Like Blog Ini...

Wednesday, October 28, 2009

Orang amanah makamnya tinggi

Mega: Membaca isu-isu yang dibangkitkan dalam Laporan Kedua Audit Negara itu pastinya melibatkan soal akhlak, moral dan integriti. Boleh Dr. jelaskan ketiga-tiganya?

DR. AMINI: Akhlak adalah sumber tindak tanduk manusia yang membawa ke arah kesejahteraan di dunia dan akhirat menuju keredaan Allah SWT. Untuk mencapai hakikat ini, ilmu akhlak perlu dipelajari dan dipraktikkan.

Imam al-Ghazali dalam bukunya Ihya' Ulumuddin merumuskan, sesungguhnya semua sifat yang ada dalam hati akan lahir pengaruhnya (tandanya) pada anggota sehingga tidak ada sesuatu melainkan sesuai dengan sifat itu.

Moral mengikut Kamus Dewan pula didefinisi sebagai ajaran atau pegangan tentang buruk baik sesuatu perbuatan, sikap atau cara berkelakuan yang berasakan atau yang diukur daripada segi baik atau buruk sesuatu akhlak. Moral dikatakan subjektif sifatnya kerana ia berbeza dalam sesuatu budaya atau tamadun.

Integriti pula adalah nilai pegangan, maruah, etika baik dalam melaksanakan sesuatu yang sahih dan benar.

Ia juga berkait rapat dengan kejujuran, kebolehpercayaan, keadilan, kawalan diri, nilai moral positif, kekuatan akidah dan rohani.

Islam tidak melarang umatnya mencari kekayaan. Tetapi apa pula hukumnya bagi mereka yang mencari kekayaan melalui cara yang salah?

DR. AMINI: Memang benar Islam menggalakkan umatnya mencari kekayaan. Sebabnya kita perlu kepada wang untuk menyempurnakan ibadat seperti haji dan zakat. Waima untuk solat pun kita memerlukan pakaian yang menutupi aurat sebagai syarat sah solat.

Pendek kata, tanpa wang sukar bagi kita melaksanakan ibadat tersebut dengan sempurna. Tanpa wang juga hidup kita akan menjadi gundah-gulana, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di bandar besar dan kota metropolitan seperti di Kuala Lumpur.

Cuma dalam Islam, mencari kekayaan itu mestilah berpaksikan kepada jalan yang halal.

Ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya) kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu...(an-Nisa': 29)

Ini bermakna, Islam meletakkan sifat amanah dan integriti kepada umatnya. Dalam al-Quran ada banyak ayat suci yang menuntut setiap Muslim bersifat amanah.

Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah itu sentiasa Maha Mendengar lagi sentiasa Maha Melihat. (al-Nisa': ayat 58)

Ini diperkukuhkan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Bahawa sifat amanah itu bertunjang di hati sanubari manusia, kemudian al-Quran diturunkan maka hatinya yang bertunjangkan amanah itu akan mempelajari al-Quran dan al-Sunnah. (riwayat Muslim)

Umum mengetahui bahawa rasuah itu haram tetapi ia semacam amat sukar dielak. Tetapi bila disebut babi itu haram, umat Islam boleh mematuhinya. Di mana silapnya?

DR. AMINI: Dalam hal ini, kita perlu memberi tumpuan kepada mendidik. Ia perlu dilakukan di peringkat kanak-kanak lagi. Jika boleh di peringkat prasekolah dan diteruskan ke sekolah rendah dan menengah.

Pemahaman tentang rasuah dan kesan buruknya terhadap ekonomi dan sosial masyarakat perlu disebar melalui subjek sivik dan moral. Barulah masyarakat boleh melihat pengharaman rasuah itu sama dengan Islam mengharamkan umatnya makan babi.

Dengan lain perkataan, kita perlu menggubal kurikulum tentang bahaya rasuah ini supaya memberi kesedaran kepada generasi akan datang tentang bahaya perbuatan tersebut.

Di peringkat institusi pengajian tinggi pula, ia boleh dibincangkan menerusi subjek Kenegaraan Malaysia. Tumpuan perlu diberi kepada soal integriti dan amanah yang dikaitkan dengan unsur-unsur patriotisme.

Islam tidak membenarkan matlamat menghalalkan cara. Kita tidak mahu budaya Robin Hood yang merompak untuk didermakan kepada orang miskin dan memerlukan.

Kita juga perlu ingat sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Setiap daging yang tumbuh daripada benda haram, maka nerakalah yang layak baginya".

Saya juga mencadangkan supaya SPRM diberi kuasa yang lebih tinggi seperti Suruhanjaya Diraja bagi memastikan usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Pada masa yang sama, ada baiknya kita menubuhkan Institut Etika Perniagaan sebagai mana yang ada di United Kingdom.

Ini boleh membantu dalam meningkatkan integriti di kalangan para peniaga kita.

Ada yang berpendapat, kalau tidak bagi rasuah susah hendak dapat projek, kontrak dan sebagainya. Apakah yang sepatutnya menjadi pegangan orang beriman dalam hal ini?

DR. AMINI: Orang beriman mesti terima qada dan qadar Allah. Pada masa yang sama, perlu bersaing dengan cara yang sihat. Bukannya amalkan tumbuk rusuk atau under counter.

Sebaliknya, jika mempunyai maklumat tentang perlakuan rasuah hendaklah kita melaporkannya kepada pihak berkuasa terutama SPRM.

Lagipun, bukan hanya melalui tender atau projek, kita boleh mencari kekayaan. Ada lagi cabang lain dalam ekonomi termasuklah pertanian dan perladangan.

Mereka yang diberi kuasa dan amanah pula hendaklah berlaku adil dan telus dalam menjalankan tugas. Sebabnya, amalan kronisme akan merosakkan ekonomi negara.

Bagi mereka yang terpaksa 'berjuang' mempertahankan sifat amanah dan integriti walaupun mempunyai peluang menerima habuan atau rasuah, mereka ini berada pada makam yang tinggi di sisi agama.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun (bagi orang yang bertaubat). (al-Mulk: 2)

Ramai yang jadikan orang lebih kaya sebagai perbandingan dalam bab kemewahan menyebabkan kita sering berlumba-lumba cuba mengatasi satu sama lain. Benarkah demikian?

DR. AMINI: Kalau berlumba-lumba dan bersaing secara sihat dan halal, itu bagus dan digalakkan oleh Islam. Tetapi kalau berlumba-lumba kejar kekayaan melalui cara rasuah maka nantikanlah balasannya iaitu neraka Allah kelak.

Allah berfirman yang maksud-Nya: Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan kehidupan dari (kenikmatan) duniawi...(al-Qasas: 77)

Sebaiknya, kita perlu tawaduk (merendah diri) sama ada jika kita diberi kekayaan ataupun jika kita diuji dengan kesusahan.

Dalam Islam, bukan banyaknya rezeki yang menjadi keutamaan tetapi keberkatan rezeki itu walaupun sedikit. Boleh Dr. jelaskan?

DR. AMINI: Kadang-kadang kita tidak dapat lihat kesan keberkatan rezeki itu sekarang. Tetapi masa anak cucu kita akan datang.

Keberkatan rezeki adalah penting kerana dengannya kita akan sentiasa dicukupkan oleh Allah dari segi keperluan.

Keberkatan juga boleh berlaku dalam bentuk kejayaan anak-anak dalam pelajaran serta dihindari daripada bala dan musibah dalam hidup.

Kalau kita lihat sumpahan Allah, ia boleh kena pada aset atau harta, diri, keluarga atau anak cucu kita di masa depan.

Monday, October 26, 2009

Pendidikan: Misi utama Rasulullah

Panel PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

ADALAH menjadi salah satu tanda keagungan Allah SWT dan kemukjizatan Rasul-Nya SAW, walaupun sudah lebih 1400 tahun Baginda SAW meninggalkan kita, tetap akan ada sejumlah individu, kumpulan dan organisasi yang berusaha untuk menyambung misi perjuangan Rasulullah SAW.

Tinggal lagi, mungkin kerana keluasan skop misi perjuangan Rasulullah SAW, kita dapati, kalaupun mereka ini sama bersemangat untuk menyambung misi perjuangan beliau, akhirnya bentuk amal Islami yang terhasil akan berbeza-beza pendekatan dan acuan penghayatannya.

Antara pendekatan-pendekatan utama yang dapat kita perhatikan ialah pendidikan, kebajikan, politik, dakwah, kerohanian, ekonomi dan termasuk juga jihad bersenjata.

Dalam kepelbagaian 'jalan' yang dipilih, perlu rasanya dibuat penegasan bahawa misi utama dan teras kepada perjuangan Rasulullah SAW adalah pendidikan. Malah tidak salah dikatakan bahawa dimensi pendidikanlah yang lazimnya menjadi penentu kualiti dan keberkesanan sudut-sudut lain perjuangan warisan Nabawi.

Keutamaan pendidikan dan pendidik sebagai misi utama Nabi SAW jelas tampak dalam sumber al-Quran dan hadis seperti dalam ayat yang bermaksud: Dia lah Yang telah mengutuskan Dalam kalangan orang-orang (Arab) Yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) dari bangsa mereka sendiri, Yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad Yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan Yang mendalam mengenai hukum-hukum Syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad SAW) itu adalah Dalam kesesatan yang nyata. (al-Jumu'ah : 2)

Manakala satu hadis yang menarik dalam soal ini ada diriwayatkan oleh Ibnu Majah dalam sunannya dan al-Darimi dalam sunannya daripada Abdullah ibnu Amru ibnu al 'Aas r.a, beliau berkata: "Pada satu hari, Rasulullah SAW keluar daripada salah satu biliknya dan masuk ke masjid lalu Baginda berada antara dua kumpulan.

Salah satu daripadanya manusia yang sedang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah Taala. Sementara yang satu kumpulan lagi sedang belajar dan mengajar.

Lalu bersabda Rasulullah SAW berkata: "Kesemua mereka adalah baik. Adapun orang yang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah SWT, jikalau Allah SWT inginkan kebaikan kepada mereka, nescaya Allah SWT akan beri, jikalau Allah SWT tidak menginginkan maka Dia akan menegahnya. Adapun orang yang mengajar dan belajar, maka sesungguhnya saya diutuskan sebagai pendidik," lalu Rasulullah SAW duduk bersama kumpulan mereka." (Sunan Ibnu Majah :1:83)

Bukti kejayaan Nabi SAW sebagai pendidik terlihat pada kualiti insan sebelum Baginda dibangkitkan dan sesudahnya. Baginda telah berhasil mengubah masyarakat jahiliah yang tandus daripada nilai kemanusiaan kepada satu generasi yang paling tinggi nilai keperibadiannya.

Lahirlah di tangan Baginda SAW, tokoh-tokoh perkasa berkeperibadian luhur yang muncul memimpin manusia secara sambung-menyambung hingga buahnya dapat dinikmati hingga ke zaman ini.

Rasulullah cintai ilmu

Penekanan dan keutamaan yang diberikan oleh Rasulullah SAW terhadap pendidikan juga dapat dirasakan apabila kita meninjau beberapa sikap Rasulullah SAW dalam aspek ini.

Kitab al-Targhib wa al-Tarhib oleh al Hafiz al-Munziri dalam bab al-Tarhib fi Katmi al-'Ilm (Celaan Terhadap Menyembunyikan Ilmu) dan al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Majma' al-Zawaid ada merakamkan daripada 'Alqamah ibnu Saad ibnu Abd Rahman ibnu Abza daripada ayahandanya daripada datuknya dari Abd. Rahman ibnu Abza r.a telah berkata, Rasulullah SAW telah berkhutbah pada satu hari.

Baginda memuji Allah SWT dan berdoa serta menyebutkan tentang sekumpulan orang Islam dan mendoakan kebaikan ke atas mereka, lalu bersabda, "Alangkah malangnya kaum yang tidak memahamkan dan mengajarkan agama kepada jiran-jiran mereka serta tidak mencerdikkan mereka terhadap agama dan tidak pula menyuruh mereka membuat kebaikan dan melarang membuat keburukan."

Allamah Syeikh Mustofa al-Zarqa dalam kitabnya al-Madkhal al-Fiqhi al-'Aam telah mengulas hadis ini dengan berkata, "Ini adalah satu pernyataan yang penting dan jelas bahawa pengabaian terhadap pendidikan dan menuntut ilmu adalah merupakan jenayah kemasyarakatan yang amat besar dan sewajarnya mereka yang terlibat dalam jenayah ini dikenakan denda di dunia lagi. Jenayah kemasyarakatan ini akan mengakibatkan pengabaian pelbagai kewajipan agama."

Oleh itu, apabila seorang alim tidak melaksanakan peranannya mendidik dan seorang yang jahil tidak menunaikan tugasnya untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka wajib kedua pihak ini mendapat hukuman denda terhadap kecuaian mereka.

Umum mengetahui bahawa Rasulullah SAW telah mewajibkan menuntut ilmu dalam sabdanya yang bermaksud: "Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas lelaki dan perempuan."

Daripada pengertian hadis ini, dapat kita faham bahawa Nabi SAW mengkaitkan kefarduan menuntut ilmu dengan sifat Islam seseorang sebagai peringatan bahawa sesiapa yang menisbahkan dirinya sebagai seorang Islam, maka telah menjadi kewajipan padanya untuk menuntut ilmu dan menjauhi kejahilan.

Rasulullah SAW juga memperingatkan umatnya supaya mempelajari ilmu yang bermanfaat serta berwaspada daripada ilmu yang tidak bermanfaat.

Mesej ini dapat difahami daripada doa Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam satu hadis daripada Zaid Ibnu Arqam r.a berkata: Bahawasanya Rasulullah SAW telah berdoa: Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk (lalai) , daripada nafsu yang tidak pernah puas dan daripada doa yang tidak mustajab. (Sahih Muslim 17:41)

Nabi model pendidik

Sewajarnya bagi setiap orang yang menjadi pembimbing dan pendidik manusia mempunyai sifat-sifat yang sesuai dengan peranan yang dilakukan.

Dalam konteks ini, tidak ada di sepanjang zaman seorang manusia pun yang mempunyai atau menghampiri ciri-ciri kesempurnaan akhlak sebagaimana yang dimiliki oleh Rasulullah SAW sehingga mendapat pujian unggul daripada Allah SWT sebagaimana firmannya: Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak Yang amat mulia. (al-Qalam :4)

Kesempurnaan yang dimiliki oleh Rasulullah SAW adalah sifat-sifat yang seharusnya ada pada seorang pendidik dan boleh diperincikan kepada empat perkara iaitu kesempurnaan kejadian, kesempurnaan akhlak, kelebihan kata-kata dan kelebihan perbuatan.

Kesempurnaan zahir yang ada pada Nabi SAW yang ditonjolkan oleh kesederhanaan tubuh badannya terdiri daripada;

1. Ketenangan yang membangkitkan sifat hebat (menggerunkan) dan dipandang hebat. Sifat inilah yang telah menyebabkan utusan Raja Kisra menggeletar ketakutan apabila berhadapan dengannya. Sekalipun pandangan manusia kepadanya hebat tetapi Nabi SAW tetap bersifat tawaduk tidak mengambil kesempatan untuk menguasai seseorang.

2. Air muka yang berseri menyebabkan Baginda dicintai oleh setiap orang yang memandang wajahnya. Yang hampir berharap ingin sentiasa bersamanya, yang jauh ingin berdekatan dengannya.

3. Mendapat penerimaan yang menjadikan semua hati cenderung untuk menerima apa sahaja yang datang daripada Nabi SAW. Tidak ada yang mengingkari kecuali orang yang hasad.

4. Kecenderungan manusia untuk mentaati Rasulullah SAW sekalipun perlu kepada kesabaran dan kesusahan yang terpaksa mereka tetap berpegang teguh dan mentaati-Nya. Demikian antara kesempurnaan fizikal yang dimiliki oleh Rasulullah.

Adapun kesempurnaan akhlak Nabi SAW pula terdiri dari empat perkara iaitu:

*kebernasan fikiran, sangkaan dan firasatnya.

*Sabar di atas segala kesusahan dan rintangan.

*Zuhud terhadap dunia serta tidak berkehendak dan tidak cenderung kepadanya.

*Tawaduk kepada manusia lain sedangkan mereka semua adalah pengikutnya. Bermesra dengan sahabatnya tanpa ada jurang pemisah yang membezakan mereka.

*Berlemah lembut dengan manusia serta mudah mesra dan simpati dengan manusia lain. Sehingga setiap orang merasakan Rasulullah SAW seumpama ayah mereka.

*Memelihara janji dan tidak pernah memungkirinya.

Kelebihan Rasulullah dari sudut pengucapannya pula ialah:

1. Diberikan kepadanya kebijaksanaan dari segi menuturkan ucapan. Perkataannya dipenuhi dengan seni bahasa Arab yang terdiri daripada balaghah, ma'ani dan badi'. Walaupun begitu perkataan Rasulullah mudah difahami oleh mereka yang ingin menerimanya.

2. Menghafaz apa-apa yang dikhabarkan oleh Allah kepadanya dari kisah-kisah para nabi terdahulu dalam hafalan dadanya tanpa dicatat.

3. Perkara-perkara yang disuruhnya adalah terdiri dari perkara yang baik-baik dan adab-adab yang tinggi.

Kelebihan perbuatan Rasulullah SAW pula dapat dilihat dari berapa sudut. Antara ialah:

1. Elok perjalanan hidupnya dan tepat perancangannya.

2. Sederhana dalam melakukan perkara yang disyariatkan tanpa berlebihan atau kekurangan.

3. Tidak menjadikan sahabatnya terlalu cenderung terhadap hal keduniaan dan tidak pula menolak dunia secara keseluruhannya.

Kita tidak menafikan bahawa agenda pendidikan ada digarap dalam pelbagai pendekatan individu dan kumpulan yang beridealismekan perjuangan Rasulullah SAW di zaman kita ini.

Cuma yang harus dimuhasabah adalah setakat mana agenda ini diberi tempat yang utama dan sepatutnya dalam kerangka gerak kerja masing-masing. Juga setakat mana ciri-ciri acuan pendidikan Rasulullah SAW yang hakiki telah dihayati.

Seperti yang dihimbau di atas, sebagai pendidik ulung, acuan pendidikan Rasulullah SAW dicirikan oleh gaya penerangannya yang jelas, tuturan yang fasih, gaya bahasa yang indah, isyarat fizikal yang menawan, sinaran roh yang memancar, sifat kasih sayang yang tebal serta kebijaksanaan yang tiada tolok bandingnya. Semoga kita semua mampu menterjemahkannya dalam diri dan organisasi kita.

Ketabahan Ibu Musa dibalas kebaikan

YUKABID adalah ibu kepada Nabi Musa. Yukabid mengandungkan Musa ketika Firaun memerintahkan anak lelaki kaum Bani Israel dibunuh kerana bimbang anak lelaki akan menentang dan mengambil kekuasaannya.

Suatu ketika, Yukabid mendengar perintah Firaun itu. Alangkah sedihnya hati Yukabid kerana dia sedang sarat mengandung waktu itu. Yukabid terpaksa bersembunyi sahaja di rumah agar kandungannya tidak diketahui orang.

Sehinggalah tiba masanya, Yukabid pun melahirkan anaknya. Alangkah terkejutnya dia apabila anak yang dilahirkannya itu adalah anak lelaki.

Walaupun berasa takut dengan perintah Firaun, seboleh-bolehnya dia mahu mempertahankan nyawa anaknya itu. Dia tidak mahu anaknya itu menjadi korban undang-undang yang diperintahkan oleh Firaun yang zalim dan kejam.

Yukabid berjaya merahsiakan kelahiran Musa selama tiga bulan daripada pengetahuan Firaun dan tentera-tenteranya.

Walau bagaimanapun, hatinya tidak pernah tenteram melihat anaknya yang semakin membesar. Dia risau akan keselamatan Musa. Dalam kerisauan itulah, Allah Yang Maha Berkuasa telah memberi ilham kepada Yukabid agar membuat sebuah peti. Lalu Allah SWT memerintahkan agar Musa dimasukkan ke dalam peti dan dihanyutkan ke Sungai Nil.

Dengan hati yang tenang dan sabar, maka Yukabid pun menghanyutkan Musa ke sungai Nil seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT kepadanya. Peti itu dihanyutkan oleh arus sungai sehingga sampai ke istana Firaun.

Kebetulan pada hari itu, Asiyah permaisuri Firaun sedang bersiar-siar bersama dayang-dayangnya. Ketika sedang bersiar-siar itu, Asiyah menyuruh dayang-dayangnya mengambil sedikit air dari Sungai Nil. Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati ada sebuah peti di sisi kaki mereka. Lalu diambil peti itu dan dibawakan kepada Asiyah.

Maka Asiyah terus membuka peti itu dan dilihatnya da seorang bayi di dalamnya. Apabila melihat akan wajah bayi itu, timbul rasa cinta dan kasih dalam hatinya terhadap bayi itu. Asiyah mengambil bayi itu dan dibawanya pulang istana.

Tiba sahaja di istana, Asiyah meminta keizinan Firaun untuk membela bayi itu. Pada mulanya Firaun tidak mengizinkan Asiyah mengambil bayi itu tetapi setelah dipujuk, akhirnya Firaun bersetuju.

Setelah mendengar tangisan kehausan bayi itu, Asiyah berasa kasihan lalu disuruhnya Firaun mencarikan seorang wanita yang dapat menyusukan bayi itu. Akan tetapi seorang demi seorang wanita yang datang untuk menyusukan bayi itu telah ditolak oleh bayi tersebut.

Bayi itu tidak mahu disusukan oleh mereka sehinggalah berita ini diketahui oleh saudara Musa, Mariam. Lalu Mariam datang ke istana dan memberitahu kepada dayang-dayang Asiyah bahawa dia boleh membawakan seorang ibu yang boleh menyusukan bayi itu.

Mendengar sahaja berita daripada dayang-dayang itu, Asiyah memerintahkan agar bayi itu dibawa ke rumah Yukabid.

Yukabid menyambut anaknya itu dengan penuh kasih sayang. Bayi itu terus minum susu ibunya sehingga kenyang. Alangkah seronoknya hati Yukabid. Allah SWT telah mengembalikan anaknya, Musa kepadanya kerana kesabaran dan ketabahan mengikut perintah-Nya.

Friday, October 16, 2009

Ketampanan Nabi Yusuf diuji

NABI Yusuf ingin hidup tenang dan tenteram di rumah pembesar Mesir. Baginda mendapat sepenuh kepercayaan daripada majikannya untuk menguruskan segala hal-hal rumah tangga mereka dengan penuh keikhlasan, kejujuran tanpa mengharapkan balasan dan sebagainya.

Pertumbuhan fizikal dan mental Nabi Yusuf menjadi seorang pemuda yang cukup tampan dan gagah telah menarik perhatian isteri pembesar Mesir tersebut.

Zulaikha sangat tertawan melihat ketampanan Yusuf. Dia selalu menggoda Yusuf dengan pelbagai cara sama ada secara terang ataupun tersembunyi. Pantang ada kesempatan, maka akan digunakan oleh Zulaikha dengan sepenuhnya.

Setiap hari dia akan berpakaian cantik dan memakai wangi-wangian semata-mata untuk menggoda Nabi Yusuf agar terpikat kepadanya.

Perbuatan dan tingkah laku Zulaikha yang selalu menggoda Yusuf itu lama-kelamaan menjadi buah mulut penduduk Mesir.

Sebagai isteri kepada orang yang sangat berpengaruh, Zulaikha terasa sangat teruji dan malu dengan perbuatannya sendiri. Dia pun merancang satu strategi untuk menutup perbuatannya.

Pada suatu hari, dia telah memanggil rakan-rakannya yang terdiri daripada isteri-isteri pembesar dan kaum-kaum wanita yang berpengaruh di daerah itu untuk menjamu mereka di rumahnya.

Setiap tetamu yang datang akan diberikan tempat duduk yang sangat selesa kepada mereka dan dihidangkan dengan makanan yang lazat serta sebilah pisau setiap seorang untuk memotong makanan itu.

Apabila semua tetamu telah sampai, Zulaikha pun mempersilakan mereka makan.

Sedang tetamu-tetamunya asyik makan, Zualikha memerintahkan Nabi Yusuf supaya keluar dan berjalan di hadapan mereka. Nabi Yusuf pun keluar dan berjalan dari bahagian hadapan hinggalah ke belakang meja itu.

Para wanita yang melihatnya terdiam seketika dan terngangalah mulut masing-masing. Mata mereka bulat memerhatikan ketampanan Yusuf. Tidak kurang juga ada yang menjerit kerana terkejut. Lagipun seumur hidup mereka sebelum ini tidak pernah melihat orang lelaki setampan Nabi Yusuf.

Oleh sebab terlampau terkejut dan terpukau dengan ketampanan Nabi Yusuf, mereka telah memotong jari masing-masing sehingga luka. Sesungguhnya apa yang terjadi itu adalah di luar kawalan mereka.

Zulaikha memerhatikan mereka dengan perasaan suka hati. Dia pun bertepuk tangan dan mengarahkan Nabi Yusuf masuk ke dalam bilik semula. Setelah Nabi Yusuf hilang daripada pandangan, barulah wanita-wanita itu tersedar daripada lamunan dan mula menyedari tangan masing-masing telah terluka.

"Sesungguhnya apa yang kami lihat itu tadi bukanlah manusia tetapi malaikat," kata mereka. Zulaikha pun berkata: Kamu telah melukai tangan masing-masing, padahal kamu hanya melihatnya sekali sahaja. Tetapi aku melihatnya setiap hari, daripada usianya 12 tahun sehinggalah dia menjadi pemuda yang tampan begini. Jadi salahkah aku kerana menyukainya?"

Pelbagai nasihat yang diberikan oleh wanita-wanita itu tadi supaya Nabi Yusuf menerima cinta Zulaikha. Jika menerima cinta Zulaikha, Yusuf akan mendapat kesenangan hidup dan pelbagai ganjaran yang lain. Namun begitu kata-kata nasihat yang diberikan tidak menarik minat di hati Nabi Yusuf.

Baginda berdoa kepada Allah agar dirinya ditetapkan iman dan tidak terpengaruh dengan godaan wanita-wanita itu. "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku lebih rela dipenjarakan kerana sekiranya berada di luar aku bimbang akan terpaksa menurut hawa nafsu wanita-wanita itu. Lindungilah aku wahai Tuhanku daripada rayuan dan tipu daya mereka," ucap baginda.

Pembesar Mesir mengetahui hal itu, tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa. Demi menyelamatkan keadaan, dia telah menurut kata isterinya supaya memenjarakan Nabi Yusuf. Akhirnya tinggallah Nabi Yusuf dalam penjara.

Fatimah ibu mithali

FATIMAH binti Asad ialah ibu kepada Ali bin Abu Talib. Abu Talib adalah bapa saudara Nabi Muhammad. Selepas Aminah meninggal dunia, Abu Talib mengambil tanggungjawab menjaga Nabi Muhammad.

Semasa Nabi Muhammad tinggal dengan Abu Talib, Fatimah menjaga anak saudaranya dengan baik.

Segala makan minum, tempat tinggal dan pakaian Nabi Muhammad disediakan oleh pasangan suami isteri itu mengikut kemampuan mereka.

Nabi Muhammad merupakan seorang yang baik, jujur, amanah dan menghormati orang yang lebih tua daripadanya.

Fatimah adalah antara wanita yang awal memeluk agama Islam. Semasa Nabi Muhammad dilantik menjadi nabi, Fatimah memberi sokongan padu kepada Nabi Muhammad bagi menegakkan agama Islam.

Anak-anak Fatimah juga turut mengikuti jejak langkah ibunya dengan memeluk agama Islam. Antara anak Fatimah yang memeluk Islam ialah Uqail, Jaafar, Ali, Ummu Hani dan Talib.

Nabi Muhammad sangat menghormati Fatimah seperti ibunya sendiri.

Semasa Fatimah tinggal di Madinah, Nabi Muhammad sering berkunjung ke rumah Fatimah dan berehat serta tidur pada siang hari di rumah itu.

Begitu juga keadaan berlaku semasa Fatimah tinggal di Mekah. Nabi Muhammad sering ke rumah Fatimah untuk berjumpa dengan ibu saudaranya itu.

Ada seorang lelaki tua bercerita kepada jirannya tentang Fatimah binti Asad. Lelaki tua itu berkata: “Nampaknya keluarga Fatimah sangat rapat dengan Muhammad. Fatimah menjaga Muhammad dengan baik sekali”.

Lalu jiran itu berkata pula: “Bukankah Fatimah itu isteri kepada Abu Talib? Abu Talib adalah bapa saudara Muhammad”.

“Ya,” jawab lelaki tua itu.

Jiran itu menambah lagi: “Sekarang ini Muhammad sudah berkahwin dengan Siti Khadijah. Saya dapat tahu bahawa Ali, anak Fatimah tinggal bersama Muhammad”.

“Ya. Saya juga dengar berita itu,” kata lelaki tua itu pula.

Lelaki tua itu tersenyum mendengar cerita jirannya itu. Lelaki tua itu berkata lagi: “Sejak kecil Fatimah mendidik dan menjaga Muhammad. Sudah tentu Fatimah mengetahui sifat-sifat yang ada pada Muhammad.

“Saya sendiri melihat Muhammad itu baik orangnya. Dia seorang yang amanah, jujur dan baik budi pekerti. Muhammad tidak pernah memungkiri janji”.

“Patutlah Fatimah sanggup membiarkan Ali tinggal bersama Muhammad. Sekiranya saya ada anak, sudah tentu saya juga ingin melihat anak saya tinggal bersama Muhammad. Pasti Muhammad dapat mendidik anak saya menjadi orang baik,” kata jiran itu panjang lebar.

Rata-rata orang yang mengenali Fatimah binti Asad akan memuji sifat keibuannya. Dia pandai mendidik anak sehingga anak-anaknya menjadi anak yang baik.

Sejarah Islam mencatatkan bahawa anak Fatimah iaitu Ali bin Abi Talib telah dilantik menjadi Khalifah yang ketiga selepas Khalifah Umar al-Khattab menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Fatimah juga menyumbang usahanya kepada Islam. Dia adalah seorang wanita yang suka menghafal dan melaporkan hadis dari Nabi Muhammad. Sepanjang hayat, dia telah melaporkan sebanyak 46 buah hadis.

Ali bin Abi Talib iaitu anak Fatimah telah berkahwin dengan anak Nabi Muhammad iaitu Fatimah az-Zahra. Semasa Fatimah az-Zahra menjadi menantunya, Fatimah menjaga menantunya dengan baik.

Ada satu peristiwa yang berlaku semasa Fatimah di rumahnya. Ali meminta ibunya membantu isterinya di rumah.

Ali berkata kepada ibunya: “Wahai ibu, bolehkah ibu membantu isteri saya mengambil air dan membuat pekerjaan yang lain. Isteri saya akan membantu ibu membuat roti untuk kita makan pada hari ini”.

“Boleh. Ibu sedia buat apa sahaja untuk anak dan menantu ibu yang disayangi itu,” kata Fatimah kepada anak lelakinya.

Semasa Fatimah menghembuskan nafasnya yang terakhir, Nabi Muhammad datang menziarahi jenazah Fatimah.

Nabi Muhammad berdoa kepada Allah, “Semoga Allah menyayangi diri Fatimah. Dia merupakan ibu bagi diri saya. Walaupun dia lapar, dia tetap memberi saya makan sehingga kenyang.

“Apabila pakaian saya koyak dan kotor dia akan beri pakaian yang baik kepada saya. Dia akan menghidangkan saya makanan yang enak dan lazat. Semoga Allah membalas jasa dan kebaikan Fatimah di akhirat kelak”.

Kisah srikandi Fatimah merupakan kisah teladan yang boleh dijadikan contoh. Ibu mithali sangat dihormati dan disayangi oleh anak-anak.

*Petikan daripada buku Bidadari Syurga terbitan PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Segera mohon keampunan Allah

DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI (Siri 56)

MUHAMMAD Quraish Shihab berkata : Setelah ayat yang lalu digambarkan sekelumit tentang syurga, ayat ini menggambarkan sifat-sifat mereka yang layak menghuninya.

Ia berkaitan erat dengan peristiwa perang Uhud dan malapetaka terjadi kerana keinginan memperoleh harta rampasan perang yang belum sampai waktunya untuk diambil, maka nasihat pertama adalah berinfak dengan menyatakan ciri-ciri orang yang bertakwa adalah mereka yang kebiasaannya berterusan menafkahkan hartanya di jalan Allah SWT tidak mengira waktu senang atau susah.

Ayat ke-133

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa..

Iktibar dan fiqh ayat

i. Ibn Kathir berkata: "Allah menyeru orang yang beriman supaya segera melakukan kebaikan dan ketaatan".

ii. Al-Maraghi berkata: "Syurga disediakan untuk mereka yang bertakwa. Ayat ini menyatakan bahawa syurga itu sekarang sudah ada di luar alam kita ini. Ini disebabkan syurga ini dinyatakan lebih besar dari alam.

"Oleh itu, syurga tidak dapat dicakupi oleh alam. Kemudian Allah SWT menerangkan ciri-ciri orang yang bertakwa dengan beberapa sifat. Keseluruhannya adalah sifat-sifat yang terpuji dan menjadi kebanggaan".

iii. Abu Muslim berkata: "Perkataan luas dalam ayat ini bermaksud bukanlah luas seperti benda yang dapat dijual beli dengan harga tertentu seperti langit dan bumi, tetapi luas di sini untuk menyatakan ketinggian martabat dan keunggulan nilainya. Tidak boleh dinilaikan pengertian luas dengan kebendaan walaupun betapa besarnya".

iv. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Maksud lebar syurga di sini adalah luasnya yang membawa maksud kepada perumpamaan. Ia tidak harus difahami dalam erti harfiahnya.

"Dalam hati manusia tidak ada sesuatu yang dapat menggambarkan keluasan melebihi luas langit dan bumi. Untuk menggambarkan luasnya syurga Allah SWT memilih kata-kata 'selebar langit dan bumi'".

v. Hamka berkata: "Segera memohon keampunan Allah SWT tidak kira orang kaya atau miskin. Berlumba-lumba mengajar ganjaran syurga yang telah dijanjikan oleh-Nya.

"Sesungguhnya amalan mulia seperti tolong-menolong sesama manusia, bersedekah, berwakaf dan bernazar mengandungi makna yang lebih besar iaitu keselamatan pergaulan hidup di dunia berdasarkan kepada takwa jambatan ke akhirat".

Ayat ke-134

Firman Allah SWT yang bermaksud: Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik…

Iktibar dan fiqh ayat

i. Al-Maraghi berkata: "Mereka adalah orang yang menafkahkan harta mereka pada waktu senang mahupun pada waktu susah. Mereka menafkahkan harta sesuai dengan tuntutan keadaan dan tidak pernah menolak untuk mengeluarkan infak pada bila-bila masa".

ii. Al-Maraghi berkata: "Allah SWT amat menyukai orang yang mengutamakan kepentingan orang lain yang berada dalam kesulitan dan memberikan sebahagian nikmat Allah SWT kepada mereka sebagai tanda syukur kepada Allah SWT".

iii. Hamka berkata: "Ayat ini memperincikan lebih jelas keazaman setiap hamba-Nya yang bersedekah dan menderma untuk mengejar syurga yang sangat luas untuk diperkatakan.

"Orang miskin dan kaya tidak terkecuali dalam matlamat yang serupa mencari keredaan Allah SWT".

Ayat ke-135

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka , dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

Iktibar dan fiqh ayat

i. Al-Maraghi berkata: "Susunan ayat ini merupakan lanjutan daripada susunan ayat yang sebelumnya.

"Tujuan ayat ini adalah untuk menyenangkan hati orang yang bertaubat dalam usaha membersihkan hati mereka, memberi khabar gembira bahawa adanya rahmat Allah Yang Maha Luas, keampunan-Nya yang dekat, serta menghargai usaha mereka.

"Mereka mengetahui bahawa hanya dengan sifat rahmat dan kurniaan-Nya orang yang berdosa itu tidak lagi mempunyai perasaan takut dan kerana rahmat-Nya juga orang yang bertaubat dari dosanya menjadi seperti orang yang tidak berdosa.

"Seseorang yang ingin mencari perlindungan daripada-Nya, menjauhi sebarang perbuatan dosa sedaya upaya yang mungkin, maka Allah SWT akan mengampuninya dan menghapuskan segala dosanya, meskipun dosanya begitu besar.

"Ini kerana pengampunan-Nya adalah lebih besar dan rahmat-Nya lebih luas. Ayat ini mengandungi dorongan kepada hamba-Nya agar segera bertaubat dan memberi pesanan agar jangan mudah berputus asa dan patah hati".

ii. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Kalau diamati sifat-sifat para penghuni syurga atau orang-orang bertakwa di atas ditemukan maksiat dan kederhakaan yang dilakukan sebegitu pantas dia menyedarinya dan tidak tercabut ketakwaannya.

"Hal ini membuktikan betapa benarnya ajaran dari al-Quran.

"Allah SWT tidak menutup pintu taubat dan mengharuskan semua hamba-Nya sebersih kain putih sehalus sutera.

"Dia menerima hamba yang melakukan dosa dan perkara-perkara yang dimurkainya dengan syarat menyedari setiap perbuatan tersebut adalah satu kesalahan yang besar".

iii. Hamka berkata: "Demikianlah Allah SWT menggariskan kehidupan orang yang beriman yang mesti mereka tempuhi dengan iman, amal, takwa dan usaha.

"Membentuk sahsiah diri dengan penuh kasih sayang limpah kurnia dari Yang Maha Esa. Selalu berusaha memperbaiki kehidupan dan mengabdikan diri hanya kepada ilahi".

Ayat ke-136

Firman Allah SWT yang bermaksud: Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Al-Alusi berkata: "Dimulakan dengan kalimah mereka sebagai isyarat berdasarkan sifat mereka yang baik dan terpuji, di samping menunjukkan kemuliaan mereka".

ii. Al-Qurtubi berkata: "Allah SWT menyusun kemuliaan-Nya dan kelebihan-Nya dengan keampunan bagi siapa yang ikhlas dalam taubatnya serta tidak kekal dalam melakukan dosa".

iii. Al-Maraghi berkata: "Orang yang bertakwa ialah mereka yang telah disebutkan ciri-cirinya di atas. Mereka ini aman daripada seksa, mendapat ganjaran pahala yang besar daripada Tuhan mereka dengan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.

"Kesimpulannya, balasan terbaik yang disebut itu terdiri daripada pengampunan, dan syurga merupakan satu kurniaan kepada orang yang mengerjakan beberapa amalan tersebut sama ada amalan bersifat material.

"Contohnya, mendermakan harta atau bersifat moral seperti tidak mendatangkan kerugian kepada orang lain. Balasan ini pula berbeza-beza menurut besar kecil perbuatan yang dilakukan".

iv. Hamka berkata: "Balasan Tuhan itulah yang sentiasa diharapkan oleh setiap orang yang beriman. Sebab iman pasti menimbulkan amal dan ia sentiasa diperbaharui dengan perkara-perkara yang mulia".

Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa memohon keampunan Allah dengan berinfak, menahan kemarahan serta sentiasa memaafkan orang lain. Amin.

Formula kesempurnaan solat

Oleh ZUARIDA MOHYIN

TENTU ramai di antara kita yang mengetahui tentang Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Julai lalu ke atas sektor awam.

Malah sejak diperkenalkan dan sehingga kini, banyak kedengaran kata-kata positif kesan daripada perlaksanaan sistem ini.

Lantaran itu, sewajarnya setiap daripada kita, lebih-lebih lagi yang beragama Islam perlu menyematkan sistem serupa ini terutamanya dalam melakukan transformasi diri, dari Muslim sejati kepada mukmin sejati.

Pokok pangkalnya, setiap kita perlu sentiasa muhasabah diri serta meletakkan sasaran agar segala amalan kita itu diperbaiki kesempurnaannya dari semasa ke semasa.

Apa lagi dalam ibadat solat, yang merupakan tiang agama dan menjadi tunggak amalan seharian kita. Pastinya, kita mahu berikan yang terbaik untuk Allah SWT bukan?

Anggapan lebih baik buat daripada tidak seharusnya tidak dijadikan pegangan. Ini kerana, dengan mengambil contoh perlaksanaan ibadat solat yang mungkin kita anggap telah sempurna serta berpaksi kepada mazhab Syafie, tetapi rupa-rupanya, ia tidak pun menunaikan ibadat solat seperti yang tercatat di dalam kitab Mazhab Syafie yang muktamad.

Malah realiti yang mengejutkan penulis, 99 peratus solat orang Islam kita tidak menepati mazhab Syafie.

Kenyataan berani ini adalah hasil kajian Pensyarah Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Zaharuddin Abd. Rahman menerusi borang kaji selidik ke atas lebih 20,000 peserta kursus solat sempurna yang diadakan dari tahun 2006 hingga 2008 di Malaysia, Brunei, Jordan dan United Kingdom (UK).

Bertitik tolak daripada modul Kursus Solat Sempurna dan Muhasabah Diri kendalian beliau di seluruh negara termasuk Brunei, Jordan dan UK serta niat untuk memperkemaskan solat sendiri dan ditambah dengan beberapa cadangan membina para peserta, maka terhasillah buku Formula Solat Sempurna dengan kerjasama penerbit Telaga Biru Sdn. Bhd.

Katanya, penghasilan buku ini bukanlah mudah tetapi melalui kajian demi kajian, berpuluh-puluh kitab silam telah dikhatamkan semata-mata untuk mendapat gambaran terbaik daripada ulama fiqh dan hadis terunggul pada setiap zaman.

"Justeru, objektif penulisan ini adalah untuk mengajak umat Islam mendekati solat mereka dengan lebih terperinci agar mampu menunaikannya dengan lebih berilmu berbanding sebelum ini.

"Buku ini juga membentangkan pandangan mazhab Syafie sebagai asas, di samping mempersembahkan sebahagian dalil-dalil yang disebutkan oleh mazhab Syafie.

"Namun, keutamaan sentiasa diberi kepada mazhab Syafie sebagai meraikan mazhab di negara ini," terang Zaharuddin yang merasakan rugi sekiranya manfaat ilmu sebegini tidak dikongsikan bersama khalayak umum yang lain.

Kata Zaharuddin yang sedang menyambung pengajiannya di peringkat PhD, sungguhpun perkara ini tidak menjejaskan solat kita kerana kebanyakannya hanya melibatkan hal-hal sunat atau tidak sunat, tetapi berbalik kepada objektif buku ini adalah untuk memperkemas dan mempercantikkan solat kita.

Selain itu terangnya lagi, agak ramai yang menyangka buku ini adalah untuk kanak-kanak tetapi sebenarnya tidak. Ini kerana masih banyak lagi ibu bapa yang solat mereka masih tunggang-langgang.

"Maka inilah dia satu buku rahsia solat sempurna sesuai untuk pembacaan dewasa bagi menyemak tatacara solat mereka.

"Ia menjelaskan kepada pembaca dengan pendekatan mudah dan mantap berkenaan cara menunaikan secara lebih sempurna iaitu dengan menggabungkan sunat-sunat semasa solat bersama rukun dan syaratnya," kata beliau.

Menurut Zaharuddin, buku ini juga bukan bertujuan mendabik dada mengatakan beliau mengetahui yang terbaik serta menafikan ilmu para ustaz dan ilmuwan syariah yang lain.

"Ia hanyalah usaha kecil saya setelah mentelaah puluhan kitab fiqh silam dan kontemporari yang dikira berkualiti tinggi untuk digali ilmunya dan dikongsi bersama," kata Zaharuddin semasa ditemui Mega, baru-baru ini.

Keistimewaan buku ini juga ia disusun dalam bentuk menarik mengikut kronologi pergerakan solat dan diikuti dengan nas-nas warid daripada Nabi Muhammad SAW.

Penggunaan gambar-gambar berwarna turut memudahkan penjelasan dan memantapkan pemahaman.

Soal mencapai khusyuk di dalam solat turut diletakkan pada satu bab khas iaitu pada bab lima atau bab terakhir, bermula pada muka surat 127 hingga 160.

Pada bab ini akan dijelaskan sub-sub bab; hakikat, fadilat, tuntutan, kaedah faktor utama gagal peroleh khusyuk dan usaha tambahan bagi mendapatkan khusyuk.

Lantas itu, kesempurnaan itu mestilah dicari, dipraktik agar ia sebati dalam diri. Insya-Allah. Jadi cepat-cepatlah ke kedai buku berdekatan untuk dapatkan buku Formula Solat Sempurna.

Monday, October 12, 2009

Ketabahan Bilal hadapi seksaan

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

SETIAP hari Umaiyyah bin Khalaf menantikan berita Nabi Muhamamd akhirnya berjaya mati dibunuh oleh hambanya, Bilal bin Rabah.

Beliau tidak senang duduk selagi berita kejayaan pembunuhan itu tidak dibawa pulang oleh Bilal.

Sebenarnya pembunuhan Nabi Muhammad itu bukanlah menjadi matlamat utama si Umaiyyah tetapi beliau membayangkan nama besar yang bakal diperoleh andai misi 'suci' ini berjaya disempurnakan oleh Bilal.

Tentu Umaiyyah akan dipuja, disanjung sehingga tujuh keturunan tidak habis diperkatakan kerana kehebatannya kerana berjaya membunuh baginda Rasulullah!

Namun setiap hari Umaiyyah dihampakan oleh pelbagai alasan Bilal kerana masih tidak berjaya untuk membunuh manusia yang mulia, Nabi Muhammad itu.

Sedangkan apa yang berlaku di belakang Umaiyyah, hamba kesayangannya itu sedang menikmati detik-detik keislaman malah Bilal sentiasa berada di sisi Rasulullah.

Untuk membunuh baginda boleh dilakukan bila-bila masa sahaja. Namun apabila bercakap soal keimanan yang kental dan rasa kasih yang mendalam terhadap Pesuruh Allah itu, Bilal sama sekali tidak akan menikam seseorang yang menyebarkan sebuah agama, antara ajarannya meletakkan semua manusia adalah sama rata, sama taraf.

Juga seseorang yang begitu menjadi obor memberikan beliau semangat untuk menikmati kehidupan sebagai manusia yang merdeka.

Tidak sesekali Bilal akan cuba mencederakan Nabi Muhammad!

Malah Bilal sedia mempertahankan Nabi Muhammad daripada apa juga ancaman dan cubaan yang buruk dari mana-mana pihak yang memusuhi baginda.

Sehinggalah selepas peristiwa keluarga Amar bin Yasir, iaitu bapanya Yasir, ibunya Sumayyah dan adik lelakinya, Abdullah yang diseksa dan mati kerana keengganan mereka untuk meninggalkan Islam.

Umaiyyah sentiasa memberi amaran bahawa seksaan seperti itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang berani memeluk Islam. Hatta isteri mahupun anak-anaknya sendiri!

Namun tanpa disangka kata-kata keras Umaiyyah itu hanya menerima ketawa yang besar oleh para pembesar Quraisy yang lain. Ini menyebabkan Umaiyyah kehairanan kerana tidak mengetahui apa-apa.

"Kamu Umaiyyah, ibarat berkawal siang malam tetapi rumah sendiri dimasuki pencuri," kata Abu Lahab sambil berkias.

Umaiyyah benar-benar tidak faham kiasan di sebalik kata-kata Abu Lahab itu.

"Kamu hanya pandai bercakap sedangkan kamu tidak tahu apa yang berlaku kepada hambamu sendiri," balas Abu Lahab.

Umaiyyah kemudiannya benar-benar tersentak apabila Abu Lahab menceritakan mata kepalanya yang melihat sendiri Bilal meludah patung-patung berhala yang bersepah di sekitar Kaabah sebagai tanda dia telah berpaling daripada ajaran menyembah patung-patung itu.

"Bilal mengaku bahawa Tuhannya sekarang adalah Allah. Itu bukti Bilal sudah menjadi pengikut Muhammad. Perbuatan hamba kamu itu satu penghinaan yang besar kepada kita," tegas Abu Lahab.

Umaiyyah benar-benar tidak menyangka hamba yang paling dipercayainya itu sanggup berpaling tadah dan berani menipu.

Dia berasa sangat malu. Pada hal Umaiyyah telah menawarkan kemerdekaan kepada Bilal jika hambanya itu berjaya membunuh Nabi Muhammad. Satu tawaran yang sangat diidam-idam dan sama sekali tidak boleh dilepaskan oleh mana-mana hamba.

Mereka lazimnya sanggup melakukan apa sahaja bagi mendapatkan status bebas daripada perhambaan itu.

Tetapi ternyata pengaruh Nabi Muhammad lebih kuat, seolah-olah Muhammad kini merupakan tuan kepada Bilal, bukannya dirinya!

Jadi mengertilah kini Umaiyyyah mengapa misi Bilal sering tertangguh dengan pelbagai alasan. Rupa-rupanya hambanya tidak menikam Muhammad, tetapi telah menikam beliau dari belakang!

"Sekiranya Bilal itu hamba milik aku, pasti sudah aku bunuh dia. Berani dia menghina tuhan kita," kata Abu Suffian pula dengan sengaja bagi menambahkan kemarahan Umaiyyah.

Tanpa mampu berkata-kata lagi, Umaiyyah terus pulang ke rumah yang diiringi dengan gelak tawa para pembesar Mekah itu.

Setiba di rumah kemarahan Umaiyyah tidak dapat dibendung lagi apabila mendengarkan Bilal tanpa sebarang perasaan takut atau ragu-ragu sedang mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Walaupun begitu merdu dan mengasyikkan bacaan si Bilal namun semua itu langsung tidak dapat memadamkan api kemarahan Umaiyyah, malah semakin memarakkan lagi perasaan geram dan sakit hati dia terhadap Bilal.

"Aku suruh kamu bunuh Muhammad, bukan menjadi pengikutnya!!!" bentak Umaiyyah sambil terus memukul Bilal tanpa henti.

Bilal yang ketika itu sudah bersedia untuk menghadapi apa juga kemungkinan telah menunjukkan kedegilan yang luar biasa dengan langsung tidak mempedulikan nasib yang bakal diterima.

Malah beliau langsung tidak menunjukkan rasa takut malah cuba mengajak Umaiyyah untuk menerima Islam.

Kata-katanya itu menyebabkan Umaiyyah bertempik marah dan Bilal terus dipukul.

Hamba-hamba lain hanya mampu memandang sahaja apabila Bilal teruk diseksa dan dibalun oleh tuan mereka. Malah ada yang menyuruh Umaiyyah supaya Bilal itu terus dibunuh sahaja.

Namun Umaiyyah tidak mahu Bilal segera mati kecuali hendak diseksanya terlebih dahulu sebelum Bilal akan mati secara perlahan-lahan.

Diikat

Lalu apa yang berlaku selepas itu Bilal diikat leher tangan dan kaki yang kemudian diheret seperti anjing untuk dibawa ke padang pasir yang tandus dan panas terbakar untuk diseksa dengan pelbagai seksaan yang pedih.

Umaiyyah mahu hambanya itu menerima nasib dan seksaan yang lebih pedih dan teruk daripada yang dialami oleh keluarga Yasir sebelum ini.

Apa yang berlaku kepada Bilal di tangan Umaiyyah selepas itu adalah seperti yang kita telah ketahui. Sudahlah hidupnya selama ini begitu terseksa sebagai hamba abdi dan kini hanya kerana dia mengaku Islam menyebabkan seksaan terhadapnya tiada kesudahan.

Malah semakin teruk di peringkat yang paling zalim. Seolah-olah Umaiyyah mabuk darah Bilal yang terpercik ke sana sini akibat diseksa tetapi dalam masa yang sama dia tidak mahu melihat Bilal itu mati!

Dua hari dua malam lamanya Bilal diseksa tanpa henti tanpa sesiapa dapat menahan amukan marah Umaiyyah yang merasakan malu yang ditanggung tidak dapat dibeli walaupun sudahnya Bilal mati.

Sehinggalah Abu Bakar kemudiannya sanggup membeli Bilal dari Umaiyyah dengan tawaran harga yang tinggi.

Namun usaha atau urusan jual beli Bilal itu sebenarnya tidak mudah. Umaiyyah tetap enggan melepaskan Bilal, selagi hambanya itu tetap mengaku bahawa Allah itu adalah tuhannya dan tidak kembali semula ke ajaran yang asal.

"Sekalipun Bilal ini mati selepas saya membeli dari kamu Umaiyyah, kamu masih tidak rugi apa-apa kerana saya telah menjualnya kepada kamu dengan harga yang cukup mahal.

"Malah saya sebenarnya yang rugi kerana tidak ada faedahnya saya membeli seorang hamba yang pastinya akan menemui maut, Bilal hanya menunggu masa sahaja kerana sesiapa sahaja jika teruk diseksa seperti ini pasti sudah lama dijemput ajal," kata Abu Bakar penuh harap.

Akhirnya Umaiyyah termakan juga dengan kata-kata Abu Bakar itu dan sekurang-kurangnya dia telah menunjukkan kepada rakan-rakannya dan seluruh penduduk Mekah bahawa tidak ada sesiapa yang terlepas jika cuba berpaling dari menyembah berhala.

Umaiyyah akhirnya setuju untuk menjual Bilal kepada Abu Bakar, malah secara sinis beliau yakin Bilal pasti akan mati dan percuma sahaja sahabat baik Nabi Muhammad itu menjual hamba itu kepadanya.

Seperti yang kita ketahui juga, bahawa Bilal bukan sahaja mampu bertahan, malah dipanjangkan Allah akan usianya. Namun yang lebih hebat Bilal mencipta nama yang cukup hebat dan besar dalam sejarah Islam sedangkan asalnya dia seorang hamba abdi!

Umurnya tidak sahaja panjang, malah beliau merupakan antara sahabat-sahabat besar Rasulullah SAW yang melewati sehingga kewafatan baginda, Bilal tetap teruskan perjuangan menegakkan syiar Islam.

Malah 'kebangkitan' Bilal menyebabkan bekas majikannya, Umaiyyah menyesal tak sudah kerana menjualkan hambanya itu kepada Abu Bakar. Malah dia sanggup membeli semula Bilal dari Abu Bakar dengan harga yang berlipat ganda tinggi berbanding harga yang dijual sebelum ini.

Umaiyyah sama sekali tidak menyangka Bilal akan sembuh daripada luka-luka yang parah malah begitu menikmati kehidupan sebagai manusia yang merdeka, malah lebih teruk lagi Bilal kini menjadi seteru yang memerangi golongan kafir Quraisy.

Ini apabila Bilal turut serta dalam Perang Badar dan berjaya mengalahkan mereka yang dahulunya merupakan tuan kepada Bilal.

Bagaimana dengan nasib Umaiyyah akhirnya, berjayakah beliau membalas dendam terhadap Bilal kerana memalukannya di hadapan orang ramai?

Beliau akhirnya mati malah kepalanya berjaya dipenggal sehingga putus. Siapa yang berjaya membunuh Umaiyyah itu dan ikuti seluruh kisah hidup Bilal melalui buku karya Abdul Latip Talib, terbitan PTS, Bilal Bin Rabah - Pengumandang Seruan Langit!

Burung pipit bantu padamkan api

NEGARA Babylon adalah negeri yang aman dan makmur. Raja yang memerintah negeri itu ialah Raja Namrud bin Kan'an. Negeri Babylon ini mempunyai tanah yang luas dan subur.

Raja Namrud memerintahkan rakyatnya mengukir patung-patung berhala. Mereka menganggap patung-patung itu adalah Tuhan.

Ketika itu, Nabi Ibrahim diutus untuk menyeru keluarganya dan kaumnya supaya meninggalkan penyembahan berhala. Tetapi mereka tidak mengendahkannya.

Akhirnya, Nabi Ibrahim pergi ke istana Raja Namrud. Baginda mahu menemui Raja Namrud dan pembesar-pembesarnya. Baginda mahu penyembahan berhala dihentikan. Raja Namrud dan pengikutnya tidak mengendahkannya.

Pada setiap tahun, rakyat Babylon akan menyambut perayaan secara besar-besaran. Pada hari tersebut mereka akan keluar menuju ke tempat perhimpunan. Ketika itulah Nabi Ibrahim menjalankan rancangannya.

Selepas mereka keluar menyambut perayaan, Nabi Ibrahim masuk ke tempat penyembahan mereka. Baginda memecahkan patung-patung berhala kecuali patung yang paling besar.

Kemudian baginda menggantungkan kapak tadi di leher patung yang paling besar itu.

Selepas itu pulanglah semua orang daripada menyambut perayaan. Mereka pergi ke tempat berhala itu untuk menyembahnya. Alangkah terkejutnya mereka apabila didapati semua tuhan-tuhan mereka telah hancur dan berselerakan di atas lantai.

Mereka mencari Nabi Ibrahim dan menangkapnya. Raja Namrud mahu Nabi Ibrahim dibawa ke hadapan orang ramai supaya menjadi saksi atas perbuatan jenayahnya. Raja Namrud memerintahkan Nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup.

Raja Namrud memerintahkan seluruh rakyatnya mengumpul kayu-kayu. Setelah satu timbunan kayu api yang besar dilonggokkan, api pun dinyalakan. Nabi Ibrahim diikat dan diletakkan di atas pelontar lalu dicampakkan ke dalam api yang marak itu.

Ketika Nabi Ibrahim dibakar, burung-burung yang berterbangan juga menyaksikan peristiwa tersebut. Ada seekor burung pipit yang berasa kasihan melihat baginda yang dibakar hidup-hidup itu. Burung pipit itu mahu menolong Nabi Ibrahim.

Burung pipit itu terbang mencari air. Ia menyedut dan menyimpan air tersebut di dalam paruhnya yang kecil itu. Burung-burung lain kehairanan melihat perlakuan burung pipit.

"Wahai pipit, apa yang engkau mahu lakukan?" tanya burung-burung yang lain.

"Aku mahu membantu Nabi Ibrahim. Aku mahu padamkan api yang membakar Nabi Ibrahim," jawab burung pipit.

"Macam mana kamu mahu padamkan api itu. Kamu tidak mampu membawa air yang banyak. Paruh yang kamu ada itu kecil. Sia-sia saja usaha kamu itu," kata burung lain pula.

Walau bagaimanapun, burung pipit tidak berputus asa dan meneruskan usahanya untuk membantu Nabi Ibrahim. Lalu ia membawa air yang disimpan di dalam paruhnya itu ke arah api yang marak. Dengan izin Allah, api yang marak itu semakin berkurangan. Itu sahaja yang ia mampu untuk membantu Nabi Ibrahim. Walaupun sedikit sahaja pertolongannya, ia berpuas hati. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu Nabi Ibrahim.

Setelah kayu-kayu itu menjadi bara, maka orang ramai menghampiri unggun api yang telah menjadi bara. Burung pipit itu berasa gembira. Keyakinan burung pipit terhadap kekuasaan Allah semakin kuat dan terbang dengan penuh kesyukuran.

Orang ramai yang berada di situ berasa terkejut apabila melihat Nabi Ibrahim keluar daripada bara api itu seperti sediakala. Badannya sedikitpun tidak melecur.

l Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

Larangan makan riba

SHEIKH Sya'rawi berkata: Kita dapati firman Allah SWT berkenaan dengan penjagaan solat lima waktu dan solat pertengahan datang pada tempatnya. Begitu juga ayat berkenaan dengan riba datang pada tempatnya supaya orang yang menghendaki duit riba yang tidak disyariatkan Allah akan mengetahui berkenaan bala yang akan ditimpa ke atasnya dianggap sebagai menentang Allah dan juga rasul.

Ayat ke-130

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah supaya kamu berjaya.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Ibn Jarir berkata: "Janganlah kamu memakan harta riba' berlipat kali ganda selepas kamu menganut agama Islam. Sebab Allah SWT telah memberi hidayah kepadamu, mengenai larangan perbuatan kamu pada zaman jahiliah dahulu".

ii. Al-Razi berkata: "Pada zaman jahiliah, apabila seseorang memberi hutang kepada orang lain dengan wang yang bernilai 100 dirham untuk jangka masa tertentu, bila tiba waktunya orang yang berhutang tidak mampu membayarnya, maka pemiliknya akan berkata: Berikan bunganya, nanti aku akan tangguhkan waktunya. Boleh jadi dia akan menetapkan menjadi 200 dirham.

"Bila sampai tempoh yang dijanjikan, si berhutang belum juga mampu membayarnya, lalu ditunda lagi sampailah beberapa kali.

Penundaan yang kerap kali menyebabkan wang yang 100 dirham menjadi berlipat kali ganda banyaknya. Inilah yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya perkara berganda-ganda itu".

iii. Al-Maraghi berkata: "Hendaklah kamu takut kepada Allah SWT mengenai hal-hal yang kamu dilarang mengerjakannya, termasuklah riba".

iv. al-Biqa'i berpendapat sebab utama malapetaka yang terjadi dalam perang Uhud adalah langkah para pemanah meninggalkan posisi mereka di atas bukit untuk turun mengambil harta rampasan perang sedangkan Nabi SAW telah melarang mereka.

Harta yang mereka ambil itu serupa dengan riba kerana keduanya merupakan sesuatu bahagian yang lebih dari hiasan dunia.

Ayat ini mengajak orang-orang beriman agar tidak memakan riba sebagaimana yang sering terjadi dalam masyarakat jahiliah ketika itu.

Mereka diajak untuk menghindari seksa Allah SWT di dunia dan di akhirat dengan perintah-Nya. Neraka disediakan untuk orang-orang kafir, antara lain mereka yang menghalalkan riba, orang-orang yang derhaka yang mengkufuri nikmat Allah SWT.

v. Hamka berkata: "Menurut ahli tafsir, inilah ayat mengharamkan riba yang mula-mula turun dan mengandungi bermacam-macam hikmah.

"Riba adalah suatu pemerasan hebat dari yang memberi hutang kepada si penghutang. Umumnya, telah diketahui riba adalah kehidupan yang paling jahat dan meruntuhkan segala bentuk persaudaraan sesama Muslim.

"Konsep takwa telah dianjurkan khusus untuk menghalang perbuatan riba menguasai pentas kehidupan manusia".

Ayat ke-131

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan peliharalah diri kamu dari api neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Jauhkanlah dirimu daripada meniru perbuatan tukang riba kerana memakan harta riba hanya akan menjerumuskan dirimu ke dalam neraka, yang telah disediakan kepada orang kafir.

Tidak diragukan lagi bahawa ayat ini mengandungi ancaman keras. Golongan beriman yang diperintahkan diharap dapat menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan maksiat.

Apabila mereka menyedari bahawa dengan meninggalkan amalan takwa akan membawa mereka ke neraka, nescaya perasaan rasa takut mereka untuk melakukan perbuatan maksiat akan lebih menebal.

ii. Imam Abu Hanifah r.a berkata: "Ayat ini adalah antara ayat al-Quran yang paling menakutkan. Ini kerana Allah SWT mengancam orang mukmin bahawa mereka akan dimasukkan ke dalam neraka yang memang disediakan untuk orang kafir sekiranya tidak mahu menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan haram".

iii. Sayid Qutub berkata: "Sebelum ayat dari surah ini menghuraikan yang berkaitan dengan perang Uhud dipaparkan segala yang berkaitan dengan pertempuran dahsyat iaitu pertempuran dalam diri manusia dan lingkungan hidupnya. Huraian tentang riba, takwa dan ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya".

iv. Hamka berkata: "Allah SWT memberi peringatan kepada hamba-Nya yang beriman tidak terjebak dan melakukan riba seperti orang kafir.

"Ini kerana orang kafir yang melakukan riba telah terang-terangan jahil, akan tetapi jika dilakukan oleh orang yang beriman amatlah malang kepadanya kerana menjauhkan rahmat Allah SWT ke atasnya dan kemurkaaan-Nya menyebabkan azab yang amat pedih menanti di akhirat kelak".

Ayat ke-132

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, supaya kamu diberi rahmat.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Ibn Kathir berkata: "Allah perintahkan hamba-Nya supaya bertakwa, mudah-mudahan mereka berjaya di dunia dan di akhirat".

ii. Al-Qurtubi berkata: "Maksud taat pada Allah di sini dengan melaksanakan yang fardu termasuk meninggalkan pengharaman riba".

iii. Al-Alusi berkata: "Supaya kamu mendapat rahmat Allah dan mengharapkannya".

iv. Al-Maraghi berkata: "Taatlah kamu kepada Allah SWT dan Rasul-Nya meskipun dalam perkara yang dilarang-Nya, seperti memakan riba.

"Patuhilah segala perintah-Nya, termasuk bersedekah agar kamu mendapat rahmat di dunia ini, seperti memperoleh hidup yang baik dalam masyarakat dan menerima pembalasan yang baik berdasarkan amalan di akhirat kelak.

"Orang yang memiliki perasaan belas kasihan terhadap orang lain akan mendapat rahmat Tuhan Yang Maha Pengasih".

v. Hamka berkata: "Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Jauhilah perbuatan riba dan banyakkanlah bersedekah. Sesungguhnya Allah SWT bersifat Maha Pemurah yang sentiasa mendengar rintihan hamba-Nya tidak kira yang beriman mahupun orang kafir".

Marilah sama-sama kita mentaati Allah dan Rasul-Nya, kerana dengan mentaatinya kita beroleh rahmat. Amin.

Wednesday, October 7, 2009

Ziarah Madinah

Oleh MOHD. RAZALI ZAKARIA

MADINAH Al-Munawwarah merupakan kota suci kedua Islam selepas Makkah Al-Mukarramah. Terletak di sebelah utara kota Makkah. Ia berada di atas ketinggian 625 meter dari paras laut.

Batas Tanah suci Madinah adalah di antara Jabal 'Iyr di sebelah selatan dan Jabal Thawr di sebelah utara. Jaraknya lebih kurang 16 kilometer. Di sebelah timur dan barat disempadani dengan dua batuan hitam dipanggil Harrah Syarqiah dan Harrah Gharbiyah.

Sejarah Madinah

Kota Madinah pada asalnya dikenali dengan nama Kota Yathrib sempena orang yang membuka kota ini iatu Yathrib ibnu Ubayl Ibnu 'Iwadh berketurunan dari Nabi Nuh a.s. melalui anaknya Sam ibnu Nuh. Selepas itu 'Amalek Bani Imlak telah membuka penempatan dan ladang.

Dari sebuah penempatan kecil, Yathrib berkembang menjadi sebuah kota dan didiami oleh dua bangsa utama iaitu Yahudi dan Arab. Bangsa Yahudi terdiri dari tiga puak utama Bani Qainuqa', Bani Nadhir dan Bani Quraizah. Mereka menguasai ekonomi kota Yathrib ini.

Sementara itu, bangsa Arab pula terdiri dari suku Aus dan Khazraj. Mereka selalu bertelagah sesama sendiri sehingga kedatangan hamba Allah yang Mulia ke kota mereka.

Hijrah Rasulullah SAW

Ketika Rasulullah sampai di Quba' sebuah tempat di selatan Madinah baginda berhenti di rumah Kalthum Ibnu Hidam dan baginda membangunkan Masjid di sana.

Masjid ini kemudiannya diberi nama Masjid Qubba' dan ia merupakan masjid yang pertama didirikan oleh Rasulullah SAW.

Setelah Rasulullah berkampung di sana selama tiga hari, baginda kemudiannya bertolak ke Madinah. Kebetulan hijrah baginda SAW itu pada hari Jumaat. Apabila masuk waktu zuhur Rasulullah solat di suatu tempat dan terbinanya masjid yang dikenali sebagai Masjid Jumuah.

Apabila Rasulullah tiba di Kota Madinah dengan menunggang untanya, orang ramai berebut-rebut memegang tali untanya. Namun baginda dengan penuh adab sopan dan diplomasi meminta mereka membiarkan unta tunggangannya bergerak bebas dan memilih tempat perhentiannya sendiri.

Baginda telah berhenti di atas sebidang tanah tempat mengeringkan buah tamar yang dimiliki oleh dua orang anak yatim peliharaan As'ad ibnu Zurarah. Anak yatim itu bernama Sahlun Ibnu Amru dan Suhaiyl ibnu Amru.

As'ad ibnu Zurarah telah memberikan tanah tersebut sebagai hibah (hadiah) kepada Rasulullah SAW tetapi baginda menolaknya. Baginda membeli tanah tersebut dengan harga 10 dinar dan dibayar oleh Abu Bakar al-Siddiq.

Rasulullah kemudiannya menjadi tetamu Abu Ayyub Khalid ibnu Zayd al-Ansari. Rumahnya terletak betul-betul di hadapan tanah tersebut. Hampir setahun Rasulullah menetap di sana.

Masjid Nabawi

Pembinaan Masjid Nabawi bermula pada hari kedua ketibaan Rasulullah SAW di kota Madinah. Pada asalnya terdapat pohon tamar dan pohon-pohon qharqad yang berduri dan perkuburan bukan orang Islam di tanah tersebut.

Setelah kawasan tersebut dibersihkan dan perkuburan lama dipindahkan, baginda SAW bersama sahabat-sahabat baginda memulakan pembinaan masjid meliputi kawasan seluas kira-kira 850.5 meter persegi dan 2.9 meter tinggi.

Dindingnya adalah dari campuran batu dan tanah. Tiangnya dari batang-batang tamar dan atapnya dari pelepah tamar manakala lantainya dari tanah liat.

Ia juga tidak mempunyai mihrab dan mimbar pada permulaan pembinaannya.

Ziarah Madinah

Ziarah Madinah boleh dibahagikan kepada dua perkara. Pertama ziarah dalam dan kedua ziarah luar.

Ziarah Dalam

Kebiasaannya jemaah haji yang tiba di Madinah akan bermukim di sana lebih kurang lapan hari. Pada pagi hari pertama jemaah haji tiba, mereka akan dibawa ziarah dalam.

Jemaah haji akan ditunjukkan Babus (pintu) Salam. Bagi Jemaah lelaki mereka akan masuk melalui Babus Salam kemudian terus ke ruang solat untuk solat tahiyatul masjid. Setelah solat jemaah haji akan ditunjukkan rawdah iaitu kawasan yang disebut oleh Nabi Muhammad SAW: "Taman di antara taman-taman syurga".

Jika berkesempatan jemaah akan dapat masuk untuk solat dan berdoa di dalamnya. Jika terlalu ramai jemaah haji hendaklah terus menuju Babul Baqi'.

Selepas melalui mihrab, di sebelah kiri terdapat ruang yang telah dikepung dengan dinding dan jaring besi yang berukir. Di tengah-tengahnya terdapat tiga lubang yang besar sekali seakan-akan permukaan hajar aswad. Setentang dengan tempat inilah Rasulullah dimakamkan.

Di sebelah baginda kemudiannya kubur Saidina Abu Bakar dan diikuti Saidina Umar. Setelah memberi salam dan membaca doa jemaah haji hendaklah terus keluar ke Babul Baqi'.

Di luar masjid, setentang dengan Babul Baqi' terletak perkuburan bagi'. Jika berkesempatan jemaah haji lelaki bolehlah menziarahi perkuburan ini. Perkuburan Baqi' biasanya dibuka di antara selepas subuh sehingga jam 8.30 pagi dan selepas asar sahaja.

Bagi jemaah haji wanita mereka akan dibawa ke hadapan Babus Salam sahaja. Kemudian mereka akan dibawa di hadapan Masjid Nabawi. Di sana jemaah haji wanita akan ditunjukkan Qubbatul Khadra' (kubah hijau). Di bawah kubah hijau itulah Rasulullah SAW bersemadi.

Jemaah wanita hanya memberi salam kepada Rasulullah dan dua orang sahabatnya dari kawasan berkenaan kemudian mengadap kiblat untuk membaca doa.

Jemaah haji wanita kemudian ditunjukkan perkuburan Baqi' dari luar. Setelah membaca doa untuk ahlul Baqi' mereka kemudiannya memasuki masjid melalui Babul Ali atau pintu bernombor 29.

Sebelum ke rawdah jemaah haji terpaksa menunggu giliran untuk memasuki kawasan rawdah secara kumpulan. Kebiasaannya jemaah haji wanita dibenarkan masuk ke kawasan rawdah mengikut kumpulan benua.

Ziarah luar

Pada pagi keesokannya jemaah haji akan dibawa ziarah luar. Jemaah haji akan dibawa melawat kawasan yang bersejarah.

Masjid Quba'

Masjid Quba' terletak di perkampungan Bani Amru ibnu Auf iaitu kira-kira tiga kilometer (km) ke selatan dari Kota Madinah.

Rasulullah tiba di Quba' pada hari Isnin 12 Rabiulawal bersamaan 20 September 622M. Masjid in dibina di atas sebidang tanah tempat pengeringan tamar milik Kulthum ibnu Hadam.

Ia dinamakan Masjid Quba' sempena nama sebuah perigi yang berada di tempat tersebut. Setelah selesai pembinaan masjid Rasulullah bersama sahabat solat berjemaah secara terbuka berkiblatkan Baitul Maqdis.

Masjid ini mempunyai kelebihannya tersendiri. Allah SWT merakamkan di dalam surah al-Taubah ayat 108 tentang kelebihan bersolat di dalamnya. Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersolat di dalamnya...

Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang keluar dari rumahnya kemudian sampai di Masjid Quba' dan bersembahyang di dalamnya baginya ganjaran pahala seperti menunaikan umrah". (riwayat Nasa'iy dan ibn Majah).

Tuesday, October 6, 2009

Ilmu benteng ajaran sesat

MEGA: Apakah punca berkembangnya ajaran sesat dalam masyarakat?

AZLAN: Sebelum kita pergi lebih jauh, adalah lebih baik kita meninjau dan meneliti punca-punca berkembang dan menularnya ajaran sesat dalam masyarakat.

Sebagai tamsilan jika penyakit yang menimpa seseorang pesakit gagal dikesan oleh doktor pada peringkat awal, sudah pasti nyawa pesakit berada dalam bahaya. Setiap penyakit ada sebab dan puncanya walaupun kadang-kadang tiada ubatnya.

Dalam konteks menyelamatkan pesakit daripada bahaya penyakit yang menimpa, maka seseorang doktor mestilah bijak mengesan dan menangani punca penyakit tersebut.

Ini samalah juga dengan ajaran sesat dalam masyarakat. Punca utama yang menyumbang kepada suburnya ajaran sesat antaranya disebabkan oleh kejahilan individu atau masyarakat terhadap ilmu agama.

Oleh kerana latar belakang seseorang individu itu tiada asas kuat atau pun kurang pengetahuan serta didikan agamanya, maka mereka lebih suka mencari dan mendampingi guru-guru agama yang boleh memberikan mereka jalan mudah untuk tidak melaksanakan tanggungjawab agama.

Contohnya seperti ibadat solat dan puasa yang tidak perlu dipraktikkan, cuma guna niat semata-mata. Ini jelas bertentangan dengan syariat Islam yang mewajibkan setiap muslim mukalaf menunaikan kewajipan solat lima waktu sehari semalam.

Jika seseorang individu berilmu dan beramal dengan agamanya mana mungkin secara mudah boleh terpengaruh atau terpedaya dengan dakwaan seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai nabi dan 'Rasul Melayu'.

Beliau telah ditangkap oleh pihak berkuasa JAIS dalam bulan Ramadan di rumah sewanya setelah sekian lama menghilangkan diri.

Di Selangor, Abdul Kahar Ahmad iaitu bekas buruh Zoo Negara telah mendakwa dirinya 'Rasul Melayu'. Betapa cetek dan kurangnya ilmu beliau sehingga sanggup menggunakan logik akal berhujah bahawa bagaimana boleh beriman dengan nabi Muhammad SAW sedangkan kita tidak pernah bertemu dan melihatnya.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Maka tiada lagi nabi selepasku."

Melalui hadis ini, amat jelas kepada kita bahawa jika ada pihak yang mendakwa diri mereka nabi selepas baginda, sebenarnya itu hanyalah dakwaan palsu dan tidak berasas sama sekali.

Yang menghairankan ajaran sesat ini mudah mendapat pengikut. Bagaimana mereka melakukannya?

AZLAN: Jawapannya agak mudah iaitu setiap yang menyeru ke arah kebaikan dan kebenaran pasti ada pengikut dan pendokongnya. Begitu juga dengan kebatilan, pasti ada pelopor dan pengikutnya.

Andai kata ilmu dijadikan sebagai wadah penimbang, sudah tentu kita tidak mudah terpedaya dan tertarik dengan ajaran salah. Justeru Rasulullah SAW telah mengingatkan kepada umatnya tentang keutamaan dan kepentingan menuntut ilmu.

Banyak hadis baginda yang menyuruh umatnya rajin mempelajari ilmu pengetahuan terutamanya ilmu agama. Hanya dengan berpegangkan agama dapat menyelamatkan seseorang muslim daripada tersesat dan disesatkan.

Dalam usaha membaiki diri dan kembali ke pangkal jalan setelah melakukan kesilapan dan dosa kemungkaran, ramai juga individu yang terjebak dengan guru dan kumpulan ajaran sesat.

Pada awalnya mereka menyangka bahawa setelah lama tenggelam dalam arus dosa, maka mereka telah insaf dan ingin mengisi jiwa mereka dengan pengisian rohani. Tetapi malangnya oleh kerana tiada asas agama yang kuat, maka ajakan dan pujukan rakan-rakan telah membawa mereka bertambah jauh daripada kebenaran.

Pada zaman Saidina Ali karramallahu wajhah (k.r), telah lahir satu golongan yang dipanggil Rafidiyyah yang dipelopori oleh Abdullah Bin Saba' mendakwa Saidina Ali k.r. sebagai tuhan.

Akibat taksub yang keterlaluan dan membabi-buta ini berjaya mempengaruhi beberapa orang pengikut yang terlalu 'mendewakan' Saidina Ali. Satu tindakan drastik telah diambil oleh Saidina Ali untuk membasmi golongan sesat ini iaitu hukuman bakar telah dijatuhkan.

Biarpun hukuman tersebut tiada thabit dengan nas al-Quran dan al-hadis, namun hasil ijtihad beliau sendiri, maka dengan menurut kaedah Siasah Syar'iyyah, beliau telah pun melaksanakan hukuman tersebut.

Bagaimana pula dengan golongan batiniyyah?

AZLAN: Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Al-Munqiz Min al-Dhalal, telah menjelaskan bahawa golongan Batiniyyah telah muncul pada abad ke 2 hijrah iaitu pada zaman pemerintahan khalifah al-Makmun. Sebenarnya golongan batiniyyah berpunca daripada ajaran Majusi dan diketuai oleh Abdullah Bin Mainun al-Qaddah.

Beliau berpura-pura memeluk Islam. Pada hakikatnya beliau seorang Yahudi. Golongan ini tidak berpegang kepada syariat zahir tetapi lebih kepada takwil kebatinan.

Contohnya, ibadat solat menurut mereka tidak perlu kerana menyusahkan serta membazirkan masa. Mereka juga menafikan terjadinya kiamat kerana bagi fahaman mereka adalah mustahil Allah ciptakan alam dunia yang indah ini dan kemudian merosakkannya pula.

Arak dan judi tidak haram bagi mereka kerana arak berasal daripada buah anggur yang pada asalnya adalah halal. Pada dasarnya mereka menakwilkan ayat-ayat al-Quran menurut kehendak hawa nafsu dan selera sendiri.

Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya' Ulum al-Din menjelaskan: "Siapa berkata mengenai ilmu kebatinan yang bertentangan dengan ilmu lahir (syariat), maka dia lebih dekat kepada kekufuran daripada keimanan."

Kata Imam al-Ghazali lagi: "Siapa yang menyangka dirinya beserta Allah, sedangkan tanpa melakukan amalan solat atau minum arak, maka hukuman bunuh wajar dikenakan ke atasnya".

Ilmu batin adalah penyempurna ilmu lahir. Tanpa ilmu (jahil) menyebabkan pengamal ilmu batin meremehkan dan menganggap ilmu syariat sebagai kulit dan ilmu batin yang mereka amalkan sebagai isinya. Tanpa disedari, mereka sebenarnya telah menghina syariat Allah.

Jika mereka sengaja bertindak demikian, maka hukumnya kufur atau murtad.

Abu Yazid al-Bustami menyatakan: "Jika kamu lihat seseorang sanggup melakukan perkara luar biasa seperti terbang di udara, maka jangan kamu mudah tertipu jika mereka tidak menjaga batas-batas syariat Allah SWT".

Imam Qusyairy dalam kitabnya Risalat al-Qusairiyyah menegaskan: "Setiap syariat yang tidak dikuatkan dengan hakikat, maka tidak akan diterima. Manakala setiap hakikat tanpa dihubungkan dengan syariat, maka tidak berhasil. Maksudnya syariat dan hakikat adalah saling melengkapkan di antara satu sama lain".

Apakah pula syarat-syarat menjadi guru mursyid (pembimbing rohani)?

AZLAN: Sheikh Amin al-Kurdi dalam kitabnya: Tanwir al-Qulub menggariskan beberapa syarat untuk menjadi guru mursyid (pembimbing rohani). Antaranya:

lMesti alim dalam ilmu fikah dan tauhid.

lMesti menjaga adab tutur kata, tingkahlaku dan bersih daripada unsur-unsur hawa nafsu.

lTidak mengambil kesempatan mengaut keuntungan atau kekayaan daripada muridnya.

lSentiasa menasihati murid dengan perkara kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.

lTidak menekan murid dengan melakukan perkara di luar kemampuan.

Pada dasarnya mereka yang tidak mempunyai sheikh atau guru pembimbing khusus dalam ilmu kerohanian, maka gurunya adalah syaitan.

Dari Thauban r.a. bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: Akan muncul di kalangan umatku golongan dajal pendusta yang jumlah mereka hampir 30 orang yang mendakwa menjadi nabi dan aku adalah penutup segala nabi, tiada nabi lagi sesudahku. (riwayat Muslim)

Ajaran sesat bukan baru. Malah pada zaman sahabat pun sudah ada yang mengaku menjadi nabi. Jadi, apa penyelesaian ke atas isu ini?

AZLAN: Pernah berlaku selepas kewafatan nabi SAW, seorang yang bernama Musailamah al-Kazzab mendakwa dirinya nabi serta beliau mendakwa memiliki beberapa kelebihan cuba memperdayakan khalayak.

Malah lebih dahsyat daripada itu wujudnya fahaman ajaran sesat yang mendakwa tidak perlu sembahyang kerana kita tidak pernah melihat Tuhan sembahyang. Sebenarnya banyak lagi fahaman-fahaman ajaran sesat yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Berikutnya al-Aswad al-Unsiy dan Sujah al-Kahinah turut berdusta sebagai nabi.

Pada zaman Tabiin pula, muncul Mokhtar al-Thaqafi mendakwa nabi. Zaman seterusnya muncul di Iran seorang lelaki yang bernama Hussin Ali Mirza Abbas mendakwa nabi. Di Sudan, Mahmud Muhammad Taha mendakwa sebagai nabi.

Maka tidak hairanlah di Malaysia muncul Abdul Kahar Ahmad turut mendakwa menjadi 'Rasul Melayu'. Arifin Muhamad (Ayah Pin) turut mendakwa sebagai ketua kerajaan langit dan ketua segala agama. Sekadar menyebut beberapa nama pembawa dan penyeleweng ajaran sesat.

Maka sudah sampai masanya kita bertindak tegas dan drastik ke atas ketua dan pengikut ajaran sesat.

Jika zaman Saidina Ali k.r. dahulu, beliau sanggup membakar golongan ajaran sesat. Maka kita secara rasional wajar memikirkan suatu cara atau jalan yang mampu membasmi penyebaran ajaran sesat hingga ke peringkat akar umbinya.

Di antara tindakan yang sesuai untuk membasmi ajaran sesat adalah memberi kesedaran kepada orang awam mengenai bahaya ajaran sesat, sama ada melalui khutbah-khutbah Jumaat, hebahan maklumat melalui radio, televisyen, internet dan sebagainya. Di samping itu hukuman berat perlu dikenakan kepada penyebar ajaran sesat beserta pengikut mereka.

Mereka patut ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau dijatuhkan hukuman 100 sebatan dan dihukum penjara di antara 5-10 tahun.

Pada zaman sahabat nabi SAW dan zaman tabien, penyebar ajaran sesat dijatuhi hukum mati kerana merosak dan menyesatkan akidah masyarakat Islam.

Semua bentuk hukuman yang dicadangkan di atas, perlu kepada pindaan peruntukan enakmen setiap negeri yang perlu dibawa dan dibahaskan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mendapatkan persetujuan anggota dewan, kecuali ISA tidak perlu dibahaskan di DUN.

Durrah anak yang baik

DURRAH binti Abu Lahab adalah seorang anak yang baik. Abu Lahab adalah bapa saudara Nabi Muhammad. Nama sebenar bapa saudaranya itu adalah Abdu al-Izzi bin Abdul Muthalib.

Abu Lahab sangat benci terhadap Nabi Muhammad. Abu Lahab adalah musuh Islam yang utama. Ibu Durrah bernama Arwa binti Harb. Ibunya juga tidak suka kepada ajaran Islam. Ibunya juga tidak suka kepada Nabi Muhammad.

Pernah berlaku satu peristiwa Arwa sengaja meletakkan duri-duri di atas jalan yang selalu dilalui oleh Nabi Muhammad. Walaupun begitu Nabi Muhammad tetap sabar dengan tindakan Arwa itu.

Arwa sememangnya wanita yang ingkar terhadap Islam. Dia sanggup menghabiskan harta bendanya demi menghapuskan Nabi Muhammad sehingga dia dipanggil oleh Allah dengan nama Hammalat al-Hathab yang bermakna pembawa kayu bakar.

Durrah membesar dengan pelbagai rintangan dan cabaran. Dia sering melihat kekejaman yang dilakukan oleh bapanya terhadap orang Islam. Sikap angkuh kedua ibu bapanya menyaksikan bahawa keluarganya benar-benar mahu menghapuskan Islam.

Sikap angkuhnya terbukti apabila Nabi Muhammad mengajak Abu Labah beriman kepada Allah.

Abu Lahab berkata: "Sekiranya kata-kata Nabi Muhammad itu benar dan tidak salah, maka pada hari kiamat nanti saya akan tebus seluruh harta dan anak saya bagi menyelamatkan diri saya daripada seksaan api neraka".

Jangkaan Abu Lahab bagi menyelamatkan dirinya daripada seksaan api neraka semuanya meleset. Allah sudah berfirman dalam surah Asyura ayat 88 dan 89 yang bermaksud: Iaitu di hari harta dan anak-anak lelaki tidak berguna kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih.

Ketika Durrah semakin membesar Allah memberi petunjuk kepada dirinya. Durrah juga sering mendengar kehebatan ajaran agama Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad.

"Saya percaya segala ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad adalah benar. Islam adalah agama yang patut dianuti oleh orang yang ingin mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat," kata Durrah sendirian.

Walaupun harta kekayaan bapanya melimpah ruah, Durrah tidak termakan dengan kata-kata penghinaan bapanya terhadap Islam. Harta benda bapanya itu tidak dapat menghalang tekadnya untuk memeluk agama Islam. Akhirnya Durrah memeluk agama Islam semasa dia berada di kota Mekah. Selepas memeluk Islam, dia berhijrah ke Madinah.

Meninjau kepada kehidupan rumahtangganya, dia berkahwin dengan Naufal bin al-Haris. Hasil perkahwinan itu mereka dianugerahkan tiga anak iaitu Uqbh, al-Walid dan Abu Muslim.

Suaminya terbunuh semasa perang Badar dan tidak sempat memeluk Islam. Selepas kematian suaminya itu, Durrah berkahwin pula dengan Dihyah al-Kalbi.

Semasa di Madinah, Durrah mendapat tentangan daripada sekumpulan wanita yang sama-sama berhijrah ke Madinah.

Seorang wanita daripada Bani Zuraiq berkata kepada Durrah: "Awakkah anak Abu Lahab yang kejam itu?" Mengapa awak ikut kami berhijrah? Tidak ada faedahnya awak ikut kami berhijrah. Malah hijrah awak tidak mendatangkan manfaat bagi diri awak".

Lalu Durrah menjawab: "Saya berhijrah bagi mendekatkan diri saya kepada Allah. Awak tidak patut berkata begitu terhadap saya. Memang benar bapa saya jahat dan kejam terhadap orang Islam. Tetapi saya tidak seperti bapa saya".

Durrah agak sedih lalu meninggalkan wanita Bani Zuraiq itu. Kemudian dia berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia menceritakan segala apa yang berlaku kepada Nabi Muhammad.

"Bertenanglah wahai Durrah," kata Nabi Muhammad.

Selepas Nabi Muhammad selesai mengerjakan sembahyang, baginda berkata kepada orang Islam yang berada di tempat itu: "Dengar sini semua. Saya tidak akan membenarkan keluarga saya diseksa atau disakiti oleh sesiapa. Kaum keluarga saya akan dapat syafaat daripada saya pada hari kiamat kelak".

Mendengar kata-kata Nabi Muhammad, wanita Bani Zuraiq itu menjadi insaf dan sedar atas kesilapannya menyinggung perasaan Durrah.

Wanita Bani Zuraiq itu pun berjumpa dengan Durrah dan berkata: "Wahai Durrah saya minta maaf di atas segala kekasaran bahasa yang saya ucapkan kepada awak tempoh hari. Saya sebenarnya tidak menyangka bahawa awak adalah seorang gadis yang berhati mulia. Awak tidak seperti Abu Lahab yang kejam itu. Maafkan saya".

Durrah menerima kata-kata wanita Zuraiq tersebut dan berkata: "Saya maafkan awak. Semoga persahabatan kita kekal dan diberkati Allah".

Sejarah Islam menyatakan bahawa, Durrah merupakan srikandi yang berbakat besar. Dia adalah seorang penyair daripada kalangan wanita Quraisy. Sepanjang hayatnya dia melaporkan sebanyak tiga buah hadis daripada Nabi Muhammad.

Selain itu, dia merupakan wanita yang pandai menghasilkan karya sastera. Durrah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 20 Hijrah.

nPetikan daripada buku Bidadari Syurga terbitan PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Terorisme dan jihad dalam Islam

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

MUTAKHIR ini kita sering mendengar dan menyaksikan bom meletup bunuh diri, bom berani mati, bom meletup di sana-sini, membunuh manusia, anak-anak dan orang tua, di seluruh penjuru dunia, termasuk di rantau Asia Tenggara dan nusantara.

Masyarakat pun bertanya, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan terorisme, apakah sama pengertian terorisme dengan jihad dalam Islam. Banyak pakar berusaha mendefinisikannya dan menghuraikannya dalam berbagai pendapat dan pandangan mereka.

Kriteria terorisme dapat difahamkan sebagai kegiatan menyusahkan penduduk, merosak perdamaian dan ketenteraman awam, mengancam keselamatan jiwa, harta benda, dan keselesaan hidup manusia.

Pada dasarnya undang-undang menerangkan, bahawa terorisme merupakan kejahatan lintas langsung negara dan mempunyai jaringan luas sehingga mengancam perdamaian dan keamanan nasional dan antarabangsa.

Harun Yahya, intelektual Islam terkenal, dalam bukunya Only Love Can Defeat Terrorisme menyatakan, terorisme adalah ancaman yang paling suram menjelang dunia abad ke 21. Terorisme melihat tindakan keganasan sebagai satu-satunya cara mencapai tujuan politik. Di mata pengganas, dilema politik dan konflik hanya dapat diselesaikan dengan keganasan.

Darah dan besi


Tidak ada kelompok yang dapat memahami apa yang diinginkan kecuali dengan darah dan besi. Kenyataan telah menunjukkan bagaimana dahsyatnya tindakan yang dilakukan pengganas di berbagai belahan dunia. Dengan satu letupan manusia yang salah dan tidak bersalah mengalami kematian atau cedera parah. Gedung, bangunan, pesawat, dan harta hancur bertaburan. Suatu tindakan yang cukup mengerikan.

Apakah tindakan seperti ini diajar dalam Islam. Jelas Islam tidak membenarkan tindakan keganasan atas nama agama, dan berusaha mencegahnya sedaya upaya. Pengganas sebagai kejahatan terhadap kemanusiaan dan peradaban yang menimbulkan ancaman serius terhadap kedaulatan negara, bahaya terhadap keamanan, kesejahteraan, perdamaian dunia serta merugikan masyarakat seluruhnya.

Terorisme adalah salah satu kejahatan yang diorganisasi, bersifat lintas negara dan digolongkan sebagai kejahatan luar biasa yang tidak membezakan sasarannya. Dalam khazanah fikah Islam, terorisme memenuhi unsur hukum hirabah.

Para ulama mengertikan al-muharib dengan sebuah riwayat bahawa orang yang mengangkat senjata melawan orang ramai dan menakut-nakutkan, maka ia tidak termasuk golongan kami (Islam).

Sementara jihad mengandungi dua pengertian, iaitu pertama, segala usaha dan upaya sekuat tenaga serta kesediaan untuk menanggung kesulitan di dalam memerangi dan menahan agresif musuh dalam segala bentuknya. Jihad dalam pengertian ini juga disebut qital atau al-harb.

Kedua, segala usaha yang sungguh-sungguh dan berterusan untuk menjaga dan meninggikan agama Allah. Perbezaan antara terorisme dengan jihad adalah bahawa terorisme bersifat merosak dan anarkis, tujuannya untuk menciptakan rasa takut atau menghancurkan pihak lain.

Dilakukan tanpa peraturan dan sasaran tanpa batas, manakala jihad sifatnya melakukan pembaikan sekalipun dengan cara peperangan. Tujuannya menegakkan agama Allah dan membela hak-hak yang terzalimi, dan dilakukan dengan mengikuti peraturan yang ditentukan oleh syariat dengan sasaran musuh yang sudah jelas dan nyata.

Hukum melakukan pengganas adalah haram, mahupun dilakukan oleh perseorangan, kelompok, atau negara. Sebaliknya hukum melakukan jihad adalah wajib.

Adapun bunuh diri adalah orang yang bunuh diri itu membunuh dirinya untuk kepentingan peribadinya sendiri. Sementara pelaku amaliah al-istisyhad (tindakan siap mati syahid) mempersembahkan dirinya sebagai korban demi agama dan umatnya.

Orang yang bunuh dirinya adalah orang pesimis atas dirinya dan atas ketentuan Allah, manakala pelaku amaliah al-istisyhad adalah manusia yang seluruh cita-citanya tertuju mencari rahmat dan keredaan Allah SWT.

Bom bunuh diri adalah hukumnya haram kerana merupakan salah satu bentuk tindakan keputusan dan membinasakan diri sendiri, dilakukan di daerah damai mahupun di daerah perang.

Amaliah al-istisyhad dibolehkan kerana merupakan bahagian dari jihad yang dilakukan di daerah perang atau dalam keadaan perang dengan tujuan untuk menimbulkan rasa takut dan kerugian yang lebih besar di pihak musuh Islam, termasuk melakukan tindakan yang dapat mengakibatkan terbunuhnya diri sendiri. Dengan demikian, amaliah al-istisyhad berbeza dengan bunuh diri.

Dasar-dasar ini dapat dirujuk dalam surah al-Hajj, ayat 39-40; surah an-Anfal, ayat 6; surah an-Nisa', ayat 29; surah al-Maidah, ayat 32; surah al-Baqarah, ayat 195.

Hadis riwayat Muslim dan Bukhari, juga kaedah fikah yang ertinya: Apabila terdapat dua masalah yang saling bertentangan, maka harus diperhatikan salah satunya dengan mengambil kira darar (mudarat) yang lebih ringan.

Huraian di atas menunjukkan bahawa terorisme berbeza dengan jihad. Bahawa terorisme dalam pengertian yang dikemukakan haram, manakala jihad adalah wajib.

Terancang dan berkembang

Terorisme bukanlah suatu yang baru, ia telah hidup sejak dulu melalui organisasi yang terancang dan berkembang.

Terorisme berkembang subur di abad moden melalui revolusi Perancis, atau nihilisme Rusia abad ke 19. Menurut Harun Yahya, diperkirakan sebanyak 500 kelompok pengganas di dunia yang meliputi kelompok jaringan antarabangsa yang mengendalikan ubat-ubatan terlarang dan pelacuran.

Demikian juga organisasi bawah tanah, pergerakan marginal, berbagai kelompok ideologi radikal dan pemujaan terhadap orang yang menyeleweng. Di era teknologi, senjata kimia merupakan ancaman tindakan pengganas yang paling merbahaya dan mengerikan.

Pada tahun 1984, seramai 750 orang telah diracuni di empat restoran di kota Oregon. Kemudian terungkap bahawa seorang Hindu yang terinspirasi oleh pemujaan dan penyembahan era baru kepimpinan Baghwan Shree Rajneesh bertanggungjawab terhadap keganasan tersebut. Pada tahun 1995, pemuja Aum Shinrikyo melepaskan gas sarin di sistem kereta api bawah tanah Tokyo yang mengorbankan 12 orang dan mencederakan 5,500 orang.

Sejak tahun 1962, anggota ETA, organisasi pengganas yang memperjuangkan kemerdekaan wilayah Basque melakukan serangan yang menyebabkan kematian lebih 800 orang di Sepanyol. Tentera Republik Ireland (IRA) yang berjuang untuk kemerdekaan Ireland telah melakukan serangan yang mengakibatkan kematian lebih dari 3,200 jiwa.

Tindakan pengganas menimbulkan korban di berbagai negara, seperti Amerika Syarikat, Uganda, Angola, Nigeria, Britain, Perancis, Sepanyol, Jepun, Timur Tengah, Amerika Latin dan sebagainya. Sekarang jaringan ini mulai muncul di kawasan nusantara dan sekitarnya.

Keterangan ini menunjukkan bahawa tindakan pengganas bukan hanya dari kalangan Islam, tetapi juga dari kalangan umat-umat lain di dunia.

Tindakan teroris juga bukan hanya terjadi di dunia Islam, tetapi juga di berbagai belahan dunia lainnya. Bahkan ajaran Islam sangat bertentangan dengan tindakan pengganas dan keganasan. Dalam perang yang jelas melawan musuh saja, Islam melarang membunuh anak-anak, perempuan, dan membakar pohon kurma. Ertinya, Islam melarang membunuh orang yang tidak bersalah.

Dalam hal membela agama dan kebenaran Islam, Islam membolehkan tindakan kekerasan. Kerana itu, Nabi SAW memerangi Bani Quraizah, Bani Mustalik, dan Bani an-Nazir kerana mereka mengkhianati perjanjian dengan umat Islam di Madinah.

Baginda menyuruh runtuhkan masjid Dirar di Madinah kerana tujuan orang munafik mendirikannya untuk memecah belahkan umat Islam.

Secara prinsipnya Islam melarang pembunuhan terhadap manusia yang tidak berdosa, memerintahkan agar berlaku adil, menyuruh kerjasama dengan umat lain, menyuruh berbuat baik, termasuk kepada yang bukan Muslim.

Firman Allah yang bermaksud: Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya, dan sesungguhnya Allah Maha Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai) kemenangan. (al-Hajj: 39)

Monday, October 5, 2009

Fahami agama melalui tokohnya

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Setiap fasa atau generasi umat ini pasti menghadapi ujian dan cabaran tersendiri. Sebagai antara generasi akhir umat ini yang terpisah jauh dari Nabi Muhammad SAW dari sudut masa, antara cabaran utama umat ini adalah untuk memahami Islam dengan setepat dan seutuhnya.

Sudah lumrah, semakin jauh kita dari Nabi SAW dan daripada generasi didikan baginda, semakin mencabar bagi kita untuk mendapa dan mencari kefahaman dan penghayatan Islam yang benar.

Pada masa yang sama, kita diajar untuk tidak sekali-sekali meragui keadilan Allah SWT yang bersifat Maha Penyayang dan Maha Pengasih dan segala sifat-sifat kesempurnaan yang ada.

Jika kita sedia mengikut panduan dan ajaran yang ditentukan-Nya, risalah dan nur Islam hakiki sedia untuk ditemui dan dihayati oleh generasi demi generasi tanpa terputus hinggalah ke hari kiamat.

Sebaliknya sesiapa yang dinafikan rahmat-Nya akan enggan mengikut naluri iman dan lebih yakin dengan akal sendiri atau dikelabui oleh keegoan dan terkeliru oleh pelbagai sentimen, inilah hakikat yang menjadi latar di sebalik pelbagai salah faham dan kekeliruan tentang Islam dan ajarannya.

Selain daripada ajaran-ajaran yang jelas menyeleweng seperti mengaku dilantik menjadi rasul dan menerima wahyu yang lebih mudah dikenal pasti dan dijauhi, dengan izin Allah SWT, yang lebih membimbangkan adalah tersebarnya fahaman dan kecenderungan yang tidak begitu zahir berbahayanya.

Di antara fahaman sebegitu yang dapat dirasakan kehadirannya dalam masyarakat kita adalah kecenderungan terlalu liberal atau terlalu literal dalam memahami Islam.

Terlalu liberal

Kecenderungan terlalu liberal bererti seseorang itu menghayati dan memahami Islam dengan terlalu bebas dan tanpa mematuhi kaedah dan disiplin ilmu Islam yang benar.

Kecenderungan ini boleh mengakibatkan seseorang itu menolak ajaran dan prinsip agama yang sudah tetap sehingga ketahap mengambil sikap yang bercanggah dengan nas-nas wahyu yang jelas.

Di antara gejala kecenderungan liberal di negara kita termasuklah sikap menolak dan mempertikaikan hukum jenayah Islam berkaitan kes Kartika Sari yang heboh diperkatakan akhir-akhir ini.

Sebelum ini kita juga ada mendengar 'ayat-ayat' liberal ini di sekitar isu-isu seperti murtad, poligami, pencegahan maksiat dan sebagainya. Mujurnya di negara kita kecenderungan seumpama ini rata-ratanya dijuarai oleh individu dan kumpulan yang bukan berlatar belakangkan pendidikan agama yang menyebabkan masyarakat umum tidak akan mudah menerima tafsiran dan 'ijtihad' mereka.

Alhamdulillah, orang kita tidak akan mudah menerima hujah agama daripada mereka yang tidak berkelulusan dan berimej agama. Ini berbeza dengan situasi di Indonesia di mana kecenderungan liberal ini turut menghinggapi sebahagian para lulusan pesantren dan pendidikan tinggi Islam.

Akhirnya kesan gejala ini dirasakan lebih menggawatkan dan mengancam dalam masyarakat Islam Indonesia. Kita memohon kepada Allah SWT agar menyelamatkan para agamawan negara kita khasnya dan masyarakat amnya daripada dihinggapi virus kecenderungan terlalu liberal ini.

Nas lawan pandangan tokoh?

Adapun kecenderungan terlalu literal dalam menafsirkan Islam nampaknya semakin kelihatan di kalangan segelintir agamawan di negara kita. Oleh kerana mereka berkelulusan dan berimej agama, jika tidak diawasi mungkin fahaman ini akan mempengaruhi sejumlah besar masyarakat Islam.

Apakah yang kita maksudkan dengan kecenderungan terlalu literal ini? Ia boleh dirujuk kepada sikap terlalu berpegang kepada maksud zahir atau literal nas-nas hukum tertentu sambil mengenepikan tafsiran dan takwilan (makna di sebalik yang zahir) ulama-ulama muktabar terhadap nas-nas tersebut.

Ia juga bermaksud kecenderungan seseorang merujuk terus kepada al-Quran dan al-Sunnah tanpa perantaraan tafsiran ulama muktabar di atas nama berpegang kepada dua sumber asasi agama.

Ini secara tidak langsung juga akan membawa kepada pemahaman sendiri yang lebih literal atau zahiri terhadap nas-nas ini kerana tanpa merujuk kepada khazanah ilmu warisan untuk memahami nas-nas ini, kemampuan seseorang itu memahaminya secara mendalam dan halus akan lebih terbatas.

Golongan berkecenderungan ini kadang-kadang mendakwa bahawa dengan sikap begini, maka mereka lebih mengutamakan nas daripada pandangan tokoh. Nas-nas wahyu tentunya lebih utama daripada pandangan mana-mana tokoh tanpa mengira sebesar mana tokoh tersebut.

Ini adalah kata-kata yang bunyinya benar tetapi hakikatnya membawa kepada kebatilan. Ia mengingatkan kita kepada tempelakan Saidina Ali r.a kepada dakwaan puak Khawarij yang melaungkan slogan daripada ayat al-Quran, surah al-An'am, ayat 57 yang bermaksud, Hanya Allahlah yang membuat penentukan hukum. Saidina Ali r.a menjawab, Kalimatu Haqqin Uriida biha Batil (Kata-kata yang benar tetapi digunakan untuk yang batil).

Dakwaan ini kita katakan batil kerana adalah hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa nas-nas al-Quran dan hadis tidak akan dapat difahami dengan tepat dan benar tanpa merujuk kepada pandangan tokoh-tokoh.

Kita tidak akan dapat berlaku adil kepada dua sumber utama Islam ini tanpa sumbangan kajian dan pandangan para tokoh-tokoh ulama. Malah ilmu-ilmu alat dan kaedah berkaitan dengan kedua-dua sumber ini pun disusun dan diperkembangkan oleh para tokoh ulama dari zaman ke zaman.

Oleh itu sebenarnya tindakan mempertentangkan antara nas dan pandangan tokoh ulama adalah suatu yang janggal dan asing dalam tradisi ilmu Islam. Nas dan pandangan tokoh yang muktabar adalah suatu yang harmoni dan berjalan seiring. Yang penting pandangan dan tokoh yang kita rujuk haruslah pandangan yang muktabar dan diiktiraf.

Memilih pandangan dan tokoh yang terbaik pula bukanlah mudah kecuali bagi mereka yang dibantu dan dipermudahkan oleh Allah SWT. Walau bagaimanapun, jika tradisi keilmuan, budaya ilmu dan berguru dalam Islam benar-benar diikuti, insya-Allah kefahaman dan penghayatan Islam yang murni sentiasa ada dan boleh dicapai oleh umat Islam di sepanjang zaman.

Memperlagakan

Tindakan memperlagakan nas dan pandangan tokoh salah kerana hakikatnya tiada siapapun yang dapat membebaskan diri daripada merujuk dan bersandar kepada pandangan tokoh dalam memahami nas, memahami Islam malah mana-mana persoalan khusus atau ilmiah.

Hakikatnya mereka yang mendakwa merujuk dan berpegang kepada al-Quran dan al-sunnah juga sebenarnya bersikap demikian kerana mengikuti pandangan dan saranan tokoh tertentu.

Dalam menafsirkan nas dengan pendekatan yang lebih literal atau mendekati sunnah dengan manhaj tertentu pun mereka kuat berpegang dan bersandarkan tokoh tertentu.

Ini jelas daripada nama beberapa tokoh ulama yang sering mereka ulangi dan jadikan rujukan utama dalam tulisan dan bahasan mereka. Akhirnya realiti yang berlaku adalah sekadar peralihan daripada pandangan sebaris tokoh kepada mengikuti pandangan tokoh-tokoh lain.

Malah yang selalu berlaku adalah sikap meninggalkan pandangan tokoh-tokoh yang sudah menjadi pandangan yang muktabar dan menonjolkan pandangan-pandangan yang lebih lemah dan dipertikaikan.

Sikap ini juga akan menimbulkan satu kesan sampingan buruk yang bukannya kecil iaitu perpecahan dan permusuhan sesama umat Islam dalam memahami dan mengamalkan agama mereka.

Ini kerana jika pandangan dan tokoh yang muktabar dalam Islam cuba dilayan dengan tidak wajar sudah tentu akan ada tindak balas dari kalangan umat Islam yang sedar bangkit mempertahankannya.

Jika pihak yang cenderung mempersalahkan para tokoh muktabar ini berkeras dan berterusan melakukannya maka rosaklah hubungan dan persaudaraan di kalangan mereka yang mahukan Islam.

Saranan dan prinsip untuk memahami dan mengambil ajaran agama daripada tokoh-tokohnya yang muktabar adalah suatu yang ditetapkan oleh nas-nas yang banyak dan hujah aqli yang kukuh. Insya-Allah, ruangan ini akan menghuraikannya dalam kesempatan yang mendatang.

Tulisan kali ini sekadar lontaran awal melihatkan adanya kecenderungan sesetengah pihak untuk mengkritik tokoh-tokoh, kitab-kitab dan institusi warisan muktabar dalam Islam.

Memanglah mana-mana tokoh selain Nabi SAW akan ada kelemahan mereka. Soalnya menumpukan perhatian dan menonjolkan kelemahan mereka hanya akan menenggelamkan kehebatan dan kelebihan mereka yang jauh lebih penting dan lebih kita perlukan.