Like Blog Ini...

Friday, June 12, 2009

Peranan hakam merawat derita fasakh

Oleh SITI SHAMSIAH MOHD SUFI

SETIAP perselisihan rumah tangga mempunyai latar belakang yang berbeza dan tersendiri. Dan setiap individu sama ada sebagai suami ataupun isteri juga mempunyai keperibadian yang berbeza. Itulah sebabnya agama Islam melalui Undang-undang Keluarganya mempunyai beberapa pendekatan tertentu untuk menyelesaikan sebarang perselisihan rumah tangga.

Sekiranya sesebuah rumah tangga yang bermasalah masih mempunyai peluang dan harapan untuk diselamatkan, maka itu menjadi keutamaan kepada syariah untuk menyelamatkan keadaan kerana perceraian adalah perkara halal yang paling dibenci oleh Allah SWT.

Walaupun demikian, demi menjaga kemaslahatan ummah dan agama itu sendiri, sekiranya sesebuah rumah tangga itu mengalami ketegangan dan ia sudah tidak dapat diselamatkan, maka pihak-pihak yang bertikai perlu berpisah menurut apa yang telah diperuntukkan oleh syariah melalui Undang-undang Keluarga.

Pematuhan ini sangat perlu demi menjamin maslahah pihak-pihak yang terlibat secara jangka panjang termasuklah apabila kemelut ini melibatkan anak-anak dalam perkahwinan tersebut dan hal-ehwal harta yang perlu ditadbir urus dengan sempurna.

Tuntutan perceraian biasanya dipohon oleh pihak isteri dengan pelbagai alasan. Pihak suami yang mudah untuk bekerjasama dengan pihak isteri dan mahkamah, akan memudahkan perjalanan perbicaraan dengan menjatuhkan talak di hadapan hakim.

Perceraian secara persetujuan bersama merupakan perceraian mengikut peraturan yang paling mudah. Akan tetapi dikatakan bahawa nisbah pihak suami yang mudah untuk bekerjasama dengan pihak isteri apabila berlaku kemelut rumah tangga amatlah kecil. Ego adalah punca utama kepada keengganan untuk bekerjasama.

Keadaan menjadi agak sukar apabila pihak suami enggan menjatuhkan talak secara rela sekalipun konflik rumah tangga sudah berada di peringkat yang parah. Apabila ini berlaku, maka pihak isteri akan cuba mencari pilihan lain baginya melepaskan diri daripada suasana rumah tangga yang memudaratkan dirinya seperti menuntut cerai secara taklik ataupun khuluk iaitu tebus talak.

Bagaimanapun apabila pihak isteri mendapati kemelut yang berlaku dalam rumah tangganya masih tidak dapat diselesaikan secara salah satu daripada dua pendekatan ini, maka peluang terakhir yang ada untuk menyelesaikannya adalah dengan membuat tuntutan secara fasakh.

Bila membincangkan tentang perceraian dibuat melalui fasakh, maka akan terbongkarlah pelbagai kisah tragis pihak isteri dalam proses tuntutan tersebut. Lanjutan itu dikatakan, tempoh masa paling singkat dalam tuntutan fasakh adalah 'hanya' mengambil masa enam bulan.

"Fasakh? Biasalah kalau ambil masa setahun atau setahun lebih, itu sudah kira cepat!" Itu antara dialog klise yang boleh kita dengar. Dan ini suatu keadaan yang sangat jauh beza jika dibandingkan dengan gugurnya talak oleh suami. Selafaz talak disebut oleh pihak suami, maka sekelip mata perkahwinan menjadi bubar. Akan tetapi tuntutan fasakh adalah realiti ngeri yang panjang yang harus dihadapi dan dilalui oleh isteri-isteri yang tidak punya jalan lain.

Tuntutan fasakh kebiasaannya dituntut oleh isteri yang menanggung derita disebabkan sikap suami. Keadaan suami yang memberi nafkhah walaupun secara amat tidak sempurna masih belum memberi ruang yang selesa untuk isteri bertindak.

Begitu juga keadaannya bagi suami isteri bermasalah yang pada ketika mereka bernikah lafaz taklik yang disusun dalam peruntukan masih belum kemas bentuknya. Lafaz taklik yang diperuntukkan oleh undang-undang sebenarnya bukan bertujuan untuk mengekang kuasa suami sebagai pemilik talak tetapi ia lebih kepada ibarat pagar elektrik yang tidak membenarkan mana-mana suami untuk berkelakuan atau bertindak di luar batas hukum syarak.

Sekali kekejaman atau penganiayaan dilakukan terhadap isteri, maka isteri secara mudah dapat meloloskan diri daripada penganiayaan yang berlaku melalui lafaz taklik yang disebut semasa pernikahan dibuat.

Sebenarnya, terdapat pilihan lain selain fasakh bagi isteri-isteri yang kesabaran mereka sudah tidak berbaki lagi dalam menangani kemelut rumah tangga yang tidak berkesudahan. Amalan Hakam Mahkamah Syariah, adalah pilihan yang boleh digunakan untuk merawat kedegilan dan keegoan pihak suami.

Melalui prosedur ini, rumah tangga yang berkemelut akan cuba dibantu oleh hakam-hakam yang dilantik oleh Mahkamah Syariah. Selagi pihak hakam masih melihat rumah tangga yang bergolak mempunyai harapan untuk dipulihkan, maka usaha secara bersungguh-sungguh akan dibuat.

Akan tetapi, sekiranya wakil-wakil bagi pihak-pihak merumuskan bahawa satu-satu rumah tangga tersebut sudah tidak boleh dipulihkan, maka pihak suami akan dinasihati untuk meleraikan ikatan perkahwinan dengan lafaz talak. Di sini,, perceraian dibuat secara berhemah.

Bagaimanapun, sekiranya suami masih berdegil dan menafikan mengenai keadaan rumah tangga yang sudah rosak, maka Mahkamah Syariah akan 'merampas' kuasa suami yang terang-terangan cuba mengguna kuasa yang diberi.

Berdasarkan kepada arahan Amalan Mahkamah Syariah bagi Seluruh Malaysia Tahun 2006, pendekatan ini boleh diguna pakai bagi suasana-suasana seperti ini:

(a) Perbalahan di antara suami isteri yang timbul daripada nusyuz isteri, atau disebabkan kezaliman suami, ataupun berlaku kesamaran siapa yang benar dan dusta dalam perbalahan yang berlaku.

(b) Perbalahan dan tuduh-menuduh di antara suami isteri yang masing-masing tidak melaksanakan tanggungjawab suami atau isteri.

(c) Kedua-duanya saling menuduh antara satu sama lain berkawan dengan perempuan/lelaki sehingga melewati batas syarak.

(d) Salah seorang keluar dari rumah kediaman dan tidak tinggal bersama lagi.

(e) Tuduh-menuduh berkaitan kelalaian dan melaksanakan tanggungjawab terhadap anak/anak-anak dalam perkahwinan.

(f) Jika didapati bahawa aduan isteri itu tidak sabit dan ditolak oleh Mahkamah Syariah kerana isteri berkenaan tidak dapat membuktikan kebenarannya, dan kemudiannya isteri berulang-ulang membuat aduan dan Mahkamah mendapati pertikaian sentiasa berlaku di antara suami isteri berkenaan.

(h) Apa-apa tindakan yang menyebabkan kemudaratan ke atas isteri.

Adalah diharapkan agar pendekatan ini dapat memberi nafas baru kepada kaum isteri yang selama ini amat menderita dalam memperjuangkan hak mereka mendapatkan kebebasan sebagaimana yang sepatutnya. Kebebasan ini pun sebenarnya hanya titik mula bagi fasa baru bagi kehidupan golongan ini.

Menuntut fasakh atau apa bentuk perceraian sekalipun bukanlah kejayaan manis tetapi lebih merupakan lontaran beban yang terpikul lama di pundak. Mudah-mudahan amalan hakam yang diperuntukkan dapat menyapu air mata derita.

Penulis ialah Pegawai Penyelidik Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia.

4 comments:

Unknown said...

assalamualaikum...
saya bagi pihak mak saya, imgim bertanya, jika perpisahan adalah jalan terakhir bg parent saya,apa langkah pertama yang perlu di ambil oleh mak saya? dan bg saya dan adik beradik yg lain, sepanjang hidup sy 22thn ini, saya tidak pernah melihat kegimbaraan dari air muka mak saya..tolong la kami dan terutamanya mak saya...kami redha dgn perpisahan mereka..asalkan mak saya tidak tertekan dan memudaratkan kesihatannya..

hidayat said...

Tak semua kerana suami. Kes saya, isteri tinggalkan kami 3 beranak ke luar negara atas alasan nak cepat kaya. Kena penjara di luar negara. Tulis surat macam dah insaf tapi, balik semula ke malaysia, buat perangai. Tetiba mintak hadanah anak. Dia menang sebab anak-anak nak ikut itu pun sebab dah kena 'brainwash'. Anak ikut sebab terpaksa. Saya tak cakap banyak. Dia semakin memijak kepala saya. Macam2 hal dia buat. Seolah2 hak saya kepada anak tidak ada langsung! Saya tetap berdiam. Kata2makian dan cacian, mmg biasa. Sms, telefon penuh dengan caci maki isteri. Walhal saya yang tak tahu menahu kena tanggung semua. Skng dia minta fasakh. Saya pun diam lagi. Saya ikutkan saja. Apa perlu sy buat?

Anna Zinedin said...

Kadang2 punca penceraian sesuatu keluarga tak semua berpaksi kpd sisuami.Ada juga disebabkan oleh siisteri. Sebab2 dari siisteri :1) ingin menuntut harta sepencarian.Apabila harta terkumpul telah banyak pd usia muda (30an hingga 40an),siisteri akan merasa ingin mendapatkan separoh (50%); jika tunggu suami mati,isteri pun dah tua,cuma akan dapat 1/6 ( 17% saja).Syaitan akan menghasut siisteri untuk menuntut cerai agar dpt harta lebih.Alasan cerai pelbagai : tak diberi nafkah cukuplah,tak sehaluan lah,suami curanglah,ego lah dsb..

2) Apabila isteri dah malas nk melayan suami dari segi batin (seks atau bicara minda) dan nafkah zahir (makan minum,kebersihan,kemas rumah dsb),mulalah kata,kerja2 rumah sepatutnya tugas suami;kalau tak mampu,sediakan orang gaji...saja nk membeban dan menyusahkan suami. Tak dapat,suami akan ditekan dgn macam2 ragam isteri sama ada dgn tindakan dingin atau keluar dgn kawan2 (dgn atau tanpa izin) atau dgn tekanan melalui anak2..

3)Keadaan isteri yg menhadapi penyakit mental atau tekanan sama ada sebab penyakit,menopaus,rasa dah tua,saka dsb.Ini akan menyebabkan isteri bertindak dingin terhadap suami. Sisuami pula akan merasa rimas dan fed up dgn tindak tanduk isteri dan akan membawa diri..
Si isteri akan mengadu diabaikan.

4) Penggunaan sihir dan bomoh oleh isteri terhadap suami untuk menundukkan suami.

5) Isteri mempunyai kedudukan ekonomi lebih kuat dari suami.Ini akan mendorong isteri ego dan memandang rendah si suami,konon tak sekufu (tak setaraf)..

Banyak lagi sebab2 yg boleh mencabar kewibawaan suami yg boleh meretakkan sesuatu perkahwinan.

Anna Zinedin said...

Saya tak setuju lah..banyak jugak salah isteri.