Like Blog Ini...

Tuesday, April 3, 2012

Jangkitan Filariasis di Malaysia

ABSTRAK

Cacing Filaria merupakan parasit yang dikategorikan dalam kelas nematod darah. Terdapat berbagai-bagai jenis cacing filaria seperti Wuchereria bancrofti, Brugia malayi, Brugia timori, Loa loa, Onchocerca volvulus dan beberapa spesies yang lain. Walau bagaimanapun, hanya beberapa jenis cacing filaria hidup di dalam saluran limfatik. Cacing filaria yang hidup di dalam saluran limfatik manusia adalah seperti Wuchereri bancrofti, Brugia malayi, dan Brugia timori.

Jangkitan cacing filaria boleh menyebabkan penyakit filariasis. Di Malaysia, cecacing filaria yang selalu menyebabkan penyakit filariasis ialah Wuchereria bancrofti dan Brugia malayi.Kedua-dua cacing filaria ini masih menjadi penyebab utama bagi penyakit filariasis dan elefantiasis di semenanjung Malaysia dan di kepulauan Borneo.

Selalunya hanya cacing filaria dewasa akan menghuni saluran limfatik manusia yang dijangkitinya. Kehadiran cecacing ini hanya dapat dikesan pada peringkat mikrofilaria di mana cecacing pada peringkat ini akan berada di dalam saluran darah manusia.


PENGENALAN

Penyakit filariasis atau penyakit Untut pernah menjadi satu penyakit yang amat digeruni di Malaysia. Penyakit ini dibawa oleh nyamuk jenis mansonia. Penyakit Untut adalah disebabkan parasit Filariasis dan merupakan jenis penyakit yang menular di kawasan tropika, disebabkan oleh Cacing Filaria atau Cacing Gelang yang bersifat parasit seperti benang, Wuchereria bancrofti, Brugia malayi, dan Brugia timori, kesemuanya disebarkan oleh nyamuk. Penyakit ini amat jarang berlaku di negara Barat.

Bentuk Untut yang paling biasa adalah elephantitis (bengkak dibahagian alat kelamin atau peha), yang merupakan penyakit pertama disedari disebarkan oleh serangga. Elephantitis disebabkan parasit yang tinggal di nodus sistem limfa.

Pada tahun 1866, Otto Wecherer membuktikan kehadiran filiria, atau larva filiria, dalam air kencing. Pada tahun 1871, Timoth Lewis menjumpai kehadiran microfilaria dalam darah (peripheral). Kemudian pada 1876, Joseph Bancroft menjumpai bentuk dewasa.
Akhirnya pada tahun 1878, Patrick Manson melaporkan perkembangan Wechereria bancrofti dalam nyamuk.

Untut (Filariasis) adalah endemik di kawasan tropika di Asia, Afrika, Amerika Tengah dan Amerika Selatan.

Elephantitis cenderung menyerang bahagian bawah , manakala telinga, selaput hingus, dan kudung jarang diserang; bagaimanapun, ia bergantung kepada jenis spesies filaria. Wechereria bancrofti mampu menyerang kaki, lengan vulva, buah dada, sementara Brugia timori jarang menjangkiti alat kelamin.


ISI KANDUNGAN

Penyakit Filariasis, Kaki Gajah atau Untut adalah disebabkan oleh parasit dan virus bawaan nyamuk Mansonia yang hidup di kawasan berpaya dan air bertakung, sama seperti nyamuk Aedes. Mereka yang mengidap penyakit ini akan mengalami keadaan di mana salah salah satu, atau kedua-dua kaki akan ´membesar´ akibat lapisan kulit yang tumbuh berlapis-lapis.

Jangkitan penyakit ini, yang lebih kerap menyerang lelaki berbanding wanita bermula apabila mangsa digigit nyamuk Mansonia betina, menyebabkan jangkitan cacing mikrofilaria yang menjadi punca penyakit ini.


PUNCA DAN JANGKITAN

Nama saintifik bagi penyakit ini ialah ‘Filariasis Limfatik’. Walaupun jarang berlaku, kerajaan mengkategorikannya sebagai masalah besar untuk negara ini.

Selain Malaysia, lebih 80 negara lain turut berdepan dengan masalah ini. Dianggarkan seramai 120 juta orang kini menderita akibat penyakit bawaan nyamuk ini. Kira-kira enam peratus penduduk negara ini dijangkiti penyakit ini dengan majoritinya adalah mereka yang tinggal di luar bandar.

Keadaan ini terutamanya berlaku di kawasan tepi sungai seperti di Pahang, Terengganu, Perak, Bintulu dan Miri di Sarawak serta Sungai Kinabatangan di Sabah. Kajian pihak bertanggungjawab pada tahun 2002 mendapati, kira-kira 200 kes jangkitan dikesan di negara ini dan 10 daripada pesakit disahkan menghidap Untut.

Jumlah mereka yang mengidapnya dijangkakan lebih ramai kerana mungkin ada yang tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa. Tahun berikutnya, kerajaan negeri Perak mengeluarkan kenyataan bahawa empat daerah di negeri berkenaan iaitu Hulu Perak, Hilir Perak, Perak Tengah dan Kuala Kangsar dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi penyakit Untut kerana kewujudan beberapa kawasan berpaya yang menjadi habitat nyamuk Mansonia.

Kajian saintis Universiti Sains Malaysia tahun 1999 an pula mendapati, negeri seperti Selangor dan Terengganu serta Sabah juga mempunyai risiko diserang penyakit ini. Kes-kes Untut jarang dilaporkan berlaku di Eropah dan Amerika Utara, kerana ketiadaan populasi nyamuk Mansonia di sana akibat iklim kurang sesuai bagi haiwan ini membiak.

Sebaliknya, cacing parasit mikrofilia Wuchereria Bancrofti, Brugia Malayi dan Brugia Timori amat sesuai hidup dalam persekitaran panas lembap seperti negara ini.


Cacing-cacing berkenaan menjangkiti sistem limpa lalu membiak hingga membentuk satu koloni besar dalam badan manusia, biasanya tanpa disedari perumahnya. Kitaran hidup cacing parasit ini bermula apabila ia memasuki badan manusia, bertelur dan menghasilkan larva.

Selain manusia, haiwan seperti monyet dan beberapa jenis primat juga antara perumah yang dikenal pasti boleh menjadi tempat pembiakan cacing ini. Cacing-cacing yang kelihatan seperti benang jahit ini tidak membawa kesan buruk kepada manusia semasa ia hidup kerana jangkitannya bersifat Asimptomatik, justeru ia tidak berjangkit. Namun begitu, kesan buruknya mula timbul apabila cacing ini mati dan sisa badannya terkumpul di badan perumahnya.

Larva mikrofilaria mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk menjadi cacing matang. Selepas setahun, cacing dewasa boleh membiak dan menghasilkan beribu-ribu mikrofilaria lagi. Dalam tempoh ini, mikrofilaria akan tersebar jika individu itu digigit nyamuk.

Dalam badan nyamuk, mikrofilaria mengambil masa antara tujuh hingga 21 hari untuk membesar ke peringkat paling berjangkit sebelum dipindahkan ke perumah baru apabila nyamuk menghisap darah mangsa lain.

Apabila sampai ke badan perumah baru, mikrofilaria ini akan masuk ke dalam sistem limfa untuk membiak di sana. Haiwan ini boleh hidup antara enam hingga 10 tahun dalam badan manusia, justeru, kesan jangkitan hanya dirasai apabila cacing dewasa mati.


KESAN JANGKITAN

Antara tanda jangkitan cacing ini ialah demam dan bengkak kelenjar yang berulang. Bagi kaum wanita pula, mereka mungkin mengalami masalah Anemia, sementara jangkitan pada kanak-kanak juga boleh menyebabkan mereka terencat. Tanda jangkitan yang akut pula ialah keradangan pada kulit, limfa dan salur limfa sebelum berakhir dengan kaki gajah yang kronik.

Bagaimanapun, bukan semua individu yang dijangkiti akan mengalami masalah Untut; ada yang hanya dilanda demam Filariasis. Sama ada seseorang itu akan dijangkiti Untut atau hanya sekadar demam Filariasis sahaja, bergantung kepada daya tahan terhadap penyakit seseorang individu itu.

Ia juga bergantung kepada berapa banyak cacing yang mati di dalm badan perumahnya, jika kaki bengkak dan besar, menandakan cacing dewasa yang mati adalah banyak.

Bahagian kaki yang membesar itu sebenarnya disebabkan reaksi sel terhadap sisa badan cacing yang membuatkan ia membahagi dengan cepat dan akhirnya membentuk lapisan sel berlebihan. Akibatnya, kaki kulit akan menjadi berlapis-lapis, tebal dan berlipat sehingga kaki akan kelihatan hodoh.

Pun begitu, kajian telah membuktikan bahawa bukan hanya kaki sahaja yang boleh mengalami kesan Untut, malah ada kes dimana ia terjadi di buah dada wanita dan alat sulit lelaki! Kaum lelaki yang dijangkiti penyakit ini sering dikaitkan dengan mengalami masalah kesuburan walaupun belum ada kajian saintifik yang membuktikan dakwaan ini, kecuali kesukaran bagi pengidapnya untuk melakukan hubungan intim.

Untut juga bukan penyakit keturunan kerana ia tidak akan menjangkiti anak-anak jika ibu bapa mereka terbukti ada menghidapnya. Penghidap Untut juga biasanya mempunyai kurang keyakinan diri akibat keadaan fizikal mereka, dalam kebanyakan kes, pesakit lebih gemar memencilkan diri dan tidak bergaul dengan masyarakat kerana akan hanya menjadi bahan ejekan.


ADAKAH ANDA BERISIKO?

Mereka yang berpotensi dijangkiti penyakit ini ialah penduduk kawasan pedalaman yang tinggal berhampiran sungai atau kolam yang kotor, kawasan di mana terdapat banyak tumbuhan keladi bunting serta kawasan aliran airnya adalah perlahan.

Turut berisiko ialah kawasan yang tidak mempunyai sistem pembentungan yang sempurna seperti kawasan setinggan. Oleh kerana ia sering menyerang penduduk kawasan yang kurang membangun, maka terdapat dakwaan tidak bertanggungjawab yang mengaitkannya sebagai penyakit orang miskin.

Bagi mereka yang dijangkiti Untut, adalah dinasihatkan supaya menjaga kebersihan, terutamanya di bahagian kulit yang berlipat (lengan dan kaki) kerana bahagian berkenan mudah berpeluh.

Namun, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati . Justeru, langkah terbaik adalah untuk menjaga kebersihan kawasan tempat tinggal anda. Kita dinasihatkan agar menghapuskan tempat pembiakan nyamuk seperti tayar lama, botol, pasu, perangkap semut dan sebagainya.

Ramai antara kita yang kini mempunyai landskap berkolam dilaman rumah. Sekiranya kolam-kolam ini tidak dipantau kebersihannya, kelak ia akan memerangkap pemiliknya apabila menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Di kawasan-kawasan kampung pula, kolam-kolam tinggal juga hendaklah kembali diusahakan dengan menternak ikan daripada dibiarkan sahaja menjadi tempat pembiakan pelbagai nyamuk.


RAWATAN

Dahulu, proses diagnosis penyakit ini adalah sukar kerana cacing parasit ini mempunyai sifat yang hanya boleh dikesan pada waktu malam. Bagaimanapun, kini melalui teknologi terkini, kehadiran larva boleh dikesan melalui ujian darah ke atas antigen cacing parasit.

Bagi mereka yang sudah dijangkiti penyakit ini, antara ubat-ubat yang biasanya digunakan ialah Diethylcarbamazine (DEC) yang merencatkan perkembangan larva cacing di dalam badan perumah, manakala Albendazole pula khas untuk membunuh cacing dewasa.

Melalui rawatan sempurna, ia boleh mengatasi masalah kulit disebabkan reaksi sel terhadap sisa badan cacing, mengurangkan beban jangkitan.
Bahaya Untut turut mendapat perhatIan pelbagai badan kesihatan antarabangsa yang mengambil inisiatif menwujudkan program menghapuskan penyakit ini.

Program Menghapuskan Filariasis Limpatik (GDELF) di bawah kelolaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bermula sejak tiga tahun lalu ke atas 250 juta penduduk dunia yang berisiko tinggi dijangkiti penyakit ini.

Antara kaedah yang digunakan di negara kita ialah pengagihan ubat dari rumah ke rumah. Selain menghentikan tindakan cacing parasit penyebab untut, ia juga berkesan membunuh cacing kerawit.


KESIMPULAN

Terdapat berbagai-bagai jenis cacing filaria seperti Wuchereria bancrofti, Brugia malayi, Brugia timori, Loa loa, Onchocerca volvulus dan beberapa spesies yang lain. Walau bagaimanapun, hanya beberapa jenis cacing filaria hidup di dalam saluran limfatik. Cacing filaria yang hidup di dalam saluran limfatik manusia adalah seperti Wuchereri bancrofti, Brugia malayi, dan Brugia timori. Jangkitan cacing filaria boleh menyebabkan penyakit filariasis.

Di Malaysia, cecacing filaria yang selalu menyebabkan penyakit filariasis ialah Wuchereria bancrofti dan Brugia malayi. Kedua-dua cacing filaria ini masih menjadi penyebab utama bagi penyakit filariasis dan elefantiasis di semenanjung Malaysia dan di kepulauan Borneo.

Selain Malaysia, lebih 80 negara lain turut berdepan dengan masalah ini. Dianggarkan seramai 120 juta orang kini menderita akibat penyakit bawaan nyamuk ini. Kira-kira enam peratus penduduk negara ini dijangkiti penyakit ini dengan majoritinya adalah mereka yang tinggal di luar bandar.

Penyakit Filariasis, Kaki Gajah atau Untut adalah disebabkan oleh parasit dan virus bawaan nyamuk Mansonia yang hidup di kawasan berpaya dan air bertakung, sama seperti nyamuk Aedes. Mereka yang mengidap penyakit ini akan mengalami keadaan di mana salah salah satu, atau kedua-dua kaki akan ´membesar´ akibat lapisan kulit yang tumbuh berlapis-lapis.

Jangkitan penyakit ini, yang lebih kerap menyerang lelaki berbanding wanita bermula apabila mangsa digigit nyamuk Mansonia betina, menyebabkan jangkitan cacing mikrofilaria yang menjadi punca penyakit ini.

Bagi mereka yang sudah dijangkiti penyakit ini, antara ubat-ubat yang biasanya digunakan ialah Diethylcarbamazine (DEC) yang merencatkan perkembangan larva cacing di dalam badan perumah, manakala Albendazole pula khas untuk membunuh cacing dewasa.

No comments: