Like Blog Ini...

Monday, May 10, 2010

Asdaf perlu ramai sukarelawan

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
ainiza.kamsari@utusan.com.my

Selain Muhammad, sukarelawan dari pelajar UIAM, Muhardi Mahamad dan Ismail Md. Salleh yang memastikan penghuni Asdaf lancar membaca al-Quran.

Mereka ini ada sahaja kerenah. Mungkin kerana tidak dapat meninggalkan alam di mana mereka pernah dibesarkan dan ingin hidup bebas sebagaimana dunia asal.

"Tetapi semua itu tidaklah menjadi masalah, kerana keseluruhannya anak-anak dari suku kaum Orang Asli ini sangat unik. Dunia mereka yang tersendiri itu sebenarnya banyak hikmah dan ada peranan besar untuk memajukan mereka."

Demikianlah luahan Wafazulfatihah Ismail yang baru enam bulan bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Asrama Darul Falah (Asdaf).

Asrama yang terletak di daerah perbukitan yang sejuk, hijau dan damai di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur ditubuhkan pada 1995. Ia satu-satunya rumah kebajikan bagi menempatkan golongan asnaf yang terdiri anak-anak OrangAsli dan yatim keluarga miskin di negara ini.

Perjuangan murni untuk membela nasib terutamanya anak-anak Orang Asli itu sebenarnya menjadi tugas berat yang dipikul oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam terkemuka negara iaitu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) sebagai badan penyelia Asdaf.

Sesuai dengan makna Darul Falah itu sendiri iaitu 'negara yang berjaya' maka itulah yang cuba dicapai, agar hak mereka untuk berjaya di dunia dan di akhirat tidak dinafikan.

Walaupun berhadapan pelbagai kerenah pelajar, Wafazulfatihah yang juga warden penghuni perempuan di asrama itu mahu terus bersama-sama para penghuni Asdaf yang kini bilangannya seramai 40 orang.

Jumlah pelajar lelaki dan perempuannya hampir sama dan mereka terdiri daripada pelajar sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah.

"Bayangkan kalau pada pukul 11 malam, loceng sebagai arahan untuk mereka tidur telah berbunyi tetapi pada detik itu anak-anak Orang Asli ini mula 'kembali' ke alam semula jadi mereka.

"Mereka akan 'bergerak' dalam senyap dan akhirnya didapati sudah tiada di tempat masing-masing.

"Padahal, mereka sepatutnya telah mula dibuai mimpi. Tetapi tahu-tahu sudah berkeliaran di sekitar dan luar asrama ini walaupun ketika itu malam kian larut, dingin, gelap dan terkadang menakutkan," katanya.

Ketika itulah anak-anak Orang Asli yang terdiri dari suku kaum suku Semai, Bateq, Mahmeri, Semelai, Temuan dan Temiar ini didapati sedang asyik dan tenggelam dalam dunia mereka yang unik itu.

Mencari kayu api, bermain dengan unggun api, memanjat pokok malah tidak sedikit pun punya perasan takut untuk berjalan di tengah-tengah malam dan akhirnya akan 'lepak' di sebuah pondok kosong berhampiran di luar asrama itu yang lazimnya begitu menakutkan.

"Bagi mereka biarlah hidup miskin serba kekurangan, tidak perlu sebarang kecanggihan tetapi yang penting kebebasan hidup. Bebas untuk ke mana-mana dan menikmati segala kurniaan alam dan belajar dari alam (alam semulajadi)," katanya.

Jika dilihat jadual tugasnya, Wafazulfatihah mempunyai rutin yang sangat mencabar di asrama itu.

Tugasnya bermula seawal pukul 5 pagi iaitu ke pasar untuk membeli barang-barang dapur, sayur dan ikan.

"Paling mencabar mengejutkan para penghuni bangun tidur supaya segera bersiap untuk ke sekolah. Sebelum itu, loceng telah dibunyikan banyak kali. Tetapi masing-masing menekup telinga dan kepala dengan bantal.

"Kalau dikejutkan juga, mulalah mereka mengadu tak sihatlah, demamlah dan macam-macam lagi.

"Inilah akibat curi-curi keluar di malam hari di saat sepatutnya mereka tidur. Jadi sukarlah untuk bangun pagi ke sekolah," katanya sambil tersenyum.

'Episod' yang terpaksa dihadapi oleh Muhamad Kamarulazizi tidak kurang juga mencabar sebagai sukarelawan di Asdaf.

Beliau ialah Pengurus Pembangunan Program Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia, iaitu sebuah lagi NGO yang mengambil Asdaf sebagai asrama angkat mereka.

"Cabaran menguruskan mereka memang banyak. "Mungkin kerana kehidupan di sini agak asing bagi mereka yang sudah biasa tinggal di pedalaman yang berlatarkan hutan,"katanya.

Mujur persekitaran asrama itu yang serba hijau tidak ubahnya seperti persekitaran asal mereka.

Maka terubatlah rindu terhadap alam semula jadi, ibu bapa dan masyarakat Orang Asli yang mereka tinggalkan.

Namun apabila bersekolah di bandar bersama-sama anak-anak dari kaum lain, kata Muhamad, proses interaksi dan asimilasi bukan mudah dilakukan.

Apatah lagi mereka terpaksa bersaing dengan pelajar lain tanpa diberi bimbingan dan perhatian khusus kerana masing-masing mempunyai pencapaian yang berbeza-beza tahapnya.

"Ini menjadikan tugas untuk memajukan mereka semakin mencabar malah kadang-kadang kita terpaksa berkompromi banyak perkara agar mereka tidak terlalu mengalami kejutan budaya.

"Namun penubuhan asrama seperti ini sangat relevan kerana kita percaya anak-anak Orang Asli mempunyai potensi yang sangat besar untuk dimajukan," katanya.

Ini menyebabkan kesemua penghuni di asrama itu walau pun tidak dikawal oleh satu rejim disiplin yang ketat tetapi sentiasa dipastikan masa mereka diisi dengan pelbagai program, aktiviti dan lain-lain pengisian yang berfaedah.

"Di pihak Muslim Aids, kita sering mengadakan pelbagai aktiviti bersama anak-anak Orang Asli ini seperti bercucuk tanam: My Kitchen Garden dan pelbagai program berbentuk motivasi dengan kerjasama pelbagai pihak terutama sukarelawan-sukarelawan dari pusat-pusat pengajian tinggi dan individu," katanya.

Mereka juga dibawa mengikuti pelbagai aktiviti luar termasuk beriadah, rekreasi, bersukan dan melawat pelbagai destinasi pelancongan.

Dalam aspek rutin seharian pun, mereka dipastikan untuk tidak sahaja ke sekolah, malah perlu menyiapkan kerja-kerja sekolah, mengulangkaji pelajaran dan berjemaah semasa makan dan setiap kali solat lima waktu.

Namun seperkara yang harus diketahui bahawa Asdaf tidak mempunyai sumber kewangan yang tetap. Institusi itu banyak bergantung kepada sumbangan orang ramai bagi membiayai kehidupan anak-anak Orang Asli terbabit.

"Sumbangan kewangan memang amat besar ertinya kepada anak-anak Asdaf bagi membolehkan mereka menerokai alam pembelajaran yang lebih efektif dan mampu menarik minat mereka lebih kepada pelajaran.

"Namun pada masa sama sokongan moral dan kemahiran turut diperlukan bagi menghidupkan asrama ini," katanya.

Anak-anak Orang Asli itu akan lebih mudah dilentur, mendengar dan patuh kepada nasihat dan kata apabila ada orang yang rapat serta sanggup menghabiskan banyak masa dengan mereka.

Kata Wafazulfatihah, pernah seorang sukarelawan menetap selama tiga bulan di asrama itu untuk bersama-sama dengan anak-anak Orang Asli berkenaan.

Hasilnya, mereka mendapat motivasi, bersemangat, mendengar kata dan tidak banyak menimbulkan kerenah.

"Tetapi apabila tamat tempoh dan sukarelawan itu terpaksa pulang, mereka kembali seperti anak ayam kehilangan ibu," katanya.

Seperti yang sering diulang oleh Muhammad, masyarakat lain sebenarnya akan belajar banyak perkara dari anak-anak Orang Asli tersebut.

"Walaupun tugas di Asdaf mencabar tetapi ia sebenarnya menarik kerana kita boleh berkongsi pelbagai kisah suka duka anak-anak Orang Asli ini," katanya.

No comments: