Oleh Aishah Ariff
PELBAGAI isu gejala sosial yang berleluasa di kalangan masyarakat hari ini seperti pergaulan bebas, hamil luar nikah, pembuangan bayi dan sebagainya bukanlah sesuatu yang baru. Sebelum Islam menyinari kehidupan manusia sejagat, dosa-dosa besar sudah menjadi amalan biasa bagi masyarakat zaman jahiliyah.
Kini, kejadian ribuan tahun dahulu yang seharusnya menjadi pengajaran manusia pada hari ini berulang kembali.
Perasaan sayu dan simpati terhadap bayi-bayi malang yang dibuang dan dibunuh seolah-olah tidak berpenghujung.
Pembuangan bayi sekadar untuk menutup malu akibat perbuatan zina yang dilakukan oleh mereka yang cetek pengetahuan agama.
Melihat kepincangan sosial yang semakin menggerunkan, kewujudan rumah perlindungan dianggap penyelesaian jangka pendek yang paling berkesan bagi menyelamatkan nyawa dan mengembalikan akidah mereka yang terlanjur.
Sesuai dengan namanya, Baitul Fiqh (rumah perlindungan), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diasaskan lima tahun lalu menjadi tempat transit bagi mangsa keganasan rumah tangga, ibu tunggal, orang miskin dan remaja bermasalah.
Buat masa ini Baitul Fiqh menempatkan remaja dan wanita berusia dalam lingkungan 14 hingga 32 tahun dengan dua daripadanya merupakan penghuni baru, tujuh hamil manakala dua lagi dalam proses berpantang.
Menurut Yang Dipertua Baitul Fiqh, Juhaidi Yean Abdullah, kos saraan penghuni yang tinggi menyebabkan pihaknya perlu mengupas idea mencari sumber kewangan lain agar tidak terlalu bergantung kepada sumbangan tetap pihak tertentu dan orang ramai.
"Memang kami ada menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), namun ia tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian, kesihatan dan rawatan penghuni selepas bersalin.
"Selain itu kami juga amat memerlukan sebuah kenderaan untuk kemudahan penghuni sekiranya mereka mengalami tanda-tanda mahu bersalin," katanya ketika ditemubual sejurus majlis perasmian Program Remaja Iman Negara Aman, di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menyentuh tentang program itu, Juhaidi berkata, ia adalah sebahagian langkah Baitul Fiqh mengumpul dana bagi mencapai hasrat mengukuhkan status kewangan pertubuhan tersebut.
Melalui program itu, peserta yang terdiri daripada orang ramai dan sukarelawan perlu membeli tiket masuk terlebih dahulu sebelum menyertainya.
Aturcara program juga turut memuatkan forum khas bertajuk Anak Anugerah Ilahi yang disampaikan oleh dua pendakwah terkenal iaitu Dr. Zulkifli Mohamad Albakri dan Ustazah Zawiyah Hasan.
Forum 30 minit itu memberi penekanan terhadap pembangunan rohani dalam pendidikan anak-anak selain menghurai lanjut mengenai peranan masyarakat yang sepatutnya membimbing remaja terlanjur, bukan mencemuh.
Dalam pada itu Juhaidi berkata, penubuhan institusi sosial seumpama ini juga tidak lari daripada pandangan serong dan kritikan masyarakat.
Antara cemuhan yang paling kerap dilemparkan ialah menggalakkan zina.
"Penubuhan Baitul Fiqh bukan sekadar melindungi remaja terlanjur dan bayi yang baru lahir, kami juga menyediakan khidmat bimbingan agama dan motivasi oleh pendakwah pelbagai agensi," ujarnya.
Usaha istiqamah Baitul Fiqh mendidik anak remaja bermasalah memperlihatkan keberkesanannya tatkala seorang bekas penghuni rumah itu mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran dengan lancar ketika pembuka majlis.
"Walhal anak tersebut sebenarnya mempunyai latar belakang agama yang agak mendukacitakan," jelas Juhaidi.
Sementara itu, program Remaja Iman Negara Aman turut mendapat perhatian kerajaan apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, dilantik sebagai penaung Baitul Fiqh.
"Apa yang dilakukan oleh Baitul Fiqh menepati tiga komponen amal jariah yang wajib dilaksanakan setiap umat Islam iaitu pembangunan ilmu, fizikal dan rohani," jelas Mashitah.
Mashitah dalam ucapannya berkata, masyarakat terlalu memberi tumpuan kepada aspek pencegahan dan bukannya perlindungan.
"Hakikatnya bukan begitu. Dalam apa jua keadaan sekali pun, ibu dan bayi mesti diberi perlindungan. Soal hidup atau mati adalah kuasa Allah.
"Sebagai manusia, kita perlu sedaya upaya melindungi dan menyelamatkan mana-mana nyawa yang masih hidup," katanya.
No comments:
Post a Comment