Like Blog Ini...

Friday, August 21, 2009

Realiti Islam di selatan Thai

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
(Yang membuat tinjauan di selatan Thailand baru-baru ini)

"MARILAH kita bersatu atas nama Islam dan janganlah mudah terpedaya dengan situasi dan usaha untuk memecah-belahkan kita.''

Itulah antara intipati yang terkandung dalam khutbah yang disampaikan oleh khatib di Masjid Jamek, Pattani pada 14 Ogos lalu.

Kesempatan menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan serta meninjau kehidupan masyarakat Islam di Selatan Thailand termasuk di pondok-pondok pengajian agama, menimbulkan persoalan di fikiran penulis apakah benar dakwaan sesetengah pihak bahawa umat Islam di wilayah berkenaan tertindas.

Mungkin sebelum ini berlaku beberapa peristiwa yang menyebabkan kemarahan umat Islam tetapi semua itu berlaku ketika Thailand berada di bawah kepimpinan Thaksin Shinawatra.

Tetapi sekarang di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva banyak sudah ruang dibuka bagi membolehkan konflik di Selatan Thailand berakhir.

Penulis diberitahu kerajaan Thailand sudah menyatakan komitmennya untuk melaburkan berjuta-juta ringgit bagi membangunkan wilayah berkenaan.

Komitmen ini seharusnya disambut baik oleh semua umat Islam di Thailand termasuklah kelompok yang mengaku sebagai puak pemisah. Tetapi apa yang disaksikan, puak berkenaan seolah-olah tidak mahu itu berlaku.

Justeru atas nama perjuangan mereka terus berusaha menganggu gugat keamanan dengan menyebarkan propaganda yang entah apa-apa.

Penulis melihat sendiri bagaimana umat Islam menjalani kehidupan seharian tanpa apa-apa masalah atau sekatan. Malah bekas Panglima Tentera Thailand yang juga seorang Islam, Sonthi Boonyaratglin memberitahu penulis bahawa umat Islam tidak berasa kehidupan mereka terancam.

Pihak yang menggembar-gemburkan kononnya umat Islam ditindas hakikatnya mempunya agenda politik masing-masing.

Atas sebab itulah mereka memberitahu orang luar perkara-perkara yang tidak masuk akal. Ini boleh dibuktikan kalau kita melihat sendiri suasana di selatan.

Sebagai contohnya, ada individu yang mengaku dirinya pemimpin puak pemisah mendakwa, umat Islam di selatan amat membenci kerajaan Thai.

Menurut dakwaan palsunya, kebencian tersebut sampai ke tahap umat Islam tidak mahu menggunakan tulisan Siam di sekolah-sekolah agama dan masjid-masjid serta tidak mahu mengibar bendera Thailand.

Selain itu, mereka juga mendakwa umat Islam tidak suka menggunakan dua huruf "T" pada ejaan Pattani kerana menganggap ia bermaksud "Tanah Thailand". Namun ketika melakukan tinjauan di sana, suasana amat berbeza sekali daripada apa yang didakwa.

Di semua sekolah agama dan masjid tulisan Siam tetap digunakan dan bendera Thailand tetap dikibarkan. Keadaan itu membuktikan dengan jelas bahawa kelompok yang mendakwa pemimpin puak pemisah ini hanyalah melakukan propaganda semata-mata.

Lebih malang lagi, mereka yang membuat dakwaan ini tidak pernah pun pulang ke Thailand selepas melarikan diri. Mereka hidup selesa di luar negara dan ada antaranya sudah menjadi warga negara asing.

Mereka tidak tahu pun apa-apa perkembangan di tanah air sendiri, tetapi masih juga mahu mendakwa kononnya mereka mampu memainkan peranan penting bagi mewujudkan keamanan di wilayah tersebut.

Mungkin masanya sudah tiba untuk kerajaan Thailand atau mana-mana juga agensi luar yang terlibat dalam usaha membawa keamanan di wilayah berkenaan memikirkan semula, adakah perlu rundingan diteruskan dengan puak-puak pemisah ini.

Kalau hendak berunding pun biarlah dengan kumpulan yang betul dan bukannya dengan individu atau kelompok yang cuba menangguk di air keruh.

Sebenarnya, kita pun tidak pasti malah kerajaan Thailand sendiri pun difahamkan tidak tahu siapa sebenarnya puak pemisah.

Kalau hendak dikatakan Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (PULO) ia boleh dikatakan sudah lama berkubur. Kalau pun ada puak yang mendakwa mereka daripada PULO, mereka tidak mempunyai kekuatan senjata. Malah organisasi itu boleh dianggap hidup segan mati tidak mahu.

Penulis difahamkan ada lagi satu puak ialah Barisan Rakyat Bersatu (BRN), tetapi tidak pasti sejauh manakah kekuatannya.

Namun apa yang pasti tidak kira banyak manapun puak pemisah, mereka tidak bersatu dan ini diakui oleh Sonthi yang menganggap keadaan itu mewujudkan kesukaran untuk pihak kerajaan berunding.

Puak pemisah tidak ada pemimpin unggul yang boleh ditonjolkan, mereka berselerakan dan tidak bersatu. Tetapi malangnya mereka tidak mahu mengkaji kelemahan ini sebaliknya lebih gemar mewujudkan propaganda bukan-bukan sehingga menggugat kehidupan aman umat Islam di selatan yang sudah pasti hampir keseluruhan tidak menyokong puak pemisah.

Bukankah dalam Islam sendiri sudah menganjurkan kita supaya taat kepada pemimpin asalkan pemimpin itu tidak menyuruh kita melakukan kemaksiatan dan tidak memerangi agama Islam.

Oleh itu kepada puak pemisah, mereka perlu ikhlas dalam perjuangan. Kalau benar mereka jujur ingin melihat umat Islam di selatan hidup dalam suasana aman dan mampu mengecap kebahagiaan seperti kaum-kaum lain di Thailand, mereka mesti menyokong apa yang sedang diusahakan oleh kerajaan.

Tidak perlulah terlalu taksub untuk menegakkan perjuangan songsang kerana kalau betul mereka berjuang atas nama Islam, kenapa perlu membunuh ustaz, imam dan individu Islam yang lain.

Hakikatnya, apa yang dilakukan oleh puak pemisah sekarang tidak kira siapapun mereka tidak menguntungkan umat Islam. Mereka tidak boleh dipengaruhi dengan perasaan dendam dan kebencian yang melampau.

Kalau mereka mahu melihat kesejahteraan umat Islam, mereka perlu keluar dari tempat persembunyian dan mengadakan rundingan.

Sejarah sudah membuktikan, bagi manamana juga kerajaan yang berhadapan dengan puak pemisah seperti di Thailand kesabaran kerajaan ada hadnya. Apabila tiba masanya, jika puak pemisah masih lagi berdegil, maka mereka perlu bersedia menerima akibatnya.

Ketika ini kita boleh memuji usaha dilakukan oleh kerajaan Thai dalam mewujudkan keamanan dan membantu masyarakat di selatan negara itu.

Ia termasuklah memberikan peruntukan pembangunan dan kesediaan menubuhkan pasukan petugas khas yang dikenali sebagai Task Force 960 Thailand yang bekerjasama dengan Task Force 2010 (Malaysia) bagi melaksanakan misi berkenaan.

Tetapi kebaikan ini boleh berakhir dan puak pemisah akan diperangi habis-habisan sekiranya mereka terus berusaha untuk meneruskan perjuangan sia-sia mereka.

Malangnya, kalau mereka berada di Thailand tidak apa tetapi masalahnya bak kata orang mereka 'sedap-sedap duduk di luar negara', risikonya umat Islam di Thailand menanggungnya.

Oleh itu kepada puak pemisah, janganlah bersikap munafik. Kalau benar ikhlas berjuang untuk kesejahteraan umat Islam Thailand maka lakukanlah tindakan yang betul, berusahalah untuk bersatu dan berunding, bukannya terus melancarkan tindakan ganas kerana jika itu dilakukan ia bukanlah satu perjuangan tetapi pengkhianatan.

No comments: