Like Blog Ini...

Saturday, December 19, 2009

Mencari perlindungan di Habsyah

SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI

Sebahagian rakyat Amerika berpakaian ala tahanan penjara Guantanamao bagi membantah seksaan yang dilakukan di penjara tersebut. - gambar hiasan

HANYA kerana hendak menganut, mengamal dan mempertahankan kesucian Islam, pengikut-pengikutnya sehingga hari ini menjadi mangsa penderitaan musuh-musuh yang membenci agama itu.

Penderitaan yang ditanggung pula bukan sedikit walaupun badan sedikit pun tidak sakit atau luka akibat diseksa.

Tetapi bayangkan jika kitab sesuci al-Quran dikoyak-koyakkan dan dicampak ke dalam lubang tandas? Batin mana yang dapat menanggung penyeksaan mental yang seumpama itu?

Penghinaan terhadap Al Quran itu seperti yang diceritakan oleh seorang rakyat Sudan, Sami Al Hajj yang menjadi tahanan selama hampir tujuh tahun di kem tentera laut di Teluk Guantanamo, Cuba di Persidangan Antarabangsa Menjenayahkan Perang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tentera-tentera Amerika Syarikat (AS) di kem itu bagaikan hilang akal dan tidak ada bezanya seperti golongan kafir Quraisy yang menjadikan tahanan-tahanan Islam di kem itu sebagai musuh dalam agama dan bukannya penjenayah perang seperti 'didakwa'.

Kerana itu, jika penulis sejarah Islam terkenal, Hussein Haekal masih hidup, beliau mungkin akan menarik balik kata-katanya yang tertulis pada muka surat 111 buku Sejarah Hidup Muhammad.

"Period yang telah dilalui dalam hidup Nabi Muhammad (seksaan-seksaan fizikal dan mental oleh kafir Quraisy) adalah period yang paling dahsyat yang pernah dialami oleh sejarah umat manusia" kata Haekal.

Justeru, melihatkan keganasan kaum musyrikin yang makin hari semakin ganas dan langsung tidak berperikemanusiaan sedangkan Nabi Muhammad tidak dapat memberikan perlindungan kepada kaum Muslimin, maka pada suatu hari, baginda mencadangkan kepada kaumnya itu satu jalan keluar.

"Alangkah baiknya jika kalian dapat berhijrah ke Habsyah (Ethiopia) kerana di sana ada seorang raja yang sangat adil. Tidak seorang pun rakyat yang didalam kekuasaannya pernah dianiaya oleh pemerintah yang adil itu. Oleh kerana itu, kalian pergilah ke Habsyah mencari perlindungan sehingga Allah memberikan jalan keluar dari terus menjadi mangsa seksaan musuh-musuh yang membenci Islam ini," kata baginda kepada kaum muslimin.

Cadangan baginda itu dapat diterima oleh pengikut-pengikutnya kerana mereka yakin Rasulullah telah membuat pertimbangan semasak-masaknya demi jaminan keselamatan mereka umat Islam.

Mereka sanggup meninggalkan Kota Mekah dengan kumpulan pertama seramai sepuluh orang yang dipimpin oleh Usman bin Madh'un berlepas secara diam-diam dari pengetahuan kafir Quraisy.

Ini diikuti rombongan kedua yang dipimpin oleh seorang lagi bapa saudara Nabi, Jaafar bin Abdul Mutalib yang turut membawa isteri dan keluarga. Ini menjadikan keseluruhannya seramai 83 orang terdiri dari kaum Muslimin yang terpaksa berhijrah ke Habsyah.

Namun pemergian mereka itu akhirnya sampai ke pengetahuan kafir Quraisy yang menyebabkan mereka segera bertindak menghalang umat Islam mencari perlindungan di Habsyah.

Mereka mengutuskan Abdullah bin Abi Rabiah dan Amru Ibnu Ash bin Wail untuk menemui Raja Habsyah bagi menceritakan keburukan umat Islam dan mereka tidak diterima untuk mendapat perlindungan di negara itu.

Tidak cukup itu, mereka juga membawakan pelbagai hadiah yang menarik untuk Raja itu serta para pembesar dan pemimpin agama Nasrani di sana.

Sesampainya sahaja di Habsyah wakil dari kafir Quraisy ini terlebih dahulu menyogokkan hadiah-hadiah yang dibawa itu kepada para pendeta atau pemimpin-pemimpin gereja.

Dengan harapan pendeta itu akan membantu mereka dengan menyokong di hadapan Raja Habsyah untuk menghalau kembali pengikut-pengikut Nabi Muhammad itu.

Ketika berada dibawa mengadap Raja Habsyah itu, mereka berkata: "Hai, Paduka Baginda, sesungguhnya ada beberapa orang yang melindungkan dirinya di negeri Tuanku. Mereka itu adalah golongan yang keluar dari agama nenek moyang dan masuk ke dalam agama baru yang tidak kami ketahui asal usulnya dan agama itu juga lain dari agama Tuanku.

"Agama itu didapati telah memecah belahkan masyarakat dan persatuan kita. Sehingga kami diutus oleh bangsa kami untuk meminta tolong pada Tuanku agar membantu kami membawa pulang semula pelarian-pelarian tersebut," kata wakil-wakil dari kafir Quraisy itu.

Permohonan dari puak penentang Islam itu begitu didukung penuh oleh para uskup atau pendeta Nasrani yang turut hadir di majlis itu.

Namun Raja Habsyah itu mungkin tidak sebagaimana yang mereka sangka. Ini kerana baginda seorang yang sangat bijak dan tidak mudah menerima laporan dari satu pihak tanpa dibuktikan dahulu kebenarannya.

Lantas selepas berpuas hati mendengar penerangan dari wakil kafir Quraisy itu, baginda memanggil mengadap seluruh kaum Muslimin yang dituduh melarikan diri dan tidak mematuhi ajaran menyembah berhala itu.

Baginda bertanya: "Agama apakah yang kamu pegang sekarang ini? Mengapakah kamu memecah belahkan kaum dan masyarakat kamu sendiri dengan agama itu?

"Mengapa kamu tidak memilih sahaja agamaku (Kristian Nasarani) atau terus berpegang kepada agama nenek moyang kamu, menyembah berhala?"

Lalu Jaafar Abdul Mutalib, merafakkan sembah dan memohon untuk menjelaskan.

Beliau berkata: "Wahai Paduka Raja Kaisar, dahulunya waktu kami hidup di zaman jahiliah, kami adalah sebuah kamu penyembah berhala yang gemar memakan daging-daging bangkai (tidak disembelih), berbuat pelbagai dosa, memutuskan hubungan antara sesama keluarga dan jiran tetangga.

"Bahkan kami sering menindas mereka yang lemah, miskin dan tidak berdaya. Itulah dan banyak lagi kebiasaan kami yang tidak baik yang dilakukan semasa Jahiliah," kata Jaafar.

Sehinggalah kata Jaafar lagi, Allah mengutuskan seorang Rasul-Nya yang telah mereka kenal nasab keturunannya, kejujuran dan sifat amanah yang sangat tinggi dimiliki oleh Rasul ini.

Rasul itu menurut Jaafar telah mengajak kaum mereka semua untuk menyembah Allah Yang Maha Esa dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain.

"Kami juga diajak meninggalkan segala perbuatan jahat, makan harta anak yatim dan berkata bohong yang selalu kami lakukan sebelum ini.

"Selain itu kami diajak untuk berlaku jujur dan amanah terutama dalam hubungan sesama manusia sehinggalah ketika berurusan jual beli, selalu berbaik dengan kerabat keluarga dan jiran tetangga dan dijauhkan dari membunuh sesama sendiri.

"Dari segi ibadah, kami hanya dikehendaki melakukan ibadat yang paling mudah dan sangat diterima akal iaitu solat, memberikan zakat, puasa, haji selain dimulakan dengan mengucap dua kalimah syahadah," ujar Jaafar.

Jaafar menyambung lagi apabila dilihatnya Raja Habsyah itu begitu menaruh minat segala penerangan itu.

"Kami pun beriman dengan ajaran Rasul itu dan sejak dari itu kami tidak lagi menyembah selain dari Allah serta mengerjakan apa yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang oleh agama itu.

"Namun kerana memilih agama yang lebih baik dan sempurna itu, kami dibenci dan dihina oleh kaum kami sendiri.

"Malah mereka sanggup menyeksa dan membunuh kami agar kami takut dan kembali kepada kehidupan yang sesat seperti dahulu," kata Jaafar sayu sehingga menjadikan seluruh singgahsana terdiam seketika.

Raja Habsyah kemudian dilihat mengangguk-anggukkan kepala apabila Jaafar berkata, tanpa ada banyak pilihan yang lain bagi mengelakkan bagi melindungi diri dari terus diseksa oleh kafir Quraisy menyebabkan mereka ke Habsyah untuk mendapatkan perlindungan dari kejahatan mereka yang berlaku zalim ke atas umat Islam itu.

"Kami bukan sengaja hendak menjadi pelarian seperti yang didakwa tetapi kerana jika sudah tidak selamat di tempat sendiri maka kepada pihak Tuankulah kami memohon perlindungan sehingga keadaan kembali pulih," kata Jaafar lagi.

Walaupun Raja Habsyah telah puas mendengar penerangan dari Jaafar namun baginda masih tidak berpuas hati mengenai suatu perkara.

Ini kerana penerangan Jaafar telah mengingatkan baginda sesuatu yang seperti pernah diberitahu kepada baginda sebelum ini.

Dapatkah Jaafar merungkai persoalan itu dan bagaimana nasib beliau dan pengikut-pengikut lain yang lain. Adakah mereka akan dihalau pulang semula ke Mekkah dengan dikawal sepenuhnya oleh wakil-wakil dari kafir Quraisy itu.

Adakah Raja Habsyah tetap akan termakan dek pelbagai hadiah yang diumpankan kepadanya itu.

Inilah peristiwa Hijrah pertama umat Islam dan kisah selanjutnya pada minggu hadapan!

Saturday, December 12, 2009

Jadilah umat terbaik

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

RASULULLAH SAW bersabda; ''Muslim yakni orang Islam itu adalah saudara Muslim, tidak boleh menganiayanya dan tidak boleh membiarkannya (jika dianiaya orang lain). Barang siapa yang suka menolong hajat saudaranya, maka Allah akan menolong hajatnya. Barang siapa yang melapangkan kepada sesama Muslim suatu kesusahan dari sekian banyak kesusahan di dunia, maka Allah akan memberikan kelapangan kepadanya satu kesusahan dari sekian banyak kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menutupi aib seorang Muslim, maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat. (hadis riwayat Bukhari.)

Demikianlah pesan Rasulullah SAW kepada umatnya supaya sentiasa memastikan di mana juga kita berada dan apa juga warna kulit atau bangsa kita, selagi mereka beragama Islam maka selagi itulah kita harus berpegang teguh kepada hadis tersebut.

Atas sebab itulah, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melangkah kaki melakukan lawatan bagi meninjau kehidupan masyarakat Islam di selatan Thailand ia mendapat pujian pelbagai pihak terutamanya alim ulama di wilayah yang sedang bergolak itu.

Serangan bom yang berlaku sehari sebelum Najib tiba di Narathiwat, sama sekali tidak melunturkan semangat Perdana Menteri yang sememangnya ingin menunjukkan keikhlasan betapa sebagai saudara sesama Islam, umat Islam di Malaysia bersedia membantu masyarakat di selatan Thailand.

Wilayah

Sememangnya umat Islam di wilayah tersebut memerlukan pembelaan, tanpa mengenepikan usaha yang dilakukan oleh kerajaan Thailand, masyarakat berkenaan memerlukan komitmen daripada negara-negara Islam seperti Malaysia membantu meningkat taraf ekonomi mereka dan lebih penting memulihkan situasi keamanan di situ.

Mereka sudah bosan dengan konflik yang berlaku kerana ia tidak memberi apa-apa keuntungan kepada umat Islam. Setiap hari ada sahaja umat Islam yang terkorban atau tercedera hanya semata-mata perjuangan sia-sia kelompok puak pemisah yang kononnya ingin membebaskan mereka daripada pemerintahan kerajaan Thailand.

Tetapi mengangkat senjata bagi mencapai cita-cita seumpama itu apatah lagi menentang pemerintah yang sah bukannya ajaran Islam malah dalam al Quran Allah telah memperingatkan umat Islam supaya taat kepada Allah, rasul dan ulul amri.

Ertinya walaupun umat Islam berada di bawah pemerintah yang bukan Islam tetapi mereka harus taat kepada pemerintah negara tersebut asalkan pemerintah itu tidak menyuruh mereka melakukan perkara bertentangan dengan agama Islam.

Berpegang kepada firman Allah itulah, Najib dalam ucapannya mahu umat Islam di selatan Thailand sentiasa setia kepada negara, raja dan Perlembagaan negara itu dan berusaha menjadi umat Islam terbaik.

Najib mahu mereka membuktikan bahawa biarpun mereka golongan minoriti dalam sebuah negara seperti Thailand tetapi ia tidak harus menghalang mereka untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Sememangnya itulah ajaran Islam, tidak kiralah apa pun warga negara apa yang penting mereka harus sentiasa patuh dalam melaksanakan perintah Allah dan menjadi umat terbaik.

Selain itu, apa yang lebih penting ialah umat Islam di selatan Thailand juga harus membenci keganasan dan jangan sesekali dengan bersekongkol dengan perbuatan sedemikian.

Ia kerana dalam Islam membunuh insan yang tidak berdosa atas alasan apa pun sekali adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Justeru dalam situasi sekarang, apa yang lebih ialah umat Islam di wilayah berkenaan menumpukan perhatian kepada usaha membawa keamanan di situ dan berusaha untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Sesungguhnya Allah mencintai hamba-Nya yang mencintai keamanan dan sentiasa berusaha mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Selain itu, umat Islam di wilayah itu juga harus mengerti bahawa sebagai negara Islam, Malaysia sentiasa bersedia membantu mereka kerana itulah seruan Allah.

Pembalasan buat pembunuh Palestin

Oleh Hafizahril Hamid

PENDERITAAN penduduk Palestin sememangnya satu tragedi bagi umat Islam. Sebut sahaja sebarang bentuk penganiayaan dan penderitaan yang tidak dilalui mereka. Sehingga kini masih belum terdapat sebarang pembelaan yang nyata terhadap nasib Palestin.

Sejak bermulanya sejarah kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin pada 14 Mei 1948, pelbagai alasan dan fitnah ditebarkan untuk menafikan kekejaman yang telah dilakukan.

Pelbagai perang, konflik dan perjanjian damai telah berlalu namun ia gagal merobek keegoan Israel untuk menilai kembali kekejaman dan pertumpahan darah yang telah dilakukan terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Namun yang hak pasti akan tertulis dan kekejaman yang dilakukan manusia akan dibalas tuhan walaupun ketika masih hidup.

Itulah nasib yang dialami oleh bekas Perdana Menteri Israel Ariel Sharon.

Beliau yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri dari bulan Mac 2001 hingga April 2006 namun kemudian tidak mampu untuk melaksanakan tugas-tugasnya selepas jatuh sakit akibat menderita angin ahmar pada 4 Januari 2006.
Buy AppleƂ® Computer Buy a new iMac, MacBook and more direct from Apple.

Pada awalnya beliau berada dalam koma sebelum mampu membuka mata. Namun sejak dari itu dirinya tidak ubah seperti mayat hidup. Ini kerana dirinya kini sedar tetapi menderita lumpuh sepenuhnya melainkan matanya sahaja yang masih terbuka. Dari sudut perubatan keadaannya dipanggil "vegetatif persisten" iaitu lumpuh sepenuhnya walaupun tidak koma.

Hanya matanya yang terbuka dan boleh memberi isyarat namun tidak boleh menggerakkan badan.

Menurut sumber yang diperoleh dari sebuah media Israel, keadaan terkini Sharon yang juga digelar "Sang pembunuh rakyat Palestin" boleh diibaratkan seperti bangkai bernyawa.

Menurut sebuah akhbar Israel, "Hume Israel" keadaan kesihatan Sharon kini masih menderita angin ahmar dan terbaring di hospital selama lebih dari empat tahun.

Sharon yang ketika ini menjangkau usia 81 tahun telah dirawat di Hospital Syaiba tidak jauh dari kota Tel Aviv. Beliau diberitakan terbaring dalam keadaan kedua mata terus terbuka. Para perawat yang menjaganya kemudian menempatkan Sharon di depan televisyen yang menayangkan filem-filem panorama alam dan pelbagai jenis haiwan terutama lembu.

Akhbar itu mendakwa bahawa keluarga Sharon masih tidak berputus asa dan kerap menjenguk dan berinteraksi dengannya. Ini seolah-olah mengisyaratkan bahawa Sharon masih hidup dan mampu sembuh seperti sebelumnya. Seorang anggota keluarganya kerap membacakan akhbar harian di sisinya sambil memberitahu dan menggambarkan perkembangan ladang lembu yang dimilikinya di daerah selatan Israel. Di samping itu beliau turut dibacakan beberapa buku dan diperdengarkan muzik-muzik klasik.

dipulihkan

Walaupun menderita sakit yang tidak boleh dipulihkan namun beliau tetap diberikan penjagaan rapi oleh keluarganya.

Diberitakan seorang lelaki telah ditugaskan khas untuk mencukur janggutnya. Malah dikatakan Sharon sering memberikan isyarat mencukur janggutnya dengan terketar-ketar menggerakkan jarinya kepada lelaki berkenaan .

Doktor yang merawat beliau Solomo Segev memberitahu, keadaan dan kesihatan Sharon yang hanya terbaring di atas katil di hospital sejak beberapa tahun lalu sukar diramal. Sehingga kini Sharon masih hidup kerana degupan jantung dan tekanan darahnya masih bergerak seperti manusia normal.

Malangnya keadaannya ini adalah sama seperti kali pertama dirinya dimasukkan ke hospital pada empat tahun lalu.

Ketika ditanya lebih lanjut sampai bila keadaan Sharon akan terus begini, Segev memberitahu tiada sebarang jaminan beliau akan sembuh.

"Kalau dikaji dari purata usia ahli keluarga Sharon, ibu dan neneknya mati sekitar usia 90 tahun.

"Oleh itu Sharon dijangka akan tetap dengan keadaannya sekarang mungkin sehingga usianya lebih 90 tahun nanti," kata Segev.

Beliau kemudiannya ditanya apakah peluang bagi Sharon untuk sembuh dari koma. Segev menjawab, "Sharon bukan manusia biasa, ada pesakit lain yang berada dalam keadaan koma lebih lama dari Sharon, namun pesakit-pesakit itu masih dalam usia muda.

"Pesakit seumur Sharon biasanya tidak bertahan lama, apatah lagi jika mereka mampu bertahan hingga empat tahun. Kalau itu terjadi, tentu ia dilihat diluar kewajaran," katanya.

Walau apa pun jawapan yang diberikan oleh doktor yang merawatnya namun hakikatnya penderitaan yang ditanggungnya adalah pembalasan tuhan kepadanya. Kekejaman yang dilakukan ketika muda sebagai anggota tentera hinggalah menjawat jawatan tertinggi dalam Kabinet Israel adalah tindakan yang diluar batas kemanusiaan.

Maka penderitaan yang ditanggungnya kini hanyalah sekelumit dari ribuan kematian dan penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin. Namun sekurangnya-kurangnya beliau telah merasai sendiri pedihnya seksaan tuhan di dunia sebelum menerima seksaan di akhirat kelak.