Like Blog Ini...

Sunday, November 18, 2012

Memupuk sifat tawaduk

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

SESEORANG individu yang beriman pastinya akan memahami tentang tugasnya sebagai khalifah Allah di atas muka bumi. Setiap rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepadanya, akan dianggap sebagai amanah yang perlu digunakan untuk kepentingan menjaga agama dan mentadbir dunia dengan agama.

Anugerah Allah SWT tersebut hanyalah sementara dan tidak akan kekal selama-lamanya. Harta yang banyak, pangkat yang tinggi dan rupa paras yang cantik hanyalah diberikan Allah SWT sebagai ujian kepada manusia.

Semua kenikmatan ini tidak akan dapat menjadi bekal untuk 'membeli' syurga Allah melainkan sekiranya ia digunakan dengan mengikut landasan yang betul berdasarkan pertimbangan agama.

Orang yang beriman akan menyedari bahawa harta yang ada padanya adalah jauh lebih sedikit berbanding dengan harta yang dimiliki oleh Allah yang menguasai alam semesta ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang. (al-Isra': 37)

Oleh itu, manusia yang beriman pastinya tidak akan merasa sombong dan bongkak di atas segala kurniaan Allah tersebut. Dia tidak akan membangga diri, mendabik dada dengan menyatakan bahawa dia mempunyai kelebihan berbanding orang lain. Dia tidak akan memandang rendah terhadap orang miskin dan tidak memandang sepi terhadap orang yang lemah.

Bahkan, manusia yang beriman akan sentiasa bersyukur dan memohon ampun kerana bimbang pangkat dan harta yang diperoleh olehnya itu akan menjadi fitnah kepadanya dan akan menyusahkannya di akhirat kelak.

Masyarakat jahiliah sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW adalah antara golongan yang terlalu ego dan sombong. Mereka sanggup menolak ajaran Rasulullah SAW walaupun mengetahui kebenaran yang dibawa oleh Baginda SAW.

Sifat sombong dan ego ini diperangi oleh Nabi SAW sepanjang hayatnya. Namun, setelah kewafatan Baginda Rasulullah SAW dan masa telah berlalu, manusia akhirnya kembali balik kepada perangai jahiliah tersebut.

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: Allah Azzawajalla berfirman, Kemuliaan adalah sarungku dan kesombongan itu adalah selendangku, sesiapa yang mencabut daripadaku salah satu daripada keduanya nescaya Aku akan menyeksanya. (riwayat Muslim).

Segala kepujian dan sifat kebesaran hanya menjadi milik Allah SWT. Oleh itu, Allah memberi peringatan bahawa tiada sesiapapun daripada kalangan makhluk-Nya yang layak memakai mana-mana sifat itu melainkan Dia.

Setiap Muslim hendaklah sentiasa tawaduk (merendah diri), dan bersikap sederhana. Tawaduk bukannya bermaksud berjalan dalam keadaan terbongkok-bongkok seolah-olah orang sakit seperti yang banyak dilakukan oleh orang yang mengaku soleh dan bertakwa.

Ini adalah kerana Nabi SAW tidak mendidik kita berbuat sedemikian. Bahkan diriwayatkan oleh Ali bahawa Nabi SAW berjalan seolah-olah seperti meniti jalan menurun. Ini adalah cara berjalan orang yang penuh dengan semangat dan keberanian.

Sombong pula maksudnya menolak kebenaran dan menganggap remeh segala yang lain. Orang yang sombong akan berasa dirinya lebih baik, pintar, kaya dan hebat seperti Firaun, Qarun dan Abu Jahal yang bersikap angkuh, tidak mahu menerima kebenaran.

Orang yang sombong sebenarnya adalah mereka yang terpedaya dengan nikmat sementara yang dikurniakan Allah SWT sehingga lupa kepada nikmat hakiki di akhirat kelak.

Dalam surah Luqman, ayat 18 Allah melarang kita bersikap sombong sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Dan janganlah engkau memalingkan muka daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah engkau berjalan di muka bumi ini dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.

l WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN adalah daripada Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121113/ba_01/Memupuk-sifat-tawaduk#ixzz2CYr5FQTy
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: