Like Blog Ini...

Wednesday, June 29, 2011

Buat persiapan menghadap Allah

PEMBEDAHAN dada Nabi Muhammad SAW sebelum peristiwa Israk memberi pengajaran bahawa umat Islam perlu membuat persiapan diri untuk ke tempat yang amat tinggi iaitu menghadap Allah SWT.

“Justeru, umat Islam perlu mempersiapkan diri antara dengan membersih atau menyucikan jiwa sebelum kita bertemu dengan Allah kelak,” demikian dijelaskan oleh pendakwah bebas, Ghazali Omar.

Beliau yang juga tokoh program Suara Mimbar dalam Selangor.fm berkata demikian dalam Forum Perdana sempena Israk dan Mikraj yang diadakan di perkarangan Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini.

Seorang lagi ahli panel adalah bekas imam Masjid Kuala Selangor dan selebriti program Tanyalah Ustaz, Haslin Bahrim. Moderator forum ialah Pengarang Agama, Utusan Malaysia, Mohd. Radzi Mohd. Zin.

Ghazali menambah, satu lagi falsafah peristiwa belah dada itu adalah kepentingan menjaga hati daripada perkara-perkara maksiat. Sebabnya, setiap maksiat yang dilakukan akan mendatangkan satu titik pada hati.

Akhirnya, orang yang bergelumang dalam dosa dan maksiat tidak lagi berasa bersalah atas maksiat yang dilakukan sebab hati mereka telah mati.

Untuk itu, beliau turut memberikan ramuan cara menjaga hati agar umat Islam tidak termasuk dalam golongan orang yang hatinya mati.

“Antaranya, amal dan budayakan membaca al-Quran setiap hari, sentiasa mengingati mati dan membanyakkan zikir,” jelasnya.

Katanya lagi, peristiwa bersejarah itu berlaku antaranya untuk menghiburkan hati Nabi SAW selepas kematian isteri tercinta, Saidatina Khadijah dan juga bapa saudara, Abu Talib.

Katanya, ini juga membuktikan bahawa untuk meletakkan Islam ke tempat yang lebih tinggi, ia turut perlu disokong oleh orang bukan Islam. Sebagaimana Abu Talib ketika itu.

“Hal ini juga mengajar kita bahawa Allah akan uji sesiapa yang disayanginya waima Rasulullah SAW sendiri. Antaranya, dibaling batu sewaktu berdakwah di Taif dan juga pemulauan penduduk Quraisy di Mekah.

“Sebab itu, kalau kita sayangkan anak dan isteri, kejutkan mereka untuk solat Subuh. Jangan tersalah sayang hingga kasihan untuk mengejutkan mereka. Ini sudah silap,” tegasnya.

Sementara itu, Haslin pula menekankan kepentingan mengimarahkan masjid agar fungsinya dapat dipertingkatkan seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat.

Katanya, ayat pertama dalam surah al-Israk yang menyebut tentang Masjid Aqsa dan Masjid Haram, membuktikan bahawa masjid adalah elemen penting dalam memperkukuhkan umat.

Beliau memetik kata-kata Dr. Mustafa Sibaie tentang pentingnya masjid menjadi tempat mencegah kemungkaran.

“Masjid akan jadi dayus jika tidak tegakkan kalimah Allah. Ia akan jadi seperti gereja di mana orang datang hanya untuk mengadu dan minta ampun,” jelasnya.

Haslin turut mencadangkan agar masjid memperkenalkan insentif kepada golongan pelajar yang cemerlang dalam pendidikan.

Katanya, hal sedemikian sudah lama dipraktikkan oleh golongan di gereja dan ia nampaknya berjaya mendekatkan golongan sasaran kepada institusi itu.

Untuk itu, katanya, adalah baik untuk ahli jawatankuasa masjid merencana insentif yang serupa agar anak-anak ahli kariah dibiasakan menjejak kaki ke masjid.

“Jangan pula berlaku, duit sumbangan datuk kita kepada masjid dulu pun masih belum dibelanjakan sampai hari ini.

“Selain itu, masjid mestilah mesra pelanggan atau jemaah. Sediakan tempat untuk anak-anak beriadah,” kata beliau.

Forum hampir dua jam itu mendapat sambutan menggalakkan apabila dihadiri oleh lebih 500 orang.

Para hadirin dijamu nasi berlaukkan gulai kawah dan ikan masin yang disediakan secara bergotong-royong. Kerja-kerja memasak seekor lembu bermula pukul 10 pagi.

Dalam pada itu, Nazir masjid, Harun Abd. Rahman berkata, sambutan yang menggalakkan memberi semangat untuk pihak masjid meneruskan aktiviti pada masa hadapan.

“Ini termasuk Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuala Selangor, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saham Wakaf Selangor dan orang perseorangan yang memberi sumbangan,” katanya.

Turut hadir, Pegawai Penyelaras Masjid Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor, Umar Abdul Aziz dan Ahli Majlis, Majlis Daerah Kuala Selangor, Mohd. Fakaruddin Ismail.

Perbezaan pendapat tentang Israk Mikraj

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

ISRAK MIKRAJ adalah peristiwa spiritual yang dialami Nabi Muhammad SAW. Ia difahamkan sebagai perjalanan malam Nabi dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin dan terus menerus menembusi dinginnya langit menuju sebuah puncak yang disebut Sidratul Muntaha.

Diriwayatkan, ketika Rasulullah sedang tidur malam bersama para sahabatnya di Masjidil Haram, tiba-tiba Jibril datang membangunkan dan membawanya untuk Israk Mikraj. Dalam konteks ini Thabathaba'i (Tafsir al-Mizan), menyebut bahawa di antara sahabat yang sedang bersama Nabi SAW saat itu adalah Hamzah Ibnu Abdul Muttalib, Jaafar Ibnu Abi Talib, dan Ali Ibnu Abi Talib.

Namun suatu riwayat seperti dipetik Fakh al-Din al-Razi dalam Mafatih al-Ghaib, menyatakan bahawa Israk Mikraj tidak dimulai dari dalam Masjidil Haram, melainkan dari rumah Ummu Hani binti Abi Talib. Yang lain lagi menyatakan, bahawa mulai Israk Mikraj itu adalah dari sebuah ruangan dalam rumah Abu Talib r.a.

Beberapa kenyataan Islam menyebutkan bahawa Israk Mikraj itu ditempuh hanya dalam satu malam. Perjalanan yang panjang ini dimulai setelah selesai waktu Isyak dan diakhiri pada waktu fajar menyingsing.

Demikian jauhnya jarak perjalanan ini, maka Aisyah dan Muawiyah berpendapat bahawa Israk Mikraj merupakan perjalanan rohani dan bukan perjalanan fizik jasmani.

Menurut Aisyah, roh Nabi Muhammad bergerak membelah semesta alam untuk berjumpa dengan Allah, sementara jasadnya bersemayam di bumi.

Pendapat itu ditolak oleh jumhur ulama yang mengatakan Israk Mikraj melibatkan jasmani rohani Nabi Muhammad secara sekali gus.

Bagaimana mungkin benda seperti jasad manusia boleh berjalan lebih cepat daripada gerakan cahaya.

Menurut teori Einstein, jika ada benda berjalan secepat cahaya, maka benda itu akan terurai dan hancur lebur. Kemudian jumhur ulama berkata, bahawa Israk Mikraj adalah untuk dipercayai dan diyakinkan, bukan untuk diperdebatkan.

Bilakah terjadi peristiwa Israk Mikraj itu? Beberapa riwayat menjelaskan pendapat yang berbeza. Ulama yang berpendapat bahawa peristiwa Israk Mikraj itu terjadi pada hari Jumaat, 27 Rejab. Inilah pandangan paling popular di kalangan umat Islam.

Namun sebahagian lain berpendapat peristiwa Israk Mikraj itu terjadi di awal dan bukan di akhir bulan Rejab.

Menurut pendapat al-Harbi, seperti dipetik oleh al-Qurtubi dalam Al-Jami'il lil Ahkam al-Qurtubi, Israk Mikraj terjadi pada 27 Rabiul Awal. Sama juga pendapat seperti yang dikatakan oleh az-Zuhri dan Urwah.

Ibnu Abbas berpendapat bahawa Israk Mikraj terjadi pada hari Isnin, 12 Rabiulawal.

Sebabnya pada hari, tarikh dan bulan itulah Rasulullah dilahirkan, diangkat menjadi Nabi, di Israk Mikrajkan, berhijrah ke Madinah dan meninggal dunia.

As-Suddi pula berpendapat bahawa Israk Mikraj terjadi pada bulan Zulkaedah (Ibnu Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah).

Bukan hanya bulan yang diperselisihkan, melainkan juga tahun peristiwa itu. Ada ulama berpendapat bahawa Israk Mikraj terjadi satu tahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah.

Sebahagian lain berkata bahawa Israk Mikraj diperkirakan terjadi 18 bulan sebelum peristiwa hijrah.

Sementara yang lain lagi berkesimpulan bahawa Israk Mikraj terjadi ketika Khadijah masih hidup.

Menurut Yunus Ibnu Bukair, pasca Israk Mikraj, Khadijah masih sempat melaksanakan solat. Ini kerana Israk Mikraj terjadi pada tahun kelima dari kenabian, beberapa bulan sebelum Khadijah meninggal dunia. Bahkan seperti dikutip oleh Thabathaba'i, Ibnu Abbas berkata bahawa Israk Mikraj terjadi pada tahun kedua dari kenabian.

Intisarinya bermacam pendapat, yang berkata tahun ketiga kenabian, 10 tahun tiga bulan dari kenabian, 12 tahun dari kenabian, satu tahun lima bulan sebelum hijrah, satu tahun tiga bulan sebelum hijrah, dan enam bulan sebelum berhijrah.

Mengapa berlaku perselisihan? Sebabnya, ketika peristiwa Israk Mikraj berlaku tidak ada orang yang mencatat dan merekodkannya secara betul. Rasulullah pun dikisahkan tidak boleh membaca dan menulis.

Mengenai hari, tarikh, bulan, dan tahun peristiwa Israk Mikraj di atas sepenuhnya didasarkan pada ingatan para sahabat, dan bukan pada data rakaman tertulis.

Tuesday, June 7, 2011

Berundur ke Bukit Uhud

Susunan SITI AINIZA KAMSARI



KITA maklum bahawa Perang Uhud berakhir dengan kekalahan di pihak Islam. Ia turut menyaksikan 70 tentera Islam gugur di medan Uhud berbanding 22 orang di pihak musuh.

Antara yang terkorban ialah Saidina Hamzah Abdul Mutalib. Beliau dibunuh secara curi oleh Wahsyi

Ia seolah-olah terbalas sudah dendam tentera Quraisy kerana ketika Perang Badar angka korban pihak mereka juga sama iaitu 70 orang.

Sejarah kekalahan umat Islam di medan Uhud pastinya tidak akan dapat diubah. Namun di pihak musuh, mereka tidak begitu meraikan kemenangan itu.

Ini kerana bagi mereka musuh yang paling dikehendaki iaitu Nabi Muhammad SAW tidak berjaya dihapuskan.

Sekalipun mereka menang, tetapi selagi baginda masih hidup kemenangan itu tidak ada ertinya. Kedudukan dan kepentingan mereka akan tetap tergugat selagi baginda masih hidup.

Namun bagaimana sebenarnya suasana ketika berakhirnya Perang Uhud?

Dikisahkan bahawa tekanan dan serangan semakin hebat dilancarkan terhadap tentera Islam. Baginda Rasulullah mengambil strategi berundur secara teratur ke Bukit Uhud bagi meredakan tekanan dan serangan kaum kafir.

Ia juga bagi memberi masa baginda menyusun taktik dan strategi menyerang balas.

Dengan didahului Saidina Ali bin Abi Talib sebagai pembawa panji-panji dan bendera Islam, baginda membelah jalan di tengah-tengah kaum musyrikin yang mengambil kesempatan itu untuk menyerang baginda.

Begitupun semua serangan itu dapat dipatahkan oleh pahlawan-pahlawan Islam yang sentiasa memastikan supaya baginda tidak lagi cedera.

Akhirnya mereka mengalah untuk menyerang baginda kerana sentiasa dikawal dan dilindungi para pahlawan itu.

Ini memudahkan baginda dan para pengikutnya terus menuju Bukit Uhud.

Ketika sampai di bukit itu, Rasulullah agak sukar untuk mendakinya kerana keadaan yang berbatu-batu ditambah baginda mengenakan dua lapis baju besi. Tentu sahaja dalam keadaan yang masih cedera, baginda tidak berdaya melepasi batu-batu tersebut.

Lalu seorang sahabat, Thalhah bin Ubaidillah meminta baginda memijak kedua-dua belah bahunya lalu diangkatnya baginda sehingga melepasi batu itu bagi memudahkan baginda melangkah dan meneruskan pendakian.

Rasulullah pun berkata: "Thalhah sangat patut mendapat syurga!"

Ketika baginda akhirnya berjaya mendaki dan berada di puncak bukit Uhud, kaum musyrikin yang menyedari mengenai kedudukan baginda cuba melancarkan serangan terhadap baginda.

Ibnu Ishaq berkata: "Ketika Rasulullah berada di bukit Uhud itu tiba-tiba sebahagian tentera kaum Quraisy cuba mengejar baginda dan 10 orang tentera mereka juga mendaki bukit dengan dipimpin oleh Abu Sufyan dan Khalid bin Walid".

Saat itu baginda pun berdoa: "Ya Allah, janganlah sampai mereka berjaya mengekori kami sehingga ke sini!"

Namun mereka berjaya memburu Rasulullah sehingga di puncak Bukit Uhud yang menyebabkan para sahabat yang berada bersama baginda terpaksa bertempur dan menghalau musuh dari puncak bukit itu.

Seorang lagi sahabat, Saad bin Abi Waqqas, tidak sahaja bertanggungjawab melindungi Rasulullah tetapi pada masa sama membalas serangan yang dikira di kubu pertahanan terakhir baginda.

Saad memang layak digelar pahlawan sejati. Segala-galanya dapat dilakukan dalam satu masa. Tidak sahaja beliau melibas pedang sehingga ada tentera Quraisy yang tergolek jatuh dari cerun Bukit Uhud itu malah dia juga tidak berhenti-henti memanah ke arah musuh-musuh yang menyerang.

Tentangan hebat oleh Saad itu akhirnya menyebabkan Abu Suffian mengambil keputusan menghentikan serangan dan mengarahkan pasukannya berundur sahaja selepas mereka gagal membunuh Rasulullah.

Kaedah Al-Dhararu Yuzal

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

ISLAM merupakan agama yang membuka ruang manfaat dan menutup ruang kemudaratan kepada manusia. Sebab itu, jika diamati al-Quran dan sunnah, kita akan dapati bahawa sesungguhnya hukum-hakam syariah cenderung kepada mengharamkan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan.

Ia kemudian disusuli dengan penyelesaian yang boleh membawa kepada kemaslahatan. Daripada kerangka inilah, timbulnya hukum-hukum taklifi iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus.

Mudarat adalah sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya kepada keperluan asas manusia seperti agama, diri, keturunan, akal dan harta.

Biasanya, apabila terjadinya sesuatu yang mudarat itu, ia akan menyebabkan mereka yang terlibat mengalami kesusahan, kerugian dan pelbagai bebanan dalam kehidupannya.

Mudarat sebenarnya adalah ancaman yang mengundang bahaya dalam kehidupan manusia. Terdapat pelbagai jenis mudarat yang telah diklasifikasikan oleh para ulama.

Antaranya, mudarat kecil dan mudarat besar, mudarat khusus dan mudarat umum, mudarat jangkamasa pendek dan mudarat jangka masa panjang.

Sejajar dengan itu, para ulama telah menggagaskan kaedah fiqh ini yang bermaksud semua kemudaratan mesti dihapuskan. Asas utama kepada kaedah ini adalah berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud: Tiada mudarat dan tidak memudaratkan (riwayat Bukhari dan Muslim).

Di bawah kaedah ini, terdapat beberapa kaedah pecahan. Kaedah pertama adalah kaedah 'Keadaan Darurat Mengharuskan Perkara Yang Haram'.

Ia bermaksud, apabila kita berhadapan dengan keadaan yang mendatangkan mudarat kepada diri, maka diharuskan pada waktu itu untuk melakukan perkara yang haram.

Sebagai contoh, seseorang yang berada dalam keadaan tersangat lapar kerana tidak memperolehi makanan yang halal untuk tempoh masa yang agak lama.

Pada waktu itu, dia boleh memakan makanan yang haram setelah dia berusaha sedaya-upaya mencari makanan yang halal. Keharusan memakan makanan yang haram itu disebabkan keadaannya pada waktu itu terdesak.

Namun, keharusan itu hanyalah sekadar untuk melepaskan keadaannya dalam keadaan darurat dan dia tidak boleh mengambil kesempatan untuk berlebih-lebihan serta tidak cenderung untuk melakukannya melainkan kerana keadaan pada waktu itu memaksanya.

Ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 173)

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang dia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah dia memakannya), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Maidah: 3)

Apabila seseorang itu diancam nyawanya supaya dia mengucapkan kalimah kufur, maka Islam membenarkannya asalkan hatinya tetap dalam keimanan.

Ini sebagaimana yang berlaku kepada Ammar bin Yasir yang telah memilih rukhsah iaitu mengucapkan kalimah kufur dalam keadaan darurat. Namun hatinya tetap dalam keimanan. Perbuatan Ammar itu adalah dibenarkan dan diakui oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah dan mereka pula beroleh azab yang besar. (an-Nahl: 106)

Keharusan bukan selama-lamanya

Kaedah pecahan yang seterusnya adalah apa yang diharuskan dalam keadaan darurat dikira mengikut kadar keperluannya sahaja.

Kaedah ini sebenarnya mengkhususkan kaedah yang pertama. Ini bermakna, keharusan perkara haram itu bertempoh dan tidak selama-lamanya. Apabila terkeluar dari keadaan darurat, maka keharusannya terhapus dan ia kembali haram.

Hukum yang berkaitan dengan kaedah ini antaranya ialah sekiranya tiada doktor wanita, dibolehkan untuk pesakit wanita menggunakan khidmat doktor lelaki untuk mendapatkan rawatan. Namun, doktor lelaki tersebut hanya dibolehkan melihat dan menyentuh tempat yang sakit sahaja sekiranya perlu.

Begitu juga, seseorang itu boleh menceritakan tentang keburukan orang lain ketika perlu seperti apabila ditanya oleh bakal isteri orang tersebut.

Kaedah yang seterusnya adalah kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan. Ini bermakna umat Islam tidak boleh menolak sesuatu kemudaratan dengan menggunakan mudarat yang lain.

Sebagai contohnya, seseorang itu tidak boleh merosakkan kehidupan orang lain demi menyelamatkan kehidupannya.

Namun begitu, mudarat ini boleh ditolak dengan mengambil mudarat yang lebih ringan. Ini berlaku apabila berlaku pertembungan di antara dua mudarat.

Maka, kita perlu memilih mudarat yang lebih ringan atau kecil. Ini terkandung di bawah kaedah pecahan 'Apabila Terdapat Pertentangan Di Antara Dua Kemudaratan, Dihindarkan Yang Lebih Berat Dengan Mengambil yang Lebih Ringan'.

Dalam bidang muamalat Islam, para ulama dan sarjana ekonomi Islam banyak mengguna pakai kaedah fiqh keempat ini dalam berhadapan dengan situasi yang ada pada hari ini.

Dalam perbankan Islam dan Takaful, kaedah ini terpakai ketika perbincangan Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia terhadap isu Profit Equalisation Reserve (PER) dalam akaun deposit.

Ia juga terpakai dalam bab perkongsian risiko dengan reinsurans konvensional, mengambil modal daripada sumber yang haram, mekanisme caj ke atas kelewatan bayaran, mewajibkan institusi perbankan Islam memberikan ibra' kepada penerima biaya yang melunaskan hutang lebih awal bagi pembiayaan berdasarkan kontrak jual-beli (seperti bai' bithaman ajil atau murabahah) dan sebagainya.

Suara merdu Rasulullah

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

SATU program tarannum al-Quran yang disiar secara langsung melalui televisyen di Malaysia ialah Majlis Tilawah al-Quran peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa. Tahun ini, tilawah peringkat kebangsaan akan diadakan di Sarawak, minggu hadapan.

Pemilihan qari dan qariah di peringkat negeri pula sudah selesai diadakan. Sebelum mereka ke peringkat kebangsaan, setiap peserta akan mendalami lebih banyak ilmu berkaitan seni lagu al-Quran. Paling penting ialah penekanan kepada ilmu tajwid dan fasahah.

Tajwid dan fasahah adalah aspek yang mempunyai nilai markah yang tinggi dalam penghakiman tilawah al-Quran.

Jika peserta membuat persembahan mantap dalam sudut suara dan seni lagu Quran namun waqaf (tempat berhenti), ibtida' (tempat mula), sifat huruf dan mahkrajnya serta ilmu bersangkutannya banyak berlaku kesalahan sudah tentu markah keseluruhannya rendah.

Sebahagian masyarakat masih keliru adakah begini cara Rasulullah SAW bertarannum membaca al-Quran?

Ia satu persoalan yang memerlukan jawapan yang rapi dan teliti. Realitinya nama lagu al-Quran seperti bayati, sikah, jiharkah, soba, nahawand, rast dan lain-lain wujud pada zaman mutakhir.

Walaupun penamaan seni lagu Quran seperti yang disebut di atas tidak wujud pada zaman Rasulullah, namun Nabi membaca al-Quran dengan suara yang amat merdu dan boleh menusuk jiwa yang mendengarnya.

Jubair ibn Mut'im r.a berkata: "Aku mendengar Rasulullah SAW membaca surah al-Tuur ketika solat maghrib. Tidak pernah aku mendengar suara semerdu suara Rasulullah SAW atau sesedap bacaan baginda SAW."

Ketika baginda membaca ayat 35 surah Tuur bermaksud: (mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya atau adakah mereka mencipta diri mereka sendiri?

Jubair Ibn Mut'im berkata: "Seakan-akan jantungku tersedar dan hatiku melayang."

Ketika itu Jubair masih lagi musyrik dan beliau datang ke Madinah untuk urusan penebusan tawanan perang Badar. Ketika itu juga beliau memeluk agama Islam.

Kesan alunan suara Rasulullah membaca al-Quran dengan suara yang menarik, amat merdu dan membaca dengan hati yang khusyuk telah menatijahkan keislaman Jubair Ibn Mut'im.

Diriwayatkan daripada al-Bara' Ibn 'Azib r.a, beliau berkata: "Aku mendengar Nabi SAW membaca surah al-Tin dalam solat Isyak. Dan aku belum mendengar seorang pun yang lebih merdu suara daripadanya. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Selain membaca al-Quran dengan baik, baginda juga memuji para sahabat yang mempunyai bacaan Quran yang menarik.

Antaranya baginda pernah bersabda kepada Abu Musa al-Asyari: Sesungguhnya kamu dianugerahkan serunai dari serunai keluarga Nabi Daud a.s. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW mempunyai bacaan al-Quran yang amat merdu dan baginda juga memuji Abu Musa al-Asyari yang membaca al-Quran dengan suara yang baik.

Sehingga ada riwayat yang menyatakan selepas Rasulullah memuji Abu Musa al-Asy'ari beliau berkata: Demi Allah, jika aku tahu kamu mendengar bacaan ku Ya Rasulullah sudah tentu aku memperelokkan lagi bacaanku. (riwayat Muslim).

Perkara utama yang perlu diutamakan ketika membaca al-Quran secara bertarannum adalah tajwid dan fasahah.

Apabila rentak tarannum al-Quran yang perlu dialunkan melebihi kadar mad yang ditetapkan ketika itu qari mestilah mengikut kadar mad yang telah ditetapkan. Jangan sekali-kali melakukan kesalahan tajwid demi menjaga rentak lagu yang dialunkan.

Allah mengurnia rahmat



0leh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SURAH Quraisy mengandungi empat ayat. Ia termasuk dalam surah Makiyyah dan diturunkan selepas surah al-Tin. Inilah pendapat jumhur ulama.

Ibn al-Jauzi dalam Zad al-Masir menyebut pendapat yang mengatakan surah ini diturunkan di Madinah sebagaimana pendapat al-Dahhak dan Ibn al-Sa'ib.

Hubungan surah ini dengan surah al-Fil

Kedua-dua surah itu mengandungi perbincangan tentang nikmat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada penduduk Mekah. Dalam surah al-Fil dinyatakan tentang musuh Allah SWT yang dibinasakan kerana ingin merobohkan Baitu al-Haram yang menjadi asas ketinggian dan kemuliaan mereka.

Dalam surah Quraisy pula disebutkan nikmat lain iaitu kesatuan dalam urusan dan kekuatan mereka agar mudah mengadakan perjalanan pada musim panas dan musim dingin dalam menjalankan urusan perniagaan dan mendapatkan bahan makanan.

Sehubungan itu, dengan adanya pertalian yang kuat antara kedua-dua surah, Ubay Ibn Ka'ab memandang kedua-duanya sebagai satu surah sehingga diriwayatkan daripadanya bahawa dia tidak memisahkan antara kedua-dua surah tersebut dengan Basmallah.

Firman Allah SWT: Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy. (Iaitu) kebiasaan mereka berpergian pada musim dingin dan musim panas.

Al-Mawardi berkata: Perkataan ilaf memberi maksud adat dan tafsiran ayat ini mempunyai empat pendapat:

i. Nikmat-Ku terhadap kaum Quraisy kerana nikmat Allah yang banyak dikurniakan kepada mereka. Inilah pendapat Ibn Abbas dan Mujahid.

ii. Allah menjadikan golongan Quraisy dalam kebiasaan yang baik, khususnya musafir. Inilah pendapat al-Khalil bin Ahmad.

iii. Keadaan nikmat orang Quraisy yang dapat menguasai Tanah Haram, di samping mengimarahkan rumah Allah. Inilah makna pendapat al-Hasan.

iv. Ia kembali kepada tradisi orang Quraisy melakukan pelayaran pada musim sejuk dan panas dalam mendapat kemewahan hasil perniagaan. Inilah pendapat Makhul.

Al-Maraghi berkata: Oleh yang demikian, hendaklah orang Quraisy menyembah Tuhannya sebagai tanda bersyukur terhadap nikmat dijadikan-Nya mereka sebagai kaum pedagang yang berkelana jauh ke negeri-negeri yang tidak mempunyai tumbuhan dan binatang ternakan.

Mereka mempunyai dua musim pengembaraan iaitu ke Yaman pada musim dingin untuk mencari minyak wangi dan rempah-rempah yang didatangkan dari negeri-negeri India dan Teluk Parsi ke Yaman dan negeri Syam pada musim panas untuk mencari hasil bumi yang akan dibawa pulang ke negeri mereka yang tidak mempunyai hasil bumi.

Orang Arab selalu menghormati mereka dalam perjalanannya kerana mereka jiran tetangga dan penduduk Tanah Haram-Nya serta para penguasa Kaabah. Disebabkan itu, mereka pergi dan pulang dengan aman dan pulang dengan selamat, tidak ada sebarang gangguan meskipun sering berlaku rampasan dan rompakan di kalangan orang Arab.

Larangan mendoakan keburukan

ALLAH tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus terang (untuk mendedahkan kejahatan orang lain), kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan ingatlah Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (an-Nisaa: 148)

Huraian

Allah tidak sukakan perbuatan mengeluarkan perkataan-perkataan yang keji secara terus terang kecuali oleh orang-orang yang dianiayai yang menuntut keadilan dari kezaliman yang telah dilakukan ke atasnya.

Namun demikian Allah tetap sukakan sifat memberi kemaafan terhadap perbuatan yang buruk dan Allah bersifat Maha Pemaaf dan Maha Berkuasa.

Allah juga tidak menyukai orang yang berdoa untuk kecelakaan orang lain melainkan jika ia merasa teraniaya haknya. Tetapi jika ia dapat menahan diri dan bersabar , itu adalah lebih baik.

Allah hanya menyukai kata-kata yang sopan yang tidak menyinggung perasaan yang tidak merosak akhlak.

Perbuatan mengeluarkan perkataan-perkataan celaan yang keji secara terbuka atau terang-terangan (dalam apa jua bentuk) amat mudah dilakukan sekiranya di dalam hati tidak ada perasaan segan kepada dosa dan tidak ada kesedaran takwa kepada Allah.

Apabila tersebarnya perkataan atau berita yang keji ini akan memberi kesan yang mendalam di dalam hati nurani masyarakat dan membolehkan timbulnya perasaan saling tidak mempercayai antara satu sama lain.

Seterusnya mendorong orang ramai menyangka perkara keji itu menjadi lumrah di dalam masyarakat dan tidak ada perasaan segan di dalam hati mereka.

Kesimpulan

Allah menyatakan kebencian-Nya kepada kaum muslimin yang melakukan perbuatan menyebarkan perkataan-perkataan yang keji di kalangan mereka. Allah membataskan hak mengeluarkan perkataan-perkataan yang buruk secara terbuka itu hanya kepada mereka yang mendapat penganiayaan sahaja.