Like Blog Ini...

Saturday, December 12, 2009

Jadilah umat terbaik

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

RASULULLAH SAW bersabda; ''Muslim yakni orang Islam itu adalah saudara Muslim, tidak boleh menganiayanya dan tidak boleh membiarkannya (jika dianiaya orang lain). Barang siapa yang suka menolong hajat saudaranya, maka Allah akan menolong hajatnya. Barang siapa yang melapangkan kepada sesama Muslim suatu kesusahan dari sekian banyak kesusahan di dunia, maka Allah akan memberikan kelapangan kepadanya satu kesusahan dari sekian banyak kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menutupi aib seorang Muslim, maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat. (hadis riwayat Bukhari.)

Demikianlah pesan Rasulullah SAW kepada umatnya supaya sentiasa memastikan di mana juga kita berada dan apa juga warna kulit atau bangsa kita, selagi mereka beragama Islam maka selagi itulah kita harus berpegang teguh kepada hadis tersebut.

Atas sebab itulah, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melangkah kaki melakukan lawatan bagi meninjau kehidupan masyarakat Islam di selatan Thailand ia mendapat pujian pelbagai pihak terutamanya alim ulama di wilayah yang sedang bergolak itu.

Serangan bom yang berlaku sehari sebelum Najib tiba di Narathiwat, sama sekali tidak melunturkan semangat Perdana Menteri yang sememangnya ingin menunjukkan keikhlasan betapa sebagai saudara sesama Islam, umat Islam di Malaysia bersedia membantu masyarakat di selatan Thailand.

Wilayah

Sememangnya umat Islam di wilayah tersebut memerlukan pembelaan, tanpa mengenepikan usaha yang dilakukan oleh kerajaan Thailand, masyarakat berkenaan memerlukan komitmen daripada negara-negara Islam seperti Malaysia membantu meningkat taraf ekonomi mereka dan lebih penting memulihkan situasi keamanan di situ.

Mereka sudah bosan dengan konflik yang berlaku kerana ia tidak memberi apa-apa keuntungan kepada umat Islam. Setiap hari ada sahaja umat Islam yang terkorban atau tercedera hanya semata-mata perjuangan sia-sia kelompok puak pemisah yang kononnya ingin membebaskan mereka daripada pemerintahan kerajaan Thailand.

Tetapi mengangkat senjata bagi mencapai cita-cita seumpama itu apatah lagi menentang pemerintah yang sah bukannya ajaran Islam malah dalam al Quran Allah telah memperingatkan umat Islam supaya taat kepada Allah, rasul dan ulul amri.

Ertinya walaupun umat Islam berada di bawah pemerintah yang bukan Islam tetapi mereka harus taat kepada pemerintah negara tersebut asalkan pemerintah itu tidak menyuruh mereka melakukan perkara bertentangan dengan agama Islam.

Berpegang kepada firman Allah itulah, Najib dalam ucapannya mahu umat Islam di selatan Thailand sentiasa setia kepada negara, raja dan Perlembagaan negara itu dan berusaha menjadi umat Islam terbaik.

Najib mahu mereka membuktikan bahawa biarpun mereka golongan minoriti dalam sebuah negara seperti Thailand tetapi ia tidak harus menghalang mereka untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Sememangnya itulah ajaran Islam, tidak kiralah apa pun warga negara apa yang penting mereka harus sentiasa patuh dalam melaksanakan perintah Allah dan menjadi umat terbaik.

Selain itu, apa yang lebih penting ialah umat Islam di selatan Thailand juga harus membenci keganasan dan jangan sesekali dengan bersekongkol dengan perbuatan sedemikian.

Ia kerana dalam Islam membunuh insan yang tidak berdosa atas alasan apa pun sekali adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Justeru dalam situasi sekarang, apa yang lebih ialah umat Islam di wilayah berkenaan menumpukan perhatian kepada usaha membawa keamanan di situ dan berusaha untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Sesungguhnya Allah mencintai hamba-Nya yang mencintai keamanan dan sentiasa berusaha mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Selain itu, umat Islam di wilayah itu juga harus mengerti bahawa sebagai negara Islam, Malaysia sentiasa bersedia membantu mereka kerana itulah seruan Allah.

No comments: