Oleh ZUARIDA MOHYIN
MENERIMA berita pemergian Mantan Pengerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Abdul Rahim Bakar ke rahmatullah baru-baru ini, begitu mengejutkan penulis.
Sungguhpun tidak pernah bersua atau mengenali Allahyarham secara rapat, tetapi rupa-rupanya Allahyarham adalah antara individu yang telah bertanggungjawab dalam pengkorporatan PPZ.
Bahkan sepanjang 17 tahun Allahyarham menjawat kerusi Pengerusi PPZ, pelbagai sumbangan telah dilakukan dalam usaha memartabatkan institusi zakat tersebut.
Kebetulan pula, semasa membuat liputan mengenai Pusat Dialisis PPZ-MAIWP di Pusat Bandar Wangsa Maju, Kuala Lumpur tidak beberapa hari sebelum umat Islam menyambut lebaran Syawal, penulis telah diberitahu oleh Ketua Unit Kemasyarakatan dan Hal Ehwal Antarabangsa PPZ, Amran Hazali bahawa idea penubuhan Pusat dialisis itu sendiri adalah cetusan ilham Allahyarham lewat sekitar tahun 2004. Al-Fatihah.
Pusat Dialisis PPZ-MAIWP dibuka dengan rasminya oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Mustafa Abdul Rahman pada 12 September 2005.
Menurut Amran, kewujudan pusat dialisis itu adalah atas kesedaran tentang pertambahan pesakit buah pinggang di kalangan orang Islam yang semakin meningkat. Apa lagi bagi mereka yang tidak berkemampuan.
Penubuhan Pusat Dialisis PPZ-MAIWP merupakan salah satu pendekatan dakwah bil-hal yang akan memberi impak positif kepada perkembangan Islam di Wilayah Persekutuan khasnya dan di dalam negara amnya.
Di sinilah terbukti segala hasil kutipan zakat dan sumbangan masyarakat prihatin digunakan. Kutipan warga kota yang berkelayakan membolehkan PPZ-MAIWP membuka pusat dialisis bagi membantu golongan tidak berkemampuan mendapatkan rawatan secara percuma.
"Boleh dikatakan kos untuk mendapatkan rawatan hemodialisis agak mahal iaitu antara RM2,700 hingga RM3,000 sebulan.
"Jika dilihat pada jumlah di atas, seorang pesakit terpaksa menanggung lebih RM30,000 setahun. Sudah pasti ia sesuatu yang membebankan. Ditambah komitmen lain serta kos sara hidup kini yang semakin meningkat.
"Kita bermula dengan lima mesin dialisis dan kira-kira lima ke enam pesakit sahaja. Sehingga kini pusat ini mempunyai sembilan mesin dialisis dan menguruskan seramai 42 pesakit.
"Pusat Dialisis PPZ-MAIWP beroperasi seawal pukul tujuh pagi serta bergerak menerusi tiga syif," jelas Amran yang ditemui selepas majlis sumbangan hamper raya kepada pesakit dan kakitangan pusat dialisis itu pada pertengahan September lalu.
Tambah beliau lagi, uniknya di Pusat Dialisis PPZ-MAIWP ini, ia tidak bermotifkan keuntungan. Ia lebih merupakan tanggungjawab sosial setelah mengetahui kos rawatan hemodialisis yang agak tinggi.
Menyedari hakikat ini, maka PPZ mengambil inisiatif untuk membantu meringankan beban kos rawatan yang terpaksa ditanggung oleh pesakit-pesakit yang tidak berkemampuan. Setiap sesi rawatan disediakan secara percuma.
Pesakit yang berkelayakan menerima bantuan pembiayaan daripada institusi tertentu, boleh mendapatkan rawatan secara aman dan tenang.
Malah bagi pesakit yang masih belum memperoleh penaja tetapi sudah mendaftar, mereka juga dibolehkan menerima rawatan sementara permohonan pembiayaan sedang dalam proses.
Kata Amran, para penerima bantuan ini bukan sahaja ditanggung kos keseluruhan perubatan mereka tetapi mereka juga ditampung kos pengangkutan untuk ke pusat dialisis. Ini semua bertujuan meringankan bebanan yang ditanggung oleh para pesakit.
"Sungguhpun rawatan yang diterima para pesakit adalah percuma, aspek kualiti perkhidmatan tidak kami abaikan.
"Bertitik tolak dari itulah, setiap tahun kami akan menjalankan kaji selidik serta menemu bual para pesakit bertanyakan pandangan mereka," jelas beliau Pusat Dialisis Aiman bertanggungjawab menguruskan Pusat Dialisis PPZ-MAIWP.
Menjelaskan perancangan akan datang terhadap pusat dialisis ini, kata Amran, PPZ sudah ada perancangan untuk menambah mesin hemodialisis berbanding sembilan buah yang ada sekarang. Ini semua bertujuan memberi keselesaan serta memberi rawatan kepada lebih ramai pesakit yang dilihat trendnya semakin bertambah dari semasa ke semasa.
"Jika berjalan lancar, pada tahun hadapan kita juga merancang menambah jumlah pesakit. Ini kerana sambutan orang ramai yang semakin meningkat kepada pusat ini.
"Pihak kami juga menyeru umat Islam yang mengenali mana-mana individu yang bermasalah dari segi kewangan bagi menampung kos rawatan hemodialisis agar merujuk kes mereka itu ke PPZ.
"Pun begitu, biarlah yang memohon itu, benar-benar berkelayakan dan tidak berkemampuan," ujar Amran pagi itu.
Pada majlis ini juga, para wartawan diberi kesempatan melihat sendiri bagaimana rawatan kepada pesakit dijalankan, mewawancara dan bertanya khabar pesakit.
No comments:
Post a Comment