Like Blog Ini...

Wednesday, September 2, 2009

Oleh MOHAMAD SOFEE RAZAK

ANTARA keistimewaan dan kelebihan bulan Ramadan yang tidak terdapat pada bulan-bulan lain ialah solat tarawih. Umat Islam berpeluang mengerjakan solat tarawih sepanjang bulan Ramadan dan tidak boleh dilakukan pada bulan-bulan lain memandangkan solat ini eksklusif di bulan puasa sahaja.

Lazimnya ada yang mengerjakan solat tarawih sebanyak lapan rakaat sahaja dan yang berkeupayaan mengerjakan dua puluh rakaat serta ditambah dengan tiga rakaat solat witir.

Menarik dan hebatnya, di samping ganjaran pahala serta kebaikan yang berlipat kali ganda, solat sunat tarawih seperti mana solat-solat sunat dan fardu lain sebenarnya memberi kesan positif terhadap tubuh badan manusia secara fizikal, emosi dan mental.

Kajian saintifik yang telah dilakukan mengesahkan hal ini terhadap hasil dan kesan solat ke atas kesihatan seseorang individu. Ini meliputi kesihatan fizikal, emosi dan mental pengamalnya, termasuklah kesan ke atas sistem kardiovaskular, komposisi tubuh badan, isyarat otak dan aktiviti otot.

Kajian seperti mana yang direkodkan dalam buku Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains mendapati pergerakan solat yang melibatkan keadaan berdiri tegak, rukuk, duduk dan sujud secara tertib dan berulang boleh diumpamakan sebagai senaman ringan.

Kajian juga menunjukkan mereka yang mengamalkan solat yang sempurna mempunyai tahap kesihatan yang lebih baik berbanding mereka yang tidak melakukannya dengan sempurna.

Solat lima kali sehari semalam misalnya selain merupakan ibadah wajib, dapat mengurangkan kadar lemak dalam badan. Maka di bulan puasa ini, solat tarawih sudah tentu dapat membantu merawat mereka yang mengamalkan sikap 'membalas dendam' dengan berlebihan makan ketika berbuka.

Tambahan pula, tabiat mengamalkan kedudukan tulang belakang lurus melintang ketika rukuk menurut kajian dapat melambatkan proses penuaan, tisu bertambah aktif, proses imbangan air dalam badan menjadi lebih baik dan melancarkan fungsi buah pinggang.

Ibadat solat dalam masa yang sama juga dapat meningkatkan penumpuan dan daya ingatan seseorang, membuktikan ibadah solat dapat menyediakan otak untuk lebih bersedia dalam menghadapi tugas-tugas yang lebih mencabar.

Apatah lagi ketika berpuasa, seseorang perlu menahan lapar dan dahaga di samping mesti bersabar dalam apa jua keadaan, berfikiran kreatif serta sentiasa berada pada tahap produktiviti yang tinggi.

Lebih menakjubkan lagi ialah solat juga merupakan satu terapi yang memberikan kesan yang sangat positif ke atas sistem andrologi dan kekuatan tenaga batin lelaki. Kajian menunjukkan aktiviti solat boleh melancarkan pengaliran darah dan mengurangkan masalah disfungsi ereksi atau mati pucuk di kalangan lelaki.

Penemuan serta petua dan amalan ini sudah tentu tidak boleh dilepaskan oleh mereka yang mementingkan kesihatan batin. Oleh yang demikian, penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan menunaikan solat dan tidak boleh meninggalkannya sama sekali.

Sehubungan itu, melihat kepada keutamaan dan keunikan yang terdapat pada ibadah solat, maka di bulan Ramadan yang mulia ini sewajarnyalah menjadi medan penumpuan utama memperkasakan ibadah wajib dan sunat dalam usaha merebut ganjaran kebajikan yang dijanjikan oleh Allah. Biarlah pengisian Ramadan kali menjadi lebih baik daripada Ramadan yang lepas dan jangan sia-siakan segala ruang serta peluang yang ada kali ini.

No comments: