Hukum taklifi ialah ketentuan Allah SWT yang menuntut mukalaf melakukan atau meninggalkan suatu perbuatan atau berbentuk pilihan untuk melakukan atau tidak melakukan suatu perbuatan.
Hukum taklifi ini terbahagi kepada wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Ketetapan ini diketahui berdasarkan penelitian terhadap dalil-dalil syarak iaitu al-Quran, as-sunnah, ijma', qias dan sebagainya oleh para ahli Fiqh atau Mujtahid.
APABILA Allah SWT mengutuskan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi, Dia tidak membiarkan mereka terkapai-kapai mencari arah tuju kehidupan. Sebaliknya, Allah SWT membimbing mereka dengan pengutusan Rasul-Rasul 'alaihimussalatu wassalam. Rasul-Rasul inilah yang menyampaikan seruan dan mesej agama Allah kepada umat manusia sejagat.
Ini sejajar dengan firman Allah SWT: Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya. (An-Nahl: 36)
Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah SAW memberikan panduan yang lengkap agar manusia tetap dalam syariat yang benar. Syariat mengawal manusia supaya menjalani kehidupan sejajar dengan panduan Ilahi dan mengelakkan diri mereka daripada melakukan penderhakaan dan maksiat kepada Allah SWT.
Justeru, setiap individu Muslim yang mukalaf perlu memahami bahawa kehidupan mereka seharian tertakluk kepada peraturan tertentu. Antaranya tertakluk kepada lima hukum yang disebut sebagai hukum taklifi.
Mukallah ialah seseorang yang telah mencukupi syarat untuk diberikan tanggungjawab dan kewajipan syarak. Mereka wajib mematuhi semua ketetapan agama dan setiap perbuatan dan perlakuannya tertakluk dengan hukum yang telah ditetapkan oleh agama. Syarat-syarat mukalaf ialah baligh, berakal, sampai dakwah kepadanya dan sempurna pancaindera, khususnya penglihatan atau pendengaran.
Dengan memahami pembahagian hukum-hukum taklifi, kedudukan dan fungsinya seseorang akan dapat mengetahui dengan jelas bagaimana sesuatu sumber itu dibahaskan. Ia daripada sumber-sumber hukum Islam yang utama, iaitu al-Quran dan hadis dari segi perintah-perintah Allah SWT dan rasul-Nya yang wajib dikerjakan, larangan-larangan Allah SWT dan rasul-Nya yang harus ditinggalkan serta berbentuk pilihan untuk melakukan suatu perbuatan atau meninggalkannya. Seterusnya seseorang itu akan dapat menentukan keutamaan dalam sesuatu perkara dan akhirnya dapat memandunya untuk mencapai hasanah di dunia dan juga hasanah di akhirat.
Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN - Utusan Malaysia
Diedit oleh Syahrizal.
No comments:
Post a Comment