KUALA LUMPUR 8 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, unsur kesenian Islam perlu dijadikan alat bagi mempromosikan keindahan agama Islam itu sendiri di mata dunia.
Perdana Menteri berkata, menghayati kesenian Islam berupaya mengurus salah tanggap dan sifat prejudis terhadap agama Islam yang dilabelkan dengan pelbagai gambaran negatif.
Dengan menonjolkan keindahan seni Islam, katanya, ia boleh mengubah persepsi itu sekali gus mendidik mereka tentang sifat Islam yang sebenar.
"Sebagai sebuah negara Islam merdeka dan berjaya mengekalkan toleransi dalam masyarakat pelbagai agama, kita bertanggungjawab membawa mesej tentang keindahan Islam ini di mata dunia.
"Selain itu, masyarakat Islam di negara ini juga perlu menonjolkan nilai-nilai moral serta tingkah laku yang baik kepada masyarakat untuk dijadikan teladan," katanya.
Beliau berucap merasmikan program sambutan Pencapaian Sepuluh Tahun Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) di sini hari ini.
MKIM telah dirasmikan pada 1999 dan berfungsi sebagai gedung yang menyimpan serta mempamerkan karya seni yang mempunyai unsur kesenian Islam dari pelbagai negara dan zaman kegemilangan Islam.
Karya seni tersebut terdiri daripada objek-objek seni berharga, seni kaligrafi, reka bentuk serta hiasan dalaman yang mempunyai nilai estetika.
Menurut Najib, MKIM sebagai gedung karya seni Islam juga berfungsi sebagai medium penting untuk membantu orang bukan Islam memahami agama ini menerusi dakwah kesenian berunsur Islam.
Katanya, kepelbagaian artifak, seni sulaman dan hiasan dalaman serta reka bentuk bangunan yang penuh dengan nilai estetika juga melambangkan yang Islam itu sejagat, universal dan sesuai untuk semua bangsa.
"Kita perlu mengikis pemikiran sesetengah masyarakat khususnya di luar agama Islam bahawa Islam hanya untuk bangsa-bangsa tertentu dan tidak sesuai untuk bangsa lain.
"Dengan pendekatan itu, barulah Islam dapat dilihat dari sudut pandang atau perspektif yang lebih luas sekali gus dapat diterima sebagai sebuah agama yang sejagat," katanya.
Perdana Menteri juga dalam ucapannya memuji sikap prihatin kumpulan syarikat Albukhary apabila menyahut hasrat kerajaan pada 1995 untuk membangunkan sebuah muzium kesenian Islam di negara ini.
Kata beliau, Yayasan Albukhary berjaya membuktikan ia mampu memenuhi hasrat Dr. Mahathir ketika itu yang mahu melihat kewujudan sebuah pusat bagi mengkaji dan menghargai kesenian Islam.
"Menyokong perkembangan kebudayaan pada skala MKIM pastinya melibatkan sumber yang banyak, sokongan pihak swasta dalam hal seperti ini amat penting dalam usaha menjadikan budaya dan seni Malaysia berkembang.
"Dalam konteks ini, kumpulan syarikat Albukhary adalah contoh yang begitu menonjol untuk dijadikan ikutan oleh entiti korporat yang lain," katanya.
No comments:
Post a Comment