Barisan generasi pertama pelajar Darul Quran bergambar kenangan bersama Perdana Menteri Malaysia Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman al-Haj.
KUMPULAN huffaz merupakan aset yang paling berharga pada negara khususnya umat Islam kerana mereka mempunyai potensi dan keistimewaan serta kemahiran yang tersendiri.
Para penghafaz Quran sebenarnya telah melayakkan diri mereka menjadi tempat rujukan bagi masyarakat dan kehadiran mereka dalam masyarakat akan lebih bermakna sehingga masyarakat boleh memberi penilaian yang tinggi.
Justeru, pelancaran Dewan Huffaz Kebangsaan pada Ahad ini, diharapkan akan menjadi platform kepada para huffaz (lelaki dan perempuan) dalam pelbagai latar belakang untuk memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat.
Kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz berkata, sememangnya tidak dinafikan telah ada usaha menubuhkan alumni di peringkat institusi pengajian.
Namun, ia bergerak dalam lingkungan yang sama dan tidak ada penyatuan antara semua huffaz di Malaysia.
“Oleh itu, kita ingin melihat kewujudan Dewan Huffaz Kebangsaan ini, dapat merangkumi kelompok huffaz yang besar di Malaysia.
“Kita tidak mahu mereka (para huffaz) terlalu malu dan tidak kelihatan menonjol. Pengalaman saya semasa menjadi Pengarah Darul Quran, antara tahun 1994 hingga 1999, saya dapati huffaz terdiri daripada anak-anak yang pintar dan berpotensi tinggi.
“Jadi, kita hendak lihat mereka dapat berperanan sebaiknya dalam masyarakat dengan potensi besar dan anugerah yang telah diberikan kepada mereka,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Menurut Wan Mohamad lagi, Jakim mengambil inisiatif ini sebagai hasil idea dan arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom supaya para huffaz dapat menerajui aktiviti dakwah dan sosial di Malaysia.
“Memang tidak mustahil kita dapat mengenalpasti program-program untuk memperkasakan lagi golongan huffaz. Ini kerana di Malaysia terdapat golongan huffaz yang terdiri daripada pelbagai aliran, termasuklah mereka yang tidak melalui arus perdana.
“Mereka ini ramai tapi kadang-kadang dilihat tenggelam sehingga ada yang merasakan kehadiran mereka ini kurang dirasai. Lantas itu, mereka ini perlu dilengkapkan.
“Maka dalam majlis Dewan Huffaz Kebangsaan itu nanti, kita sangat mengalu-alukan kehadiran penghafaz Quran dari mana-mana institusi sama ada kerajaan atau swasta mahupun persendirian, sebagai satu anda sokongan mereka,” jelasnya.
Pada masa yang sama, kata Wan Mohamad, komuniti Huffaz perlulah bijak menyesuaikan diri dengan budaya dan situasi setempat supaya kehadiran mereka dapat dimanfaatkan.
“Mereka juga perlu ada nilai tambah dari segi kemahiran komunikasi. Saya ingin lihat huffaz muda aktif dalam dunia rangkaian sosial umpamanya facebook, twitter, myspace dan friendster.
“Mereka juga boleh mewarnai alam dunia remaja apabila mereka menceburkan diri dalam dunia remaja melalui rangkaian sosial ini, kerana merekalah yang lebih memahami keperluan remaja masa kini. Secara tidak langsung, peranan mereka akan lebih berkesan,” katanya.
No comments:
Post a Comment