Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN
ALHAMDULILLAH, syukur tidak terhingga kepada Allah SWT kerana kita telah dianugerahkan sekali lagi kesempatan untuk menjadi tetamu Ramadan. Ia seumpama tempat persinggahan sementara yang mempunyai timbunan rahmat dan kasih-sayang daripada Allah SWT, sebelum kita meneruskan perjalanan ke negeri yang abadi.
Seorang cendekiawan Islam pernah berkata bahawa hidup ini umpama perjalanan sebuah kereta api. Setiap tempat yang menjadi persinggahan tidak akan dijumpai lagi selepas itu. Perjalanannya akan berakhir apabila sampai ke destinasi yang sepatutnya.
Itulah perumpamaan yang boleh dibuat untuk menggambarkan kehidupan kita di dunia yang fana ini. Setiap masa yang dilalui tidak akan kembali lagi. Semalam semestinya tidak sama dengan hari ini dan hari ini tidak mungkin sama dengan esok.
Ramadan yang telah berlalu juga tidak akan sama dengan Ramadan kali ini. Kita tidak akan dapat melalui semula perhentian Ramadan yang telah berlalu. Apa yang boleh dibawa adalah nilai dan hasilnya bersama.
Berapa ramai di kalangan orang yang rapat dengan kita tidak sempat bersama-sama dengan kita pada Ramadan hari ini. Mereka mungkin berbuka puasa dan menunaikan solat terawih bersama kita pada Ramadan yang lalu, namun malangnya mereka sudah tidak berkesempatan untuk bersama-sama dengan kita pada kali ini.
Mereka yang sedang membaca tulisan ini perlu merasa bertuah dan beruntung kerana dipilih oleh Allah SWT sekali lagi untuk menggarap sebanyak mungkin pahala yang disediakan oleh Allah SWT.
Pepatah Melayu ada menyebut; "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna." Pepatah ini cukup bermakna kerana ia menganjurkan kita supaya sentiasa membuat muhasabah terhadap kehidupan kita sebelum ini. Allah SWT sengaja menyebutkan beberapa ayat yang menjelaskan penyesalan mereka yang mensia-siakan kehidupan di dunia ini.
Antaranya ialah firman Allah SWT: Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin. (al-Sajadah: 12)
Dan firman Allah SWT: Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang-orang yang soleh. (al-Munafiqun: 10)
Demikian juga hari-hari yang berlalu dalam hidup kita. Setiap masa yang dilalui sepatutnya digunakan semaksima mungkin kerana ia pastinya tidak berulang lagi. Umur yang dimiliki oleh kita mempunyai "tarikh luput"nya yang tersendiri.
Bahkan Allah SWT akan membangkitkan persoalan umur dan bagaimana kita memanfaatkannya di akhirat kelak. Sabda Nabi SAW: "Tidak akan terlepas dua kaki anak Adam di akhirat di hadapan Allah SWT, kecuali setelah ditanya dengan LIMA perkara; tentang umurnya bagaimana dia habiskan, tentang masa mudanya bagaimana digunakan, tentang hartanya dari mana datangnya, ke mana dibelanjakan harta tersebut dan apakah yang dilakukan dengan ilmunya. (riwayat Tirmidzi)
No comments:
Post a Comment