mengikut agamanya, jauh sekali mendera mental mahupun fizikal, waima mengetahui keengganan keras saya bergelar muslimah.

"Malah hanya satu sahaja permintaannya sebaik kami bergelar suami isteri iaitu agar saya cuba untuk membaca kitab terjemahan al-Quran.

"Itupun katanya, kalau tidak selalu, dia minta agar saya membukanya sekali-sekala dari semasa ke semasa. Ohh... itu mudah sahaja. Spontan saya bersetuju dengan permintaannya itu," cerita Sumayyah yang dipetik dari laman web islamonline.net.

Kata ibu beranak tiga ini lagi, sebaik bernikah mereka berpindah ke kampung halaman suami di Kuwait, tambahan pula ekonomi di Amerika Syarikat (AS) sedang tidak menentu.

Senario ini sudah pastinya tidak menjanjikan peluang kepada mereka untuk menikmati kehidupan yang selesa dan baik di negara berkuasa besar itu lagi.

"Pada saat kaki menuruni tangga kapal terbang, mahu tidak mahu saya bagai dipaksa untuk berada dalam satu dunia baru yang penuh dengan Islam.

"Daripada orangnya yang majoriti Muslim, adat kebudayaan malah merangkumi cara pemikiran dan tingkah laku mereka semuanya berpaksikan agama Islam.

"Kalau hendak diikutkan hati, mahu sahaja saya lompat balik ke dalam perut kapal terbang dan balik semula ke AS. Saya benar-benar rasa keseorangan, seluruh perasaan dihantui dengan rasa ketakutan yang amat sangat.

"Namun semua itu lenyap apabila suami sentiasa berada di sisi, tidak kira dalam apa juga situasi. Malah dalam soal pemakanan sekali pun, dia berusaha mencarikan makanan yang sesuai dengan selera saya kerana tahu masakan ibunya yang berempah itu agak pedas bagi orang baru seperti saya," terang Sumayyah.

Kongsinya lagi, apabila beliau rindukan ahli keluarga dan kampung halaman, suaminya lah yang berjaga malam menemaninya serta menawarkan diri untuk membawanya pulang AS.

Malah boleh dikatakan dalam apa juga situasi; sakit pening, gembira dan duka dialah insan yang akan memegang tangan Sumayyah untuk mengharungi semua keadaan itu.

"Dialah sahabat baik, tempat mengadu dan bapa kepada anak-anak kami. Bahkan dia turut berjaga malam membancuh susu anak, menggantikan lampin pakai buang, bersabar dengan kerenah nakal anak-anak.

"Bahkan sehingga kepada membantu membasuh pinggan mangkuk, bila melihat saya sudah tidak larat melakukannya.

"Sayangnya, suami Islam yang bertanggungjawab sebegini mendapat gambaran buruk dari media-media Barat. Kebanyakan lelaki dan suami Muslim dilabel atau digambarkan sebagai seorang yang gila kuasa sehingga sanggup memaksa isteri-isteri mereka 'berpakaian Islamik," kata Sumayyah yang juga siswazah dari Kolej Waynesburg dalam bidang keadilan jenayah.

Realitinya, ujar Sumayyah pemakaian sebegitu adalah menurut ajaran sebenar agama Islam seperti mana yang disuruh dalam al-Quran dan sunnah. Hakikatnya, ia bukannya soal isu paksaan ataupun perang amanat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kehormatannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.

Katakanlah kepada orang wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kehormatannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka atau ayah suami mereka..... (al-Nur: 30-31)

"Secara peribadinya, saya datang ke Kuwait bebas dengan pakaian yang saya selesa memakainya iaitu, kemeja T dan seluar jean. Tidak ada siapa dalam keluarga suami malah suami saya juga tidak menegur apa-apa.

"Pun begitu, suami saya tidak pernah berhenti menyuruh saya membaca terjemahan al-Quran. Caranya yang penuh hikmah tetapi kadang-kala terasa seperti membebel berbaloi juga.

"Ini kerana saya akhirnya mula membaca al-Quran dan sejak itu saya semakin tidak puas dan sentiasa mencari ilmu agama.

"Saya mula mencari dan menggali seberapa banyak sumber yang boleh didapati sehinggalah saya temui kebenaran yang selama ini dicari di dalam helaian al-Quran," jelas Sumayyah yang akhirnya mengambil keputusan memeluk Islam.

Sumayyah mahu keputusan besar itu bukan sahaja menjadi transformasi dalaman tetapi turut membawa perubahan secara luaran. Lantas itu, beliau sanggup membeli hijab atau tudung kepala bersendirian.

Malah, suaminya juga adalah guru yang banyak mengajarnya tentang ajaran Islam terutamanya tentang solat dan berpuasa.

Apabila beliau melakukan kesalahan dia menegur dengan lembut dan tidak pernah memarahi Sumayyah, sebaliknya berusaha mencari alternatif lain agar dapat menyampaikan ilmunya supaya lebih mudah difahami isteri tercinta.

"Kesabaran suami memang menakjubkan, manakala saya pula dalam keadaan bertentangan. Apa tidaknya, saya ghairah untuk mengetahui banyak lagi tentang Islam, padahal saya tahu bahawa ia tidak berlaku dalam masa singkat atau satu malam sahaja. Namun apa yang saya inginkan dipenuhi juga.

"Akhirnya, berjaya juga saya menjadi seorang yang penyabar dan tidak cepat menggelabah apabila saya menggunakan pendekatan kehidupan seharian dalam usaha lebih memahami sesuatu perkara itu," kata Sumayyah.

Malah menerusi al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, beliau banyak mempelajari matlamat sebenar kehidupan seorang Muslim.

Hakikatnya, setiap hari Sumayyah sentiasa berusaha melakukan perkara-perkara baik agar menjadi bekalan di hari kemudian yang dijanjikan kekal abadi.

Kini, Sumayyah yang bekerja di bahagian buku-buku Islamik kanak-kanak menetap bahagia di Kuwait bersama suami tercinta dan tiga orang anak mereka.

Wajib beramal dengan sunnah Nabi

Keberadaan hadis sebagai sumber kedua syariat Islam amat penting untuk dijadikan sandaran dan pegangan kepada umat Islam baik melalui ucapan, perbuatan atau pengakuan baginda SAW. Walaupun dari semasa ke semasa muncul konspirasi atau muamarah golongan tertentu yang cuba memusuhi Islam sering mempertikaikan peranan hadis sebagai sumber agama Islam lantaran mereka terjebak dengan kejumudan ilmu dan berleluasanya gejala taklid.

Setiap usaha atau pemikiran untuk mengganggu-gugat keberadaan hadis dan keautoritiannya sebagai sumber kedua syariat Islam pada masa yang sama membuktikan wujudnya sikap pesimis musuh-musuh Islam terhadap kebenaran al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Meskipun telah jelas bahawa untaian sabda baginda merupakan wahyu daripada Allah. Firman Allah SWT yang bermaksud: Nabi Muhammad yang kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu, tidaklah ia menyeleweng (dari jalan yang benar), dan ia pula tidak sesat (dengan kepercayaan yang salah). Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau Hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepada-Nya. (al-Najm: 2-4)

Pemahaman negatif sesetengah golongan menyeleweng bahawa agama Islam terdiri dari isi dan kulit seperti firqah al-Batiniyyah dan dakwaan yang tidak berasas dengan mendakwa bahawa hadis Rasulullah tidak sesuai dipraktikkan dalam arus modenisasi masa kini (seperti yang disuarakan oleh aliran liberal dengan berumpankan istilah-istilah mengelirukan seperti liberalisme dan pluralisme agama.

Pada masa yang sama mengagungkan penggunaan metod-metod Barat yang dalam kajian keagamaan (al-Quran dan hadis) berbanding metod-metod yang diaplikasikan oleh para ulama Islam jelas membuktikan betapa negatif pemikiran dan penghayatan mereka dalam memahami Islam dan situasi ini amat membimbangkan umat Islam.

Rasulullah SAW dalam sabda-Nya pernah mengatakan: "Sesungguhnya sesiapa di antara kamu yang hidup selepasku dia akan melihat banyak perselisihan, maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah al-Khulafah al-Rashidin al-Mahdiyyin, gigitlah ia sekuat hati dengan gigi geraham dan hendaklah kamu jauhi perkara yang diada-adakan (dalam urusan agama) kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah sesat". (Sahih Sunan Abi Dawud no: 4607)

Pegangan yang paling tepat untuk dijadikan benteng oleh seorang muslim dalam melayari sebuah kehidupan pada akhir zaman yang penuh fitnah ialah sentiasa berpegang dan beramal dengan petunjuk Rasulullah SAW dan mempraktikkannya di dalam kehidupan seharian.

Hal ini kerana matlamat terakhir seorang mukmin adalah memperolehi hidayah Allah SWT yang dapat membawanya mengecapi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Firman Allah yang bermaksud:

l Dan jika kamu taat kepadanya nescaya kamu beroleh hidayah petunjuk; dan (sebenarnya) Rasulullah hanyalah bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan penjelasan yang terang nyata. (al-Nur: 54)

l Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah dengan sebanyak-banyaknya (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzab: 21)

l Perkara yang wajib dilakukan oleh setiap hamba di dalam menjalani agamanya ialah mengikuti apa yang dikatakan oleh Allah SWT. Juga apa yang dibawa dan dikatakan oleh baginda SAW serta ajaran para al-khulafah al-Rashidin dan pengikut mereka yang setia.

Allah SWT telah mengutus Rasulullah SAW dengan membawa bukti-bukti dan petunjuk. Allah SWT mewajibkan kepada seluruh manusia untuk beriman kepada baginda SAW dan mencontohinya. Setiap muslim wajib melaksanakan syariat Islam secara keseluruhan dan tidak sebahagian sahaja.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (al-Baqarah: 208)

Seorang mukmin yang berpegang teguh dengan sunnah Nabi SAW berbekalkan ketakwaan dan ketinggian ilmu, nescaya dia akan mengecapi halawah iaitu kenikmatan manfaat dunia dan agama yang melimpah-ruah.

Kemuliaan dan ketinggian seorang mukmin diukur melalui tingginya tingkat ketakwaan kepada Allah SWT dan penguasaan ilmu yang dimiliki. Semakin tinggi pemahaman seorang mukmin terhadap sunnah, maka semakin besar kemungkinannya untuk mempraktikkan sunnah tersebut menepati tuntutan agama Islam.

Ibn Hibban rahimahullah berkata: "Sesungguhnya dalam perkara berpegang dengan sunnah seseorang akan mengecapi tingkat keselamatan yang sempurna, karamah yang besar, yang tidak akan padam pelitanya dan tidak akan terbantah hujahnya. Sesiapa yang berpegang teguh dengannya akan terjaga dan sesiapa yang menyelisihinya pasti dia menyesal kerana sunnah merupakan benteng yang kukuh, tonggak yang kuat, yang jelas keutamaannya dan kuat ikatannya. "Sesiapa yang berpegang teguh dengannya pasti berjaya, namun yang mengingkarinya pasti binasa. Orang yang berpegang teguh dengan sunnah adalah orang-orang yang mengecapi kebahagiaan pada masa yang akan datang (di akhirat) dan sekali gus orang-orang yang diulit kegembiraan di dunia". (al-Ihsan Fi Taqrib Sahih Ibn Hibban 1/102).

Justeru, menghidupkan kembali keautoritian dan keizzahan sunnah yang seakan-akan telah ditinggalkan oleh umat Islam masa kini amat mustahak. Dalam hubungan sosialisasi manusia pula, sunnah sewajarnya ia dipraktikkan dengan penuh kebijaksanaan dan tidak menyukarkan masyarakat dengan persoalan yang tidak mereka maklum dan fahami, tidak menganggap remeh persoalan sunnah dan tidak pula bertindak ekstrem untuk terus mempraktikkannya.

Sebagai langkah permulaan memadai konsep al-wasatiyyah diterjemahkan dan diaplikasikan dalam pengamalan setiap perkara menurut skala keutamaan dan keperluan yang dikehendaki oleh agama Islam. Setiap cabang persoalan sewajarnya diperhatikan sesuai dengan kadarnya.

Al-Imam Al-Hakim mengatakan: "Suatu kaum yang menempuh jalan orang-orang soleh serta mengikuti athar generasi yang telah lampau (salaf). Mereka menewaskan para ahli bidaah, orang-orang yang menyimpang dari jalan sunnah Rasulullah SAW.

"Akal-akal mereka dipenuhi dengan kelazatan sunnah dan hati-hati mereka penuh dengan keredaan dalam apa jua situasi. Mempelajari sunnah adalah kesenangan mereka dan majlis-majlis ilmu adalah kesukaan mereka. Dan ahli sunnah tanpa kecuali, adalah saudara-saudara mereka. Dan orang-orang yang menyimpang dari jalan kebenaran serta ahli bidaah seluruhnya adalah musuh-musuh mereka". (Ma'rifat Ulum al-Hadith)

Sunnah wajib kembali ditegakkan dan diagungkan di tengah-tengah kehidupan umat, hingga mereka akhirnya menjadikan kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya melebihi kecintaan kepada siapapun.

Hal ini kerana keimanan seseorang itu tidak akan sempurna, sehingga dia mencintai Rasulullah SAW melebihi kecintaan terhadap siapapun. Sabda Rasulullah SAW: Tidak beriman seseorang di antara kalian, sehingga aku lebih dicintai olehnya daripada bapa-bapanya, anak-anaknya dan manusia keseluruhannya. (Muttafaq alaih)

Sehubungan itu, menjadi kewajipan ke atas setiap muslim yang beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya untuk sentiasa berupaya meniti jalan kehidupan di atas manhaj dan jalan yang telah Rasulullah SAW persembahkan dan tinggalkan sebagai wasiat terakhir dan warisan abadi kepada umat Islam selaku umatnya.

Umat Islam perlu berusaha dan membina jati diri cemerlang dalam gerak kerja untuk mengamal dan melestarikankan sunnah di samping mendukung dan memberi taat setia (wala') kepada mereka yang memperjuangkan sunnah Rasulullah SAW.

Al-Imam Al-Suyuti mengatakan, sesiapa yang tidak mengakui sunnah atau hadis sahih maka dia akan dikumpulkan pada hari akhirat kelak bersama orang-orang Yahudi dan Nasrani.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Aku telah tinggalkan kepada kamu perkara yang sekiranya kamu tetap berpegang teguh kepadanya maka sudah pasti kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnah nabi-Nya (hadis)".

Berikhtiar mengatasi musibah

Oleh Wan Jemizan Wan Deraman

Menjadi hakikat kehidupan dalam menjalani kehidupan seharian, kita tidak dapat mengelak daripada terdedah kepada sebarang bentuk kemungkinan terutamanya yang berbentuk musibah dan malapetaka.

Allah SWT berfirman yang maksud-Nya: Dan Kami (Allah) pasti akan menguji kamu dengan secebis rasa ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, kehilangan nyawa serta tanam-tanaman yang tidak menjadi. Dan khabarkanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata; Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nya jualah kami akan kembali. (al-Baqarah: 155)

Musibah boleh menimpa kita tanpa mengira darjat, pangkat, umur, bangsa dan warna kulit. Ia akan mendatangkan mudarat dan penderitaan kepada kita dan akhirnya kita akan menanggung pelbagai beban dan kesulitan.

Malah yang lebih malangnya, kaum keluarga kita sendiri seperti anak dan isteri kita akan turut sama menanggung penderitaan.

Seiring dengan kemajuan teknologi yang serba moden dan canggih ini, setiap hari kita semakin terdedah kepada bahaya yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan memusnahkan harta benda. Ertinya semakin maju sesebuah negara maka semakin tinggi peratusannya untuk terdedah kepada bahaya.

Pepatah Melayu ada menyebut, "malang tidak berbau, geruh tidak berbunyi". Kemalangan dan tragedi yang berlaku ini bukan sahaja mengakibatkan penderitaan dan kesusahan kepada kita sebagai mangsa tetapi turut ditanggung oleh ahli keluarga kita.

Apatah lagi seandainya kemalangan dan tragedi tersebut meragut nyawa kita sebagai ketua keluarga maka ini bermakna anak-anak dan isteri kita akan mengalami penderitaan, akibat hilang punca pendapatan mereka selama ini.

Hal ini akan menjadi bertambah buruk apabila kita tiada sebarang persiapan atau perancangan.

Kita sebagai umat Islam yang beriman dengan ketentuan qada dan qadar Allah semestinya meyakini bahawa segala bentuk musibah yang menimpa itu adalah ujian dari Allah SWT jua. Kita pula sebagai hamba-Nya yang taat hendaklah sentiasa bersedia menghadapinya dengan penuh keimanan dan kesabaran.

Oleh itu menjadi kewajipan kepada kita semua untuk berikhtiar dan berusaha sedaya upaya mengelak dan menjauhkan diri daripada kemungkinan berlakunya musibah, malapetaka atau bencana yang boleh mengancam nyawa dan juga keselamatan harta benda.

Malah Islam melarang kita daripada sengaja mendedahkan diri kepada mudarat dan kebinasaan sebagaimana firman Allah yang maksud-Nya: Belanjakanlah hartamu pada jalan Allah dan janganlah kamu sengaja mendedahkan dirimu kepada kebinasaan. Dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan. (al-Baqarah: 195)

Islam menyuruh kita supaya merancang dan mencari jalan bagaimana hendak mengatasi musibah atau sekurang-kurangnya bagaimana hendak meringankan bebanan yang terpaksa dipikul oleh kita atau oleh ahli keluarga kita jika sesuatu musibah menimpa.

Pernah satu ketika seorang Arab Badwi bertanya kepada Baginda Rasulullah SAW apakah beliau perlu menambat untanya sebelum masuk ke masjid untuk bersembahyang ataupun hanya membiarkan begitu sahaja untanya tanpa perlu menambatnya terlebih dahulu.

Maka Baginda SAW bersabda kepada orang Arab Badwi itu dengan sebuah hadis sahih yang maksudnya: "Tambatlah unta kamu terlebih dahulu dan kemudian barulah bertawakal kepada Allah". (riwayat Tarmizi)

Musibah jangan dicari

Daripada hadis tersebut, Baginda SAW mendidik kita supaya musibah jangan dicari. Malah Baginda menyuruh kita mencari jalan bagaimana hendak mengatasi musibah sebelum ia menimpa.

Kesan daripada kemalangan yang menyebabkan maut atau kecederaan parah akan membuatkan penderitaan yang ditanggung oleh mangsa dan keluarganya menjadi lebih berat. Sesungguhnya kematian tidak dapat digantikan dengan wang ringgit tetapi kecederaan tubuh badan pasti memerlukan rawatan.

Dalam hal ini, bekalan wang secukupnya adalah sangat mustahak. Sekurang-kurangnya derita yang ditanggung menjadi lebih ringan. Pada masa yang sama, penderitaan kita akan bertambah jika musibah yang menimpa membawa kepada kemusnahan tempat tinggal dan kehilangan harta benda milik kita. Yang hilang perlu diganti. Yang musnah harus pula dibaiki.

Persoalan yang timbul ialah dari manakah manfaat wang atau kemudahan seumpama ini akan dapat kita perolehi bagi membantu ahli keluarga kita yang hilang tempat pergantungan? Dan dari sumber manakah untuk memperoleh manfaat kewangan bagi mengganti atau membaik pulih harta benda yang musnah atau yang hilang itu?

Jika ditakdirkan kita sebagai ketua keluarga meninggal dunia, siapakah di kalangan ahli keluarga kita yang akan menjelaskan tanggungan hutang kita sekiranya kita mempunyai hutang yang masih belum dijelaskan?

Hakikat kemungkinan berlakunya musibah atau bencana ini, sepatutnya menjadikan kita lebih bersedia menghadapinya dari awal lagi.

Antara persediaan yang terbaik ialah kita hendaklah mempunyai sejumlah wang yang mencukupi sebagai bekalan untuk menghadapi sebarang kemungkinan buruk jika ditakdirkan menimpa kita.

Dengan bekalan wang ini, bebanan ahli keluarga kita akan menjadi lebih ringan bagi meneruskan kehidupan seharian mereka selepas kematian kita yang menjadi tempat pergantungan mereka.

Bekalan wang ini juga boleh digunakan untuk membeli harta benda yang baru menggantikan harta benda yang sudah musnah. Di samping itu biarlah kita berazam untuk mempunyai sejumlah wang yang boleh digunakan semasa melalui hari-hari persaraan atau hari-hari tua kita kelak.

Antara jalan ikhtiar yang boleh dirancang dan diusahakan oleh kita bagi mencapai matlamat tersebut ialah dengan cara mendapatkan perlindungan (protection) menerusi sistem takaful atau insurans secara Islam.

Hari ini pelbagai institusi kewangan Islam telah ditubuhkan di negara kita untuk tujuan-tujuan tersebut yang selaras dengan ajaran Islam seperti perbankan Islam dan takaful untuk keperluan perlindungan.

Dengan kewujudan pengendali takaful yang kini berjumlah sembilan pengendali ke semuanya mampu menawarkan pelbagai skim dan pelan yang boleh memberikan manfaat dan menawarkan perlindungan yang amat berfaedah kepada kita umat Islam.

Dengan cara ini kita akan memperoleh perlindungan dalam bentuk kewangan sebagai bekalan untuk menghadapi musibah dan bencana yang bila-bila masa sahaja berkemungkinan menimpa kita. Di samping itu, kita juga berpeluang bermuamalat dengan sistem kewangan Islam yang bebas daripada sebarang dosa riba.

nWAN JEMIZAN WAN DERAMAN ialah Penolong Naib Presiden, Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.