Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD
BANYAK perkara yang boleh dibicarakan mengenai Tabung Haji Travel & Services (THST) Sdn. Bhd., berikutan kejayaannya mengendalikan pakej-pakej pelancongan terutama umrah dan haji yang sedikit sebanyak mengharumkan negara di mata dunia khususnya di kota suci Mekah dan Madinah.
Hakikat itu dapat dilihat dan diterjemahkan dengan jelas menerusi kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh seluruh warga kerja THTS sama ada yang beribu pejabat di Bangunan Selborn Kuala Lumpur, negeri-negeri mahupun cawangannya di Jeddah dan Mekah.
Sekadar mengambil contoh, pada 8 hingga 18 Ogos lalu, THTS telah berjaya mengendalikan seramai 145 jemaah yang terdiri daripada para usahawan Hai-O Marketing menunaikan ibadah Umrah.
Kumpulan itu yang dinamakan Kumpulan B diketuai oleh Pengurus THTS Wilayah Selatan, Mohd. Yusof Wadi dan tiga petugas yang THTS dan dua penceramah berwibawa serta mutawif-mutawif yang mahir bertutur dalam bahasa Melayu dan Arab.
Mereka terdiri daripada Eksekutif Kanan Pemasaran Korporat THTS, Aslinda Nurziaty Amir, 27, dan dua Pegawai Perkhidmatan Pelanggan THTS, Norhayati Jaafar dan Azreen Mohd. Sumadi.
Penceramah yang berperanan menyampaikan kuliah kepada para jemaah bagi tujuan pemantapan rohani dan jasmani semasa menunaikan ibadah itu ialah Mohd. Syukri Mohd. Amin dan Mohammad Nazim Abdullah.
Aslinda berkata, pada keseluruhannya pihaknya sedaya upaya memberi perkhidmatan terbaik dengan harapan para jemaah akan menikmati kepuasan dan ibadah mereka diterima Allah.
Beliau yang dikenali dan dipanggil ustazah oleh para jemaah apabila berada di tanah suci Mekah dan Madinah berkata, peranannya bukan sekadar memastikan setiap keperluan jemaah berada ditahap yang sempurna.
“Malah yang lebih penting dan sering dititik beratkan ialah memastikan para jemaah dapat menunaikan ibadah mereka dengan sempurna dan mendapat Haji atau Umrah yang mabrur.
“Untuk itu sebagai petugas THTS, kita perlu mempunyai persediaan dari segi fizikal dan mental termasuk mempunyai ilmu pengetahuan yang luas berhubung ibadah tersebut,” katanya.
Aslinda berkata demikian kepada wartawan Utusan Malaysia yang turut menyertai ibadah umrah bersama 145 jemaah, kendalian THTS, selama 10 hari yang berakhir 18 Ogos lalu.
Beliau yang telah menunaikan haji berkata, pengalaman tersebut sedikit sebanyak memantap dan membantunya mengendalikan kumpulan jemaah yang cukup besar.
“Ini bermakna setiap permasalahan yang dihadapi oleh jemaah terutama semasa menunaikan rukun umrah mestilah diselesaikan mengikut yang disyariatkan Islam,” katanya.
Norhayati, 42, pula yang berpengalaman luas berkhidmat pada musim haji dan umrah berkata, sebagai petugas ia menuntut kesabaran yang tinggi bagi menghadapi kerenah para jemaah.
Katanya, sebagai petugas adalah menjadi tanggungjawab beliau memastikan segala masalah, kemusykilan atau apa juga keraguan yang timbul di kalangan jemaah harus ditangani sebaik mungkin.
“Matlamatnya, kita mahu pastikan setiap jemaah dapat kepuasan dan ibadah mereka diterima Allah SWT dan situasi seumpama ini amat berbeza kalau kita bawa pakej melancong ke destinasi destinasi lain.
“Namun begitu pengalaman yang ditimba sedikit sebanyak memantapkan rohani dan jasmani dan secara tidak langsung banyak ganjaran pelbagai bentuk yang dikurniakan Allah, berikutan keikhlasan kita,” katanya.
Tambah Nurhayati, sebagai tanda menghargai para jemaah, THTS turut mengadakan kenduri pada malam 16 Ogos yang diadakan di padang Mudzalifah dengan dihidangkan ‘nasi mendi’ iaitu sejenis makanan yang cukup enak dan popular di kalangan masyarakat Arab.
Sementara itu salah seorang jemaah, Siti Atkah Abdul Hamid, 46, berkata, perkhidmatan THTS cukup memuaskan kerana ia meliputi pendaftaran, menunaikan ibadah tersebut sehinggalah pulang ke tanah air.
“Pengalaman menunaikan ibadah haji dan umrah bersama THTS cukup meyakinkan dan selesa, ini kerana masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan segera.
“Cakap sahaja ada jemaah kita yang sakit atau menghadapi kemuskilan tentang rukun-rukun ibadah, para petugas yang bergelar ustaz dan ustazah serta mutawif akan memberi bantuan sewajarnya,” katanya.
Siti Atkah, jemaah dari Temerloh berkata, perkhidmatan penerbangan dan pengangkutan bas yang disediakan THTS juga memuaskan dan setiap musim ada sahaja peningkatan.
Sebagai contoh, katanya sebelum ini penerbangan domestik untuk KLIA tidak dibiayai, tapi kali ini penerbangan dari Johor Bahru, Kuala Terengganu, Pulau Pinang dan destinasi lain dimasukkan dalam pakej berkenaan dan pada kadar harga berpatutan.
No comments:
Post a Comment