Like Blog Ini...

Thursday, August 9, 2012

Daxas kurangkan risiko COPD

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

RAHIM (bukan nama sebenar) menghisap rokok pada usia 17 tahun. Sejak itu, merokok telah menjadi darah dagingnya selama 40 tahun. Namun, selepas didiagnos menghidap asma pada tahun 1993, dia mula memperlahankan 'aktivitinya'.

Tujuh tahun kemudian barulah Rahim berjaya memadamkan nama rokok dalam kamus hidupnya selepas bertahun-tahun mencuba. Walaupun telah berhenti sepenuhnya, namun Rahim tidak dapat mengelak kesan jangka panjang akibat merokok.

Pada bulan Jun 2007, Rahim dirujuk pada Institut Perubatan Respiratori (IPR) kerana disahkan menghidap penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD).

Menurut Pengarah Institut Perubatan Respiratori, Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr. Abdul Razak Abdul Muttalif, COPD ialah sejenis penyakit serius yang akan bertambah teruk secara beransur-ansur.

Ia merupakan satu permasalahan yang besar di Asia, dengan kadar penularannya adalah yang paling tinggi. Namun begitu, kesedaran tentang penyakit ini masih rendah.

Terdapat 448,000 kes COPD dilaporkan di Malaysia, menjadikan COPD sebagai bebanan penyakit yang kelima terbesar

"Penghidap COPD akan mengalami kesukaran walaupun semasa melakukan tugas harian yang rutin dan turut menghadapi risiko mengalami penyakit seperti kencing manis, kanser paru-paru dan kemurungan yang lebih tinggi.

Pembangunan rawatan yang berkesan untuk menguruskan COPD dan memberikan rawatan ini kepada pesakit COPD menjadi kunci kepada usaha menangani penularan penyakit ini," katanya pada majlis pelancaran sejenis ubat oral, Daxas (roflumilast) yang dikeluarkan oleh Nycomed, syarikat milik Takeda baru-baru ini.

Pendekatan baruRoflumilast merupakan rawatan pertama yang berusaha mengurangkan kekerapan serangan paru-paru dengan merawat keradangan salur pernafasan yang merupakan asas bagi permasalahan COPD.

Ia disarankan sebagai rawatan penyenggaraan bagi COPD teruk yang dikaitkan dengan bronkitis kronik di kalangan pesakit dewasa yang mempunyai sejarah peningkatan penyakit semakin teruk dan bertindak sebagai terapi tambahan untuk menangani bronkodilator.

Ia mempunyai kaedah tindakan yang unik, iaitu menerusi perencatan enzim fosfodiesterase 4 (PDE4). Dengan merencat PDE4, roflumilast mengurangkan aktiviti keradangan sel. Apabila digunakan seiring dengan terapi penyenggaraan utama, ia memberikan manfaat tambahan yang lebih bermakna dari segi klinikal bagi pesakit yang menghidapi COPD serius.

Rawatan ini akan mengurangkan risiko penyakit daripada menjadi bertambah teruk.

Data terbaru juga menunjukkan bahawa roflumilast mampu menstabilkan pesakit yang kerap mengalami COPD serius.

Menurut Ketua Unit Respiratori Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Presiden Persatuan Torasik Malaysia, Profesor Dr. Roslina Abdul Manap, rawatan dan pengetahuan tentang COPD telah berkembang maju dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Kami kini faham bahawa serangan paru-paru COPD meningkatkan kadar morbiditi dan mortaliti pesakit. Setakat ini, masih tiada penawar bagi COPD atau rawatan untuk memulihkan kesannya terhadap paru-paru," ujarnya.

Bagaimanapun, rawatan dan pengurusan yang betul boleh membantu penghidap COPD meningkatkan kualiti kehidupan dan memperlahankan penularan penyakit ini.

Data terkini menyokong keupayaan roflumilast untuk mengurangkan kekerapan serangan paru-paru COPD dengan merawat masalah asasnya iaitu keradangan.

"Sehingga kini, kebanyakan ubat COPD memberi tumpuan terhadap usaha melegakan gejala. Roflumilast merupakan sejenis rawatan kelas baru yang menggunakan pendekatan serba baru yang membolehkan kami merawat COPD dengan lebih baik," ujar Pengarah Urusan Nycomed Malaysia, Kwa Kheng Hoe.

No comments: