Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN
ANTARA kejayaan besar dan paling bermakna bagi umat Islam di Malaysia selepas pengenalan pendekatan Islam Hadhari adalah kejayaan menghantar angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor pada 10 Oktober 2007.
Peristiwa itu bukan sahaja mencatat sejarah baru bagi umat Islam tetapi juga meletakkan negara ke suatu tahap tinggi setanding dengan kuasa besar dunia seperti Amerika Syariat (AS) dan bekas kuasa dwipolar iaitu Rusia.
Kejayaan itu juga adalah bertepatan dengan prinsip penguasaan ilmu pengetahuan dalam pendekatan Islam Hadhari.
Manusia berbahagia dan selamat mengikut al-Quran apabila mengambil berat tentang ilmu pengetahuan agama dan dunianya. Ini jelas dalam ayat Allah yang bermaksud: Bertanyalah kamu kepada orang yang mempunyai pengetahuan kalau kamu tidak mengetahui. (an-Nahl: 43).
Dalam ayat yang lain, Allah berfirman yang maksudnya: Allah akan mengangkat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi pengetahuan beberapa darjat ...(al-Mujadalah: 11).
Sebenarnya, bab naik ke langit atau angkasa lepas di kalangan umat Islam sebenarnya telah bermula sejak zaman Rasulullah SAW. Nabi Muhammad SAW sendiri adalah 'angkasawan' pertama yang menerobos angkasa ketika baginda melakukan Mikraj dari 'stesen pelancarannya' di Masjid al- Aqsa Baitulmaqdis.
Baginda telah naik ke langit dunia dengan kenderaan khas (diriwayatkan bernama 'Buraaq') hingga ke Langit Ketujuh dan seterusnya ke Sidratul Muntaha.
Seperkara yang tidak kurang pentingnya adalah kejayaan ulama dan saintis kita menghasilkan ijtihad kaedah beribadat di angkasa lepas.
Sebenarnya panduan teratur rapi telah disusun bagi Sheikh Muszaphar dalam Seminar Islam dan Kehidupan di Angkasa anjuran Agensi Angkasa Negara dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Hasilnya, terbit buku Ibadah Di Angkasa Lepas, kali pertama yang seumpamanya dilancarkan dalam apa jua bahasa. Antara panduan yang diberi:
l Puasa ditunaikan di stesen angkasa lepas atau secara qada manakala kembali ke bumi.
l Solat ditunaikan secara jamak dan qasar dan tidak perlu diqada.
l Jika tidak berkeupayaan berdiri untuk bersolat, hendaklah secara duduk. Jika tidak berupaya baring, menelentang lakukan secara - syarat mata bagi tiap pergerakan atau dengan hati, iaitu menggambarkan diri berdiri, rukuk, sujud dan seterusnya.
l Seandainya berlaku kematian di angkasa lepas, jenazah hendaklah dibawa balik ke bumi. Atau jika ini tidak mungkin dilakukan, jenazah hendaklah "dikebumikan" di angkasa lepas selepas doa.
Apa yang jelas, panduan rapi yang disusun bagi angkasawan Malaysia. Sebabnya, negara Malaysia merancang mengirim angkasawan ke bulan menjelang tahun 2020.
Cendekiawan
Secara istilah Islam Hadhari lahir pada tahun 2001 di meja mesyuarat bulanan cendekiawan dan ulama UMNO. Ia dikendalikan bersama oleh pejabat Penasihat Agama Perdana Menteri, Jabatan Hal Ehwal Khas (JHEK) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Pencetus gagasan Islam Hadhari ialah Yang Dipertua Yadim, Datuk Nakhaie Ahmad.
Pada tahun 2004, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan pendekatan Islam Hadhari yang bertujuan membawa rakyat ke arah lebih terarah dan berjaya.
Pendek kata, Islam Hadhari adalah satu pendekatan yang komprehensif bagi memacu kehidupan manusia baik dalam aspek fardu ain mahu pun fardu kifayah. Ia juga memartabatkan hubungan manusia dengan Allah, manusia sesama manusia, manusia dengan makhluk dan manusia dengan alam sekitarnya.
Hal ini penting terutama selepas tragedi serangan Pusat Dagangan Dunia di Amerika Syarikat pada 11 September 2001 yang menyaksikan umat Islam dilabel pengganas oleh Barat.
Apabila umat Islam mencapai tahap tamadun yang tinggi maka, tingkah laku, adab sopan dan tahap keilmuan juga akan berada di kemuncak. Sebagaimana kejayaan umat Islam lampau. Bukan sedikit saintis Islam terbilang seperti Al-Razi, Ibnu Rushd, Al-Khawarizmi dan al-Kindi (sekadar menyebut beberapa nama).
Malah, bukan rahsia bahawa Baghdad di bawah kerajaan Bani Abbasiyyah pernah menjadi kota ilmu yang hebat. Kota Baghdad seperti Cordova juga memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu pengetahuan dan tamadun Islam, terutama pada zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid dan puteranya, al-Makmun.
Kegemilangan zaman pemerintahan kedua-dua pemerintah berwibawa ini mendorong sejarawan menamakannya Zaman Keemasan Kerajaan Abbasiyyah.
Sayangnya pada awal abad ke-13, kota besar itu diserang orang-orang Mongol pimpinan Hulagu Khan, cucu Jenghis Khan 'Sang Penakluk Dunia'. Kota Damai jatuh ke tangan mereka tahun 1258. Kota dihancurkan.
Kini, adalah masa yang sesuai untuk umat Islam khasnya di Malaysia, negara yang diiktiraf negara Islam maju dan sederhana pendekatannya untuk menerajui kepimpinan umat Islam sejagat.
Sebab itu juga penekanan Islam Hadhari turut menyentuh soal keimanan dan takwa kepada Allah serta keutuhan budaya dan moral.
Kita sedar adalah mustahil bagi umat Islam kini menyaingi negara Barat dari segi kemajuan teknologi dan ketenteraan mereka. Justeru, adalah penting untuk kita melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, keimanan serta akhlak yang mulia. Ramuan dan resipi ini jika diadun dengan sempurna, insya-Allah akan melahirkan insan Muslim yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Bercakap tentang akhlak, kita mempunyai junjungan besar Nabi SAW yang diiktiraf sebagai manusia yang terbaik untuk dijadikan contoh teladan.
Ini sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu sebagai contoh teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah. (al-Ahzab: 21).
Justeru, keempat-empat sifat wajib Baginda iaitu siddiq (bercakap benar), tabligh (menyampaikan), amanah dan fatanah (bijak) itu perlu dihayati oleh setiap Muslim. Seterusnya menjadikan kesemua resipi itu sebagai kaedah bermasyarakat sesama Muslim dan bukan Islam.
Apabila umat Islam menterjemahkan keperibadian Rasulullah dalam kehidupan, insya-Allah pandangan negatif bukan Islam terhadap agama suci ini akan terhakis sedikit demi sedikit.
Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia... (al-Qasas: 77)
Melalui keimanan, kita akan sentiasa mematuhi perintah dan larangan Allah. Sekali gus mencegah segala perbuatan maksiat dan kemungkaran.
Usaha memelihara iman ini perlu diperkukuhkan dari semasa ke semasa kerana iman kita sentiasa turun naik sebagaimana hadis baginda SAW.
Apabila tahap ini dicapai, tidak timbul lagi soal rasuah, pecah amanah, dengki khianat dan jatuh menjatuhkan. Dengan yang demikian mudah-mudahan kita dikurniakan negara yang baik lagi sejahtera.
Ini sebagai mana firman Allah: Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukur kepada-Nya, (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur dan (Tuhan kamu) adalah Tuhan yang Maha Pengampun... (Saba': 15)
Akhir kalam, marilah sama-sama kita mengamalkan Islam sebagai cara hidup supaya ia tidak hanya slogan yang dilaung-laungkan sahaja.
No comments:
Post a Comment