Daripada Tsauban r.a berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda;
"Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa (kafir) akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah S.W.T akan mencabutkan rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah S.W.T akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'. Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah s.a.w.?" Nabi Muhammad s.a.w menjawab, "Cinta pada dunia dan benci pada kematian". (Riwayat Abu Daud)
Memang benar apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Keadaan umat Islam pada hari ini, menggambarkan kebenaran apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Umat Islam walaupun mereka mernpunyai bilangan yang banyak, tetapi mereka selalu dipersendakan dan menjadi alat permainan bangsa-bangsa kafir. Mereka ditindas, diinjak-injak, disakiti, dibunuh dan sebagainya.
Sebenarnya, segala kekalahan kaum Muslimin adalah berpunca dari dalam diri mereka sendiri, iaitu dari penyakit "wahan" yang merupakan penyakit campuran dari dua unsur yang selalu wujud dalam bentuk kembar dua, iaitu “cintakan dunia” dan "bencikan mati". Kedua-dua penyakit ini tidak dapat dipisahkan. "Cintakan dunia" bermakna tamak, rakus, bakhil dan tidak mahu mendermakan harta di jalan Allah s.w.t. Manakala “bencikan mati" pula bermakna leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan dengan taat dan beribadat untuk menghadapi negeri akhirat dan teragak-agak untuk berkorban dengan diri dan jiwa dalam memperjuangkan agama Allah S.W.T.
Kita berdoa agar Allah S.W.T. memberikan petunjuk kepada kita dan memberikan kejayaan di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.
(Rujukan : Dengan suntingan dari Laman sesawang Koleksi Hadis Rasulullah s.a.w. @ http://tanbihul_ghafilin.tripod.com/koleksihadith.htm.) Tazkirah Mingguan BIMB Securities.
No comments:
Post a Comment