Susunan SITI AINIZA KAMSARI
KITA menyebutnya sebagai 'agama' atau terkadang 'igama' dan 'ugama' tetapi semua ini merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Sanskrit. Iaitu 'A' bererti 'tidak' dan 'Gam' bererti 'pergi', maka 'agama' itu bermakna: tidak pergi atau dengan lain perkataan 'tetap berada di tempat.'
Walaupun berasal daripada perkataan Sanskrit dan kita mempunyai perkataan Deen (Bahasa Arab), tetapi perkataan 'agama' itu sangat digunapakai di alam Nusantara atau Alam Melayu ini sebagaimana dalam perbualan harian, antara lain seperti; "Apa agama anda?", "Kita bangsa Melayu beragama Islam", "Agama rasmi negara" dan sebagainya lagi.
Namun dalam konteks agama Islam, pemahaman erti 'agama' itu tentu sekali berbeza dengan makna agama-agama yang lain.
Namun apabila kita kembali kepada peristiwa turunnya wahyu pertama di Gua Hira' pada malam Isnin, 17 Ramadan, 13 tahun sebelum Hijrah (6 Ogos 610 M) maka sekali gus ia bermakna pada tarikh itu lahirnya agama Islam.
Iaitu saat dan titik mula kepada seorang pemuda, Nabi Muhammad yang pada usia yang sangat matang iaitu 40 tahun diperintahkan oleh Tuhannya menyampaikan risalah atau agama Allah yang dikenali sebagai Islam itu. Ini sebagaimana maksud firman Allah: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. (ali 'Imran: 19)
Baginda secara rasmi diiktiraf sebagai Pesuruh Allah (Rasul Allah atau Rasulullah) yang antara lain kita mesti perbetulkan sesetengah istilah Barat yang menggelarkan Islam itu sebagai 'agama Muhammadan'.
Nabi Muhammad bertugas untuk menyebarluaskan agama Allah (Al Islam), bukannya bertugas menyampaikan ajaran-ajarannya sendiri seperti yang diduga dan difahamkan oleh orang Barat.
Baginda tidak membentuk ajaran Islam ini dan kerana itu, tumpuannya bukan Nabi Muhammad tetapi 'kiblat'nya mestilah Allah dan segala ajaran, perintah dan larangan daripada-Nya.
Agama Islam itu perlu dijelaskan sebagai agama milik Allah yang bererti 'selamat'. Kita akan selamat selagi kita taat dan patuh kepada Allah dan Rasu-Nya. Islam juga bererti 'damai', iaitu kita akan damai dalam agama Islam itu.
Islam itu asal perkataan salima - selamat, salami - taat, silmi - damai dan sullam - meningkatkan darjat.
Mungkin pelbagai pihak memberikan pelbagai tafsiran, pengertian dan makna mengenai agama Islam walaupun secara mudahnya Islam adalah agama benar yang diturunkan oleh Allah, yang disampaikan oleh Nabi Muhammad untuk seluruh umat manusia.
Lalu kita mesti pegang, tidak ada agama selain daripada agama Allah iaitu Islam sebagaimana kita mesti wajib percaya tidak ada nabi (terakhir) selain Nabi Muhammad.
Namun mutakhir ini, perkataan itu telah diperalatkan sebagaimana ada yang mengaku bahawa dia adalah 'Rasul Melayu' dan sebagainya.
Malah lebih dahsyat seperti yang berlaku di negara jiran, Indonesia apabila terdapatnya 'agama' yang dipimpin oleh seorang perempuan bernama Lia Aminuddin, hendak disamakan dengan 'Islam', menggunakan nama Salammullah.
Jika dengan pengetahuan yang sangat cetek dan jahil, tentunya ada yang menganggap bahawa Salammullah itu tidak ada bezanya dengan Islam.
Perhatikan antara ayat yang digunakan oleh Lia: "Syaikh (malaikat Jibrail) menyampaikan perintah Allah supaya kita menggondolkan kepala dan membakar sekujur tubuh kita," kata Lia yang kononnya bertujuan untuk membersihkan para pengikutnya daripada segala dosa.
"Setelah itu, kita akan lahir kembali sebagai bayi tanpa noda," katanya. (Jalaluddin Rakhmat - Psikologi Agama, Sebuah Pengantar, 2003)
Maka menjadi tanggungjawab kita supaya Islam itu dikembalikan dan sebagaimana yang didepani oleh Rasulullah. Islam kepada baginda bererti untuk menggantikan agama-agama dan penyembahan-penyembahan karut sebagaimana yang berkurun dilakukan oleh bangsa dan kaumnya sendiri.
Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya) maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusan-Nya dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada kaum yang kafir. (al-Maidah: 67).
Begitupun baginda masih tidak menyedari tugas yang menunggu adalah sangat penting sehinggalah baginda tersentak dengan kekuatan ayat-ayat yang diturunkan oleh Allah dalam wahyu kedua, surah al-Muddaththir (1-7) itu. Ayat yang memerintahkan supaya baginda membuangkan selimut dan mula bangun untuk menyampaikan ajaran Islam dan memberikan peringatan kepada umat manusia.
Janganlah pula kita menganggap bahawa bangunnya baginda itu sekadar untuk menyahut cabaran daripada Allah, ini kerana menyahut cabaran bererti lazimnya untuk memberi kepentingan kepada diri sendiri.
Tetapi baginda sedar, baginda telah bersedia untuk tugas-tugas tersebut, iaitu di saat:
1) Baginda dalam usia yang dewasa dan matang,
2) Baginda berada dalam keadaan tenang kerana mempunyai isteri dan kaum keluarga yang sentiasa menyokong,
3) Baginda mempunyai hubungan baik atau tidak bermusuhan dengan sesiapa sama ada terhadap kaumnya dan penduduk Mekah.
Namun, atas dasar keyakinan yang teguh ditambah wahyu-wahyu Allah tidak henti-henti turun kepada baginda maka tidak ada perkataan ragu-ragu atau was-was di hati baginda untuk menyebarkan Islam itu.
Keyakinan baginda
Al Mubarakfuri menyebut, keyakinan baginda itu berdasarkan antara lainnya, faktor ayat-ayat al-Quran itu sendiri yang ketika itu dalam surah-surah yang pendek, mempunyai suku kata dan kata-kata yang menarik, ada ritma dan rima bahasa yang menawan, bagaikan berbisik halus. Ia sejajar dengan suasana dakwah pada peringkat awal yang baginda laksanakan.
Maka bermulalah risalah yang turut memerlukan baginda supaya mengaturkan strategi bagi memastikan risalahnya itu tidak sahaja menepati sasaran malah kurang mendapat tentangan.
Ini apabila baginda memilih untuk menyampaikan Islam itu kepada mereka yang paling rapat dengan baginda, terutama kaum keluarganya dan para sahabat.
Maka di hari pertama sahaja dikatakan seramai empat orang dengan penuh keikhlasan telah menerima ajakan baginda untuk menerima Islam. Mereka ialah isteri baginda, Siti Khadijah, hamba baginda, Zaid bin Tsabit, sepupu baginda, Ali bin Abi Talib dan sahabat baik baginda, Abu Bakar As Siddiq.
Mereka ini dan ramai lagi yang menerima Islam di peringkat awal di kenali sebagai golongan As Sabiqun al Awwalun.
Siti Khadijah sendiri tanpa rasa ragu untuk menerima Islam tidak sekadar kerana Nabi Muhammad itu merupakan suami yang wajib beliau taati. Mahupun akibat pengaruh kata-kata bapa saudaranya yang merupakan seorang rahib atau pendita Nasrani yang sebelum ini meramalkan mengenai kerasulan baginda itu. Namun, kerana kemuliaan dan ketinggian akhlak yang dimiliki oleh baginda.
Bayangkan jika yang ingin menyampaikan itu mempunyai akhlak yang buruk sekalipun telah jelas bahawa agama yang cuba dibawanya adalah benar?
Sebab itu antara lain, makna agama itu sendiri adalah akhlak. Dalam satu riwayat; Seorang lelaki menemui Rasulullah SAW dan bertanya: "Ya Rasulullah, apakah agama itu?" Rasulullah menjawab; "Akhlak yang baik".
Kemudian lelaki itu datang semula ke bahagian kanan baginda dan bertanya soalan yang sama dan baginda menjawab: "Akhlak yang baik!" Lelaki itu kemudiannya beralih ke bahagian kiri baginda dan bertanya sekali: "Apakah agama itu Ya Rasulullah?" dan baginda terus menjawab; "Akhlak yang baik" dan lelaki itu pergi ke belakang baginda dan bertanya soalan yang sama, baginda kemudiannya menjawab: "Belum jugakah engkau mengerti? Agama itu adalah akhlak yang baik. Sebagai misal, janganlah engkau marah" jawab baginda sambil tersenyum. (Kitab Al Targhib wa Tarhib 3: 405)
No comments:
Post a Comment