Like Blog Ini...

Friday, April 16, 2010

Kagat perkukuh spiritual ATM

Oleh MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL

PERTAHANAN dan keamanan merupakan satu keperluan yang penting (maslahat dharuriyyat) bagi setiap manusia, masyarakat serta negara pada setiap masa dan tempat. Dengan adanya pertahanan, keamanan dan keselamatan manusia, masyarakat dan negara akan dapat melaksanakan tugas, peranan dan tanggungjawab yang dimiliki ke tahap yang maksimum.

Para ulama telah menyebut kepentingan dan kebajikan manusia ini sebagai satu maslahat atau kepentingan dan ia terbahagi kepada tiga iaitu:

* Masalahat dharuriyyat. Sesuatu yang diperlukan oleh manusia dalam kehidupan bagi memastikan kehidupan mereka berjalan dalam keadaan yang normal dan tidak terancam. Sekiranya perkara ini tidak dijaga maka kehidupan manusia akan pincang dan tidak sempurna.

* Maslahat hajaiyyat. Perkara yang diperlukan manusia untuk memudahkan perjalanan hidup. Sekiranya perkara ini tidak wujud, kehidupan mereka tidak akan pincang tetapi akan berhadapan dengan sedikit kesusahan.

* Maslahat tahsiniyyat. Perkara yang dinilai menepati kebiasaan manusia dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara tersebut yang boleh mencacat dari segi penilaian dan adat kebiasaan (Yusuf al-Qaradawi, 1995).

Selain itu, al-Quran menyebut bahawa antara keperluan asasi manusia itu antara lain diistilahkan sebagai al-amn atau keamanan, iaitu kata bahasa Arab, yang bererti aman dan tenteram.

Keamanan berkait rapat dengan keimanan kerana iman sebagai benteng kekuatan dalam hati untuk mencipta dan membina rasa keamanan dan ketenteraman, khususnya aman dan tenteram daripada segala gangguan dan kegelisahan di dunia atau pun di akhirat.

Dalam al-Quran perkataan al-amn (keamanan) disebut sebanyak 45 kali dan istilah iman sebanyak 800 kali. Kedua-dua perkataan tersebut mempunyai hubungan yang rapat berkaitan dengan keamanan dan pertahanan yang pada asasnya mempunyai makna atau pengertian yang cukup luas iaitu, pertama: Saling percaya mempercayai serta tidak saling mencurigai dan kedua: Makna ketenangan dan perdamaian dan bukan permusuhan atau pertentangan.

Dalam konteks negara kita Malaysia, salah satu agensi yang diamanahkan untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara adalah organisasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tugas tersebut adalah amanah yang besar dan yang tentunya berkait rapat dengan aspek keagamaan. Ternyata amanah tersebut dipikul dengan jayanya oleh ATM sejak tahun 1933 hingga kini dan telah menjangkau 77 tahun.

Proses menyediakan angkatan tentera yang kuat, profesional dan berwibawa bukanlah sesuatu yang bersifat tabie semata-mata. Ertinya bukanlah disebabkan adanya musuh atau terdapatnya ancaman ke atas sesebuah negara menyebabkan sesebuah negara itu membentuk angkatan tentera yang mungkin dapat menangani persoalan keselamatan dan pertahanan.

Sebenarnya pembentukan angkatan tentera di sesebuah negara khususnya negara yang dikuasai oleh umat Islam, adalah sesuatu yang diperintahkan oleh Allah SWT. Ini jelas seperti firman Allah dalam ayat 60 surah al-Anfal.

Dalam usaha membentuk angkatan tentera yang mantap dan digeruni, tentunya terdapat kaedah yang benar-benar berupaya untuk melahirkan anggota yang cekap dan berwibawa.

Aspek-aspek latihan seperti mendisiplinkan anggota, melatih kecekapan menggunakan senjata, membentuk moral anggota supaya taat kepada arahan, tekun bekerja dan tidak melakukan penyelewengan adalah sesuatu yang perlu dititikberatkan.

Namun demikian, kejayaan aspek-aspek tersebut tidak boleh dicapai tanpa ada satu lagi elemen penting dalam pembentukan diri anggota tentera. Elemen tersebut adalah elemen kerohanian yang ada hubungannya dengan keimanan, ketakwaan, dan kepercayaan kepada agama.

Kepentingan pengukuhan nilai-nilai rohani ini perlu terus digerakkan bagi memastikan warga ATM dapat melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan.

Menurut Muhammad Ahmad Bashil (1989) dalam, bukunya, Politik dan ketenteraan - Perjanjian Hudaibiyyah, usaha-usaha untuk membentuk anggota tentera yang boleh memahami tugas mereka dengan berkesan dan dalam masa yang sama menjadi hamba Allah yang taat memerlukan usaha dakwah dan pendidikan yang berterusan.

Ternyata tugas dan tanggungjawab bagi membentuk kekuatan kerohanian anggota ATM keseluruhannya terletak kepada Kor Agama Angkatan Tentera atau Kagat yang kini genap 25 tahun pada 16 April 2010.

Kagat yang ditubuhkan pada tahun 16 April 1985 itu, tentunya sedikit sebanyak membina kekuasaan kerohanian ini atau disebut sebagai kekuatan tempur spiritual (spiritual combat power), yang bermaksud: "Elemen berkaitan roh dan kejiwaan atau kerohanian yang menjadi pendorong dalam perjuangan dan peperangan bagi mencapai matlamat yang dicita-citakan".

Dalam erti kata yang lain ia juga boleh didefinisikan sebagai: "Semangat juang atau kekuatan spiritual yang tersembunyi serta wujud dalam diri anggota tentera yang mampu bertindak sebagai penggerak menjadikan mereka tabah dan berani mengharungi apa jua bentuk kesusahan, kepayahan dan bahaya meskipun tekanan peperangan yang sengit".

Sesungguhnya penghayatan Islam di kalangan anggota ATM amat penting. Sejarah membuktikan bahawa anggota tentera di bawah pimpinan Panglima Perang Islam Tariq bin Ziyad telah berjaya membuka Andalusia dan anggota tentera di bawah pimpinan Salahuddin Al-Ayubi yang membebaskan Al-Quds dan anggota tentera di bawah pimpinan Sultan Muhammad Al-Fatih telah berjaya menawan Kota Konstantinopel.

Ini juga menepati apa yang pernah disabdakan oleh nabi dengan hadis yang bermaksud: "Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan baik-baik Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan tentera-tenteranya adalah sebaik-baik tentera".

Sehubungan itu, setelah 25 tahun Kagat dalam ATM, usaha-usaha memantapkan aspek syiar dan penghayatan Islam di kalangan anggota ATM perlu diteruskan. Aspek kekuatan doa dan amal ibadah perlu diterapkan selaras dengan kecanggihan senjata.

Ini bermaksud kekuatan jiwa dan hati juga perlu seimbang dengan kekuatan fizikal dan mental. Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). (al-Anfal: 45)

Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, dalam ayat ini Allah memerintahkan lima perkara kepada para pejuang Islam termasuk anggota tentera yang berjuang demi mempertahankan agama, bangsa dan tanah airnya.

1. Tentang keteguhan hati ketika berjuang dan Allah akan memberikan sifat keberanian.

2. Banyak mengingati Allah dengan berzikir dan beribadat.

3. Taat kepada Allah dan Rasul-Nya.

4. Bersatu dan saling tidak berpecah.

5. Keupayaan untuk mengekalkan keempat perkara yang telah disebutkan.

Jika ini dapat dilakukan oleh seluruh warga ATM sudah tentu Allah sentiasa memberikan kerahmatan dalam perjuangan dan tugas-tugas yang telah diamanahkan.

Menyorot kejayaan Kagat dalam tempoh 25 tahun ini ternyata telah membawa kesan positif terhadap kemajuan ATM serta memberi sumbangan terhadap peningkatan syiar Islam di Malaysia pada umumnya.

Buktinya, model Kagat diterima pakai oleh agensi lain untuk menubuhkan unit agama dalam perkhidmatan mereka seperti Polis Diraja Malaysia, Penjara Malaysia, dan juga JAMAAT dalam Angkatan Tentera Diraja Brunei.

Namun demikian usaha-usaha untuk meningkatkan tahap pengurusan organisasi, modul dan pendekatan dakwah juga perlu terus dilakukan.

Pendekatan ini termasuklah apa yang disebut oleh Franklin Covey, The 7 habits of highly effective people (2001) yang telah menyenaraikan aspek Seek First to Understand, then to be Understood. Aspek tersebut adalah prinsip penting yang perlu dihayati oleh para pendakwah.

Selain itu, pemantapan pengurusan dakwah juga merangkumi aspek ad-daie iaitu anggota dan pegawai Kagat. Membina kualiti manusia ad-daie amat penting khususnya dalam aspek ilmu, maklumat, kemahiran dan sikap.

Ciri-ciri utama yang disasarkan oleh ATM dalam era transformasi adalah kebersamaan, cegah rintang dan versatil yang diyakini akan membolehkannya menangani segala cabaran dalam sebarang situasi konflik masa hadapan dengan lebih mantap lagi berkesan.

Oleh yang demikian evolusi transformasi keupayaan ATM ini perlu diperkasa secara menyeluruh. Ia bukan sahaja tertumpu kepada aspek penstrukturan organisasi dan perolehan aset-aset tempur berteknologi canggih, malahan membudayakan nilai teras yang berwibawa, kepimpinan berintegriti dan pembangunan modal insan berkualiti.

Ini merangkumi aspek pembangunan modal insan. Membangun modal insan dalam erti kata sebenar amat berkait rapat dengan membangunkan potensi manusia secara menyeluruh sebagai khalifah Allah.

Untuk itu manusia hendaklah berilmu dan menghayati ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW secara menyeluruh dalam kehidupan.

Ternyata dalam suasana kegemilangan menyambut jubli perak atau ulang tahun ke 25 penubuhan Kagat ini, seluruh warga Kagat perlu menyedari bahawa perjuangan masih belum selesai.

Ini selari dengan apa yang disebutkan oleh tokoh dakwah Mustaffa Masyhur bahawa usaha memberi kefahaman dan penghayatan Islam kepada golongan sasaran dakwah perlu melepasi peringkat tertentu bermula daripada memahami Islam yang dianuti dengan fahaman yang benar, tepat dan menyeluruh sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW, hinggalah kepada merealisasikan segala ajarannya dengan cara yang betul dan sempurna hingga mencapai tahap para amilin dan solihin.

Jika ini mampu dilakukan, ternyata Kagat telah menyumbang bagi mencapai matlamat menjaga kepentingan Islam atas dasar Maqasid as-syariyyah dan dalam tempoh 25 tahun ini juga memenuhi keperluan tersebut yang turut merupakan misi dan visi ATM secara amnya iaitu menjaga lima perkara yang selari dengan kehendak Islam iaitu ad-din, akal, jiwa, kehormatan dan menjaga harta.

No comments: