Like Blog Ini...

Saturday, June 26, 2010

Huffaz tidak mustahil

Oleh ZUARIDA MOHYIN

KALAU beberapa dekad dahulu, memiliki kemampuan menghafaz 30 juzuk al-Quran dan kemudian beralih menguasai bidang profesional lain kedengaran seperti suatu yang jarang berlaku.

Namun hakikatnya, sejarah telah membuktikan bahawa keunggulan peribadi ulama terdahulu yang menghafal al-Quran dan pada masa yang sama menguasai pelbagai cabang ilmu, wajar dijadikan idola oleh semua masyarakat Islam pada hari ini.

Ungkapan berbunyi, “Ada ke masa depan dalam bidang hafazan ini?”, “Tamat belajar nanti pun tidak ke mana...” dan “Paling tidakpun, jadi ustaz atau ustazah...”, seharusnya tidak wujud lagi.

Kebelakangan ini, telah nampak satu perubahan yang cukup luar biasa daripada semua pihak dalam usaha memartabatkan pendidikan tahfiz di negara ini.

Kerajaan sentiasa memainkan peranan penting bagi memastikan institusi al-Quran terus berkembang dan memberi manfaat kepada masyarakat Islam.

Ini termasuk dengan memberi bantuan-bantuan yang diperlukan bagi menjalankan program-program yang berkaitan tahfiz al-Quran.

Malah kecenderungan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke maahad-maahad tahfiz semakin menjadi trend masyarakat hari ini.

Ini menunjukkan masyarakat kita telah diberi pendedahan tentang prospek cerah pendidikan al-Quran, di samping kesedaran masyarakat yang semakin meningkat terhadap kepentingan

pendidikan al-Quran.

Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad, 66, adalah antara lapan orang generasi pertama yang yang dihasilkan oleh Darul Quran (DQ), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kira-kira 44 tahun lalu.

“Pada masa itu tahun 1966, keadaan belajar waktu itu jauh berbeza berbanding zaman sekarang.

“Saya masuk tahfiz disebabkan latar belakang keluarga yang susah di mana ayah dulu hanya bekerja sebagai penoreh getah.

“Selepas belajar sekolah Melayu saya layak ke sekolah beraliran agama dan kebetulan mendapat biasiswa yang membolehkan saya boleh meneruskan pelajaran.

“Duit itulah saya guna untuk menampung pengajian serta membantu keluarga di kampung di samping duit daripada zakat.

“Cabaran zaman itu, bidang tahfiz tidak ada orang hendak masuk kerana tidak nampak masa depannya. Kedua, ia adalah satu kursus yang baru, jadi tidak ada sesiapa yang boleh dijadikan rujukan, idola atau contoh tauladan.

“Jadi semangat dan pendorong saya ialah dengan keazaman mahu keluar daripada kepompongan kemiskinan,” kata Sheikh Ismail mengimbau kenangan ketika berusia 16 tahun.

Menurut Sheikh Ismail, beliau berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh dua setengah tahun sekali gus memiliki Sijil Tahfiz al-Quran.

Pada 1982 beliau telah diberi kepercayaan mengasaskan Sekolah Tahfiz al-Quran di Negeri Terengganu seterusnya dilantik sebagai pengetua selama 10 tahun.

“Kemudian pada tahun 1992 saya diminta oleh Kerajaan Brunei untuk menubuhkan sekolah tahfiz di sana. Ketika itu saya sudah nampak ramai para hafiz dan hafizah ini turut berjaya dalam profesion moden lain.

“Tidak seperti di zaman saya dahulu. Ketika itu orang yang mengambil pelajaran agama dipandang kelas kedua berbanding dengan sekolah beraliran Inggeris,” jelas anak kedua daripada tiga adik-beradik kelahiran Dungun, Terengganu ini.

Beliau yang mula berkhidmat di Masjid Negara pada 2004 menegaskan, Sabda Rasulullah SAW hadis riwayat al-Tirmizi yang bermaksud: “Sesungguhnya sesiapa yang tidak terdapat pada kerongkongnya sesuatu daripada al-Quran (tidak membaca) maka ia seperti rumah yang usang.”

Justeru, masyarakat kena faham bahawa orang yang hafaz ini diasuh dengan ingatan.

Malah budaya sebegini telah lama sebati dalam kehidupan masyarakat Arab yang mana seawal usia tujuh lapan tahun, anak-anak ini telah mula menghafaz.

“Hafaz ketika kecil seperti ukir di batu tetapi hafaz ketika dewasa, ia umpama ukir di atas air. Ini bukanlah tidak boleh tetapi agak sukar sedikit. Malah jika kanak-kanak ini telah dididik dan diterapkan al-Quran dalam dada sejak kecil, mustahil mereka akan melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama,” jelasnya.

Kata Sheikh Ismail lagi, di Mesir, latar belakang pelajar yang cemerlang, kebanyakan mereka adalah hafaz al-Quran.

Manakala di India pula, mereka akan memastikan sekurang-kurangnya seorang anak dalam keluarga mestilah bergelar hafiz atau hafizah.

“Alangkah, baiknya jika perkara sebegini juga dijadikan budaya di kalangan masyarakat Islam kita,” saran beliau.

1 comment:

Fahim kamtan mirza said...

Great post your points are spot-on, especially the starting part. Congratulations learning quran online