KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengeluarkan garis panduan mengenai konsep 1Malaysia sebagai panduan kepimpinan negara, bagi mengelak salah tafsiran dan tanggapan negatif masyarakat mengenainya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata, kepimpinan negara memerlukan garis panduan khusus mengenai konsep itu supaya apa yang diucapkan dapat difahami rakyat.
Katanya, sehingga kini rakyat belum dapat memahami konsep tersebut secara mendalam kerana matlamat dan gagasan 1Malaysia sering diputar belit pihak tertentu untuk kepentingan sendiri.
"Sebelum konsep ini dipolemikkan dengan lebih parah oleh pihak berkepentingan, kita perlu menyediakan panduan supaya gagasan ini dapat diperjelaskan dengan lebih terperinci supaya ia berupaya membangunkan agama, bangsa dan negara," katanya selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat mengenai Konsep 1Malaysia di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Jamil Khir berkata, garis panduan itu akan dirangka berdasarkan resolusi yang akan dihasilkan semasa persidangan meja bulat tersebut.
Beliau berkata, garis panduan itu akan terkandung dalam buku kecil yang akan disebarkan ke seluruh negara agar semua pihak memahami hasrat baru kepimpinan negara.
Beliau menyarankan pihak media turut memainkan peranan mereka dengan menyebarkan resolusi itu.
"Kita mahu konsep, falsafah dan hala tuju gagasan 1Malaysia yang diketengahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dapat diselami dan difahami secara menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Persidangan sehari itu dihadiri oleh Timbalan Menteri di JPM, Datuk Dr Mashitah Ibrahim; Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz; Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin; bekas penasihat, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Muhammad Uthman Al-Muhammady. - Bernama
No comments:
Post a Comment