DALAM mana-mana pertandingan, aspek utama yang diberi perhatian adalah dari segi penghakiman. Ia supaya tidak timbul cakap-cakap belakang atau wujudnya dakwaan berlaku pilih kasih apabila seseorang peserta itu diumumkan sebagai pemenang.
Lebih tepat lagi, kita tidak mahu berlaku 'rumah siap pahat berbunyi'. Apatah lagi, jika penghakiman itu melibatkan majlis berkaitan agama seperti tilawah dan menghafaz al-Quran.
Demikianlah perhatian kepada penghakiman majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-31 di di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MTIC) Ayer Keroh, Melaka pada 21 hingga 25 April lalu.
Tugas besar ini dipertanggungjawabkan kepada Pengerusi Jemaah Hakim yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.
Beliau berkata, penghakiman tahfiz merangkumi cara membentuk dan membina soalan yang dipanggil kaedah 'tebuk'.
Di sini, hakim fatih (yang memulakan bacaan) yang berada di atas pentas akan mengutarakan soalan daripada mana-mana ayat berdasarkan kategori yang disertai.
Untuk itu, kata Wan Mohamad, bengkel khusus penyediaan soalan diadakan untuk memastikan ia mematuhi disiplin wakaf (tempat berhenti) dan ibtida' (tempat memulakan bacaan).
"Hakim pentas iaitu hakim fatih dan munabbih (yang membetulkan kesilapan bacaan) tidak terlibat dalam pemarkahan," katanya kepada Mega, baru-baru ini.
Wan Mohammad berkata, untuk meyakinkan lagi mutu penghakiman, semua hakim juga terdiiri daripada para hafiz kecuali hakim tarannum.
Katanya, ini kerana tarannum memerlukan kemahiran tersendiri dan hakim yang dipilih perlulah orang yang benar-benar menguasai bidang tersebut.
Bagi memperkemaskan mutu penghakiman, beliau berkata, pihaknya menyediakan peraturan bertulis tentangnya.
"Pada tahun ini, satu kategori baru diperkenalkan iaitu hafazan dari 1-10 juzuk beserta tarannum. Walaupun ia merupakan kategori baru, namun para peserta dapat menyampaikan bacaan dengan cemerlang," kata beliau.
Dua lagi kategori yang dipertandingkan adalah hafazan 1-20 juzuk dan 1-30 juzuk beserta tafsir.
Wan Mohamad berkata, setiap peserta diberi markah penuh di mana hakim akan memotong markah bagi setiap kesalahan peserta.
Para hakim bidang yang sama contohnya tajwid juga diletakkan di tempat yang berbeza bagi mengelak sebarang dakwaan mereka akan berpakat.
"Para hakim juga tidak mengetahui nama peserta kerana mereka dikenali melalui nombor undian giliran menghafaz.
"Secara tidak langsung ini mengurangkan kemungkinan hakim berat sebelah kerana mengenali peserta," jelasnya.
Menurut Wan Mohamad, setiap lima tahun Jakim akan menyemak peraturan ini di mana dilibatkan para hakim peringkat kebangsaan.
"Kita juga menjemput para hakim peringkat negeri untuk menyeragamkan mutu penghakiman di seluruh negara," jelasnya.
Daripada segi kualiti bacaan, Wan Mohamad mengakui, tahap bacaan dan penguasaan para peserta semakin meningkat.
Ia juga dapat dilihat berdasarkan permohonan yang meningkat dari semasa ke semasa untuk memasuki Darul Quran Jakim di Kuala Kubu Bharu dan juga pelbagai pusat tahfiz di negara ini.
Antara yang diperkenalkan selain Diploma Tahfiz Al-Quran adalah Persijilan Tahfiz al-Quran Jakim/Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di mana tempoh pengajian program ini adalah 18 bulan.
Para pelajar akan didedahkan dengan pembelajaran tahfiz dan lain-lain matapelajaran yang berkaitan.
"Selepas tamat pengajian, mereka boleh menyambung pelajaran dalam pelbagai bidang di UIAM," kata beliau.
Menurut Wan Mohamad, Malaysia bertuah memiliki kelebihan persekitaran Islamik iaitu antara elemen penting untuk anak-anak menghafal al-Quran.
"Kita juga mempunyai kelebihan daripada segi rangkaian dengan para peserta tahfiz di Timur Tengah terutama Mesir dan Indo-Pakistan," jelas beliau.
Ditanya tentang pencapaian para huffaz, Wan Mohamad berkata, perkara itu sukar diukur kerana pencapaiannya tidak boleh dinyatakan dari segi kuantiti tetapi ia dapat dirasai.
Lazimnya, kata beliau, anak-anak yang menguasai al-Quran jiwa mereka terdidik. Apabila minat kepada kitab suci itu, maka mereka tidak gemar kepada budaya dan perilaku yang tidak sihat.
"Anak-anak yang dididik dengan al-Quran juga mempunyai disiplin yang tinggi serta tahap kesabaran untuk memelihara al-Quran.
"Namun, kita perlu memastikan ada sistem sokongan supaya arah tuju mereka jelas. Ia bagi mengelak mereka terjebak dengan pemikiran sempit bahawa kalau mahu menghafal al-Quran maka hubungan sosial semasa insan tidak boleh berlaku," katanya.
No comments:
Post a Comment