Like Blog Ini...

Saturday, October 30, 2010

Gambaran nikmat di syurga

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Sheikh al-Maraghi berkata: "Semua ini menunjukkan bahawa makanan ahli neraka adalah sesuatu yang sesuai dengan keadaan di akhirat.

"Hal ini digambarkan dengan benda-benda yang ada di dunia adalah bermaksud untuk menggambarkan kepada kita betapa buruknya jenis makanan itu, agar kita menjauhi dan menghindari malapetaka tersebut, sehingga kita terjauh daripada perbuatan rosak dan merugikan."

Firman Allah SWT: (sebaliknya) Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri.

Ibn Kathir berkata: Mereka mendapat kurniaan nikmat kerana usaha mereka di dunia.

Firman Allah SWT: Berpuas hati dengan balasan amal usahanya (yang baik yang telah dikerjakannya di dunia).

Al-Hasan berkata: Dia akan reda dengan usahanya. Benarlah kata al-Maraghi: Mereka berasa puas kerana mereka dahulu beramal semata-mata kerana Allah SWT dan mereka diberi balasan baik.

Hal ini umpama seorang yang berbuat baik lalu mendapat hasil atau balasan baik dan pujian yang menyenangkan, maka tercetuslah ucapan: Alangkah baiknya amalku dahulu. Sesungguhnya amalku itu sesuai dengan kebenaran.

Firman Allah SWT: (Mereka tinggal menetap) di dalam syurga tinggi (tempat kedudukannya darjatnya).

Dalam hal ini al-Mawardi menyebut dua wajah bahawa syurga lebih tinggi dari neraka kedudukannya. Dengan sebab itu dinyatakan ketinggiannya seperti kata al-Dahak. Sedangkan pendapat kedua dengan maksud di syurga-syurga yang tinggi dan bilik-biliknya.

Atas asas inilah ketinggian mereka dalam dua bentuk, iaitu supaya mereka berlazat dengan kedudukan dan keduanya supaya mereka menyaksikan apa yang Allah SWT sediakan kenikmatan untuk mereka.

Firman Allah SWT: Mereka tidak mendengar di situ sebarang perkataan yang sia-sia.

Ulama telah khilaf berkenaan dengan tafsiran lagha di sini, di mana al-Farra' dan al-Ahfash berpendapat ahli syurga tidak mendengar walaupun sepatah kalimah lagha.

Berkenaan dengan lagha ada tujuh pendapat:

* Dusta. Seperti pendapat Ibn Abbas.

* Dosa. Seperti pendapat Qatadah.

* Mencela. Seperti pendapat Mujahid.

* Kebatilan. Seperti pendapat Yahya bin Salam.

* Maksiat. Seperti pendapat al-Hasan.

* Sumpah. Seperti pendapat al-Qalbi.

* Ahli syurga tidak mendengar dalam ucapan mereka kalimah lagha. Seperti pendapat al-Farra'.

Firman Allah SWT: di dalam syurga itu ada mata air yang mengalir.

Al-Maraghi berkata: Dalam syurga itu terdapat mata air yang selalu mengalir airnya. Air yang jernih menggembirakan hati dan mententeramkan mata yang memandangnya.

Firman Allah SWT: Di situ juga ada pelamin-pelamin (berhias) yang tinggi (tempatnya).

Kedudukan tinggi ini ada tiga wajah:

* Kerana sebahagiannya berada lebih tinggi daripada yang lain.

* Kerana tempatnya berada di puncak.

* Tempat yang tinggi kerana kedudukannya dan martabatnya yang tinggi.

Ibn Syajarah berkata: Supaya mereka berlazat dengan kedudukannya.

Firman Allah SWT: dan piala-piala minuman yang disediakan (untuk mereka).

Sayid Qutub berkata: Gelas-gelas itu siap diatur dan siap disajikan untuk diminum tanpa perlu diminta dan disediakan.

Firman Allah SWT: dan bantal-bantal yang teratur (untuk mereka berbaring atau bersandar).

Al-Maraghi berkata: Dalam syurga terdapat juga bantal-bantal yang tersusun rapi. Mereka boleh mendudukinya, bersandar padanya atau berteleku di atasnya apabila dikehendaki.

Firman Allah SWT: serta hamparan-hamparan yang terbentang.

Al-Maraghi berkata: Ketika permaidani (hamparan) terhampar di tempat duduk, maka setiap tempat duduk dapat dilihat hamparan permaidani seperti yang terdapat di rumah-rumah kaum bangsawan lagi hartawan di dunia ini.

Sayid Qutub berkata: "Semuanya itu merupakan nikmat-nikmat kesenangan yang dapat dilihat manusia contoh-contoh seumpamanya di bumi."

Nikmat-nikmat itu disebut sedemikian rupa untuk mendekatkan kepada kefahaman manusia di bumi, sedangkan hakikat yang sebenar terpulanglah kepada selera di sana yang dikurniakan Allah SWT kepada golongan manusia yang berbahagia.

Di antara usaha yang sia-sia ialah membuat perbandingan dan penyelidikan yang halus mengenai bentuk dan sifat nikmat atau azab di akhirat kerana penduduk bumi berfikir dengan fikiran yang terikat dengan keadaan yang wujud di bumi ini.

Andainya mereka berada di akhirat, maka segala hijab dan dinding akan terhapus, segala roh dan fikiran terlepas bebas, segala makna akan berubah mengikut perubahan selera manusia di sana.

Ini kerana segala yang berlaku di akhirat di luar kemampuan kita untuk mengetahuinya.

Sifat-sifat nikmat yang dijelaskan oleh Allah SWT hanya berguna untuk menolong kita memahami dan menggambarkan kemuncak kelazatan, kemanisan dan kenikmatan hidup yang kita tidak mampu mencapainya selama kita berada di sini.

Ketika di akhirat barulah kita mengetahui dan mengenal hakikatnya apabila Allah SWT memuliakan dengan limpah kurnia dan keredaan-Nya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita syurga Firdaus sebagai nikmat-Nya. Amin.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Saya nak ikut Rasulullah - Hanafi

Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID

MUSIM haji yang menjelang diikuti Hari Raya Korban, membuatkan minda teringat kepada Hanafi Pai'man, 40. Beliau salah seorang asnaf zakat di Meru, Klang, yang pernah ditemui beberapa waktu lalu.

Semasa ditemui ketika itu beliau pernah menyatakan: "Saya nak cuba ikut macam Rasulullah." Iaitu menternak kambing demi menyara keluarganya.

Bukan mudah menyara sebuah keluarga yang besar. Bersama isteri, Masriah Abdul Ghaffar, 41, mereka dikurniakan sembilan anak. Isterinya pula tidak begitu sihat. Lalu, kira-kira tiga tahun lalu, Hanafi nekad berhenti kerja. Kemudian, menceburkan diri dalam dunia pertanian.

"Dahulu saya pernah berkerja di kilang papan. Gaji tak seberapa, adalah dalam RM500 ke RM800 sebulan. Kemudian, kilang itu pula berpindah ke tempat yang lebih jauh. Tidak berbaloi rasanya memerah keringat berkerja di sana, maka saya mulai berjinak-jinak memelihara kambing," katanya.

Demikianlah Hanafi berkongsi cerita. Benar, kedatangan kami dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) disambut ceria di samping beliau bangga menunjukkan kambing yang diternaknya.

"Saya menternak kambing dari baka Senan Crose. Alhamdulillah, LZS telah memberikan saya modal untuk mengusahakan penternakan ini. Kini, setelah berhenti kerja maka saya dapat menumpukan perhatian dalam penternakan kambing," jelasnya.

Di samping menternak kambing, Hanafi turut mengambil upah melakukan pendawaian elektrik.

Kadang-kadang, ada juga kontraktor atau kawan-kawan yang memanggilnya untuk membuat pendawaian elektrik.

Di samping itu, Hanafi tidak membiarkan kawasan di belakang rumahnya kosong. Beliau bukan sekadar membina kandang kambing, bahkan turut membina kolam bagi tujuan menternak itik selain mengusahakan pertanian ala fertigasi.

"Dahulu saya cuba menanam cili di dalam polibeg. Apa orang kata, teknik fertigasi. Tetapi, malangnya kurang menjadi. Saya fikir mungkin kerana faktor cuaca. Cili tidak begitu tahan dengan cuaca begitu lembap.

"Untuk memasang plastik sebagai pelindung, banyak pula belanjanya. Insya-Allah, selepas ini saya akan mengalihkan kepada tanaman sayuran lain pula. Mungkin kacang bendi dan terung, yang lebih kuat daya tahannya.

"Di samping itu, saya juga menternak itik. Ada dua jenis itik, iaitu hitam dan putih. Itik hitam untuk telur dan itik putih untuk daging. Dahulu, saya dan bapa mengusahakan ternakan keli dan lintah. Tetapi, tidak berapa menjadi. Sebab itu kami beralih memelihara itik pula," jelasnya.

Berkat bernaung sebagai asnaf di LZS, Hanafi mengikuti pelbagai siri kursus. Termasuklah kursus kemahiran keusahawanan dan kursus menternak kambing.

Kata Hanafi, sungguh pun kambing peliharaannya belum banyak, beliau tetap menerima tempahan jika ada pembeli.

"Sama ada untuk akikah, korban, kenduri atau apa sahaja, insya-Allah saya boleh membekalkannya. Bahkan, bukan sekadar kambing, lembu pun jika mahu, saya boleh usahakan," katanya.

Demikianlah kesungguhan Hanafi menjadi penternak berjaya. Beliau turut mempunyai kenalan yang membekalkan kambing dan lembu kepadanya untuk pasaran semasa.

Hingga kini, kambing Senan Crose milik Hanafi sudah pun membiak menjadi 12 ekor. Untuk memudahkan beliau, LZS membekalkan mesin memproses makanan beserta 20 tong fiber bagi tujuan memeram daun-daun yang sudah diproses.

Ia akan menjadi makanan kambing pada musim hujan kelak. LZS turut memberikan modal tambahan bagi membesarkan kandang kambingnya.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada LZS, khususnya kepada pembayar zakat. Dengan wang zakat itulah, banyak meringankan bebanan saya. Terutamanya bagi pendidikan anak-anak," katanya.

Nampaknya, sudah ada tanda-tanda anak-anak Hanafi akan menjadi anak yang cemerlang. Anak keduanya, Mohd. Abdul Rahman, 19, kini melanjutkan pendidikan dalam bidang Bahasa Arab dan Komunikasi di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai.

Hanafi juga beruntung, justeru kedua orang tuanya Pai'man Abdul Latif, 80, dan ibunya, Markiah Ahmad, 60, sentiasa menyokong usahanya.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa saya. Mereka sering membantu keluarga saya, menengokkan anak-anak kala isteri saya keuzuran, bahkan banyak menyokong saya selama ini," ujar Hanafi penuh kesyukuran.

Nota: Sesiapa yang berminat mendapatkan bekalan kambing dan lembu untuk korban dan akikah, boleh menghubungi Hanafi di talian 019-292 5609 atau 03-3392 4497 (Pai'man).