Like Blog Ini...

Wednesday, October 29, 2008

Alam temukan Ibrahim dengan Allah

Susunan ZUARIDA MOHYIN

IBRAHIM Karlsson dilahirkan dalam sebuah keluarga berbangsa Sweden yang sederhana, tanpa pegangan agama namun kehidupan mereka sentiasa kaya dengan kasih sayang. Dalam tempoh hayat 25 tahun, tidak pernah langsung terlintas di fikiran Ibrahim tentang kewujudan Tuhan mahupun yang berkaitan kerohanian kerana dia tergolong dalam kategori lelaki materialistik.
Pun begitu, dia masih boleh ingat sebuah cerita imaginasi yang ditulis sewaktu di dalam gred tujuh tentang kehidupan masa depannya, di mana dia membayangkan diri menjadi seorang pengatur cara permainan yang berjaya walaupun langsung tidak pernah menyentuh komputer dan berkahwin dengan seorang wanita Muslim. Pada masa itu yang terlintas tentang Muslim kepadanya hanyalah berpakaian labuh dan menutup kepala.

Kemudian, semasa berada di sekolah menengah, Ibrahim banyak menghabiskan masanya di perpustakaan sekolah sehingga digelar 'ulat buku' dan pernah pada satu masa, dia membaca beberapa terjemahan ayat-ayat suci al-Quran. Beliau dapati bahan yang disebut di dalam kitab itu, semuanya benar dan logik. Sungguhpun begitu, hidayah tidak sampai kepadanya.

Masa terus berlalu dan beliau mula bekerja. Dengan pendapatan yang diperoleh, dia berpindah ke pangsapuri sendiri dan mula meminati salah satu alat di dalam komputer yang mampu merakam pelbagai visual. Minat yang mendalam itu sehingga ke tahap dikira taksub.

Sejak itu, ke mana sahaja dia pergi, telefon berkamera adalah teman setia sepanjang waktu. Pernah dia dimarahi seorang lelaki Muslim imigran kerana merakam gambar emak dan kakak lelaki itu sewaktu berada di pasar. Apa yang terpacul di fikirannya bahawa orang Islam ini pelik.
Malah banyak perkara berkaitan dengan Islam berlaku ke atasnya. Malah dia tidak mempunyai penjelasan tepat bagaimana dia boleh menghubungi Pertubuhan Maklumat Islam di Sweden untuk melanggan buletin dan untuk membeli terjemahan al-Quran karya Yusuf Ali serta sebuah buku berjudul Islam: Our Faith.

Apabila membaca keseluruhan kandungan al-Quran itu memang tidak dapat dinafikan keindahan dan kebenaran isi kandungannya. Namun, Tuhan masih tiada ruang dalam hatinya. Setahun kemudian, sewaktu berada di satu petak tanah yang dipanggil Pretty Island yang memang benar-benar cantik dan sedang asyik merakamkan gambar-gambar warna-warni musim luruh, tanpa dijangka hatinya begitu tersentuh dengan keindahan alam kejadian ciptaan Pencipta dunia ini.

Mensyukuri nikmat

Ia sungguh mengasyikkan dan dia tidak pernah merasakan gembira dan mensyukuri nikmat itu, sekali gus menyedari kehadiran Tuhan setiap kali mencelikkan mata. Namun semuanya berakhir sekembalinya ke rumah. Walau bagaimanapun, jauh di lubuk fikirannya, pengalaman tersebut akan kekal selama-lamanya.

Pada masa sama, dia membuka akaun dengan MSN (Microsof Network) dan menerusinya, Ibrahim mula berminat dengan salah satu saluran maklumat tentang Islam dan dari situ dia mengenali wanita mualaf dari Amerika Syarikat bernama Shahida dan mereka akhirnya menjadi rakan pena sejati.

Mereka sentiasa berbincang tentang agama Islam, kepercayaan kepada Allah serta perkara-perkara biasa. Yang pasti, apa yang ditulis oleh Shahida itu ternyata ada kebenarannya. Hakikatnya dia sentiasa sabar dengan pelbagai kerenah dan soalan tidak masuk akal Ibrahim. Dia selalu memberitahu, "Dengar kepada kata hati anda dan anda akan temui kebenaran."

Akhirnya, Ibrahim menemui kebenaran itu lebih awal daripada apa yang dijangkakan. Sewaktu dalam perjalanan pulang dari kerja, sedang asyik dia menikmati matahari terbenam dari atas bas yang bergerak itu. Tiba-tiba semuanya datang bila dia mula menyedari dan mengakui tentang kejadian alam ciptaan Tuhan dan bagaimana Allah menentukan jalan hidup manusia. Ibrahim mula terasa kedamaian di jiwa yang sudah terlalu lama dia impikan.

Pagi itu, bila terjaga daripada tidur, fikiran Ibrahim tenang dan perkara pertama yang terlintas di fikirannya ialah betapa dia bersyukur masih hidup dan dapat menempuhi hari baru dengan pelbagai pilihan dan peluang. Situasi itu benar-benar menginsaf dan menyedarkan Ibrahim.
Sejak itu, dia tidak dapat lagi menolak tentang kehadiran Tuhan. Namun 25 tahun menafikan tidaklah semudah untuk menerima Islam dan mengakui kepercayaan kepada Allah dengan bulat-bulat. Namun perkara baik sentiasa berlaku ke atas dirinya.

Ibrahim mengambil keputusan untuk bercuti di Amerika Syarikat dan buat kali pertamanya dia bertemu dengan Shahida pada satu hujung minggu di New York. Pada saat itu, bergelar Muslim adalah segala-galanya. Ibrahim kembali semula ke Sweden dan memberanikan diri singgah di sebuah masjid berhampiran dan bertemu dengan masyarakat Islam di situ.

Dia bertemu dengan mereka yang baik dan diberi beberapa bahan bacaan tambahan untuk lebih mendalami Islam. Selain merancang untuk ke rumah salah seorang saudara Muslim di situ.
Akhirnya Islam menjadi perkara pokok dalam kehidupan Ibrahim. Dia mula kerap mendirikan solat dan melaksanakan solat Jumaat yang pertama.

Melaksanakan solat, mendengar tazkirah pendek sebelum mendirikan solat sunat dua rakat adalah sesuatu yang indah dan menyeronokkan apatah lagi ia dilakukan secara berjemaah hanya kepada Allah yang Esa, akuinya.

Lama-kelamaan fikiran dan hatinya bergerak seiring dan dia mula dapat membayangkan dirinya sebagai seorang Muslim. Pun begitu, masih berkecamuk di fikirannya akan ke mampuannya untuk bersolat lima kali sehari, tidak makan daging babi, minum arak, bagaimana penerimaan keluarga dan kawan dan dia mula terbayang akan kesengsaraan pengalaman seorang teman Muslim sebaik diri memeluk agama Islam.

Namun apa yang benar-benar menjadi titik tolak kepada pengislamannya ialah sebuah kisah daripada saudara baru wanita dari Britian yang bertajuk, Twelve Hours. Kisah pengalamannya begitu serupa dengan Ibrahim. Ceritanya itulah menyedarkannya bahawa tidak ada jalan untuk berpatah balik. Hakikatnya, Ibrahim tidak dapat menolak lagi Islam.

Apabila cuti musim panas bermula, dia mandi sunat, berpakaian bersih, memandu kereta kira-kira satu jam menuju ke masjid sebelum akhirnya mengucap dua kalimah syahadah.
Ibrahim bersyukur apa yang dibimbangi selama ini tetapi sebaliknya terjadi, semua ahli keluarga dan teman menerima baik penghijrahan akidahnya. Mereka beranggapan amalan ibadat seperti solat serta haram memakan daging babi adalah satu budaya asing yang pelik serta akan hilang ditelan zaman. Namun Ibrahim berjaya membuktikan kesalahan mereka, Insya-Allah.

No comments: