Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID
MUSIM haji yang menjelang diikuti Hari Raya Korban, membuatkan minda teringat kepada Hanafi Pai'man, 40. Beliau salah seorang asnaf zakat di Meru, Klang, yang pernah ditemui beberapa waktu lalu.
Semasa ditemui ketika itu beliau pernah menyatakan: "Saya nak cuba ikut macam Rasulullah." Iaitu menternak kambing demi menyara keluarganya.
Bukan mudah menyara sebuah keluarga yang besar. Bersama isteri, Masriah Abdul Ghaffar, 41, mereka dikurniakan sembilan anak. Isterinya pula tidak begitu sihat. Lalu, kira-kira tiga tahun lalu, Hanafi nekad berhenti kerja. Kemudian, menceburkan diri dalam dunia pertanian.
"Dahulu saya pernah berkerja di kilang papan. Gaji tak seberapa, adalah dalam RM500 ke RM800 sebulan. Kemudian, kilang itu pula berpindah ke tempat yang lebih jauh. Tidak berbaloi rasanya memerah keringat berkerja di sana, maka saya mulai berjinak-jinak memelihara kambing," katanya.
Demikianlah Hanafi berkongsi cerita. Benar, kedatangan kami dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) disambut ceria di samping beliau bangga menunjukkan kambing yang diternaknya.
"Saya menternak kambing dari baka Senan Crose. Alhamdulillah, LZS telah memberikan saya modal untuk mengusahakan penternakan ini. Kini, setelah berhenti kerja maka saya dapat menumpukan perhatian dalam penternakan kambing," jelasnya.
Di samping menternak kambing, Hanafi turut mengambil upah melakukan pendawaian elektrik.
Kadang-kadang, ada juga kontraktor atau kawan-kawan yang memanggilnya untuk membuat pendawaian elektrik.
Di samping itu, Hanafi tidak membiarkan kawasan di belakang rumahnya kosong. Beliau bukan sekadar membina kandang kambing, bahkan turut membina kolam bagi tujuan menternak itik selain mengusahakan pertanian ala fertigasi.
"Dahulu saya cuba menanam cili di dalam polibeg. Apa orang kata, teknik fertigasi. Tetapi, malangnya kurang menjadi. Saya fikir mungkin kerana faktor cuaca. Cili tidak begitu tahan dengan cuaca begitu lembap.
"Untuk memasang plastik sebagai pelindung, banyak pula belanjanya. Insya-Allah, selepas ini saya akan mengalihkan kepada tanaman sayuran lain pula. Mungkin kacang bendi dan terung, yang lebih kuat daya tahannya.
"Di samping itu, saya juga menternak itik. Ada dua jenis itik, iaitu hitam dan putih. Itik hitam untuk telur dan itik putih untuk daging. Dahulu, saya dan bapa mengusahakan ternakan keli dan lintah. Tetapi, tidak berapa menjadi. Sebab itu kami beralih memelihara itik pula," jelasnya.
Berkat bernaung sebagai asnaf di LZS, Hanafi mengikuti pelbagai siri kursus. Termasuklah kursus kemahiran keusahawanan dan kursus menternak kambing.
Kata Hanafi, sungguh pun kambing peliharaannya belum banyak, beliau tetap menerima tempahan jika ada pembeli.
"Sama ada untuk akikah, korban, kenduri atau apa sahaja, insya-Allah saya boleh membekalkannya. Bahkan, bukan sekadar kambing, lembu pun jika mahu, saya boleh usahakan," katanya.
Demikianlah kesungguhan Hanafi menjadi penternak berjaya. Beliau turut mempunyai kenalan yang membekalkan kambing dan lembu kepadanya untuk pasaran semasa.
Hingga kini, kambing Senan Crose milik Hanafi sudah pun membiak menjadi 12 ekor. Untuk memudahkan beliau, LZS membekalkan mesin memproses makanan beserta 20 tong fiber bagi tujuan memeram daun-daun yang sudah diproses.
Ia akan menjadi makanan kambing pada musim hujan kelak. LZS turut memberikan modal tambahan bagi membesarkan kandang kambingnya.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada LZS, khususnya kepada pembayar zakat. Dengan wang zakat itulah, banyak meringankan bebanan saya. Terutamanya bagi pendidikan anak-anak," katanya.
Nampaknya, sudah ada tanda-tanda anak-anak Hanafi akan menjadi anak yang cemerlang. Anak keduanya, Mohd. Abdul Rahman, 19, kini melanjutkan pendidikan dalam bidang Bahasa Arab dan Komunikasi di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai.
Hanafi juga beruntung, justeru kedua orang tuanya Pai'man Abdul Latif, 80, dan ibunya, Markiah Ahmad, 60, sentiasa menyokong usahanya.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa saya. Mereka sering membantu keluarga saya, menengokkan anak-anak kala isteri saya keuzuran, bahkan banyak menyokong saya selama ini," ujar Hanafi penuh kesyukuran.
Nota: Sesiapa yang berminat mendapatkan bekalan kambing dan lembu untuk korban dan akikah, boleh menghubungi Hanafi di talian 019-292 5609 atau 03-3392 4497 (Pai'man).
No comments:
Post a Comment