Malaysia mendapat Perdana Menteri yang baru. Demikian para pemimpin itu silih berganti, datang dan pergi. Tiada siapa yang dapat menongkat langit kekal. Cumanya kita di Malaysia bertuah kerana dua pemimpin kita meletakkan jawatan tanpa dipaksa. Berundur apabila mereka merasa perlu. Amalan yang seperti itu tidak dilakukan oleh seorang diktator yang tenggelam dalam kuasa dan kekejaman. Semoga nilai baik yang seperti itu berterusan.
Ya, pemimpin datang dan pergi. Demikian insan sama ada rakyat atau penguasa hidup dan mati. Namun akhlak dan budi seorang pemimpin akan disebut dari generasi ke generasi. Begitu juga sikap buruk dan rakus seorang pemimpin akan menjadi sebutan zaman ke zaman.
Betapa ramai pemimpin yang sudah ratusan, bahkan ribuan tahun meninggalkan dunia ini; namun jasa baik mahupun sejarah buruk mereka terus dicatatkan di dada sejarah, lantas dibaca dari masa ke masa. Jika baik, mereka akan dipuji dan dicontohi. Jika buruk mereka akan dikeji dan dibenci.
Lebih penting daripada itu, setiap pemimpin akan mengadap Tuhan Yang Maha Adil. Setiap tindakannya akan dinilai dan soal. Jika dia melakukan kebaikan dan keadilan, tempatnya adalah syurga yang dilimpahi dengan nikmat yang tidak tergambar oleh insan.
Jika dia melakukan kezaliman, maka balasan buruk akan menantinya di sana. Kezaliman seorang pemimpin yang berkuasa mungkin tidak dapat dibantah oleh orang lain, atau mungkin boleh disembunyikan, atau dijustifikasikan oleh para pengampunya. Ketidakadilan terhadap rakyat dan penderitaan mereka mungkin tidak dapat dituntut di dunia ini, atau mungkin tiada siapa yang dapat membela, bahkan mungkin catatan sejarah juga akan terlupa.
Namun Tuhan dengan segala kebesaran-Nya menyebut dalam kitab-Nya: (maksudnya): Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; Sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku), mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas) (Surah Ibrahim 42-43).
Pena saya sejak dahulu berbicara untuk semua pihak, tanpa berpihak melainkan cuba menghayati prinsip yang diyakini jua. Terimalah bicara ini dengan jiwa yang terbuka. Ramai orang mengucapkan tahniah apabila seseorang mendapat jawatan kepimpinan. Ya, mungkin juga boleh untuk kita berbuat demikian sebagai tanda bahawa seseorang yang dilantik itu mendapat penghormatan rakyat.
Namun sebenarnya, amanah dan bebanan tugas sebagai pemimpin adalah lebih besar bahayanya dibandingkan bahagianya. Justeru itu Nabi SAW mengingatkan kita betapa bahaya jawatan kepimpinan jika tidak diurus dengan betul, sabdanya: Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ia akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ia sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya (Riwayat al-Bukhari).
Bahkan baginda pernah menyebut: Allah tidak lantik seseorang hamba itu menguasai sesuatu rakyat kemudian hamba itu mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, melainkan Allah haramkan untuknya syurga (Riwayat Muslim).
Sebab itulah, Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Ketika para pembesar menanti kemunculannya setelah dilantik, mereka berbisik bertanya anaknya, mengapa ayahnya belum keluar ke khalayak ramai. Kata anaknya: "Ayahku sejak dilantik, beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya, airmatanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila ditanya, dia berkata: Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang yang fakir, yang lapar, yang sakit lagi derita, orang biasa yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan wangnya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis (lihat: Mahmud al-Baji, Muthul 'Ulya min Qada al-Islam, 144).
Ramai orang, termasuk kelompok agama yang berkepentingan akan berpusu-pusu mendampingi seseorang penguasa atau pemerintah. Mereka barangkali mempunyai banyak madah pujangga untuk bertasbih dan tahmid memuji dan memuja pemerintah agar tempiasan harta dan kuasa melimpahi mereka. Saya tidak mempunyai kepentingan untuk itu. Memang, saya mempunyai hubungan dengan ramai pemimpin dan penguasa, namun saya belum sempat menghafal madah berhias untuk dilafazkan di hadapan mereka. Jika saya suatu hari ingin melafazkannya, saya ingin melafazkannya dengan jujur, bukan dengan kemunafikan. Hari ini kita mendapat Perdana Menteri yang baru. Kita berdoa agar Allah sentiasa merahmati rakyat dengan direzekikan amanah dan keadilan sikap pemerintah yang baru. Kita doakan agar Allah memberi kekuatan kepadanya untuk menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Walaupun mungkin ramai pemimpin itu telah tahu tentang tanggungjawab, tetapi mereka perlu diingatkan. Mereka perlu sentiasa menjenguk arahan Allah: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat. (Surah al-Nisa: 58). Mereka perlu selalu kembali mendengar apa yang Abu Bakr al-Siddiq ucapkan apabila beliau dilantik. Dengar penuh keimanan Abu Bakr menyebut: Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik di kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya-Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan Rasul-Nya. Jika aku derhakakan Allah dan Rasul-Nya, maka tiada ketaatan untukku (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).
Antara perkara yang perlu untuk diingatkan para pemimpin negara ini, bahawa di kalangan mereka sering dicemari oleh kroni. Maka mereka hendaklah berhati-hati dalam hal ini. Pemimpin jika gagal untuk mengawal pengikut atau keluarga, bagaimana dia hendak mengawal negaranya. Kelompok ini jika tidak soleh akan mengancam nama baik, kewibawaan dan ketelusan seseorang pemimpin. Sabda Nabi SAW: Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan dan menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan dan menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang selamatkan Allah. (Riwayat al-Bukhari dan al-Nasai).
Pemerintah hendaklah dekat di hati rakyat, bukan dekat di hati kroni dan taukeh. Jadilah pemerintah itu seperti kata Muhammad bin Ka'ab al-Qurtubi apabila diminta menyifatkan keadilan pemerintah: Jadilah engkau bapa kepada yang muda, anak kepada yang tua, saudara kepada yang sebaya. Hukumlah manusia dengan kadar kesalahan dan kemampuan mereka. Jangan engkau pukul disebabkan kemarahanmu walaupun satu pukulan, nanti engkau termasuk dalam golongan yang melampau. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar'iyyah, 1/202).
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Baru, saya dari jauh ucapkan tahniah dan takziah. Tahniah atas kepercayaan negara, takziah atas bebanan amanah. Negara dan rakyat mengharapkan keadilan dan kebijaksanaan seseorang pemerintah. Simpatilah kepada rakyat, Allah akan bersimpati kepada YAB!
No comments:
Post a Comment