Like Blog Ini...

Wednesday, August 25, 2010

Amar syahid di medan Uhud

Amar bin Sabit adalah sahabat Nabi Muhammad. Beliau berasal daripada Bani Asyahali. Salah seorang daripada tokoh terkenal dalam kaumnya ialah Saad bin Muaz yang memeluk Islam sebelum Amar.

Amar sangat berpegang teguh kepada agama nenek moyangnya. Hal itu menyebabkan beliau sukar menerima agama Islam.

Malah, Amar pernah berkata kepada salah seorang yang sudah memeluk Islam: "Apakah kebenaran dalam agama kamu? Tunjukkan kepada saya mengenai kebenaran itu. Saya tidak teragak-agak mengikutinya."

Ketika ramai daripada kaumnya sudah menerima Islam, pintu hati Amar tetap tertutup.

Sehingga pada suatu hari, semasa Nabi Muhammad bersiap untuk pergi ke medan Perang Uhud, Amar t datang berjumpa.

Kata Amar: "Wahai Nabi Muhammad, saya mahu memeluk agama Islam."

Nabi Muhammad terkejut mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Amar. Tindakan Amar menyebabkan Nabi kehairanan. Sebelum ini, Amar adalah seorang yang angkuh dan enggan menerima sedikit pun ajaran Islam.

Kemudian Nabi Muhammad bertanya: "Benarkah apa yang kamu katakan itu Amar?"

"Benar," jawab Amar.

"Ini adalah satu keajaiban dari Allah," kata Nabi Muhammad.

"Saya mahu memeluk agama Islam," kata Amar dengan tegas.

Kemudian Amar berkata lagi: "Saya juga mahu bersama-sama menyertai angkatan perang Islam ke Perang Uhud."

"Saya sudah bersedia dengan pedang saya," Amar berkata sambil menunjukkan pedang yang sudah siap ada di tangannya.

Selepas mendengar berita baik dari Amar itu, Nabi Muhammad gembira.

"Syukur kepada Allah. Akhirnya terbuka juga pintu hati Amar memeluk agama Islam," kata Nabi Muhammad sendirian.

Mulai pada hari itu, Amar sah menjadi orang Islam selepas mengucapkan dua kalimah syahadah.

Berita keislaman Amar tidak diketahui oleh sesiapa kecuali Nabi Muhammad. Selepas sah menjadi orang Islam, Amar bangkit menuju ke medan perang Uhud mengikuti Nabi Muhammad.

Peperangan yang berlaku dengan pihak musuh sangat sengit. Di situ Amar menunjukkan keberanian dan kepahlawanannya. Dalam kumpulan tentera Islam itu, ada yang hairan dengan kehadiran Amar.

Salah seorang daripada tentera Islam itu berkata kepada Amar: "Buat apa kamu ikut kami berperang?"

Amar tidak peduli dengan pertanyaan orang itu, beliau terus sahaja mara ke hadapan menentang musuh Islam.

"Kamu bukan orang Islam. Kamu sengaja mahu mempersendakan kami dengan kekuatan kamu itu," kata salah seorang tentera Islam itu lagi.

Pada masa itu, badan Amar berlumuran darah. Beliau bergelut dengan pihak musuh bagi menegakkan Islam. Akhirnya beliau jatuh ke bumi. Sebelum Amar menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau sempat menjawab pertanyaan orang itu tadi.

Kata Amar: "Saya sudah beriman kepada Allah dan Nabi Muhammad. Saya adalah orang Islam seperti kamu. Saya sudah melawan musuh sedaya upaya saya. Semoga Allah memberkati saya."

"Betulkah apa yang kamu katakan itu?" tanya orang itu kepada Amar. Orang itu terkejut mendengar berita ke-Islaman Amar.

Amar gugur sebagai seorang pahlawan Islam yang syahid. Berita kematian Amar sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad berkata, "Amar masuk syurga kelak."

Tentera Islam lain terkejut dengan berita itu. Mereka sebenarnya tidak mengetahui bahawa Amar sudah memeluk Islam semasa berperang. Mereka juga terharu dengan semangat Amar yang tinggi semasa melawan musuh.

Pernah dilaporkan oleh Abu Hurairah dari hadis Nabi Muhammad bahawa salah seorang yang layak masuk syurga tanpa bersembahyang, berpuasa dan lain-lain ialah Amar bin Sabit.

Begitulah kisah sahabat Nabi Muhammad yang ikhlas menegakkan agama Islam.

Orang yang mengaku bahawa dirinya Islam sanggup mati demi membela agama Islam. Orang yang baik sentiasa diredai Allah.

No comments: