Like Blog Ini...

Saturday, December 19, 2009

Mencari perlindungan di Habsyah

SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI

Sebahagian rakyat Amerika berpakaian ala tahanan penjara Guantanamao bagi membantah seksaan yang dilakukan di penjara tersebut. - gambar hiasan

HANYA kerana hendak menganut, mengamal dan mempertahankan kesucian Islam, pengikut-pengikutnya sehingga hari ini menjadi mangsa penderitaan musuh-musuh yang membenci agama itu.

Penderitaan yang ditanggung pula bukan sedikit walaupun badan sedikit pun tidak sakit atau luka akibat diseksa.

Tetapi bayangkan jika kitab sesuci al-Quran dikoyak-koyakkan dan dicampak ke dalam lubang tandas? Batin mana yang dapat menanggung penyeksaan mental yang seumpama itu?

Penghinaan terhadap Al Quran itu seperti yang diceritakan oleh seorang rakyat Sudan, Sami Al Hajj yang menjadi tahanan selama hampir tujuh tahun di kem tentera laut di Teluk Guantanamo, Cuba di Persidangan Antarabangsa Menjenayahkan Perang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tentera-tentera Amerika Syarikat (AS) di kem itu bagaikan hilang akal dan tidak ada bezanya seperti golongan kafir Quraisy yang menjadikan tahanan-tahanan Islam di kem itu sebagai musuh dalam agama dan bukannya penjenayah perang seperti 'didakwa'.

Kerana itu, jika penulis sejarah Islam terkenal, Hussein Haekal masih hidup, beliau mungkin akan menarik balik kata-katanya yang tertulis pada muka surat 111 buku Sejarah Hidup Muhammad.

"Period yang telah dilalui dalam hidup Nabi Muhammad (seksaan-seksaan fizikal dan mental oleh kafir Quraisy) adalah period yang paling dahsyat yang pernah dialami oleh sejarah umat manusia" kata Haekal.

Justeru, melihatkan keganasan kaum musyrikin yang makin hari semakin ganas dan langsung tidak berperikemanusiaan sedangkan Nabi Muhammad tidak dapat memberikan perlindungan kepada kaum Muslimin, maka pada suatu hari, baginda mencadangkan kepada kaumnya itu satu jalan keluar.

"Alangkah baiknya jika kalian dapat berhijrah ke Habsyah (Ethiopia) kerana di sana ada seorang raja yang sangat adil. Tidak seorang pun rakyat yang didalam kekuasaannya pernah dianiaya oleh pemerintah yang adil itu. Oleh kerana itu, kalian pergilah ke Habsyah mencari perlindungan sehingga Allah memberikan jalan keluar dari terus menjadi mangsa seksaan musuh-musuh yang membenci Islam ini," kata baginda kepada kaum muslimin.

Cadangan baginda itu dapat diterima oleh pengikut-pengikutnya kerana mereka yakin Rasulullah telah membuat pertimbangan semasak-masaknya demi jaminan keselamatan mereka umat Islam.

Mereka sanggup meninggalkan Kota Mekah dengan kumpulan pertama seramai sepuluh orang yang dipimpin oleh Usman bin Madh'un berlepas secara diam-diam dari pengetahuan kafir Quraisy.

Ini diikuti rombongan kedua yang dipimpin oleh seorang lagi bapa saudara Nabi, Jaafar bin Abdul Mutalib yang turut membawa isteri dan keluarga. Ini menjadikan keseluruhannya seramai 83 orang terdiri dari kaum Muslimin yang terpaksa berhijrah ke Habsyah.

Namun pemergian mereka itu akhirnya sampai ke pengetahuan kafir Quraisy yang menyebabkan mereka segera bertindak menghalang umat Islam mencari perlindungan di Habsyah.

Mereka mengutuskan Abdullah bin Abi Rabiah dan Amru Ibnu Ash bin Wail untuk menemui Raja Habsyah bagi menceritakan keburukan umat Islam dan mereka tidak diterima untuk mendapat perlindungan di negara itu.

Tidak cukup itu, mereka juga membawakan pelbagai hadiah yang menarik untuk Raja itu serta para pembesar dan pemimpin agama Nasrani di sana.

Sesampainya sahaja di Habsyah wakil dari kafir Quraisy ini terlebih dahulu menyogokkan hadiah-hadiah yang dibawa itu kepada para pendeta atau pemimpin-pemimpin gereja.

Dengan harapan pendeta itu akan membantu mereka dengan menyokong di hadapan Raja Habsyah untuk menghalau kembali pengikut-pengikut Nabi Muhammad itu.

Ketika berada dibawa mengadap Raja Habsyah itu, mereka berkata: "Hai, Paduka Baginda, sesungguhnya ada beberapa orang yang melindungkan dirinya di negeri Tuanku. Mereka itu adalah golongan yang keluar dari agama nenek moyang dan masuk ke dalam agama baru yang tidak kami ketahui asal usulnya dan agama itu juga lain dari agama Tuanku.

"Agama itu didapati telah memecah belahkan masyarakat dan persatuan kita. Sehingga kami diutus oleh bangsa kami untuk meminta tolong pada Tuanku agar membantu kami membawa pulang semula pelarian-pelarian tersebut," kata wakil-wakil dari kafir Quraisy itu.

Permohonan dari puak penentang Islam itu begitu didukung penuh oleh para uskup atau pendeta Nasrani yang turut hadir di majlis itu.

Namun Raja Habsyah itu mungkin tidak sebagaimana yang mereka sangka. Ini kerana baginda seorang yang sangat bijak dan tidak mudah menerima laporan dari satu pihak tanpa dibuktikan dahulu kebenarannya.

Lantas selepas berpuas hati mendengar penerangan dari wakil kafir Quraisy itu, baginda memanggil mengadap seluruh kaum Muslimin yang dituduh melarikan diri dan tidak mematuhi ajaran menyembah berhala itu.

Baginda bertanya: "Agama apakah yang kamu pegang sekarang ini? Mengapakah kamu memecah belahkan kaum dan masyarakat kamu sendiri dengan agama itu?

"Mengapa kamu tidak memilih sahaja agamaku (Kristian Nasarani) atau terus berpegang kepada agama nenek moyang kamu, menyembah berhala?"

Lalu Jaafar Abdul Mutalib, merafakkan sembah dan memohon untuk menjelaskan.

Beliau berkata: "Wahai Paduka Raja Kaisar, dahulunya waktu kami hidup di zaman jahiliah, kami adalah sebuah kamu penyembah berhala yang gemar memakan daging-daging bangkai (tidak disembelih), berbuat pelbagai dosa, memutuskan hubungan antara sesama keluarga dan jiran tetangga.

"Bahkan kami sering menindas mereka yang lemah, miskin dan tidak berdaya. Itulah dan banyak lagi kebiasaan kami yang tidak baik yang dilakukan semasa Jahiliah," kata Jaafar.

Sehinggalah kata Jaafar lagi, Allah mengutuskan seorang Rasul-Nya yang telah mereka kenal nasab keturunannya, kejujuran dan sifat amanah yang sangat tinggi dimiliki oleh Rasul ini.

Rasul itu menurut Jaafar telah mengajak kaum mereka semua untuk menyembah Allah Yang Maha Esa dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain.

"Kami juga diajak meninggalkan segala perbuatan jahat, makan harta anak yatim dan berkata bohong yang selalu kami lakukan sebelum ini.

"Selain itu kami diajak untuk berlaku jujur dan amanah terutama dalam hubungan sesama manusia sehinggalah ketika berurusan jual beli, selalu berbaik dengan kerabat keluarga dan jiran tetangga dan dijauhkan dari membunuh sesama sendiri.

"Dari segi ibadah, kami hanya dikehendaki melakukan ibadat yang paling mudah dan sangat diterima akal iaitu solat, memberikan zakat, puasa, haji selain dimulakan dengan mengucap dua kalimah syahadah," ujar Jaafar.

Jaafar menyambung lagi apabila dilihatnya Raja Habsyah itu begitu menaruh minat segala penerangan itu.

"Kami pun beriman dengan ajaran Rasul itu dan sejak dari itu kami tidak lagi menyembah selain dari Allah serta mengerjakan apa yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang oleh agama itu.

"Namun kerana memilih agama yang lebih baik dan sempurna itu, kami dibenci dan dihina oleh kaum kami sendiri.

"Malah mereka sanggup menyeksa dan membunuh kami agar kami takut dan kembali kepada kehidupan yang sesat seperti dahulu," kata Jaafar sayu sehingga menjadikan seluruh singgahsana terdiam seketika.

Raja Habsyah kemudian dilihat mengangguk-anggukkan kepala apabila Jaafar berkata, tanpa ada banyak pilihan yang lain bagi mengelakkan bagi melindungi diri dari terus diseksa oleh kafir Quraisy menyebabkan mereka ke Habsyah untuk mendapatkan perlindungan dari kejahatan mereka yang berlaku zalim ke atas umat Islam itu.

"Kami bukan sengaja hendak menjadi pelarian seperti yang didakwa tetapi kerana jika sudah tidak selamat di tempat sendiri maka kepada pihak Tuankulah kami memohon perlindungan sehingga keadaan kembali pulih," kata Jaafar lagi.

Walaupun Raja Habsyah telah puas mendengar penerangan dari Jaafar namun baginda masih tidak berpuas hati mengenai suatu perkara.

Ini kerana penerangan Jaafar telah mengingatkan baginda sesuatu yang seperti pernah diberitahu kepada baginda sebelum ini.

Dapatkah Jaafar merungkai persoalan itu dan bagaimana nasib beliau dan pengikut-pengikut lain yang lain. Adakah mereka akan dihalau pulang semula ke Mekkah dengan dikawal sepenuhnya oleh wakil-wakil dari kafir Quraisy itu.

Adakah Raja Habsyah tetap akan termakan dek pelbagai hadiah yang diumpankan kepadanya itu.

Inilah peristiwa Hijrah pertama umat Islam dan kisah selanjutnya pada minggu hadapan!

No comments: