Oleh IZZAT AMIN MOHD. NASIR
MAHASISWA pada masa kini tidak banyak yang melibatkan diri dalam program-program kemasyarakatan sewaktu berada di menara gading.
Bukan itu sahaja, mahasiswa seakan buta mata dan buta hati untuk bersama dengan komuniti masyarakat hatta di kampung halaman mereka sendiri seperti melibatkan diri dalam aktiviti kariah dan aktiviti masjid atau surau.
Pihak institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau swasta (IPTS) tidak mewajibkan mahasiswa untuk mengikuti program-program kemasyarakatan seperti Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM), Bakti Siswa, Program Anak Angkat dan sebagainya yang membawa definisi yang sama iaitu 'Mahasiswa bersama masyarakat'. Ini kerana program-program sebegini adalah inisiatif siswa siswi tersebut.
Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (PMAPIUM) dengan kesedaran segelintir mahasiswa yang mempunyai pemikiran yang kritikal dalam isu kemasyarakatan mengadakan OPKIM atau program anak angkat di Kampung Padang Kemunting Masjid Tanah, Melaka.
Program empat hari bermula 5 Mac lalu itu berorientasikan kebajikan. Ia juga melambangkan bahawa mahasiswa perlu lebih perlu lebih responsif dalam isu masyarakat.
PMAPIUM melihat program OPKIM sebagai satu wadah mahasiswa untuk berada di medan masyarakat. Secara tidak langsung menjadikan mahasiswa lebih berkeyakinan untuk bersama masyarakat terutamanya di kampung halaman masing-masing.
Beberapa program yang dirancang dan dilaksanakan dengan jayanya menunjukkan bahawa mahasiswa dan masyarakat sememangnya perlu bersatu padu untuk membangkitkan kegemilangan komuniti rakyat Malaysia.
Di peringkat mahasiswa hanya beberapa perkara yang dapat dilakukan sepanjang program seperti Community Mapping, motivasi pelajar, smart solat, ceramah fiqh wanita, sukaneka dan sukan rakyat, pemeriksaan dan pameran kesihatan, ceramah menghindari najis dadah serta Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk 'Kampungku Syurgaku'.
Bermula dengan ramah mesra bersama penduduk kampung mengeratkan lagi silaturrahim antara mahasiswa dan orang kampung di samping mengenali adat budaya masyarakat setempat. Ramah mesra ini dinamakan Community Mapping kerana mahasiswa PMAPIUM membuat lakaran peta kampung yang menjadi panduan bagi mengenalpasti masalah-masalah yang melanda kanak-kanak, ibu tunggal, belia, warga tua dan alam sekitar.
Masalah-masalah ini akan dipanjangkan kepada pihak yang bertanggungjawab seperti ketua kampung, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Anggota Parlimen untuk tindakan selanjutnya.
Slot smart solat yang dibuat selepas solat Isyak di Surau Al-Falah dihadiri penduduk kampung terutamanya kanak-kanak membuatkan program lebih bersifat Islamik. Penduduk kampung memberi respons yang menggalakkan. Sebabnya ibu bapa menyatakan anak-anak mereka sukar untuk menunaikan solat terutamanya solat subuh, asar serta maghrib dan perlakuan solat tidak dititik beratkan bermula daripada mengambil wuduk.
Exco Akademi dan Intelektual, Zulzaidi Mahmod yang memberi ceramah kepada kanak-kanak pada malam itu telah merungkai perkara penting seperti kepentingan mengambil wuduk dan solat dengan betul.
Teori dan praktikal yang diajar memudahkan kanak-kanak dan orang kampung mengingati perbuatan-perbuatan wuduk dan pelaksanaan solat secara mudah dan jelas. Rata-rata kanak-kanak yang melibatkan diri dalam program smart solat ini memberi pandangan positif agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan.
Forum Perdana Ehwal Islam yang julung-julung kali dilakukan mendapat sambutan daripada komuniti kampung. Sebabnya, forum-forum yang bersifat kerohanian tidak banyak dilakukan dalam program kemasyarakatan sebelum ini. Ini juga merupakan satu platform baru dalam program khidmat masyarakat kerana komuniti masyarakat amat dahagakan nilai-nilai keilmuan dan kerohanian yang mampu diterapkan dalam diri masyarakat.
Setelah melihat mahasiswa yang lesu dengan isu-isu kemasyarakatan ini, PMAPIUM mencadangkan IPTA dan IPTS mewajibkan semua mahasiswa bermula daripada Ijazah Sarjana Muda untuk mengikuti program-program kemasyarakatan.
Ini mungkin boleh dilakukan apabila ada subjek yang berorientasikan kemasyarakatan menjadi teras dalam universiti yang seumpama dengan Hubungan Etnik atau keusahawanan. Subjek-subjek ini perlulah dikaitkan dengan universiti, mahasiswa serta masyarakat untuk menyedarkan betapa pentingnya nilai-nilai, isu-isu, budaya, adat dan sebagainya dalam kemasyarakatan.
Jalinan antara mahasiswa dan masyarakat dilihat mampu mengubah pola pemikiran kehidupan sesebuah masyarakat. Seterusnya mewujudkan masyarakat yang berfikiran terbuka, intelek dan responsif, secara tidak langsung membangunkan nilai-nilai ketamadunan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
No comments:
Post a Comment